www.flickr.com

Wednesday, March 4, 2009

Mitva

Seluruh dunia mengenal Albert Einstein, tapi dunia manakah yang mengenal Mileva Marić?

Einstein dikatakan terkenal ekoran Anugerah Nobel. Namun, itu bukanlah identiti terbaiknya. Einstein, dari sisi yang lebih bermakna, disekutukan kepada beberapa teori fizik—yang kelak merubah paradigma fizik. Tahun 1905, menerusi Annalen der Physik, Einstein mengangkat empat tesis yang menakjubkan, yang sekaligus mengukuhkan sendi fizik moden.

Pertama, tentang kesan fotoelektrik, makalah yang menjadi alasan atas anugerah Nobel 1921. Manakala kedua, tentang gerakan Brownian, yang menerangkan gerakan dan kelakuan zarah. Sementara ketiga, tentang teori kenisbian khusus, yang mencabar perspektif ruang-masa Newtonian. Dan keempat, tentang hubungan antara tenaga dan jisim yang memunculkan persamaan tersohor, E=mc².

Tapi, ramai tak sedar, semua teori ini bukanlah perbicaraan fizik semata. Sebaleknya, turut mencabar displin pengetahuan lain, lebih-lebih lagi teologi dan falsafah. Inilah sebenarnya identiti terbaik Einstein. Ia lahir di Ulm, mendapat pendidikan tinggi di Zurich Polytechnikum, bertugas di Pusat Paten Bern, dan beberapa tempat lain, akhirnya kerana ancaman Nazisme, menghabiskan dua dekad terakhirnya di Princeton University, Amerika Syarikat.

Semasa di Zurich Polytechnikum itu, Einstein bertemu buah hatinya. Mileva Marić, anak perempuan pertama dari pasangan bahagia, Milos Marić dan Marija Ruzic. Ia lahir dalam kedinginan Vojvodina. Marić, atau nama manjanya, Mitva, merupakan seorang penuntut geliga, dan tentunya menjadi kebanggaan keluarga Marity, panggilan untuk Marić dalam bahasa ibundanya.

Namun, barangkali zaman yang salah. Ketika itu, penghujung abad ke-19, Vojvodina —yang kini termasuk dalam wilayah Serbia—adalah di bawah pengaruh Austro-Hungarian. Jadi, tak mudah wanita diterima dalam pendidikan tinggi.

Lalu Zurich Polytechnikum—yang belakangan dikenali Eidgenössische Technische Hochschule (ETH)—menyambutnya. Sejarah melakarkannya sebagai wanita pertama yang menuntut dalam bidang matematik-fizik di Eropah, dan wanita kelima yang berjaya masuk di ETH. Ia merantau dengan sekandung harapan.

Dalam buakan harapan itu, Marić bertemu Einstein. Mereka sekuliah, dan mula menjalinkan “hubungan intelektual” yang bermutu tinggi. Mereka tak saja berkongsi perasaan, tapi turut berkongsi fikiran-fikiran besar. Sebuah ikatan yang sangat istimewa. Idea-idea Lenard, Helmholtz, Hertz, Drude, Boltzmann, Kirchhoff, terlumat dalam debat hangat mereka. Buku Johnny juga adalah buku Dollie.

Itulah rutin Johnny dan Dollie, kata ganti nama pasangan matematik-fizik ini. Masing-masing juga mencintai muzik. Dollie melantun piano, Johnny pula mengesek Violin. Kadang-kala, mereka menghibur perkumpulan wacana mereka: Akademie Olympia. Dari cinta mereka, lahirlah Lieserl, Hans Albert dan Eduard. Berkahwin pada 1903, dan dua tahun kemudian, datang mahar terbaik buat Marić—yang seratus tahun kelak disebut annus miriblis, tahunnya keajaiban.

Tampak, segalanya mulus. Jika Einstein adalah ahli fizik, maka Marić, kalau menurut Evan Haris Walker dalam Ms Einstein, adalah ahli matematik-nya. Lumrah fizik memang begitu. Tak terpisah dari “bahasa sains” tersebut. Sebab, setiap teori fizik adalah terbangun dari sebuah kecerdasan matematik. Ini samalah dengan penyelesaian teori kenisbian yang tentu sekali menuntut penguasaan dalam kalkulus tensor dan geometri Riemann.

Marić hadhir melengkapkan Einstein. Bukan saja kehidupan peribadi, tapi juga kehidupan intelektualnya. Hatta, Marić tak pula buru-buru dengan penghargaan individu, jika memang segalanya sudah milik bersama. Kata Marić: “kami, satu batu: Ein stein” Namun, malangnya, hingga seratus tahun kemudian, yang diingati hanyalah nama Albert Einstein. Bukan Mileva Marić sekali.

Namun, sejarah itu tiada noktah. Sebab itu, sejarah Einstein tak boleh dinoktahkan, demi keadilan buat Marić. Bagaimana tanpa Marić, Einstein mengakui, “teori kenisbian takkan pernah bermula dan takkan pernah disudahkan.” Wujudnya Marić memaknai Einstein—yang sampai akhir hayatnya terbukti tak pernah mengatasi pencapaian annus miriblis.

Lantas, setiap aspek penglibatan Marić dalam penerokaan akademik tersebut perlu dicungkil balek. Biarpun kecil, tapi mungkin bererti. Hal ini ketara terdedah menerusi Love Letters: Albert Einstein and Mileva Marić, yang dihebah setelah hampir empat dekad perginya Einstein. Di sana, Einstein memakai kata seperti, “kerja kita”, “teori kita", “usahasama kita,” dll—yang mana semua ini boleh ditafsirkan sebagai sebentuk kerjasama akademik mereka.

Walau bagaimanapun, sejarah yang tiba lain. Marić bukanlah nama besar sebanding Einstein. Mungkin ada yang beralasan, bukankah itu bahasa intim Einstein buat Marić, buah hatinya? Sungguhpun benar itu bahasa intim, maka mengapa pula Einstein sampai meluahkan rasa betapa riangnya tatkala mereka menghasilkan kerja dalam gerakan nisbi sampai tercipta kesimpulan yang bermakna? (27 March 1901).

Detik ria memanglah asyik. Antara 1896-1905, atau mungkin sampai 1914, itu tentunya adalah antara detik-detik ria mereka. Walau bagaimanapun, setelah Einstein ditawarkan sebagai zamil di Akademi Sains Prussia, kelihatan segalanya berubah. Malah, tanda-tanda perbezaannya pun sudah tampak sebelum itu lagi. Marić, akhirnya ditinggalkan bersama Hans Albert dan Eduard. Einstein kini sudah punya teman baru. Namanya Elsa Lowenthal, sepupunya sendiri.

Terbelahlah satu batu: “Ein stein.” Tiada lagi ria yang mengasyikkan. Nun, terbentang perih buat Marić. Ia sedar, ruang telah meninggalkannya. Sejak saat itu, tiada lagi cicipan kebahagiaan. Sering saja menanggung kesakitan. Tak pernah cukup biaya. Sebagai ibu tunggal, terpaksa bertungkus membesarkan anak-anaknya. Semua itu digalasnya sendirian. Tangisannya hanya terdekam buat dirinya. Wajah tabahnya menyerap beban emosi dan fizikalnya. Jadi, pentingkah lagi sebuah nama?

Makalah Relativitätstheorie, asalnya tercantum nama Marić sekali. Itu cerita Abram F. Joffe, ahli fizik Russia yang pernah menjadi pembantu penyelidik Wilhelm Röntgen. Joffe antara individu yang pernah melihat—seperti yang dipetik Senta Troemel-Ploetz dalam Mileva Einstein-Marić: The Woman who did Einstein’s Mathematics—makalah asal teori kenisbian. Nama yang tercantum adalah Einstein-Marity.

Tapi, kelak nama Marity lenyap. Ia tersisih—malahan makalah asal itu hilang dari arkib Annalen der Physik, dan tiada juga pengiktirafan dari Albert Einstein Archives yang berpangkalan di Hebrew University of Jerusalem.

Tanpa kehalusan, ternyata sukar membaca sejarah alternatif sebegini. Einstein selalu ditanam hebat, serba-serbinya! Kalau dari perspektif Abraham Pais, pengarang Subtle Is the Lord: The Science and the Life of Albert Einstein, Einstein ibaratnya sosok saintis agung. Bahkan tak jarang kalangan seperti ini memanggil Einstein sebagai Saintis, dengan “S.” Jadi, Marić itu bukannya apa-apa, dan bukannya siapa-siapa. Einstein, bagi kalangan ini lagi, adalah lambang semua saintis!

Demikian Einstein yang terlukis. Tapi, apapun citra molek yang dilekatkan padanya, belum mampu memadam kemusykilan. Dari satu sudut mudah, memang senang meremehkan Marić. Wanita ini sering dicibir kerana dua kali tewas dalam peperiksaan diplome-nya di ETH? Satu pada 1900, dan satu lagi diulangnya pada 1901. Keduanya gagal. Marić, akhirnya memberikan ruang buat keluarga tercintanya.

Meskipun begitu, dalam lekehan tersebut, ramai yang lupa. Sewaktu Marić mengambil peperiksaan tersebut, ia sedang mengandung Lieserl, yang tanpa sekalipun dijenguk Einstein. Ini belum termasuklah lagi betapa teruknya diskriminasi Eropah terhadap pendidikan tinggi wanita pada waktu itu. Jika di ETH sendiri, hanya pada 1985 saja wanita dianugerahkan professor!

Jadi, kontroversi ini tak pernah selesai. Bahkan, kalau benarlah sumbangan Marić tak bererti, mengapa pula Einstein menyerahkan seluruh hadiah Nobel padanya—sebagai memenuhi syarat penjanjian penceraian mereka?

Keruh tak kunjung jernih. Peter Galison dalam Einstein's Clocks, Poincare's Maps: Empires of Time—pula menimbulkan tentang kemungkinan plagiarisme Einstein sewaktu berkerja di Pusat Peten Bern. Kemudian disusuli lagi dakwaan rupa-rupanya telah ada tesis sebelum 1905 mengenai teori kenisbian di ETH—yang kemudiannya hilang dari arkib universiti tersebut.

Lain dengan Marić, yang dalam segenap kepayahan, bukanlah kemaruk nama. Di kala dunia mengenang Einstein, padanya memadailah pendidikan yang terbaik buat Hans Albert, dan keperluan rawatan Eduardo yang Schizophrenia. Di celah kesempitan itu, di manakah Einstein, saat Marić menulis padanya: “kemarilah, anak sering jatuh sakit, dan selalu saja bertanyakan bilakah ayahnya akan melawatnya.”

Einstein, dan semua yang memujanya, bolehlah berbangga atas kemegahan annus miriblis. Tapi, kemashyuran itu, mahu atau tidak, telah terbangun atas kesengsaraan seorang wanita—yang telah hilang segala-galanya. Di hujung hayatnya, Mitva telah kehilangan Lierserl, ditinggalkan suaminya, dan leburnya impian untuk menjejak Marie Curie. Di sisinya hanya tersisa, Hans Albert yang ralat, dan Eduard yang keliru, yang masing-masing menghiasi tawa hidupnya.

Mitva, akhirnya pergi dengan jiwa Balkan-nya, dengan sematan “dok mi kuca grudima duša”— selagi jantung berdetak, maruah keluarga tetap dipertahankan. Pada matanya, Albert bukanlah seorang ‘Einstein’ sepertimana kerumunan mengenalinya. Kelananya pun terhenti. Dari Vojvodina, 1875 hingga Zurich Nordheim Cemetry, 1948. Dollie lalu disemadikan tanpa sebutir pun merakamkan kata obituarinya buat Johnny.

8 comments:

Mohd Faizal said...

Jadi betul lah ungkapan yang mengatakan di sebelik kejayaan lelaki itu, ada di baliknya wanita yang menyokong teguh..

Amin Ahmad said...

Mujur, aku ingat hang nak cerita pasal nama baru Mid Valley tadi, hehe. Nanti jatuhlah kasta Selak. Jangan biar selak jatuh serendah Becok!

Faizal, tentang kenyataan saudara itu sains dalam bentuk yang lain :)

Samudera Tinta said...

Aqil,

Aku pun baru saja nak buat kesimpulan seperti faizal. ada juga orang sefikrah aku.huhu..

Bagus eentri nie..payah nak jumpa kat mana-mana. especially yang malas mencari macam aku nie..tak tahulah kot2 ada kat perpustakaan tun seri lanang ada..

Anonymous said...

salam.
ya, kadangkala dalam menyeluruhi kehebatan seseorang, kita lupa untuk 'menyelak' sisinya yang kelam.

dan entri ini begitu mengesankan!
wassalam.

Carmen N said...

Qil, maaf... baru je I ada masa lapang membaca blogpost kamu tentang Mitva...

Thank you for writing such a moving, effective piece. It really touched me deeply and you write with such precise eloquence and lucidity. You gave me a slice of history that was filled with both love and (gender) injustice--a complex mixture that will sit in my mind for days to come.

Apologies for writing in English... my brain has not woken up yet and my subconscious is best in my mother tongue! :-)

Keep on writing Qil... you have a rare gift!

zindarud ar said...

you are gift of god ..... a very good writer.....you touches everyones heart

ASaL said...

ia tragedi yang bukan sukar pun untuk dimengerti.
Jika benar ini sisi Mitva yang tidak dikenal, untuk apakah Eistein diangkat begitu rupa?

manusia, setiap masa tidak upaya untuk memahami makna adil...

sangat terkesan dengan entri ini.

Anonymous said...

gday wanted to inform u everyone a tip on how you can save some money monthly, Getting a conversion
kit for your vehicle will save you hundreds of dollars on gas by switch to an american made fuel 'Ethonal'.
More americans are upgrading their vehicles to support both fuel types and buying ethonal to fill up your vehicle.
Ethonal is not only an American made fuel, which you'll be support our economy alot more than buying fuel
that we have to import making us more depended on foreign supplies.
Run your vehicle on a [url=http://www.whitelightningstore.info]e85 Conversion kit[/url]