Friday, February 2, 2007

Fatimah adalah Fatimah

Ini adalah kali kedua saya membaca buku Ali Shari’ati tentang Fatimah Az-Zahra’, yang mana karya asalnya dalam Inggeris bertema Fatima is Fatima. Seperti bacaan pertama, bacaan kedua turut deras seumpama membaca novel. Dan, bagai yang dijangka, setelah mengulang baca, saya menyedari betapa sarat pengetahuan dalam bacaan pertama yang sudah tercicir. Apatah lagi, jika sela bacaan begitu ketara sekali. Malah, seingat saya, buku Fatimah: Kisah Perjuangan Puteri Rasulullah terjemahan Dr. Wan Manan Wan Muda ini adalah antara buku terawal nukilan Shari’ati yang saya miliki dan baca.

(Bertuahnya, menerusi sumbangan buku-buku Shari’ati jugalah—termasuk dari buku ini—saya mula berkenalan dengan beberapa buku lain yang pernah diteroka oleh Shari’ati seperti karya-karya Frantz Fanon, Jean-Paul Sartre, Alexis Carrel, Jalal-e Ahmad, Louis Massignon, dll).

Sebenarnya, buku terbitan Ikraq (1993) ini dibaca kembali dengan hasrat untuk mempermudahkan wawancara saya tentang Ali Shari’ati bersama Dr. Wan Manan Wan Muda, akademia USM. Asalnya, buku yang terpisah menerusi dua bahagian ini merupakan himpunan ceramah Shari’ati yang disampaikan di Husayniyyah Irsyad pada tahun 1971, dan rakamannya banyak didasarkan kepada teks-teks Sunni. Di samping itu, ketika awal-awal membaca buku ini, Shari’ati sudah menekankan kesukarannya untuk menyentuh soal Fatimah. Saya duga, perasaan Shari’ati sewaktu menyampaikan ceramahnya ini sungguh berat, kerana apa yang bakal diucapkannya nanti adalah melibatkan citra yang sangat istimewa sekali dalam cantuman sejarah Islam. Namun, di akhir buku ini, ternyata Shari’ati kelihatan berjaya mencoretkan prestasi Fatimah sebagai citra wanita agung yang pernah tercatat dalam sejarah dunia!

Sebelum membuka bicara tentang Fatimah, Shari’ati terlebih dahulu telah menarik kita untuk menyemak kembali bagaimana perjuangan suci sering dimanipulasikan kalangan penguasa zalim dalam sejarah Islam. Di sini, Shari’ati memaparkan bagaimana berlakunya pengaruh politik atas nama Islam dalam pengalaman beberapa khalifah. Ini termasuklah dalam pengalaman Umayyah, Abbasiyyah, Khan, Turki, Tazi, Mongol, dll. Menurut Shari’ati, sewaktu sebahagian besar pemerintahan mereka inilah, slogan-slogan yang identik dengan Islam kerap dikumandangkan oleh institusi-institusi khalifah ini semata-mata dengan niat untuk mempertahankan legitimasi politik mereka.

Saya menyedari, apa yang ditegaskan oleh Shari’ati ini merupakan kalimat lazimnya. Kerana Shari’ati dalam banyak kesempatan (iaitu dalam buku-bukunya yang lain) memang kelihatan bersikap dialektik dalam melukiskan perspektifnya. Umpamanya Shari’ati pernah mewar-warkan Islam antara dua pilihan; Islam Abu Dharr (al-Ghiffari) atau Islam Marwan (b. Affan). Masih tidak cukup dengan itu, gaya pemikiran Shari’ati seperti ini turut terserlah semasanya membahas pertentangan antara Shi’ah Alavi dan Shi’ah Safavid, di mana satu adalah Shi’ah Merah sementara satu lagi adalah Shi’ah Hitam! Apa yang dirumuskan oleh Shari’ati ini—kalau kita lihat dalam pengalaman Islam—adalah sangat dekat dengan dialektika mustadh’afeen dan mustakbireen. Bermakna, Islam Abu Dharr dan Shi'ah Alavi punya konotasi dalam mewakili perjuangan mustadh’afeen, dan begitulah juga sebaliknya.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan-keadaan tertentu, tidak dinafikan memang terdapat perbezaan dalam bingkai pemikiran Shari’ati ini. Saya masih ingat, dalam On the Sociology of Islam, Shari’ati pernah membariskan tiga jalur dari kesucian Islam; Islam aksi, Islam intelektual dan Islam sufi. Lantas, nama tiga Husayn ditampilkan sebagai perwakilan ketiga-tiga jalur Islam tersebut; Husayn Ali Abi Thalib, Husayn Ibn Sina, Husayn Mansur al-Hallaj. Begitu juga dalam Martyrdom: Arise and Bear Witness, Shari’ati dengan lantang pernah menyatakan bahawa hanya ada tiga jalan dalam kehidupan iaitu, ”mereka yang gugur laksana Husayn, manakala yang hidup harus mengalas tugas Zaynab, dan selain dari keduanya mereka adalah sekutu Yazid.” Apapun berkenaan pembahagian Shari’ati ini, saya kira tiga jalur yang dimaksudkannya tersebut hakikatnya merujuk kepada konteks-konteks yang berlainan berbanding dialektika yang dikupas sebelumnya.

Kembali kepada buku ini, Shari’ati turut mempertanyakan tentang peranan yang digerakkan oleh ulama’ dalam mengangkat martabat agama. Rentetan itu, Shari’ati mempersoalkan keupayaan pekakas keagamaan yang terhimpun dalam tradisi Shi’ah, seperti Husayniyyah, Tekiyeh, Heyat, Dasteh dan Khums dalam jihad menentang kelaparan demi meninggikan harakat agama. Bagi Shari’ati semua pekakas keagamaan ini yang sewajarnya berfungsi untuk membantu kebangkitan agama, sebaliknya cenderung menjadi ritual semata-mata, di mana perjuangan abadi menentang kemiskinan tetap belum terlaksana. Jadi, sepertinya di sini Shari’ati seolah-olah bersoal, apa gunanya pekakas keagamaan tersebut? (Kritikan yang dilemparkan oleh Shari’ati ini persis dengan kritikannya terhadap amalan Taqeyyah di kalangan ulama Shi’ah tradisionalis, sepertimana yang didakwa oleh Allamah Majlisi bahawa ia dilakukan dengan tujuan untuk mengelak tirani penguasa).

Dalam satu analisa yang lain, Shari’ati turut mengariskan tiga kaedah islah yang sering berlaku dalam sejarah. Pertama, konservatisme, kedua refomisme dan ketiga revolusionerisme. Namun, ketika peluang untuk melaksanakan perubahan berada pada tangan Nabi, bukannya kaedah kaku atau sehala yang menjadi pilihan. Dan, sembari memberikan acara Haji sebagai contoh, Shari’ati menyatakan bahawa perubahan yang dipimpin oleh Nabi hanyalah bersifat revolusionerisme dalam soal pemikiran, sebaliknya wadah zaman jahiliyyahnya masih tetap dikekalkan. Dan, bertolak dari analisa inilah, Robert D. Lee dalam bukunya, Overcoming Tradition and Modernity: The Search for Islamic Authenticity (1997), menyifatkan pemikiran Shari’ati tersebut sebagai suatu pendekatan ke arah mencari Islam yang asli.

Sebelum menyentuh soal Fatimah secara serius, Shari’ati mengajak kita untuk menghimbau kembali sejarah pra-Islam dan pasca-Islam dalam melayani wanita. Malah, Shari’ati turut memperkenalkan beberapa wanita dalam tradisi bukan Islam yang didapatinya tersisih dari pengamatan kita. Ini termasuklah, De La Vida, Du La Chappelle, Marie Curie, dll. Saya yakin dan percaya, tujuan Shari’ati menampilkan wanita bukan Islam tapi punya hati yang luhur ini adalah untuk membandingkannya dengan Fatimah nanti. Seagung manakah Fatimah itu? Kerana, menurut Shari’ati yang istimewanya Fatimah berbanding wanita-wanita lain ekoran ragam dimensinya. Dan, nyata sekali, dimensi Fatimah dalam paparan Shari’ati luas rangkumannya; sebagai seorang puteri kepada Rasulullah, sebagai seorang isteri kepada Ali Abi Thalib, sebagai seorang ibu kepada warisan ahlul bayt, dan sebagai seorang pejuang wanita yang mengugat zeitgeist, bahkan turut dianggap sebagai lambang abadi untuk wanita.

Bagi Shari’ati, inilah yang uniknya Fatimah! Keunikan Fatimah kerana lingkungannya. Di sekeliling Fatimah, terdapat nama-nama besar yang terlekat dalam sebuah keluarga ulung. Bayangkan, kata Shari’ati, tidak pernah ada agama, sejarah atau negara yang mencatatkan keluarga seperti ini, sebuah keluarga yang bapanya ialah Ali, ibunya adalah Fatimah dan anak-anak mereka adalah Hassan, Husayn, Zaynab. Dan, luar biasanya, dalam keluarga inilah tersematnya keagungan serta keikhlasan cinta, di mana darah-darah sepanjang zaman disembahkan hanya untuk sebuah keluarga yang pernah diam di pinggir Ka’abah, bersebelahan dengan teratak Rasulullah ini.

Memang, kisah Fatimah yang ditonjolkan oleh Shari’ati tentang Fatimah sebahagiannya berbeza dengan kepercayaan Sunni kita. Namun begitu, mempersonanya buku ini, Shari’ati tidak lupa melampirkan definisi Shi’ah yang bagi saya membawa erti cukup menyegarkan. Lebih dari itu, saya sendiri—dari kacamata manusiawi—tidak melihat sebarang pertindihan dengan beberapa keyakinan dalam tradisi sekitaran kita. Di sini, Shari’ati mengambarkan Shi’ah sebagai tempat di mana cinta, kegigihan, darah dan kesyahidan lahir. Pada Shari’ati, Shi’ah adalah pusat kegeloraan, perasaan yang membakar, dan dalam waktu yang sama, ia meliputi keruhanian dan kebijaksanaan. Ia juga merangkumi ilmu budaya dan intelektual. Di samping itu, ia adalah gerakan utama pemikiran revolusioner dan sebuah kebetulan dalam nasib manusia. Shi’ah, bagi Shari’ati lagi, adalah pengetahuan cinta dan kebenaran atas nama dan sifat Ali. Ini kerana, kebenaran tanpa ibadat adalah falsafah dan ilmu, dan ibadah tanpa kebenaran adalah penyembahan dan nafsu.

Benar, inilah yang menawannya! Menerusi definisi yang dilakarkan oleh Shari’ati ini, kita lihat bagaimana Fatimah yang dibicarakan hampir segenap buku ini telah menepati kepada apa dimaksudkannya; secara revolusionier membawa manifestasi perjuangan Fatimah kepada perjuangan rakyat! (Ternyata benar, antara kelebihan Shari’ati seperti inilah yang dihargai oleh Olivier Roy dalam The Failure of Political Islam (1996) ekoran kecerdasannya dalam menyesuaikan tema-tema klasik Shi’ah dengan kesedaran gerakan revolusioner). Didukung dengan retorikanya, Shari’ati dengan penuh bersemangat mengajak kita untuk membelek naratif yang seterusnya, sehingga kepada kesimpulan anggunnya. Dan, kesimpulannya harus diingat, bahawa kunci kepada kefahaman yang diperolehi menerusi buku ini bukannya terletak kepada peningkatan penguasaan kita terhadap sejarah hidup Fatimah, tetapi adalah lebih dari itu. Malah, tidak memadai juga untuk kita mengaku memahami Fatimah hanya dengan mempercayai wujudnya Fatimah dalam dimensi-dimensi yang terungkap.

Lantaran, lebih bermakna dari itu semua yang diungkapkan itu, Fatimah seperti mana yang dipotretkan oleh Shari’ati adalah gambaran satu nilai yang sejajar dengan sebuah agama; Islam! Dan, pendeknya juga, Fatimah itu bersifat khas, sendirian, namun dalam waktu yang sebentar sempat punya gugusan keistimewaan yang agung di mata Nabi, malah melebihi keistimewaannya sendiri sebagai Ummu Abiha!

No comments:

Post a Comment