www.flickr.com

Tuesday, September 26, 2006

As-Sajjadiyyah

Ketika mana Imam Ali Zainal Abidin melihat dirinya berdepan dengan tirani yang enggan melapangkan mimbar-mimbar untuknya berdamping dengan kaum muslimin, lalu beliau mencari alternatif. Hasratnya adalah semata-mata untuk menghidupkan kembali kemurnian Islam yang hampir-hampir mahu dikambus oleh para penguasa ketika itu.

Dan, salah satu pendekatan yang dikembangkan oleh beliau ialah menerusi penyampaian du’a dan munajat. Bagi beliau, dengan bekalan seperti inilah, ia sekurang-kurangnya dapat menawari penyakit-penyakit ruhani yang melanda di kalangan umat pada ketika itu. Selain daripada itu, ia juga dapat membentuk etika pengabdian kepada Tuhan secara lebih sistematik lagi.

Malah, du’a dan munajatnya ini turut mendidik kita tentang bagaimana seharusnya sikap seorang mukmin semasa berdialog dengan Tuhan. Apatah lagi dialog sewaktu ujian mendatang, atau ketika kegelisahan yang menganggu fikiran. Bahkan, mungkin juga memberi pedoman kepada manusia yang ingin bertaqarrub kepada Tuhan, sekaligus melepaskan kerinduan serta kecintaan padaNya sambil mengharapkan ampunanNya.

Dari semua hasrat mengunung inilah, maka terhimpunnya teks du’a dan munajat yang kemudiannya lebih terkenal sebagai Ash-Shahifah as-Sajjadiyyah yang di sana telah memuatkan lebih dari lima puloh teks du’a dan munajat yang tersusun begitu indah, menyentuh kalbu, membangkit kesedaran, mengukuh iman, menebalkan keyakinan serta memperkuat keperibadian.

Malah, di dalamnya juga kita akan menemukan tatacara dan tatabahasa sempurna untuk melafazkan puji-pujian pada Allah swt, untuk mengagungkan namaNya dan untuk menyucikan zatNya. Dan, tidak dilupakan turut terselit umbaian shalawat dan salaam untuk Rasulullah saw, ahli keluarganya serta para penjejakinya.

No comments: