www.flickr.com
Showing posts with label Kampus. Show all posts
Showing posts with label Kampus. Show all posts

Wednesday, January 28, 2009

Akademia

Dewasa ini, hukum di universiti kita, “yang terbaik adalah statik.”

Biarpun universiti itu “menara gading”—tanda kemuncak kelimuan—tapi yang sebenarnya bukan begitu. Sudah berapa banyak senat universiti memashyurkan taraf keprofessoran dan melahirkan lambakan akademia, tapi kebanyakan darinya hanyalah mempertahankan malar pengetahuan tertinggi yang pernah diperolehnya sebelum itu.

Dalam martabat pendidikan universiti, sudah tentu tingkat yang tertinggi adalah ijazah kedoktoran. Apatah lagi, kita belum ada budaya pasca-kedoktoran, malahan budaya penyelidikan pun agak baru. Justeru, usah hairan sekiranya ada kalangan akademia kita hanya geger soal yang serupa saja selama pulohan tahun perkhidmatannya di universiti. Hakikatnya, kebanyakan mereka ini takkan membaca lebih berat dari apa yang berkait dengan bidangnya yang mikro itu.

Semak saja beberapa contoh. Barangkali konteks Syarahan Perdana sebagai mithalan yang baik. Syarahan Perdana, atau Inaugural Lecture—sesuai dengan namanya—sepatutnya adalah sebuah syarahan yang hebat; sebuah syarahan yang ditunggu-tunggu. Sebaleknya, hari ini, syarahan yang dikatakan perdana itu sebenarnya tidaklah bermutu sangat, dan tidaklah ditunggu-tunggu pun.

Kalau benar-benar syarahan itu bertaraf perdana, seharusnya syarahan tersebut menjadi medan melontarkan suatu idea yang raksasa, serta cuba mengagaskan hubungan antara bidangnya dengan bidang-bidang yang lain. Hanya pendekatan demikian saja yang memberi makna kepada sebuah pengetahuan yang mementingkan kebelakaan (holistic), seperti yang kita faham dalam takrif kesempurnaan pendidikan. Tapi, kalau sekadar mengulang-semula beberan thesis PhD masing-masing, apa maknanya?

Ini belum disentuh lagi mutu kuliah-kuliah yang disampaikan di university. Rata-ratanya adalah amat mengecewakan. Kuliah yang menarik haruslah dinamik, dan menghiburkan, ibaratnya kuliah Richard Feynman yang menarik banyak kalangan untuk menghadhirinya. Lebih menarik lagi kalau dihimbau wibawa kuliah Ali Shariati di Universiti Mashhad, di mana penyampaiannya mampu menarik mahasiswa-mahasiswa di luar subjek kuliahnya.

Tapi, kuliah di universiti-universiti kita sekarang kebanyakannya sangat membosankan! Sungguhpun akademia tersebut sudah bertahun-tahun mengajar dalam bidang yang serupa, tapi sebenarnya hanya sedikit saja pengetahuan mereka yang bertumpuk dari semester ke semester.

Memang, kita menekuni kuliah tersebut barangkali akan merasa terpersona—dengan semangat serta gegaran kuliahnya. Hadhirin kuliah tersebut pasti akan merasa bertambah ilmu, jika kali pertama mendengarnya.

Tapi persoalannya, adakah ilmu para akademia tersebut turut bertambah, seandainya mereka hanya mengitar bahan-bahan yang sama saja setiap semester? Seorang akademia yang bagus sewajarnya, “boleh mengajar subjek yang sama, dengan bahan yang sentiasa berbeza, sesuai dengan bergulirnya semester.” Inilah jiwa seorang akademia yang dinamik!

Namun, apa yang bagusnya akademia kita, jika ada siswa yang ingin berbeza idea, mereka sudah melenting?

Sebab itu kita merasakan universiti jauh dari tingkat untuk mencapai piawai yang terpuji. Tampaknya, universiti kita yang tercermin hari ini bukan lagi ukiran keilmuan, tapi adalah gedung untuk menebalkan lagi keimanan—tanpa kritis—pada status quo. Tatkala sistem atasan mahukan dasar baru, bingkas saja universiti dan akademia-akademia palsu ini menyambutnya—tanpa bantah, senyap, dan kadang-kadang tidak mahu berfikir. Inilah akademia ketuanan!

Sebab itu, para akademia kita sudah banyak yang terhakis daya pengaryaannya. Mereka kebanyakannya sudah kontang idea. Mereka tidak lagi menerjemah, semata-mata itu tiada indeks dalam Key Performance Indicators (KPI) universiti. Malah, untuk membina silibus pengajian baru pun bukan main resah lagi. Kalau sekadar mempertahankan haktula (stereotype) dan tradisi silibus, itu adalah terlalu mudah, dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang akademia yang terpandang.

Seorang akademia terpandang, harus membina wibawa sendiri. Bahkan, sebolehnya bentuklah mazhab yang kukuh dalam ikhtisasnya. Hasrat ini, bukan saja untuknya menambah pengetahuan semasa, tapi juga untuk meneroka aspek-aspek yang boleh mencabar bidangnya sendiri. Mereka harus pergi ke bidang-bidang lain, dan kemudian kembali melihat hubung-kaitnya dengan bidang-bidang yang ditekuninya itu. Barulah ilmu bertambah. Tapi ternyata, proses kamiran sebegini memang tidak dilakukan!

Sebab itu, jangan hairan, jika ada akademia kita yang bersebati mengajar subjeknya, tiba-tiba maseh lagi gagal mendefinisikan bidangnya sendiri. Mereka lebih gemar ke hulur dan ke hilir, sembari beralasan untuk memaafkan dirinya. Walhal alasan tersebut hanyalah kerana kesukaran mereka untuk mengolah ayat-ayat baru di hadapan hadhirin yang berbeza. Cuba tanya pada akademia sains sekitar kita, apa itu definisi sains? Kebanyakannya mereka pun akan teraba-raba, sesetengahnya gugup dan mengelak untuk menakrifkan jawapan.

Atau, tanya saja pada akademia matematik, apa itu definisi matematik? Tentu ada pula yang menjawab sebatas pada aritmetik dan geometri sahaja. Terlalu ringkas! Inilah wajah lumrah akademia kita dewasa ini, yang sebahagiannya bertaraf professor. Amat menyedihkan! Wajah-wajah yang kononnya ingin mendidik generasi masa depan kita, memugar aspirasi bangsa, membangun tamadun hebat dalam satu dekad lagi, tapi akhirnya jiwa mereka terkulai pada kehendak di luar intelektualisme.

Tidak ketinggalan para akademia di sains sosial. Soroti saja penyelidikan yang dilakukan mereka yang kebanyakannya hanyalah bertaraf runcitan semata, dan berdauran tema dan kaedah yang hampir sama. Jarang sekali dapat dilihat hasil dari penyelidikan mereka yang benar-benar asasi, serta berani mengugat ilmu semasa. Tiada idea asli.

Umpamanya, kajian antropologi dan sosiologi kalangan akademia kita, tidak pernah ada yang sampai untuk meneroka ke peringkat terdalam asal-usul dan bentuk perkembangan bangsa sendiri sepanjang zaman. Linguistik juga begitu. Biarpun sekurang-kurangnya 28% peratus bahasa Malagasy dan Bahasa Rohingya semirip Bahasa Melayu—sesuai dengan teori leksikostatistik dalam linguistik—tapi mana ada ahli bahasa kita yang serius melakukan kajian? Selalunya, mereka hanya bermain dengan soal-selidik yang terapung kejituan datanya.

Memanglah tidak salah melakukan penyelidikan sebegitu. Namun, itu bukanlah konsep penyelidikan yang asasi. Yang benar-benar dinamakan penyelidikan ialah meneroka suatu idea-idea baru, atau dalam bahasa agama, untuk mencipta bida’ah! Anehnya, yang sedang akademia lakukan hanyalah mengulang idea-idea luar yang belum tentu paling serasi dengan kumpulan data-data yang diperolehnya.

Hanya sedikit intelektual kita yang boleh dipuji. Itu sebab, dalam tradisi kita, panggilan professor barangkali disesuaikan dengan nama tukang. Tukang itu, kalau dikorek makna terdalamnya, adalah bermakna yang amat arif. Tapi, tukang-tukang kita di universiti hari ini barangkali hampir semuanya sudah boleh diduga ketohoran ilmunya. Jika bidang sediri pun tidak dapat ditakrifkan dengan jelas, jadi bagaimana?

Kita boleh kemukakan contoh mudah. Kelih saja Fakulti Pengajian Islam, Akademi Pengajian Islam, atau beberapa lagi fakulti yang bernama Islam. Sampai sejauh mana mereka telah menyelidik Futuhat al-Makiyyah? Sampai sejauh mana mereka mengkritik Islam Liberal? Sampai sejauh mana mereka menggali tasawwuf? Sampai sejauh mana mereka masuk ke ruang teologi klasik? Atau, sampai sejauh mana mereka membandingkan antara falsafah Islam dengan falsafah barat?

Semua jawapannya adalah hampa! Tak perlu kita bayangkan untuk mereka menyaingi Claude Addas. Malah, takkan terfikir mereka untuk menundukkan hujah-hujah nyah-sisabina (deconstruction) Jacques Derrida. Apatah lagi, takkan termimpi mereka untuk menyelidik seperti Annemarie Schimmel, atau menulis secerdas Karen Armstrong. Itu belum termasuk lagi untuk disejajarkan dengan Murtadha Muthahhari.

Rata-ratanya, bila akademia di Fakulti Islam ini memandang barat atau yang berbeza dengan mereka, wajah yang sering terpalit adalah ¨sesat dan menyesatkan.¨ Samalah juga sewaktu mereka melihat mazhab-mazhab yang lain. Hakikatnya, agamawan yang berkubu di kampus tampaknya hanya berminat untuk menyalin pengetahuan, tapi tiada daya untuk menyanggah semua idea-idea luar itu secara tuntas!

Ekoran itu, para akademia kita ini—sama ada sains tabii, sains sosial, mahupun agamawan—hampir kesemuanya adalah mengekor saja ilmu luar, dan langsung tidak membangun mazhab pemikiran yang sendiri atau yang tersendiri. Inilah barangkali kesannya dari ilmu yang mereka miliki secara tidak ikhlas, walaupun secara keras mereka mendakwa telah beramal atas nama ketauhidan dan kemanusiaan!

Lantas, kita perlu ajar akademia-akademia palsu ini. Semua akademia-akademia di menara gading ini wajar direndahkan sepertimana yang dilakukan oleh Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh terhadap Universiti al-Azhar, atau sepertimana yang ditunjukkan oleh beberapa mazhab falsafah di Jerman, Perancis, dll. Mungkin sudah tiba detiknya untuk kita memulakan kempen: “jangan lagi percaya pada sistem universiti kita.”

Sebab, sistem universiti kita selama ini hampir tidak berbuat apa-apa untuk membangun budaya yang benar-benar intelektual. Bila akademia ini tidak diketuk dengan tekanan luar, pasti mereka terus berteleku pada di zon selasa. Dan, inilah yang terpampang hari ini, di mana mereka hanya sekadar bertakuk saja—sesuai dengan azimat bawah sedar mereka—¨yang terbaik adalah statik.¨

Wednesday, January 21, 2009

Nobel

Kalaulah benar Kerajaan Malaysia mahu melahirkan Nobel Laureate, mungkin boleh hadiahkan geran penyelidikan kepada ASASI untuk menyelesaikan tujuh prospek penyelidikan bergengsi di bawah :). Haluan penyelidikan ini dirumuskan oleh Dr. Shaharir Mohammad Zain (Mantan presiden ASASI), dan akan dibentangkan sewaktu Bengkel Ahli Muda ASASI pada Sabtu nanti (24 Januari 2009 di Puri Pujangga, UKM). Sebahagian dari makalah beliau--yang berjudul "Haluan Pengisian ASASI dalam Sains Islam"-- saya nukilkan di sini:

1. Gerakan Penggelintaran Punca Persamaan Aljabar

Komuniti ahli matematik Eropah lama menghadapi “tekanan jiwa” (mungkin sejak zaman Yunani) apabila mereka tidak dapat menyelesaikan masalah “Membahagi Tiga Sama Sudut”, “Menyegiempatkan Bulatan”, “Memperoleh Punca Radikal Persaman Kuintik” yang intuisi mereka meronta-ronta menggoncang benak mereka bahawa penyelesaian masalah-masalah ini sepatutnya positif. Kami menamai kegiatan menggelintar penyelesaian ini sebagai sebuah gerakan besar (tidak rasmi), “Gerakan Penggelintaran Punca Persamaan Aljabar” kerana ketiga-ketiga masalah itu dibuktikan “setara dengan persamaan aljabar” (persamaan polinomial yang pekalinya nombor nisbah). Gerakan ini akhirnya berjaya (setelah melibatkan hampir semua ahli matematik besar Eropah abad ke-18 da ke-19) lalu menerbitkan struktur aljabar atau aljabar niskala khususnya “Teori Kumpulan” pada pertengahan abad ke-19M yang kemudiannya menjadi komponen besar matematik dan fizik matematik hingga kini. Sejauh mana tamadun Islam dan Tamadun Melayu terlibat dalam penggelintaran ini tentunya menjadi kajian ketamadunan yang menarik.

2. Atur Cara Erlangen (Erlanger Programm yang diInggeriskan sebagai Erlangen Program)

Atur cara ini yang juga dirujuk sebagai manifesto penyelidikan Felix Klein (mati 1925) terbit pada 1872 di bawah judul Vergleichende Betrachtungen über neuere geometrische Forschungen di Erlangen, Jerman. (Terjemahannya: A comparative review of recent researches in geometry, trans. M. W. Haskell, Bull. New York Math. Soc. 2, (1892-1893): 215-249). Beliau menyarankan supaya semua geometri diformulasikan sebagai geometri unjuran dan teori kumpulan. Satu daripada natijahnya ialah melihat geometri sebagai kajian invarian di bawah sesuatu Kumpulan Penjelmaan. Atur cara ini bukan sahaja menarik para ahli matematik tetapi juga ahli fizik teori yang memang berminat kepada benda-benda invarian hingga sekarang yang melibatkan Teori Kumpulan dan Aljabar Lie serta analisis atas manifold yang terbentuk daripadanya, Kumpulan Lie Topologi.

3. Masalah Hilbert

Pada tahun 1900 di Kongres Antarabangsa Ahli Matematik di Paris, David Hilbert (ahli matematik Jerman) menyenarai 23 buah masalah besar matematik yang dikatakannya perlu diselesaikan. Sejak itu, kini sudah 13 daripadanya sahaja yang terselesai, iaitu masih ada 10 lagi yang belum dapat diselesai dan ini termasuklah yang amat diminati oleh ahli fizik teori:

Masalah ke-4.: Bina semua metrik dlm ruang-masa yang geodesiknya garis lurus.
Masalah Ke-6: Bina aksiom untuk semua teori fizik.
Masalah ke-20: Adakah semua masalah nilai sempadan ada penyelesaiannya?

Bagaimana benar besar dan asasinya masalah Hilbert dapat disaksikan pada tokoh-tokoh sarjana besar abad ke-20 yang terlibat dengan penyelesaiannya seperti Cohen (Masalah 1), Godel (masalah 2), Dehn (masalah 3), von Neuman (masalah ke-5), Gelfand (masalah 7), Artin (masalah 9 dan 17) dan Shafarevich (masalah 9), Shimura dan Taniyama serta Laglands (masalah 12), Arnold (masalah 13), Nagata (masalah 14), Bernstein dan Nash (masalah 19)

4. Masalah Einstein: Teori Bersatu Gedang/Grand Unified Theory (TerBanG/GUT), Teori Serba-Serbi/Theory of Everything (TES/TOE)

Einstein mengimpikan berjayanya penyatuan teorinya dengan teori yang tidak disenanginya, Teori Quantum, yang beliau namai Teori Bersatu Gedang (TerBANG) atau Grand Unified Theory (GUT). Penyatuan ini gagal hingga munculnya atur cara baru pembaikan/penggantian Teori Einstein dan Teori Quantum yang dikenali sebagai Teori Serba-Serbi (TES) atau Theory of Everything (TOE) yang diandaikan antara lainnya asas jirim ini tidak lagi atom tetapi tetali dan ruang alam semesta ini tidak lagi 3 atau 4 matra tetapi sekurang-kurangnya 7 matra dan tidak melebihi 11 matra, lalu terbitlah istilah supertetali/superstring dan supersimetri/supersymmetry dan pelbagai super-x lagi itu. Atur cara TES ini sedang giat dilaksanakan terutamanya sejak 1980-an hingga kini dan asarjana Muslim yang menghayati sistem nilai, tasawur atau kosmologi Islam dalam kehidupannya, ringkas mereka yang terlibat dalam pengIslaman ilmu.

5. Wawasan Heidegger tentang Universiti dan ilmu

Heidegger masyhur sebagai seorang dariapda ahli falsafah agung abad ke-20 ini dengan karya agungnya berjudul Sein und Zeit (dalam bahasa Jerman yg terbit pada 1927) dan diterjemahkan kepada Inggeris dalam tahun 1962 sebagai Being and Time (dan Being ini diterjemah oleh penulis ini pada 2001 sebagai Makhluk dalam catatan kuliah Sarjananya di UKM “Sejarah dan Falsafah Kepengurusan” dan dalam mimeografnya “Teori kepemimpinn-kengurusan dalam tamadun Melayu dan Tamadun Islam vis-à-vis Eropah” 2003 dan juga dalam mimeografnya “Perbandingan kritis trentang tabii masa Barat, Islam dan Melayu” 2006). Sebaik sahaja Heidegger dilantik sebagai Rektor Universiti Freiburg, Jerman, pada 1933, beliau menyampaikan kuliah pemasyhuran perlantikannya itu tentang konsep universiti dan ilmu di universiti. Kuliah ini menjadi masyhur lebih-lebih lagi kerana beliau mengaitkan peranan universiti dan ilmu dengan Nazisme Hiltler itu. Ceramahnya diterjemah kepada bahasa Inggeris 1990 dengan judulnya "The Self-Assertion of the German University," (Swa-Penegasan Universiti Jerman) yang dikatakan ada dalam Neske G. & Kettering E. (Pyt.), Martin Heidegger and National Socialism (New York: Paragon House, 1990) dan dalam kuliah itulah beliau banyak memuji Nazisme dan menggesa sarjana Jerman mendokonginya dengan menggunakan falsafah “Makhluk dan Masa” beliau itu. Khususnya, beliau beretorik dengan menggunakan satu daripada istilah falsafahnya yang diakui sukar difahami orang hingga kini, iaitu Dasein (terjemahan harafiahnya, existence/kewujudan). Pada tahun yang sama, beliau memberi ceramah kepada Persatuan Pelajar Heidelberg itu tentang perkara yang hampir sama, tetapi dengan penumpuan kepada peranan pelajar bagi merealisasikan wawasan beliau itu. Wawasan beliau ternyata gagal langsung. Malah beliau meletakkan jawatan setahun kemudiannya sahaja atas kekecewaannya tiadanya sambutan imbauannya itu dari kalangan Nazis sendiri pun. Dengan kekalahan Hitler, beliau malah “dipenjarakan” mindanya (tidak dibenarkan mengajar dan berceramah di mana jua pun, hinggalah pada tahun-tahun akhir riwayatnya sahaja). “Atur cara Heidegger” gagal.

6. Gerakan Lysenkoisme

Hampir serentak dengan “Atur Cara Heidegger”, sebuah lagi “atur cara besar” sains lebih masyhur gagalnya kerana kemasyhuran ideologi melandasinya, ialah atur cara penyelidikan sains komunis Rusia yang dikenali sebagai “Atur Cara Lysenko” dalam sains hayat dan pertanian, sempena nama seorang ahli biologi Rusia pada zaman Stalin. Beliau menolak teori genetik Mendel atau Mendelan dan mendokong teori penghibridan oleh ahli hortikultur Rusia sebelumnya, Michurin (yang meninggal 1935). Beliau “berpolitik” dengan menunjukkan teori warisan menerusi persekitaran yang menjadi ciri teori Michurin itulah yang dianggapnya lebih serasi dengan Komunisme. Beliau berjaya meyakinkan kerajaan Rusia supaya mewujudkan atur cara besar penyelidikan sains berasaskan teori Michurin itu yang diorientasikan kepada tujuan antara lainnya untuk meningkatkan daya pengeluaran pertanian Rusia yang merudum yang dianggapnya akibat daripada dasar pertanian kerajaan yang berasaskan pada teori yang salah, teori Mendelan itu. Pandangan Lysenko menjadi doktrin rasmi kerajaan untuk selama hampir sesuku abad dan dikenali sebagai Lysenkoisme; lalu menjadi sebuah gerakan rasmi sains Rusia sehingga mereka yang menentangnya dihukum oleh negara (disisih atau dipenjara). Gerakan ini terbukti gagal dan diabaikan sejak 1964 apabila Rusia (Akademi Sainsnya) kembali kepada teori Mandelan.

7. Universiti Islam

Tidak ada projek atau atur cara pengajaran/pendidikan dan penyelidikan yang lebih besar daripada atas nama universiti. Sejak 1970-an hingga kini terdapat puluhan universiti yang namanya universiti Islam yang setiap satunya menyatakan tujuannya yang murni, iaitu memberi ilmu yang keIslaman dan membuat penyelidikan yang mengukuhkan tujuan itu, walaupun maksud “keIslaman” itu agak pelbagai daripada untuk Muslim sahaja, menawarkan sistem selari (pendidikan Islam dan Moden yang terpisah), dan menawarkan pendidikan dan/atau penyelidikan ilmu Islam tradisi (fiqh, tawhid, bahasa Arab, sejarah tamadun Islam dan mungkin falsafah tradisi Islam).

Sejauh mana konsep “sains Islam” atau “pendidikan Islam” yang dihayati setiap universiti adalah subjek yang perlu dikaji lagi (sebahagiannya dimuatkan di dalam Asasains (warkah Berita ASASI) 2008, dan sebelumnya Asasains 2007 ada memuatkan tinjauan sekolah Islam seluruh dunia). Namun pengalaman Malaysia mungkin dapat mewakili kesemua universiti Islam itu. Di Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang ditubuhkan pada 1983 itu memang dengan jelas dan lantangnya untuk melaksanakan “pengIslaman ilmu” terutamanya mengikut pengertian IIIT (International Institute of Islamic Thought) yang dibangunkan di Washington oleh seorang pengasas “PengIslaman Ilmu”, Isma‘il al-Faruqi. Sehingga 1998, universiti itu sungguh agresif dengan atur cara tersebut kerana mendapat restu dan payung daripada Menteri Pendidikan dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Anuar Ibrahim, yang juga seorang penggiat pengIslaman dan pemimpin tertinggi UIA. Namun, apabila beliau tersingkir dari kuasa pemerintahan negara, maka dengan pantasnya jugalah UIA meninggalkan atur cara pengIslaman ilmu itu hingga sejak beberapa tahun kebelakangan ini tiadalah sarjana di UIA yang berkarya dalam bidang itu. Semua tokoh ilmuwan dalam “pengIslaman Ilmu” di sana sudah pun disingkir atau “lari”. IIIT sendiri ditutup oleh kerajaan Amerka Syarikat sebaik sahaja peristiwa September, Sebelas, 2001, walaupun kini sedang dihidupkan kembali dengan wakilnya di Malaysia ini diterajaui oleh Prof Dato’ Osman Bakar. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) boleh dikatakan “Islam” nama sahaja, kerana tiadalah kegiatan sarjananya di universiti tersebut yang boleh ditafsirkan sebagai pelaksaan sebuah atur cara pengIslaman Ilmu atau pembinaan sains Islam yang diperjuangkan oleh ASASI umpamanya. Pendeknya secara institusinya, pengIslaman Ilmu di Malaysia sejak 1998 boleh dianggap hanya diteruskan oleh ASASI sahaja. Kegagalan atur cara besar sains Islam di Malaysia dan keruntuhan tamadun Islam itu sendiri kini memang dijadikan hujah ampuh pelbagai pihak yang sejak awal-awal dahulu lagi tidak bersetuju dengan “pengIslaman” dalam bentuk makna apa sekali pun, kerana kononnya “Islam sudah berlalu”, Islam adalah sebuah episod sejarah sahaja dan tidak relevan lagi pada abad Tamadun Sekular Barat yang sedang “didokongi bersama” di seluruh dunia ini menerusi sejagatisme/globalisme (yang bersifat kolonialisme baru dan dianggapnya tiada kuasa boleh menyekatnya lagi) .

Lantaran itu, apakah pula “atur cara penyelidikan” yang di dalam makalah ini dinamai “Haluan” tentang Sains Islam” itu? Apakah status gerakan yang terbabit dengannya, khususnya, ASASI di Malaysia sudah boleh dianggap seperti nasib “Wawasan Heidegger”, “Gerakan Lysenkoisme” dan “Universiti Islam Antarabangsa Malaysia” itu?. Apa pun, walaupun kami kecewa dengan kegagalan UIA itu, namun kegiatan kami dalam bidang ini tidak pernah padam. Kami tidak pernah menganggap diri kami gagal dalam gerakan ini dalam konteks seperti yang dialami oleh Heidegger, Lysenko dan UIA itu. Muslim memang terbukti kalah sejak beberapa kurun dahulu lagi tetapi janji dan pengakuan Allah tidak pernah berubah, iaitu sesungguhnya cara hidup yang terbaik dan diredhai-Nya hanya Islam. Perasaan ini semakin menyemarak dan semerbak rasanya kerana perkembangan mutakhir ASASI dengan kejayaannya merekrut puluhan ahli baru yang berminat dengan “pengIslaman Ilmu” dalam bidang masing-masing. Jadi yang ingin dibicarakan di sini ialah semata-mata bagi menjawab persoalan “Apakah Haluan ASASI?” yang pernah dan sedang dilalui atau dibagani/dicartai oleh kumpulan penulis ini sejak penulis ini menceburkan dirinya di dalam kancah gerakan pengIslaman Ilmu menerusi ASASI?”. Semoga pengalaman kami ini dapat kiranya menjadi iktibar kepada gerakan ini yang diharapkan akan diteruskan oleh generasi baru ASASI.

Friday, January 9, 2009

Absurd

¨Logo tidak boleh diubah, walaupun salah!,¨ kata pengerusi majlis senat universiti.

Ketika itu sudah hampir dua jam ahli senat bertekak tentang logo universiti. Nak ubah, atau tak nak ubah, atau buangkan terus saja sebahagian simbolnya. Sebab, seorang fizikawan yang juga anggota senat telah syorkan supaya logo UKM harus direkabentuk semula. Baginya, simbol atom yang tercantum pada logo UKM tersebut kini tidak lagi sejajar dengan visi UKM itu sendiri, ¨…untuk menjadi sebuah universiti terulung yang menjadi pelopor inovasi dalam pembinaan ilmu pengetahuan.¨ Katanya, ¨mahu inovasi pengetahuan apa, jika atom kuno yang tertera pada logo UKM pun maseh digunakan lagi?¨

Hujahnya, itu teori semenjak zaman Newton lagi--paradigma Kopernigk. Sudah amat jauh ketinggalan. Tapi, tanpa sedar, itulah teori yang menjadi kebanggaan UKM hari ini. Malah, kalau masuk pintu gerbang UKM, terpampang arca teori kuno itu. Walhal, sekarang evolusi teori atom sudah jauh majunya. Hari ini, sekurang-kurangnya kita patut bercakap soal teori supertetali, atau teori-m, atau teori supergraviti, atau yang lebih canggih lagi. Paling-paling cikai pun, pakailah teori atom Bohr. Tambah pula, bukankah juga ada hujah yang atom itu tiada sebenarnya. Sebab itu kita namakannya teori sahaja, bukan hukum. Tapi, memanglah sudah sifat universiti-universiti kita. Bebal-bebal semuanya--¨logo tidak boleh diubah, walaupun salah!¨ Ini samalah jika ada yang berkata, ¨tradisi tidak boleh diubah, walaupun salah!¨

¨Jadi, apa guna ahli senat berbahas selama dua jam tadi?,¨ dengus fizikawan tersebut. ¨Oh, itu hanya perbahasan akademik saja,¨ ujar pengerusi senat tersebut dengan nada selamba.

¨Dah, kalau tahu minat sangat pada yang terkuno, lebih baik pakai atomos Demokritus saja! Buat penat saja bercakap,¨ cemik fizikawan tersebut.

Wednesday, April 11, 2007

Professor

Ada dua dialog menarik; menerusi pengalaman seorang pengajar muda—tetapi punya jiwa anarkis—dengan dua orang professor. Pertamanya dengan professor biologi, muslim tetapi kental menganut ajaran evolusionisme.

...Professor: Saudara, budaya intelektual ini maknanya professor harus pandai memperkudakan para pengajar muda, manakala pengajar muda pula boleh memperkudakan pelajar-pelajar PhD dan Master, dan begitulah seterusnya.

Pengajar Muda: Tidak, saya jadi intelektual sebab saya akan mati. Bukan soal nak memperkudakan sesiapa. Intelektual harus bertanggungjawab dengan Tuhan.

Professor: It’s up to you.

Pengajar Muda: Kalau itu definisi budaya intelektual, lebih baik saya balek menoreh getah di kampong. Lagi kaya!...

Manakala dialog keduanya dengan seorang lagi pengajar yang lain, yang kini baru dilantik menjadi seorang professor. Ia berkenaan dengan penangguhan penerbitan buku pasca sidang anjuran jabatannya.

...Professor: Kenapa kamu tidak menyiarkan jurnal-jurnal yang telah dihantar oleh pengajar yang lain dalam buku pasca sidang seperti yang kita rancang sebelum ini.

Pengajar Muda: Bagaimana saya nak menyiarkannya, sedangkan penyelidikan jurnal-jurnal tersebut tidak mendalam, malah kualitinya tidak layak untuk disiarkan. Memalukan saja nanti!

Professor: Kamu sebenarnya telah menyekat kenaikan pangkat pengajar lain.

Pengajar Muda: Wah, rupa-rupanya ada kaitan antara kenaikan pangkat dengan jurnal yang tersiar. Setahu saya, kenaikan pangkat satu hal, sementara penyiaran jurnal satu hal yang lain. Kalau setakat nak siarkan, nanti saya siapkan buku pasca sidang tersebut dalam tempoh 24 jam...

Ini bukan dialog dongeng. Ia benar, dan mungkin memadai untuk kita menilai sejauh manakah mutu professor universiti kita. Memang, ia bukan ukuran mutlak. Tetapi, persoalannya, adakah para professor kita sememangnya layak serta sudah tekal intelektualnya?

Friday, April 6, 2007

Shaharir & Abu Osman

Teman saya berkongsi cerita: sewaktu awal-awal kelas Sejarah & Falsafah Sains, ia dengan wajah lugu pernah bertanya, "Prof, pembentangan kami nanti dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris? Sayang, tentu sekali ia sudah tahu jawapannya andai lebih dulu mengenali latar pengajarnya itu. Prof Shaharir Mohammad Zain, anak Melayu pertama dari lulusan PhD matematik La Trobe itu hanya menguntum senyuman sambil berkata, "saya tidak tahu bahasa Inggeris". Ingat, peristiwa ini berlaku di UKM.

Setahun kemudian, Prof Shaharir, pakar formulasi kuantum ini akhirnya tersingkir dari Jabatan Matematik gara-gara 'suara besar'nya dalam isu perjuangan bahasa Melayu. Tercampak ke UPM sebagai penyelidik dan kemudian diajak ke UMT (dulunya KUSTEM) untuk kembali sebagai professor matematik. Seketika UKM aman, meskipun kursus sarjana sains (matematik fizik) pupus, berdamping kuburan dengan kursus sarjana sains (fizik teori). Prof Shaharir bersama-sama dengan Prof Lim Swee Cheng dan Dr. Sithi Vinayakam Muniandy akhirnya tinggal nostalgia.

Saya sendiri, yang sedang menuntut dalam Fractals and Chaos kini mewarisi pengetahuan dari pengajar tempelan, bukan dari pakarnya. Membelek-belek jurnal fizik teori hanya membuak-buakkan rindu saya pada pengetahuan mereka. Terkenang pula tatkala bersembang dengan seorang pengajar senior yang bermata sepet. Ia membeber, "orang yang tak berguna pun boleh disambung (kontrak), kenapa sebaliknya mereka dilayan sebegitu rupa, tidak dihargai?". Saya yang asalnya diam kemudian tersenyum, dan akhirnya kami sama-sama tersenyum dan ketawa.

Rupa-rupanya pertarungan ini belum selesai. Keterpesonaan elit politik terhadap Bahasa Inggeris kian nyata. Apatah lagi pencacainya di kampus—tentulah semakin mengada-gada—lebih sudu dari kuah. Kini orang yang membawa Prof Shaharir ke UMT, Prof Abu Osman Md Tap yang juga pakar Topos, akhirnya turut tersingkir dari UMT. Lucunya, ia tersingkir bukan kerana tidak datang mengajar, sebaliknya gara-gara mengajar dalam bahasa Melayu. Tidak sangka, kini hanya tinggal Prof Shaharir sahaja di UMT yang masih meneruskan pengajaran dalam bahasa kebangsaan. Yang lain menganut ajaran, "dengan menggunakan bahasa Inggeris, kami akan lebih maju", seolah-olah Nobel sudah dalam genggaman mereka.

Merenung hal ini, saya tidak punya keraguan lagi. Genap dua tahun nanti, hampir pasti kontrak Prof Shaharir tidak akan disambung. Ia professor 'degil' dan 'menyusahkan' banyak pihak. Malah, telahan ini tampak semakin benar. Belum sampai setahun lagi di UMT, Prof Shaharir sudah tiga kali ’masuk mengadap’ bilek para pencacai elit politik. Mencari makna peristiwa ini, benak saya tiba-tiba menyoal, ”apakah dapat diterima sekiranya Werner Heisenberg juga tersingkir dari Kaiser Wilhelm Institute for Physics kerana mengajar mekanik matriksnya dalam Deutsche? Benar, menamsilkan peristiwa ini saya mula melihat jawapan.

Jadi, untuk para pengajar baru, jika anda tidak kuat dan mahu selamat, elok jangan meniru sikap 'degil' Prof Shaharir, Prof Abu, dan mungkin juga Heisenberg. Meniru pendirian mereka bererti karier akademik anda bakal tergugat. Tekanan luar sangat kuat untuk dipaksakan ke atas budaya dalam. Jadi tiketnya; teruslah mengajar dalam bahasa Inggeris, meskipun di universiti kebangsaan sekalipun! Tiada kompromi! Jangan mengada-gada mahu menggunakan bahasa lain. Memang, inilah cara tunggal untuk kita maju dan mengenggam Nobel.

Maaf, nasihat terakhir ini hanya benar jika diamalikan di Princeton. Dan, bukan di Mengabang Telipot!

Monday, September 18, 2006

ISIUKM

Memikirkan sesuatu yang ajaib dari pilihanraya kampus kali ini ibarat si buta membilang bintang di langit. Saya tidak menaruh harapan. Sama sepertimana yang saya ungkapkan pada mStar Online, bahawa tiada perkembangan positif yang dapat membezakannya dengan corak tahun-tahun sebelumnya.

Kononnya demokrasi yang bermain diamalkan oleh para politikus universiti itu sebenarnya tidak ada. Langsung! Di UKM, pancaindera saya lekas menangkap bagaimana Kelab Aspirasi selesa dengan standard berbeza, sambil sarat dibantu oleh sokongan moral serta dukungan infrastruktur dari para politikus universiti.

Memang, untuk lebih jauh, saya tiada bukti kukuh bahawa Kelab Aspirasi telah mendapat dukungan kewangan dari mana-mana pihak, dalam mahupun luar. Namun, ketiadaan bukti bukanlah bermakna wasangka saya ini sewenang-wenangnya boleh lerai dari fikiran.

Kerana, sudah terang lagi bersuluh, Kelab Aspirasi sebenarnya bisa menggunakan sebarang infrastruktur kampus, termasuklah kamsis, sebagai persediaan mereka untuk mengharungi pilihanraya kampus. Dan, tentunya hal yang sama tidak mungkin diizinkan untuk laskar-laskar dari Mampu --> yang saya percaya diterajui oleh ISIUKM, sebuah persatuan Islamis.

Kerana itu, saya ingin ingatkan bahawa pilihanraya kampus bukanlah wasilah tunggal dan muktamad. Sebaliknya, ISIUKM bisa saja menggunakan sebarang ruang-ruang yang lain untuk membuktikan kepada kampus serta masyarakat bahawa mereka sebenarnya jauh lebih berperanan dari PMUKM pimpinan Kelab Aspirasi.

Di samping itu juga, mereka tidak harus terkongkong dan terkepung dengan sudut Islamis mereka, lantas mengabaikan dinamika persekitaran mereka yang memerlukan mereka sentiasa bervariasi. Justeru, sangat mendesak untuk ISIUKM dan aktivis-aktivis kampus melakukan anjakan paradigma.

Malah, kesukaran mereka untuk mendampingi mahasiswa -- kerana kekangan-kekangan tertentu -- sepatutnya melebarkan lagi daya kreativitinya bagi melepaskan diri dari kemelut-kemelut yang membelenggu mereka selama ini.

Ekoran itu, ISIUKM usahlah terpana dengan kelaziman pendekatan yang mewarnai mereka sebelum ini. Mereka harus gerakkan suatu pendekatan revolusioner --> yang bercirikan semangat wacana. Saya timbulkan persoalan ini kerana kelihatan amat kurang terpampang di halaman kampus, ISIUKM memugar wacana-wacana yang berat, serius dan konsisten.

Lantaran saya sudah pesimis dengan ketelusan pilihanraya kampus serta kekuatan ISIUKM untuk mendobrak status-quo. Maka, eloklah saya awal-awal lagi berdu’a supaya tewasnya ISIUKM nanti akan mendorong mereka kembali menyemarakkan wacana-wacana yang segar dan progresif.

Saya tidak ragu-ragu bahawa ISIUKM punya jentera yang ampuh untuk tujuan ini. Sebab, hanya keluasan pemikiran sahaja yang dapat menjamin kecemerlangan alam aktivisme mereka. Selain daripada itu, mereka hanya melengkapkan lagi siri-siri kegagalan aktivis mahasiswa UKM sebelum ini.

Tuesday, July 25, 2006

Menjadi Sarjana

Sore tadi, sempat bersua seorang teman, lulusan Universiti Teheran. Asyik kami ngobrol. Dari hal-hal peribadi, sampailah kepada politik negara persia itu. Maklumlah, lama juga kami tidak bertemu. Terkesan dengan pengkhususan saya, beliau menceritakan satu kesahnya ketika di bangku sekolah menengah, iaitu di Teheran. Ingat beliau, waktu itu bulan Ramadhan al-Mubarak. Beliau dan rakan-rakan sekelas diminta oleh cikgu subjek fizik untuk menulis satu esei. Menarik tentang tema esei, “hubungan fizik dengan puasa di bulan Ramadhan”. Tugasan ini, tambah beliau lagi, memang berjaya mengasah kreativiti para pelajar.

Ceritanya ini menghimbau makna menjadi sarjana. Saya insaf, seorang sarjana bukan hanya menguasai bidangnya semata-mata. Lebih dari itu, sarjana adalah mereka yang cuba menghubungkan bidang-bidang lain dengan bidang yang digelutinya. Dan, inilah antara amalan yang dikira boleh merangsang kelahiran aktivis masyarakat dari kalangan akademia. Sepertinya Jomo K. S, barangkali? Namun, sebaliknya makna ini tampaknya kian pupus, ekoran kekangan materialisme dan kemalasan. Percaya atau tidak, inilah realitinya yang sedang dihadapi di kampus-kampus kita dewasa ini. Tandus budaya intelektual.

Memang, saya percaya begitu, sama juga seperti yang pernah dipercayai oleh Dr. Baharudin Ahmad.

Thursday, July 13, 2006

Shaharir

Beberapa tahun dahulu, saya tak ingat bila waktu tepatnya, adalah kali pertama bersua dengan beliau, iaitu ketika berkunjung ke biliknya di Pusat Pengajian Sains Matematik, PPSM UKM.

Ketika itu saya menuntut prasiswazah di FST dan bergelut dengan satu tugasan kalkulus yang sangat menyusahkan. Asalnya, ke PPSM untuk bersua dengan cikgu-cikgu matematik saya, tetapi maklumlah, hari itu hujung minggu. Jadi, semuanya bercuti.

Namun, tiba-tiba terserempak dengannya yang memang saya kenali secara tidak langsung. Namanya sering terselit di papan kenyataan sebagai salah seorang tenaga pengajar untuk subjek Sejarah & Falsafah Sains. Lalu, masalah kalkulus saya ditanya padanya dan selesai selepas berbincang. Beliau begitu mesra, meski tidak mengenali saya.

Kemudian saya mewawancarinya pertama kali tentang soal kebebasan akademik, juga di UKM. Itu juga disambut dengan baik sekali, walaupun saya banyak merosakkan istilah beliau semasa wawancara tersebut. Umpamaya saya mengunakan “kerelativitian” untuk ganti istilah “kenisbian”. Saya juga sering campur adukkan bahasa Inggeris dan Melayu dalam satu ayat ketika perbincangan.

Namun, setelah mengenali latar beliau, saya rasa malu sendiri bila mengenangkan hal itu. Sebab itu, sebelum mewawancara seseorang, kita dituntut untuk menguasai pemikiran dan perjuangan mereka. Jika tidak, bukan sahaja hasilnya wawancara tersebut tidak menarik, malah boleh ditempalaknya.

Setelah itu, saya bersua lagi dengan lebih dekat di banyak pertemuan, termasuklah untuk wawancara terbaik saya bersama beliau tentang falsafah kuantum. Ketika wawancara tersebut, beliau bertugas di UPM.

Saya tahu, beliau telah ‘dihalau’ dari UKM kerana faktor perjuangan bahasa Melayu-nya. Beliau tegas menentang dasar dwi-bahasa yang cuba diamalkan oleh UKM. Bagi beliau, kita tidak harus merasa rendah diri untuk menggunakan bahasa Melayu di universiti kebangsaan kita sendiri. Bangsa asinglah yang harus belajar bahasa Melayu untuk menikmati pendidikan di UKM.

Barangkali kerana rendah diri seperti inilah, sampai kini di UKM, belum ada lagi siswazah asing di FST, UKM yang menulis tesis dalam bahasa Melayu. Saya tidak fikir maklumat ini berani dinafikan oleh Pusat Pengajian Siswazah (PPS) , UKM itu sendiri.

Jadi, setelah ‘dihalau’, beliau bertugas di UPM selama setahun. Itupun sebagai Penyelidik Khas. Namun hari baik telah tiba. Kini, beliau kembali menjadi professor. Bukan di UPM dan UKM lagi, tetapi jauh dari hiruk pikuk ibukota, dan damai dengan birai pantai yang mempesonakan.

Saya fikir, ia memang tempat yang indah untuk berfikir dan merenung tabii alam. Di KUSTEM, Terengganu, Prof. Dr. Shaharir Mohammad Zain kembali meneruskan minat mengajarnya. Selamat berjuang, Prof!

Dan, saya secara peribadi, memang sangat terhutang dengan nasihat dan buku-buku beliau. Terima kaseh!

Thursday, September 29, 2005

Demokrasi, fahamkah warga kampus?

Tentang Pilihanraya Kampus, timbul persoalan di benak saya, adakah warga kampus memahami apa itu demokrasi? Adakah anggapan-anggapan mereka hanya sebatas pada “kebebasan memilih” sahaja? Atau, mereka langsung tidak mengerti, apalagi menjiwainya?

Maaf, saya barangkali ada jawapan tersendiri. Mungkin betul, mungkin juga salah. Berdasarkan pengalaman peribadi, di kalangan warga kampus, termasuk kakitangan akademik sendiri sekalipun seringkali menafikan praktik-praktik demokrasi samada secara sedar atau sebaliknya. Dan, pilihanraya kampus (hari ini) menjadi bukti bagaimana nilai-nilai ini telah dirampas dari hak mahasiswa.

Bayangkanlah, bagaimana Kelab Aspirasi yang saya percaya didalangi kuasa politik luar, seperti juga kelompok-kelompok gerakan mahasiswa yang lain (yang kononnya kata bebas dari pengaruh luar), telah menggunakan pengaruh di kolej-kolej kediaman, serta sokongan dari pentadbir universiti bagi memastikan kemenangan mereka.

Saya diberitahu, hingga malam tadi (28 september 2005), para calon-calon Aspirasi telah berkunjung terus ke bilik-bilik asrama siswa, yang sudah diketahui siapa penghuninya hasil daripada maklumat yang dibekalkan oleh pihak kolej. Mereka berpeluang untuk mengedarkan risalah secara terus ke tangan siswa, tanpa ada rasa takut-takut.

Lebih dashyat lagi, mahasiswa telah diberi amaran akan pembuangan kolej andainya tidak menuruti arahan undian terhadap calon Aspirasi nanti. “Adik kena undi calon Aspirasi, kalau tidak susahlah nak dapat kolej pada semester depan”, ulang balik teman saya tersebut menerusi telefon sebentar tadi.

Lanjut teman saya lagi, di kolej-kolej kediaman di pasang banner, “warga kolej (ini) menyokong penuh calon-calon aspirasi”. Macamana mereka tahu semua warga kolej ini menyokong Aspirasi, bentak teman saya itu. Malah, kertas-kertas undi juga telah disirikan bagi mudah untuk mengesan polarisasi undi mahasiswa. Ini tidak adil, dengus teman saya lagi.

Saya hanya menadah telinga saja dan membiarkan ia meluahkan rasa yang berbuku. Saya tahu, rintihan teman saya itu hanya secebisan dari kehilangan semangat demokrasi di kalangan warga kampus. Demokrasi hanya dibibir, untuk mengelirukan warga kampus, tidak lebih dari itu.

Pilihanraya kampus, yang sepatutnya menjadi pilihan warga kampus (siswa), kini orang-orang tua (naib-naib canselor dan pihak pentadbiran) turut menjadi kemaruk untuk terlibat sama, cuma sedihnya mereka tidak layak untuk menjadi calon saja. Kalau tidak, habis, seluruh pekakas kampus dimanipulasikan untuk kemenangan naib canselor sebagai pemimpin MPP yang baru (ketawa).

Benar cakap Lim Kit Siang, di negara kita ada kebebasan bersuara, tetapi kebebasan selepas bersuara maaf sekali, tidak ada! Saya juga ingat lagi pesan Sartre, “manusia telah dihukum untuk hidup bebas”, tetapi mahasiswa Malaysia sebaliknya telah dihukum penjara, penjara kampus!

Nilai-nilai yang serentak hadir dengan demokrasi; ketelusan, amanah, integriti, kebebasan, keadilan dll kini hanya kedengaran di halwa telinga, bila tiba waktu pilihnaraya, dan dilaungkan dengan hangat sekali. Walhal, sebenarnya kita telah ditipu! Kita ditipu oleh semua, termasuklah tidak mustahil, oleh golongan oposisi sekalipun!

Hingga kini, saya tidak pernah mendengar ada penyata kewangan bila setiap penggal MPP berakhir, di bentangkan, atau di keluarkan sekurang-kurangnya untuk dimakluman para mahasiswa. Begitu juga, perbelanjaan bagi pesta-pesta konvenkesyen, mana perginya ketelusan senarai perbelanjaan program tersebut? Jangan-jangan ada 'mark up' dalam pembelian?

Apapun tak perlu gelisah sangat, bayangkanlah saja jika Mr. Blur sudah sanggup mengeksploitasi pilihanraya kampus, kemudian PM pula membisu seribu bahasa, justeru apa lagi yang kita mahu harapkan dari pilihanraya kampus ini? Tiada apa-apa makna, melainkan perbuatan mencoretkan pangkah di atas sehelai kertas…

Wednesday, September 21, 2005

Kemelut Fikiran Aktivis Kampus

Saya mengamati, rata-rata di kampus dewasa ini kelihatan para aktivisnya gagal untuk berfikir secara kritis, rasional dan demokratis, seolah-olah membayangkan bahawa budaya ini tidak lagi dianggap sebagai amalan yang signifikan. Hal ini jelas tergambar menerusi beberapa realiti pendekatan gerakan mahasiswa yang mudah sangat dimomok-momokkan dengan pengaruh politik kepartian yang berada di luar kampus.

Ya, sebenarnya bukanlah salah untuk kita bersetuju dengan parti-parti politik, tetapi jangan sampai seluruh orientasi dan arah pemikiran aktivis kampus itu gagal mencerapi kesan pembudayaan nilai akibat rasa terikat mereka. Di sini juga, aktivis kampus tidak harus menjadikan taklid sebagai wahana gerakan, hingga mendorong kepada ‘kelumpuhan paradigma’ serta kebuntuan untuk menganalis fenomena persekitarannya.

Cuba kita teliti pada kebanyakan kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh aktivis kampus, lazimnya idea mereka ini akan terarah pada blok-blok politik, sembari berselindung dengan slogan perjuangan kebajikan mahasiswa. Tetapi kelantangan mereka ini tidak mempunyai makna apa-apa pun, kerana ideanya tidak merangkumi suatu analisis yang bernas sambil memuatkan beragam teori ilmu yang terkini.

Upamanya, sejauh mana aktivis kampus mampu menghayati serta memugar nilai-nilai menerusi aktiviti demokratisasi dalam gerakan mereka? Yang jelas, kerana gagal memahami hasrat murni dari pesan demokrasi ini, banyak aktivis kampus yang menjadi dogmatik, tertutup, manakala sebahagian yang lain merasa bahagia bila berjaya menundukkan kumpulan gerakan mahasiswa yang berseberangan dengan ideanya.

Namun, apa natijahnya? Adakah ini matlamat akhir sebuah gerakan mahasiswa, iaitu mahu melihat ada yang menang dan ada yang kalah? Dan, ke manakah menghilangnya agenda untuk merangsang kemajuan berfikir dan bertindak di kalangan warga kampus itu sendiri? Saya kira, barangkali aktivis kampus lebih seronok bila mereka sentiasa menang dalam pilihanraya kampus, meskipun mereka sendiri tidak demokratik!

Bayangkan, hingga kini sukar untuk saya temui ada di kalangan mahasiswa yang cuba memperluaskan skop bacaan serta diskusi mereka di luar pentas kuliahnya. Mahasiswa hari ini khabarnya lebih senang dengan bahan-bahan yang ringan-ringan, yang sarat dengan seloka cinta anak muda, tetapi begitu sinikal sekali dengan soal-soal yang serius, yang memerlukan pemupukan budaya analitik.

Kemelut sebeginilah yang memasung minda di kalangan mereka. Kerana kurang membaca, khususnya displin-displin ilmu di luar kuliahnya, akhirnya mereka tidak mampu untuk sosialisasikan ilmunya dalam bentuk gerakan yang memikat, dengan penguasaan ilmu yang mantap dan corak berhujah yang kemas, sesuai dengan gelaran mereka sebagai “mahasiswa”, bukannya “pelajar”!

Pada saya lagi, pembentukan budaya secara halus ini sememangnya mengancam masa depan negara. Bahkan, selagi mana mereka masih berpaut pada ‘sindrom kebergantungan’, maka hakikatnya negara kita sedang menempah bahaya! Sebab, jika aktivis kampus sendiri sudah mundur fikirannya, mana mungkin masyarakat dapat mengharapkan sesuatu yang lebih bermakna dari mereka.