www.flickr.com

Saturday, February 24, 2007

Malay Poisons and Charm Cures

Dalam sejarah etnobotani di Malaysia, Malay Poisons And Charm Cures (1915) dikelaskan sebagai buku klasik. Karya ini terhasil dari kumpulan pengalaman John Desmond Gimlette (1867-1934), pengamal perubatan moden British yang pernah diarahkan bertugas di bawah peraturan dasar luar negaranya sewaktu zaman penjajahan. Dan, sebelum tahun 1900 lagi, beberapa buah negeri di Semenanjung Tanah Melayu telah menerima khidmatnya, termasuklah di Kelantan selama lapan tahun.

Gimlette atau John D, sapaan mesra di kalangan teman-temannya, dilahirkan pada 24 Februari 1867. Mendapat pendidikan awal dalam jurusan perubatan di St. Thomas, Gimlette kemudiannya memilih melakukan latihan praktikal di Lisbon, Portugal. Setelah itu, pada tahun 1896 Gimlette telah dilantik menjadi Surgeon-Magistrate di Selinsing, Pahang, sewaktu Hugh Clifford menjadi Residen British di sana.

Sementara, dalam tempoh Mei 1900 hingga Jun 1903, Gimlette telah diperintahkan oleh Kerajaan British untuk menjalankan perkhidmatan di Selangor dan Perak, sebelumnya menyertai Duff Development Company. Semenjak dari saat inilah, Gimlette mula mendekati iklim kebudayaan masyarakat Melayu.

Setelah Kelantan menjadi jajahan British selepas penjajahan Siam, iaitu pada tahun 1909, Gimlette memilih untuk kembali menyertai perkhidmatan di bawah Kerajaan British serta menyambung semula kerjaya kedoktorannya. Di Kelantan, Gimlette menjalinkan hubungan yang amat akrab dengan Sultan Kelantan, malah seringkali diundang ke Istana.

Ketika di Kelantan, Gimlette mengambil kesempatan bergaul dengan ragam lapisan masyarakat tempatan, terutamanya mereka yang datang dari kampung-kampung bagi mendapatkan rawatan moden dari Gimlette. Upamanya, apabila ada pesakit tempatan yang mendapatkan perkhidmatan moden, seringkali Gimlette bertanya mengenai kaedah perubatan tradisional berserta bahan-bahan yang digunakan oleh pengamal perubatan tradisional, atau dalam bahasa tradisional dikenali sebagai bomoh atau bomor. Dan, Gimlette tidak lupa memesan agar pesakitnya tersebut membawa sampel tumbuh-tumbuhan ubatan tradisional dalam pertemuan mereka yang berikutnya.

Jadi, menerusi himpunan pengalamannya di Kelantan ini, Gimlette berupaya mendalami dengan baik tentang tumbuh-tumbuhan ubatan tradisional Melayu. Hasilnya, Gimlette berjaya mendokumenkan pengalamannya tersebut dalam buku Malay Poisons And Charm Cures serta kemudiannya mampu menyunting The Medical Book of Malayan Medicine (1930), buku yang dihasilkan oleh I. H. Burkill, pengarah Taman Botani Singapura.

Sebenarnya, terdapat beberapa lagi sumbangan penting Gimlette dalam bidang tumbuh-tumbuhan ubatan di Semenanjung Tanah Melayu ini. Namun, buku Malay Poisons And Charm Cures tidak dinafikan seharusnya menjadi khazanah yang paling berharga tentang catatan sosiologi perubatan Melayu.

Dalam buku ini, Gimlette asalnya bercadang mahu menggunakan tajuk Kelantan Poisons and Charm Cures. Walau bagaimanapun, menukarnya kepada Malay Poisons And Charm Cures. Ini memandangkan, meskipun banyak kajian Gimlette dilakukan semasa perkhidmatannya di Kelantan, tetapi pengalaman yang dikumpulnya sebenanrya turut memaparkan kebudayaan perubatan Melayu secara keseluruhannya.

Dalam buku ini juga, Gimlette tidak lupa untuk memuatkan beberapa perkara yang sangat penting sebagai bahan rujukan generasi mendatang, apatah lagi di waktu tersebut, masyarakat Melayu memang sangat kurang mendokumenkan segala khazanah pengetahuannya. Sebab itu, kehadiran buku ini sekurang-kurangnya diakui dapat mengisi catatan terhadap ruang-ruang pengetahuan yang tertanam dalam khazanah perubatan Melayu lama.

Malay Poisons And Charm Cures terpisah dari dua bahagian. Bahagian pertama lebih berkisar pada persoalan kaedah, aktiviti perubatan setempat, individu-individu dalam perubatan tradisional Melayu (bomor) dan permainan rakyat yang ada kaitan dengan pelbagai kepercayaan. Manakala, bahagian kedua pula membicarakan soal perubatan melalui haiwan seperti ikan, belalang, katak dan lain-lain lagi. Di samping itu, Gimlette ada juga mencatatkan mengenai tumbuh-tumbuhan ubatan serta racun-racun yang digunakan dalam budaya perubatan Melayu.

Walau bagaimanapun, rakaman paling menarik dari keseluruhan buku ini, ialah di mana Gimlette telah memperkenalkan kepada khalayak pembaca tentang beberapa orang bomor yang sangat terkenal di Kelantan pada satu ketika dulu. Ini termasuklah, Enche Drahman dari Pasir Mas, Enche Harun dan Enche Awang masing-masing dari Kota Bharu, Enche Jalal dari Ulu Kelantan serta beberapa nama lagi. Malah, sebahagian dari bomor-bomor yang dinyatakan ini turut disertakan dengan gambar mereka sekali.

Di samping itu, tidak ketinggalan juga beberapa doa atau mentera yang diguna-pakai dalam amalan perubatan tradisional Melayu Kelantan. Di sini, Gimlette telah mengumbaikan amalan bomor-bomor ini. Menerusi amalan ini, lantas ia akan mengingatkan kepada kita tentang corak pemikiran yang terlukis dalam masyarakat Melayu lama. Dan, ternyata terdapat sebahagian daripada mentera ini berunsur khurafat serta bercanggah dengan ajaran Islam.

Kendatipun buku ini menyenaraikan limpahan nama spesis tumbuh-tumbuhan ubatan, namun untuk mengungkapkan kembali semua yang dicatat oleh Gimlette adalah sesuatu yang mustahil. Apapun, sudah cukup ditekankan di sini bahawa Gimlette sanggup mendedikasikan sebahagian besar usahanya ini untuk masyarakat Melayu, di saat masyarakat Melayu sendiri kurang menghargai serta mencatatkan matan pengetahuannya.

Sunday, February 18, 2007

Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (4/6)

Debat falsafah Barat dalam fizik kuantum

Selain kerana kegagalan fizikawan kuantum untuk menjelaskan saratnya unsur-unsur metafizik dalam hasil ujikaji, fizik kuantum juga membuka ruang kepada wacana falsafah, lebih-lebih lagi dalam lingkungan kefalsafahan Barat. Ini kerana, kehadiran fizik kuantum dipercayai telah merombak weltanschauung sains moden yang sebelumnya sering disekutukan dengan sumbangan Bacon-Descartes-Newton.

Hal ini boleh disemak dengan menelaah pertentangan ciri antara fizik kuantum dengan fizik Newton. Dan, salah satunya termasuklah soal subjektivisme. Dalam fizik Newton, mereka menganut dualisme minda dan jirim—yang masing-masing merupakan entiti terpisah—sepertimana penegasan René Descartes dalam Discours de la Méthode.

Manakala, dalam fizik kuantum pengaruh kesedaran dan peranan pencerap didapati telah mengemburkan peranan yang sangat signifikan sekali. Sebab itu, Davies & Brown dalam The Ghost in the Atom, menyatakan bahawa pencerap tidak mungkin dapat memahami alam ini sehinggalah perilaku zarah dapat dirungkaikan terlebih dahulu.

Demikian juga dalam soal mekanisme, yang satu ketika falsafah ini kental dicanangkan oleh Pierre-Simon Laplace ketikanya menolak sebarang hipotesis pengaruh Tuhan dalam kerja-kerja ilmiahnya. (Falsafah mekanisme ini juga merupakan gugusan idea yang bermuara dari Descartes, sebelum Thomas Hobbes buat pertama kali mengistilahkannya dalam Leviathan).

Memang, sebelum penemuan fizik kuantum, kalangan komuniti sains Barat percaya bahawa daerah fizik sudah beres dan lengkap, di mana menurut mereka setiap tabii alam ini telah mematuhi prinsip kebersebaban dan segala-galanya bersifat tentuisme. Namun, kepercayaan ini ternyata tidak tekal setelah Heisenberg membentangkan Prinsip Ketakpastiannya pada awal kurun ke-20 yang jelas membentangkan percanggahan dengan kepercayaan sebelumnya.

Di samping itu juga, fahaman alatisme yang menafikan pertimbangan terhadap keunsuran lain di sebalik pembuktian matematik, turut tidak lagi relevan untuk disesuaikan dengan fizik kuantum. Ini kerana, dalam fizik Newton ia hanya berminat untuk mengetahui persoalan 'mengapa' dan 'kuantiti', bukannya persoalan 'bagaimana' dan 'kualiti'.

Namun, menerusi fizik kuantum, ia telah yang membuktikan perkara yang sebaliknya lantaran kegagalannya untuk menghuraikan secara matematik bagaimana berlakunya keruntuhan fungsi gelombang sepertimana yang dianuti kalangan Copenhangenisme. Lebih naif lagi, fizik kuantum sekadar membuktikan tingkat-tingkat tenaga sahaja, bukannya magnitud tenaga pada keadaan-keadaan tertentu.

Demikian juga pengaruh fahaman turunisme yang menjadi citra kepada fizik Newton. Falsafah ini juga dikatakan antara yang boleh dibahaskan kembali ekoran pandangan holistik yang dikemukakan oleh David Bohm dalam magnum opus-nya, Wholeness and the Implicate Order.

Dalam karya tersebut, Bohm menyatakan bahawa teknik yang mahu menurunkan alam tabii ini kepada zarah-zarah tertentu secara atomistik sudah tidak lagi dapat diiktiraf. Ini memandangkan semua pecahan alam tabii didapati mempunyai jalinan akrab antara satu sama lain. Malah, Bohm turut mengemukakan idea tatanan yang tersurat dan tatanan yang tersirat bagi memberi gambaran yang tuntas terhadap kelemahan fahaman turunisme ini.

Maka, bertitik-tolak dari pemaparan ini, jelas membuktikan bahawa terdapatnya idea mengkal dan wacana yang masih belum selesai dalam displin fizik. Justeru, komuniti sains harus prihatin, bahawa wacana falsafah dalam fizik tidak seharusnya ditoleh secara sinis. Sebaliknya, falsafah wajar sekali diizinkan untuknya meneroka kebenaran abadi, meskipun dalam daerah 'musuhnya' sendiri!

Himpunan Siri Ini:
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (6/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (5/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (4/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (3/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (2/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (1/6)

Friday, February 16, 2007

Kontroversi Einstein (1)

Pendahuluan

Tahun 2005 sebelum ini, kalangan komuniti sains baru saja meraikan Annus Mirabilis bersempena pencapaian menakjubkan Albert Einstein (1879-1955) pada sekurun yang lalu. Serentak pada tahun yang turut digelar wunderjahr tersebut, terdapat empat makalah Einstein yang termuat dalam Annalen der Physik dicanangkan sebagai memberikan dampak revolusioner terhadap perkembangan fizik moden. Ini termasuklah makalah mengenai (1) kesan fotoelektrik, (2) gerakan Brownian, (3) teori kenisbian khas, dan (4) kesetaraan antara jirim dan tenaga.

Bahkan, lebih jauh lagi, salah satu daripada makalahnya tersebut, iaitu tentang kesan fotoelektrik, kemudiannya telah mengiring Einstein ke pentas penganugerahan Nobel pada tahun 1921. Walau bagaimanapun, ironinya penemuan mashyur Einstein tentang Teori Kenisbian Khasnya mahupun Teori Kenisbian Amnya (pada tahun 1915, hasil ubah-suai dari teori yang sebelumnya), sering saja gagal menarik persetujuan serta kesepakatan kalangan jawantankuasa penganugerahan Nobel, meskipun ia kerapkali dicalonkan.

(Dikatakan, salah satu faktor yang menghalang penganugerahan Nobel tersebut ekoran majoriti ahli jawatankuasa pemilihan mahu mengelakkan diri mereka dari perdebatan terhadap kesahan teori tersebut. Meskipun begitu, anugerah Nobel untuk Einstein dirakamkan sebagai menghargai peranannya dalam menerangkan kesan fotoelektrik serta sumbangannya dalam bidang fizik teori).

Berbeza dengan Einstein dalam padanan budaya popular—yang sering dijajai serta disimbolkan—sebagai kemuncak kepada kepintaran manusia, sebaliknya catatan bersiri ini berusaha untuk menyelak beberapa sisi yang kurang diketahui, atau kurang enak didengar mengenai liku-liku akademik Einstein. Manakala, istilah kontroversi Einstein dipilih supaya tampak lebih adil dan tidak kelihatan berat sebelah berbanding dengan istilah mitos, meskipun kecenderungan tersebut tidak dapat dinafikan dengan mudah.

Sementara itu, intipati dan sentuhan tema kepada catatan bersiri ini dijangka akan menyingkap mengenai pengaruh ujikaji-ujikaji tertentu serta hasil-hasil penemuan terdahulu, maksudnya sebelum tahun ajaibnya Einstein itu lagi. Dan, menerusi singkapan ini, kita akan dipaparkan bagaimana ujikaji-ujikaji tersebut serta hasil-hasil penemuan oleh para ilmuan sebelumnya, dikatakan turut mempunyai beberapa persamaan dengan apa yang telah didakwa kepada kita sebagai suatu penemuan asli Einstein semata-mata.

Di samping itu juga, kita turut akan meneliti pengaruh serta propaganda mereka yang berada di sekitar Einstein, yang mana mereka ini disebut-sebut ada membantu Einstein sewaktu merumuskan makalah-makalahnya revolusionernya tersebut, selain mewar-warkan kecemerlangan penemuan hebatnya itu. Lantaran itu, catatan bersiri ini pastinya tidak dapat mengelak dari bakal menyentuh beberapa perkara yang pernah dianggap tabu tentang coretan sebenar kisah Einstein.

Walau bagaimanapun—yang lebih penting dari itu semua paparan tersebut—tujuan murni usaha ini adalah untuk mengkritik secebis pembinaan tamadun ilmu Barat, sembari membelek analisa sejarah serta tawaran struktur pengetahuan yang lebih bernas dari yang sebelumnya. Mungkin struktur pengetahuan alternatif ini bukan sahaja dapat digali dari tamadun ilmu Barat sendiri, tetapi juga boleh diteroka menerusi tradisi serta khazanah pengetahuan yang terhimpun dalam belahan dunia Islam.

Wednesday, February 14, 2007

Asim Orhan Barut: 1926-1994

Asim Orhan Barut merupakan seorang fizikawan dari didikan Eidgenossiche Technische Hochschule (ETH Zurich), sebuah institusi penyelidikan sains yang bergengsi di Eropah, malah sebaris dengan Max-Planck-Gesellschaft. Dilahirkan di Malatya, Turki, pada 6 Jun 1926 dari pasangan Sabit Asim dan Serife. Walau bagaimanapun, semenjak tahun 1962, Barut telah memilih untuk menjadi warganegara Amerika Syarikat—buminya untuk memperkembangkan karier akademik yang cemerlang.

Sebagai seorang fizikawan, Barut memang dikenali sebagai antara yang cerdas dan berbakat, selain turut menampilkan acuan personaliti yang menarik. Di satu sisi yang lain, Barut sebagai pengajar pula—hanya berbekalkan sebuah papan hitam dan kapur tulis—telah memaparkan penguasaannya terhadap ragam cakupan pengetahuan fizik yang sangat luas; dari klasik hinggalah kuantum, sehingga memukau banyak pelajarnya. Kebitaraan yang terhimpun dalam diri Barut memang pantas mengesahkannya sebagai seorang ilmuan komited.

Setelah dua tahun memperoleh PhD di ETH Zurich, tahun 1954 Barut memilih untuk mengahwini Pierrette Gervaz, yang mana kemudiannya mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata; Turan, Suzan dan Sibel. Sementara, dalam waktu yang sama, aktiviti penyelidikan beliau terus rancak hingga meliputi beberapa universiti dalam pelbagai kedudukan; University of Chicago (1953), Reed College (1954), Syracuse University (1956-1961), dan University of Colorado (1962-1994)

Seriusnya penglibatan dalam penyelidikan fizik telah dibuktikan oleh Barut menerusi hasil kerja akademiknya. Sepanjang hayatnya, Barut telah menyiarkan 500 makalah dalam beragam jurnal, mengarang enam buah buku, di samping terlibat sebagai editor menerusi 25 buah buku Ini termasuklah, Theory of the Scattering Matrix, Electrodynamics and Classical Theory of Particles and Fields, dan magnum opusnya, Representations of Noncompact Groups and Applications (bersama-sama R. Raczka).

Di tahun-tahun terakhir kehidupannya, iaitu pada tahun 1991, Barut telah dianugerahkan pingat Age of Sciences dari Kerajaan Turki sebagai menghargai sumbangan signifikannya dalam perkembangan dalam fizik moden, terutamanya dalam memprakasai teori medan kuantum dan elektrodinamik kuantum (QED). Namun, sayangnya, di Denver pada tahun 1994, secara tiba-tiba Barut telah pergi sebelum sempat melihat International Centre for Physics and Mathematics, di ICTP Itali yang baru dipimpinnya itu berkembang.

Selamat Asim Orhan Barut! Selamat atas rumusan fizik kuantum anda yang telah membantu menjelaskan dengan lugas mengenai ujikaji bagi peristiwa berulang, dan ujikaji bagi peristiwa tunggal—suatu gagasan awal yang cuba mengungkapkan perbezaan konsep kebarangkalian antara banyak zarah dan sebutir zarah. Memang, kiranya dua konsep ini dapat dicerakin dan ditentuistikkan suatu waktu nanti, tentunya fizik kuantum tidak lagi kelihatan jengkel oleh kalangan Einsteinan.

Sunday, February 11, 2007

Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (3/6)

Di manakah metafiziknya fizik kuantum?

Kini, sampailah kita kepada pertanyaan, di manakah metafiziknya fizik kuantum itu? Bagaimana dalam tema ini, wacana fizik boleh beralih kepada wacana metafizik? Justeru, adalah elok sekiranya kita terlebih dahulu mendefinisikan apa itu metafizik?

Secara umumnya, metafizik merupakan suatu istilah yang merujuk kepada kegagalan kita untuk menerangkan sesuatu fenomena yang berlaku secara secara emperikal, mantik dan bersistem, yang mana kaedah ini telah menjadi asas kepada pembentukan sains moden sepertimana anjuran Francis Bacon. Dalam kata mudah, metafizik itu bermakna melampaui fizik.

Bertitik tolak dari sini definisi mudah inilah, Ian G. Barbour, seorang fizikawan-teologian menerusi bukunya, When Science Meets Religion: Enemies, Strangers or Partners? menyatakan bahawa penemuan fizik kuantum ini pada hakikatnya telah mengangkat dua perkara yang sangat akrab dengan wacana metafizik. Pertama, paradigma holistik, dan kedua penglibatan peranan pencerap.

Merujuk kepada rumusan holistik Barbour ini, ia akan menghubungkan kepada sifat agama yang universal. Hal ini lebih terkesan terutamanya jika kita menyemak konsep-konsep yang terdapat dalam agama-agama Ibrahimik, yang didapati mendukung kosmologi pada penciptaan alam semesta ini, sekaligus mengesahkan kedaulatan Tuhan.

Beransur dari itu, sekarang cuba kita bandingkan konsep tersebut terhadap prinsip ketakpastian Heisenberg. Menurut Heisenberg, seseorang pencerap tidak akan dapat menentukan halaju dan kedudukan setiap zarah (objek) yang dicerap secara serentak. Ini berlaku ekoran gangguan mekanisme penyukatan (cahaya), yang sekaligus menunjukkan kerawakan pergerakan zarah (elektron) sukar untuk kita ditentukan magnitudnya.

Maka, timbullah persoalan, bagaimanakah keadaan ini boleh berlaku? Apa hubungannya dengan agama? Lantaran kegagalan ujikaji ini untuk menjelaskan fenomena ini secara saintifik, maka kita terpaksa menghubungkan kembali pengaruh metafizik yang terhimpun dalam agama dan mana-mana kepercayaan tradisi.

Justeru, tidak hairan jika kita melihat wujudnya kecenderungan di kalangan fizikawan untuk menyelesaikan ketidaklengkapan fizik kuantum dengan menoleh kepada pengalaman agama, sepertimana yang banyak dilakukan oleh fizikawan muslim. Malah, terdapat juga sebahagian fizikawan Barat sendiri yang berusaha meneroka mistisme timur bagi mencari jawapan, seperti yang diusahakan oleh Gary Zukav, Fritjof Capra, Michel Talbot, dll.

Kemudian, persoalan seterusnya, bagaimanakah peranan pencerap boleh memunculkan persoalan metafizik dalam fizik kuantum? Seperti yang telah ditemui dan diterangkan oleh Louis de Broglie, salah satu dilema dalam fizik kuantum ialah untuk menentukan sesuatu objek yang dicerap itu sama ada bersifat zarah atau bersifat gelombang.

Ini kerana, dalam fizik kuantum objek cerapan yang sama boleh bersifat zarah atau bersifat gelombang dalam waktu yang berbeza. Bermuara dari dilema inilah, John A. Wheeler—seorang fizikawan yang berjiwa penyair itu—menyatakan bahawa si penceraplah yang seharusnya menentukan, malah menciptakan rupa bentuk alam semesta ini.

Bersandarkan kepada kenyataan Wheeler ini, kita dapat memerhatikan bagaimana sains moden yang mendukung emperisme kini digugat oleh kegagalan pencerap dalam ujikaji fizik kuantum bagi menentukan sifat objek yang sedang dicerap. Walhal, hal sedemikian tidak pernah berlaku dalam fizik Newton. Maka, bukankah dari apa yang dirumuskan de Broglie dan Wheeler ini lantas membuktikan wujudnya dimensi metafizik dalam fizik kuantum itu sendiri?

Malah, pandangan Morris Berman dalam The Reenchantment of The World tidak kurang menarik untuk dipertimbangkan. Menurut Berman, kesedaran kitalah (yakni perilaku fikiran kita) merupakan sebahagian daripada elemen yang menentukan hasil ujikaji dalam fizik kuantum.

Ini bermakna, terserah kepada kehendak kita, bagaimana mahu menerangkan sifat sesuatu objek yang sedang dicerap, sama ada ia bersifat zarah atau ia bersifat gelombang. Jadi, bukankah dengan memasukkan pengaruh kesedaran menyebabkan kita terpaksa mempertimbangkan aspek-aspek metafizik dalam ujikaji fizik kuantum tersebut?

Malah, seperti yang cuba diswatekalkan oleh Roger Penrose dan kalangannya, kesedaran itu sendiri merupakan suatu wilayah metafizik. Sebaliknya, dalam fizik Newton sebelum ini, mereka awal-awal lagi sudah menolak pengaruh kesedaran dalam ujikaji seolah-olah ia merupakan terra incognita. Akhirnya ternyata, dakwaan ini bertentangan sama sekali dengan penemuan fizik kuantum!

Himpunan Siri Ini:
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (6/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (5/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (4/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (3/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (2/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (1/6)

Saturday, February 10, 2007

Adiós Villarreal



Jose Pakerman pernah berujar, ”jika dilahirkan Brazil, Riquelme tentunya dikenali sebagai Riquelminho. Dan, Riquelminho ini akan menjadi pemain terbaik di dunia.” Manakala, Arsene Wenger melukiskan, ”Riquelme mampu untuk memperlahankan permainan, sambil menunggu waktu yang sesuai untuk membunuh kamu.”

Sementara, Jorge Valdano pula menyatakan, “jika kita mahu merentasi dari titik A ke titik B, kebanyakan daripada kita memilih lebuhraya enam laluan dan sampai ke titik B sepantas yang mungkin. Namun, Riquelme sebaliknya akan memilih untuk menikmati permandangan dan keindahan alam terlebih dahulu, sehingga ia akan mengambil masa yang lebih panjang dari yang sepatutnya.”

Kira-kira begitu catatan dari ungkapan beberapa pemuka bolasepak—setakat yang masih saya ingat—ketika mereka mahu melakarkan cirian permainan Juan Roman Riquelme. Kini, buat sementara, The Lazy Magician ini akhirnya memilih untuk kembali ke Boca Juniors, di saat kedudukan Villarreal kian merudum (klik di sini)!

Saya tahu, meminati pemain seklasik (dan, seperlahan) Riquelme bukanlah pilihan yang popular. Malah, Riquelme jauh sekali dari citarasa Cristiano Ronaldo mahupun Ronaldinho. Namun, entah mengapa saya sentiasa merasa puas setiap kali dapat menonton persembahan individualistiknya di La Liga; sama kepuasannya juga seperti menonton Nicolas Anelka ataupun Arsenal.

Apapun Riquelme, ingat, jangan lupa untuk kembali berseragam El Submarino Amarillo!

Friday, February 9, 2007

Rafflesia in Bloom

Anda mahu menikmati Rafflesia? Silakan kelih ke blog rafflesia-in-bloom. Kamaruddin Mat-Salleh, kini professor, tampaknya turut tidak ketinggalan untuk memiliki blog, sejajar dengan trend waktu kini. Namun, bitaranya dengan kebanyakan blog-blog lain (di Malaysia?), rafflesia-in-bloom tidak lokek untuk memuatkan perkembangan penyelidikannya. Jadi, kini masyarakat bisa berkongsi terus hasil-mahsul daripada penyelidikan universiti. Oh ya, Pak Din—sapaan lazim para pelajar terhadapnya—sebelum ini merupakan guru matapelajaran (pilihan) Etnobotani saya sewaktu prasiswazah. Kuliahnya santai, tapi meriah!

Ayuh pensyarah lain, mana blog anda pula? :-)

Thursday, February 8, 2007

Sekilas Sejarah Falsafah (3)

Tentang Perubahan
Sebahagian Catatan Kuliah Prof. Dr. Abdul Latif Samian 2006

Falsafah merupakan aktiviti berfikir yang bertujuan untuk mencari kebenaran. Secara bersistematiknya, terdapat beberapa cabangannya yang menjadi akar kepada aktiviti falsafah tersebut. Salah satunya ialah epistemologi, iaitu suatu sistem atau struktur tentang pengetahuan.

Dalam sebutan mudah, episteme membawa makna pengetahuan, manakala logi membawa makna mantik atau dalam istilah yang berbeza, rasional. (Sebaliknya, lawan kepada episteme ialah doxa, yang membawa makna agak-agak, atau ragu-ragu). Selain epistemologi, dalam falsafah terhimpun beberapa cabangannya yang lain. Ini termasuklah metafizik, yang mengiring erti melampaui fizik, ataupun kegagalan kita untuk menerangkan sebarang telatah alam menerusi cerapan inderawi.

Selain itu, etika juga merupakan sebahagian daripada cabangan falsafah yang sedang dibincangkan. Antara persoalan yang boleh ditimbulkan menerusi etika ialah, apakah itu kelakuan baik itu? Atau, apakah sebenarnya kelakuan baik itu? Kemudian, ekstatika juga begitu. Di sini, ekstatika mengundang pertanyaan tentang nilai kecantikan atau keindahan. Sementara, cabangan falsafah yang terakhir ialah mantik, iaitu apakah hakikat kepada penaakulan yang sebenarnya?

Harus disedari, falsafah bukanlah aktiviti manusia moden semata-mata. Malah, dalam Tamadun Yunani, kita sudahpun diperlihatkan bagaimana para pemikirnya menaruh berminat, lebih-lebih dalam usaha untuk memahami persoalan being (sesuatu yang telah ada). Bagi pemikir Yunani ketika itu, persoalan being adalah lebih penting berbanding persoalan becoming (sesuatu yang belum jadi, sedang jadi, dalam proses, atau sesuatu yang akan jadi begitu), kerana persoalan ini akan melibatkan perbincangan tentang perubahan, sesuatu tema yang dianggap mereka sebagai asas dalam kehidupan.

Perubahan Menurut Heraclitus

Kita boleh menyemak beberapa pandangan para pemikir Yunani tentang perubahan. Antara yang patut dicatatkan ialah pandangan Heraclitus (500SM). Di sini, Heraclitus percaya bahawa tidak ada sesiapa yang boleh mengulangi perkara yang sama lebih dari sekali. Contoh yang dikemukakan oleh Heraclitus ialah sungai, di mana tidak ada sesiapa yang dapat meredah sungai yang sama lebih dari sekali. Hujah Heraclitus ialah, semua hal tentang alam akan sentiasa berubah, dan tidak mungkin ada dua detik yang sama.

Selain itu, seorang lagi pemikir Yunani yang membincangkan persoalan perubahan ialah Parmenides (475 SM). Walaupun tidak menekankan dengan sempurna—sepertimana penekankan yang dilakukan oleh Heraclitus—namun Parmenides menyakini bahawa sifat kepada kebenaran abadi ialah tidak berubah. Kerana, bagi Parmenides, yang berubah hanyalah kerana ketidaksempurnaan deria kita. Sehubungan dengan itu, Parmenides di sini telah menunjukkan perbezaan antara yang dicerap (yang sentiasa berubah) dengan hakikat kebenaran.

Walau bagaimanapun, Bapa Falsafah Greek, Sokrates (470-399 SM), tidak membincangkan soal tabii sebenar atau perubahan secara serius sepertimana para pemikir Yunani sebelum mahupun selepasnya. Sebaliknya, Sokrates dilihat lebih berminat berbicara soal cinta, kebenaran, keadilan, dan kecantikan, yang mana semuanya ini masih dalam lingkungan aktiviti kefalsafahan. Dan, bagi Sokrates, kebenaran sebenarnya adalah lebih tinggi dan mulia dari dunia seluruhnya, termasuklah jika mahu dibandingkan dengan nyawa sekalipun.

Perubahan Menurut Plato

Namun, tidak seperti muridnya yang terkenal. Plato (428-348SM) sebaliknya menerima idea perubahan seperti yang dikemukakan oleh Heraclitus. Plato, misalnya mengutarakan bahawa sebarang rasaan deria belum boleh dianggap sebagai suatu perasaan. Plato berhujah, bahawa sebarang rasaan adalah sesuatu yang relatif menurut si pencerap yang berbeza. Misalnya, apabila dua orang yang berbeza memasuki sebuah bilik, mereka berdua tentunya akan melakukan cerapan yang berlainan terhadap apa yang terdapat dalam bilik tersebut. Jadi, misalan ini samalah juga dengan hujah yang dikemukakan oleh Heraclitus.

Malah, dalam hujah tambahannya, Plato menyatakan bahawa oleh kerana semua berubah, maka kita pastinya tidak akan tahu tentang benda-benda yang sebenarnya. Kerana, bagi Plato lagi, pengetahuan sebenar mestilah abadi, serta tidak berubah sifatnya. Justeru, sifat tahu serta sifat tidak tahu pastinya tidak boleh bercampur dalam satu tempat yang sama, memandangkan setiap cerapan akan memberikan gambaran relatif. Jadi, lantaran itu Plato yakin dan percaya bahawa sebarang gambaran adalah tidak layak untuk dinamakan pengetahuan.

Memang, pengetahuan semestinya ada! Namun, tidak mungkin kita tahu sesuatu yang pada hakikatnya tidak ada. Kerana, hanya ciri-ciri keabadian serta tidak berubah sahaja yang boleh dipanggil pengetahuan, atau objek pengetahuan. Dalam istilah Plato, objek pengetahuan dinamakan bentuk (forms) dan idea (ideas). Dan, terdapat bentuk-bentuk tertentu bagi setiap kelas objek. Misalnya, kucing, manusia, kebaikan, rumah, kasut, itu semua mempunyai bentuk yang berbeza.

Untuk lebih jelas lagi, bayangkan dalam sebuah kuliah. Ketika sedang kuliah, kita akan mengetahui sekiranya tiba-tiba terdapat sesuatu objek yang memasukinya kuliah tersebut, sama ada berupa manusia atau sebaliknya. Maka, dari penilaian yang membezakan inilah bermulanya apa yang kita namakan sebagai pengetahuan. Kerana, tegas Plato dengan lebih menarik lagi, permulaan kepada tahu ialah, kita tahu yang kita tidak tahu.

Imej Menurut Plato

Dalam The Republic, Plato menjelaskan kewujudan yang paling bawah sekali adalah imej. Plato menegaskan demikian kerana imej baginya adalah bersifat lebih ringkas, tidak sempurna serta hasil dari khayalan. Sifat-sifat ini semua, tambah Plato lagi, merupakan aspek kognitif yang terendah, kerana objeknya hanyalah sebuah imej kepada sesuatu yang konkrit. Umpamanya, seperti imej kita yang kelihatan pada cermin dan air. Itu sebenarnya tidak real dan bukan hakikat sesuatu kebenaran. Sebab itu, dengan mempertimbangkan pandangan Plato, maka salah satu penyakit yang serius ialah jatuh cinta kepada imej, walhal imej bukannya yang sebenar-benarnya.

Sebab itu, Plato meletakkan imej pada tahap yang terendah sekali. Malah, haiwan pun tahu tentang imej. Umpamanya, kita dapat perhatikan bagaimana reaksi kambing ketika dihulurkan daun nangka atau daun sisik puyu, tentunya kambing tersebut menyambut dengan lahap sekali. Sebaliknya, bagaimana pula kita memberikannya sebuah komputer? Adakah kambing tersebut akan turut melahapnya? Jadi, ini pantas menunjukkan bahawa haiwan juga mengenal apa itu imej. Sebab itu, kalau kita membaca The Republic, Plato langsung tidak membubuhkan sebarang imej dalam karyanya tersebut. Malah, kalau kita terap pendekatan Plato ini, maka mana mungkin ada lukisan-lukisan yang bernilai jutaan ringgit.

Selain itu, nyata Plato lagi, kita seharusnya menetapkan keyakinan sewaktu melakukan setiap cerapan. Maknanya, kita seharusnya memastikan bahawa apa yang kita cerap itu adalah yang sebenar-benarnya, bukannya imej kepada benda yang kita cerap. Jadi, lanjut Plato lagi, ekoran dari usaha mencerap inilah, maka ia akan membawa kita aktiviti berfikir. Lantas, pengetahuan yang paling tinggi menurut hierarki Plato ialah hakikat kebenaran, serta kemudiannya matematik. Dan, menerusi hiererki pengetahuan yang tertinggi ini, percaya Plato, hanya boleh diraih menerusi pemikiran kefalsafahan sahaja. Selain daripada itu, bagi Plato, ia tidak mungkin!

Nah, tidakkah anjuran Plato ini sesuai dengan sebuah pesan agung, ”hiduplah dulu, maka kemudian berfalsafahlah”; primum vivere deinde philsophari!?

Himpunan Siri Ini:
Sekilas Sejarah Falsafah (3): Tentang Perubahan
Sekilas Sejarah Falsafah (2): Tentang Physis
Sekilas Sejarah Falsafah (1): Sejarah Sejagat

Sunday, February 4, 2007

Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (2/6)

Penerokaan fizik kuantum

Berkaitan falsafah kuantum, bidang ini dirangsang menerusi penemuan saintifik oleh sekumpulan fizikawan Barat, terutamanya dari kalangan fizikawan Jerman. Antara yang terawal meletakkan asas fizik ini ialah Max Planck melalui makalahnya pada tahun 1901. Di sini, Planck percaya bahawa dalam sesebuah jasad hitam, cahaya yang terpancar mahupun yang meresap sebenarnya berbentuk diskrit, bukannya selanjar sepertimana yang kental dipercayai oleh fizik Newton. (Meminjam sifat diskrit inilah, perkataan kuanta (ketul-ketulan) mula menjadi popular. Kemudian, setelah dijamakkannya maka lahirlah perkataan kuantum).

Walau bagaimanapun, penemuan revolusioner Planck ini pada peringkat awal tidak diberi perhatian, meskipun ideanya itu telah merombak perspektif Newtonian. Sambutan sepi dari kalangan komuniti sains ini berterusan, sehinggalah pada tahun 1905 Albert Einstein yang ketika itu bertugas sebagai pemeriksa paten di Berne julung kalinya menghargai aksiom serta postulat Planck tersebut menerusi ujikaji terhadap kesan fotoelektrik. Menariknya, melalui makalah Einstein yang termuat dalam Annalen der Physik itulah yang melengkapkan tahun ajaibnya, hingga membawanya ke anugerah Nobel Fizik pada tahun 1921.

Selepas itu, penyelidikan tentang sains Jerman (baca: fizik kuantum) ini mulai rancak. Ini dibuktikan sepanjang 30 tahun pertama pada abad ke-20, di mana banyak penemuan baru yang telah berjaya diteroka. Ini termasuklah menerusi penyelidikan yang diusahakan oleh Neils Bohr tentang teori spektra kuantum, Arthur Compton menerusi penyerakan foton oleh elektron, Wolfgang Pauli menerusi prinsip pengecualian, dan tidak ketinggalan juga Louis de Broglie menerusi penjelasannya tentang gelombang zarah.

Malah, keghairahan terhadap fizik kuantum ini diteruskan lagi oleh Erwin Schrödinger dengan rumusan persamaan gelombang, manakala Werner Heisenberg pula mengemukakan prinsip ketakpastian, dan Davisson & Germer melakukan ujikaji mengenai kegelombangan zarah elektron, sebelum Max Born pada tahun 1927 menafsirkan fungsi gelombang.

Menerusi kegigihan yang diserlahkan oleh fizikawan kuantum dalam tiga dekad terawal inilah, William H. Cooper dalam The Quantum Physicist menyifatkan detik tersebut sebagai 30 tahun yang sangat heroik buat dunia sains! Buktinya, kesemua fizikawan yang dinyatakan tersebut akhirnya meraih anugerah Nobel atas sumbangan masing-masing. Itulah episod bersejarah bagaimana kemunculan dan awal pengukuhan salah satu bidang fizik moden ini (selain fizik kuantum, fizik kenisbian turut dianggap sebahagian dari bidang fizik moden, yang mula-mula sekali diperkenalkan oleh Einstein, menerusi makalah On the Electrodynamics of Moving Bodies).

Walau bagaimanapun, arus revolusi fizik ini masih belum terhenti setakat itu. Ini kerana, fizikawan kuantum masih lagi gagal untuk menerangkan hasil cerapan ujikaji yang di dapati mempunyai ciri-ciri tidak mantik, bersifat kedualan gelombang-zarah, serta tak-tentuisme. Malah, semua sifat-sifat ini kemudiannya di dapati telah berseberangan dengan pencirian fizik Newton yang selama ini kuat dipercayai oleh komuniti sains. Maka, usaha untuk memberi tafsiran terhadap fizik kuantum mula dibahaskan, terutamanya selepas 1930-an. Neils Bohr, yang pintar berbahas itu, umpamanya adalah antara mereka yang terawal memimpin perbincangan ini sehingga melahirkan mazhab Copenhagennya

Selain mazhab Copenhagen yang dipimpin oleh Bohr tersebut, banyak lagi tafsiran-tafsiran yang lain yang telah dikemukakan untuk menjelaskan tentang fenomena fizik kuantum ini. Dan, antara tafsiran yang memberi saingan kepada Copenhangen ialah tafsiran Banyak Alam yang diperkenalkan oleh Hugh Everett III sebelum diperkemaskan oleh John A. Wheeler, tafsiran Bohm yang holisme, teorem ketaksamaan Bell, tafsiran Kochen, tafsiran Healey, dll. Malah, penafsiran tunggal tidak pernah diselesaikan, sampai kini sekalipun!

Di satu sisi yang lain, Einstein dan sekelompok kecil fizikawan lain memilih untuk menolak fizik kuantum kerana sifatnya yang tak-tentuisme serta kegagalannya untuk mematuhi prinsip kebersebaban. Pada tahun 1935, menerusi jurnal The Physical Review, bangkangan Einstein—bersama-sama Boris Padolsky dan Nathan Rosen—dibentangkan menerusi makalah mashyurnya yang bertema, Can Quantum-Mechanical Description of Physical Reality be Considered Complete. Dalam makalah EPRnya tersebut, mereka bertiga memberikan formulasi yang tajam untuk memaparkan paradoks serta betapa tidak lengkapnya fizik kuantum seperti saranan Copenhagenisme.

Himpunan Siri Ini:
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (6/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (5/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (4/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (3/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (2/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (1/6)

Friday, February 2, 2007

Fatimah adalah Fatimah

Ini adalah kali kedua saya membaca buku Ali Shari’ati tentang Fatimah Az-Zahra’, yang mana karya asalnya dalam Inggeris bertema Fatima is Fatima. Seperti bacaan pertama, bacaan kedua turut deras seumpama membaca novel. Dan, bagai yang dijangka, setelah mengulang baca, saya menyedari betapa sarat pengetahuan dalam bacaan pertama yang sudah tercicir. Apatah lagi, jika sela bacaan begitu ketara sekali. Malah, seingat saya, buku Fatimah: Kisah Perjuangan Puteri Rasulullah terjemahan Dr. Wan Manan Wan Muda ini adalah antara buku terawal nukilan Shari’ati yang saya miliki dan baca.

(Bertuahnya, menerusi sumbangan buku-buku Shari’ati jugalah—termasuk dari buku ini—saya mula berkenalan dengan beberapa buku lain yang pernah diteroka oleh Shari’ati seperti karya-karya Frantz Fanon, Jean-Paul Sartre, Alexis Carrel, Jalal-e Ahmad, Louis Massignon, dll).

Sebenarnya, buku terbitan Ikraq (1993) ini dibaca kembali dengan hasrat untuk mempermudahkan wawancara saya tentang Ali Shari’ati bersama Dr. Wan Manan Wan Muda, akademia USM. Asalnya, buku yang terpisah menerusi dua bahagian ini merupakan himpunan ceramah Shari’ati yang disampaikan di Husayniyyah Irsyad pada tahun 1971, dan rakamannya banyak didasarkan kepada teks-teks Sunni. Di samping itu, ketika awal-awal membaca buku ini, Shari’ati sudah menekankan kesukarannya untuk menyentuh soal Fatimah. Saya duga, perasaan Shari’ati sewaktu menyampaikan ceramahnya ini sungguh berat, kerana apa yang bakal diucapkannya nanti adalah melibatkan citra yang sangat istimewa sekali dalam cantuman sejarah Islam. Namun, di akhir buku ini, ternyata Shari’ati kelihatan berjaya mencoretkan prestasi Fatimah sebagai citra wanita agung yang pernah tercatat dalam sejarah dunia!

Sebelum membuka bicara tentang Fatimah, Shari’ati terlebih dahulu telah menarik kita untuk menyemak kembali bagaimana perjuangan suci sering dimanipulasikan kalangan penguasa zalim dalam sejarah Islam. Di sini, Shari’ati memaparkan bagaimana berlakunya pengaruh politik atas nama Islam dalam pengalaman beberapa khalifah. Ini termasuklah dalam pengalaman Umayyah, Abbasiyyah, Khan, Turki, Tazi, Mongol, dll. Menurut Shari’ati, sewaktu sebahagian besar pemerintahan mereka inilah, slogan-slogan yang identik dengan Islam kerap dikumandangkan oleh institusi-institusi khalifah ini semata-mata dengan niat untuk mempertahankan legitimasi politik mereka.

Saya menyedari, apa yang ditegaskan oleh Shari’ati ini merupakan kalimat lazimnya. Kerana Shari’ati dalam banyak kesempatan (iaitu dalam buku-bukunya yang lain) memang kelihatan bersikap dialektik dalam melukiskan perspektifnya. Umpamanya Shari’ati pernah mewar-warkan Islam antara dua pilihan; Islam Abu Dharr (al-Ghiffari) atau Islam Marwan (b. Affan). Masih tidak cukup dengan itu, gaya pemikiran Shari’ati seperti ini turut terserlah semasanya membahas pertentangan antara Shi’ah Alavi dan Shi’ah Safavid, di mana satu adalah Shi’ah Merah sementara satu lagi adalah Shi’ah Hitam! Apa yang dirumuskan oleh Shari’ati ini—kalau kita lihat dalam pengalaman Islam—adalah sangat dekat dengan dialektika mustadh’afeen dan mustakbireen. Bermakna, Islam Abu Dharr dan Shi'ah Alavi punya konotasi dalam mewakili perjuangan mustadh’afeen, dan begitulah juga sebaliknya.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan-keadaan tertentu, tidak dinafikan memang terdapat perbezaan dalam bingkai pemikiran Shari’ati ini. Saya masih ingat, dalam On the Sociology of Islam, Shari’ati pernah membariskan tiga jalur dari kesucian Islam; Islam aksi, Islam intelektual dan Islam sufi. Lantas, nama tiga Husayn ditampilkan sebagai perwakilan ketiga-tiga jalur Islam tersebut; Husayn Ali Abi Thalib, Husayn Ibn Sina, Husayn Mansur al-Hallaj. Begitu juga dalam Martyrdom: Arise and Bear Witness, Shari’ati dengan lantang pernah menyatakan bahawa hanya ada tiga jalan dalam kehidupan iaitu, ”mereka yang gugur laksana Husayn, manakala yang hidup harus mengalas tugas Zaynab, dan selain dari keduanya mereka adalah sekutu Yazid.” Apapun berkenaan pembahagian Shari’ati ini, saya kira tiga jalur yang dimaksudkannya tersebut hakikatnya merujuk kepada konteks-konteks yang berlainan berbanding dialektika yang dikupas sebelumnya.

Kembali kepada buku ini, Shari’ati turut mempertanyakan tentang peranan yang digerakkan oleh ulama’ dalam mengangkat martabat agama. Rentetan itu, Shari’ati mempersoalkan keupayaan pekakas keagamaan yang terhimpun dalam tradisi Shi’ah, seperti Husayniyyah, Tekiyeh, Heyat, Dasteh dan Khums dalam jihad menentang kelaparan demi meninggikan harakat agama. Bagi Shari’ati semua pekakas keagamaan ini yang sewajarnya berfungsi untuk membantu kebangkitan agama, sebaliknya cenderung menjadi ritual semata-mata, di mana perjuangan abadi menentang kemiskinan tetap belum terlaksana. Jadi, sepertinya di sini Shari’ati seolah-olah bersoal, apa gunanya pekakas keagamaan tersebut? (Kritikan yang dilemparkan oleh Shari’ati ini persis dengan kritikannya terhadap amalan Taqeyyah di kalangan ulama Shi’ah tradisionalis, sepertimana yang didakwa oleh Allamah Majlisi bahawa ia dilakukan dengan tujuan untuk mengelak tirani penguasa).

Dalam satu analisa yang lain, Shari’ati turut mengariskan tiga kaedah islah yang sering berlaku dalam sejarah. Pertama, konservatisme, kedua refomisme dan ketiga revolusionerisme. Namun, ketika peluang untuk melaksanakan perubahan berada pada tangan Nabi, bukannya kaedah kaku atau sehala yang menjadi pilihan. Dan, sembari memberikan acara Haji sebagai contoh, Shari’ati menyatakan bahawa perubahan yang dipimpin oleh Nabi hanyalah bersifat revolusionerisme dalam soal pemikiran, sebaliknya wadah zaman jahiliyyahnya masih tetap dikekalkan. Dan, bertolak dari analisa inilah, Robert D. Lee dalam bukunya, Overcoming Tradition and Modernity: The Search for Islamic Authenticity (1997), menyifatkan pemikiran Shari’ati tersebut sebagai suatu pendekatan ke arah mencari Islam yang asli.

Sebelum menyentuh soal Fatimah secara serius, Shari’ati mengajak kita untuk menghimbau kembali sejarah pra-Islam dan pasca-Islam dalam melayani wanita. Malah, Shari’ati turut memperkenalkan beberapa wanita dalam tradisi bukan Islam yang didapatinya tersisih dari pengamatan kita. Ini termasuklah, De La Vida, Du La Chappelle, Marie Curie, dll. Saya yakin dan percaya, tujuan Shari’ati menampilkan wanita bukan Islam tapi punya hati yang luhur ini adalah untuk membandingkannya dengan Fatimah nanti. Seagung manakah Fatimah itu? Kerana, menurut Shari’ati yang istimewanya Fatimah berbanding wanita-wanita lain ekoran ragam dimensinya. Dan, nyata sekali, dimensi Fatimah dalam paparan Shari’ati luas rangkumannya; sebagai seorang puteri kepada Rasulullah, sebagai seorang isteri kepada Ali Abi Thalib, sebagai seorang ibu kepada warisan ahlul bayt, dan sebagai seorang pejuang wanita yang mengugat zeitgeist, bahkan turut dianggap sebagai lambang abadi untuk wanita.

Bagi Shari’ati, inilah yang uniknya Fatimah! Keunikan Fatimah kerana lingkungannya. Di sekeliling Fatimah, terdapat nama-nama besar yang terlekat dalam sebuah keluarga ulung. Bayangkan, kata Shari’ati, tidak pernah ada agama, sejarah atau negara yang mencatatkan keluarga seperti ini, sebuah keluarga yang bapanya ialah Ali, ibunya adalah Fatimah dan anak-anak mereka adalah Hassan, Husayn, Zaynab. Dan, luar biasanya, dalam keluarga inilah tersematnya keagungan serta keikhlasan cinta, di mana darah-darah sepanjang zaman disembahkan hanya untuk sebuah keluarga yang pernah diam di pinggir Ka’abah, bersebelahan dengan teratak Rasulullah ini.

Memang, kisah Fatimah yang ditonjolkan oleh Shari’ati tentang Fatimah sebahagiannya berbeza dengan kepercayaan Sunni kita. Namun begitu, mempersonanya buku ini, Shari’ati tidak lupa melampirkan definisi Shi’ah yang bagi saya membawa erti cukup menyegarkan. Lebih dari itu, saya sendiri—dari kacamata manusiawi—tidak melihat sebarang pertindihan dengan beberapa keyakinan dalam tradisi sekitaran kita. Di sini, Shari’ati mengambarkan Shi’ah sebagai tempat di mana cinta, kegigihan, darah dan kesyahidan lahir. Pada Shari’ati, Shi’ah adalah pusat kegeloraan, perasaan yang membakar, dan dalam waktu yang sama, ia meliputi keruhanian dan kebijaksanaan. Ia juga merangkumi ilmu budaya dan intelektual. Di samping itu, ia adalah gerakan utama pemikiran revolusioner dan sebuah kebetulan dalam nasib manusia. Shi’ah, bagi Shari’ati lagi, adalah pengetahuan cinta dan kebenaran atas nama dan sifat Ali. Ini kerana, kebenaran tanpa ibadat adalah falsafah dan ilmu, dan ibadah tanpa kebenaran adalah penyembahan dan nafsu.

Benar, inilah yang menawannya! Menerusi definisi yang dilakarkan oleh Shari’ati ini, kita lihat bagaimana Fatimah yang dibicarakan hampir segenap buku ini telah menepati kepada apa dimaksudkannya; secara revolusionier membawa manifestasi perjuangan Fatimah kepada perjuangan rakyat! (Ternyata benar, antara kelebihan Shari’ati seperti inilah yang dihargai oleh Olivier Roy dalam The Failure of Political Islam (1996) ekoran kecerdasannya dalam menyesuaikan tema-tema klasik Shi’ah dengan kesedaran gerakan revolusioner). Didukung dengan retorikanya, Shari’ati dengan penuh bersemangat mengajak kita untuk membelek naratif yang seterusnya, sehingga kepada kesimpulan anggunnya. Dan, kesimpulannya harus diingat, bahawa kunci kepada kefahaman yang diperolehi menerusi buku ini bukannya terletak kepada peningkatan penguasaan kita terhadap sejarah hidup Fatimah, tetapi adalah lebih dari itu. Malah, tidak memadai juga untuk kita mengaku memahami Fatimah hanya dengan mempercayai wujudnya Fatimah dalam dimensi-dimensi yang terungkap.

Lantaran, lebih bermakna dari itu semua yang diungkapkan itu, Fatimah seperti mana yang dipotretkan oleh Shari’ati adalah gambaran satu nilai yang sejajar dengan sebuah agama; Islam! Dan, pendeknya juga, Fatimah itu bersifat khas, sendirian, namun dalam waktu yang sebentar sempat punya gugusan keistimewaan yang agung di mata Nabi, malah melebihi keistimewaannya sendiri sebagai Ummu Abiha!

Thursday, February 1, 2007

Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (1/6)

Pendahuluan

Istilah falsafah kuantum bermuasal dari rangkuman dua perkataan; falsafah dan kuantum. Sehubungan dengan itu, mendefinisikan dua perkataan ini terlebih dahulu merupakan langkah awal yang baik sebelum kita menjelajah dinamika falsafah kuantum dari fizik ke metafizik.

Fizik kuantum, atau juga turut dikenali sebagai mekanik kuantum, merupakan suatu penyelidikan sains fizik yang melibatkan lelaran antara jirim-jirim yang wujud dalam alam semesta. Dalam ungkapan mudah, fizik kuantum merupakan penyelidikan terhadap zarah-zarah yang terdapat dalam alam mikroskopik. Sementara, falsafah dalam kata aslinya ialah philosophia pula merupakan kata majmuk dari philo dan sophia. Di sini, philo mendekati makna cinta, manakala Sophia merujuk kepada kebijaksanaan atau kebenaran.

Maka, apabila mendekatkan dan membicarakan istilah falsafah kuantum, ia sendiri dianggap sebagai subset kepada perbincangan yang terangkum dalam ruang lingkup wacana falsafah sains. Sepertimana yang tercatat dalam catatan sejarah, falsafah sains sebenarnya telah lama dibincangkan, bahkan ketika zaman sebelum Sokrates lagi, iaitu dalam Tamadun Greek. Hal ini boleh kita tinjau menerusi perbahasan tentang alam tabii yang pernah diungkapkan oleh Thales, Dimokritos, Pitagoras, dan Aristotles.

Di samping itu, selain daripada falsafah, terdapat dua lagi induk pengetahuan yang saling bersaing, iaitu sains dan agama. Maka, daripada rangkaian sains, agama, dan falsafah inilah, ketiga-tiga domain ini sering berlumba-lumba untuk menarik perhatian serta pengaruh manusia hingga dewasa ini.

Himpunan Siri Ini:
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (6/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (5/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (4/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (3/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (2/6)
Falsafah Kuantum: Dari Fizik Ke Metafizik (1/6)