Wednesday, September 6, 2006
Alam
Hampir lima belas tahun dahulu, jika tidak salah ingatan saya, Pasir Raja merupakan sebuah kampong yang sangat indah dan mengasyikkan. Terpencil di Hulu Dungun dan punya sejarah yang tersendiri. Jujur, ketika itu air sungainya sangat-sangat jerneh, manakala kehidupan akuatiknya pula sungguh mempersonakan. Sesiapa saja boleh tersentuh dengan mainan alamnya.
Namun begitu, semalam saya berkunjung lagi untuk menikmati keasyikan tersebut, sambil-sambil singgah di Chemerong. Sayangnya, ia sudah nyata berbeza. Aktiviti pembalakan bagaikan meratah keindahannya. Bilang masyarakat Pasir Raja, dalam loghatnya yang unik, serta dengan susunan nada yang tampak pasrah, “warisan kami sudah pun ditoreh sampai ke gunung”. Jelas sekali, hukum zaman menghimpit mereka.
Sekuntum Rafflesia, dari spesies baru yang ditemui oleh Dr. Kamaruddin Mat-Salleh (UKM) baru-baru ini di Hulu Dungun mungkin boleh terpelihara dengan sempurna, tetapi bagaimana dengan nasib khazanah yang lain? Jika sungainya sudah demikian tercemar, maka apa lagi harapan yang ada untuk anak-anak Pasir Raja menikmati warisan berharga zaman-berzamannya?
Sunday, September 25, 2005
Catatan Perjalanan Ke Indonesia (8/8)
Malam Sebelum Pulang
Usai sepetang aktiviti saya di komunitas Utan Kayu, mulalah kohor-kohor saya beransur, beredar ke penginapan teman-teman seperjalanan. Bertemu kembali dengan mereka, selepas berpisah sementara ketika mula tiba di Jakarta dari Bandung dua hari yang lalu.
Pada Fathi, terima kasih kerana sudi bertukar fikiran, menumpangkan bilik dan memulakan silraturahmi saya dengan ramai teman-temannya di Jakarta.
Bertemu dengan teman-teman seperjalanan kembali, kami hangat sembang pengalaman masing-masing berada di Jakarta. Khabarnya perjalanan mereka juga menarik kerana mengunjungi Islamic Culture Centre (ICC), dll. Sembang hingga ke lewat malam, tanpa disedari bilakah saat mata kami mula terlelap.
Fajar menyingsing, fikiran kami sudah mula terbayang KLCC, nasi lemak, roti canai, dll. Tetapi yang selalu merisaukan saya - syarat 15 kg yang di tetapkan oleh Airasia. Rupiah tinggal cukup-cukup saja...
Ermmm, apa lagi yang saya tak ceritakan pasal Indonesia ini lagi?
Oh… ya, ada satu lagi, membiarkan teman-teman meratah mie bakso, yang kaya dengan kolestrol :-)
Wednesday, September 21, 2005
Catatan Perjalanan Ke Indonesia (7/8)
Bersama Abdul Moqsith Ghazali
Nah, lewat petang barulah saya dan Fathi kembali ke Komunitas Utan Kayu yang diprakasai oleh Goenawan Mohamed, penulis Catatan Pinggir itu. Malah, selain buku Fisafat Politik Hannah Arendt seperti yang saya petik di atas, saya turut mendapatkan buku Setelah Revolusi Tidak Ada Lagi yang ditulis oleh Mas Goen. Sebenarnya buku ini di beli sebagai ganti pada buku yang telah lama diinginkan, Catatan Pinggir!
Lantaran kepupusan rupiah (kerana ia banyak siri), akhirnya impian ini terpaksa dilupakan saja. (Mungkin boleh dikirim kemudian nanti melalui Fathi saja?). Satu lagi, di Komunitas Utan Kayu turut menempatkan kantor Jaringan Islam Liberal (JIL). Saya sebenarnya dalam rancangan asal ke Jakarta mahu mewawacarai Ulil Abshar Abdalla, pendiri JIL (selain beberapa lagi tokoh intelektual di sana).
Sebaliknya, kerana beliau di waktu itu berada di Belanda, maka saya dihubungkan dengan temannya dengan Abd Moqsith Ghazali, yang juga salah seorang koordinator JIL. Abdul Moqsith seorang Ustadh, mempunyai asas pendidikan pesantren, dan kini pensyarah sebuah universiti di Indonesia. Ulil Abshar bilang, Abdul Moqsith itu temannya yang pintar! :-)
Lucunya, tentang hasrat saya untuk mewawancarai JIL ini telah beberapa kali disindir oleh teman-teman yang turut serta ke Indonesia. Katanya, bila kembali ke Malaysia nanti, mereka mahu menubuhkan Jaringan Islam Detail sebagai reaksi pada JIL, PAS dll. Katanya, gerakan islamis mesti ‘detail’ terhadap apa yang diperjuangkannya, tidak boleh kabur-kabur. Jangan biarkan ada persoalan yang diapungkan tanpa suatu pendirian yang pasti.
Misalnya isu Negara Islam? Kata teman saya, kita tidak boleh samar-samar seperti Dokumen Negara Islam yang dikemukakan PAS. Kita mesti terus detail! Wah, berani sungguh teman ini! Namun, bukannya saya tidak tahu feelnya, sekadar mahu berkelakar sahaja.
Apapun benar, bahawa hakikatnya banyak inti menarik (lagi menyegarkan) tentang Islam versi JIL ini. Majoriti tema-tema yang saya ungkapkan dalam wawancara bersama Abdul Moqsith adalah seputar soal PKS, Islam Liberal, fiqh alternatif, falsafah nubuwwah, dogmatism agama dll. Bahkan saya (dan JIL), sampaikan pada satu kesimpulan, bahawa sudah tiba masanya masjid-masjid di Malaysia ini ‘dipaku’ kerana kekangan legalistik dan tekstualnya.
Lihat jelas-jelas, masjid di negara kita tampaknya kaku, tidak pergi pada inti perjuangan ummah. Masjid hari ini hanya sekadar mengajak Islam ritual (atau normatif) semata-mata, sembari mengabaikan Islam dalam dimensi sosial dan intelektual. Kerana itu, Islam di Malaysia tidak nampak menyejukkan, tetapi tajam sekali, lebih-lebih lagi pengaruhnya dalam gelanggang politik.
Namun, tidak semua hasil wawancara bersama Moqsith ini selari dengan kepercayaan peribadi saya. Unsur berhati-hati dan penyaringan tetap ada. Sandaran saya dalam interaksi ruang-lingkup dunia aktivis global ini senantiasa merujuk pada nasihat Shahid Muhammad Husayn Beheshti. Beheshti bersama Javad Bahonar di dalam buku Philosophy of Islam ada mengingatkan, “bahawa meskipun Islam itu menyeru ummah supaya menerima sepenuh hati perintah Tuhan, lalu bersegera ke arah itu, tetapi perlu di ingat juga bahawa Islam sesekali tidak mengabaikan dimensi falsafah terhadap setiap ketentuan Tuhan”.
Jadi, apa maksudnya di sini? Bererti Islam memang amat mengalakkan agar ummah mengarap/menghadam/menyimpulkan pemikiran rasional dalam usaha kita mencari Islam autentik (pinjam Istilah Robert D. Lee). Selepas menerima agama, harus ada korekan keimanan. Bertitik-tolak dari sinilah, tampilnya fungsi akal. Justeru, tidak harus kita memandang akal ini sebagai musuh agama. Bukankah akal itu ciptaan Allah yang paling disanjunginya?
Saya secara peribadi amat pasti, bahawa tanpa akal, al-Qur'an hanya menjadi teks yang mati saja! Sementara itu, peranan wahyu (yang interaktif hanya pada zaman nabi) hanya akan terus hidup bilamana ada ijtihad, ada penafsiran sezaman dan ada akal yang merumuskannya (sekalipun melalui format klasik).
Mudahnya lagi begini; pemaknaan agama jangan sesekali mengabaikan penafsiran mantik. Langkah ini sangat dituntut supaya timbulnya keinginan beragama secara relawi, bukannya secara taklid semberono semata-mata! Dari buah-buah pencerahan inilah, kita akan terdorong untuk mencari sebarang ilmu sesuai dengan galakan agung dalam Islam itu sendiri; Iqra!
Justeru, kehadiran kelompok-kelompok muslim progresif di Malaysia seperti SIS, Astora Jabat dll, patutnya kita sambut dalam semangat ini, bukannya sebagai seteru agama yang halal untuk kita maki-hamun mereka. (Ironinya dalam keadaan ini, aktivis Islamis kerap bertukar menjadi hodoh akhlaknya). Tidakkah begitu semoleknya pendekatan kita?
Oh, pasal kehidupan beragama ini, saya ada satu kesimpulan yang menarik, tapi hingga kini masih lagi memikirkannya. Ia dirumuskan hasil diskusi singkat saya bersama seorang lagi teman semasa kami sama-sama menunggu penerbangan untuk kembali ke Kuala Lumpur. Persoalannya mudah saja. Kenapa kita perlu pada agama? Bukankah manusia boleh juga menjadi baik tanpa agama? Dan, sejauh mana agama membekas dalam kehidupan kita? Bayangkanlah kalau kita dilahirkan ateis, apa keperluan bahawa akhirnya teis adalah kemestian dalam kehidupan dunia kita (dan akhirat juga sebenarnya)?
Memang, soalan ini nampak ringkas-ringkas saja, tetapi arus bawahnya terlalu sarat dengan segala macam idea-idea, sisi-sisi pandang dan falsafah-falsafah. Saya yakin, di pihak agamawan konservatif (saya ingat kembali: Dr. Ali Shari’ati selalu mengejek ulama yang anti-sosial/ anti-intelektual ini dgn gelaran akhund) tentunya mereka akan mengusung jawapan yang bersifat fiqhi semata-mata.
Tetapi, melalui aliran falsafah agama, hati kita mungkin menjadi lebih puas bila berfahaman bahawa fungsi agama adalah ‘pemberi harapan’ – memberi harapan pada mereka yang mencari pencerahan! Dan juga, harapan bagi mereka yang terasa kekosongan dalam kehidupan. Nun, agama boleh mengisi kehendak manusiawi kita, yang mana ia tidak mampu ditawarkan oleh dimensi emosi, fizikal dan mental.
Dan, kenapa Islam? Apa beza Islam dengan agama-agama lain? Atau, dengan fakulti-fakulti pemikiran lain? Jika muslim mendefinisikan Islam sebagai ad-deen, maka kaum Kristian juga bicara hal yang sama. Tidakkah masing-masing mendukung fahaman bahawa agama itu weltanschauung? Malah idealogi-idealogi dari Eropah Timur turut mendakwa aliran mereka sebagai pandangan hidup, way of life.
Yang menariknya di sini, Islam turut dikatakan sebagai sebuah peradaban, sepertimana ungkapan H.A.R. Gibb, pengarang Studies on the Civilization of Islam. Justeru saya sebenarnya lebih selesa untuk memakai Islam dlm pengertian ‘a Religion’ atau juga ‘the Religion’ berbanding sebagai ad-deen. Islam adalah sebuah agama (a religion) sekaligus Agama (the religion) yang menampilkan wajah bitara dalam doktrin, ajaran dan risalahnya. Cuma bitaranya Islam ini perlu dicari, bukannya disumbat secara paksa!
Kendatipun begitu, tradisi Islam tidak bolehlah disamakan dengan Zaman Pencerahan (pasca Zaman Renaisans), walaupun kelihatan ada kesamaannya. Dalam Tamadun Eropah Moden, mereka (kaum rasionalis yang anti agama menurut pengalaman Kristian) meninggalkan agama semata-mata untuk merebut dunia; sebaliknya dalam dunia Islam pula, kita (sepatutnya!) mencari agama untuk merebut kedua-duanya – kehidupan langit dan bumi. Tidak boleh mengesampingkan salah satu di antaranya!
Sebaliknya, apa yang terpapar di kacamata, Eropah maju kerana meninggalkan agama, sementara timur (atau negara muslim) mundur kerana mengamalkan agama (dalam bingkainya). Sebab itu, dalam serba kedangkalan ini, di tambah lagi dengan faham eksklusivisme agama oleh elit agamawan, maka sukar sekali untuk kita mencabar gagasan waberian ini.
Kadangkala saya fikir, sekularisasi itu ada sisi-sisi yang baik untuk muslim, kerana berperanan untuk memulihara imej agamanya, meskipun hakikatnya ia satu kenyataan yang amat berat untuk diluahkan.
Tuesday, September 20, 2005
Catatan Perjalanan Ke Indonesia (6/8)
Berkunjung ke Syir’ah
Hari esoknya (lewat pagi), antara rencana saya ialah ke kantor (pejabat) PKS di Jalan Mampang, Jakarta Selatan. Sayang, wawancara (yang diatur sekian lama melalui emel ini) bersama ketua umum PKS, Tifathul Sembiring ini terpaksa dibatalkan.
Awalnya ia ditangguhkan ke minggu hadapan, tetapi gimana sih, kerana esoknya saya dan teman-teman yang lain akan pulang dari melalui Bandara Soekarno-Hatta. Justeru, rencana ke PKS dibatalkan saja. Mungkin di lain waktu boleh bertemu semula Tifathul. Tetapi, bila ya?
Awal petangnya, saya diajak Fathi mengunjungi kantor majalah Syir’ah. Berkenalan dengan Mujtaba dan lain-lain aktivis Syir’ah. Di Indonesia, kontroversi juga majalah ini kerana ia mendukung semangat pluralisme. Namun, hingga saat ini masih mampu lagi bertahan meskipun pasarannya agak terhad.
Dari inti pertemuan ini, barulah saya faham bahawa di Indonesia ini, bila disebut pemikiran Islam Liberal, ia tidak semestinya merujuk pada Jaringan Islam Liberal (JIL) saja. Di Indonesia sendiri, sudah ada beragam gerakan progresif yang memperjuangkan Islam dalam citra yang liberal, yang dinamik, yang progresif, yang inklusif dan yang pluralis.
Dan, dari perkenalan inilah juga timbulnya idea untuk memasarkan majalah syir’ah edisi Malaysia pula. Wah… bisa berjaya ke projek ini? Rasanya, buat masa terdekat mungkin antara aktivis pro-kebebasan Malaysia-Indonesia (yang muda-muda belaka ini) boleh memulakan dulu perkongsian maklumat dan bahan-bahan bacaan.
Thursday, September 15, 2005
Catatan Perjalanan Ke Indonesia (5/8)
Sembang Malam
Kembalinya malam itu - di rumah Fathi Aris Omar- kami sembang sampai dinihari. Saya ingat lagi, bagaimana kami berdiskusi soal kredibiliti Islam Liberal, rasionalisme agama, hal-hal peribadi dan tentunya itu tema rutin kami – survival gerakan Islamis . Benar, hangat sekali perbahasan itu meskipun tanpa hidangan resmi - teh tarik!
Dalam perbincangan tersebut, kami bersepakat bahawa aktivis yang ingin mengutarakan secara ampuh tentang wacana Islam Liberal ini, secomelnya mempunyai dasar agama yang wibawa. Canggihnya lagi, mereka ada sejarah tradisi pendidikan agama sama ada melalui pesanteran, universiti, mampu berbahasa Arab dll. Sebab itu Fathi bilang, kalau ada seorang Ulil Abshar Abdalla saja di Malaysia ini, ia sudah cukup untuk bikin gegar terhadap bingkai pemikiran Islam tradisional di kalangan aktivis gerakan Islamis kita.
Demikian juga bila Fathi melontar idea bahawa kerangka lihat terhadap agama itu harus di ubah. Kita songsangkan arah paradigmanya pula. Begini, orang banyak melihat agama dalam praktis entiti-entiti tertentu. Kini, bagaimana kalau kita anjurkan entiti-entiti itu yang melihat agama pula? Maksudnya luar (entiti-entiti) melihat dalam (agama). Sebelum ini dalam melihat luar.
Sebenarnya, saya sendiri pun masih teraba-raba untuk merungkai anjuran ini. Jujur kata, ini usaha yang menarik, tetapi banyak yang mesti ditelaah terlebih dulu? Konsep-konsep ini tidak gampang di bikin atau di utarakan. Kalau terburu-buru, goblok namanya itu :-)
Friday, September 9, 2005
Catatan Perjalanan Ke Indonesia (4/8)
Taman Marzuki Ismail
“Masa depan terbuka bagi melakukan tindakan. Jika masa lalu dan masa kini menjadi sebahagian dari masa depan, maka dunia politik akan kehilangan, bukan hanya kekuatan utamanya untuk menstabilisasikan, tetapi juga titik awal perubahannya, iaitu untuk memulai sesuatu yang baru” – Hannah Arendt dalam Filsafat Politik Hannah Arendt (karya Maurizio Passerin d’Enteves)
Tidak dinafikan, membaca pemikiran Hannah Arendt menimba sesuatu yang baru. Beliau merupakan seorang pemikir yang asal-mausalnya berdarah Yahudi. Dilahirkan di Hannover, Jerman kemudian lari dari tanahair ekoran pembantaian holocaust oleh tentera-tentera Nazi pimpinan Adolf Hitler.
Saya mula-mula sekali di perkenalkan tentang Arrendt ini semasa mengambil matapelajaran Isu-Isu Wilayah. Dalam kelas tersebut, saya dan mahasiswa lain di ajar (secara serius) mengenai tiga tema erat, iaitu konsep kewarganegaraan, ruang warga dan juga masyarakat madani (rupa-rupanya istilah masyarakat madani ini sebenarnya ‘dicuri’ oleh Anwar Ibrahim dari al-Farabi, kemudian ‘dicuri’ pula lagi oleh Dawan Rahardjo).
Pensyarah saya adalah seorang muslimah Tiong Hua yang anggun sekali. Sungguh ayu, manis dan bersopan bila beliau memakai berbaju kurung lengkap. Suasana dalam kelas pula senantiasa hangat. Tetapi bila keadaan sunyi sepi, adalah yang kerap menjadi mangsa pertanyaan-pertanyaan bagi menghidupkan debat kolektif di dalam kelas. Masing-masing (para mahasiswa) cuba untuk mencari kebernasan hujah dan mula mengasah idea-idea. Memang meriah!
Saya juga masih ingat lagi, bagaimana pensyarah mencabar pendirian saya tentang konsep kewargenegaan di Malaysia. Provokasi beliau, tidakkah kaum Cina telah dianggap sebagai warganegara kelas kedua di Malaysia? Hujahnya bernuansa dari dikotomi bumiputera dan bukan-bumiputera.
Memang, ada ketika tanggapan itu benar. Ini kerana, dalam konsep kewarganegaraan moden, struktur negara tidak seharusnya dirumuskan dalam kerangka, paparan dan dasar yang menafikan hak semua warganya—atas nama apapun.
Justeru, primordial perlu dileburkan habis-habisan tanpa ada pengecualian kepada mana-mana bangsa. Maksudnya lagi, ras, kaum, agama, dll tidak harus menjadi keutamaan dalam penentuan kewargenaraan penuh. Rentetan dari mantik ini, dasar negara harus menjadi naungan yang adil pada semua ras, kaum dan agama – yakni mencitrai keadilan, kebebasan dan keharmonian sejagat.
Saya membeli buku Arendt tersebut di toko buku berhampiran Taman Ismail Marzuki (TIM) berhampiran Jakarta Tengah. Menyentuh pasal TIM ini, ada cerita menarik untuk dikongsi. TIM, difahamkan oleh Fathi Aris Omar yang menemani saya di Jakarta, merupakan pusat bagi acara-acara budaya di Indonesia. Tentang nama Ismail Marzuki ini, ia diabadikan dari nama seorang sasterawan Indonesia yang tersohor juga, dan mungkin sebaris dengan Chairil Anwar.
Oh, tentang Fathi Aris Omar. Meskipun datang ke Jakarta bersama teman-teman, namun ketika tiba di sana, saya sebenarnya telah berpisah dengan teman-teman yang lain. Saya bersama Fathi, manakala teman-teman yang lain dengan acara yang berbeza. Jadi, di Jakarta meskipun udaranya berhabuk (sampai undang rasa tidak selesa dalam kerongkong), tetapi dengan bantuan Fathi, banyak pergerakan ana beres dan mulus.
Malah, sempat juga sama-sama dengannya pergi membeli-belah di plaza Atrium Senin sambil melintasi pasar buku yang pernah menjadi lokasi dalam filem Ada Apa dengan Cinta. Pasal plaza Atrium Senin ini, ia merupakan salah satu bekas lokasi pengeboman yang di katakan didalangi oleh Azahari dan Noordin Mat Top sebelum ini. Bahkan, ketika mula memasuki plaza ini, kelihatan kawalan keselamatan sungguh ketat sekali. Hati kecil risau juga, lupa untuk membawa passport ketika itu. Tapi muka selamba sahaja, sembunyi mimik kerisauan.
Beralih semula pada cerita TIM tadi. Ketika kehadiran saya di sana (waktu malam), hadirin disajikan bacaan sajak oleh Sutarji, salah seorang seniman Indonesia yang dikatakan sangat terkenal (namun maaf, sebelum itu saya sendiri pun tidak mengenalinya). Gaya penyampaiannya, ampun… sungguh di luar dari format lazim penyampaian sastera kita. Aduhai… memukau sekali!
Saya kira, budayawan di Malaysia kita perlu berkongsi dengan masyarakat budaya di tanah seberang. Mungkin kerana iklim budaya kita sudah terlalu lama terkepung dengan format-format seni yang akhirnya menyusahkan kita sendiri juga; tidak berkembang, dan tidak nampak nilai indah itu. Lantaran itu, saya cakap pada Fathi bahawa hanya pemerkasaan budaya sahaja yang bisa merubah struktural politik sesebuah negara termasuk Malaysia. Bukannya pencak politik!
TIM, saya sifatkan sebagai pusat reformasi budaya-politik-ekonomi negeri sang saka merah ini. Inilah lubuk reformasi rakyat, tekan saya. Di sisi, Fathi kelihatan cuma tersenyum senggih saja bila mendengar penegasan ana ini. (Eleh, barangkali Fathi fikir saya ini terlalu lewat untuk baru memahami soal ini).
Wednesday, August 24, 2005
Catatan Perjalanan Ke Indonesia (3/8)
'3U', Apa Tu?
Ketika di Bandung juga, kami telah dibawa oleh teman-teman Indonesia mengunjungi pesantren Babussalam. Subhanallah…. sungguh indah pemandangan Bandung dari lokasi pesantren ini. Habis… hampir seluruh Bandung, sejuk mata menatapinya.
Apatah lagi, bila menikmati ‘air-cond’ organik sekitar 18°c. Kiyai Moktar Adam yang memimpin pesantren ini sebenarnya merupakan mantan ahli parlimen Partai Amanat Nasional (PAN).
Orang kuat Amien Rais, sampuk teman-teman Indonesia kami. Orangnya tenang, bervisi dan memuliakan tetamu. Senang sekali bila berbual dan mendengar perbualannya. Cita-citanya yang terbaru, mahu membangunkan pasentren cawangan Babussalam di Pulau Sebatik, Sabah pula.
“Nanti kita bangunkan pesantren di tengah-tengah garis sempadan antara Malaysia-Indonesia, jadi tak perlu guna ‘passport’ lagi kan? Katanya sambil mengundang ketawa para hadirin. Bapak Kiyai, insha’allah, kalau ada kesempatan kami akan kunjungi Babussalam lagi. Dan, kami juga masih simpan lagi ole-ole bugis ‘3U’ (baca: tiga hu) itu (ketawa).
Lengkap tiga hari, kami mula meninggalkan kota permai ini menuju Jakarta. Meskipun untuk melepasi kota Bandung jalan kerap macet, namun hati tetap terhibur. Manakala masakan sunda (selektif) mengamit citarasa dan ingatan. Memang lumayan juga kedatangan kami ke sini.
Di sisi cermin Kijang (di Malaysia dikenali sebagai Toyota Unser), redup mata memandang perkebunan teh di pertengahan perjalanan ke Jakarta ini. Sungguh indah! Sepi pecah berderai bila ada suara teman-teman mengusik (dan menggesa) supaya saya melanjutkan pengajian post-graduate fizik di Institut Teknologi Bandung (ITB).
Wah! Bilangnya, nanti mudahlah mereka untuk ke sini lagi. Namun, di bibir saya hanya mampu mengukir sebuah senyuman tanpa makna…
Friday, July 22, 2005
Catatan Perjalanan Ke Indonesia (2/8)
‘Politik’ Masjid Salman
Lanjut cerita tentang Penerbit Mizan, sebenarnya agenda asal saya dan teman-teman untuk bersua dengan Haidar Bagir, direkturnya. Saya akui, sebelum ini saya banyak mengawali ilmu-ilmu filsafat melalui buku-buku terbitan Mizan.
Terdapat satu siri buku filsafat yang diterbitkan oleh Mizan yang selalu ditulis kata pengantarnya oleh Pak Haidar sendiri, kini sudah menjadi koleksi saya.
Siri buku-buku tersebut terdiri dari tulisan Oliver Lehmann (Pengantar Filsafat Islam: Sebuah Pendekatan Tematis), Mulyadhi Kartanegara (Menembus Batas Waktu: Panorama Filsafat Islam), Murtadha Muthahhari (Pengantar Pemikiran Shadra: Filsafat Hikmah), Taqi Misbah Yazdi (Buku Daras Filsafat Islam), dan Haidar Bagir sendiri (Buku Saku Filsafat Islam).
Namun begitu, malangnya ketika kami tiba di Penerbit Mizan, Pak Haidar dalam waktu yang sama berada di Jakarta. Entah macamana boleh silap faham pula lokasi temujanji ini. Sebab, selain di Bandung, kantor Penerbit Mizan turut ada di Jakarta. Apapun Pak Haidar, pembantu anda, Ahmad Baiquni sama Tutuk melayani kami dengan baik. Juga, terima kasih atas sumbangan buku-buku tersebut.
Nah, alang-alang bercakap soal Bandung, maka saya wajib sentuh pasal Institut Teknologi Bandung (ITB) dan Masjid Salman-nya. ITB merupakan sebuah universiti teknis yang tersohor di Indonesia dalam bidang teknis. Khabarnya, banyak pemimpin Indonesia dilahirkan dari ITB ini.
Manakala di dalam ITB ini ada sebuah masjid yang dinamakan Salman (sungguh indah nama ini, jarang sekali ditemui nama ini pada mana-mana masjid di Malaysia). Masjid inilah yang menghimbau saya pada cerita Dr. Imaduddin Abdurrahim dalam kata pengatar pada buku ‘Islam Alternatif’ karya Jalaluddin Rakhmat.
Semasa dekad 80-an, sekembalinya Dr. Imaduddin dari menuntut di Amerika Syarikat, Dr. Imaduddin, beliau telah dimaklumkan bahawa jamaah Masjid Salman telah terbahagi kepada dua aliran; pertama, kelompok Cak Nur (Nurcholish Madjid) dan kedua kelompok Kang Jalal (Jalaluddin Rakhmat).
Tetapi tulis Dr. Imaduddin, beliau tidak percaya bahawa khabar ini melambangkan kepada perpecahan perpaduan jamaah. Baginya, perpecahan pemikiran tidak seharusnya mengambarkan perpecahan ‘wehdahtul ummah’.
Ya, anehnya, meskipun ketara perbezaan antara dua aliran kelompok ini, tetapi mereka tidaklah melewati sampai tuduhan sesat, gila, murtad, fasiq terhadap teman-temannya yang berbeza perspektif. Masing-masing meraikan pluralisme, asalkan ia pro-kebebasan. Salman, memang sebuah masjid yang mendukung nilai-nilai sosial dan intelektual yang matang.
Sebab itu, tidak menghairankan jika ada di kalangan masyarakat Indonesia melihat ia merupakan antara masjid tercontoh di Indonesia.
Saya memperhalusi kembali keadaan ini, agaknya inilah indahnya sejarah Masjid Salman yang budayanya mustahil ditemui di mana-mana masjid di Malaysia. Kalau di Malaysia, masjid-masjidnya seringkali ditentukan dan dikaitkan dengan kecenderungan partisan, bukannya berasaskan nilai-nilai sosial dan intelektual seperti yang terangkum di masjid Salman?
Kita, bila berbeza pemikiran, lazimnya akan mengundang hukuman politik dan membentuk perpecahan masyarakat! Sampai begitu sekali kan?
Wednesday, July 20, 2005
Catatan Perjalanan Ke Indonesia (1/8)
'Geger' di Bandung
Pasca reformasi 1998, bumi Indonesia memang menarik minat saya. Ingin sekali ke sana pada waktu tersebut bagi sendiri merasai gelojak gerakan-gerakan rakyat, juga meneliti dampak praxis demokrasinya.
Tujuh tahun selepas memasang impian, Jun 2005 barulah berkesempatan menjejakkan kaki ke sana. Menapak di Bandung, sebuah daerah yang di kelilingi oleh pasak-pasak bumi (gunung-ganang).
Waduh, sangat cantik, iklimnya yang sesejuk salju! Manakala, jarak waktunya dari Jakarta cuma dua jam setengah perjalanan kereta saja. Di Bandung, saya dan teman-teman (kami) berdiam selama tiga hari.
Semenjak hari pertama tiba di Bandara Hussein Sasteranegara, kami terus dipelawa menginap di kantor seorang teman aktivis LSM Islamis di sana, di Jalan Gegerkalong. Ya, jika anda berasal dari negeri Kelantan/ Terengganu tentunya pernah terdengar/ mengguna perkataan ‘geger’ kan? Nah, di Indonesia juga mengunakan perkataan yang sama, malah turut membawa maksud yang serupa – bising!
Begitu juga semasa kami membeli buah tangan di pasar baru Bandung. kain solat muslimah mereka bilang sebagai mungkana (kalau tak silap?), cuba anda semak balik, bukankah orang Kelantan juga panggilnya sebagai ‘kenna’. Persis kan? Barangkali, di sini ada keselarasan etimologi antara bahasa kedua rumpun ini. Bagi anda yang meminati bahasa dan sejarah, di sinilah menariknya untuk di ceritakan.
Tidakkah ini membuktikan bahawa memang ada perhubungan silam antara kesultanan Jawa dengan kesultanan Melayu Kelantan/ Terengganu? Tidak mustahil kan? Waima, ini masih lagi berbau spekulasi, bukannya bermuara dari kajian ilmiah. Sekadar ngomong-ngomong kosong saja.
Begitupun, saya kira ada beberapa pertimbangan yang menarik di sini. Pertama, dari sudut bahasa yang sinonim antara dua lokasi ini. Kedua, buah-buahan seperti duku dan pohon malinja (difahamkan oleh seorang teman, kalau tak silap, Dr. Shafie Abu Bakar dalam salah satu kertas kerjanya ada menyebut pasal kedatangan buah-buahan, serta beberapa pepohon di Kelantan/Terengganu yang mirip dari spesis di Jawa ini, tapi saya dah lupa kertas kerja yang mana satu).
Dan ketiga, ialah cara penyebaran Islam di Jawa dengan di Kelantan/Terengganu yang hampir sama; iaitu masing-masing (ulama-ulama silam) ke nusantara kerana kekejaman dinasti Abbasiyyah yang membunuh para alim ulama mereka pada kurun 11 Masihi dulu.
Sebab itu Wali Songo, dan Shariff Mohammad (dari leluhur Syariff inilah yang melahirkan Tokku Pulau Manis, Tokku Paloh dll) adalah ‘pelarian’ dari kota Baghdad. Mungkinkah mereka satu kerabat? Wah, menarik sungguh, jika ada mana-mana ahli akademia yang dapat membongkar ‘misteri nusantara’ ini (ketawa).
Lo, udah merapu pulak! Mari kita kembali pada Jalan Gegerkalong tadi. Di jalan ini sebenarnya banyak menghimpunkan kantor-kantor gerakan Islamis seperti Hizbut-Tahrir, Partai Keadilan Sejahtera, YPI Al-Jawad, Daarut-Tauhid dll.
Bilang teman saya dari Indonesia, di Jalan Gegerkalong inilah yang menyaksikan paling banyak partai dan LSM islamis dalam satu barisan jalan di Indonesia. Memang benar, tampak pluralis, rencam dan beragam sekali bila kami menelusuri jalan ini. Tetapi di sini, saya ingin menekankan sedikit maklumat tentang Darut-Tauhid yang khabarnya turut diziarahi oleh Anwar Ibrahim semasa kunjungannya ke Indonesia baru-baru ini.
Daarut-Tauhid diasaskan oleh Aa Gymastiyar, atau nama popularnya Aa Gym. Saya percaya, bagi mereka yang meminati (sangat-sangat) Siti Nurhaliza tentunya pernah mendengar nama ulama ini. Sepintas lalu, saya memerhatikan gerakan yang di bawa oleh Aa Gym ada nilai komersialnya bagi di pelajari oleh gerakan Islamis di tanahair kita.
Mereka mengutamakan pembersihan hati (pendekatan kejiwaaan) ketimbang merebut kuasa politik semata-mata. Nasheed–nasheednya mengembus qalbu dengan seruan-seruan sufistik yang sayup kedengaran dari took-tokonya. Buku-buku pelbagai idealogi, mazhab dan falsafah juga melambak dijual di sini.
Agaknya sesuai dengan jolokan aliran Aa Gym ini - mazhab ekonomis, bilang teman saya dari Indonesia. Kalau di Malaysia, ia persis fotokopi al-Arqam. Aduh, malangnya, di jalan ini juga kantung saya banyak diberanguskan untuk membeli buku-buku sehingga capet mengendongnya pula ke Jakarta.
Nah, itu belum dihitung lagi dengan hadiah buku-buku dari Penerbit Mizan yang kami kunjungi di pinggir Bandung pada hari keesokannya. Sungguh, memang ‘kelelahan’ mendukung buku-buku ini, mas! Di Malaysia kita tidak pernah penat menonton (dan membawa) buku, sebaliknya di Indonesia penat sekali dong!