www.flickr.com
Showing posts with label Islam. Show all posts
Showing posts with label Islam. Show all posts

Saturday, June 26, 2010

Tuhan dan "Yang Baik"

Tuhan bukanlah objek, bukanlah tunggul. Tuhan itu adalah Kebaikan, sebuah nilai. Dalam diri kita, ada sebuah naluri yang dapat mengenal mana "yang baik" dan mana "yang jahat." Membunuh, menipu, dll, itu secara automatis kita tahu adalah “yang jahat.” Dari mana kita tahu itu? Dari naluri. Sebab, tanpa agama pun, kita tahu itu adalah "yang jahat." Justeru, selagi kita menuruti kehendak baik dari naluri kita tersebut, maka itulah " Sirat al-Mustaqim." Memang, kemuncak ujian pada iman adalah ingkar pada Tuhan. Tapi, persoalannya, apakah kita dapat ingkar pada kewujudan Kebaikan? Sulit, malah mustahil. Ingkar pada Kebaikan, itu bererti ingkar pada diri kita sebagai manusia. Seolah, kita menafikan nurani kita. Tentu, kita boleh berbohong pada diri. Tapi, kita takkan mampu berbohong tentang nurani. Kita tahu apa kata nurani. Sebab, kita tetap percaya sentiasa ada Kebaikan, meskipun saat kita sedang melakukan Kejahatan. Tuhan, jika kita melawannya, tetaplah ada. Tetaplah begitu. Dunia dan kita, maseh juga tidak aman, sekalipun kita melawan-Nya. Dunia dan kita, hanya aman, jika kita terus melakukan kebaikan-kebaikan yang kita kenal dari nurani terdalam kita. Namun, masalah sekarang, ramai yang beragama melihat Tuhan bercokol "di atas." Tuhan, pada mereka, adalah objek. Itu yang naif-nya. Walhal, tidak demikian. Tuhan itu adalah subjek, malah subjek yang dapat kita berkomunikasi. Maksudnya, kita dapat berkomunikasi dengan nurani kita. Itulah komunikasi dengan Tuhan. Dengan tafsir Tuhan seperti ini, maka kita telah pun terikat selama-lamanya dengan subjek Tuhan, sebuah subjek Kebaikan, dan sebuah subjek yang humanistik.

Dan, melawan subjek ini, bererti kita melawan diri kita sendiri. Menipu diri kita sendiri. Lantaran itu, teruskanlah melakukan kebaikan-kebaikan. Lakukan kebaikan-kebaikan itu, atas kepercayaan pada nurani kita. Itulah sebenarnya keikhlasan. Itulah iman. Itulah Tuhan.

Tuesday, March 24, 2009

Bukan Ilmu

Di sana, Muawiyyah Abi Sufyyan. Di sini, Ali Abi Thalib. Di mana kita?

Mari kita belajar darihal manusia, dan kemanusiaan dari keduanya.

Di sana, Muawiyyah, membangun istana hijau. Hari pertama dilantik Umar al-Khattab, ia sudah membina jaringannya sendiri. Terus kekal bertahun-tahun. Damsyik akhirnya jadi kubu Umayyah. Darinya, sistem warisan muncul.

Di sana, Ali, membangun rumah kecil. Hari pertama Nabi wafat, ia sudah jadi terasing. Sering sendirian bertahun-tahun. Kufah akhirnya jadi kubu Alawi. Darinya, sistem warisan juga muncul.

Masing-masing mula berbeza, tapi berakhir sama. Namun, makna warisan keduanya ketara. Yazid menyambut dengan kezaliman, dan Husayn menyambut dengan keadilan. Tanpa warisan, Yazid bukanlah Yazid. Tapi, tanpa warisan juga, Husayn tetaplah Husayn.

Kezaliman Yazid ada pada Karbala. Keadilan Husayn juga ada pada Karbala.

Karbala, atau kota Nainawa ini, telah jadi garis pemisah antara dua buah mazhab. Kini, darihal manusia dan kemanusiaan terbentang. Masing-masing punya biologi yang sama. Tapi, belum tentu masing-masing adalah manusia.

Sebab, manusia tak hanya boleh disukat dari raga semata. Manusia juga punya jiwa. Inilah yang membezakan antara Muawiyyah dan Ali. Malah, turut membezakan semua manusia. Jiwa setiap manusia memang berbeza, seperti berbezanya ilmu Muawiyyah dan Ali.

Tapi, apakah batasnya adalah ¨ilmu¨?

Juga tidak. Bukan ilmu. Francis Bacon dalam Meditationes Sacrae salah! Sebab, yang berilmu belum tentu adalah yang paling manusiawi. Jika tidak, kita boleh katakan Henri Poincare adalah yang paling manusiawi dalam sejarah manusia kerana kepintarannya dalam merumuskan matematik ruang-masa!

Ternyata, jawapannya lain. Yang paling manusiawi, itu akhirnya terletak pada akhlak. Islam memilih kata akhlak kerana percaya pada sistem nilai-nilainya yang tersendiri. Apa itu nilai-nilai akhlak Islam?

Jawapannya ada pada Nabi, juga pada Ali: pada kelahirannya, pada kehidupannya, dan pada kematiannya!

Wednesday, March 18, 2009

Bukan Nabi

Siapa tak kenal Ibn Sina, sosok hebat dalam sejarah Islam. Ia seorang doktor, seorang filsuf, seorang saintis, dan hampir segalanya adalah ia. Namun, pasti sekali Ibn Sina bukanlah seorang Nabi.

Tapi, dalam bayang-bayang kehebatannya, pernah Ibn Sina diminta muridnya untuk mengaku saja sebagai Nabi. Fikir murid itu, tentu pengakuan tersebut akan membina kerumunan pengikut gurunya.

Ibn Sina diam. Tak jawab. Dan biarkan waktu berlalu.

Tatkala tiba satu waktu, saat iklim dingin, bermusafirlah mereka. Similir angin pula mengigit sampai tulang. Sebelum sempat subuh, Ibn Sina membangunkan muridnya. Keluhnya, ia rasa sangat haus sekali. Lalu ia pinta agar muridnya itu sudi mendapatkan segelas air untuk hilangkan rasa haus itu.

Bukan sekali, tapi beberapa kali, namun semua permintaannya tak siap dipenuhi oleh muridnya. Tetap saja muridnya itu terus berada di lambung tidurnya. Ternyata, sebuah kata--dari seorang guru--tak cukup untuk menandingi sebuah kedinginan.

Tak beberapa lama, terdengar azan. Menara Masjid menjadi saksi atas Allahu Akbar. Sekarang, tibalah saatnya Ibn Sina menjawab usul muridnya yang terdahulu.

Katanya, ¨dulu, kamu pernah memintaku mengaku Nabi, supaya orang mudah percaya pada kata-kataku. Tengok, apakah hasil dari perintah yang aku berikan padamu sekarang? Meskipun aku bertahun-tahun mendidikmu, dan kamu mendapat banyak faedahnya, maseh saja kamu terus di sini. Hanya kerana segelas air pun sudah kamu ingkari.¨

Lalu Ibn Sina sambung lagi, ¨tapi, di sana, muazzin itu tetap saja tunduk pada perintah Nabi, biarpun Nabi sudah berlalu 400 tahun. Muazzin itu sanggup meninggalkan lambungnya, membelah kedinginan, naik ke menara, dan berdiri bersaksi bahawa ¨Allah Maha Besar dan Rasul itu utusan Allah.¨

¨Nah, bukankah betapa besar perbezaan aku dengan Nabi,¨kata Ibn Sina lagi sambil menuju ke suara azan.

Sunday, January 25, 2009

Jalan Nabi

Anak-anak Adam laksana anggota tubuh,
Sebab mereka tercipta dari tanah yang sama.

Jika satu bahagian diusik sengsara,
Yang lain akan turut menderita.

Justeru, engkau yang ingkar akan derita manusia,
Tidaklah layak bernama ¨manusia.¨--Saadi

Derita seorang filsuf tidaklah sama dengan derita seorang sufi. Begitu juga bahagia mereka.

Tapi, keduanya tetap sama saja dalam memandang. Masing-masing cuba mewakili kebenaran itu sebagai Kebenaran, meski tujuan mereka sama sekali berbeza.

Ini samalah beza antara kematian Sokrates dengan kematian al-Hallaj. Memang, keduanya mati, atau shahid, tapi paradigma pilihan kematiannya mereka berlainan. Sokrates pergi kerana Kebenaran-fiziknya, manakala al-Hallaj pergi kerana Kebenaran-metafiziknya.

Bagi seorang filsuf, tujuannya semata-mata untuk mengetahui Kebenaran. Sebaleknya, bagi seorang sufi, tujuannya pula adalah untuk meleburkan diri dalam Kebenaran. Sebab itu, derita keduanya adalah berbeza. Derita filsuf kerana pengetahuan (=diri), sementara derita sufi kerana persona (=Tuhan).

Namun, di antara keduanya--filsuf dan sufi ini--ada jalan yang lain. Jalan yang lebih indah.

Sebagai manusia yang tumbuh dalam tamadun-beragama, kita tidak mahu agama kita gemuk kerana falsafah, sepertimana juga kita tidak mahu agama kita kurus kerana sufi. Yang kita mahu adalah sebuah agama yang ideal, dan punya rasa membangkitkan. Dalam sejarah, agama ideal seperti ini hanyalah ada pada jalan kenabian.

Jalan kenabian adalah jalan yang dari bawah naik ke atas dan turun ke bawah kembali. Ia mengufuk dan menegak sekaligus. Inilah jalan dengan empat fasa, kalau menurut Mulla Sadra dalam al-Asfar al-Arbaah. Bila sang Nabi naik ke mikraj, ia pasti turun kembali.

Tapi, apakah sang filsuf dan sang sufi sanggup untuk turun kembali, setelah bertemu dengan Tuhan?

Sunday, January 18, 2009

Gaza

Sedekad dulu, saya mulai mendekati Republik Islam Iran, dari banyak sisi. Tapi, hari ke hari, sampai ke hari ini, satu demi satu, sisi-sisi tersebut berguguran.

Semalam, wartawan Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB) dari Tehran mewawancara saya menerusi telefon. Lazimnya saya yang melakukan wawancara. Tapi, kali ini saya pula merasai bagaimana rasanya diwawancara. Biarpun sebentar saja, persoalan yang diangkat tentang Gaza ini benar-benar memanggil emosi siapa saja. Kadang-kala, di saat kita dicercah rasa sebegini, tiada lagi kerasionalan yang mampu ditahan. Rasional--suatu unsur metafizik yang paling indah--pun akhirnya akan turut lebur.

Tapi, ada apa pada emosi? Memanglah emosi saja tak cukup untuk menembus apa-apa, melainkan hanya mengirim pesan-pesan primordial yang tertanam dari dalam diri saja. Tidak kesahlah, sama ada emosi tersebut tercermin dari du´a, dari teriakan, dari tangisan atau sebagainya. Tapi emosi saya sewaktu wawancara itu adalah terukir khusus buat bangsa Farsi tersebut, yang hari ini saya kenal begitu ke-farsi-annya!

Tentu sekali, setiap jiwa yang jernih akan meruntun dengan rintihan dan raungan dari lembah Gaza yang tandus ini. Anak-anak kecil, para wanita-- tidak kira sama ada di Hospital, di rumah ibadah, atau di mana-mana-- semuanya tidak lagi terlepas dari sasaran regim Zionis. Jelas, jiwa kemanusiaan mana yang dapat menahan dari rasa tersentuh-naluri, dan jiwa keagamaan mana yang dapat membendung rasa persaudaraan-metafizik? Tapi, dari satu sisi, inilah juga ¨hukuman zaman¨ yang terpaksa dihadapi oleh mereka.

Sudah tentu kita tidak lagi menaruh harapan pada puak-puak Arab, terutamanya Mesir, Arab Saudi, dan lain-lain. Begitu juga Qatar--yang didiami Yusof Qardhawi sekaligus pangkalan tentera Amerika Syarikat terbesar di negara-negara Telok. Malah, bukan lagi rahsia umum, mereka semuanya seperti bersekutu dengan pencerobohan Israel terhadap Gaza. Tapi, tema persoalan saya pada IRIB bukan tentang peranan negara-negara tersebut, sebaleknya, ¨di mana peranan Iran ketika Gaza dilanyak?¨

Iran, terutamanya di bawah kepimpinan sekarang, hakikatnya lebih banyak berlagak, dari bertindak. Tatkala ada rakyat Iran yang mahu meraih shahid menyeberang Gaza, mengapa pula pemerintah Iran menyekat kesungguhan mereka? Ketika seluruh dunia sepi, mengapa Iran turut sama bungkam? Di manakah Iran dengan seluruh persenjataannya yang kononnya hebat? Di mana simpannya Shahab, Fajr, Fateh, Sagheh, Oghab, Nazeat, Shahin yang sebelum ini digembar-gemburkan sebagai simbol kehebatan teragung negara tersebut? Kalau ada, kenapa tidak serang saja Israel, jika benar-benar mereka cukup ampuh? Apakah senjata Iran hanya untuk Iran dan Shi´ah saja, atau untuk Islam, muslim dan untuk setiap mereka yang ditindas di dunia ini? Atau memang Iran berlagak saja lebih?

Iran harus patut malu dengan Venezuela dan Bolivia. Mereka lebih universal. Kita lihat, sewaktu Hezbollah diserang Israel, tampak sangat Iran lekas mendukung mereka. Tapi, bila Hamas diserang, ke mana perginya gegaran suara Iran? Kenapa Iran maseh menggunakan proksi untuk melawan musuh? Kenapa tidak berani berdepan saja dengan regim Zionis tanpa proksi? Atau para agamawan mereka takut untuk keluar dari zon selesa? Ataupun mereka mahu menunggu Imam Mahdi zuhur terlebih dahulu baru mahu bertindak? Jadi, ke mana perginya ajaran Ruhollah Khomeini yang menganjurkan intizhar-i mushbat? Apa yang Iran telah buat dalam menunggu Imamu'l-'Asr ini? Apa yang Iran lakukan untuk menamatkan krisis Gaza? Sekali lagi, apa yang Iran telah usahakan, selain dari boleh bercakap/berdiam-diri?

Semua persoalan ini saya lambakkan balek pada IRIB. Saya harap mereka faham, bahawa tindakan Republik Islam Iran hari ini sebenarnya amat memalukan kandungan al-Qur´an dan al-Hadith. Biarpun dua sumber epistemologi Islam ini begitu suci sekali--khususnya merujuk pada surah al-Isra: 4-15, dan hadith Thurayya--tapi sikap Iran yang lembik benar-benar menambah lagi kedukaan umat samawi.

Saatnya akan tiba, para pemimpin Iran, termasuk akhund mereka ini, akan ditukar dengan pemimpin yang lebih baik. Rakyat mereka sendiri akan bangkit, dan menunjukkan jalan keluar pada para agamawan yang dewasa ini begitu enak atas permaidaninya. Kita selalu ingat pesan Ruhollah Khomeini tentang konsep revolusi. Kita ingat sangat, darah anak-anak Gaza yang gugur tidaklah tumpah pada buminya, tapi tumpah pada anak-anak yang dalam rahim ibu pada hari ini, termasuklah ibu-ibu yang berada di Tehran sendiri!

Di celah-celah kesenjangan imamah, anak-anak inilah yang bangkit, dan kemudian menunjukkan bagaimana kaedah sebenar dalam menanti kebangkitan Sahibu'z-Zaman...

Friday, December 26, 2008

Muharram

Lazimnya, Tuhan mendidik manusia dengan dua ayaht; ayaht kalam dan ayaht alam. Sebab, Tuhan tahu, antara teks dan konteks, antara lisan dan amal, dan antara pembacaan dan pengalaman, adalah dua perkara yang boleh berbeza.

Sebab itu, ada kalangan yang seronok berandau bersama Reza Shah-Kazemi, kerana percaya adalah lebih mudah mengunyah The Other in the Light of the One: The Universality of the Qur'an and Interfaith Dialogue, berbanding tertungkus menghazamnya secara sendirian.

Sama juga dengan Nahjul Balaghah, untuk memahami, dan menggali ilmu yang terkandung di dalamnya, bukanlah diperoleh menerusi penekunan teks semata, tetapi harus juga melalui pengiktibaran peristiwa. Lantas, kesah al-Anbar yang tercermin dari khutbah ke-27 boleh saja menarik tabir-tabir baru buat kita.

Ia adalah keseh yang wajar dibaca buat mereka yang maseh lagi berjiwa feudal, terkekang dalam mazhabi, serta tidak percaya diri. Kesah ini juga adalah kesah yang mungkin boleh menjelmakan satu teori sosiologi; ¨yang memusnahkan sesuatu gerakan, bukannya musuh, tapi adalah gerakan itu sendiri.¨

Memang benar. Yang mengalahkan tentera Kufah bukannya tentera Damsyik, tetapi tentera dari Kufah itu sendiri; yang membunuh tiga khalifah Islam bukannya musuh Islam, tapi muslim itu sendiri; dan, yang menghancurkan Kaabah bukanlah Abrahah, tapi al-Hajjaj Yusuf As-Tsaqafi itu sendiri.

Lantaran itu lahirnya at-Tawaabun. Tapi, tentunya kita tidak mahu termasuk dari kalangan ini-- yang remuk dengan sejarah. Kita mahu lebih baik. Atau sekurang-kurangnya kita mahu termasuk dalam kesimpulan Martyrdom: Arise and Bear Witness ¨darah Imam Husayn tidaklah tumpah pada tanah, tapi pada jiwa-jiwa masyarakat.¨

Buat saya, inilah ayaht terbaik Muharram: sebuah madrasah Husayniyyah abadi. Selamat menyambut tahun baru Hijri/Masehi!

Friday, November 21, 2008

Guru, Murid, Burung

Ada satu cerita yang menghimbau saya pada satu makna besar dari kenisbian. Ini adalah cerita Folke Tegetthoff dalam bukunya buat Inger.

Ceritanya seorang pelajar--yang tekun menuntut hingga memamah waktu yang lama. Kemudian, satu saatnya tiba untuk diuji.

Lalu, gurunya membawanya di hadapan sangkar burung. Aduhai, burung tersebut sungguh cantik, sungguh menawan, sungguh memikat, tapi sayang sekali, kuyu matanya sudah menzahirkan rasa sunyi dan rasa sedih yang tak terkata.

¨Dengarlah,” kata sang guru tersebut, ¨burung saya ini telah kehilangan kebolehan untuk menyanyi. Ia tidak lagi ceria.¨

¨Jadi, apa yang kamu perlu lakukan, dalam waktu sehari kamu harus membantu burung tersebut supaya memperoleh semula kebolehannya tersebut. Sekarang, tibalah waktunya untuk kamu manfaatkan semua ilmu-ilmu di dada,¨ pesan sang gurun itu.

¨Namun, cuma ada satu syarat saja, kamu tidak boleh melepaskan burung tersebut dari sangkar,¨ ingat sang guru tersebut.

Gurunya berlalu, dan kini muridnya bersendirian bersama burung tersebut.

Sang murid mulai berfikir, yang barangkali burung sebenarnya tersebut terlupa lirik-lirik nyayiannya sebelum ini. Lalu, diajarnya semua lirik-lirik tersebut. Ia juga menyanyikannya semula. Tapi, tidak berjaya.

Mesti ada sebab yang lain, detik murid tersebut. Kemudian, murid merasakan bahawa kemuraman burung itu kerana lapar, lalu dibubuhnya makanan yang enak-enak. Tapi, itu juga tidak berjaya.

Burung tersebut terus membisu, meski sang murid sudah mencuba berlambak idea untuk menceriakannya. Kuyu matanya makin rapat.

Akhirnya, sang murid lelah, lalu melarakan pada burung tersebut kesah-kesah alam tabii, yang sungguh indah, dan sungguh mempersonakan. Sekali lagi, seperti dijangka, usaha tersebut juga gagal.

Memang, murid itu sudah buntu. Kering idea.

Setelah sehari berlalu, pada esoknya, sang guru kembali, ¨guru, burung ini pasti ada penyakit yang teruk. Saya sudah cuba segala-galanya, tapi ternyata ia tidak dapat membuatkannya untuk menyanyi,¨ keluh sang murid tersebut

Lalu sang guru berkata, ¨kamu sebenarnya langsung tidak memahami maksud-maksud ilmu yang kuajarkan.¨

Sekarang, apakah sebenarnya yang diajarkan oleh sang guru tersebut selama ini?

Tuesday, November 18, 2008

Shi´ah

Di celah-celah kecaman pada belahan Shi´ah, ada semacam keakuran yang timbul. Intelektual, atau alam falsafah Shi´ah ternyata adalah lebih berkembang berbanding dengan belahan kita.

Inilah yang diakui oleh Ahmad Amin dalam Zhuhr al-Islam:

¨Falsafah lebih mirip dengan ajaran Shi´ah berbanding dengan Islam Sunni, dan kita menyaksikan kebenarannya menerusi kekuasaan Fathimiyyah [di Mesir] dan Buwaihi [di Iran]. Malahan pada kurun-kurun terakhir di Iran, sebuah negara Shi´ah, mereka telah mencurahkan perhatian pada falsafah berbanding dengan negara-negara Islam yang lain. Waktu ini kita mempunyai Jamal al-Din al-Asadabadi, yang memang cenderung Shi´ah dan telah mempelajari falsafah di Iran, lalu membentuk gerakan falsafah di Mesir sewaktunya di sana.¨

Bahkan, jika kita mengambil teks Ahmad Shalabi dalam History of Muslim Education sekalipun, tentu pandangan ini menjadi lebih kuat lagi.

Di satu aras, barangkali petikan di atas benar. Tapi, pada aras yang lain, pada ungkapan Ahmad Amin yang berikut, maseh boleh dibahaskan lagi. Kata Ahmad Amin lagi, alasan di sebalek kecenderungan Shi´ah terhadap falsafah adalah ekoran kegemaran mereka terhadap pendekatan takwil dan kekentalan mazhab mereka pada idea esoterik.

Memang, kalau ditanya pada Bertrand Russell, pandangan ini tentu sekali benar. Bacalah History of Western Philosophy untuk mengesahkannya.

Tapi, Russell amat naif tentang sejarah Islam. Begitu juga Ahmad Amin. Sebab, wujudnya Nahjul Balaghah boleh saja meruntuhkan alasan-alasan seumpama itu. Bukankah kitab ini meransang belahan Shiah, lalu memugar semangat wacana mereka, jauh lebih awal dari tradisi kita?

Jika kita menolak kitab ini, kerana ia kitab falsafah yang penuh takwil dan esoterik, maka mana mungkin Muhammad Abduh sanggup melepaskan dinding mazhabnya, lalu menebarkannya dalam belahan kita?

Monday, November 17, 2008

TIga Sekawan

Ada tiga ´pahlawan´ yang tiba-tiba saja mashyur. Namanya Amrozi, Mukhlas, dan Imam Samudera. Tiga sahabat ini akhirnya dihukum mati. Alasannya, yang menurutnya sendiri, kerana mereka berjuang menegakkan Islam.

Memerangi musuh, atas nama agama, kemudian ia ´shahid´, memang mudah memancing emosi. Lebih-lebih jika ia tersenyum di saat menanti tembakan—kerana itu barangkali tanda kebenaran. Wajah-wajah kayangan pasti dilekatkan dengan kehidupan selepas nafasnya terhenti.

Namun, ramai yang terlupa. Musuh terbesar Islam bukanlah kafir di luar. Kerana musuh terbesar sebenarnya ada di dalam diri kita sendiri. Sebab itu, takkan ada kewajaran untuk kita mengangkat mereka yang membunuh ¨kafir di luar¨, tanpa menyedari mereka tidak lekang dari ¨kafir di dalam¨. Malah, kafir di luar itu ditundukkan dalam piawainya pula--demi membela Tuhan.

Kesah agung--yang begitu indah sekali dipetik Rumi--tentang bagaimana Imam Ali Abi Thalib melepaskan musuh ketika diludah padanya, harus menjadi iktibar bagi mereka yang mengaku ¨pejuang Islam.¨ Dan, ternyata, tidak ramai pejuang yang mampu mengurus emosinya.

Sama seperti laungan Takbir. Bukan kerana keinsafan, tetapi antaranya kerana kemegahan kepuakan!

Tuesday, November 11, 2008

Norouz

By Ali Shari´ati

To say something new about Norouz is a difficult task. Norouz is a national celebration and everyone knows what a national celebration us. Norouz is celebrated every year, and talked about each year again. Much has been said about it, and you have heard a lot in this regard. So is there no point in talking about it one again?

Of course there is! Do we not renew Norouz each year. So let us also hear about it repeatedly as well. It is boring and even nonsense to repeat a scientific or a literary text. Wisdom rejects repetition, but sensations welcome it. Nature too, likes repetition, and the societies need it.

Nature is basically made up of repetition. A society is strengthened through repetition, sensations gain their life from it and Norouz is a beautiful, repetitious story in which the nature, sensations and the society are all engaged, yet it never gets old or boring.

Norouz, which has for long centuries been the master and most gracious of all the national ceremonies around the world, maintains its young, strong, lively existence, because it is not an imposed, an artificial or a political ceremony.

It is the ceremony of the universe, the happiness day of earth and the birthday of the sun and the skies. The glorious day when every natural phenomenon evolves, blooms and resolutes filled with the sweet anxiety of many "startings".

The national ceremonies of the other cultures often encourage men and women to leave their workshops, farms, deserts, alleys and streets, gardens and pastures, and then gather up in rooms under the ceilings, behind closed doors.

They gather in such surroundings as bars, dancings, cellars saloons and house... in places that are heated with gas, lit with light bulbs, filled with smoke, made pretty with artificial colors, decorated with paper or plastic flowers and ornaments, scented with perfumes or burning herbs... Norouz, on the contrary, grabs the people's hands kindly and pulls them joyfully along with it out of their small surroundings in rooms, behind closed doors, under ceilings, from among tall buildings and cement pavement s in and around towns into the glorious vast pastures, green areas and the broad, kind embrace of nature, where everyone feels free and jubilant.

The kind spring sun warms them and brightens their day, the glory of witnessing renewing of creation and themselves excites them, the wind and the spring rain beautifully designs new scenes which are already background with bloomed buds of various colors and scented with:

"Smell of rain,
smell of spearmint,
smell of soil.
And smell of boughs that are wet of gentle spring rain and shining clean"...

Norouz is a great chance for recollection of lots of great memories. Memories of relationship between man and nature, which is renewed each year. This forgetful child of nature who has got himself so much engaged in artificial affairs and pre-sceduled eng agements, that he/she has even totally forgotten his own lovely mother.

He/she is now called back to the kind embrace of his loving mother with the magical spell of Norouz. There, they will together joyfully celebrate this happy reunion.

The careless child will find out about his/her own origin in the kind embrace of his/her mother, and the mother's face will bloom in finding back her lost child, shed tears of happiness for this happy occasion, cry joyfully in spring thunders, get young a nd pretty another time, and briefly speaking, like the Prophet Jacob (AS), who regained his lost sight after smelling the scent of Joseph's (AS) shirt, will be bestowed a sharp sight to see her dear child once again.

The more complex or heavier our artificial, technical civilization will become, the more urgent the need to reunion with and return to the nature's embrace.

Thus, unlike traditions, that get old and incompetent, and sometimes even useless as time goes by, Norouz gets younger, prettier and stronger with the passage of time, and that is because Norouz is a third way for reconciling between the two sides of the long cultural aware that has been going on since the era of Lao-Tso and Conficious until the recent days of Roseau and Walter.

Norouz is not merely a good chance for relaxing and being happy, but a bare need of the society and the vitally needed spiritual food for a nation.

What else is capable of brightening up cold hearts, in a dark world, based upon ever-ongoing changes, revolutions, separation and loss, disintegration and dissolving, where the only thing that is stable and never subject to change is ever-renewing itself and instability?

What else can make a nation invulnerable in the cruel path of the carriage of time, which destroys anything in its path, breaks and crashes any pillar and demolishes any base?

No nation is formed within a night, one generation's era of even two. A nation can be described as the continuous string of many generations that time, this pitiless, thoughtless sword of nature, separates their physical connections along the course of th eir history.

Unfortunately, we cannot have a two-way correspondence with our ancestors those who have formed the soil of our nation.

The horrendous, deep valley of history is dug. The long, hollow centuries have formed a great impassable gap between us and them. It is only our traditions that speaking away from the sharp eyes of the cruel time executioner, can kindly take our hands and convey us spiritually to the other side of this terrifying valley, thus reconciling between us and our glorious past, our ancestors.

It is in the holy face of these traditions that we can feel their presence by our side today, and Norouz celebrations are among the steadiest, most gracious of these traditions.

Whenever we celebrate Norouz, it is as if we are taking part in every Norouz celebration observed on this land ever since the beginning of this ceremony. That is the time when all the black and white pages of history of our ancient nation are turned one a fter the other before our curious eyes, and we eagerly eye witness their events.

Believing in the fact that our nation has always celebrated Norouz in our homeland awakens these exciting ideas in our minds that... "Why sure, every year, even in the sad year when Alexander pained the facade of this country red with the noble blood of o ur nation, by the long blazing flames which were burning the beautiful Persepolice Palace, right there in the same year, our oppressed ancestors must have celebrated Norouz more seriously and more piously, amid their sorrows.

So dearly has been Norouz celebrated in those sad years, and all the years similar to them. A cause to be cheered despite all the miseries."

It has never been an excuse to be "careless, cheap and forgetful", but a pretext to announce the lively determination of our nation to be and to continue to be and maintain strong ties with a glorious past, which the time factor and the invaders of differ ent races have always tried in vain, to wipe off the scene of existence.

Norouz has always been so dear. To Zoroastrian clergies, to sagacious old men in ancient history, to Muslims, to Shia Muslims, and to Persian speaking people all over the world.

Everyone has considered Norouz a beloved one, and talked about it sympathetically.

Even the philosophers and scientists who have considered Norouz "The first day of creation, when Ahourmazda (God, in ancient Persians mythology) created the universe in six days, and was busy till the sixth day when this job was accomplished, and that is why the first day of Farwardin (the first Iranian month of the year) is named Hourmazd and the sixth day, "The Holy Day".

What a beautiful story it is. Even prettier than reality itself! Doesn't every human being honestly feel that the first day of spring is the first day of creation repeated again?

If God set a beginning for life on earth, that day must have doubtlessly been the Norouz day. Surely, spring has always been the first season of the year. God must not have ever made summer, winter or fall the first season of the year, may!

The fist grass on earth must have surely started sprouting on the first day of spring, the rivers must have started running then, and the buds blooming which means Norouz must have always been on the first day of spring, simultaneous with the renewing of creation.

"Soul" must have surely been created in this season. Love's first bow must have stricken a heart on its first day, and the sun risen for the first time on the very same day, marking the start of the clock of universe.

Islam, which wiped off all the discrimination and colors of racism and tribalism, and changed the form of many traditions, on the contrary polished the beautiful facade of Norouz. It approved of this glorious tradition, let is sapling continue to grow and get stronger, now with a strong, gentle support, safe from extinction in the first days of introducing Islam to the Iranians.

The two great events of appointing Imam Ali (AS) as the Prophet's spiritual inheritor on Al Qadir day, and choosing him as the Calif of the Muslims and Emir of all the believers (Amirul Mu'menin) have both been on Norouz day and surely what a great coincidence!

Thus, all the abundant love, piety and belief of the Muslim Iranians in Imam Ali's (AS) right and holiness became the supporting resort for Norouz. This glorious celebration, which had begun its life with the ancient soul and love of a nation, was now dou bly fortified with the holy spirit of a great religion, Islam, as well.

A national tradition was thus intermingling with religious piety and the new strong love which had sprinkled in the hearts of these people, getting holier. During the Saffavid Dynasty's era, it even became an established Shia tradition, abundant with piet y and pure beliefs, now complete with special prayers.

As the history books reveal, "One year, when Norouz and Ashoura (the tenth day of the lunar month of Moharram, when Imam Hussein (AS) and his followers were martyred in Karbala-one of the saddest events in the history of Shia; a mourning holiday) coincide d, the Saffavid Shah spent that day mourning for Imam Hussein (AS) and celebrated the following day as Norouz!"

Norouz which is old and the dust of many centuries has set on its face, has witnessed the hymns of moqan (clergies of sun worshippers) calling and endearing it, the holy psalms of the Zoroastrians at their Fire-Temples addressed to it, Avesta's murmurs ca lling it holy names, and heavenly rhymes of Ahourmazd, praising it personally and secretly in its ears.

From then on, it has been praised with the holy verses of Qur'an and Allah's own words. Special salats (Islamic prayer, similar to five-time daily prayers) were devised for Norouz, as well as special prayers to be said at Norouz day and the moment of turn ing the year.

These were all coupled with love of Imam Ali (AS) and his just government in Shiaism. This approach pumped fresh blood in the veins of this old tradition, which has lived a long life along with all our ancestors since old days, and cheered up the moments of every one of us, with tender and profound love, always very sincerely.

The main prophesy of Norouz yet, is to polish the stains of sadness and hopelessness off the hearts of this nation, which has often been betrayed and even stabbed from behind, and blow the soul of jubilance in the corpse of this land and its people.

And yet that is not all. Norouz is responsible for strengthening the ties between the present generation and all our wise ancestors in the past on the one hand, and strengthen the ties of these all with mother nature on the other hand.

Above all, Norouz strengthens the ties of oneness among the present day Iranians, who have the bitter memories of suffering the invasions of many kinds, cruelties of both insider and outsider enemies, executioners who made minarets of their heads and mass acred many generations.

It melts the thick ice of the walls of being strangers among our nation and sows the seeds of being related to each other, flesh and blood. Thus, it fills the deep gaps of forgetfulness which often separate the hearts of different groups of the nation had it not been filled with the kindness of Norouz.

And we, in these happy moments, light the holy Ahouraian fire of Norouz once again, and deep in our conscience, tread the black death-stricken deserts of hollow centuries, and get ready to celebrate Norouz along with al the men and women, who once celebra ted this glorious national ceremony on this land. Their noble blood runs in our veins, our hearts beat happily with it and their souls once again start life in our bodies under the clear skies of Iran.

Thus, we proudly proclaim our lively existence as a happy wise nation, standing tall amid the heavy winds of horrendous incidents which are capable of uprooting any strong tree, but not our nation's.

We announce that we are alive and we will continue our proud existence on this land till the end of the time, even in this dark century when our enemies, and particularly the usurper West, are fiercely determined to make us foreign with our own culture, so that we will be their obedient slaves, with no personality of our own to rely on.

So let us renew our alliance with all our ancestors and with all the different races of our nation, as well as with our mythology in this historical intersection of time, beliefs and traditions.

Let us borrow the precious inheritance of love from them and promise to be faithful inheritors of it. Let us promise as a nation, never to die, or how in obedience to other cultures, because our roots are deeply delved into the rich culture of humankind, piety of religions and nobleness of an ancient nation that is standing tall at the great passage of history and at the scene of the whole universe.

Tuesday, October 14, 2008

Shanti, Shalom, Salaam…

---> Disalin dari Diskopi, sebuah perkumpulan wacana yang rentas fikiran.

Jika kau melarikan diri dengan harapan kedamaian dan kesenangan,
Dari itu kau akan menderita kerugian,
Takkan ada harta kekayaan tanpa perangkap dan kezaliman,
Takkan ada kedamaian kecuali penyerahan jiwa seluruhnya kepada Tuhan — Rumi, Mathanvi

Islam sering diitlakkan.

Dewasa ini, pengitlakan (generalisasi) yang sering dilakukan terhadap Islam ialah kaitannya dengan keganasan. Teks-teks agung Islam telah tegaskan; tiada tajaan pada sebarang keganasan! Justeru, Islam, atas nama agama, tidak harus memikul beban ini.

Islam, sama seperti agama-agama lain—Kristian, Yahudi, Buddha, dll—adalah agama kedamaian. Tidak pernah ada ajaran dari mana-mana teks agung dalam agama tersebut yang menganjurkan pemaksaan dan penundukan kuasa politik.

Tapi, seperti tamsil Sahara—kita boleh mengeluarkan kanak-kanak dari gurun, tapi kita tidak boleh mengeluarkan gurun dari kanak-kanak. Begitu juga agama.

Agama, meskipun menekankan kedamaian, sering saja dihambat dengan ketidaksejajaran antara praktik dan teori. Kita memang boleh mengeluarkan muslim dari Islam, tapi kita tidak boleh mengeluarkan Islam dari muslim. Sekarang, agama telah menjadi sulit difahami. Dan, sekali lagi, tafsiran mulai dipermasalahkan.

Tafsiran memang merumitkan. Islam bukan sekadar mengalaminya, sebaleknya turut menanggung beban sejarahnya.

Kita maseh ingat, bila Sepanyol menjajah Filipina, dan membawa misi penyebaran Kristian secara paksa, serta menghancurkan Kesultanan Sulu, tiada ungkapan keganasan yang mengambarkannya.

Bila Katolik Sepanyol menghancurkan Umayyah di Semenanjung Iberia, dan memaksa Yahudi memelok Kristian, tiada siapa yang memanggil istilah keganasan. Bila bangsa Eropah Utara diperangi, dan dipaksa meninggalkan agama kuno mereka, tiada siapa yang tahu itu juga merupakan keganasan.

Tapi, mengapa setelah 11 September 2001, Barat cenderung melihat Islam sebagai agama keganasan, sampai timbulnya momokan Islamofobia? Apakah benar, ungkapan Islam sebagai “agama pedang” terus kekal dalam ingatan sebahagian besar masyarakat Barat?

Jika benar, sekali lagi Barat terperangkap dengan pengitlakan. Hanya melihat Islam menerusi satu komuniti muslim yang terpinggir. Islam tradisional yang begitu melata, yang mewakili majoriti muslim, akhirnya terbenam dalam bakaran kata-kata dari ghetto di Tora Bora.

Ternyata, ramai yang gagal untuk berfikir jernih, dan kerap tertabir dengan permainan tafsiran. Namun, kita harus sedar, ada satu tafsiran agama yang utuh bersemadi dalam mana-mana agama: kedamaian. Semua agama bermula dengan kedamaian, dan ingin mengakhirinya dengan kedamaian.

Tapi, hairannya, mengapa agama terus dianggap sebagai musuh kepada kedamaian?

Thursday, September 25, 2008

Tanah Tanpa Rakyat

“I invite Muslims all over the globe to consecrate the last Friday of the holy month of Ramadan as 'Quds Day' and to proclaim the international solidarity of Muslims in support of the legitimate rights of the Muslim people of Palestine.”—Ruhollah Khomeini, Sahifa-yi Nur, Vol. 8, p. 229.

16 Murdad 1358, tidak berlalu begitu saja.

16 Murdad 1358, adalah tarikh yang dirujuk dalam kalender Persia, bersamaan 7 Ogos 1979, tahun meledaknya sebuah revolusi atas nama agama, yang lantas meruntuhkan tesis Frantz Fanon. Hari itu, Ruhollah Khomeini mewarkan Hari al-Quds, yang kemudiannya disalin kenangannya setiap kali Jumaat terakhir di bulan Ramadhan.

Tatkala Ramadhan 1429, sekali lagi kita mengenang Yerushalayim ini. Tapi, kali ini bukan dari celah-celah menara Azadi lagi. Kenangan pada kota tiga agama kali ini akan dihimbau oleh anak yang lahir dari celah-celah himpitan Kem Auschwitz, yang kemudiannya digelar “manusia berani” oleh Edna Homa Hunt.

Memang, kadang-kala—terutamanya dalam politik—untuk meruntuhkan musuh tidaklah memerlukan Merkava, tapi sudah cukup dengan gebrakan idealogi-dalaman dari seorang “manusia berani” sahaja.

Siapakah “manusia berani” itu?

Ia bukan dari Hamas. Secara intelektualnya, Hamas maseh kalah pada Isreal. Tapi, sering kata Hamas, Israel sudah tidak memahami bahasa intelektual, hanya bahasa istishhadi yang bisa mengajarnya. Jadi, dari satu sisi, lahirlah Islam kering—tiada daya usaha intelektualnya.

Nasib ‘kita’ ada Norman Finkelstein. Kitab agungnya, Image and Reality of the Israel-Palestine Conflict, jelas membantu, dan mula mencabar mitos-mitos asal-muasal negara Israel yang dibina dalam kemasan doktrin Zionis. Inilah yang kita maksudkan sebagai gebrakan idealogi-dalaman.

Tapi, apa kritikan Finkelstein?

Dalam karya kecohnya itu—sebuah nukilan yang disenangi oleh Avi Shlaim, sejarahwan Holocaust dari Oxford University—Finkelstein memaparkan secara intelektual bahawa Negara Yahudi adalah rekaan zionisme semata-mata, demi hasratnya untuk mengekalkan jumlah besar Yahudi yang terdapat di Palestin. Atas hasrat ini, penduduk asal Arab harus menelan buah pahit dari zamannya.

Ungkap Finkelstein, bayangkan saja perbezaan antara jumlah Arab dengan Yahudi, sewaktu tahun pengistiyaran Balfour, yang mana ketika itu British sudahpun menjanjikan “tanah tanpa rakyat” kepada Yahudi. Ketika itu, kata Finkelstein, nisbah penduduk Arab berbanding Yahudi adalah 10:1. Itu tahun 1917.

Namun, 30 tahun kemudian, malah sampai dewasa ini sekalipun, demografi ini telah berubah ketara sekali. Jadi, ke mana perginya rakyat Palestin yang lain sehingga surut sedemikian rupa? Apakah Yahudi mengamalkan kaedah penghapusan etnik dalam menukar demografi ini, sehingga rakyat Palestin lain ternyahkan dari wilayah asalnya?

Langsung, Finkelstein memperhalusi paparan Joan Peters dalam From Time Immemorial. Menurut Finkelstein, buku yang pertama kali dicetak pada 1984 tersebut telah memaparkan terdapat ratusan ribu rakyat asli Palestin yang telah dinafikan hak kepemilikan tanahnya.

Selain itu, Finkelstein turut menemukan tiga jalinan gerakan yang mencipta zionisme: politik, buruh (atau sosialis) dan budaya Zionism. Finkelstein merumus, parti buruh dan budaya zionisme ini akhirnya bersekutu dengan politik Zionism, dan ketiganya secara muafakat mempraktikkan garisan keras dalam usaha meningkatkan majoriti penduduk Yahudi tersebut.

Maka, bagi Finkelstein lagi, ternyata, “kuasa yang gagah akan terus menguasai lanskap politik.” Tapi, citra negara Israel yang gagah terpapar dewasa ini, tidak semestinya sesuatu realiti, atau bukan benar-benar, sebaleknya barangkali hanyalah sebuah kepercayaan pada sebuah citra konspirasi.

Terima kaseh pada Finkelstein. Tapi, apa faedah buat saintis-politik Amerika tersebut gara-garanya melawan arus? Secara materialistiknya, tidak ada faedah apa-apa. Yang ada hanyalah kepayahan. Yang ada hanyalah keperihan. Meskipunnya seorang Ashkenazi, tapi kini Finkelstein mungkin satu-satunya Yahudi yang dilarang masuk ke tanah yang dijanjikan itu.

10 tahun, Finkelstein tidak boleh meraikan Eid di al-Quds. Itulah hasil dari kerja-kerja mengkritiknya terhadap tubuh Israel. Rakan intelektualnya, Noam Chomsky sudah menempuhnya, malah sempat memberinya amaran, sebelumnya mengesahkan fakta dalam From Time Immemorial. Tapi jelas, mereka sama-sama degil.

Memang, budaya intelektual ini memang banyak ragamnya. Tidak hairan, jika ada yang kata, resmi seorang intelektual sejati mestilah degil. Finkelstein dan Chomsky adalah intelektual. Sebab itu, mana-mana akademia yang tidak degil, tidak kritis, tapi lurus, malah bendul pula, itu pasti bukan intelektual!

Intelektual bukan sekadar seperti Alan Dershowitz. Tapi lebih ideal, jadilah, “manusia berani,”—seperti Finkelstein, seperti Chomsky dan juga seperti Khomeini. Di Hari al-Quds ini—kenangan kita dilimpahkan kepada manusia-manusia berani seperti ini, yang bangkit melawan penindasan tanpa rasa sempadan!

Jadilah Manusia Agung
Bagai seorang Syahid
Seorang Imam
Bangkit
Berdiri
Di antara rubah, serigala
Tikus
Domba
Di antara kosong-kosong
Bagai Yang Satu—Ali Shariati

Monday, September 1, 2008

Sentiasa Bertemu Tuhan

Ramadhan, ternyata, hadhir jua.

Tanggal setahun dulu, kita tidak pasti, apakah bulan Ramadhan yang berlalu itu akan menyapa kita semula. Rutin berpisah dengan bulan Ramadhan lekas menggiring harapan, mengumpul kerinduan, yang mudah-mudahan kita bakal diberi peluang untuk dijamu Tuhan lagi—biarpun kita sedar, kehidupan dan kematian bukanlah ditentukan sepenuhnya oleh kudrat kita.

Kali ini, bulan yang penuh “rahmah, berkah dan marfirah” ini kembali lagi.

Setiap kali bulan syahadah Imam Ali Abi Thalib ini membuka tirai, maka bayangan kehidupan dan kematian mulai memintas. Silih bukan saja kehidupan dan kematian jasad, tapi lebih lebih besar lagi ialah kehidupan dan kematian ruh. Meskipun para suluk memulakan hitungan tahunannya bermula bulan Ramadhan, tapi hakikatnya bulan Ramadhan juga yang menandakan tamatnya hitungan tersebut, dan mulanya perkiraan baru. Bulan Ramadhan ibarat musim gugur buat para penanam gandum, sekaligus sukatan awal bagi tuaiannya di musim panas nanti.

Ramadhan bulan kemerdekaan. Bulan kemanusiaan. Bulan di mana Nabi pernah bersabda dalam khutbah Jumaat terakhirnya pada bulan Syaaban, “wahai sekalian manusia, sesungguhnya jiwa kalian tergadai menurut amal kalian….” Dari untaian itu, kita saksikan bagaimana Nabi memulakan ungkapan “sekalian manusia,” tidak “sekalian muslim.” Ternyata, bulan Ramadhan/ibadah puasa bukanlah milik muslim semata, tapi ia adalah milik manusia dan kemanusiaan seluruhnya.

Manusia dan kemanusiaan adalah titik kesetaraan yang paling muafakat sekali. Tiada debat panjang tentangnya. Jiwa manusiawi ini tepat dirasakan dalam setiap kali kunjungan bulan Ramadhan yang penuh ramah itu. Kita boleh semak saja pertanyaan klasik Hisham bin Hakam kepada gurunya, Imam Jaafar as-Shadiq menjelang bulan Ramadhan, “kenapakah puasa menjadi wajib kepada manusia.” Tidakkah jelas sekali lagi, perkataan “manusia” diulang, dan ditanya pada leluhur kelima Nabi ini?

Lalu, Imam Jaafar as-Shadiq membalas, “Allah mewajibkan puasa agar orang yang kaya dan orang yang miskin boleh sejajar, kerana orang yang kaya tidak merasakan lapar…. kerana orang kaya ketika menginginkan sesuatu akan mendapatkannya. Maka Allah swt menginginkan untuk menyamakan di antara ciptaan-ciptaan-Nya dan maka orang kaya dapat merasakan lapar dan sakit agar ia turut menasihi orang yang lemah dan lapar.”

Kata Javad Amuli dalam Asrar al-Ibadah, inilah mihrab puasa yang pertama: sebuah jawapan keprihatinan sosiologi kelas dari Imam Jaafar as-Shadiq, jauh sebelum Karl Marx membahagikan kelas borjuasi dengan proletar dalam Das Kapital-nya. Sememangnya kelas kekenyangan dan kelas kelaparan tidak mengenal batas agama, sebaleknya merentasi segala-galanya! Inilah rahsia tuntutan zahir puasa: buat mendorong rasa kepekaan sosial di kalangan khalayak.

Tampak, betapa manusiawinya amalan puasa ini dalam takrif sebegini. Kemanusiaan seperti ini yang bukan datang dari manusia—tapi dari Tuhan untuk makhluk-Nya, dan Tuhanlah yang memberikan “ganjarannya” (yang bukannya diungkapkan Tuhan sebagai pahala). Bahkan, inilah juga amalan unggul yang merakamkan sebuah peristiwa yang mengugah lantai arsy "…dan mereka memberikan makanan kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan." Amalan mulia inilah yang turut mengangkat keruhanian Fidhah—pelayan luhur keluarga ‘rumah kecil’—atas paparan keikhlasannya yang menembus jarak bumi dan langit!

Barangkali inilah rahsia batin puasa pula: keikhlasan yang terkamir dari keyakinan! Fidhah, seperti kita juga, adalah manusia umum. Keikhlasan dan keyakinan kita kepada Tuhan, kepada agama, kepada rasa kemanusiaan, barangkali bermuara sama seperti Fidhah. Tiada beza ketara, melainkan perbezaan zaman. Kelihatannya, keyakinan adalah sebentuk unsur yang dinamik, tidak seperti keyakinan mutlak cerminan sosok yang menuturkan, “…seandainya tabir yang menutupiku disingkap, keyakinanku tetap tidak akan bertambah.” Kita tidaklah setangguh itu.

Memang, zahir dan batin, adalah tautan yang berkembar. Dalam mana-mana kesempurnaan ibadah pun, sisi “mengufuk” dan “menegak” ini harus selari dan terwakil dalam ranah masing-masing. Inilah puncaknya kesempurnaan ibadah—yang antaranya diajar menerusi bulan Ramadhan: menentang kekenyangan dan memasak keyakinan. Sebuah puncak yang teransang dari pesanan Imam Jaafar as-Shadiq sendiri “jika kalian ingin du’a kalian diterima, maka putuskanlah harapan selain kepada Allah, putuskan hati kalian untuk tidak bersandar kepada kekuatan manapun.”

Sudah lumrah manusia, untuk sentiasa belajar, untuk sentiasa tega meneroka, dan kemudian meralat kesilapan-kesilapannya. Lalu, akhirnya manusia berdu’a memohon pembaikan. Kini, saat terbaik tersebut hadhir lagi. Maka, berdu’alah di bulan Ramadhan ini. Kita berdu’a agar bulan Ramadhan kali ini akan dimakbulkan “sebagai sebagai bulan pertama untuk kita menanam keprihatinan sosial, sebagai bulan pertama untuk kita mengukuhkan keyakinan, dan sebagai bulan pertama untuk kita melepaskan kerinduan pada sebuah keabadian.”

Inilah kiriman harapan yang terhablur dalam sanubari kita—biarpun seringkali di saat kita ‘melarikan diri’ dari Tuhan, akhirnya kita tetap bersemuka juga dengan Cinta-Nya, malah di perjamuan-Nya pula!

Thursday, August 28, 2008

Hilang

Sudah dua minggu tidak diizin meminjam buku. Kad matriks hilang. Di rak perpustakaan, The Bridge on the Drina selalu dibelek saja, tanpa dapat diusung keluar.

Memang sudah lumrah, bila kita kehilangan sesuatu, kita akan diulit keresahan. Bahkan, diasak kesempitan juga. Tapi, mengapa kita tidak pernah merasa keresahan bila kehilangan diri sendiri?

Tersentak juga dengan pertanyaan Imam Ali ini. Terima kaseh Javad Amuli kerana memetik untaian, “Aku tidak mengerti dengan mereka yang telah hilang barangnya, dan kemudiannya mencari dengan penuh kesungguhan, namun ia tidak pernah bertanya tentang di mananya telah menghilangkan diri (selama ini),” ujar Imam Ali seakan mahu memancing renungan kefalsafahan.

Aduh, apakah benar Ahura Mazda itu tidak bersemayam di Arsy? Tapi hanya berteleku dalam diri kita sendiri? Sungguh dekat sekali. Mudah-mudahan, kita sentiasa tahu di mana kita berada...

Wednesday, May 14, 2008

Sesat dan Menyesatkan

Menemukan aku kafir, bukanlah hal yang mudah,
kerana tiada iman yang lebih kuat dari imanku.
Bila sekali hanya seorang sepertiku, dan ia kafir,
Maka, pernahkah ada seorang muslim selama ini?—Ibn Sina

"Krito, kita berhutang seekor ayam jantan dengan Asclepius. Jangan lupa membayar hutang tersebut," begitu pesan terakhir Sokrates pada rakannya. Kesian, kalau tidak kerana diputuskan sesat dan menyesatkan anak-anak muda—dalam mahkamah yang dikuasai sofis—Sokrates takkan mati dalam regukan racun. Pada 2500 tahun silam, di mana waktu manusia maseh belum mengenal individualisme John Stuart Mill, kata sesat dan menyesatkan sudah pun diamalikan.

Bukan itu saja. Atau tepatnya, bukan Greek saja. Malah, kata sesat dan menyesatkan turut tidak mengenal tamadun, termasuklah dalam pengalaman Islam itu sendiri.

Meskipun Islam itu kaya dengan aneka sekolah pemikiran yang indah dan meriah, Suhrawardi tetap dikorbankan. Sama seperti Sokrates, al-Maqtul ini terbujur di tangan mereka yang lebih berkuasa. Tapi bezanya, pelopor aliran hikmah ishraqi ini mati di tali gantung. Ternyata, kata sesat dan menyesatkan seperti sudah memiliki semacam suatu legitimasi yang menguasai. Sebuah kosakata yang tidak mengenal "siapa" dan "kenapa", tetapi terlaksana atas panji agama-kekuasaan.

Sayang, darah Shaykh al-Ishraq ini menyimbah bumi ketika dunia Islam mulai gersang wacana falsafahnya. Semenjak saat itu, hilanglah seorang yang boleh mengimbangi Tahafut al-Falasifa.

Kini, waktu bergulir, namun episod sama sentiasa berulang. Jasad memang sudah dimamah zaman, tapi kotak fikirnya tetap sama. Di mana-mana saja, kata sesat dan menyesatkan sering punya kuasa pertama untuk memenjarakan pemikiran khalayak. Seperti kata Ali Shariati dalam Man and Islam, sejarah itu adalah penjara manusia. Selain masyarakat, ego dan benda, sejarah turut menjadi penjara pada dirinya sendiri. Selama mana kita tidak menembus binaan sejarah kita, maka selama itulah kita akan terus dibelenggu dengan kekakuan tradisi dan persekitaran.

Memang, tiada apa yang sebenarnya berubah. Ungkapan sesat dan menyesatkan tetap betah dalam penjara kata dan makna, meskipun zaman kian deras berubah. Zaman Greek klasik dan zaman pasca-moden tidak membawa erti apa-apa. Nihil. Biarpun Aristotle sudah pun lama percaya bahawa sejarah itu hanyalah tidak lebih dari satu ruang kemungkinan, kesementaraan, dan kekhususan, tapi ternyata pandangannya maseh tidak memadai untuk manusia berzaman belajar sesuatu darinya.

Di sinilah Hegel tampak benar. Ia telah menyedari bahawa akhirnya setiap kebenaran itu akan terbenam ditelan waktu—Die Wahrheit fallt in die Zeit. Makanya, sejarah yang macamana pun akan tetap tumpas pada kebenaran. Sejarahlah yang memenjarakan kebenaran, bukan sebaleknya.

Inilah persimpangan muslim. Belahan muslim, walaupun memiliki tataran sejarah yang keemasan, tapi mereka nyata lebih selesa untuk mendekam dalam tembok sejarah. Kita lebih enak memutarkan babak-babak yang sama, dengan mencari musuh-musuh baru. Bukan untuk meraih pencerahan, tapi untuk dihumban mereka yang berseberangan dengannya menerusi pelaksanaan kata sesat dan menyesatkan. Inilah antara bentuk kepuasan agama-kekuasaan yang herot. Masa depan tidak bererti apa-apa lagi. Semuanya disudutkan pada kata sesat dan menyesatkan. Cukup mudah.

Malah, dewasa ini, sama ada berbeza mahupun bercanggah, hakikatnya ianya adalah sebuah kata yang dipandang serupa saja. Tiada beza. Ia serupa dalam makna yang tidak sama dengan makna yang ditentangnya.

Mithalnya, memiliki kepercayaan tertentu dari mana-mana aliran tertentu sudah dihitung sama dengan makna bermusuh. Jika, dalam kelembutan perspektif Shariati, antara Marxisme dengan Islam itu hanya beza dari segi rujukan nilai-nilai saja, tapi Shariati maseh tetap mengakui bahawa masing-masing cuba mencakupi tasawwur pemikiran manusia. Bayangkan, antara ateis dengan teis, Shariati tetap saja mampu berlapang dada.

Sebab itu, kita seharusnya lebih hairan dengan pengalaman sendiri. Apakah kita memang tidak pernah belajar dari sejarah? Agaknya kita tidak serius mengambil iktibar. Kita seharusnya disedarkan, bahawa bukankah sejarah itu suatu bentuk pengulangan makna, kalau pun tidak suatu bentuk pengulangan peristiwa? Mithalnya, mengapa kita tidak pernah belajar dari Imam Ali Abi Thalib tentang soal kebebasan? Mengapa kita tidak membaca Nahjul Balaghah tentang kelunakan sikapnya terhadap khawarij? Mengapa kita seperti mengabaikan surat pencerahannya pada Malik Ashtar?

Bila kita membaca Murtadha Muthahhari dalam Polarization around the Character of Ali bin Abi Thalib, kita akan diajak untuk mengenang bagaimana betapa besarnya jiwa Imamul Muhtadin ini. Saat pengikutnya seakan mendesak Imam Ali menghukum kafir pada kelompok khawarij, maka Amirul Mukminin ini tenang menjawab: Mereka adalah muslim yang tergesa-gesa dan dangkal agama. Lihat, bagaimana Imam Ali tetap mempertahankan jalinan persaudaraan seagama meskipun begitu ketaranya garisan antara keduanya.

Sebab itu, Imam Ali punya daya kekuatan yang luarbiasa. Bak kata Urfi, penyair Persia yang pernah berkelana ke India mengunjungi istana Sultan Akbar, "…muslim memandikan dengan air zam zam, dan hindu memperabukannya." Mungkin bagaikan terlebih kedengaran, tapi jelas saja memang ada kewajarannya. Kalau bukan Imam Ali, takkan ada siapa yang berani untuk memerangi nakitsun, qasithun dan mariqun ini.

Memang, tiada siapa yang menafikan, khawarij adalah kelompok ruhbanun fi al-layl wa fursanun bi al-nahar. Tapi persoalannya, muslim manakah yang sedia untuk bertempur dengan muslim yang bersifat demikian, kalau tidak muslim yang lebih unggul dari mereka semua.

Sebab itu, tatkala dengan khawarij pun Imam Ali tidak pernah menarik zulfikar dari sarungnya, sehinggalah waktu di mana khawarij mulai menyerang khalayak. Tidakkah faham yang dipilih oleh Imam Ali ini sangat kental demokratiknya? Bahkan hampir saja kepada batas-batas terakhir kebebasan individu dalam versi On Liberty. Malah, saat memeranginya pun, Imam Ali maseh menganggap khawarij hanyalah sebagai kelompok yang cetek pengetahuannya, bukannya mendengungkan irama sesat dan menyesatkan kepada mereka.

Kini, bandingkanlah jiwa besar Ali dengan Abdul Rahman Ibn Muljam. Jika Ali ringan memberikan kebebasan, maka kebebasan itulah yang dibiarkan sampaikan Ali sempat menutur dalam waktu-waktu terakhirnya , "…jangan kalian membunuh kaum khawarij setelah aku tiada, kerana seorang yang mencari kebenaran lalu tersesat, tidak sama dengan orang yang mencari kesesatan lalu menemukannya."

Sekarang, Imam Ali sudah tiada, sosok yang dikatakan oleh Khalil Gibran sebagai "manusia yang bukan berada pada zamannya." Dewasa ini, pemikiran Imam Ali tidak punya tebaran warisan yang melata, malah kadang-kala punya dataran suara bangkangan pemikiran yang lebih ketara. Tapi, kata-kata sesat dan menyesatkan yang tebal pada bibir khawarij sentiasa memikat sepanjang zaman buat mereka yang punya citarasa ingin menguasai.

Atas nama agama, atas nama kebenaran, atau atas nama apapun, kata sesat dan menyesatkan ini telah disumbat pada suatu paksaan yang cenderung untuk memisahkan ruh dari jasad. Acara sokratik sering dipandang mencabar agama-kekuasaan. Bicara tentang perbezaan aliran adalah tabu. Dan mereka yang dianggap sesat dan menyesatkan—dari makna aliran yang berseberangan—kini adalah umpama mereka yang begitu miskin nafas kehidupannya.

Aduh, apakah begitu hina sapere aude? Apalah yang mahu dibandingkan dengan mereka yang sentiasa memandang dirinya wakil Tuhan di atas bumi yang kerdil ini? Padahal, mereka yang memikirkan dirinya sentiasa benar inilah yang melakukan dosa yang paling besar kerana membiarkan tafsiran-tafsiran agama yang lain dipendamkan. Hanya tafsiran mereka saya didedahkan pada khalayak. Jadi, muliakah kelompok yang mahu membolot satu tafsiran agama yang tunggal?

Nah, sewaktu ada kelompok yang menghambur kata sesat dan menyesatkan, adakah mereka tahu yang Tuhan bersama mereka? Adakah Tuhan turun menjadi hakim dalam mahkamah mereka? Tidakkah Tuhan Yang Maha Pemaaf sentiasa berlari pada manusia, di kala manusia hanya merangkak kepadanya? Tapi, yang mudah melempar kata sesat dan menyesatkan itu—kelihatan beria-ia merangkul Tuhan dalam keadaan yang paling tinggi martabatnya. Walhal, mulia seseorang itu adalah seni, kerana taqwa itu sukatannya mutlaknya hanya boleh dibaca secara sempurna dari kehalusan Tuhan saja.

Khalayak sufi, atau dalam pengalaman lain, khalayak irfan panggilannya, sentiasa mententeramkan hati-hati yang mahu mencari Tuhan dalam jalan yang berbeza. Kata sebuah hadith, "…Tuhan sentiasa bersama dengan sangkaan hamba-Nya." Pertanyaan kita, apakah sangkaan Tuhan terhadap al-Maqtul persis seperti sangkaan al-Malik al-Zahir? Bagai tidak sedar, kita bukannya Tuhan yang mampu membaca sangkaan manusia. Manusia bukan Tuhan. Itu pasti. Manusia hanya ada naluri, tapi tiada kuasa takdir.

Walau bagaimanapun, Suhrawardi, mahupun Sokrates barangkali dikira mujur. Mereka dikenang kerana terkorban di tangan yang memutuskannya "sesat dan menyesatkan." Mereka bukannya membunuh diri. Lantas, kedua-duanya terus hidup dalam kenangan para suluk, dan dalam ingatan para failasuf. Masing-masing terus menghimbau kita pada keluhuran, bukan pada putaran sejarah semata-mata. Jelas sekali, mereka bukannya Sadeq Hedayat, yang pada tahun 1951 memilih membunuh dirinya ditengah-tengah lemparan kata "sesat dan menyesatkan."

Dan benar lagi, Hedayat bukannya Suhrawardi. Bukannya juga Sokrates. Bahkan, bukan kerana Hedayat berhutang seekor ayam jantan. Tapi kerana penulis kesusasteraan penting Persia tersebut berbudi pada kita menerusi buku Būf-e Kūr (The Blind Owl). Sokrates tidak.

Monday, April 7, 2008

Hadiah Agama

Apakah hadiah yang agama berikan kepada kita?

Entah? Barangkali ada yang akan menghempas begitu. Namun, tentunya—pada sebilangan orang—agama mampu membimbing manusia; mengatur cara hidup manusia; dan mengembalikan manusia pada fithrah. Tapi, mungkinkah dalam waktu yang sama agama dapat membingungkan kita, atau terlebih lagi akan membosankan kita?

Yang mahu diberikan oleh agama itu sebenarnya apa? Dan, apakah tanpa agama kita akan benar-benar akan merasai kehilangan sesuatu? Jika ditanya pada para agamawan tertentu, barangkali habis-habisan mereka akan menegaskan keperluan hidup beragama. Agama, pada mereka lagi, adalah tujuan kehidupan yang menghadirkan kebahagiaan hakiki.

Sejenak difikirkan, memangkah di akhir agama itu merupakan kebahagiaan, atau dalam kata lain, sebentuk kepuasan? Itukah hadiah terbesar yang agama boleh anugerahkan kepada umat bertuhan? Apakah begitu berani untuk kita memutuskan; Sartre, Dawkins, Hawking, Weinberg dan lain-lain itu pasti tidak akan meraih kebahagiaan?

Benar, barangkali ada agamawan yang akan menambah lagi—bahawa kebahagiaan para mulhid tersebut bukanlah sesuatu yang hakiki. Kebahagiaan demikian, katanya adalah ilusi atau sementara. Tapi, apa sukatan untuk kita mengukur sesuatu kebahagiaan yang sebenar-benarnya? Dan, mahu dinisbikan kepada apa rasa kebahagiaan itu? Apakah nisbi itu bersifat sekata dan universal?

Mungkin ada yang lupa. Atau mungkin ada juga terlepas pandang. Kita maklum, Bhutan bukan sebuah negara Islam. Sebaleknya Bhutan diketahui antara negara yang dalam kelas mundur, tapi akhirnya melalui kajian Gross National Happiness, Bhutan telah muncul sebagai sebuah negara yang paling bahagia di dunia. Jadi, di mana Islam di Bhutan?

Begitu juga Richard Dawkins, dalam The God Delusion menegaskan bagaimana keyakinan dan kepercayaannya bahawa kehidupan seorang mulhid itu seharusnya lebih ria serta teruja secara intelektualnya berbanding kehidupan beragama. Agama, bagi Dawkins lagi adalah “merendahkan sains dan melemahkan intelek.” Dan, jangan aneh, Dawkins ternyata benar-benar menjiwai betapa nikmatnya kehidupan bila Tuhan dapat di-nyahilusikan.

Nah, mungkinkah contoh ini dapat menunjukkan bahawa agama kini tidak boleh lagi diserangkai dengan kebahagiaan semata-mata? Dalam sesetengah jalur, atau dalam sebahagian mazhab rentas agama, ada yang menawarkan jalan keluar yang berbeza: cinta! Dalam tradisi ini, inilah kosakata yang paling berkuasa, dan paling mempersona. Fekah sekalipun tidak mampu menumpaskan cinta. Cinta bukannya labirin, tapi adalah matlamat pada rasa manusiawi kita.

Para pencinta, atau mereka yang bermazhab cinta ini, pasti akan mendahulukan rasa mahabbah berbanding faham idealogi masing-masing. Kalau ada yang membaca Love of God: A Sufic Approach, tentu ada yang terkesan bagaimana Mir Valiuddin menunjukkan akar kata Allah.

Menurut hemat Vali’uddin, kata Allah dari bahasa Arab adalah berasal dari walaha, dan makna walaha ini antaranya bererti kecintaan dan kerinduan sepertimana yang dirasakan oleh seorang ibu kepada anaknya. Itulah tamsilnya kedashyatan cinta yang terbina dari nama Tuhan!

Khaled Abou El Fadl turut begitu. Dalam The Great Theft: Wrestling Islam from the Extremists, Abou El Fadl menghimbau keperian semangat cinta. Pernah sewaktu ia ditanya dalam kuliahnya oleh pelajar bukan-Islam tentang apakah nilai-nilai moral yang paling ketara dalam Islam, maka pantas saja ia memileh ungkapan; “kaseh sayang, cinta dan kedamaian” sebagai adi-nilai yang harus dihargai dalam rakaman tradisi Islam.

Meladeni cinta ini tentunya juga akan membawa kita pada ajaran kaseh sayang Nabi Isa as semenjak berabad-abad yang lalu. Bayangkanlah, andai tiada cinta, makalah hilang seri agama tersebut. Malah, mana-mana agama sekalipun memerlukan cinta sebagai keindahannya. Andai kalangan yang percaya pada Tuhan hidup saling mencintai, maka taasub idealogi pasti tidak lagi mempunyai tempat. Memang, “Tuhan adalah kaseh; Tuhan adalah cinta.”

Cinta, adalah pemyembuh bagi segalanya. Duka, pingin, bahkan dendam sekalipun akan surut dalam sebuah dakapan cinta. Cinta ada di mana-mana. Memiliki cinta akan menghiasi kita dengan kehalusan jiwa terhadap sebarang unsur kewujudan. Kita akan diajar untuk lebih menghargai ontologi, serta mengenang bahawa semuanya adalah sama-sama kejadian. Teringat kita pada sebuah rangkap pilihan Jalaluddin Rumi yang getarannya tidak lekang hingga saat ini:


“Sejak kudengar tentang dunia Cinta
Kumanfaatkan hidupku, hatiku
Dan mataku di jalan ini
Aku mengira bahawa Cinta
Dan yang dicintai adalah berbeza
Kini aku mengerti bahawa keduanya sama.”

Tentu sekali, mengapai cinta, adalah satu tujuan kesempurnaan. Lantas, ada pertanyaan yang menghambat, ada apakah pada sebuah idealogi berbanding dengan sebuah cinta? Ternyata, idealogi mana-mana pun tidak lebih dari cinta. Cinta lebih menawari kemanusiaan. Kerana, kadang-kala tampaknya taasub idealogi seperti kian mahu mengugat rasa manusiawi kita—hingga mencipta paksaan kemutlakan.

Kita sudah ada pilihan lain. Mazhab cinta yang alih-alih mengajar kita; menyayangi semua mazhab; menyayangi semua agama; bahkan turut senang dalam menyayangi mereka yang mulhid sekalipun. Selagi ada nama cinta, di situlah agama bersemi. Selagi ada nama kaseh sayang, maka di situlah hamburan kata-kata “sesat” menjadi terlarang.

Sememangnya hadiah agama adalah cinta. Cinta dan agama adalah berdampingan. Kalimah cinta yang diracik ini bukan atas nama “kerana” tetapi atas nama “walaupun”; l’amour n’est pas parce que mais malgre. Jika tidak, mereka yang taasub idealogi secara tidak sedar lebih senang untuk bertarung dengan Tuhan, bukan lagi membela Tuhan—yang sungguh kaya dengan warna-warni cinta-Nya!

Jadi, mampukah—meskipun sesaat—bagi mereka ini (agamawan tertentu) untuk mengalahkan kebesaran cinta Tuhan pada makhluknya? Sedangkan Imam Ali Abi Thalib dalam awalan du’a Kumayl-nya melantunkan; warahmati wasi’at kulla syay; dan kaseh sayang Tuhan itu meliputi segala sesuatu.

Dan, barangkali du’a tersebut tidaklah memadai. Tidak terelak, ada saja yang resah. Gelisah keriuhan. Tapi, bukankah juga maseh ada hadith qudsi: “Aku adalah khazanah terpendam. Aku cinta (hubb) dikenal, maka Aku ciptakan makhluk." Kini, apakah mereka harus bising lagi—sembari menjaja idealogi usang secara taasub?

Saturday, April 5, 2008

Keadilan Muharram

"The best lesson which we get from the tragedy of Cerebella is that Husayn and his companions were rigid believers in God. They illustrated that the numerical superiority does not count when it comes to the truth and the falsehood. The victory of Husayn, despite his minority, marvels me!” — Thomas Carlyle

Syed Muhammad Naquib al-Attas, menerusi The Concept of Education in Islam, dikatakan orang yang pertama kali merumuskan makna keadilan, “keadilan adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya.” Benarkah begitu?

Mungkin saja tidak benar! Bukan tidak benar pada frasanya, tapi mungkin tidak benar pada muasalnya. Ini kerana terdapat catatan intelektual yang jauh lebeh awal merakam definisi tersebut. Ternyata, sebelum al-Attas mengutarakan makna keadilan lagi, Imam Ali Abi Thalib dalam Nahjul Balaghah sebenarnya sudah terlebeh dahulu merumuskan kata-kata demikian.

Adakah al-Attas terlanjur meniru dari Nahjul Balaghah—sepertimana ia juga dikatakan telah meniru “makna ilmu” dalam Islam dan Sejarah Kebudayaan Melayu dari teks Imam Fakruddin ar-Razi? Ya, barangkali sukar untuk ditelah secara mudah, dan tentunya juga bukan tugas akbar kita untuk menghukumnya serapat-rapat. Yang pasti, kata-kata itu sudah menjadi bicara sejarah. Cuma, salah satu sifat sejarah, ia mampu menghukum, dan mampu juga untuk membingkai kita dalam sebuah penjara kesejarahan.

Tapi, bila kita berdepan dengan penjara sejarah, maka apa yang harus kita lakukan?

Sewaktu kita telah maklum suatu kebenaran sejarah—yang menurut kita adalah kebenaran yang seharusnya—maka tentunya kita ingin memperbetulkannya. Memang, hal itu ingin saja dilakukan. Namun, sama ada ia diterima atau sebaleknya, itu sering berakhir dalam keputusan lingkaran kekuatan politik. Tapi, satu hal yang tidak dapat dirombak oleh mana-mana kekuatan sekalipun ialah pelajaran yang mahu kita ceduk dari sejarah yang telah kita percayai.

Menerusi pelajaran, sejarah tidak lagi bersifat belakangan. Tapi, lebeh dari itu, sejarah sudah merambah ke dalam sebuah wawasan yang revolusioner. Sejarah seperti ini tidaklah berminat untuk mencari siapa, tetapi lebeh cenderung menyelesaikan persoalan kenapa. Inilah juga sisi sejarah yang sekian lama gagal dibaca secara sempurna—hingga ia kerap memenjarakan demikian banyak pemikiran manusia.

Namun begitu, sedarkah kita, dalam sederetan sejarah dunia, rupa-rupanya terdapat bentangan suatu sejarah yang benar-benar tidak ada peniruan sebelum dan setelahnya. Ia merupakan sejarah yang satu-satunya dan tiada taranya. Dalam makna laen, ia adalah sejarah hitam sekaligus sejarah merah—yang kelak diinsafi di sepanjang depaan zaman. Ia hitam kerana saat itulah terungkapnya nestapa. Sementara ia merah kerana darinya terzahir kebangkitan.

Nah, sejarah apakah itu? Antoine Bara meninta cemerlang, “Sejarah Karbala!” Inilah cungkilan sejarah yang dilukiskannya dalam Al-Husayn fi al-Fikr al-Masihi, sebagai sebuah sejarah dunia yang tidak pernah ada kesamaannya dalam mana-mana catatan sejarah sekalipun. Meskipun sejarah Karbala adalah episod pembantaian yang meledakkan revolusi, tapi ia bukan semata-mata terkesan dalam makna literal, tapi juga dalam makna analoginya.

Dalam kata laen, makna literal yang dimaksudkan adalah berhujung pada kehitaman. Sebaleknya makna anologi akan menarik kita kemerahan tanda semaraknya anak-anak kebangkitan yang lain. Jadi, tidakkah noktah pertama dari pelajaran sejarah Karbala: iaitu mengenang kebangkitannya bukanlah sekadar untuk kita terus meratap kedukaan, tapi lebeh besar dari itu adalah tugas untuk meng-husayn-kan manusia-manusia ini.

Anehnya, rupa-rupanya tugas pertama kali gerakan peng-husayn-nan ini tidaklah dipikul oleh kaum Adam. Tapi sebaleknya menerusi seorang Hawa yang menyaksikan sendiri episod nyayat dari pembantaian Karbala. Bayangkan, dari sebuah pertempuran yang hanya meninggalkan Imam Ali al-Sajjad sebagai waris leluhur nubuwwah, maka tiba-tiba bangkitnya peranan seorang wanita. Dari kegigihannya, warna-warni dalam sejarah dunia kembali dicerlangkan, terutamanya dalam latar dan tradisi belahan timur.

Atau dalam tafsiran yang berbeda, tebaran nilai yang dibentuk dari revolusi Husayn sebenarnya dilengkapkan melalui hayunan dari tangan tekal seorang wanita. Mungkin benar, untuk menyedarkan seseorang, atau sesebuah bangsa, atau seumat manusia sekalipun, kadang-kala yang diperlukan bukanlah saja keperkasaan seorang lelaki, tetapi juga satu pesanan revolusioner dari seorang wanita. Dan, itulah yang dibuktikan oleh Zaynab!

Namun, sejarah sekali lagi bukanlah hanya untuk mengenang Zaynab semata, ataupun Imam Husayn semata? Tapi sejarah yang paling diiktibari ialah sejarah yang mampu membimbing kita untuk kembali menanyakan kenapa Revolusi Karbala itu harus terjadi? Kenapa Husayn terkorban? Dan, kenapa Zaynab pula yang melestarikannya? Kenapa? Kenapa? Dan Kenapa?

Kelihatan, persoalan sudah bergerak melampaui hukuman. Begitu juga muasal keaslian makna keadilan yang tentunya tidak lagi menjadi kebimbangan. Tidak pernah kita tahu, yang kebimbangan akan tewas pada kebenaran. Sebab, sekali lagi, kita mengerti bahawa kebenaran sejarah yang paling agung hanyalah bertujuan untuk memberi sebuah pelajaran, bukannya menangis tanpa falsafah. Dan, pelajaran yang paling agung sepanjang zaman buat manusia adalah terus menciptakan keadilan; meletakkan sesuatu pada tempatnya!

Sememangnya, bulan ini, bulan kebangkitan, bulan Muharram—yang kita raikan sepanjang alihan tahun hijrah—telahpun diletakkan sesuai pada tempatnya!

Sunday, November 4, 2007

Akal & Wahyu

U ropstvu se rodih,
u ropstvu živjeh,
u ropstvu vajme i umrijeh

(Dalam perhambaan aku telah dilahirkan,
dalam perhambaan aku hidup,
dan dalam perhambaan aku berkubur) — Petar Kocic

Ambang kematian sering saja boleh mengungkapkan beragam makna dan tafsiran. Menjelang kematian Ali, kematian Fatima, mahupun kematian Kocic, masing-masing punya satu persamaan tafsiran: menikmati ketenangan!

Tentu sekali, ketenangan bukan soal yang boleh dibicarakan dengan waras. Sebaleknya, kewarasanlah yang sepatutnya membicarakan ketenangan. Tidak cukup dengan itu, semangat kewarasan jugalah yang sentiasa mendahului penampilan terbaik dalam diri seorang manusia.

Nah, di sinilah faedahnya akal. Akal, yang dari perspektif sekelompok manusia-agama, telah dicirikan dengan gambaran yang mengugat keimanan; menakutkan; serta mengusik kerukunan agama. Tetapi bagi sekelompok lain, akal bukanlah dalam paparan sebegitu rupa. Akal adalah sahabat, bukannya Der Alleszermalmer. Tanpa akal yang murni, tidak mungkin kita dapat membanirkan pemikiran kefalsafahan.

Ya, sememangnya akal adalah makhluk misteri meskipun darinya terlahir tradisi ijtihad. Takrif tentang apa itu akal juga sampai sekarang maseh tetap dibicarakan oleh para failasuf. Tidak habis-habis! Dan, menerusi kefalsafahan, pemikiran keagamaan kemudiannya mulai mengakar; merimbun; dan mengisi ruang-ruang kemanusiaan.

Sebab itu, agama pastinya tidak mungkin akan berkembang jika akal diletakkan sebagai pencabar wahyu. Soalnya, di sisi manakah ‘semulia-mulia ciptaan’ ini boleh dianggap bertentangan dengan kalamulLah? Atau hanya kita saja yang tidak mampu mendarihalkan batas-batas pengetahuan kita?

Lantaran itu, dari satu aspek, Petar Kocic pemuisi besar dari Banja Luka, Bosnia Herzegovina itu punya satu kesetaraan dengan penghuni ‘rumah kebebasan’. Jika Ali dan Fatima itu sempat tenang sebelum berhijrah alam, maka barangkali Kocic turut menikmati saat-saat yang persis, kalaupun tidak lebih. Jika tidak, masakan Kocic dapat merangkapkan kehidupan kehambaan di akhir-akhir kematiannya.

Mungkinkah Kocic pernah membaca ujaran Nabi, “akal adalah rasul dalam diri kita?” Atau mungkinkah juga Kokic pernah menemukan hubungan antara qana'ah dengan rasa kehambaan dalam Nahjul Balaghah? Kita tidak tahu. Dan, kita tidak pernah tahu. Yang kita mengerti adalah bahawa rasa kehambaan seperti Kokic ini yang akhirnya menuntun keadilan buat unsur akal dalam diri kita.

Tapi, bagaimana pula dengan kemutlakkan unsur pengalaman sebagai lawan kepada unsur akal? Oh, tidak! Bukankah Immanuel Kant—dalam Kritik der reinen Vernunft—sendiri pun tidak pernah menganggap pengalaman sebagai sesuatu realiti yang mutlak? Lainlah kalau ada di kalangan kita sendiri yang cuba mengimbangi pandangan Kant tersebut menerusi lembaran-lembaran Falsafatul Akhlaq.

Cuma, siapakah mereka yang panjang akal sedia menekuni Falsafatul Akhlaq Murtadha Muthahhari demi mencari sebahagian huraian antara akal-pengalaman? Barangkali hanya kalangan mereka yang berani terasing saja ada menyimpan jawapannya.

Wednesday, September 12, 2007

19 Ramadhan

Dalam kitab Iqbal, tercatat bagaimana Imam Ali al-Redha yang mengungkapkan kembali dialog antara Nabi Muhammad saw dengan insan yang dihargainya, Imam Ali bin Abi Thalib.

Kata al-Redha, pernah Imam Ali bertanya, “Ya Rasulullah, amalan apakah yang terbaik pada bulan Ramadhan ini?” Rasulullah saw membalas, “Wahai Abul Hassan, amalan yang paling afdal dalam bulan ini adalah berbuat saleh dan menjauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Allah swt.”

Kemudian, tiba-tiba Rasulullah saw menangis. Melihat keadaan itu, lalu Imam Ali bertanya, ”Wahai Rasulullah, apa yang membuatmu menangis?” Setelah itu Rasulullah saw menjawab, ”Wahai Ali, yang membuatku menangis adalah apa yang kelak menimpamu dalam bulan ini. Ketika engkau sedang melaksanakan solat, berbicara langsung dengan Tuhanmu, maka orang yang paling celaka akan menebasmu dengan pedangnya, dan waktu itu janggutmu merah kerana percikan darahmu sendiri.”

Tanpa rasa gementar, Imam Ali bertanya lagi, ’Wahai Rasulullah, apakah agamaku selamat pada hari itu?” Balas Rasulullah saw, ”Ya, keimananmu selamat!”

Sunday, August 12, 2007

Tema-tema Ali Shari’ati

“Dengan nama Allah, Tuhan Muhammad, utusan terakhir yang mempunyai kesedaran, kemampuan dan kemerdekaan. Tuhannya Imam ‘Ali, teladan muslim sejati, korban penindasan, pemimpin umat manusia.

Dengan nama Allah, pencipta rumah Fathimah yang dengannya kita mengharapkan kebebasan, rumah kecil yang sama besarnya dengan seluruh alam raya.

Dengan nama Allah, Tuhannya Abu Dharr, contoh seorang mustadha’fin, rakyat yang tertindas masa silam dan masa kini; Tuhan dari mereka yang sepanjang sejarah telah menderita dan mengalami seksaan, dan mereka yang sekarang tetap menahan kesengsaraan sampai zuhurnya kembali Imam Kedua Belas. Allah milik mereka yang telah dipisahkan dari harta dunia sepanjang sejarah. Meskipun miskin, mereka selalu mengikuti jalan Ibrahim dan mewarisi kemampuan berjuang untuk mencapai kebebasan dari masa Adam sampailah Husayn, dari yang terakhir itu sampai alam baqa’, mereka akan terus berjuang untuk menyelamatkan umat manusia.” — Ali Shari’ati (1986), What is To Be Done: The Enlightened Thinkers and Islamic Renaissance

Latar Awal Pemikiran

Membaca Ali Shari’ati—sama ada latarnya, karyanya, mahupun seruannya—adalah seperti membaca beragam wawasan baru dalam pemikiran Islam. Tema-tema yang disemarakkannya sering saja mengundang rasa gementar, lantaran sisi pencerahannya dari pesanannya serta sisi meresahkan bagi mereka yang berada berseberangan.

Lazimnya, tema-tema Shari’ati bukanlah baru secara per se, tetapi lebih berupa pemugaran kembali keaslian pemikiran yang sekian lama tertanam dalam tradisinya. Bicara Shari’ati dalam beragam tema—tentang raushanfekran, tentang dialektik Marxisme, tentang ’irfan dan futuwwat, tentang ekstansialisme, tentang muslimah ideal, tentang humanisme, tentang filsafat hijrah, tentang mustadh’afin, tentang intizhar, tentang dimensi du’a, tentang anti-imperialisme, tentang kritik agamawan, tentang fungsi imamah dan khalifah, tentang filsafat hajj, tentang shia alavi dan shia safavid, tentang shahid—kesemuanya rata-rata kelihatan berlingkar dalam satu nada: tawhid, atau bahasa lainnya, monoteisme.

Kini persoalan pertama yang wajar dikemukakan ialah, bagaimana Shari’ati mampu berbicara tentang tema-tema ini dalam satu wawasan yang sangat menyegarkan? Memang, dikira tidak ada jawapan yang paling tepat melainkan jawapan dari guru pertamanya sendiri.

Menurut Laleh Bakhtiar (1996) dalam Shariati on Shariati and the Muslim Woman: Who Was Ali Shariati?, guru pertama Shari’ati adalah Muhammad Taqi Shari’ati, ayahnya sendiri. Ayahnya yakin dan percaya, latar Shari’ati sewaktu kecil inilah yang membentuk bingkai pemikirannya di hari-hari kemudian. Malah, Shari’ati pernah beberapa kali mengungkapkan betapa berharganya khutub khanah milik ayahnya terhadap khazanah pengetahuan yang tersemat dalam dirinya, yang kata Shari’ati lagi, setiap kata-kata di helaian buku-buku tersebut masih diingatinya sampai dewasa.

Tambah Laleh Bakhtiar tersebut, ayah Shari’ati pernah bercerita, saat Shari’ati masih lagi kanak-kanak, bagaimana setiap waktu tengah malam ia sering menjenguk dan menasihati Shari’ati agar menyambung saja bacaannya keesokan harinya. Lalu ayahnya memadamkan lampu bilek Shari’ati. Namun begitu, kemudian di awal pagi, sekali lagi ayahnya kembali ke sana, didapati bilek lampu Shari’ati cerah semula.

Malah, Ali Rahnema (2000) dalam An Islamic Utopian: A Political Biography of Ali Shari’ati turut merakam sumbangan khutub khanah ayahnya pada Shari’ati. Kata Rahnema, di sana Shari’ati telah berkesempatan membaca banyak karya-karya besar. Ini termasuklah Les Miserables (Victor Hugo), Mathanawi (Jalaluddin Rumi), berjilid-jilid buku Vitamins dan History of Cinema (kedua-duanya diterjemahkan oleh Hasan Safari), Great Philosophies (diterjemahkan oleh Ahmad Aram), Zan-e Mast, Tadzkirat al-Aulia (Fariduddin Attar), dan lain-lain lagi.

Tidak cukup latar itu sahaja, menurut Syaikh Ali Agha Tehrani, salah seorang agamawan yang dihormati di waktunya, sepertimana yang sekali lagi dikutip oleh Laleh Bakhtiar (1996) sendiri, hampir kesemua tulisan-tulisan Shari’ati hakikatnya terangkum dalam garisan keselanjaran fikiran. Syaikh Tehrani melakukan pemerhatiannya terhadap dua buah buku shahid yang ditulis Shari’ati. Menariknya, ungkap Syaikh Tehrani lagi, kebetulan dua buku tersebut—Abu Dharr-e Ghiffari: Khoda-parast-e Sosialist dan Hurr—adalah buku pertamanya dan juga buku terakhirnya, yang masing-masing memiliki gaya bahasa dan seruan yang sama. Kata Syaikh Tehrani:

”Keruhanian dan kualiti kemanusiaan bagi sarjana dan mujahid agung, Ali Shari’ati adalah sangat mengagumkan fikiran kita. Kegeligaan, keyakinan, keikhlasan, kesedaran, ketekunan, kepastian jalan yang telah diambilnya... Diamati, menerusi kerjanya yang pertama sehinggalah kepada kerjanya yang terakhir, semuanya mempunyai kesatuan matlamat dan haluan.”

Dari pengaruh sewaktu kecil di ”bumi kesyahidannya” (Mashhad) inilah, pemikiran Shari’ati terbina serta menjadi binaan kosmologi tema-temanya. Biarpun setiap fasa kehidupannya sarat dengan penekanan pengalaman yang berbeza, tetapi kerangka pemikiran Shari’ati masih tidak lari dari monoteisme. Umpamanya, sewaktu di peringkat sekolah tinggi dan universiti, Shari’ati pernah terhimbau dengan ide-ide Marxisme yang dibawa menerusi beberapa gerakan kiri seperti Nehzat-i Khodaparastan-i Sosialist, Hizb-e Tudeh, dll.

Menerusi idealog Marxisme Iran, Taqi Arani terutamanya, Shari’ati mula membaca bahan-bahan terjemahan revolusioner Marxisme yang akhirnya mendorongnya meminjam beberapa jargon-jargonnya dalam sebahagian besar analisa Islamnya. Barangkali dari tempias revolusioner inilah, Shari’ati pernah terlibat dalam Nehzat-e Moqavemat-e Melli, sebuah gerakan yang mendukung Mosaddeq. Ketika itu, para mahasiswa yang mempunyai kecenderungan ini terkenal dengan panggilan daneshamuzan-e melli.

Demikian juga ketika melanjutkan pengajiannya di Universiti Sorbonne, Perancis. Seperti yang dinyatakannya sendiri, Shari’ati sempat bergelut, teruja serta terinspirasi dengan pengaruh luar biasa eksistensialisme yang kental diwacanakan oleh gurunya yang pernah menolak hadiah Nobel, Jean Paul Sartre.

Begitu juga dengan aktivisme Che Guevara, yang dapat menggamit keterpesonaan Shari’ati sehingga membawanya kepada penerjemahan karya Guerrilla Warfare dalam bahasa Parsi. Di Sorbonne itulah juga, Shari’ati bergaul akrab dengan beberapa pemikir lain seperti Louis Massignon, Frantz Fanon, Jacques Berque, Albert Camus, dll. Namun, pengaruh terhadapnya yang paling tajam adalah menerusi Gurvitch, professor sosiologinya, yang sampaikan Shari’ati kerap dikenali di kalangan teman-temannya sebagai Gurvitchian.

Demikian deretan latar Shari’ati. Hamparan latar pemikiran yang rencam dan kadangkala mengelirukan. Terdidik dibawah naungan agawaman, terangsang dengan dunia aktivisme-politik semenjak remaja, kemudian bergulat dengan idealogi barat sewaktu menuntut di peringkat tinggi, dan akhirnya mencurahkan segala pengalamannya itu kembali kepada masyarakat terbanyak. Kerana itu, satu aspek tentang Shari’ati yang ingin sekali dicerahkan ialah ialah dimensi kompleksnya, dimensi yang kadangkala sukar dimengertikan oleh mana-mana kelompok sekalipun: yang pada satu kelompok mendakwa Shari’ati merupakan simpatisannya, dan pada saat yang berbeza memusuhinya pula.

Justeru itu, mungkin pendekatan yang paling saksama untuk menelaah terhadap apa yang dibicarakan oleh Shari’ati bukanlah menerusi satu tema tunggal, sebaliknya dari beragam tema, yang mana kesemua tema-tema ini tercantum dalam nada tawhid.

Raushanfekran

Raushanfekran mungkin merupakan gagasan yang paling menarik dari banyak pemikiran Shari’ati. Raushanfekran, pernah satu ketika mencemik emosi sinis dari kalangan akhund di Iran, terutamanya dari kalangan pengikut Ayatollah Milani yang sangat terkenal dengan garis kerasnya. Dalam makna bahasa asalnya, Raushanfekran, adalah merujuk kepada potret seorang intelektual yang tercerah, dan ia juga merupakan bahasa tanding Shari’ati sewaktu mahu meruntuhkan hagemoni politik-agama para akhund dalam pelbagai kelas masyarakat.

Dalam analisa tentang raushanfekran ini, Shari’ati cuba membuka wacana filsafat sejarah, atau khususnya sejarah masa depan. Ini kerana, menurut Shari’ati (1986) dalam What is To Be Done: The Enlightened Thinkers and Islamic Renaissance, setiap perubahan sejarah yang berlaku di kemudian hari, hakikatnya merupakan dampak dari pengaruh sejarah yang terjadi sebelumnya. Jadi, corak sesebuah masyarakat dewasa ini sebenarnya mampu menjadi ukuran serta sukatan kepada sesuatu yang bakal berlaku di masa depan.

Walau bagaimanapun, timbul pertanyaan, siapakah yang mampu memimpin perubahan sejarah ini? Barangkali, di sinilah Shari’ati meletakkan beban tersebut terhadap kaum raushanfekran ini. Barulah setelah itu hadiarnya pertanyaan yang berikutnya pula, siapakah rausyanfekran tersebut? Lalu Shari’ati mendefinisikan raushanfekran:

”Siapa orang yang tercerah itu? Mudahnya ia adalah mereka yang sedar tentang keadaan kemanusiaan di waktunya, serta arus sejarah dan kemasyarakatnya. Kesedaran seperti inilah dengan sendirinya akan memberikannya rasa tanggungjawab sosial. Jika kebetulan ia dari kalangan yang terpelajar, maka ia akan lebih berpengaruh, dan begitulah sebaliknya. Tapi ini bukan hukum umum. Memang, kadangkala mereka yang tidak terpelajar pun dapat memainkan peranannya yang jauh lebih signifikan.”

Malah, dalam bukunya A Glance at Tomorrow’s History, Shari’ati (1985) turut menjelaskan lagi gagasan raushanfekran ini menerusi The Cone Model. Dalam model ini, Shari’ati meletakkan kaum raushanfekran pada tingkat yang paling atas, sementara masyarakat khalayak terletak pada dasar yang paling bawah.

Dari paparan ini, ternyata Shari’ati cuba membayangkan bagaimana tebalnya pengaruh yang mampu digerakkan dari kalangan kaum raushanfekran ini, meskipun mereka terdiri dari kelompok yang minimum. Walau bagaimanapun, dalam gagasan ini juga, terdapat tuntutan agar disemak kembali hubungan antara kaum raushanfekran ini dengan masyarakat. Ini kerana, perubahan dalam masyarakat hanya akan terintis sekiranya kaum raushanfekran ini mengambil aksi sosial. Aksi sosial—yang juga istilah yang akrab dengan Alain Tourine, seorang sosiolog Perancis—seharusnya bersifat kolektif antara raushanfekran dan masyarakat.

Rentetan itu, pendekatan perubahan yang mahu direncanakan oleh raushanfekran seharusnya tidak statik dan mendatar. Pendekatan sewajarnya diatur berdasarkan kepada corak dan arus masyarakat saat perubahan tersebut mahu digerakkan. Sebab itu, dalam kes Iran, Shari’ati melihat peranan dari kaum raushanfekran masih belum sepenuhnya terlimpah dalam semua struktur masyarakat. Malah, takat pengalaman Iran waktu tersebut juga nyata berbeza dengan pengalaman Eropah pada saat abad ke-18 dan ke-19.

Sebagai contohnya, Shari’ati (1982) telah memaparkan perbezaan ini dalam Man and Islam. Dalam buku tersebut, Shari’ati merumus bahawa pengalaman Eropah pada waktu tersebut sangat dipengaruhi oleh beberapa faktor. Ini termasuklah pengaruh kelompok terdidik yang menonjol di Eropah waktu tersebut, yang boleh dianggap sebagai jurubicara masyarakat. Begitu juga percikan industrialisasi yang melanda Eropah sehingga perkembangan ini berjaya merapatkan jurang ekonomi di kalangan kelas masyarakatnya. Selain daripada itu juga, bagi Shari’ati lagi, kesedaran sosial yang wujud kalangan proletar dalam masyarakat Eropah pada waktu tersebut sangatlah tinggi. Ekoran dari kombinasi inilah yang kemudiannya melukiskan perbezaan pengalaman Iran saat Shari’ati berbanding dengan pengalaman Eropah pada abad ke-18 dan ke-19.

Dari itu, rumusan untuk merujuk kepada pendekatan terbaik dalam melaksanakan perubahan masyarakat ialah dengan menimbang pendekatan yang paling mesra zaman. Ini kerana perubahan masyarakat dengan mengunakan kaedah tentusisme sejarah ini, adalah bukan berteraskan kepada susun atur masyarakat: feudalisme, bourgeonisme, kapitalisme, imperialisme, sosialisme dan seterusnya. Sebaliknya, menerusi bantuan model kon tersebut, kita harus terlebih dahulu menentukan sejauh mana peranan kelas-kelas masyarakat dan apa arus di bawahnya. Yang harus diteliti juga ialah, siapakah dari tingkat-tingkat kon tersebut yang layak berada di puncak, siapakah yang berada di pertengahan, dan siapakah pula yang berada pada tingkat dasarnya?

Dialektik Marxisme

Dalam mana-mana buku Shari’ati, termasuklah bukunya tentang Hajj sekalipun, kerapkali kita akan menemui jargon-jargon Marxisme yang dipinjamkan dalam analisa Islam. Fenomenon ini mungkin menjadi bukti kuat betapa saratnya pengaruh pemikiran Marxisme yang bersemi dalam weltanschauung Shari’ati.

Jika menurut David Zeidan dalam 'Ali Shari'ati: Islamic Fundamentalist, Marxist Ideologist and Sufi Mystic, Shari’ati merupakan seorang idealog yang punya latar Marxisme. Malah, Shahanshah Aryamehr menerusi Sazman-i Ittila’a-i Va Amniyat-i Keshvar (SAVAK) serta kelompok akhund di hauzah-hauzah juga sering memomok-momokkan Shari’ati sebagai pemuka dari gagasan Marxisme-Islam. Memang, momokkan ini masing-masing ada tujuannya yang tersendiri: baik dan buruk.

Tidak dinafikan, dari satu sisi yang lain, panggilan Marxisme-Islam terhadap Shari’ati ini mungkin benar. Bahkan, Shari’ati dalam beberapa keadaan, seperti mengesahkan konsep pertarungan kelas seperti yang dikemukakan dalam Das Kapital dan Communist Manifesto, lalu menggunakan terminologi tersebut dalam analisa sejarah Islam.

Buku pertamanya Abu Dharr-e Ghiffari: Khoda-parast-e Socialist ternyata sarat dengan dialektik borjuasi-proletar. Bezanya, Shari’ati menggunakan bahasa al-Qur’an—mustadh’afin dan mustakbirin—sebagai tukaran kepada borjuasi-proletar. Bertitik tolak dari sini juga, kita dapat lihat bagaimana begitu sosialistiknya Abu Dharr dalam pemikiran Shari’ati. Ungkap Shari’ati dalam buku pertamanya itu:

”Hari demi hari, aristokrasi, ekploitasi, pembaziran, kemiskinan, jarak serta perpecahan masyarakat, menjadi semakin lebar, dan propaganda Abu Dharr yang tumbuh semakin lama semakin meluas dan akhirnya mengoncang rakyat dan mereka yang tertindas. Mereka yang lapar telah mendengar dari Abu Dharr bahawa kemiskinan bukanlah takdir dari Tuhan yang tertera pada dahi, atau juga merupakan ketentuan nasib dan takdir dari langit, tetapi puncanya adalah kinz, pemunggahan modal.”

Tidak cukup dengan itu, seperti yang diungkapkan oleh Ali Rahnema, Hamid Dabashi, atau Hamid Algar sendiri, hubungan Shari’ati dengan Marxisme lebih bersifat cinta-benci. Kita dapat menyemak andaian ini ada kebenarannya menerusi bukunya yang paling kontroversi, Insan, Islam va Maktabha-yi Magrib Zamin. Dalam buku tersebut, Shari’ati menganggap Marxisme adalah sistem yang sangat memikat ekoran sifatnya yang tentuistik sejarah. Dari satu penjuru, pandangan pertarungan kelas yang dikemukakan oleh Marxisme tampak ada kebenarannya.

Namun begitu, Shari’ati kemudiannya melampirkan pesanan dalam buku yang sama itu, bahawa penolakan Marxisme terhadap peranan agama, atau khususnya terhadap dimensi keruhanian di dapati telah meninggalkan satu kekosongan yang sangat besar dan menimbulkan kegersangan. Bingkai perjuangan kelas akhirnya lebih bersifat horizontal, lantas mengabaikan sifat vertikalnya. Nah, adakah pengamatan Shari’ati ini dibenarkan oleh sejarah, lebih-lebih lagi sejarah bangsanya?

Jadi, kembali dalam pengalaman revolusi Islam Iran. Tentang revolusi ini, hampir semua pengamat politik sepakat bahawa Shari’ati telah memainkan peranan yang cukup bermakna sekali, sampaikan sewaktu kemuncak revolusi pada tahun 1978 dan 1979, rata-rata gambar yang menghiasi demostrasi adalah gambar Imam Khomeini dan Ali Shari’ati. Bahkan, Smith Alhadar dalam prakata salah satu buku Muhammad Khatami lebih radikal lagi berkesimpulan bahawa sekiranya Karl Marx masih hidup saat revolusi Islam Iran, tentu ia akan menilai kembali teorinya materialismenya, yang mana teorinya itu mengukuhkan rumus atheis. Ini kerana, Marx tidak pernah percaya bahawa agama dapat menjadi medium pengerak revolusi.

Sungguhpun begitu, kompleksnya pemikirannya Shari’ati tentang Marxisme tidak terlepas dari dikritik oleh rakannya sendiri. Murtadha Muthahhari (1983), yang pernah sama-sama dengan Shari’ati di Husainiyyah Irsyad cuba menunjukkan bahawa konsep pertarungan kelas dalam analisa Islam adalah sesuatu pendekatan pandangan yang lemah. Dalam bukunya, Dar Sarwash Li at-Thiba’ah wa al-Nashir, Muthahhari telah menghuraikan pertarungan kelas bukanlah satu-satunya punca perubahan rakyat, atau revolusi rakyat.

Dengan membawa contoh revolusi yang mendorong pengangkatan Imam Ali bin Abi Thalib sebagai khalifah keempat, Muthahhari menyatakan pengangkatan Imam Ali hakikatnya bukanlah didasari oleh faktor kelaparan semata-mata. Di sebelah faktor tersebut, terdamping faktor-faktor lain yang turut sama mendorong perubahan tersebut. Latar yang sama juga kita dapat semak menerusi percikan dan kegigihan perjuangan Abu Dharr, Husayn Bin Ali, Hurr, dll, yang mana masing-masing bertarung dengan status quo dengan kemuliaan hasrat yang unggul: semata-mata kerana ingin menegakkan cita-cita agamanya, atau paling kurang kerana ingin mempertahankan hak kebebasannya.

’Irfan dan Futuwwat

Dalam tradisi kita, atau lebih tepat lagi dalam faham agama kita, tentu tidak ramai yang mengenal ‘irfan, mahupun futuwwat. Hal ini mungkin berlaku kerana kita lebih sering terdedah dengan istilah yang lain, seperti tasawwuf, gnosis, sufi, ataupun tareqat. Tradisi ’irfan merupakan pengaruh dari Ibn ’Arabi yang telah kemudian ada meresap masuk dalam kebudayaan Parsi menerusi beberapa tokoh.

Namun, tokoh yang paling terkenal dan paling menghimbau Shari’ati ialah ’Ayn Qudat al-Hamadani, seorang sufi bersemangat yang pernah menuntut di bawah Hujjatul Islam Imam al-Ghazzali. Timbuhan karya-karya Al-Hamadani begitu dijiwai oleh Shari’ati, terutamanya dari puisi-puisinya. Bahkan, diduga terdapat minat lain yang dizahirkan oleh Shari’ati terhadap al-Hamadani ekoran perjalanan hidupnya yang revolusioner: yang pernah dituduh kafir, dihukum bunuh, jasadnya dibakar dan abunya ditebarkan. Memang, semuanya kerana kepercayaan dan pengalaman ’irfannya.

Pengaruh al-Hamadani yang paling ketara terhadap Shari’ati dapat dikesan dalam Kavir, sebuah bukunya yang ditujukan pada dirinya sendiri, yang bertentangan dengan Eslamshenasi yang ditujukannya pula pada masyarakat (Ali Rahnema, 2000). Dalam Kavir, atau terjemahan dari bahasa Parsinya adalah Gurun, ternyata begitu sarat dengan teosofi yang menampilkan sebuah bahasa kiasan serta kehalusan puisi sehinggakan disifatkannya Kavir merupakan cerminan dari bahasa Ibn Arabi. Dalam Kavir ini, Shari’ati membayangkan sebuah pandangan ’irfani:

”Awan mulai bergerak
Sangat kuat, berkilau, meliuk membumbung
Asap
Puting beliung
Pusar air
Jilatan api
Zarah akbar bernama Semesta
Ada mentari di pusatnya
Dalam orbitnya, bintang-bintang dan kuang-kunang berputaran”

Selain daripada itu, futuwwat dari aktivis sufi juga mempersonakan Shari’ati. Bagi Shari’ati, gerakan futuwwat yang didasari kepada kecintaan kepada rasa kemanusiaan dan rasa kemestian dalam menyebar kebajikan. Dalam pengalaman Iran, gerakan ini telah terbentur dalam pelbagai zaman dan tahap. Di samping itu, para futuwwat ini turut percaya pada konsep fatiyan atau javanmardan, yang merupakan konsep peleburan diri dalam kerja-kerja yang mulia.

Barangkali konsep ini mungkin tercetus daripada istilah fata, yang menurut Imam al-Qusayri membawa makna, ”memecahkan berhala”. Jadi, dalam fahaman ’irfani, istilah fata atau fatiyan adalah suatu usaha yang dilakukan untuk membebaskan masyarakat dari penindasan tirani, membela mereka yang lapar, serta sewajarnya berorientasikan keruhanian. Maka, kerana itu, seorang fatiyan harus memaknai kehidupannya dengan satu tujuan. Mungkin puisi Shari’ati dari One Followed by Eternity of Zeroes (1980) ini dapat menjadi cermin keluhuran perjuangan fatiyan:

“Jadilah manusia agung
Bagai seorang Shahid
Seorang Imam
Bangkit
Berdiri
Di antara rubah, serigala
Tikus
Domba
Di antara kosong-kosong
Bagai Yang Satu”

Tidak ketinggalan juga, fatiyan boleh saja dihuraikan sebagai gabungan cinta Sufi kepada Tuhan, cinta Sufi kepada ciptaan-ciptaanNya, cinta Sufi untuk melawan kezaliman. Imam Ali, bagi sebahagian besar fatiyan dianggap sebagai model terbaik dari lakaran seorang yang ’irfani. Bahkan, dalam karyanya yang sangat menawan, Ali, Shari’ati sendiri turut mengakui bahawa Imam Ali adalah simbol terbaik futuwwat selepas Nabi. Imam Ali juga, bagi Shari’ati lagi, adalah manusia teladan, manusia yang didambakan oleh zaman. Imam Ali, bukannya deus ex machina, tetapi ia adalah representant de’l humanite. Imam Ali bukannya Promethues, tetapi ia adalah nyata, hidup serta memberkas dalam sanubari setiap peradaban.

Kritik terhadap Agamawan

Ketika revolusi Islam Iran, ada dua kelompok yang saling bergandingan. Kelompok pertama adalah kalangan intelektual, yang bersama-sama Shari’ati terdapat Mehdi Bazargan, Bani Sadr, dll. Manakala kelompok yang kedua, adalah kalangan agamawan, yang terdiri dari Imam Khomeini, Murtadha Muthahhari, Mahmoud Taleqani, Husayn Baheshti, dll. Hal yang perlu dibezakan, meskipun terdapat aspirasi yang sama dalam tekad untuk menumbangkan regim pemerintah, namun kedua kelompok ini masing-masing memiliki bingkai idealogi yang berbeza, malah kadangkala bercanggah sama sekali. Atas nama melawan kezaliman Shahanshah Aryamehr, memang mereka bersekutu. Tetapi, itu tidak mengelakkan kedua-dua kalangan ini dari bersisih.

Shari’ati ada rekod menarik dalam perselisihan ini. Kritiknya pada kalangan agamawan tercatat sangat keras sekali. Latarnya yang mengenyam pendidikan tradisional saat di Mazinan, ditambah dengan kekuatan penguasaan beberapa idealogi Barat, menyebabkannya menyimpan cara pandang terhadap agamawan di Iran dalam wajah yang negatif, sehingga serangan-serangan Shari’ati akhirnya mengundangkan reaksi-reaksi yang tidak kurang beratnya. Jika agamawan memandang Shari’ati dengan label-label agama; crypto-sunni, agen wahhabi, pengikut babisme, dll, maka sebaliknya Shari’ati memandang agamawan sebagai mereka yang senang menampalkan diri mereka dengan gelaran-gelaran aneh; Ayatollah al-Uzhma, Ayatollah, Hujjatul Islam, dll.

Ekoran sikap sinis dengan kaum agamawan inilah, Shari’ati memanggil mereka sebagai akhund, yang mereka ini senang-senang mengunakan jubah agama semata-mata untuk ”mengenyang perut masing-masing” di waktu khalayak sedang ”kelaparan kepimpinan”. Umpamanya, dalam Eslamshenasi, Shari’ati mengungkapkan:

”Sangat perlu kita menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan Islam itu. Adakah kita maksudkannya dengan Islam Abu Dharr, bukan Islam Khalifah: Islam keadilan dan kepimpinan yang cemerlang, bukannya Islam penguasa, aristokrasi, dan kelas elit; Islam kebebasan, progresif dan kesedaran, bukannya Islam perhambaan, penundukkan dan pasif; Islam kaum mujahid, bukannya Islam kaum ulama; Islam kebajikan, tanggungjawab dan protes, bukannya Islam yang taqiyyeh, wasilah ulama’ dan takdir Tuhan semata; Islam perjuangan untuk keimanan dan pengetahuan, bukannya Islam yang menyerah dogmatik dan taqlid kepada ulama’.”

Begitu juga sewaktu berbicara tentang Tashau Alavi va Tashau Safavi dan Mazhab Alyhe Mazhab, yang dipercayai ditujukan khusus untuk membongkar kemunafikan para agamawan ini. Mithalnya, kita dapat lihat dengan jelas sekali sewaktu Shari’ati ingin mengariskan perbezaan besar antara agenda dinasti penguasa yang memasyarakat Shi’ah versi mereka, dengan Shi’ah versi anjuran Imam Ali dan Imam Husayn.

Bagi Shari’ati lagi, ”Shiah Merah” adalah Shi’ah kesyahidan, sebuah lambang protes dan revolusioner. Shari’ati turut mengenang bagaimana selama berkurun-kurun penguasaan dinasti Safavid, mereka hanya meluaskan hagemoni elitnya, sementara para Alaviyyin dalam sepanjang sejarah tersebut juga adalah bertindak berlawanan: berjuang membebaskan Islam dari kongkongan istibdad-i ruhani. Malah, pada Shari’ati lagi, agamawanlah yang menjadikan Islam sebagai khordeh-e burzuazhi yang mengeksploitasi khoms, sahm-i Imam, dll. Tampaknya, kritik keras Shari’ati seperti inilah yang tidak menyenangkan kaum agamawan di Iran.

Tapi, dalam sejarah Iran, Shari’ati bukanlah individu pertama yang mengkritik despotisme agamawan Iran. Sebelum itu terdapat Jalal-e Ahmad, Ahmad Khosravi, dll. Tambahan lagi, di waktu-waktu kemudian dari Shari’ati sekalipun, kelihatan kritikan terhadap peranan agamawan di Iran masih lestari menerusi gelombang pemikiran-pemikiran dari Abdolkarim Soroush, Morteza Montazeri, Bani Sadr, dll.

Umpamanya, makalah Hashem Aghajari (2002), From Monkey to Man: A call for Islamic Protestantism tampak sekali dengan disebarkan dengan niat untuk menyambung cemuhan terhadap dominasi kaum agamawan Iran mutakhir. Bagi Aghajari lagi, kaum agamawan ini dengan mudah saja mendakwa kalangan mereka sebagai mewakili Islam Asli, walhal mereka hanyalah sebahagian dari pewaris Islam Tradisional. Lebih menarik lagi, kita dapat meneliti sebahagian besar bentuk pemikiran Aghajari ini mempunyai kemiripan pemikiran Shari’ati. Ini berbeza dengan Abdolkarim Soroush (2000), yang mengakui dalam Reason, Freedom and Democracy in Islam: Essential Writings of Abdolkarim Soroush bahawa, ”Shari’ati hanya mahu menjadikan Islam itu gemuk, manakala ia (Soroush) adalah sebaliknya, iaitu mahu menjadikan Islam itu kurus.”

Memang, rumusan Soroush itu tidak pernah menjadi soal buat Pouran-e Shari’ati. Tidak kira menjadikan Islam itu gemuk atau kurus, kesannya masih tetap sama. Kesannya adalah seperti sejarah perit perlawanan Shari’ati terhadap agamawan. Sejarah inilah yang melandaskan hujah Pouran-e Shari’ati bahawa sekiranya Shari’ati masih hidup pasca-Revolusi Islam Iran 1979, tentunya ia akan turut mendekam dalam penjara. Andaian isteri Shari’ati dalam A Portrait of a Life! ini mungkin ada kebenarannya. Selepas revolusi Islam Iran 1979, terdapat konflik antara kaum intelektual dengan kaum agamawan. Kaum intelektual mulai terpinggir dari Jihad-e-Sazandegi. Keadaan inilah yang dinamakan oleh kalangan Mujahidin-e Khalq sebagai ”revolusi yang akhirnya menelan anak revolusi”.

Semua kalangan percaya, setiap revolusi harus ada korban. Dan korban yang pertama adalah Shahanshah Aryamehr, sementara korban yang seterusnya ialah mereka yang berbeza dengan akhund. Malangnya, korban revolusi Islam Iran bukan hanya datang dari sepihak, sebaliknya merata pada semua. Husayn Beheshti, Muthahhari, Javad Bahonar, Ali Raja’i adalah antara mereka menjadi korban pada balas dendam Munafiqin-e Khalq, iaitu gantian nama popular untuk Mujahidin-e Khalq. Tepat sekali, percaya pada revolusi itu ada rapuhnya: kerana sekuat manapun revolusi itu, tentunya akan ada sekam dari dalam!

Khatimah

Dalam semua tema pemikiran Shari’ati, barangkali tidak ada rumusannya. Tidak ada bicara akhirnya. Ini kerana, menurut kepercayaan Shari’ati sendiri, tidak ada kebenaran yang tidak boleh diralat. Hidup dan meralat pandangan adalah dua sisi yang selanjar, berterusan dan suatu kerja yang tiada hentinya.

Biarpun pendirian Shari’ati ini jelas berbeza dengan Muthahhari, sepertimana yang telah diungkapkan sendiri oleh Hamid Algar dalam salah satu prakata buku Shari’ati, namun masing-masing tetap punya sumbangan yang tersendiri. Hampir pasti, kebesaran Shari’ati dalam konteks memugar keaslian pemikiran Islam tidak harus dinafikan. Inilah yang dinukilkan sendiri oleh murid Mohammad Arkoun, Robert D. Lee (1997) dalam Overcoming Tradition and Modernity: The Search for Islamic Autenticity, bahawa wacana Shari’ati antara tradisi dan kemodenan merupakan antara idea utamanya yang kian menarik untuk dicermati.

Itu Shari’ati: yang lahir pada 1933 dan shahid pada 1977. Jenazahnya di bawa dari Southampton dan diabadikan di sebelah maqam Zaynab al-Kubra. Imam Musa al-Sadr pula memimpin shalat akhir terhadapnya. Shari’ati manusia misteri dan kompleks. Selama 44 tahun, perjalanan kehidupan, perjuangan dan kematiannya penuh dengan catatan warna-warni. Tapi, dalam perjalanan singkat itulah yang menyerlahkan warna kental pada diri Shariati.

Warna Shariati adalah warna kelabu. Pengalaman Ali Rahnema (2000) dalam buku yang paling komprehensif tentang Shari’ati, An Islamic Utopian: A Political Biography of Ali Shari’ati barangkali dapat mencoretkan sedikit tentang kekelabuan Shariati ini. Ungkap Rahnema, saat mahu mencari manuskrip dan kumpulan-kumpulan catatan Shari’ati bazar-bazar di pinggir Tehran, terdapat mereka yang sudi menyerahkan bahan tersebut padanya—hanya semata-mata kerana ingin Rahnema menjernihkan segala kekelabuan pada diri Shari’ati itu.

Benar, Shari’ati adalah manusia kelabu, juga sekaligus manusia yang beragam-dimensi. Barangkali catatan muafakat terbaik buat Shari’ati ialah ia juga adalah seorang revolusioner, sama seperti ikonnya, Abu Dharr al-Ghiffari. Hal ini hamper pasti, kerana itulah yang dilukiskan pada dirinya sendiri dalam permulaan buku What is To Be Done: The Enlightened Thinkers and Islamic Renaissance. Kata Shari’ati dengan mengugah:

“Mengikuti tradisi Abu Dharr, yang saya anggap guru saya, yang pemikirannya, kefahamannya tentang Islam dan ajarah Shi’ah, dan cita-cita serta keinginan-keinginannya saya tiru. Maka saya mulai perbicaraan ini atas nama Tuhan kaum mustadh’afin.”

Demikian Shari’ati: sendiri di waktu kecilnya, dan sendiri juga di saat terakhirnya. Tragik, bukan? Memang, bukankah itu hukum buat mereka yang mahu mengikuti jalan Abu Dharr? Jalan yang panjang, berliku dan memeritkan! Tetapi, itulah jalan tawhid!