Dewasa ini, kedudukan minoriti beragama di Malaysia begitu membimbangkan. Apatah lagi, dalam terang-terangan, terdapat pula sebahagian dari kalangan majoriti beragama yang menganggap perbezaan adalah musuh besar kepada kemanusiaan dan kewarganegaraan.
Memang, tampaknya kita tidak belajar dari sejarah. Kita lupa, bahawa berlapang dada menerima perbezaan adalah tuntutan dalam kehidupan sebuah masharakat majmuk. Kemuncak dari kegagalan mengurus perbezaan ini termanifestasi dari peristiwa 11 September 2001. Ternyata, peristiwa bersejarah tersebutlah yang akhirnya memangkin Islamophobia, terutamanya di Barat. Kini, Islam dan Muslim dimomok, sehingga ke tahap yang mencemaskan. Semuanya gara-gara bermula dari keengganan untuk menerima perbezaan.
Pada tahap ini, "terrorisme" dan "perang atas terrorisme", masing-masing tidak lagi mengenal harga manusia dan sempadan negara. Inilah akibat yang paling dashyat dari kerakusan untuk menseragamkan iman. Walau bagaimanapun, 11 Semptember bukanlah seluruhnya khabar buruk. Rupa-rupanya, peristiwa tersebut terselit juga harapan baru. Setidaknya, peristiwa tersebutlah yang kemudiannya mendorong penilaian-kembali terhadap projek sekularisme. Jürgen Habermas adalah antara yang serius mengutarakannya.
Menerusi Philosophy in a Time of Terror: Dialogues with Jürgen Habermas and Jacques Derrida, Habermas mengungkapkan betapa 11 September 2001 tersebut berlaku kerana Barat telah menguncilkan fungsi agama dalam ruang awam. Ini sebetulnya sebuah pandangan yang menarik. Memang, dalam sejarah Eropah moden, agama sering saja dianggap sebagai tidak berfungsi dalam ranah politik. Tapi, di tangan Habermas, agama telah difikirkan sebaliknya. Kerana itu, akhir-akhir ini, filsuf Jerman tersebut begitu gigih memperkenalkan idea masharakat pasca-sekular (post-secular society).
Dalam idea masharakat pasca-sekular ini, Habermas menunjukkan betapa agama adalah sangat penting untuk diajak berdialog. Baginya lagi, kalangan beragama dan kalangan sekular, masing-masing punya hak yang setara, yang keduanya dapat dihubungkan lewat wacana. Berdiri atas semangat pencerahan, Habermas yakin dan percaya bahawa gagasan komunikasinya mampu untuk meredam ekstrimisme, sama ada dari kubu agama mahupun dari kubu sekular.
Namun, yang jadi inti kepada idea masharakat pasca-sekular tersebut sebenarnya adalah penekanannya mengenai keadaan epistemik (epistemic situation). Menurut Habermas, ini adalah sebuah keadaan di mana kalangan beragama dan kalangan sekular dituntut untuk bersikap saling-belajar (mutual learning), dan saling-memahami (mutual understanding). Sebab, secara kognitif, Habermas dengan cemerlang menunjukkan bahawa setiap manusia memang ada kemampuan untuk melakukan peminjaman perspektif antara sesamanya.
Walau bagaimanapun, kita mungkin bertanya: apa kaitan perbahasan keadaan epistemik dengan perkembangan di Malaysia? Tentu sekali boleh dikaitkan. Sebab, di sini kita boleh menggunakan perbahasan Habermas ini untuk menyorot kembali kedudukan minoriti beragama di negara kita ini. Seperti kita sedari, lebih-lebih lagi mutakhir ini, kelompok minoriti beragama di Malaysia sering saja dilanda kemelut tatkala berdepan dengan kekuasaan politik (pemerintah, mithalnya), mahupun berdepan dengan kelompok majoriti beragama (Ahli Sunnah wal Jamaah, mithalnya).
Sebagai contohnya, kelompok Shia, Ahmadiyya, dll, sering mengalami kesulitan untuk memiliki kepercayaan mazhab yang berbeza. Kesannya, hak mereka sebagai manusia dan sebagai hak mereka sebagai warga, diancam. Malah, lebih teruk lagi, terdapat sebahagian dari kalangan majoriti beragama di Malaysia seolah memberi gambaran bahawa kalangan minoriti beragama ini hanya ada dua pilihan: bersama majoriti, atau siaplah untuk menderita. Gambaran ini yang sering dipaparkan, sama ada lewat media massa, lewat propaganda agama pemerintah (insitusi-institusi agama), dll.
Persoalannya sekarang: apakah merupakan satu dosa bagi seorang manusia sekiranya memilih berlainan mazhab? Hanya mereka yang fanatik mazhab saja akan berfikiran demikian. Demikian juga, sekiranya memilih mazhab yang berlainan, apakah itu mengikis haknya sebagai seorang warganegara Malaysia? Pasti tidak. Hak sebagai manusia, dan hak sebagai warga, seharusnya tetap terjamin selamanya. Inilah yang sering kita lupakan dalam keta'asuban kita saat berdepan dengan kalangan minoriti beragama.
Justeru itu, berdasarkan kepada perkembangan negatif ini, eloklah kita meminjam wacana keadaan epistemik dari Habermas ini dengan menggesa sebuah sikap saling-belajar dan saling-memahami bagi mendamaikan ketegangan antara mazhab di Malaysia ini.
Untuk kalangan minoriti beragama, penting bagi mereka menempatkan iman-nya dalam konteks kenegaraan. Jadi, sebarang idea dan tindakan yang mereka kemukakan dan lakukan, haruslah dibatasi dengan hukum negara. Walau bagaimanapun, mereka mestilah dibenarkan untuk memiliki dan mewacanakan imannya tersebut. Ini adalah sebuah hak yang seharusnya bersifat universal, dan dijamin secara perlembagaan. Bahkan, adalah lebih baik lagi sekiranya kalangan minoriti tersebut dapat menampilkan sumbangan positif mereka bagi pembangunan negara dan masharakat. Dengan itu, masharakat secara umumnya akan dapat belajar sesuatu dari mereka.
Manakala, bagi kalangan majoriti beragama pula, mereka pula haruslah siap untuk menerima perbezaan. Mereka harus sedia untuk berkongsi hidup dalam negara kecil ini, dengan membenarkan kelompok minoriti beragama untuk terus berada, berbeza-iman, serta beroganisasi, selagi mana mereka mematuhi hukum.
Sungguhpun begitu, hukum yang dimaksudkan di sini tidak harus difahami secara ketat, seperti anjuran faham demokrasi liberal. Sebab, sekiranya sesuatu hukum yang sedia ada itu dirasakan telah mendiskriminasi kalangan minoriti beragama, maka hukum tersebut perlulah dinilai-kembali. Maksudnya, jika ada larangan terhadap hak-hak minoriti beragama untuk berpendapat, berwacana, dan beroganisasi atas nama mazhab minoriti mereka, maka larangan tersebut boleh saja dirombak. Inilah anjuran dari demokrasi deliberatif yang dikemukakan Habermas.
Dengan itu, kalangan minoriti beragama sangat berhak untuk mengungkapkan pengalaman diskriminasi mereka, supaya kalangan majoriti beragama dapat belajar sesuatu di sini. Dari situ, sebuah hukum yang lebih harmoni dapat digubal-semula, dan sekaligus dapat mendamaikan ketegangan antara mazhab. Maka, sebuah ketundukan menerima perbezaaan epistemik ini haruslah disemai, sama ada secara pendidikan, kempen dari pemerintah dan NGO, ataupun menerusi perlaksanaan hukum, dll.
Malangnya, kesedaran inilah yang luput dari pengalaman beragama di Malaysia. Agama di Malaysia, sering saja dijadikan senjata politik sama ada dari kalangan pemerintah mahupun dari kalangan pembangkang. Ini adalah sebuah perkembangan yang mencemar nilai-nilai demokrasi. Kerana itu, kita dapat melihat bagaimana isu-isu minoriti beragama ini selalu dimanipulasi, demi untuk memastikan kelangsungan kekuasaan yang sedia ada. Natijahnya, lahirlah demokrasi semu.
Sehubungan dengan itu, jalan dialog seperti penegasan Habermas, tentunya adalah cara terbaik untuk melakukan perubahan tanpa-kekerasan (non-violent). Lewat dialog juga, hak sebagai manusia dan hak sebagai warga dapat dihurmati dengan sebaiknya. Meskipun ada yang memilih untuk berbeza iman, tapi tetap saja hak-hak mereka sebagai manusia dan sebagai warga, terjamin dan terus melekat pada diri mereka. Inilah yang kita sering terlupa saat berdepan dengan kalangan minoriti beragama. Kita, sebagai kelompok majoriti beragama, sering terlupa bahawa 'sesesat' manapun iman mereka, tetap saja mereka itu adalah seorang manusia, dan seorang warga.
Justeru, jika garis pemisah ini kita sedari awal-awal, maka sebenarnya untuk hidup berbeza tidaklah sulit manapun. Namun, andainya dimensi kemanusiaan dan dimensi kewarganegaraan ini dipandang enteng, maka kita sebagai kelompok majoriti beragama sebetulnya sama saja perangai dengan Barat. Tatkala Barat dengan Islamophobianya, maka kita pula dengan mazhab-phobia. Jadi, apa bezanya kita dengan Barat? Lalu, apakah kita layak untuk mengecam diskriminasi Barat atas Muslim, dikala kita sendiri sedang mendiskriminasi minoriti Shia, Ahmadiyya, dll? Atau, apakah kita layak untuk mengaku menjunjung demokrasi, sedangkan kita terus-menerus melakukan tirani ke atas minoriti beragama ini?
Sama sekali tidak layak. Malah, paradoks tersebutlah yang kemudiannya memalukan harga diri kita sebagai manusia yang bermaruah, dan sebagai warganegara yang beradab. (Jalan Telawi, 15 Julai 2012)
Sunday, July 15, 2012
Membela Mazhab Minoriti
dimuatkan oleh
Aqil Fithri
tanggal
6:02 AM
1 ulasan
bilek @ JalanTelawi
Thursday, June 14, 2012
Lima Soalan Untuk Mahathir
Demokrasi, selalu diberi ragam makna. Bergantung kepada fahamnya.
Faham demokrasi Mahathir selalu mudah: demokrasi harus ada batasannya, harus diiringi dengan tanggungjawab, dan berfungsi untuk tujuan pembangunan. Inilah "acuan demokrasi ideal" yang Mahathir sampaikan sewaktu sharahan utama di University of Santo Tomas (UST) di Manila seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini pada 11 Jun 2012.
Lebih lanjut di Filipina tersebut, Mahathir turut menegaskan bahawa sekiranya mahu mengubah pemerintahan, cukuplah dengan kotak undi. Ini dapat dilakukan lima tahun sekali. Selain itu, nilailah pemimpin, bagi Mahathir, menurut idea dan strategi yang dimilikinya. Sesuai dengan faham ini, maka Mahathir sama sekali tidak melihat Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi liberal. Anehnya, Mahathir tidak pula memaklumkan apakah jenis demokrasi di Malaysia ini.
Walau bagaimanapun, --terlepas dari semua ini-- kita harus menelaah-kembali apakah sebenarnya tujuan dari hidup bernegara ini. Sebab, tampaknya Mahathir cuba menyelewengkan makna demokrasi kepada sebuah faham kenegaraan yang kabur. Justeru, untuk memahami persoalan ini, maka adalah lebih baik kita mengungkapkan lima persoalan kepadanya.
Pertama, Mahathir berkata bahawa demokrasi mestilah difahami bersama batasannya. Persoalannya: sejak bilakah demokrasi tidak pernah dikaitkan dengan batasannya? Hanya Mahathir saja yang tidak pernah lelah mengulanginya.
Sebelumnya, Mahathir selalu bimbang dengan kebebasan mutlak. Padahal, tidak ada siapa pun yang mempertikaikan. Memang, kita semua tahu bahawa takkan ada kebebasan mutlak. Dalam sebuah negara hukum, perlembagaan (undang-undang) adalah pembatasnya. Masalahnya ialah, bagaimana perlembagaan itu digubal: Lewat deliberatif atau lewat autokratik? Persoalan inilah yang lebih berfaedah untuk Mahathir risaukan, berbanding dengan tidak habis-habis meratibkan batasan demokrasi.
Kedua, mengapa Mahahtir lagi-lagi bercakap soal tanggungjawab? Kenapa tidak bercakap soal hak? Walhal, dalam konsep hak yang sifatnya sangat universal, itu sebenarnya sudah tertanam konsep tanggungjawab. Mithalnya, dalam konsep hak, itu terdapat konsep tanggungjawab untuk dalam menghurmati hak-hak warga lain, yang harus dipatuhi secara bersama. Konsep hak ini yang lebih kuat premisnya berbanding dengan konsep tanggungjawab.
Tapi, dengan beria-ia berbicara soal tanggungjawab, maka apakah niat terselindung Mahathir ini? Jangan-jangan, laungan tanggungjawab (yang garisnya ditentukan pemerintah secara sepihak) tersebut berniat untuk mengawasi dan mengawal segala tingkah-laku (malah, fikiran!) rakyatnya. Tidak demikian, Mahathir?
Ketiga, Mahathir meletakkan makna kehidupan bernegara adalah pembangunan semata. Bukan demokrasi. Benarkah demikian? Persoalannya, apakah makna pembangunan menurut Mahathir ini? Dan, persoalan berikutnya, adakah dengan melakukan pembangunan, maka sempurnalah makna negara? Apakah sebegini dangkal makna negara menurut Mahathir?
Padahal, kata negara itu adalah terbitan dari pemaknaan kepada sebuah "komuniti hukum". Dalam komuniti ini, yang menjadi tujuannya bukannya pembangunan (yang telah disempitkan oleh Mahathir). Sebaleknya, bagaimana melibatkan warganegara dalam setiap keputusan-dasar negara. Inilah ruh hidup bernegara. Malangnya, yang terlintas dalam fikiran Mahathir tatkala berfikir mengenai negara ialah pembangunan. Betapa dangkalnya.
Keempat, Mahathir menekankan bahawa yang terpenting dari kualiti pemimpin adalah kemampuannya dalam merangka strategi dan idea untuk kemakmuran negara. Lagi-lagi, benarkah yang terpenting ialah kualiti pemimpin, bukannya kualiti sistem (demokrasi)? Jadi, individu lebih penting dari sistem, begitu Mahathir? Ini logik bernegara apa yang dipakai Mahathir? Lagi pula, kualiti pemimpin bukanlah diukur dari kecerdasan dan kebernasannya. Tapi, diukur dari kemampuannya untuk memastikan tatacara demokrasi terus mengalir dengan baik. Inilah tugas hakiki pemimpin.
Di samping itu, Mahathir selalu berfikir bahawa kemakmuran --yang sering disempitkan secara instrumental-- adalah segala-galanya. Padahal, negara itu bukanlah sebuah sharikat perusahaan. Malah, kedudukan seorang perdana menteri juga bukanlah seperti kedudukan seorang ketua pegawai eksekutif (CEO).
Dan kelima, Mahathir, beranggapan bahawa cukuplah untuk mengubah pemerintah saat pilihanraya umum. Bermakna, menurut Mahathir, proses mengubah pemerintah hanya boleh dilakukan setiap lima tahun, lewat kotak undi. Lalu, pertanyaannya: apakah yang warga harus lakukan di antara dua pilihanraya, atau dalam tempoh lima tahun tersebut? Hanya patuh saja semua titah pemimpin!?
Maka, ke mana perginya konsep masharakat warga (civil society), ketakpatuhan warga (civil disobedient), kewarganegaraan aktif (active citizenship), ruang awam (public sphere), dll, yang menjadi sendi demokrasi. Mahathir, percaya atau tidak, tidak pernah menyebutnya. Sekalipun tidak pernah. Padanya, demokrasi ialah pilihanraya umum. Selain dari hari mengundi, rakyat mestilah pasif.
Justeru, berdasarkan kepada lima persoalan ini, cukuplah untuk kita melukiskan bagaimana faham demokrasi Mahathir ini. Demokrasi, menurut Mahathir, selalu dimomokkan sebagai sebuah "kebebasan mutlak", "tidak-bertanggungjawab", "anti-pembangunan", "menghambat idea pemimpin" dan "hanya pilihanraya." Setohor ini saja makna demokrasi Mahathir. Tentunya, makna tumpul seperti ini dengan mudah dapat kita temukan dalam negara totalitarian.
Sebab itu, usah hairan, ciri-ciri totalitarianisme ini turut terlekat sepanjang 22 tahun Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia. Demokrasi di Malaysia, pada waktu Mahathir, berada pada titik terendah dalam sejarah. Seluruh trias politica (eksekutif, judikatif dan legislatif) telah dimuatkan ke dalam satu individu: bernama Mahathir. Inilah Mahathirisme, nama lain kepada Machiavellianisme. Sementara, rakyat di mata Mahathir tidak lain adalah sebuah objek, yang sekadar berfungsi lima tahun sekali. Padahal, Niccolò Machiavelli sendiri bukan begitu.
Andai kata Machiavelli maseh hidup sekalipun, tentunya takkan bersependapat dengan Mahathir ini. Kerana, Machiavelli bukanlah seorang Machiavellian, seperti Mahathir. Sebaleknya, Machiavelli adalah seorang republikan, yang menghargai aspirasi rakyat. Manakala, Mahathir pula dalam diam-diam adalah seorang diktator, yang selalu mencipta pemujanya yang fanatik. (JalanTelawi, 14 Jun 2012)
dimuatkan oleh
Aqil Fithri
tanggal
5:01 PM
0
ulasan
bilek @ JalanTelawi
Tuesday, January 17, 2012
Negara dan Representasi Politik
Hannah Arendt selalu memukau. Tatkala berbicara dalam On Violence, pemikir Yahudi-Jerman ini dengan tuntas menunjukkan kepada kita betapa kuasa dan kekerasan adalah dua hal yang sebenarnya saling bertentangan. Sebaik saja setiap satu darinya bertahta maka yang lainnya akan hilang. Kekerasan, buat Arendt, hanya muncul saat kuasa tergugat, dan akan mangkir sebaik saja kuasa tersebut tak lagi mencengkam.
Bacaan Arendt inilah yang menjadi "ruh zaman" ketika ini. Seraya kita menatap sebarang unsur-unsur totalitarianisme dengan penuh-awas, maka pandangan Arendt ini sangat terimbas kepada dua bentuk gerakan alternatif demokrasi: yakni demokrasi deliberatif dan demokrasi partisipatif. Justeru itu, menyedari piawai wacana semasa ini, maka pihak Diskopi telah mengambil inisiatif berani dengan menganjurkan wacana "Negara dan Representasi Politik" pada 11 Januari 2012, yang diadakan di Distro Buku, UKM Bangi. Ternyata, wacana ini berusaha untuk mengupaskan sisi-sisi demokrasi yang radikal, yang dalam bahasa lainnya, memprakasakan tuntutan "pendemokrasian demokrasi".
Terdapat dua panelis yang berbicara dalam wacana tersebut, yang dimoderator oleh Teo Len Ken. Pertama, adalah Firdaus Zolkifli, yang lebih menekankan hal-hal yang abstrak, dan teoritis, dengan merujuk kepada mengapa perlunya negara, dan mengapa perlu ada representasi politik. Manakala Fahmi Reza, yang popular dengan #OccupyDataran, pula tampil mengungkap realiti, dan mengamati peristiwa-peristiwa empiris dalam politik tanahair. Keduanya, saling percaya, Malaysia memang sedang berdepan dengan krisis. Keduanya juga punya tawaran: Untuk Firdaus, jalan keluarnya adalah demokrasi deliberatif, sementara untuk Fahmi Reza, adalah demokrasi partisipatif.
Tawaran inilah, yang akhirnya membezakan idea mereka dengan kebanyakan wacana demokrasi popular dalam politik tanahair. Selalunya, kita dimomokkan dengan faham liberalisme, libertarianisme, sosialisme, atau juga Islamisme. Keduanya, sama ada demokrasi deliberatif atau demokrasi partisipatif, jelas lari dari semua faham klasik tersebut. Keduanya, tak lagi berharap kepada sebuah kekuasaan dari atas, yang bermuka-muka untuk menyelesaikan segala permasalahan dalam sesebuah negara. Sama ada Firdaus atau Fahmi, setiapnya cuba membongkar kedangkalan terhadap premis sistem politik arus perdana dewasa ini.
Bermula dengan Firdaus, anak muda ini bermula dengan menghimbau Thomas Hobbes. Buku Leviathan, baginya sangat membantu, dalam menjelaskan mengenai keperluan untuk mendirikan negara. Sebuah kekuatan raksasa (Leviathan), menurut Firdaus, memang diperlukan bagi memaksakan pendamaian dalam masharakat. Ketika terdapat individu/kelompok bertelingkah, maka harus ada satu "pihak yang neutral" yang dapat mendamaikannya. Mereka adalah pihak ketiga, yang tujuannya semata untuk mendorong perlaksanaan nilai-nilai kesetaraan.
Dari Hobbes ini, Firdaus mahu memaparkan bahawa setiap dari manusia itu boleh berupa serigala. Manusia, selalu ada hasrat untuk menguasai sesamanya, homo homini lupus; manusia adalah serigala bagi manusia lainnya. Dalam kata lain, ini bererti perang sesama manusia. Jadi, untuk mengelakkan dari tercetusnya perang, maka negara adalah entiti yang sangat diperlukan. Sebab itu, Firdaus yakin bahawa negara adalah hal yang tak dapat dielakkan, yang mesti kita terima, walau apapun istilah, konteks serta skalanya.
Tapi, apa setelah Hobbes? Sebab, tentu ada persoalan lain yang cukup memanggil kita, tentang pertanyaan: negara yang bagaimana?
Legitimasi, memang, adalah kata tipikal dari Habermas. Firdaus dengan benar, mengambil contoh betapa setiap kemelut dalam negara moden ini berlaku akibat kehilangan legitimasi dalam pemerintahannya. Tentu perspektif ini akan lebih jerneh jika kita berkaca pada buku Legitimation Crisis dari Habermas, yang mengupas bagaimana birokrasi (pentadbiran negara) dan kapitalisme (ekonomi), telah sama-sama telah mencekik ruang awam. Padahal, ruang awam ini sangat penting, dalam membangun legitimasi politik.
Cuma pertanyaan tetap belum selesai. Sebab ada pertanyaan lain lagi, tentang: mengapa legitimasi ini penting? Menurut Firdaus, legitimasi ini penting untuk memastikan setiap kekuasaan "yang di atas" itu tunduk pada kehendak "yang di bawah". Lanjutnya, Firdaus mensasarkan kepada desakan untuk memastikan setiap dasar haruslah berasaskan kepada hukum/perlembagaan/undang-undang yang legitim. Justeru, tegas Firdaus, untuk mendapatkan dasar yang legitim ini, maka setiap perkara politis dalam masharakat haruslah digubal menerusi tataran kewacanaan.
Memang, wacana adalah sangat penting dalam membangun legitimasi. Penting kerana dari wacana-lah masharakat dapat berkongsi pandangannya, serta dapat membangunkan cita-cita secara bersama, tanpa-kekerasan. Sebab, menurut Habermas, seperti yang dikutip Firdaus sendiri, dalam hubungan manusia ini, ada dimensi intersubjektif-nya. Maksudnya, kita tak seperti dimensi manusia Hobbesian semata. Tapi, kita juga ada dimensi manusia Habermasian. Maknanya, kita tak selalu mahu berperang. Tapi, kita juga ada rasa simpati dan empati kepada manusia yang lain. Jadi, adalah silap jika kita hanya mengandaikan manusia dari segi homo homini lupus semata.
Jadi, dari seluruh bentangannya, Firdaus telah memaparkan gandingan antara Hobbes dan Habermas, dalam merincikan mengenai makna dan keperluan negara. Mithalnya, di tangan Hobbes, Firdaus pinjam untuk mengetahui kepentingan negara. Manakala, di tangan Habermas, Firdaus pinjam untuk menjelaskan rupa-cita negara yang bagaimana. Jadi, Firdaus, umumnya telah menerangkan perubahan konsep dari sebuah negara Leviathan kepada sebuah negara demokrasi deliberatif.
Lengkap dengan demokrasi deliberatif, Fahmi Reza pula memberi saingan dengan tawarannya lewat demokrasi partisipatif. Memang, kedua faham ini sangat berdekatan. Tapi, ada beberapa sisi halus yang membezakannya. Untuk tahu perbezaannya, kita harus terlebih dahulu tahu apa yang dimaksudkan dengan demokrasi partisipatif.
Tak seperti dengan pendekatan falsafi-nya Firdaus, Fahmi bermula dengan persoalan-persoalan kontekstual, dan banyak berkaca terhadap kemelut politik tanahair. Tanpa menyebut pemikir dari garis demokrasi partisipatif, seperti Carole Pateman, C. B. Macpherson, dll, Fahmi terus kepada persoalan yang nyata. Persoalannya mudah saja, yang barangkali ini juga persoalan lazimnya: mengapa hanya 222 ahli parlimen yang harus menentukan setiap dasar buat 28 juta rakyat Malaysia? "Mangapa tidak kita tentukan sendiri saja?", soal Fahmi. Persoalan ini juga merupakan kritik langsung Fahmi terhadap lompong representasi politik yang sedia ada.
Tentu, Fahmi, memerhatikan politik tahahair dewasa ini telah kehilangan representasi politiknya. Dengan skala Malaysia yang sangat besar (baginya), maka adalah sulit untuk memuaskan kehendak seluruh anggota dalam masharakat. Jadi, Fahmi memikirkan perlunya ada sebuah sistem yang lebih kecil, yang dapat dioperasikan agar lebih menepati aspirasi masharakat yang terkecil, yang kian beragam jumlah kelompoknya. Dalam bayangannya, Fahmi melihat kepada pengagihan kekuasaan yang lebih besar kepada pemerintahan tempatan (local government). Jadi, pemerintahan pusat/pemerintahan negeri (federal government/state government) harus dikurangkan kuasanya, dan disalurkan kuasa tersebut kepada pemerintahan tempatan.
Apa yang dikemukakan Fahmi ini, sudah tentu adalah untuk merayakan penyertaan-aktif masharakat dalam usaha untuk menjamin representasi politik dari masharakat itu sendiri. Tapi, persoalannya: bagaimana untuk merealisasikan agihan kekuasaan ini? Untuk itu, Fahmi berharap kepada proses perbincangan dan tuntutan dari masharakat itu sendiri. Jadi, padanya, pilihanraya semata bukanlah sesuatu yang boleh kita diharapkan lagi. Pilihanraya kini, cemuh Fahmi lagi, telah jadi alat kekuasaan partisan, yang secara langsung telah mengabaikan pandangan hakiki yang-berterusan dari akar-umbi masharakat itu sendiri.
Dengan membawa contoh tentang kecenderungan tertentu, --yang menurut Fahmi sudah terlalu partisan, sama ada ke arah parti pemerintah mahupun parti pembangkang-- Fahmi melihat kebangkitan masharakat warga (civil society) telah digugat oleh sikap partisan, sehingga melunturkan makna masharakat warga itu sendiri. Semuanya, seperti mahu dibolot oleh gerakan popular, sehingga sanggup jadi pekakas partisan yang tak-kritis.
Keluhan Fahmi ini ada benarnya. Ini kerana, kita dapat melihat betapa sedikitnya Lembaga Swadaya Masharkat (LSM) yang mandiri. Kegagalan LSM untuk mandiri ini barangkali akibat tekanan kuat dari pemerintah, atau juga kerana terhutang-budi dengan pemerintah tersebut. Malah, mungkin juga kerana LSM tersebut se-idealogi dengan kalangan partisan tertentu. Begitu juga dengan gerakan mahasiswa, yang rata-ratanya sudah boleh ditebak kecondongan politiknya. Memang, jelas Fahmi, adalah tak salah untuk sendeng kepada pemerintah mahu pembangkang. Tapi, yang dukacitanya ialah sikap tersebut sampai meredam daya-kritis (tiada otokritik) kepada kebobrokan dalam sistem mereka sendiri.
Sejauh ini, kita telah melihat bagaimana asas penghujahan yang dibina oleh Firdaus dan Fahmi. Kedua percaya kita sedang dalam krisis, dan keduanya melihat perlunya sebuah pemulihan representasi politik yang sedia ada. Sekarang, persoalan seterusnya: apakah yang membezakan mereka?
Sebetulnya, ada garis halus yang membezakan mereka. Fahmi, sepertinya lebih selesa untuk memperkasakan sistem majlis (council system) sebagai jalan keluar dari kebejatan sistem politik tanahair. Manakala, Firdaus pula seakan melihat perlunya memperkasakan sistem politik yang sedia ada, dengan sistem keparlimenan (parliamentary) tersebut. Tapi, supaya tak berlaku salah-faham, Firdaus sebenarnya lebih menekankan untuk memperkuatkan sistem keparlimenan tersebut bukannya dengan kehendak "dari atas". Sebaleknya, juga dari tuntutan "dari bawah", persis seperti yang ditegaskan Fahmi. Jadi, ada seruan yang sama, tapi dengan langkah yang berbeza. Untuk Firdaus, pentingnya pemusatan kuasa dan untuk Fahmi perlunya pengagihan kuasa.
Lebih rinci, perbezaan ini dapat kita telusuri lagi menerusi sikap mereka terhadap kemelut politik tanahair. Jika Fahmi tak begitu berharap dengan sistem yang sedia ada, kemudian mahu mengagihkan kekuasaan pusat kepada pemerintahan tempatan, manakala Firdaus maseh lagi berharap dengan sistem yang sedia ada. Bagi Firdaus, sistem yang sedia ada maseh boleh dipertahankan. Cuma, kita harus memperkuatkan sistem ini dengan aspirasi kita sendiri. Jadi, tugas kita adalah memastikan sistem yang kita jalani ini agar berdiri atas semangat kita sendiri, bukannya dibolot oleh gerakan partisan semata. Justeru, budaya masharakat warga dalam memantau-rapi dan mengkritik setiap pemain politik haruslah disemarakkan lagi.
Selain itu, kita juga boleh membaca perbezaan mereka berdasarkan bentuk tanggapannya terhadap kemelut yang sedang berlaku di Malaysia mutakhir ini. Bagi Firdaus itu adalah disebabkan oleh krisis legitimasi. Sebaleknya, bagi Fahmi, itu adalah disebabkan adalah oleh kehilangan representasi. Maksud Fahmi di sini ialah, representasi politik yang sedia ada itu sebetulnya tak mewakili aspirasi sebenar masharakat bawahan. Kerana itu, kita dapat melihat betapa unsur-unsur ketakpuashatian masharakat bawahan semakin bertambah, dan semakin kritis. Tentu, maksud yang sama juga dicerap oleh Firdaus. Hanya saja, perbezaan istilah antara keduanya.
Di samping itu, sesuatu yang ketara dalam membezakan Firdaus berbanding Fahmi adalah, fakta-nya tentang totalitarianisme. Menurut Firdaus, bahaya totalitarianisme inilah yang harus kita hadapi sungguh-sungguh, dengan serius, dan dengan penuh-prihatin. Inilah juga kritik kerasnya pada Fahmi, yang bagi Firdaus, telah gagal melihat peri-pentingnya bahaya totalitarianisme, berbanding dengan fakta-fakta runcitan demokrasi yang lain. Katanya, "demokrasi ini bukanlah persoalan skala dalam pemerintahan, sebab persoalan yang lebih besar dari itu adalah bagaimana untuk melawan totalitarianisme." Dengan yakin, Firdaus menyambung lagi, "sebab itu, tiada gunanya pemerintahan tempatan sekalipun, sekiranya unsur-unsur totalitarianisme maseh bertakuk dalam pemerintahan tempatan tersebut."
Walau bagaimanapun, umumnya, Firdaus dan Fahmi memang sepakat bahawa politik tanahair memang bermasalah. Dan mereka juga sepakat bahawa jalan keluar dari semua kemelut ini adalah melalui gerakan tanpa-kekerasan dan semangat-dialog, bagi meradikalkan lagi sistem demokrasi yang sedia ada. Maksud radikal di sini, sudah tentu berhubung rapat dengan seruan untuk dipulihkan (kembali?) mutu representasi politik yang sedia ada (bahasa Firdaus), atau dilakukan pengagihan kekuasaan yang sedia ada (bahasa Fahmi).
Meskipun begitu, Teo Len Ken, sebagai moderator punya keberatan yang tersendiri. Baginya, barangkali atas inspirasi dari Michel Foucault, filsuf sejarah-idea dari Perancis, bahawa untuk memulakan idea dari Firdaus dan Fahmi ini, maka tetap saja menuntut kepada sebuah kuasa yang "memaksa" dari atas. Tujuan "pemaksaan" ini bukan untuk melangsung penindasan (seperti sekarang), tapi adalah untuk mendapatkan kesetaraan, sesuatu yang disifatkannya sebagai nilai-nilai universal. Pada saat-saat tertentu, menurut Teo, kuasa dari atas ini boleh juga memakai kekerasan demi untuk melaksanakan semua prinsip universal tersebut.
Kritik Teo ini sebetulnya sangat menarik, yang boleh memancing debat-panjang antara perspektif mengenai "gerakan tanpa-kekerasan lawan gerakan-kekerasan", ataupun debat sama ada hak asasi manusia (yang universal) itu boleh (juga) diperoleh dengan jalan-kekerasan, atau sebaleknya. Persoalan "terbiar" inilah yang menjadikan wacana Diskopi ini seolah tergantung. Apatah lagi, ketika Teo mengajukan usul ini, terdapat pula "kuasa dari atas", yakni aparatus universiti, yang memasung wacana ini tanpa-alasan yang munasabah.
Ternyata, akhirnya apa yang dimaksudkan Teo itu benar, dan sangat efektif, bahawa sebuah "kuasa dari atas" memang saja dapat memaksakan sebuah kehendak untuk semua. Malangnya, pemaksaan untuk dihentikan wacana Diskopi tersebut bukan untuk nilai-nilai universal, sebaleknya untuk nilai-nilai partikular yang tak legitim. Dan, jika keadaan seperti ini berlaku, maka apa pilihannya? Arendt, dalam makalah cerdasnya "Personal Responsibility Under Dictatorship" mengajak kita bertindak dalam rangka Gandhian, yang menolak dukungan kepada setiap struktur yang tak legitim, meski sekadar tanpa perlawanan-aktif sekalipun. Cukup, --setidaknya-- sekadar tak berkerjasama.
Namun, persoalannya kini: adakah kita mampu untuk melakukan gerakan tanpa-kekerasan ini secara kolektif?
dimuatkan oleh
Aqil Fithri
tanggal
9:04 PM
0
ulasan
bilek @ JalanTelawi
Tuesday, December 20, 2011
Kritik atas Libertarianisme
Saya membaca “Masalah hanya selesai melalui ‘kerajaan terhad‘” (19 Disember 2011, Malaysiakini) seperti yang dikemukakan oleh Medecci Lineil, Eksekutif Kanan, Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) dengan penuh minat, juga dengan penuh teliti. Saya percaya, seruan untuk membataskan kuasa pemerintahan tersebut merupakan azimat dari faham Libertarianisme. Untuk itu, saya fikir usulan tersebut perlu mendapat tanggapan serius.
Idea pemeritahan terbatas, sepintas lalu, memang dapat dilihat sebagai penyelesaian akhir kepada beragam masalah urus-tadbir yang terdapat dalam sistem politik negara kita mutakhir ini. Kononnya, dengan membataskan pemerintahan, itu mampu membataskan juga peluang untuk melakukan salah-urus tadbir, mengefektifkan birokrasi, juga sepertinya dapat mengelakkan barah rasuah. Mungkin juga, dengan idea pemerintahan terbatas ini, kalangan Libertarianisme beranggapan bahawa sistem politik negara dapatlah diurus dengan lebih mudah, di mana setiap kemungkinan sudah terjangka secara mekanistik dan positivistik.
Walau bagaimanapun, saya fikir idea pemerintahan terbatas tersebut punya beberapa masalah, yang kalangan Libertarianisme kurang tekuni. Masalahnya adalah, idea tersebut telah memisahkan secara ekstrim seluruh unsur terpenting, antara bahagian masharakat dengan bahagian sistem (politik).
Mari melirik kepada konsep politik moden, yang membahagikan dua sisi penting, iaitu masharakat dan sistem. Untuk bahagian masharakat, itu terhadap bermacam unsur-unsur, seperti agama-agama, etnik-etnik, bahasa-bahasa,gaya hidup-gaya hidup dan sebagainya. Semua unsur-unsur ini, boleh kita kategorikan sebagai ragam pandangan-alam. Jadi, bahagian ini, ternyata masharakat kita memiliki pelbagai pandangan-alam yang berbeza, hatta bercanggah, yang masing-masing bergantung kepada unsur-unsur yang diyakini tersebut.
Selain dari bahagian masharakat, terdapat pula bahagian sistem. Dalam bahagian sistem, itu adalah jelas merujuk kepada politik, yang menjadi landasan kebersamaan bagi masharakat tersebut. Di sini, sistem juga merupakan pentas buat masharakat yang memiliki pelbagai pandangan-alam tersebut, untuk bersatu. Maka, dengan kepelbagaian pandangan-alam yang terdapat dalam masharakat, itu dapat diikat lewat sistem tersebut. Jadi, dalam nama lain, sistem ini adalah negara –sebagai sebuah wadah bersama.
Justeru, pertanyaannya kini ialah: apa perkaitan pembahagian antara masharakat dan sistem ini dengan idea pemerintahan terbatas? Kaitannya adalah: idea pemerintahan terbatas bukanlah sebuah idea yang “turun dari langit”, seolah itu merupakan “lampu ajaib” yang dapat menyelesaikan seluruh kemelut masharakat dan kebejatan sistem. Tidak semudah itu. Ini kerana, sebelum kita boleh melaksanakan pemerintahan terbatas, kita harus terlebih dahulu memerlukan legitimasi dari masharakat. Legitimasi inilah yang terabai dalam idea pemerintahan terbatas.
Namun, sejauh mana pentingnya untuk diperakukan legitimasi dari masharakat ini? Pada saya, legitimasi ini mampu menjamin kestabilan sistem, serta dapat memastikan setiap keputusan politik itu kelak beroleh dukungan perlaksanaan dan pematuhan dari masharakat, sekaligus memugar kebersamaan masharakat itu sendiri. Sebab itu, gagasan “pemerintahan dari rakyat untuk rakyat kepada rakyat”, itu tidak lain adalah cerminan dari tuntutan legitimasi tersebut. Ini juga adalah sebuah konsep pemerintahan terbuka, yang siap bergulir (lagi) menurut kehendak legitimasi tersebut.
Manakala, idea pemerintahan terbatas seperti yang ditawarkan itu pula cenderung kepada konsep pemerintahan tertutup, yang dengan mengkal menyangka bahawa pengecilan saiz kuasa pemerintahan dapat bertindak sebagai sebuah “tongkat sakti” kepada setiap kemelut dan kebejatan yang kita alami tersebut.
Tidak cukup dengan itu, kalangan Libertarianisme berandaian lagi bahawa idea pembatasan pemerintahan ini mampu meredam segala hal yang mahu menggugat sistem; seperti rasuah, salah urus-tadbir, dan sebagainya tersebut. Walhal, dalam bahagian sistem ini, kita harus sedar, bahawa terdapat dua musuh utama yang harus kita perhatikan baik-baik. Dua musuh tersebut adalah: pertama, percubaaan untuk memanipulasi birokrasi (negara) dan kedua, usaha untuk menguasai pasaran secara sepihak. Bagaimana untuk menjelaskan hal ini?
Sebaik saja pemerintahan dibatasi, maka yang sebetulnya muncul bermaharajalela adalah pasaran. Maka, dengan pasaran inilah, elit-elit (cukong, politikus dll) berpeluang untuk mengambil jalan pintas dalam mempengaruhi birokrasi (negara). Lantaran itu, ruang awam akan mulai tercemar. Ini mithalnya dapat kita cermati dengan budaya konsumerisme, di mana dengan kerakusan penguasaan konglomerat, dengan keserakahan cukong dan sebagainya. Keadaan sendeng inilah yang cukup dibimbangi oleh Hannah Arendt sewaktu mengamati masharakat Amerika Syarikat.
Memang, kalangan Libertarianisme tentu akan berhujah bahawa kuasa pasaran juga dapat membantu masharakat untuk menolak elit-elit tersebut. Itu benar. Walau bagaimanapun, kalangan Libertarianisme ini tetap gagal untuk melihat kesannya ketika mana elit-elit yang “turun dari langit” tersebut dan mengolah persetujuan masharakat. Kerakusan dan keserakahan kapitalisme ini dilakukan dengan berusaha membentuk lebih awal perspektif masharakat. Ini lebih-lebih lagi, jika mereka dibantu dengan oleh pemilikan media yang meluas –buat menebar kepentingan mereka tersebut. Ketika perkara ini terjadi, maka ruang awam yang autentik-lah yang seharusnya menjadi persoalan pokok. Bukannya idea pemerintahan terbatas.
Sebab itulah, kita harus membezakan antara ruang awam yang tercemar dengan ruang awam yang autentik. Untuk ruang awam yang tercemar, itu adalah tanda betapa ruang awam tersebut telah dimanipulasi oleh kepentingan-kepentingan elit tersebut; di mana, “yang peribadi” (elit) telah mencekik “yang awam”. Akhirnya, kepentingan autentik masharakat –yang harus jadi keutamaan bersama– kian terhakis akibat rongga yang sangat lapang diberikan kepada kepentingan elit tersebut.
Jadi, usah kita hairan, tatkala kalangan Liberatarianisme menyerang habis-habisan totalitarian-nya Maoisme, sebetulnya mereka juga adalah sebentuk totalitarianisme yang sama, cuma berlainan jubah. Mengapa? Kerana dengan idea pemerintahan terbatas, itu menatijahkan kesempatan kepada elit-elit tersebut untuk mengigit masharakat, seluruhnya. Jadi, sama saja fasis keduanya. Sebab itu, Max Horkheimer dengan benar berkata: barangsiapa yang berdiam diri pada kapitalisme, bererti mereka juga berdiam diri pada totalitarianisme.
Lantas, bagaimana untuk mengatasi keadaan ini?
Untuk mengatasinya, bukan dengan berkaca kepada pemerintahan terbatas. Tapi, itu menuntut proses pemberdayaan ruang awam, yang bertujuan untuk membersihkan krisis-krisisnya. Ruang awam yang autentik inilah yang harus diselamatkan, dimerdekakan, serta dibangunkan. Ini dilakukan bukan dengan pasaran “dari atas”, sebaleknya dari pasaran “dari bawah”.
Makanya, masharakat warga (civil society) mestilah diperkasakan sesungguhnya. Ini kerana, masharakat warga dapat berfungsi untuk mengawasi segala percubaan yang mahu mencekik kepentingan khalayak tersebut. Jadi, dengan memilih idea pemerintahan terbatas, seperti yang dikemukakan kalangan Libertarianisme tersebut, itu sama sekali tidak membantu kepada memberdayakan ruang awam tersebut. Malah, lebih berpotensi untuk memusnahkan lagi ruang awam, yang sepatutnya ruang ini menjadi harapan dalam menangani krisis-krisis dari konsep negara-moden.
Di samping itu, saya juga ingin menambah, bahawa idea pemerintahan terbatas ini juga tidak lebih dari cara berfikir mereka yang malas. Saya kata demikian, kerana kalangan Libetarianisme berkira-kira bahawa idea pemerintahan terbatas ini mampu menyelesaikan segala masalah dalam masharakat dan sistem kita. Pada saya, langkah berfikir seperti ini adalah tidak bertanggungjawab, berlepas tangan, dan petanda kepada kegagalan berfikir sempurna. Kenapa? Kerana, sebetulnya banyak unsur-unsur dalam masharakat yang boleh kita majukan lagi bagi membantu memperkuatkan sistem (politik) kita.
Mithalnya, antara yang boleh membantu memperkuatkan sistem adalah agama. Tapi, apa sikap Libertarianisme terhadap agama? Mereka, jelas sekular yang eksesif, yang dalam erti mahu memisahkan terus wilayah agama dengan wilayah sistem. Kononnya, agama sama sekali tidak boleh campurtangan dalam sistem. Pada saya, pandangan ini sudah sangat klasik, dan sangatlah bermasalah. Banyak penyelidikan psikologi, sosiologi, falsafah, dll yang telah menunjukkan betapa selama mana pun agama diasingkan dari sistem, itu tidaklah dapat mengelak dari berlakunya patologi modeniti. Bahkan, lewat idea pasca-sekular, dapat ditemukan pula betapa, agama rupa-rupanya sangat berperanan ke arah memperkuatkan sistem.
Jadi, sebenarnya jalinan antara masharakat-sistem ini memberi membawa makna yang besar kepada kita. Itu memberi makna, setidaknya pemisahan terus antara masharakat dan sistem bukanlah sebuah idea yang bagus. Lantaran itu, idea untuk menyambungkan kembali dinamika masharakat dengan kestabilan sistem itu yang sewajarnya lebih disoroti. Sebab itu, saya melihat kalangan Libertarianisme adalah sekelompok mereka yang pemalas. Mereka bukan saja malas untuk melakukan tugas bagi menyambungkan kembali antara masharakat dan sistem, bahkan mereka malas untuk memikirkan kemungkinan bagi menghasilkan sebuah sistem yang mengorganisasikan-dirinya-sendiri.
Lantas, dengan kegagalan mereka untuk menyambungkan antara masharakat dengan sistem ini, maka mereka telah mengambil jalan pintas: yakni, putuskan saja sambungan antara masharakat dan sistem; lalu, jalankan saja pemerintahan terbatas; maka, dengan itu, mereka berilusi bahawa idea pemerintahan terbatas akan dapat menjadi penawar terhadap segala kemelut politik (dan sosial) yang sedang negara kita alami dewasa ini. Buat saya, inilah utopia-nya Libertarianisme.
Seraya mengenang kedangkalan ini, marilah kita ingat sejenak; ketika mana kalangan Libertarianisme menyerang Sosialisme –yang memperjuangkan salah satu makna kebebasan dalam erti kesetaraan– sebagai sebuah utopia, tapi ternyata dalam waktu yang sama kalangan Libertarianisme-lah yang sebenarnya berutopia. Mereka berutopia bahawa lewat idea pemerintahan terbatas, maka negara akan makmur; dan segala masalah berupaya diselesaikan. Inilah yang menjadi mazmur mereka.
Padahal, menerusi utopia sebegini, maka pada saya lengkaplah hidup sekelompok mereka yang pemalas. Bukan saja kalangan Libertarianisme malas untuk berfikir lebih seni, bahkan gigih pula mereka mengajak masharakat untuk sama-sama menjadi pemalas. Dan, memang, kalau sudah malas sifatnya, justeru “lampu ajaib” atau “tongkat sakti” manapun takkan dapat membantu lagi. Hanya saja titah yang “turun dari langit” jadi jalan-pintas untuk menutup kemalasan mereka. (JalanTelawi, 20 Disember 2011)
dimuatkan oleh
Aqil Fithri
tanggal
11:48 PM
0
ulasan
bilek @ JalanTelawi
Thursday, November 3, 2011
PPSMI: Krisis Legitimasi dan Normatif
PPSMI adalah bahagian dari konflik sosial. Justeru, dalam berbicara tentang konflik sosial, itu akan melibatkan dua aspek penting: teori sosial, dan teori normatif; antara realiti dan telos, antara fenomena dan noumena, antara praktis dan teori.
Justeru, di sini saya ingin menunjukkan bahawa dalam isu PPSMI ini, kedua ranah ini tidaklah memihak kepada kalangan yang mendukung PPSMI. Maknanya, untuk “apa yang ada” (das sein) itu ada masalah legitimasi, sementara untuk “apa yang seharusnya” (das sollen) itu ada masalah normativiti.
Begini. Kita mulakan dengan persoalan legitimasi dulu.
PPSMI, dilaksanakan pada tahun 2003, dengan tergesa-gesa, tanpa kajian, tanpa percubaan, dan melibatkan jumlah bukan-main, ura-ura lebih RM12 billion. Dengan semua ketergesaan ini, PPSMI dilaksanakan, dan akhirnya menimbulkan pelbagai bantahan keras, dan berpanjangan. Permulaannya, berlaku perdebatan yang melibatkan kalangan intelektual, ahli pendidikan, ahli sains dll. Namun, di kalangan PPSMI, intelektual yang paling kental tidak lain adalah Mahathir Mohammad. Ini tokohnya. Mahathirisme adalah sumber pemikiran bagi kalangan PPSMI.
Hujah-hujah untuk mempertahankan PPSMI hanya saja dikeluarkan secara intensif setelah dilaksanakan. Itupun telah berlaku peralihan nada hujah; dari soal menguasai Bahasa Inggeris, kepada soal belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris. Namun, PPSMI terus mendapat tentangan. Ini sehingga mengundang sejumlah rakyat untuk turun ke jalanraya pada tahun 2009. Soalnya, mengapa sampai ada bantahan yang cukup kuat terhadap PPSMI?
Ini tentu sekali akibat proses untuk melaksanakan PPSMI itu yang tidak melalui prosedur yang legitim. Prosedur yang seharusnya, haruslah mendapatkan persetujuan rakyat. Jika tidak, pendam dan dendam, akan meledak. Ini akan menjadikan setiap keputusan tanpa prosedur legitim akan mendapat bantahan yang berlarutan. Kalau benar hujah bahawa PPSMI dapat dipertahankan, maka kalangan PPSMI seharusnya berani berdepan secara rasional, bahkan dapat juga menunjukkan betapa ada majoriti yang mendukung keputusan tersebut. Tapi, ini tidak berlaku. Memang, nanti akan ada tuduhan bahawa apakah majoriti berhak untuk menentukan kehendak minoriti? Tidak dinafikan, persoalan ini penting.
Meskipun begitu, saya hanya akan bahaskan ini dalam bahagian normativiti nanti. Yang saya mahu paparkan ialah, sama ada setuju atau tidak, persoalan PPSMI ini bermula dari kehendak seorang individu, yang akhirnya memenatkan seluruh rakyat di negara kita. Individu itu bernama Mahathir. Kerana itu, keputusan individu yang dipaksakan secara politik ini, dengan sendirinya bererti sebuah keputusan yang telah kehilangan legitimasinya. Lantaran itu, tidak hairan pemerintah terpaksa berpatah-balek kerana mereka bukan saja kehilangan dukungan majoriti, malahan turut gagal untuk mengemukakan hujah intelektual.
Baik. Saya telah jelaskan tentang asal-usul yang mendorong krisis legitimasi dalam PPSMI tersebut. Sekarang, kita akan berbahas, mungkin sedikit panjang, tentang pencarian normatif mengenai PPSMI ini.
Apa itu normatif? Itu adalah sebuah penjelasan tentang “apa yang seharusnya”, bukannya “apa yang ada”. Maka, normatif itu bersifat universal dan rasional. Dalam soal PPSMI, yang jadi kehendak unggulnya adalah untuk mendirikan negara-maju, dengan melahirkan saintis-saintis yang hebat, yang terkenal dengan teori-teori besar, yang sehingga memungkinkan kita dapat menghasilkan pemenang Hadiah Nobel? Itu seasal-asal tujuan PPSMI, konon.
Shahdan, terlepas dari tujuan asal tersebut, mari kita lihat apa wacana seputar PPSMI dewasa ini? Wacananya sering jatuh dalam soal (1) menguasai Bahasa Inggeris, atau dalam soal (2) Bahasa Inggeris dalam sains dan matematik, (3) rayuan untuk diberi opsyen dalam melaksanakan PPSMI.
Tentang wacana untuk menguasai Bahasa Inggeris tersebut, sebetulnya sudah ada banyak kritikan yang menyanggah hujah tersebut. Mithalnya, untuk menguasai Bahasa Inggeris, itu haruslah belajar Bahasa Inggeris itu sendirinya. Bukannya belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris. Saya fikir banyak kajian ahli pendidikan, dalam dan luar negara, yang dapat menyokong pandangan ini. Namun, bagaimana pula dengan soal belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris? Kata kalangan PPSMI, tidakkah untuk maju secara saintifik, maka kita mestilah menguasai Bahasa Inggeris ini? Persoalan ini yang akan saya tanggapi dengan sedikit rinci.
Pertama, kalau benar Bahasa Inggeris sebagai bahasa unggul untuk sains dan matematik, sehingga dapat melahirkan saintis yang hebat-hebat, maka kenapa ada negara yang bukan berbahasa Inggeris tapi dapat menghasilkan pemenang Hadiah Nobel? Malah, ada pemenang Hadiah Nobel yang tidak tahu berbahasa Inggeris sekalipun! Ini jawapan balas lazim, yang pertama. Tapi, mungkin kalangan PPSMI menyanggahnya. “Kejayaan,” mithalnya Jepun dan Jerman, “sehingga dapat menghasilkan pemenang Hadiah Nobel itu kerana mereka punya tradisi intelektual yang panjang”, kata mereka. Kalau begitu hujahnya, justeru kenapa kita tidak membina budaya intelektual seperti itu? Mengapa kita berfikir pintas bahawa, Bahasa Inggeris adalah setara dengan budaya intelektual? Apakah konotasi konyol ini dapat dipertahankan?
Jadi, kalangan PPSMI harus menjelaskannya dengan rasional tentang kritikan ini. Mereka harus jelaskan: Ini termasuklah, bahawa mana yang merupakan matlamat utama mereka, sama ada menguasai ilmu atau menguasai bahasa? Kalau mahukan ilmu berkenaan sains dan matematik, maka yang perlu ditekankan adalah aspek-aspek seperti, galakan penyelidikan, pendedahan intelektual, kualiti pendidikan, dll, manakala persoalan bahasa adalah sebahagian dari perkara-perkara ini. Bukannya pokok.
Mereka yang sungguh-sungguh, yang serius untuk bergelar sarjana, selalunya di peringkat yang lebih tinggi (siswazah dan pascasiswah), adalah mereka yang akan memaksa dirinya untuk belajar bahasa apapun sehingga membolehkan mereka akses kepada ilmu yang diminatinya tersebut. Lantas, di sini insentif perlu diberikan: biasiswa, bantuan, latihan, dll. Sebaleknya, jika anak-anak sekolah berminat mengenai sains dan matematik, maka yang paling awal adalah memupuk minat dan iltizam mereka. Bukannya menyuruh mereka membaca dan menghasilkan jurnal. Bukannya menyuruh mereka membentang hasil penyelidikan di persidangan-persidangan. Ini kuncinya kepada kronologi pembikinan sebuah tradisi intelektual. Sebab, belum tentu anak-anak sekolah yang dapat A dalam Bahasa Inggeris, adalah mereka yang automatik juga dapat A dalam sains dan matematik!
Kedua, kalau benar Bahasa Inggeris bahasa terunggul dalam sains dan matematik, sehingga menghasilkan tradisi intelektualisme Inggeris, maka ini bukti bahawa mereka (komuniti saintis berbahasa Inggeris) berjaya bukan kerana melakukan penyalinan ilmu, tapi kerana berkreativiti dan berinovasi. Apa yang cuba dilakukan pemerintah lewat PPSMI adalah untuk menjadi bangsa penyalin. Belajar Bahasa Inggeris, dan meniru. Ini adalah bentuk tindakan instrumental, yang sangat bermasalah. Tindakan ini ibarat seekor kerbau di sawah, atau seorang pekerja yang tidak pernah mempersoalkan tujuan kerjanya. Atau juga ibarat, seorang mahasiswa yang hanya mahu mendapat A, biar apa cara sekalipun! Ini sangat dangkal.
Mengapa? Sebab, terbukti untuk bergelar saintis yang hebat kita mestilah berkreativiti dan berinovasi. Aspek ini ternyata berkait dengan kognitif, dengan cara kita berfikir. Bukan dengan sefaseh dan sebanyak mana kita berbahasa. Dengan itu, yang mustahak adalah usaha untuk memugar daya kreativiti dan berivovasi. Sebab itu, kita perhatikan komuniti intelektual Inggeris itu sendiri pun maseh terus menambah ilmu baru yang diperoleh dari mana saja, yang makin pesat dari hari ke hari. Mithalnya, mereka juga sanggup pergi ke budaya Timur, dll untuk mendapatkan ilham dan penemuan baru (himbau saja Tao untuk teori kuantum, atau Shi’isme untuk teori kritis agama).
Jadi, ini jelas menunjukkan kepada kita soal yang harus ditingkatkan adalah cara berfikir, yang kritis, yang rasional, yang kreatif, yang inovatif, juga kita harus ada keberanian untuk menempuhnya. Kalau ini semua tidak ada, maka gunalah bahasa apa sekalipun: kebodohan tetaplah kebodohan. Mudah saja, mari saja kita tanyakan pada Steve Jobs: apa kunci kejayaannya, kalau kita boleh sepakat bahawa ia telah berjaya sebagai seorang inovator? Apakah ia akan menjawab: sebab saya menguasai Bahasa Inggeris?
Ketiga, kalangan PPSMI mendakwa, tidakkah banyak teori-teori baru sains dan matematik itu dalam Bahasa Inggeris? Jadi, kononnya dengan menguasai Bahasa Inggeris kita dapat melakukan jalan-pintas untuk menguasai ilmu tersebut. Apatah-lagi, banyak jurnal, kertas persidangan, hampir semuanya dalam Bahasa Inggeris. Betul. Tapi, teori-teori fundamental sains dan matematik tidak banyak berubah. Yang berubah hanya aplikasinya saja. Sedar atau tidak sedar, buku-buku teks tentang “perbezaan” dan “kamiran” maseh lagi sama dengan yang kita gunakan dengan abad ke-17 dan abad ke-18. Buku teks sekolah tidak banyak berubah untuk tempoh berdekad-dekad sekalipun. Kalau ada kelemahan dalam soal pendidikan, itu semata kerana kualiti pendidikan.
Sorot saja di universiti-universiti di Malaysia, jelas kualiti pendidikan kita amat ketinggalan. Bukan kerana pensharah kita tidak mampu nak berkarya. Tapi, pensharah kita malas! Mereka tidak gigih menulis buku (apa-apa bahasa sekalipun!), culas untuk menterjemah, bahkan tidak menguasai bidangnya sendiri pun! Bila pensharah kita diberi permasalahan untuk dirungkai, mereka gagal mengartikulasikan ilmunya. Rasional hilang. Dogmatik pula muncul. Ini pensharah, nah apatah lagi mahasiswa! Lihat saja silibus fizik di universiti, mengapa mahasiswa tidak diajar subjek Teori Einstein sejak prasiswazah lagi? Sedangkan ini teori penting untuk fizik. Jadi, apa masalah utama kita sampai gagal melahirkan saintis yang hebat? Masalah bahasa, atau masalah kualiti pendidikan? Jawab dengan jujur saja.
Keempat, tentang pembelahan antara sains tabi’i dengan sains sosial. Jangan kita lupa: siapa dalang yang menobatkan komposisi dualisme ini? Mahathir! Ia telah membahagi 70% sains – 30% sastera, juga menggesa diwujudkan “masharakat saintifik” dalam Wawasan 2020. Soalnya, apakah makna “saintifik” yang kita kemaruk sangat itu, sampai diangkat sebaris dengan makna “maju”? Benarkah bila kita “saintifik”, makanya kita maju? Dan, “saintifik” yang difahami dalam konteks ini sering dikaitkan dengan kapital, sains, bahasa, dan sebagainya. Jadi, dengan menggunakan Bahasa Inggeris, itu secara tidak langsung cuba dihubungkan dengan kepandaian, kemodenan, sekaligus juga kemuliaan.
Tidakkah kita sedar, ramai yang gagal berhujah akan sering mengalih penggunaan bahasanya kepada Bahasa Inggeris. Ini berpunca dari konotasi bahawa berbahasa Inggeris adalah bahasa untuk mereka yang pandai. Walhal, kepandaian berbahasa Inggeris mereka telahpun digunakan untuk memperlekehkan ilmu. Bahasa, waktu-waktu tertentu, telah berjaya memyembunyikan kebodohan mereka. Dan, lebih jauh lagi, kepandaian ini terus dihubungkaitkan dengan hanya “sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris” saja. Yang belajar agama, yang belajar falsafah, yang belajar pertanian, itu tiada masa depan! Gelap! Tapi, sebentar, kita boleh buktikan bahawa, rupanya ada yang bijak berbahasa Inggeris, namun tetap saja bodoh. Ini banyak ditemukan bukan saja dalam Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), hatta dapat ditemui dalam diri mereka yang konon menjunjung cita-cita kebebasan sekalipun! Jadi, bodoh ini bukan persoalan bahasa, tapi persoalan sikap.
Dan, kelima, tentang tidak perlunya terjemahan. Sebab, cemuh mereka, kerja terjemahan memamah masa. “Jadi”, kata kalangan PPSMI, “bagi membina tamadun Malaysia dengan sekelip mata, seeloknya kita abaikan saja terjemahan”. Saya telah jelaskan serba-sedikit betapa mudahnya mereka melekatkan Bahasa Inggeris sebagai setara dengan sains dan matematik. Walau bagaimanapun, yang saya mahu utarakan di sini ialah, tentang kalangan yang mahu mengambil-jalan pintas membina tamadun ini. Mereka ini sebenarnya pemalas. Memang malas! Sebab, kerja untuk menyalin lebih mudah dari kerja untuk menghasilkan sesuatu yang baru.
Sebaleknya, dengan melakukan terjemahan, kita bukan saja dituntut untuk menguasai, setidaknya dua bahasa, tapi juga dituntut untuk menguasai subjek tersebut. Mahu tidak mahu, kita harus cekap kedua bahasa sekaligus. Sehubungan dengan itu, dengan melakukan terjemahan, itu telah menuntut sebuah kefahaman yang mendalam, bagi mengartikulasikannya ke dalam bahasa terjemahan. Dan, ini yang cuba dielak oleh kalangan PPSMI. Padahal, kalau tidak dilakukan kerja-kerja asas ini, maka kita telah memupus kemungkinan besar untuk menghasilkan sesuatu yang baru lewat terjemahan.
Mithalnya, Shaharir Mohamad Zain sering menunjukkan, bahawa persoalan “optimum/justice” dengan persoalan “terbaik/keadilan”, itu boleh berbeza konsep menurut makna dari bahasa yang diguna. Dengan adanya perbezaan makna ini, maka terdapat kemungkinan untuk menghasilkan sesuatu yang menarik. Hinggakan, dengan bertindak tak-lazim ini, maka kita memberi ruang kepada potensi untuk membina sains normal, yang baru. Menurut Kuhn lagi dalam The Structure of Scientific Revolutions (1962), sains itu terbangun dari komuniti. Bergantung kepada komuniti untuk mencorakkannya.
Perubahan paradigma tentang sains dan matematik sangat bergantung kepada penerimaan sesuatu komuniti tersebut. Bukan bergantung kepada bahasa. Jadi, dengan menghasilkan sesuatu yang baru, kita sebenarnya berkerja untuk membentuk sebuah sains normal yang baru. Ini adalah sebuah kelestarian sejarah dari perjalanan sains dan matematik. Soalnya, adakah kita mahu terlibat membina sejarah atau tidak? Atau, adakah kita hanya mahu mengekor saja kepada sains normal dewasa ini, serta melupakan kemampuan membangunkan sains tak-normal ke arah menjadi sains normal?
Tidak mahukah kita berjiwa besar: dengan berani membuka “kedai baru”? Lantas, jika mahu membuka “kedai baru”, itu tentu sekali menuntut kerja-keras: antaranya mengartikulasikan ilmu dalam bahasa sendiri. Dan, jangan kita lupa untuk belajar petua kejayaan dari Bahasa Inggeris tersebut: tentang apa petua mereka sampai mereka begitu berjaya hari ini? Apakah kerana pelajar sekolah mereka, iaitu pada abad ke-17 dll, belajar sains dan matematik dalam bahasa Latin, atau Greek, atau Arab? Tidak! Semuanya kerana mereka berjaya melewati sebuah zaman penterjemahan. Dalam hukum pembinaan tamadun, memang harus mempunyai zaman penterjemahan ini. Akur saja, sampai hari ini mereka (kalangan Inggeris) terus rajin menterjemah dari pelbagai bahasa dunia ke dalam bahasa Inggeris, tanpa henti-henti. Ini kerja berat yang patut kita teladani, kalau benarlah kita memang komited untuk membangun negara, meminjam istilah Mahathir, menurut “acuan kita sendiri.” Malangnya, kita tidak pula mahu meneladani liku-liku yang Inggeris tempuhi. Sebaleknya hanya mengutip hasil-hasil mereka. Jika begini pendekatannya, maka sampai bilapun kita tetap menjadi bangsa-penyalin.
Kini, saya telah membentangkan lima hujah, dalam mempersoalkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa unggul untuk sains dan matematik; yang konon hanya dengan bahasa ini saja kita mampu membina tradisi intelektual, berkreativiti dan berinovasi, serta meningkatkan kualiti pendidikan, lalu membuat kita berasa moden, dan beranggapan ini sajalah jalan singkat ke arah pembinaan tamadun Malaysia. Sejauh yang saya paparkan, hujah mereka memang maseh bertahap konon.
Mengapa demikian? Sebab, mari kita kembali pada hasrat asal mereka yang mahu melaksanakan PPSMI, dan ini jangan kita lupa: untuk melahirkan saintis-saintis (hanya merujuk kepada sains tulen), yang hebat-hebat, serta membina negara-moden. Di sini: mari kita tanya baik-baik pada kalangan PPSMI; Apakah benar bahawa hanya dengan belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris sajalah yang mampu merealisisasikan harapan ini?; Apakah benar kita hanya akan memperoleh pemenang Hadiah Nobel dari anak-anak sekolah yang sekarang sedang belajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris ini?; Apakah benar Malaysia hanya akan jadi moden tatkala kita melaksanakan dasar PPSMI? Saya fikir, sekiranya mereka rasional, mereka akan merasakan bahawa ada sesuatu yang cetek dalam logika penghujahannya.
Tapi, buat kalangan yang anti-PPSMI pula, jangan mudah berpuas hati. Sebab, apa yang saya paparkan tersebut sekadar kritikan tentang kewajaran bahasa Inggeris dalam sains dan matematik saja. Kini, persoalan yang berjela-jela saya bahaskan ini sebenarnya sudah tidak begitu relevan lagi. Persoalan normatif yang saya ungkap awal-awal tadi, belumpun dituntaskan. Persoalan normatif ini bangkit dari evolusi tuntutan dari kalangan PPSMI ini.
Memang, seperti yang disebut awal-awal, pertama kali PPSMI bangkit kerana (1) mahukan penguasaan Bahasa Inggeris, lalu berubah nada (2) mahu menguasai sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris, dan kini akhir-akhir ini nada tersebut berubah lagi, (3) tuntutan untuk opsyen bagi perlaksanaan PPSMI menurut sekolah. Isu yang ketiga ini harus menjadi persoalan perdebatan dalam konteks normatif tersebut. Sebab, ini persoalan yang bukan saja penting, tapi menarik. Mengapa penting dan menarik? Sebab, persoalan opsyen ini melibatkan tema-tema politis. Ini adalah persoalan politis kerana, berkait rapat dengan wacana negara-bangsa, ruang awam, kebersamaan, identiti nasional, dan paling mustahak, juga dihubungkan dengan konsep hak asasi manusia.
Sebagai bahan perbincangan ini, biarlah kita berempatik dulu, dengan cuba menyelami hasrat, mithalnya PAGE, yang telah memanjangkan keluhan seperti begini: “apakah hak kita untuk menghalang anak mereka belajar dalam bahasa yang anak mereka paling selesa? Apakah benar kita lebih tahu mengenai keperluan pendidikan anak-anak mereka berbanding ibubapa mereka sendiri? Soal pendidikan anak-anak mereka adalah hak asasi mereka, dan anak-anak mereka mestilah diberikan pilihan untuk belajar dalam bahasa pilihannya sendiri. Biarlah ibubapa mereka yang mencorakkan sama ada anak mereka mahu jadi Nasrani, Yahudi, atau Inggeris sekalipun. Ini adalah hak mereka!” Dan, kita boleh terus berempatik dengan PAGE lagi, lalu menambah, “bahawa mereka sama sekali tidak menghalang hak anak-anak kita untuk belajar dalam bahasa pilihan kita. Jadi, mengapa kita pula yang menghalang hak pilihan mereka?” Ini semua adalah nada-nada untuk PAGE, yang mengeluh mengenai pemaksaan ke atas mereka. Konsep opsyen yang sifatnya lebih adil dan demokratik, kalau menurut mereka itu, telah dinafikan dari hak mereka.
Nah, tugas mendesak kita adalah untuk menjawab apa yang dibangkitkan ini dengan rasional. Sebab, persoalan inilah yang menjadi tulang-belakang kepada seluruh persoalan mutakhir PPSMI. Menjawab persoalan ini, bererti dapat menamatkan sisa-sisa talian hayat mereka, serta melengkapkan normativiti dalam isu ini.
Justeru, dalam rangka menjawabnya, mari kita berpijak atas tanah, melihat realiti. Kita duduk dalam konteks negara-bangsa. Ini sudah terlekat dalam diri kita, terima atau tidak. Konsep negara, sudah menjadi sebuah kerukunan bersama, demi mengimbangi mereka yang sombong. Maka, persoalan majoriti-minoriti dalam soal negara-bangsa ini maseh lagi signifikan. Sebab, hak minoriti, yang berdiri atas nama hak asasi manusia, itu tidak diperoleh secara terus, bukan anugerah, sebaleknya adalah sesuatu yang harus diperjuangkan oleh mereka sendiri. Ini yang menuntut sebuah perjuangan untuk mendapatkan pengakuan.
Soalnya, kalangan yang mahukan opsyen PPSMI ini: sejauh mana mereka berjuang untuk memperoleh pengakuan tersebut? Atau, apakah mereka bersantaian, lalu cuba menggunakan jalan pintas, terus mengenepikan prinsip legitimasi, alih-alih cuba membodek pemerintah? Tidakkah apa yang kita nampak adalah mereka cuba untuk memujuk pemerintah; bukan dengan rasional, bukan dengan pengakuan, bukan dengan legitimasi, tapi dengan kabel-kabel birokrasi.
Mereka lupa, bahawa hanya dengan pengakuan majoriti saja mereka akhirnya mereka berhak untuk memiliki hak asasi, yakni diberi opsyen tersebut. Dengan pengakuan yang diberikan, maka keputusan untuk melaksanakan PPSMI baru boleh dilakukan. Namun, mampukah mereka untuk gigih berhujah, sehingga dapat menyakinkan sejumlah besar rakyat? Ini yang harus kita tanyakan kepada mereka.
Dan, kalau mereka menuduh bahawa kita telah melakukan kezaliman majoriti terhadap mereka yang minoriti, itu adalah tidak benar. Sebab, selama mereka diberi ruang dan peluang untuk berkempen menyebar dakyah PPSMI mereka, maka itu bukanlah dinamakan kezaliman. Namanya, kezaliman bila mereka dipaksa untuk menutup mulut, selama-lamanya! Jadi, fakta inilah yang harus mereka renung kembali, dan tanyakan kepada diri mereka: mengapa rakyat tidak bangkit mempertahankan mereka secara besar-besaran? Bukahkah ini bermaksud kegagalan mereka untuk merasionalkan dasar PPSMI ini?!
Walhasil, dari seluruh perbahasan ini, saya telah menunjukkan betapa dalam soal PPSMI ini, apa sisi pun tidak memihak kepada mereka. Sama ada soal legitimasi mahupun normativiti. Kini, terpulang kepada mereka, dan tak salah kepada kita juga, untuk menawarkan kecerdasan hujah. Usah pula ada yang cuba berselindung di balek raksasa yang bernama “pemerintah.” Untuk kalangan yang suka menumpang kaseh kekuasaan ini, tanyalah kepada nalar tentang kebenaran, atau tetaplah terpenjara dengan ego sendiri. Dan, harus disebut juga, bahawa bahaya ego ini tidaklah mengenal sesiapa, termasuk mereka yang mendakwa dirinya paling liberal sekalipun. (JalanTelawi, 3 November 2011)
dimuatkan oleh
Aqil Fithri
tanggal
4:44 PM
0
ulasan
bilek @ JalanTelawi
Wednesday, October 5, 2011
Tak Sekadar Sebuah Dataran
Esfahan, nesf-e jahan; “setengah dari dunia”. Saat menapak di Dataran Imam di Esfahan, kita dapat merasakan betapa kata-kata ini tak berlebihan. Mengagumkan, memang.
Hampir segenap dataran ini terpampang senibina Parsi; halus dan bitara, yang kalau dalam catatan Pietro Della Valle pada 1628, langsung mengingatkannya kepada Piazza Navona, di Roma. Dengan 160 meter lebar dan 508 meter panjang, cukup menjadikan Dataran ini kedua terbesar di dunia. Tentunya, setelah Tiananmen di China.
Selain menempatkan Bazaar dengan jajaran toko, Dataran ini turut terdiri dari tiga monumen yang lainnya; Istana Ali Qapu, Masjid Imam, Masjid Sheikh Lutfollah. Kesemua monumen ini yang dibina berperingkat sewaktu pemerintahan Safavid. Setiap darinya terlekat maknanya; kekuasaan diraja terwakil dari Istana Ali Qapu dan Masjid Lutfullah, kekuasaan agamawan yang terwakil dari Masjid Imam, dan kekuasaan perdagangan terwakil dari Bazaar.
Ketika waktu keemasannya, Dataran ini merupakan gelanggang bagi acara berkuda, permainan diraja Safavid, selain merupakan lokasi pertemuan Raja (Shah) dengan rakyat, terutamanya ketika sambutan Nowruz, tahun baru Parsi. Kini, dataran ini merupakan pentas keramaian, seperti perhimpunan solat Eid, dan acara-acara nasional.
Dari sebelah kanan pintu gerbang dataran ini, iaitu pada sebelah barat, terletak Istana Ali Qapu (disebut, ah-lee gah-pooh). Dengan ketinggian 48m, istana enam tingkat ini membantu kita mencerap seluruh darjah permandangan kota Esfahan. Sementara setiap tingkat dihubungkan pula dengan tangga yang berlingkaran kecil, dan sempit. Setiap ada fungsinya yang khusus, mithalnya tingkat teratas adalah ruangan musik.
Sebetulnya, nama Ali Qapu ini dipilih merujuk kepada “pintu gerbang” yang merupakan lokasi strategik pemerintahan Safavid ketika itu. Lokasi yang mempertemukan dataran Naqsh-e Jahan ini dengan Boulevard Chahar Bagh. Shah Abbas membangunkannya sebagai tandingan kepada pemerintahan Ottoman di Turki, yang waktu itu telah membangunkan Bab-i Ali.
Dari setiap dinding Ali Qapu ini, nyaris tak ada yang tersisa keajaiban. Memandang setiap sisinya, seakan keajaiban bukan lagi sebuah kata. Untuk Istana Ali Qapu, keajaibannya adalah sebuah kenyataan. Istana yang dibina lewat kecerdasan Sheikh Bahai (Baha’ ad-Din al-`Amili) ini membuatkan kita terpekur, dan larut dalam menikmati keindahannya.
Dengan lakaran tipikal Parsi, persis juga kita dapat lihat di makam Fatima Mashumeh di Qom, dan makam Imam Reza di Mashhad, istana ini memaparkan kehalusan seninya, termasuk juga dengan miniatur Parsi-nya. Tatkala menatap lakarannya, kita barangkali tak terlintas tentang kehalusannya. Sebaleknya, tertanya-tanya bagaimana kehalusan ini terukir, di kala teknologi zamannya yang terbatas.
Selain Istana Ali Qapu, Dataran ini turut menempatkan Masjid Imam. Sebelumnya dikenali Masjid Shah. Namun, setelah Revolusi 1979, namanya bertukar dengan merujuk kepada Ruhollah Khomeini. Masjid ini terletak di sebelah selatan Naqsh-e Jahan, berdampingan sebuah madrasah. Dengan tinggi 27m, dan dua menara yang tinggi 43m, masjid ini dilengkapi pula dengan empat iwan dan empat arka, serta tujuh-warna mozaik.
Dalam catatan sejarah, Dinasti Safavid memang membangunkan Masjid Imam ini sebagai penghayatan mereka kepada senibina Islam. Sebagai kemegahan ugama mereka. Dengan format empat-iwan, yang disiapkan ketika dinasti Seljuk, Masjid Imam ini jelas memancarkan mistikisme Islam.
Di Dataran ini juga, tak terkecuali menempatkan Masjid Sheikh Lutfollah. Ini merupakan monumen terkecil sekali berbanding yang lain. Masjid yang terletak di sebelah timur Naqsh-e Jahan ini dibina oleh Shah Abbas untuk bapa mertuanya, Sheikh Lutfollah, agamawan dari Lubnan yang diundang khusus ke Esfahan. Ia dibina pada 1603, dan siap 1618.
Sebetulnya, Masjid Sheikh Lutfollah ini adalah monumen pertama di dataran ini, yang direka oleh Mohamad Reza Isfahani. Tak seperti Masjid Imam yang bersifat umum, Masjid Sheikh Lutfullah ini bersifat peribadi. Khusus hanya untuk Raja dan keluarganya. Namun, kini monarki lebih tiga dekad sudah berakhir. Dan, tanpa monarki rakyat akhirnya dapat menikmati.
Selain tiga monumen tersebut, di sepanjang dataran ini terdapat juga Bazaar. Tentu sekali, Bazaar merupakan perhatian utama bagi kebanyakan pengunjung. Di sini, merata jualan kraftangan yang identik dengan Esfahan; menarik, memikat, memukau.
Paling tersohor, kraftangan khatam, yang sulit untuk disiapkan. Biarpun kecil, dikatakan memerlukan setidaknya tujuh pekerja, dengan tujuh lingkup tugas yang berbeza. Tapi, yang paling mahal sudah tentu adalah bahan yang diukir dengan teknik mina-kari. Mengapa mahal? Kerana proses membuatnya lebih sulit. Memerlukan ketekunan yang luar biasa. Juga material yang tak-lazim, serta teknik yang teliti.
Selain itu, terdapat juga corak kain yang mengujakan. Kalau kita mengira batek itu menarik. Ternyata, lakaran dari Parsi ini tak kalah bandingnya. Bukan saja pada coraknya. Tapi, juga pada pilihan warna yang menepati. Esfahan, sama seperti mana-mana kota tradisi Parsi lain, juga memiliki simbolnya yang tersendiri. Simbol tradisinya yang serba-sedikit dikatakan akibat dari pengaruh Mongol yang masuk ke Parsi pada abad ke-13. Simbol tradisi inilah yang sarat terdapat pada sufreh, rusari, dastmal, dll yang terdapat di Bazaar ini.
Di tengah Dataran ini, kalau siangnya, selalu menjadi kerumunan keluarga keluarga. Berkelah, sebetulnya adalah tradisi masharakat Parsi, di mana ketika 13 Favardin mereka akan merayakan secara khusus. Di tengah kerumunan Dataran ini, kita juga merasa selamat. Tak terganggu. Tiada penjaja kecil-kecilan. Manakala urusniaga di sini hampir tersusun, dan sangat tradisi.
Setelah berkeliling Dataran ini, kita mungkin boleh melepaskan lelah, juga haus di restoran di pinggir Bazaar ini. Sambil menikmati teh Iran, juga gaz dan sohun. Dikatakan, ketul-ketul gula untuk teh Iran ini hanya dihasilkan sekitar rantau ini saja, seperti Afghanistan, yang turut menggunakan bahasa Parsi. Hanya saja nama berbeza, bahasa Dari.
Sebetulnya, maseh banyak lagi tempat menarik di Esfahan ini, selain Dataran Imam ini. Terdapat juga Pol-e Khaju, Hasht-Behesht, Chehel Sotoun, Si-o-se Pol, dll. Sungguhpun demikian, jika sebuah Dataran mampu membuatkan kita larut sehari suntuk, maka apatah lagi untuk lokasi-lokasi yang lain. Tapi, berbaloi. Sebab, separuh hari untuk nesf-e jahan.
Mungkin, inilah cara terbaik bagaimana untuk berwisata “setengah dari dunia”, dengan kos yang paling menggamit. Kota artistik ini takkan mengecewakan. (JT, 8 September 2011)
dimuatkan oleh
Aqil Fithri
tanggal
8:17 PM
0
ulasan
bilek @ JalanTelawi
Sunday, December 19, 2010
Muharram di Qom
Dalam kedinginan 10°C, anak kecil itu dijulang ke udara. Di tengah kerumunan massa, ia tak menangis. Sembari dibaluti kain puteh, seperti kain kafan, dengan wajah yang terdedah pada similir angin, manakala pada dahinya pula terdapat lilitan hijau yang tertulis “ya Ali Asghar,” di mana Ali Asghar adalah shahid termuda di Karbala, hanya 6 bulan. Demikian salah satu dari sejumlah panorama ketika dinihari 10 Muharram 1432H, di maqam Fatima Masoumeh, di Qom, di Iran.
Hari itu, adalah hari kemuncak Azadari, yang bermula sejak 1 Muharram dan berterusan sampai Arbain, 40 hari setelah kemuncak tersebut. Ini adalah hari yang terkenal sebagai Ashura. Setelah ribuan tahun, sejak 61H, Imam Husayn shahid dengan cemerlang di Karbala. Dengan 72 jiwa yang shahid, dan 128 jiwa yang terlibat, hanya semata-mata atas apa yang mereka namakan sebagai, “kebangkitan kembali agama.” Kata ini seperti berlebihan. Kita, dengan nalar yang ada, tentu takkan mudah menerimanya, dan takkan berpuas hati menerima kata tanpa makna.
Lantaran itu, barangkali akan ada yang bertanyakan, “apakah perlu agama dibangkitkan kembali setelah risalah dari Nubuwwah?” Secara fenomenologi, kaedah menarik dari Husserl ini boleh jadi penyelamat. Kita mesti menulis tentang Ashura dari tubuh Ashura itu sendiri. Dari sejarahnya, dari falsafahnya, dari sumbernya; zurück zu den Sachen selbst. Setidaknya, dari mereka yang terlibat. Bukan dari mereka yang hanya mendengar jauh-jauh tentangnya.
Ashura, memang untuk Husayn, yang lengkap pada kalangan Shi’ah dikenali sebagai “Imam Husayn.” Mereka, “takkan pernah melupakan Karbala,” demikian salah satu kata yang berkumandang dalam kerumunan tersebut. Di medan bersejarah Fatima Masoumeh itulah, silih berganti para kumpulan mementaskan himbauan mengenai Karbala. “Terdapat ribuan kumpulan ini di Qom,” kata Shahriyar Shojaeipour, yang kini bertugas di Islamic Research Institute for Culture and Thought, Qom. Setiap kumpulan dengan cara masing-masing. Lalu, dengan tradisi puisi Parsi yang tinggi, maka setiap bait menghimpit dinding medan, serta mengamit hadhirin.
Ini ditambah lagi dengan paluan Tabl (seperti gendang), gemincing Senj (seperti piring), hatta ada juga tiupan Vuvuzela, yang semuanya bersatu suara memecah kedinginan. Ini, memang sebuah festival. Ashura, yang hari sebelumnya adalah Tasua, ternyata, adalah sebuah festival, meski bermula dari sebuah kenestapaan. Tapi bukanlah sebuah kenestapaan yang mahu mereka ratapi. Mereka sekadar ingin menunjukkan bahawa pesan ilahiyyah tak pernah berakhir pada Nubuwwah. Kerana itu, nama Husayn tak lekang. Soalnya, mengapa Husayn? Dan, kenapa tak Muhammad?
Mereka juga punya jawapannya. Kerana mereka berpegang erat pada sebuah sabda: “Husayn mini wa ana min Husayn.” Buat kalangan Shi’ah, mengenang, malah meneruskan risalahnya, adalah sebuah warisan perjuangan yang tak selesai dari Nubuwwah itu sendiri. Ini yang sering diabaikan. Jadi, ketika muslim berpencar pada saat Karbala, tapi saat itulah juga menjadi garis furqan buat mereka, yang dalam bahasa Hegel dikenal sebagai dialektika – pertempuran antara tesis dan anti-tesis. Fikiran dan tindakan, dari Karbala, tiada selain dari itu, bersatu dalam sejarah mereka. Menyebut Husayn, sama seperti menyebut Muhammad: “Husayn dariku dan aku dari Husayn.”
Namun, dialektika Karbala ini mencabar GWF Hegel. Karbala, pada Shi’ah, adalah kritiknya buat Hegel. Sekiranya Hagel percaya akan kemunculan sintesis, yakni pada setiap pertarungan tesis dan anti-tesis, sebaleknya Karbala tidak! Pada Morteza Motahhari, Islam sama sekali tak mendukung sintesis. Tiada intersubjektiviti dalam kebenaran. Buat filsuf revolusioner ini, hanya ada dua pilihan; benar atau salah. Yang benar boleh saja bercampur dengan yang salah. Tapi, salah dan benar tetap dari dua ranah yang berbeza.
Bahkan, Ali Shariati, yang biarpun ada selisih dengan Motahhari dalam soal Marxisme Islam, juga percaya demikian. Kita mungkin dapat mengingatkan kembali sebuah ucapan yang mengegarkan dari Shariati di Husayniyyah Irshad pada 1970-an yang tertera dalam buku Shahadah-nya: sama ada bersama Yazid, atau besama Husayn yang shahid di mana Zaynab yang terus gigih melanjutkan risalahnya. Ternyata, masharakat Shi’ah bergulir dalam arus dialektika ini, yang juga dalam bahasa Hegel berhujung pada Sittlichkeit -- pertemuan antara tradisi dan hukum. Inilah tentuisme sejarah.
Maka, jika dikata Ashura adalah ritual budaya, itu benar. Dan, jika dikata lagi Ashura adalah ritual agama, itu juga benar. Keduanya adalah sama, lestari dalam sejarah yang satu.
Ashura, di Qom, tersimpan prestijnya. Malam-malam, selama 10 hari pertama Muharram, sama ada rumah, madrasah, dll, kota agama ini dipenuhi dengan acara yang dikenal sebagai Rozeh -- ceramah dan bacaan narasi tentang Imam Husayn dan Karbala. Dan, acara belangsungkawa inilah, seperti kata Annemarie Schimmel dalam Karbala and the Imam Husayn in Persian and Indo-Muslim literature menjadi tradisi Muharram yang merebak seluruh penjuru Islam, termasuk sampai ke Pariaman, Sumatera. Di sana, ada Tabut, juga sebuah ingatan buat Imam Husayn.
Memang, ketika Rozeh, ada tangisan yang melimpah. Aneh mungkin, mengapa mereka dengan mudah menangis tatkala diungkapkan mengenai Karbala? Tidakkah mereka penat dengan ulangan cerita yang sama? Ini adalah pertanyaan yang wajar. Mereka menangis seolah Husayn baru saja shahid kelmarin. Tapi kita barangkali takkan aneh, kalau melihat ada yang menangis ketika menonton Winter Sonata. Tapi, Iran, Karbala, Shi’ah, itu berbeza. “Kita takkan pernah memahami Iran, selagi kita belum menjadi Shi’ah,” demikian kata Hashemi Rafsajani yang pernah dikutip Hooman Majd dalam The Ayatollah Begs to Differ.
Tentu, menjadi Shi’ah seperti mereka, buat kita, adalah tak mungkin. Kita dilahirkan berbeza, dari daerah berbeza, dari budaya berbeza. Islam yang kita terima, yang berbaur dengan budaya setempat, menjadikan kita lain. Tapi, bukanlah sebuah larangan untuk saling-belajar, dan saling-memahami. Justeru, kalau hanya seruan untuk mencintai Nabi dan keluarganya, itu sama sekali bukanlah keberatan. Malah, kita senang. Namun, apakah tenang hidup ini dengan mencintai Nabi dengan keluarganya? Apakah dengan melakukan hal seperti itu, bererti kita telah melengkapi Islam?
Dalam sejarah, yang membezakan dua tradisi besar Islam -- Shi’ah dan Sunni -- adalah Imamah. Motahhari sekali lagi, secara mudah mengungkapkan pemisah antara Shi’ah dan Sunni, “dengan menerima Ali sebagai warisan kepimpinan dari Nabi, itu memadai untuk menjadikan seseorang itu Shi’ah.” Semudah itu. Tapi, mengapa harus Ali? Sukar untuk kita menerima kepimpinan Ali hanya atas dasar darah. Hanya atas dasar keluarga. Kita dengan akal sehat, pasti akan menolaknya. Hanya itukah hakikat dari Shi’ah? Hanya pada darah, dan keluarga? Melihat kepada falsafahnya, ternyata bukan demikian.
Iran, juga Shi’ah, dari ke hari membuktikan dirinya adalah ranah yang amat seni. Mereka menerima imamah Ali dan penerusnya, bukan kerana darah. Tapi, kerana karisma. Kerana kewibawaan. Kerana kecekapan. Ali adalah Ali. Sama seperti kata Shariati, “Fatima adalah Fatima.” Masing-masing menjadi diri sendiri. Tanpa kelebihan kepimpinan, maka setitis garisan darah Nabi pun tak berguna. Betapa banyak kita lihat, mereka yang mengaungkan garis dari leluhur Nabi, tapi miskin akhlaknya. Sebab itu, Shi’ah tak pernah bermula dengan aqidah. Yang penting pada mereka, adalah akhlak.
Mohsen Ghanbali, adalah salah seorang akademia di al-Mustafa International University. Wajahnya membayangkan kepada kita Mahmoud Ahmadinejad, cekung pada matanya, tumis nipis, dan rendah. Tapi, ia sedikit berisi, berserban, dan berjubah. Di hadapan mahasiswanya di Qom, yang ada antaranya adalah Sunni, dibicarakannya tentang triniti penting dalam Islam: aqidah, ahkam, dan akhlak. Antara ketiga itu, buatnya, akhlak mendahului aqidah.” Soalnya, mengapa akhlak lebih utama dari aqidah? Di sini, Albert Camus dalam La peste ada jawapannya.
Camus, di situ berkisah tentang peristiwa luar biasa yang menghentam penduduk kota Oran, sebuah kota di barat Algeria. Filsuf Perancis itu menanyakan: mengapa anak kecil akhirnya menerima kesan dari wabak? Dan, “apakah dosa anak kecil ini?” Maka, belajar dari pencarian Camus ini, kita akan akui bahawa jadi baik boleh saja tanpa agama. Berapa ramai yang bukan-muslim, mithalnya, tetap dapat berlaku baik. Dan, berapa ramai yang Shi’ah (kalau mereka dikatakan bukan-Islam), tetap dapat berlaku baik pada Sunni. Di Qom sendiri, penuh dengan masharakat Sunni, dari belahan dunia. Mereka hadhir hanya kerana sebuah hasrat: mendepa ilmu. Tiada seruan pun bahawa darah Sunni adalah halal untuk dibunuh.
Sunni sejati seperti talabeh-talabeh lain di Qom. Mereka mencari ilmu bagai hikmah yang hilang, dan siap meredah daerah yang berbahaya, kalau benarlah Qom adalah sebuah daerah berbahaya untuk mereka. Kota ini menyambut mereka dengan ramah. Bak kata Nezami, pujangga besar Parsi:
Seluruh dunia adalah jasad, dan Iran adalah ruhnya
Kami semua tak malu-malu untuk mendakwanya
Lalu, sebagaimana Iran adalah ruh atas dunia, dan kekal demikian
Maka ruh juga lebih unggul atas jasad, dan itu adalah kepastian
Shahdan, ilmu itu tak kenal wilayah. Tak hanya di Qom. Hatta, seluruh alam. Namun, tetap akhirnya ilmu sujud pada akhlak, kerana itu adalah buahnya. Jika kita percaya kebaikan adalah manifestasi Tuhan, maka tentu saja akhlak juga adalah manifestasi rahmatan lil alamin. Ingatkah kita pada sebuah sabda, “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia?” Jika kita ingat itu, maka kita tahu bahawa ateisme juga punya aqidah. Maka, aqidah bukanlah pemisah pertama. Sebaleknya, adalah akhlak.
Di Qom, kota ini memang mengajar akhlak. Mendidik dengan kekhasannya pula. Sampai saja, kita akan sangat terkesan dengan cara taaruf masharakat Iran yang bitara, dengan tangan kanan yang meletak di dada, sambil kadang-kala tunduk tanda hurmat. Itu akhlak pertama mereka, dan menarik. Kesan dari Ashura. Kesan dari tafsiran Islam yang santun.
Di jalan Chaharmardan tak jauh dari maqam Fatima Mashoumeh, ketika 10 Muharam itu, penuh manusia berlatmiyah, persis seperti taaruf masharakat Iran tersebut. Manakala ada pula yang lain sambil berzanjir memukul diri. Tak sakit. Tak luka. Tak berdarah. Malah, boleh senyum. Di sekeliling bangunan yang penuh artistik dan klasik itu, tiada setitis pun darah yang ditemui. Setidaknya, hanya cat berwarna merah yang bergenang di jalan. Ali Khamenei sendiri, yang lebih dikenal sebagai Rahbar di sini, bahkan melarang sebarang perlukaan diri ketika Ashura.
Arakian, kita pula mudah jatuh kepada ketakmengertian mengenai Shi’ah. Untuk itu, kita harus bertasamuh, elak dari angkuh. Insaf, bahawa kita juga adalah manusia yang tohor. Kita tak tahu semua. Kita tak pernah menyelami dalam tubuh falsafah mereka, bahawa Husayn juga bahagian penting dari sejarah mereka. Sebab itu, usah kita hairan, dalam Rozeh, mereka bangun dan bertawassul secara berdiri. Mereka akan mengadap pada tiga arah. Satu, tentu pada Makkah, dua, pada maqam Fatima Mashomeh di Qom, dan ketiga, pada Mashhad, letaknya maqam Imam Reza, juga kekanda kepada Fatima Mashomeh.
Justeru, dengan sejarah yang tertanam kemas ini, maka apakah mungkin untuk kita hadhir dan berkata tepat ke muka mereka, “ini adalah sesat!” Sulit, bahkan ada sebuah anekdot yang menceritakan bahawa betapa Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah akur, “sekiranya ambo dilahirkan di Iran, maka ambo juga akan jadi Shi’ah.” Tak tahu, adakah anekdot itu benar, atau salah. Tapi, logiknya tetap ada.
Jadi, masalah kita bukanlah pada Shi’ah. Masalah kita yang sebenar adalah kegagalan untuk menguruskan perbezaan. Selain itu, kegagalan untuk menjiwai pesan-pesan universal dari Nubuwwah. Jika masharakat Shi’ah terus utuh dengan sejarah mereka, kita juga boleh mengutip hikmah ini dari mereka. Menurut Ahmad Shalabi, sejarawan Mesir: jika Abbasiyyah, Andalusia, seluruh dinasti Islam telah runtuh mahkota keilmuannya, sebaleknya tradisi keilmuan masharakat Shi’ah terus berkembang, segar, ranum, dan itu tersemi di Najaf. Malah, sekarang bertambah lagi di Qom.
Lantas, apa yang kita belajar dari Muharram? Seperti yang telah Mahatma Gandhi belajar darinya, “Saya belajar dari Husayn bagaimana mencapai kemenangan meski dalam keadaan yang tertindas.” Inilah semangat untuk belajar sesama, serta terus-menerus mencungkil pesan-pesan universal darinya. Dalam bahasa Juergen Habermas, pesan-pesan universal ini mengusung penalarannya yang tersendiri. Setiap budaya, ada nalarnya. Usah mudah membuang Lebenswelt (dunia-kehidupan), demi untuk sebuah sistem yang subjektiviti.
Seperti juga Ludwig Wittgenstein, setiap bahasa (yang merupakan jiwa bangsa) ada hukumnya. Maka, terpulang pada kita sama ada untuk mengambil jalan singkat, atau jalan terhurmat. Jalan singkat, mudah melemparkan kesesatan. Jalan terhurmat, melakukan kritik atas sumbernya. Tanpa kritik, yang muncul adalah dogma. Namun, dogma Shi’ah, kekal bertahan dalam arus kritik, zaman-berzaman. Fahamnya jadi sebuah dogma yang aneh. Dogmanya melahirkan kebersamaan, yang kerana itu Habermas amat yakin, agama adalah harapan bagi projek pencerahan yang belum sudah. Dan, kalangan Shi’ah juga yakin, inilah rahsia kekuatan mereka selama ini.
Walau bagaimanapun, dalam kesedaran untuk belajar antara sesama, tiba-tiba ada di kalangan kita yang cuba memiliknegarakan iman. Walhal, iman bukanlah hak negara. Iman adalah ranah peribadi, yang tak siapa tahu apa dhamir-nya. Negara tak pernah mampu untuk menentukan imam para warga-nya. Selagi tak ada unsur diskriminasi dalam amalan faham, yang seperti saran Habermas lagi, maka negara (sistem) tak berhak menentukan segalanya. Negara bukan serba tahu. Yang tahu, adalah jiwa itu sendiri.
Sebab itu, Ashura adalah sebuah misteri yang merupakan jurang bagi sebuah ketaktahuan massa. Sama ada di Qom, atau di Gombak, keduanya menyimpan rantaian sejarah yang cuba menemukan dirinya dalam sebuah kesatuan. Justeru, apa sikap kita dengan raksasa sejarah ini? “Jika kita tak dapat mengungkapkan dengan baik, maka lebih baik diam,” demikian anjuran Wittgenstein. Saran filsuf matematik itu sesuai sebagai nasihat kepada kalangan agamawan kita yang tampaknya kemaruk untuk memikul kata mutlak.
Tapi, ternyata, dalam keghairahan agamawan untuk menunggalkan segala “yang lain” ini, ia rupanya telah terlupa ada sesuatu yang lebih besar. Ruhollah Khomeini benar, “memang mudah untuk jadi agamawan, tapi sulit untuk jadi manusia”. Muharram adalah saksinya, betapa ramai agamawan yang akhirnya kecundang dari menjadi manusia. [JalanTelawi, 20 Disember 2010]
dimuatkan oleh
Aqil Fithri
tanggal
9:33 PM
8
ulasan
bilek @ JalanTelawi
Wednesday, September 15, 2010
Keabsahan "Gaji Minima" (II)
Barangkali dari tulisan sebelumnya, “Legitimasi Gaji Minima” (kata “keabsahan” digunakan kali ini sebagai terjemahan untuk legitimacy) ada yang bertanya: apakah sikap seharusnya dalam persoalan “gaji minima” ini? Desak suara ini lagi dalam nada mengugut, katakan saja: “ya” atau “tidak”?
Baiklah, sekali lagi, mereka yang bertanya sebegitu adalah mereka yang naif dalam merunut duduk-perkara-nya. Seolah mereka memikirkan bahawa segala hal hanya tuntas dalam satu titah, juga dalam satu idealogi.
Sebetulnya, jawapannya bukanlah “ya”, dan bukanlah “tidak”, secara mendadak begitu. Tiada siapa yang berhak untuk berlagak sebagai “tingteng”, dengan berperanan sebagai subjek “super-sedar” yang mampu menangani seluruh permasalahan yang tertanam dalam masharakat.
Sebaleknya, jawapannya itu terletak dari frasa Habermas, “pembentukan pandangan dan kehendak politik” (politische Meinungs-und Willensbildung). Frasa inilah yang kemudiannya membangun keabsahan dalam setiap produk hukum (yang dalam hal ini merujuk kepada undang-undang gaji minima).
Namun, pertanyaannya, apakah yang dimaksudkan dengan kalimat ini? Dan, bagaimana kalimat ini dapat dikaitkan dengan gaji minima?
Berangkat dari pertanyaan ini, kita akan menelisik bagaimana suara liberalisme (juga libertarianisme) yang gigih mendukung faham individualisme, sembari gagah membela kepentingan majikan. Lebih tepat, mereka membantah dasar gaji minima.
Setidaknya, mereka melihat adalah menjadi hak majikan mutlak untuk menentukan batas-batas gaji pekerjanya. Kata mereka, “majikan punya modal, maka majikan juga punya hak untuk menentukan apa saja.”
Kalau pendekatan falsafi, mereka juga mengembalikan hak majikan ini kepada hak asasi manusia. Selain itu, kalangan ini juga percaya bahawa negara adalah entiti ketiga yang tak berhak sama sekali untuk campur-tangan berkenaan kemelut antara majikan-pekerja ini. Demikian sebahagian hujah kalangan liberalisme ini.
Tapi, bagaimana pula dengan kalangan sosialisme yang kental mendesak agar dilaksanakan gaji minima?
Tentu, kalangan sosialisme jelas mendukung faham komunitarian, bahawa hak seharusnya dikembalikan pada kedaulatan rakyat. Dalam konteks ini “pekerja” itu sering saja mereka cepat momokkan sebagai rakyat. Sekurangnya, mereka menyakini setiap majikan berdiri atas kekuatan para pekerja tersebut.
Pada kalangan ini lagi, suara pekerja haruslah didengar, bahkan pada saat-saat tertentu mereka fikir majikan harus taat pada kehendak pekerja.Di samping itu, mereka juga mahu campur-tangan negara dalam menamatkan pertelingkahan ini. Demikian sebahagian hujah kalangan sosialisme ini.
Namun, apakah hakikat pada kemelut yang digegerkan oleh dua ekstremisme ini? Apakah jalan-keluar kemelut ini semudah liberalis yang lekas menuduh mereka yang berseberangan dengannya sebagai sosialis—supaya enak untuknya membubuh kembali hujah-hujah anti-sosialis yang telah baku dihadamnya selama ini?
Tidaklah semudah itu; atau, tidaklah semudah untuk kita berkata “ya” atau “tidak” saja.
Sebelum kita siap untuk berkata “ya” atau “tidak,” kita juga harus siap untuk melewati prosesnya dahulu. Sebab, proses inilah yang lebih penting dari natijahnya. Ibaratnya, “proses adalah jalan penyelesaian.” Tanpa proses, maka tiadalah keabsahan dari setiap hukum yang terumus. Cuma, bagaimana berlangsungnya proses yang membina keabsahan ini?
Untuk itu, kita akan masuk pada huraian Habermas dalam demokrasi berwacana-nya (Deliberative Demokratie); tentang “pembentukan pandangan dan kehendak politik” tersebut. Dalam gagasan ini; konsep hak asasi (liberalisme~hak-asasi~majikan) dan konsep komunitarian (sosialisme~kedaulatan rakyat~pekerja) telah mendapat tempat yang tersendiri. Bukan lagi secara eksklusif bersifat Kantian.
Maknanya, “pembentukan pandangan” adalah suatu tindakan warga (sama ada pihak pekerja mahupun pihak majikan, atau sesiapa saja yang merasa terlibat) untuk mewacanakan isi hati mereka, dan seluruh kepentingan mereka dalam ruang awam (Öffentlichkeit).
Mereka berhak untuk mengangkat tema apa saja, sesuai dengan makna ruang awam sebagai “keadaan yang dapat diakses oleh semua yang terlibat.” Mereka ini juga dibenarkan untuk berjuang demi kepentingan-kepentingan tersebut. Sementara, hak mereka untuk tindak-wicara (Sprechakt) itu mestilah dijamin sepenuhnya.
Lantas, hal ini tentu saja akan menambat wacana. Dan, wacana inilah yang dimaksudkan proses tersebut.
Menariknya, proses ini bukanlah menimbulkan ketegangan seperti yang sering dibayangkan. Tapi, proses tersebut mampu memeri kebersamaan (Solidarität) dari kalangan yang terlibat. Kesepaduan (integration) ini wujud akibat berseminya “rasa keterlibatan” dalam hukum yang kelak digubal.
Maka, ketaatan pada hukum itu pula mampu memaut kestabilan lalu mengelakkan sebarang ketegangan. Sebab, hukum yang terbenah adalah hukum yang absah, yang diakui serta dirasai oleh semua yang awalnya sudah terlibat dalam perumusannya.
Walau bagaimanapun, bagaimana pula dari rentetan wacana ini dapat berhujung pada sebuah hukum bersama? Maksudnya, bagaimana proses wacana ini ditamatkan (meskipun, proses meralatnya akan sentiasa berterusan)? Di sinilah fungsi negara, yang berperanan untuk mewakili “kita.” Maksud “kita” ini bukanlah sebuah kuasa-sepihak yang angkuh.
Sebaleknya, “kita” saja boleh berupa majikan, sekaligus pekerja. Ringkasnya “kita” adalah “masharakat warga” (Zivilgesellschaft). Dan, kata “kita” ini adalah kata untuk semua (yang terlibat).
Lalu, keputusan yang dirumus itu dapat disedari sebagai sebuah keputusan “kita,” bukan lagi sebagai keputusan “mereka,” atau keputusan “kami”. Alhasil, pada detik mana kita mula merasakan “kekitaan” ini? Ini dapat kita sukat menerusi suatu tahap keseimbangan wacana yang boleh diukur menerusi kematangan hujah-hujah yang telah ditampilkan.
Di sini, Habermas percaya, kalau wacana itu sudah matang, biarpun memamah waktu, maka “kekitaan” itu akan berada pada sebuah kesepakatan tertentu, di mana sebarang konflik kepentingan dapat dijernehkan, atau setidaknya dapat diredakan (bukan diredamkan).
Dalam bahasa Habermas, ini dinamakan ”equiprimordial”, iaitu kesetaraan antara “Aku Otonom” dengan “Rakyat Berdaulat.” Dari itu, sebuah hukum yang ’semakin’ absah tercapai. Maka, untuk tujuan tersebut, dianjurkan sosialisasi wacana yang melebar, serta merancakkan perbincangan aktif dari kalangan warga, agar terbina kematangan hujah-hujah tersebut.
Memang, krisis memang tetap saja terus berlanjut, dan harus terus dibenarkan berlanjut. Tapi, ternyata, semakin absah suatu hukum, semakin kurang juga krisisnya.
Kemudian, di sisi yang lain, negara pula mesti menjadi cermin dari kehendak masharakat warga. Negara di sini, tak secetek seperti yang difahami dalam konteks negara klasik yang Hobbesian, atau yang Rousseauian.
Sebab itu, pada Habermas, negara tak usah tergesa-gesa untuk merumuskan hukum sebelum peroleh kematangan wacana. Dan, negara bukannya kuasa-mutlak yang eksklusif, sebaleknya adalah sebuah kekuasan yang bersifat politik dari tindakan komunikatif para warganegaranya tersebut.
Demikian, negara adalah manifestasi dari suara “masharakat warga” itu sendiri. Idea ini yang sekaligus meluruskan konsep negara Hobbesian yang tak mempertimbangkan keupayaan manusia untuk “meminjam perspektif yang lain,” juga memperbaiki Rousseauian yang sering “meredam suara minoriti.”
Habermasian tidak. Habermas menegaskan bahawa negara –dalam erti demokrasi berwacana– tak terdiri dari para egois yang atomistik, dan hukum yang difahaminya sentiasa diperuntuk ruang untuk diralat, serta memberi pembelaan hak pada minoriti untuk terus berjuang demi kepentingan-kepentingannya.
Nilai intersubjektif inilah yang tiada dalam teori politik klasik tersebut, malah juga tiada dalam teori politik-agama sekalipun. Nilai ini juga yang melunakkan ketaksaan antara “hukum yang bersifat paksaan” (Zwangsgesetz) dengan “hukum yang bersifat kebebasan” (Freiheitsgesetz).
Kendatipun begitu, soalnya: mengapa dewasa ini terdapat kecenderungan dari negara untuk bersikap sembarangan –konon atas nama kecekapan (Effizienz) dengan mengambil jalan-pintas– dengan mengubal hukum tanpa terlebih dahulu memikirkan apakah itu benar-benar bermuara dari tindakan komunikatif warganegaranya sendiri?
Jawabnya, “negara tersebut tak absah.” Malah, kecenderungan ini bukan saja ada pada minda negara yang tak absah, tapi juga ada pada minda liberalisme dan sosialisme, yang setiapnya begitu angkuh bertindak dalam pengaruh falsafah subjek (Subjektsphilosophie).
Sebaleknya, jika memang ada negara (sistem politik) dan warganegara (Lebenswelt) berhasrat untuk memurnikan kemelut ini, maka semuanya hendaklah berlapang dada; pemaknaan dari sebuah sikap yang menghurmati masharakat warga itu sendiri.
Dari negara, mereka harus mendengarkan suara warganegaranya, kerana dari situ mereka berdiri. Sementara, dari majikan, mereka harus mendengarkan keluhan pekerja. Manakala, dari pekerja, mereka harus mendengarkan beban majikan. Kemudian, pada satu tataran komunikatif, menerusi sikap saling-memahami, dan sikap saling-belajar ini, maka sebuah muafakat akan dapat dicapai.
Namun, sayangnya, proses ini tentu takkan berlaku dalam negara yang tak absah.
Atas kegagalan ini, maka hukum yang dicapai pun jadi tak absah. Ini kerana, prosesnya yang ditempuh turut tak absah. Bayangkan saja hukum gaji minima ini jika digubal secara tergesa-gesa, tanpa melewati proses yang benar, tanpa menimbang suara masharakat warga, maka hukum yang diracik dibayangi kecurigaan, dan pasti berdepan dengan krisis yang semakin negatif.
Jadi, di sini kita akur bahawa kekuatan terbesar bukannya terletak pada idealogi-tertentu atau pada keangkuhan-negara, tapi pada masharakat warga itu sendiri. Sungguhpun demikian, di celah-celah itu kita mungkin terdengar suara; bukankah hak untuk menentukan gaji itu adalah hak mutlak majikan?
Benar, tapi apa guna hak majikan (aku otonom) tersebut jika hak itu tak diakui oleh pekerja (rakyat berdaulat)? Dan, apa guna kuasa hukum, jika hukum hanya digunakan untuk melindungi kepentingan majikan, tapi tak boleh diguna untuk melindungi kepentingan pekerja?
Hatta, apa guna negara, jika negara gagal berfungsi untuk melindungi masharakat warga-nya? Jadi, mahu atau tidak, konsep masharakat warga adalah sendi (locus) pada segalanya, yang bahkan melampaui beberapa kelemahan dari konsep negara moden.
Malangnya, dalam konsep negara moden yang diamalkan, eksekutif itu hanya bersentuhan dengan rakyat menerusi pilihanraya. Kita hanya menikmati penglibatan politik-langsung barangkali hanya sekali dalam lima tahun.
Walhal, konsep negara sepatutnya bersendi pada kekuasan warganegara, yang dalam bahasa Habermas dikenali sebagai, “revolusi sehari-hari.” Maksudnya: kita dapat merubah keputusan negara, hanya dari kehendak harian yang terhimpun pada masharakat warga.
Arakian, ada pertanyaan lagi: tidakkah idea ini terlalu idealistik? Tidak juga! Mengapa? Kerana Habermas tak merombak seluruh dari teori politik moden. Sebaleknya, maseh menukik pada trias politica, di samping memberi penekanan pada kebebasan media serta tindakan komunikatif para warganegara tersebut.
Justeru, Habermas sudah bermula dari hal yang sebenarnya realisitik. Namun, tidakkah idea ini terlalu normatif? Memang pun! Mengapa? Sebab Habermas sengaja meletakkan aras sasaran kesempurnaan yang melangit. Tujuannya adalah untuk memangkin usaha yang berterusan ke arah yang lebih baik, dan lebih baik lagi, sehingga terbentuk Sittlichkeit (kesusilaan).
Lalu, bukankah semua ini dapat diselesaikan dengan hanya merampingkan negara? Tidak juga. Sebab, merampingkan negara (libertarianisme), ataupun menggemokkan negara (leninisme), keduanya belum pun merangkum soal keabsahan tersebut. Maka, sememangnya persoalan keabsahan itu melangkaui persoalan saiz kuasa pada negara tersebut.
Keabsahan inilah juga yang kemudian merealisasikan “pemerintahan oleh yang diperintah” (Regierung der Regierten). Ini seterusnya menyambung kembali jalinan antara “sistem politik yang tunggal” dengan “Lebenswelt yang beragam.” Lantaran itu, seandainya kekuasaan komunikatif (kommunikative Macht) rakyat ini tak bergulir pada kekuasaan politik, lantas segalanya takkan punya makna. Takkan punya makna ekoran luputnya keabsahan.
Begitulah yang dimaksudkan Habermas tentang demokrasi berwacana, dan bagaimana kita melihatnya dalam kasus mikro: gaji minima tersebut. Mudahnya, demokrasi berwacana harus bermula dari “apa yang ada” (Faktizität) dan “apa yang disahkan” (Geltung).
Anehnya, konteks inilah yang miskin dari kalangan liberalisme, juga yang tandus dari kalangan sosialisme. Sementara, negara yang “tak absah” pula makin hari makin tampak totalitarianisme-nya. Sebab itu, hanya mereka yang dangkal saja terus kemaruk dengan fanatisme idealogi-nya sendiri, tanpa mahu memikirkan proses ke arah membidik muafakat tersebut.
Sekali lagi, hanya mereka yang dangkal saja. [JalanTelawi, 14 September 2010]
dimuatkan oleh
Aqil Fithri
tanggal
7:03 PM
0
ulasan
bilek @ JalanTelawi