www.flickr.com
Showing posts with label Warkah. Show all posts
Showing posts with label Warkah. Show all posts

Monday, March 23, 2009

Madihah

Asalnya, tak terfikir untuk menulis tentang ini. Waktu itu, apa yang terlintas pada saya, ini adalah soal remeh. Walau bagaimanapun, rasanya perlu juga. Ini tak hanya tentang Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal seorang. Malah, juga tak hanya tentang masa depannya. Tapi, tentang fizik. Dan, juga tentang kesendengan sistem pendidikan negara.

Pertama, biarpun agak terlewat, tahniah buat Madihah atas kejayaan! Sudah tentu, waktu sekarang sangat sulit untuk menentukan pilihan. Bila datangnya banyak peluang, kesukaran seperti ini memang tak dapat dielakkan. Maka, harus cermat.

Sejujurnya, saya menulis secara spontan ini kerana dua sebab. Pertama, hasrat Madihah untuk menuntut dalam bidang fizik. Jika memang Madihah punya minat dalam bidang ini, itu satu permulaan yang amat bagus. Minat sering saja membawa kepada keghairahan untuk memperoleh kejayaan. Langkah pertama yang tepat. Kedua, adalah usulan saya buat Madihah dalam merungkai lambakan tempat pengajian fizik.

Saya mendengar ada tawaran untuk Madihah melanjutkan pelajaran fizik di Jordan. Jelas, saya fikir Madihah tak perlu berfikir panjang untuk menolak tawaran sedemikian. Berdasarkan kepada pencapaian yang Madihah peroleh, ada tempat yang lebih baik dari Jordan, mahupun mana-mana negara Arab. Mahu atau tidak, diakui negara Arab bukanlah tempat sesuai untuk menjadi ahli fizik yang cemerlang.

Lalu, saya cadangkan Jerman, atau Switzerland, atau Austria, atau Amerika Syarikat. Negara-negara ini punya lebih alasan untuk Madihah berkembang menjadi ahli fizik yang berpenyelidikan perdana.

Sebab, bagi menjadi ahli fizik yang baik, Madihah juga perlukan tempat yang baik. Dalam bidang fizik, disepakati Max Planck Institute (Max Planck Gesellschaft) atau ETH Zürich merupakan dua tempat pendidikan fizik yang terbaik di dunia hari ini. Boleh cuba juga di Universität Wien, Austria. Ataupun pilihan yang berikutnya di Princeton University, Massachusetts Institute of Technology (MIT) atau California Institute of Technology (Caltech) di Amerika Syarikat.

Justeru, kita tak perlu terseret dengan tanggapan persekitaran. Tak perlu takut pada Eropah. Malah, persekitaran Arab belum tentu Islamik, berbanding dengan persekitaran Eropah. Jadi, usah resah pada sebuah kata: barat. Yang seharusnya lebih dirisaukan ialah "tak tahu," dan kesedaran untuk mencari "tahu." Budaya barat adalah cabaran. Lantas, yang patut diselesaikan ialah soal menguruskan beza budaya tersebut. Bukan melarikan.

Tampak, betapa herotnya wajah kita pada barat, atau Barat. Ini sama juga herotnya citra fizik di Malaysia. Selama ini, khalayak sering memikirkan bahawa bidang fizik adalah lekeh, ringan, dan sebagainya. Barangkali mereka turut merasakan bidang fizik tak punya harapan. Tiada masa depan. Memang, tak salah juga percaya demikian. Apatah lagi, sebelum ini, fikiran khalayak sering saja terseret dengan dasar materialisme/instrumentalisme yang disumbat oleh kerajaan.

Mithal saja kecenderungan universiti-universiti di negara kita. Lebih kurang sedekad yang lepas, apa yang kerajaan utamakan ialah bidang kejuruteraan. Hujah ramai, kita akan lebih mudah memperoleh pekerjaan. Sementara, pihak industri juga dikatakan lebih condong pada pelajar dari aliran kejuruteraan. Hasilnya, bidang sains tulen—seperti fizik, kimia, matematik, dan biologi—di universiti-universiti telah kehilangan penuntut yang bermutu. Lalu, bidang sains tulen terpinggir dan jatuh ke taraf “menjadi guru sekolah.”

Pendekatan kerajaan ini amat senget! Kesannya, kita boleh lihat sekarang. Semak saja jabatan fizik di universiti-universiti di Malaysia, rata-ratanya sudah berdepan dengan kepupusan ahli fizik yang berkebolehan. Tiada pelapis yang berwibawa.

Memang, kita mampu menghasilkan ahli fizik, atau akademia fizik, setelah kerajaan hantar mereka ke luar negara. Tapi sebaik manapun ahli fizik yang kita ada dewasa ini, tetap saja kita tak mampu nak melahirkan ahli fizik teori. Sampai hari ini, kita maseh tiada lagi ahli fizik lulusan dari institusi bergengsi seperti Max Planck Institute dan ETH Zürich. Ini tambah-tambah lagi corak penyelidikan fizik di universiti kita sekarang lebih banyak tertumpu pada fizik ujikaji.

Tampak, bidang fizik teori begitu lompong di Malaysia. Di Universiti Malaya kita ada Keshav N. Shrivastava. Itu pun terpaksa pinjam dari India. Di UPM, kita ada Hishamuddin Zainuddin, yang pernah menuntut dengan Christopher Isham. Tapi di sana tak pula dibekalkan dengan pasukan teori yang berkesan. Manakala di UKM, ada Lim Swee Cheng. Walau bagaimanapun, kemudian bersama murid hebatnya, Sithi V. Muniandy, mereka ‘terpaksa’ mengundur diri—gara-gara budaya penyelidikan fizik teori yang tak disambut baik.

Malah, kursus matematik-fizik peringkat sarjana yang pernah dijalankan di UKM pun akhirnya turut dimansuhkan kerana ketiadaan pengajar. Walhal, bukanlah kerana ketiadaan pengajar sangat pun. Sebaleknya, lebih kerana ketaksenangan permainan politik terhadap individu tertentu. Akhirnya, pendidik matematik-fizik sebaik Shaharir Mohamad Zain—yang memulakan kursus tersebut—pun tak dipedulikannya.

Bahkan, saya percaya UTM yang memiliki Institut Ibn Sina, juga mengalami masalah yang sama, sampai superkomputer yang amat mahal dibeli mereka, akhirnya terbengkalai begitu saja. USM, meskipun sebagai Universiti Apex, belum lagi terserlah dalam bidang fizik teori.

Justeru, kita memang tandus ahli fizik teori. Saya fikir Madihah perlu mengisi kekosongan tersebut, jika memang bidang fizik yang diminatinya. Tapi, untuk berjaya sebagai ahli fizik teori yang baik, itu pasti tak terdapat di Jordan, atau di negara-negara Arab, atau di Malaysia sekalipun! Madihah, atau mereka yang berminat dengan fizik, mesti ditawarkan ke negara-negara yang serius dalam penyelidikan fizik tinggi.

Saya usulkan Jerman sebagai pilihan pertama kerana beberapa faktor. Tak nafi, jerman adalah antara pemuka bidang fizik berbanding negara-negara lain. Fizik kuantum dan fizik kenisbian, kedua-duanya adalah fizik moden, yang terasas dari tradisi sains negara tersebut. Dewasa ini, penyelidikan fizik sudah menjadi asasi di Max Planck Institute. Begitu juga ETH Zürich dan Universität Wien yang tak kurang hebatnya.

Kemudian Amerika Syarikat. Bukan Britain. Siapa yang arif sistem pendidikan, pasti akan lihat ada beza besar antara sistem pendidikan dua buah negara Anglo-Saxon ini. Dua benua, dua mutu.

Tentunya, sistem pendidikan di Amerika, bukan saja lebih ikhtisas, tapi turut memperkenalkan umbaian bidang yang mengukuhkan kursus utama yang ditekuni. Saya ambil contoh di MIT. Di sana, mereka yang menekuni matematik, boleh saja turut menekuni bidang falsafah dalam waktu yang sama. Dan, hujungnya kita boleh memperoleh ijazah dalam dua-dua bidang secara serentak—major dan minor.

Tentu ada yang bertanya. Kenapa perlu disibukkan dengan pelajaran falsafah pula? Sedangkan kita mahu belajar matematik, atau fizik saja?

Sebabnya, untuk setiap perkara yang mencetuskan penyelidikan yang hebat-hebat, itu tidaklah bermula dari bilek makmal semata. Hadiah Nobel bermula dari berfikir. Terbukti, kebanyakan penemuan adalah terhasil daripada daya intuisi. Untuk menajamkan intuisi, budaya kefalsafahan sangatlah membantu. Kerana itu, sistem pendidikan kebelakaan (holistic) amat ditekankan di Amerika Syarikat, juga di negara bernuansa Jerman.

Kelemahan di Malaysia, kita terlalu berbau Britain. Segalanya seperti Britain semata, seolah-olah dunia fizik hanya ada Isaac Newton. Tidak Gottfried Leibniz. Barangkali ini tempiasnya daripada dampak penjajahan; minda tertawan dan jiwa abdi. Mungkin belajar di Cambridge University juga bagus. Penyelidikan teori tetali di sana juga hangat. Tapi saya tak fikir di peringkat sarjana muda fizik, universiti tersebut adalah sebagus dengan Max Planck Institute atau dengan ETH Zürich.

Demikian masalahnya di Malaysia. Masalah bukan sekadar berakar di universiti, tapi berumbi hingga ke sekolah. Di universiti, hampir tiada penekanan pada fizik moden. Kandungan matapelajaran fizik di kuliah-kuliah lebih bercorak status quo, sampai mengabaikan jalur-jalur fizik yang lain. Kalau di sekolah pula, semua buku teks fizik di sekolah tersudut pada Newtonian sahaja, dan para pelajar langsung tak diperkenalkan dengan fizik moden.

Jadi, jika pelajar tak diasah lebih awal dengan perbezaan pemikiran dalam fizik, maka tak mungkin kelak lahirnya ahli fizik yang bermutu di Malaysia.

Negara kita, dengan budayanya, memang bukan tempat menjadi ahli fizik yang cemerlang. Sama juga dengan negara-negara Arab. Sebenarnya, pendidikan di negara-negara dunia ketiga sudah terlalu lama dicengkam paternalistik, dan tak dibudayakan sikap kritis dalam penerokaan sains. Lalu, kita harus menuntut pencerahan baru. Barangkali surat ini adalah sebentuk pencerahan buat semua. Bukan untuk Madihah seorang.

Tapi khusus buat Madihah, pesannya mudah. Memileh harus cermat. Tapi, saya yakin, dengan memileh Jordan, atau mana-mana negara-negara Arab sekalipun, itu bukanlah sebuah pilihan yang bijak. Di sana, bukan untuk tempat subur untuk menjadi ahli fizik yang cemerlang. Tengok saja, penerbitan saintifik di seluruh negara-negara Arab adalah jauh lebih rendah dari sebuah negara Portugal. Sedangkan, jumlah penerbitan Portugal adalah terendah sekali di Eropah. Malah, Israel jauh lebih baik!

Hal ini mungkin tak lerai di sini. Nanti, ASASI, atau Akademi Sains Islam Malaysia akan menganjurkan Seminar Pemikiran Fizik Semasa. Menarik jika dapat hadhir. Di sana terdapat ramai ahli fizik teori yang berhimpun. Maka, sudah tentu pandangan-pandangan ini dapat diranumkan lagi. Sekian, selamat memileh!

Thursday, January 1, 2009

Surat Nasr

Terima kaseh pada seorang teman dari Mazhab Bangi yang perkenalkan makalah Seyyed Hossein Nasr di MAAS J. Islamic Sci, Vol 4. No. 1 Jan-June 1988/1408AH.

Memang, makalah "Islam and the problem of modern science" tersebut ada sari menarik. Biarpun temanya mengungkap kelemahan sains barat--subjek yang boleh menyeronokkan--tetapi tinggalan catatan kakinya barangkali lebih mengujakan.

Ini kerana, ada kemusykilan terhadap kegemaran kalangan al-Attasiwan--yang sering mendakwa perkataan islamization adalah pertama kali dikemukakan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Justeru, bila bertemu dengan makalah ini, rupa-rupanya ada catatan yang menunjukkan sebaleknya. Tapi, sudah tentu takkan ada kepuasan hanya sekadar menadah, memetik dan menerima semata.

Lalu, saya mengutus e-partha pada Nasr untuk menyemak lanjut. Kemudian, inilah balasannya untuk sama-sama kita kongsi:

"Mr. Fithri,

The word Islamization and the process are not the same. Already in my Science and Civilization in Islam written in 1958 and printed in 1964, I speak of the necessity of the integration of the sciences into the Islamic world view and this idea is also to be found in some of my early essays. But I did not and do no like the term Islamization of knowledge used later by al-Faruqi and al-Attas. Over a decade before they began to speak of this subject, I began to write on this process without using this rather awkward term. Al-Faruqi was fully aware of this matter since he confirmed it while we were both teaching at Temple University from 1979 onwards. Al-Attas had also read my several works on the meaning of “Islamic science” before shifting from Fansuri and similar figures to this subject.

Sincerely yours,
S.H.N."

Saturday, November 29, 2008

Dear Aqil

Dear Aqil,

The entire collection of Ali Shariati's speeches and writings have been published in over 30 volumes in the past years. They are all in Farsi. The publishers (mostly Shariati students) have done a good job in combining all materials related to a topic in a single volume. This should make it easier for a reader to find in one book what Shariati had said in many speeches over a decade. Therefore, this should help you as well.

In addition to your own list of research topics, I can suggest a few more:

1) What you refer to as 'eclecticism' in Shariati's thought has to do with his appreciation of what Islam entails. For Shariati, Islam encapsulates the 3 main trends in human history: a) Erfaan (Mystical / Spiritual quest of humanity; b) Equality (human struggle for social justice); c) Liberty (human struggle for freedom and liberty). In the Western context, 3 figures represent these 3 movements: Jesus Christ (Spirituality), Karl Marx (social justice and equality), Jean Paul Sartre (liberty and free choice). As such, we have 3 schools of thought: Christianity, Marxism and Existentialism.

According to Shariati, Islam recognizes all 3 quests at once. So we have a simple formula: Mohammad (PBUH) = Jesus (PBUH) + Marx + Sartre / Islam = Christianity + Socialism + Existentialism

The West has struggled for these 3; however, these have been 3 parallel struggles- never as a single unified struggle. Islam, on the other hand, has the capacity to synthesize the 3 into a unity.

I personally think Shariati was brilliant in recognizing the 3 fundamental requirements for a balanced and happy life: the need for spirituality, the need for equality and justice, and the need for freedom of choice and liberty.

2) Another important theme in Shariati's work is 'What Is To Be Done?'. This is a question still facing the Muslim world. As Shariati saw it, we have 3 choices: a) build huge walls to separate our societies from the non-Muslim world, so we can retain our Islamic identity (something Al-Qaeda and the Taliban advocate); b) surrender to the more advanced contemporary Western civilization and embrace their identity (something Mustafa Kemal Atatürk advocated in Turkey after WWI and still prevails there); c) identify what the essential Islamic identity is that should be preserved, and then borrow freely anything we need from the outside to rebuild our nations. He advocated the 3rd path. It involves saying no to stagnation and retreat to the past, it involves saying no to surrender and blind emulation from the West, it involves saying yes to new ideas and new thinking. This was an important project for Shariati.

3) Another important project for Shariati was 'Islamic Reformation'. He openly advocated Reformation along the same lines as the Christian Reformation led by Martin Luther and John Calvin. This put Shariati in sharp conflict with the clergy. I personally think Shariati was quite correct, and very courageous to publicly call for the need for Reformation. Reformation does not mean reforming Islam; rather it means: a) reforming our methodologies for the study of Islam; b) opposing the clergy's monopoly over interpretation of Islam and the Quran- God has not appointed any one person or group to be the 'guardian' of Islam; 3) defending the right of every Muslim to read the Quran and form a personal opinion of what God reveals to him through the verses (this obviously negates the clergy's claim that only they are uniquely qualified to form an opinion of what Islam actually says).

Without a Reformation, the Islamic world will continue in its current state of 'irrelevance', intellectual and scientific underdevelopment, and economic backwardness.

I know this is a very hasty and short treatment of ideas Shariati spent many many lectures to elaborate on. But I hope this email opens new possibilities for your research project. Let me know if you need more information.

God Bless,
Hamid Entezam

Saturday, March 22, 2008

Bahasa Melayu dan Globalisasi

Teman saya bertanya—dalam Yahoo Messenger—tentang hubungan antara globalisasi dengan bahasa Melayu. Maka saya memileh untuk menjawabnya di sini secara terbuka agar ianya dapat dibahaskan dalam bentuk wacana tanding.

Saya kira hanya ada tiga dampak kemungkinan saja yang menghubungkan globalisasi dengan bahasa Melayu. Pertama, kita mempertahankan pendekatan lokal kita sepenuhnya. Kedua, kita menerima menjadi global sepenuhnya. Dan ketiga, kita menyaring antara global dengan lokal (adakah ini glokal?). Saya kira pendekatan yang pertama—iaitu menjadi lokal sepenuh—mudah ditolak oleh kita, kerana ia tidak mempunyai hujah kukuh untuk dipertahankan. Menolak sepenuhnya di sini termasuklah juga dalam pengertian hal-hal yang baik. Dan ini, secara tidak langsung lantas turut bererti pendekatan ini mahu menolak kemajuan diri, masyarakat, negara, atau juga pemikiran keagamaan. Malah, kita tentu sekali tidak akan melangkah ke hadapan hanya dengan semata-mata berpaut pada pengetahuan yang sedia ada. Sebab itu, wajar kita berbahas tentang pendekatan kedua (global), serta saingannya dari pendekatan ketiga (global-lokal).

Baiklah, dalam konteks bahasa, pendekatan untuk menjadi global sepenuhnya sama ertinya dengan kita menerima penguasaan bahasa Inggeris ke atas bahasa Melayu. Lantaran itu, elok kita namakan saja kalangan ini sebagai globalis. Dan kita sedar, pendekatan ini dilaksanakan atas beberapa hujah yang lazim mereka kemukakan. Ini termasuklah, keperluan bahasa Inggeris yang digunakan secara meluas dalam akademik, perniagaan, pertadbiran, dll. Menurut kalangan globalis ini, sekiranya kita tidak menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya, ia akan menyebabkan kita ketinggalan jauh dalam memeroleh pengetahuan dari sumber pertama. Ini kerana, bagi mereka, hampir semua pengetahuan yang ada dewasa ini adalah bersumber dari bahasa Inggeris. Justeru, mahu atau tidak, tegas kalangan globalis ini lagi, bahasa Inggeris akhirnya menjadi bahasa pertama untuk kita untuk mencapai kemajuan, atau untuk kita melekaskan penguasaan pengetahuan agar kita berdiri sejajar dengan piawai dunia.

Saya kira ini hujah terkuat yang diutarakan oleh kalangan globalis. Namun, sebenarnya hujah tersebut maseh lagi tohor dan boleh ditandingi. Di sini, kita boleh semak semula fakta tentang kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengetahuan. Sebenarnya, benarkah bahasa Inggeris merupakan bahasa pengetahuan, ataupun ianya lebih bersifat bahasa penyampaian kepada pengetahuan.

Mengapa saya mempersoalkan demikian? Benar, persoalan ini tidaklah berbangkit sama sekali sekiranya memang ada bukti yang menunjukkan bahawa bahasa Inggeris adalah sebuah bahasa yang mencipta pengetahuan, terutamanya pengetahuan-pengetahuan yang besar. Ini ketara berbeza dengan bahasa Jerman (yang dikatakan mengakari bahasa Inggeris) yang begitu kaya dengan ciptaan pengetahuan dalam sains dan teknologi. Demikian juga bahasa Perancis yang kaya dalam ciptaan pengetahuan tentang kemanusiaan, sementara bahasa Hebrew, Arab, serta beberapa lagi dalam ciptaan pengetahuan tentang agama. Tetapi, bahasa Inggeris hakikatnya mencipta pengetahuan dalam bidang apa? Sekalipun ada, apakah ciptaan pengetahuan dalam bahasa Inggeris itu penting? Malah, boleh juga kita katakan bahawa dengan menyandarkan pengetahuan kepada bahasa Inggeris secara taasub, maka kentallah kecenderungan untuk kita salah-faham terhadap sesuatu pengetahuan tersebut.

Ya, kita boleh ambil saja contoh bagaimana kesesatan yang dibawa oleh bahasa Inggeris dalam fizik kenisbian. Ini jelas dipaparkan oleh Shaharir Mohammad Zain sewaktunya membentangkan kritikan padu terhadap teori kenisbian Einstein sebelum ini (2007). Di sini kita perhatikan, dari istilah zeit kemudiannya telah diterjemahkan menjadi time dalam bahasa Inggeris. Lalu kemudian, bahasa Melayu pula menggunakan istilah masa dengan merujuk kepada time. Padahal, jelas sekali bagaimana Alfred North Whitehead menunjukkan begitu larinya makna zeit yang difahami dalam bahasa Jerman dari makna terjemahannya dalam bahasa Inggeris. Jadi, kita sebagai pengguna ketiga akhirnya menambah kesilapan lagi dengan mengambil makna time untuk diterjemahkan sebagai masa, dalam keadaan makna masa sudah jauh menyimpang dari makna zeit.

Ini hanya contoh padanan istilah yang digunakan dalam fizik kenisbian. Bagaimana pula dengan penyimpangan dalam terjemahan? Sebab itu, dalam ajaran perterjemahan, kita diajar untuk kembali kepada sumber pertama dalam melakukan kegiatan perterjemahan. Dan, kita juga tahu bahawa tidak pernah wujud terjemahan per se. Sebaleknya yang ada hanyalah sebuah terjemahan-tafsiran.

Ya, itu contoh dalam bidang pengetahuan. Dan hal yang sama juga boleh diiktibari dari hal yang lain pula, mithalnya perniagaan. Soalan kita, adakah Jepun dan Korea boleh kita ketepikannya dalam perkembangan perniagaan dunia, khususnya perniagaan yang melibatkan sains & teknologi? Adakah Jepun dan Korea ketinggalan dalam arus globalisasi ekoran ketegasan mereka dalam penggunaan bahasa mereka sendiri secara meluas? Sedangkan kita tahu penutur bahasa Korea dan Jepun tidaklah sebesar penutur bahasa Melayu yang memiliki penutur sehingga 250 juta orang, yang juga dikatakan sebagai bahasa kelima terbesar di dunia. Tetapi anehnya, bahasa Melayu dewasa ini ditelan oleh bahasa Inggeris, manakala bahasa Jepun dan Korea telah diterima sebagai bahasa yang diraikan oleh masyarakat dunia.

Tapi, apa faedahnya yang diperoleh oleh Jepun dan Korea atas ketegasan mereka dalam soal pengamalan dan pengembangan bahasa mereka? Lihat di sini, bukankah pendekatan mereka akhirnya berjaya memperkenalkan budayanya ke seluruh dunia? Dari displin kerja, dari seni mereka, atau umumnya dari penguasaan meraka dalam sesuatu bidang, kesudahan mereka telah membawa keisitimewaan dan kesaratan budaya serta bahasa mereka untuk dikongsi serata dunia.

Inilah kebesaran yang mereka mahu. Inilah semangat yang mereka ingin kongsi. Mereka mahu memperkaya budaya dunia, dan seterusnya menyanggah penyeragaman dunia. Penyeragaman dunia hanyalah memperkecilkan khazanah pengetahuan dunia. Walau bagaimanapun, kita sedar, pertanyaan dan perbincangan ini akan menjadi tidak relevan jika seseorang, atau sesuatu kelompok masyarakat dan negara sudah tidak mempedulikan lagi soal budaya dan jatidiri. Jika mereka melihat budaya sebagai sesuatu yang tidak penting—yang di mana dalam budaya itu termasuk bahasa, agama, dll—maka tidak ada apa yang perlu dipertahankan, melainkan kita harus tunduk pada mereka yang lebih berkuasa.

Itu satu hujah saya. Jelas sekali saya tidak menolak globalisasi, tapi saya menyayangi keistimewaan bahasa Melayu sebagai antara khazanah bahasa utama dunia. Saya ingat lagi, sewaktu menghadiri syarahan Mohammad Khatami di Mandarin Oriental, tidak nampak ia segan untuk berbahasa Parsi—sambil dibantu dengan terjemahan. Namun, waktu itu tidaklah timbul pula persoalan ketidaksampaian mesej. Malah, tidak nampak para hadirin menjelekkan Khatami yang memang diketahui umum faseh dalam bahasa Inggeris, selain daripada bahasa Arab dan Jerman.

Sebab itu, saya katakan lagi, tidak ada alasan untuk kita rasa rendah diri pada bahasa sendiri. Bahasa—atau budaya juga—bukan halangan kemajuan. Tetapi, bersama dengan bahasa jugalah kita dapat mengumandangkan suara-suara sub-budaya dunia. Walau bagaimanapun, saya memang akui, bahawa saya tidaklah merumus persoalan bahasa Melayu-globalisasi di sini secara muktamad. Malah, hujah yang dikemukakan ini sangat terbuka untuk dibantah. Ini ditambah lagi kita belum berdebat soal sejauh mana keperluan penggunaan istilah bahasa Malaysia berbanding bahasa Melayu. Mahu guna bahasa Malaysia atau bahasa Melayu? Atau, adakah ini persoalan remeh? Kerana itu, molek jika ada yang mahu terlibat membahas dan merungkaikan di ruang ini?

Benar, warkah ini tiada noktah. Maknanya, warkah ini tidak menawarkan kesimpulan. Barangkali kesimpulan hanya cenderung membawa kita kepada amalan kukubesi sahaja. Namun, meskipun saya tidak punya kesimpulan umum, tapi saya tetap ada kepercayaan peribadi —sekurang-kurangnya sehingga setakat ini— bahawa saya bersetuju dengan satu peribahasa Melayu yang cantek: bahasa itu jiwa bangsa. Dan, bagi saya lagi, tidak pernah wujud apa itu yang dinamakan bangsa Malaysia. Bahkan, melahirkan sebuah bangsa hanyalah kerja-kerja Tuhan sahaja.

Tuesday, July 17, 2007

Buat Pas 14 Bintang

Salaam,

Saudara, terima kaseh atas maklumat serta perkongsian ilmu dalam ulasan pada kiriman sebelumnya. Saya sangat hargai.

Namun, pertanyaan saya pada saudara tentang pemikiran Mulla Sadra ada beberapa maksudnya, terutamanya kalau kita mahu melihat ide-ide pencerahan yang pernah tercatat dalam belahan dunia muslim.

Jujur, saya akui, bahawa saya tidaklah begitu akrab tentang Sadra berbanding dengan beberapa pemikir semasa lain. Walau bagaimanapun, kebanyakan buku-buku pemikir semasa yang saya baca; Fazlur Rahman, Murtadha Muthahhari, Sayyed Hossein Nasr, malah Ruhollah Khomeini sekalipun, rata-rata mereka kelihatan tersanjung dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh Sadra ini. Malah, Muthahhari sendiri, setahu saya pernah menamakan cucunya sebagai Sadra sebagai salah satu bentuk penghormatannya serta lambang kecintaannya pada penganjur hikmah muta’aliyyah ini.

Mengapa Sadra? Mengapa tidak yang lain? Dan, mengapa buku-buku saingan sekolah pemikiran Islam yang lain seperti 'irfan, isyraqi, kalam dan filsafat tidak dilihat sebegitu lengkap dengan apa yang digagaskan oleh Sadra? Juga, mengapakah akhirnya hikmah muta'aliyyah yang akhirnya berjaya mensintesiskan beragam sekolah pemikiran yang lain? Memang, ada banyak perselesihan dan perbezaan. Seperti biasa, pasti ada yang bersetuju dan ada yang berfikir sebaliknya!

Apapun, sejauh yang saya faham, ide Mulla Sadra terhadap konsep epistemologi adalah yang paling menarik berbanding dengan sekolah pemikiran Islam yang terdahulu. Ia dikatakan mengatasi keunggulan pemikiran Ibn Arabi, al-Asyaari (dan al-Ghazzali), Suhrawardi dan al-Farabi.

Saya boleh bersetuju dengan kenyataan demikian kerana, kebanyakan jawapan-jawapan yang dibentangkan oleh Sadra lebih bersifat saintifik (yang bukan dengan maksud ia mendekati emferisme semata-mata). Umpamanya, kalau kita meneliti al-Asfar al-Arba'ah—yang diakui ramai sebagai karya yang sukar untuk difahami, namun dengan mudah saja ia diajar di Qum al-Muqadassah—Sadra sebenarnya telah berjaya menyelesaikan satu persoalan yang sangat besar yang membelenggu dunia kefalsafahan. Bahkan, persoalan-persoalan inilah juga yang merantai sebahagian besar pemikir-pemikir barat yang dekat dengan metafizik sekalipun, seperti para pemikir fenomenologi; Husserl, Heidegger, dll.

Justeru, sumbangan Sadra dalam menerang dan menurunkan empat tahap dalam epistemologi sangatlah wajar diberi semakan tajam oleh para pemikir muslim yang tercerah. Tindakan ini penting sebagai satu kerangka kita untuk membangunkan semula gagasan intelektual Islam yang asli. Menerusi rungkaian Sadra dari tahap persembahan --> tahap konsep --> tahap pengetahuan diri --> tahap diri yang sedar menyeluruh --> tahap wujud yang hakiki, kita mungkin dapat melahirkan epistemologi alternatif.

Dari kesedaran inilah, maka usaha membina serta membangunkan epistemologi alternatif kian menjadi signifikan, iaitu dalam keperluan kita untuk menganti atau sekurang-kurangnya memperbaiki, umpamanya episteme mantik tulen anjuran Husserl yang dilihat amat berkuasa dewasa ini.

Bahkan, lebih jauh lagi, kita mungkin dapat mengurangkan cengkaman epistemologi sekular yang sarat ditaja oleh kalangan sekularis-ateis, yang seperti kita sedia maklum bahawa kebanyakan kosmologi pemikirannya hanya terbatas dalam persoalan dua tahap yang terawal sahaja, jika dibandingkan dengan keseluruhan konsep besar anjuran Sadra.

Jadi, dunia muslim hakikatnya ada kelebihan berbanding dengan dunia barat. Muslim punya kekayaan khazanah intelektual yang tidak kalah bandingnya dengan barat. Dan, hikmah muta'aliyyah adalah sebahagian daripada longgokan kekayaan tersebut! Cuma, persoalannya kini, adakah kaum muslim lebih selesa untuk menebalkan dogmanya, semata-mata kerana tidak senang dengan perbezaan sekolah pemikiran?

Benar, saudara dan saya, juga mereka-mereka yang lebih mementingkan scientia mungkin tidak akan bermasalah untuk menipiskan dogma serta mencabut semua dogmatik yang tidak perlu. Dan memang, tidak pernah ada hukum, "ranting mengatasi pokok" buat mereka yang rasional. Yang mendesak dalam dunia muslim waktu ini ialah, memikir serta mengerah tenaga bagi menimbunkan kembali khazanah pemikiran Islam yang sangat bernilai itu!

Saudara yang budiman, saya kira inilah sedikit catatan tambahan saya. Tentu saja ia tidak mencukupi untuk kita sama-sama menyimpulkan satu perbincangan yang lengkap, melainkan kita juga sama-sama mengambil inisiatif membaca, mengorek serta merumus semula segala keaslian pemikiran dari karya-karya yang primer!

Sekian, salaam hurmat!

Wednesday, May 16, 2007

Kepada Ehsan

  • Saya sentiasa ingat suatu kata-kata, “dalam tulisan yang dinilai bukan panjangnya, tetapi isinya. Dan, begitulah juga dengan kehidupan.” Sekali lagi, kata-kata ini kembali bergema saat membaca sepucuk surat dari seorang shahid muda. Inilah juga surat terakhir Ali Shari’ati buat putranya, Ehsan Shari'ati. Benar, mereka yang pernah membaca buku An Islamic Utopian: A Political Biography of Ali Shariati, tentunya dapat menjiwai kesengsaraan seperti yang pernah didekami Shari’ati pada tahun-tahun terakhir kehidupannya. Kehidupan Shari’ati: sebentar, tapi bermakna!

Setiap hari, aku tidak tahu apa yang disembunyikan untukku. Tanggungjawab apa yang telah ditakdirkan ke atasku dalam menjalankan misi mulia risalah Allah ini. Walau bagaimanapun, aku yakin bahawa aku memiliki tanggungjawab yang belum selesai disempurnakan. Kalau tidak, bagaimana aku masih tetap hidup, walhal seharusnya tulang-tulangku telah hancur tujuh kali.

Aku memuji Allah kerana aku dapat mengalami semua ujian dan penderitaan yang datang dengan silih berganti. Tubuhku masih kuat, namun kulit tebal apakah yang menyelimuti tubuh ini? Sebahagian dari ahli psikologi menyatakan, “satu generasi tidak akan bertahan untuk menerima kekalahan melebihi satu dari kekalahan.” Namun, lihatlah aku yang telah mengalami enam atau tujuh kali kekalahan.

Memang, kekalahan ataupun kemenangan, apa bezanya buat kita? Mungkin kemenangan dan kekalahan adalah ukuran yang penting bagi atlit, politikus dan orang-orang yang suka bertarung. Sebaliknya, bagi kita, yang terpenting adalah menunaikan tanggungjawab risalah Allah dalam segala keadaan, serta menghadapi segala kemungkinan yang terjadi. Ketika kita menang, kita berharap agar dapat dilindungi dari segala keangkuhan serta penindasan kepada orang lain. Manakala jika kalah, kita berharap agar Allah menjaga kita dari segala kehinaan serta sikap menyerah diri.

Berjuang: demi sebuah hakikat, demi kebebasan dan demi kebahagian manusia. Dan, keikhlasanku dalam perjuangan ini semuanya aku lakukan demi bangsaku, agar aku dapat meringankan jeritan yang selalu ada dalam diriku. Bahkan, aku sendiri sampaikan tidak dapat menjadi seorang ayah dan suami yang baik.

Kadang-kadang aku merasa gelisah. Aku takut kekuasaan akan menindas anak-anakku dan ayahku yang sudah tua. Namun begitu, apapun yang terjadi, aku yakin bahawa aku sudah berjalan di atas jalan Allah. Sewaktu seseorang menentukan suatu jalan yang ingin ditempuhinya, maka ia juga harus bersedia dengan segala kemungkinannya. Ia harus berjalan sampailah pada noktah terakhir.

Ehsan, hadapkanlah wajahmu untuk agama yang suci. Semua yang kita lakukan ini memerlukan kekuatan iman dan nafas panjang serta kesabaran dalam menanggung semua penderitaan. Ya Allah, berikanlah kami kekuatan sesuai dengan langkah kami!