Berseh, adalah sebuah ketakpatuhan warga (civil disobedience). Dalam amalan demokrasi, ini adalah batas kepada sebuah kesabaran warga, juga jawapan kepada sebuah kedegilan pemerintah. Tanpa ketakpatuhan warga, fasisme akan diam-diam bertapak. Arkanum pun jadi kelaziman. Kita harus bersikap. Katakan saja "tidak!", --pada semua yang berbau fasisme!
Tuesday, August 31, 2010
Merawat Malaysia
Tatkala masharakat (Gesellschaft) makin rumit, lazimnya negara pula makin tak stabil.
Memang, kerumitan mampu mengugat kestabilan. Hal seperti ini sering berlaku ketika wujudnya konflik kepentingan antara kelompok (Gemeinschaft) dalam sesebuah negara (sistem politik bersama). Dan, usah malu-malu untuk kita menginsafi bahawa Malaysia kini tengah bergelut dengan perkembangan tersebut.
Tetapi, apakah ada jalan-keluar untuk kemelut ini, atau apakah kita dapat melakukan sebuah tindakan kesedaran bagi merungkaikannya? Barangkali, kita boleh berkilas balek pada sejarah negara, lalu mengamati arus masharakat dewasa ini di tanahair, serta cuba menawarkan alternatifnya.
Dalam sejarah modennya, Malaysia konon bermula dari gagasan Melayu-Islam. Sebetulnya, ini sebuah idea intelektual yang kental digagaskan dari Syed Muhammad Naquib al-Attas, sebelum di tangan Umno diangkat sebagai sebuah gagasan politik negara. Lalu, nyawa Malaysia yang terbentuk sering saja disandarkan pada Melayu-Islam, sembari disaluti dengan omongan, "turut menghargai kaum-kaum lain."
Bagaimanapun, sejarah dan omongan tak menghasilkan apa-apa. Shahdan, kita perlu menyedari bahawa ada sesuatu yang bergerak dengan denyut-zaman, iaitu masharakat. Sama seperti budaya, selama-lamanya masharakat tak pernah kaku pada satu bentuk, bahkan menuju kerumitan demi kerumitan.
Demikian juga, berpaut-erat pada nostalgia sejarah tak lagi merupakan mantik sistem politik yang sesuai dengan rakaman baru, meski diakui antara detik-detik sejarah itu sentiasa bergulir, serta punya berkesinambungannya.
Lantaran itu, dewasa ini negara kita sedang berdepan dengan ragam konflik kepentingan, yang amat menuntut bikinan sejarah baru; sebuah sistem-politik dengan konsep negara yang munasabah. Jadi, konsep Melayu-Islam sudah sangat sulit untuk bertahan bila berdepan sebuah sistem politik negara moden yang makin rasional.
Negara kita harus dirawat
Jadi, negara kita harus dirawat. Malaysia harus dirawat, sekiranya pun enggan dibina semula. Kita masih mampu merawatnya dengan meletakkan keabsahan sistem politik kepada inti konsep negara itu sendiri, iaitu dari rakyatnya, atau dari masharakatnya. Bukan lagi pada Melayu-Islam secara sepihak.
Namun, bagaimana tatacara (procedure) untuk merealisasikannya?
Jürgen Habermas filsuf teori sosial dari Jerman boleh membantu kita, menerusi dualisme sistem-politik dan Lebenswelt-nya. Dalam kata yang dipinjamnya dari fenomenologi Husserl, Lebenswelt itu merujuk kepada dunia-kehidupan, di mana setiap kelompok memiliki kesedaran tentang pandangan-hidup yang dihayatinya. Mithalnya, Melayu ada pandangan hidupnya. Cina juga begitu, dan India pun, serta kaum-kaum yang lain-lain.
Lebenswelt ini tentu boleh berkait dengan agama, atau dengan faham-faham lain, seperti yang akhirnya juga telah melahirkan lekatan antara Melayu-Islam. Mudahnya, setiap kaum berhak memiliki pandangan hidupnya, serta berhak memperjuangkan pandangan-hidup mereka ini ke arah membangun sebuah sistem politik negara. Hak ini harus terus dibenarkan, dan dipertahankan.
Memang penting untuk dipertahan dan dibenarkan, kerana kita tak mahu setiap kelompok memendam dendam yang hujungnya membibit konservatisme dan fundamentalisme. Sehubungan itu, setiap hal mestilah dibenarkan untuk diwacanakan dalam ruang awam. Dan, tiada lagi label, "isu sensitif," "mengugat keselamatan negara," "ketuanan Melayu" dan "bangsa pendatang".
Tentu, dari keterbukaan ini kelak akan bangkit persoalan: Bagaimana untuk mengawal ketegangan yang muncul dari perbezaan-perbezaan dalam masharakat ini? Untuk itu, sistem negara-hukum juga perlu dibangunkan berasaskan pada hukum yang terhasil dari wacana antara kelompok (kaum dan agama) tersebut. Ini bermakna, sistem-hukum bukan lagi digubal multak secara elit yang eksklusif (legislative).
Sebetulnya, apa kesan dari tatacara ini? Kesannya ialah masharakat pada akhirnya dapat membangun sistem hukumnya sendiri. Lalu, ini akan menerbitkan "rasa keterlibatan" dan menambah "tingkat kepatuhan" terhadap hukum tersebut. Sebab, masharakat merasakan ini adalah hukumnya, dan untuknya. Walhasil, dari Lebenswelt yang beragam, terbinalah sistem-politik yang tunggal.
Satu Individu wakili hasrat rakyat
Namun, malangnya, setelah separuh abad kita merdeka, kita tak begitu merasa memiliki negara ini. Kita tak pernah merasakan lantaran kita (rakyat) tak diajak untuk berdeliberasi dalam membangunkan sistem-hukum dalam negara ini. Yang kerap berlaku adalah: satu individu tertinggi (perdana menteri) mewakili seluruh fikiran dan hasrat rakyat. Yang muncul, fasisme.
Inilah lambang dari sebuah pemiskinan demokrasi, atau juga, sebuah manipulasi demokrasi.
Akibat ketempangan inilah juga, terdapat satu kelompok (mithalnya Melayu-Islam) yang ingin menguasai kelompok-kelompok lain menerusi jalan pintas kuasa politik. Mereka --dengan malas-- ingin membolot sistem politik negara ini. Sikap seperti ini sangat berbahaya, serta mendorong sifat tidak rasional dalam sistem-politik kita.
Malah, kesendengan ini diperkukuhkan lagi dengan sistem hukum-negara yang tak digubal secara benar. Hukum yang digubal tak melewati proses wacana rakyat, dan kita pun tanpa sikap kritis terus-menerus mempertahankan kesendengan ini. Bukannya membuka lahan wahana setara buat semua kelompok.
Justeru, melihat sistem-politik yang tempang sebegini terus bernafas, maka amat mustahillah konflik di Malaysia akan reda dengan tindakan sepihak. Konflik seperti ini pasti akan terus berlanjut, sampailah negara-hukum diabsahkan, dan sampailah jiwa masharakat merasakan mereka memiliki negara ini.
Negara kita, jujur saja, tak pernah merdeka pada-dirinya-sendiri. Hatta, takkan pernah, hinggalah kita dapat merawat sistem politik negara kita yang rawan ini. Sebaleknya, kemerdekaan yang hakiki itu pula, hanyalah lahir menerusi sebuah "tindakan keabsahan dari jiwa warganegara-nya." Dan ternyata, itu belum pun terlaksana.
Hari ini kebetulan hari kemerdekaan. Maka selamat merawat negara! [Malaysiakini, "Tiada Lagi Label 'Isu Sensitif'," 31 Ogos 2010]
Wednesday, August 25, 2010
Negara Islam, Sekular, Tak Ada?
Polemik negara Islam lawan negara sekular sebetulnya adalah perdebatan klasik yang muncul akibat kedangkalan politik kepartian Malaysia saja - khususnya PAS, DAP dan Umno. Kita sudah lelah dengan kedangkalan sebegini.
Tatkala PAS, menerusi Nik Abdul Aziz Nik Mat mahukan negara Islam, DAP pula, khususnya Karpal Singh inginkan negara Sekular. Mereka bercakaran sepanjang waktu pada sesuatu yang sebenarnya "tidak ada." Hakikatnya, kedua-dua pihak sedang melakukan kesalahan yang memalukan.
Mungkin kata "salah" tampak radikal. Tetapi ternyata dua suara yang berseberangan ini tidaklah mewakili dari hasrat keseluruhan, atau sekurangnya-kurangnya hasrat sebahagian besar warga Malaysia itu sendiri.
Bagaimana untuk kita membuktikannya? Mari kita telusuri persoalan keabsahan hukum politik yang konon jadi wadah kebanggaan politik PAS dan DAP ini.
PAS, mahupun DAP, memang percaya dan sepakat bahawa jalur politik dalam konteks negara moden adalah pilihan mereka. Oleh kerana itu, mereka terlibat dalam sistem politik negara.
Mereka sepakat bahawa pilihan raya adalah bukti kepada "kebenaran" gagasan mereka. Dan, sama ada sebelum mahu pun setelah pilihan raya, suara-suara yang membawa kemenangan politik akan diangkat. Apa yang kita dengar: "PAS lebih rela ditolak rakyat daripada dimukai tuhan."
Namun, pada hakikatnya, mereka kembali pada rakyat juga.
Gagasan kabur
Maka, PAS menerusi makna politik sebegini pun mengumandangkan suara-suara Islam, yang kadang-kala ditempek dengan idea-idea demokrasi. Lalu, mereka memadankan demokrasi dengan Islam.
Melalui demokrasi, mereka cuba naik. Dan, melalui demokrasi sedia mereka turun. Dan ini satu perkara yang bagus tentang PAS.
Sementara DAP juga begitu. Mereka terus tegas dengan perjuangan sekularisme. Apakah sekular mereka ramah-agama atau anti-agama? Itu tak pernah mereka tuntaskan.
Sama seperti PAS, yang tak pernah menuntaskan secara rinci gagasan negara Islamnya. DAP juga begitu, yang kabur gagasan sekularnya. Tetapi, bagi DAP, yang jelas, Malaysia bermula sebagai sebuah negara sekular.
Dan kebetulan hukum sejarah itulah yang ditafsirkan dalam perlembagaan negara, biarpun terdapat jaminan "agama rasmi negara adalah Islam."
Tetapi, dalam tak sedar, dua suara daripada dua parti politik yang berseberangan ini sebenarnya sama saja dalam sebuah kesendengan. Keduanya dangkal dalam mengerti hakikat politik itu sendiri.
Politik, sepertimana yang mereka wadahi, tak bererti melaksanakan suara sepihak. Tak bererti "kebenaran" (dalam takrif mereka) itu terletak pada "kami."
Sebaliknya, politik yang melampaui politik moden seharusnya juga melampaui hagemoni (termasuk hagemoni idealogi) serta meletakkan kembali suara "kita"sebagai sebuah keabsahan. Dan, akhirnya, yang tekal absah adalah "suara rakyat" itu sendiri, suara "kita"!
Lalu, pertanyaannya, apakah benar rakyat Malaysia memang mendesak negara Islam, atau negara sekular? Kedua-duanya, sama ada PAS mahu pun DAP, sampai kini belum membuktikan. PAS hanya bersandar pada demografi, manakala DAP bersandar pada perlembagaan.
Kehendak rakyat
Namun, kedua sandaran itu sudah pun terhakis keabsahannya. Tatkala rakyat berubah, demografi dan perlembagaan juga berubah.
Demografi takkan sama selamanya. Begitu juga perlembagaan, yang boleh diralat sesuai dengan kehendak baru masharakat warga (civil society). Maka, yang terus absah hanyalah suara rakyat sebagai suara keramat.
Dari perspektif politik moden, slogan "suara rakyat adalah suara keramat" itu ada benarnya, tetapi sering dimanipulasi. Sama seperti politik-agama yang sering memanipulasi agama demi kepentingan politiknya.
Selalunya, nama rakyat seakan berguna saat politikus tersepit atau saat sesebuah parti tersudut. Nama rakyat ibarat mahdisme yang bila diangkat dapat menyelesaikan segalanya. Namun, inilah juga tanda dari kegagalan politik moden.
Kegagalan inilah yang diwarisi dalam citra politik PAS dan DAP. Dua buah parti ini - sebetulnya semua parti di Malaysia - memang gagal untuk memahami jurang antara "kehendak rakyat" dan "pembentukan politik."
Buat parti-parti ini, keputusan pilihan raya adalah saat yang tepat untuk membolot segalanya selama lima tahun. Memang dangkal bila makna masharakat warga mula dipinggirkan, atau tidak cuba untuk difahami.
Kita kata dangkal, tatkala menyaksikan bagaimana kemuliaan Dewan Rakyat dipermainkan. Kita harus persoalkan kembali, apakah benar-benar Dewan Rakyat itu mewakili kehendak rakyat?
Apakah benar-benar setiap hukum yang digubal di Dewan Rakyat itu mewakili hasrat rakyat? Apakah benar-benar setiap suara di Dewan Rakyat itu suara rakyat?
PAS-DAP gigih bercakaran
Semuanya, jika disandar pada realiti dewasa ini, jawapanya tidak. Yang berlaku, suara Dewan Rakyat adalah suara elit politik. Atau lebih tepat, suara eksekutif semata-mata. Rakyat tak pernah diundang untuk terlibat merumuskan hukum.
Walhal hukum itulah yang akan dilaksanakan atas mereka. Rakyat hanya merasa terlibat sekali dalam lima tahun, hanya waktu pilihan raya. Hanya itu saja nilai buat rakyat (yang autonomi) yang konon menjadi "suara keramat" tersebut.
Dan, dengan yang "tidak ada" inilah PAS dan DAP meriah bermegah serta gigih bercakaran. Mereka semarak melaungkan kepentingan masing-masing, padahal keduanya tidak pun mengesahkan keabhsahan kepentingan mereka pada rakyat.
Sama seperti Umno, masing-masing PAS dan DAP juga terus merasa selesa dengan kesendengan mereka. Bagaimanapun, memang mengeluh tak memadai. Lalu, bagaimana untuk kita mengatasi kekurangan politik moden ini?
Justeru, kita mesti mulai akur bahawa setiap pandangan kita boleh saja dicampakkan ke ruang awam. Namun kita juga harus sedar bahawa itu tak bererti pandangan tersebut boleh terus dilaksanakan. Kita, biarpun atas nama politik-idealogi, tetap terus memerlukan keabsahan rakyat.
Selain dari keabsahan rakyat, yang lain akan terus saja bergulir. Inilah yang dimaksudkan sebagai "pembentukan politik dan kehendak rakyat."
Maka, tiada lagi kelompok yang terus kemaruk idealogi dan mahu melaksanakan idealogi satu pihak itu pada semua orang, tanpa memikirkan sisi komunikatif yang terdapat dalam masharakat warga.
Jadi, tentang gagasan negara Islam, mahu pun negara Sekular, atau apapun pun gagasan yang ingin ditawarkan, itu semestinya kembali pada pemugaran muafakat rakyat.
Berlagak dengan pandangan sepihak
Namun, untuk memugar muafakat ini tak mudah, tak juga murah. Tapi, inilah harga yang mesti dibayar untuk sebuah keabsahan. Muafakat hanya terbina dari proses wacana rakyat yang tak tercemar dengan kepentingan eksklusif. Sebaliknya, dari suara autonomi dari masharakat warga itu sendiri.
Lantas, mari kita bertanya: Apakah PAS dan DAP sudah memulakan proses ini? Tidak. Sampai kini, mereka asyik terbuai dengan mimpi-mimpi indah mereka.
Mereka akan terus saja bermimpi, dilambung seenaknya, sampai mereka sedar bahawa proses sebenarnya harus bermula dari bawah, dari rakyat, dari pendidikan, bukan dari atas, bukan dari elit, bukan dari jalan-pintas politik.
Maka, bagaimana untuk melakukan ini? Didiklah rakyat dengan gagasan mereka. PAS boleh mendidik rakyat tentang kepentingan hudud dan shari'ahnya. DAP, boleh mendidik rakyat tentang peri pentingnya negara sekular.
Kemudian, di tingkat masharakat warga, mereka akan terus-menerus menilai, dengan berhujah penuh kritis. Dan akhirnya pasti mereka akan dapat merasionalkan serta menerima salah satu, atau sebarang pilihan lain, dari gagasan-gagasan tersebut. Lalu, keabsahan akan peroleh tempatnya.
Tetapi, soalnya sekarang, PAS dan DAP kian berlagak dengan pandangan sepihak, seolah masharakat warga tak punya nilai. Dan, inilah yang akhirnya yang mendorong krisis menjadi lebih parah. Krisis tak lagi jadi kritik yang kreatif, sebaliknya jadi kutukan yang negatif.
Sudahnya, sebagai jalan pintas, mereka serakusnya cuba merangkul kuasa politik yang diragui keabsahannya, dan terus melaksanakan gagasannya yang tak-absah tersebut. Hasilnya, kemurnian dari masharakat warga yang jadi tapak pada keabsahan pun tercemar.
Maka, sebagai warga dari tanahair ini--yang kian tak merasa bahagian dari tanah dan air-nya--kita harus siap berkata "tidak" pada bentuk politik dangkal sebegini. Kita sebagai masharakat warga harus kembali menuntut jaminan untuk membantah.
Harus menagih kembali hak untuk terlibat dalam setiap keputusan politik tanahair, dan tanpa perlu menunggu lima tahun sekalipun. Serta, kita harus dibela untuk memiliki hak-hak ini. Jadi, inilah makna hakiki dari "rakyat yang memerintah dirinya sendiri."
Maknanya, rakyat yang mewacanakan hukum, rakyat yang mengangkat hukum untuk digubal. Dan rakyat juga yang menikmati hukum tersebut. Lalu, apa tugas Dewan Rakyat? Tugasnya adalah mendengarkan suara "kita", supaya tak berlaku anarkisme pada "kehendak rakyat." Hanya itu.
Dan, bukannya mereka pula bertindak mengabsahkan fasisme pada "pembentukan politik"! [Malaysiakini, 25 Ogos 2010]
Wednesday, May 19, 2010
Legitimasi "Gaji Minima"
Kebetulan, saya membaca tulisan “Gaji minimum bahaya untuk golongan miskin,” dari Wan Saiful Wan Jan, yang termuat di Utusan Online pada 12 Mei 2010. Beliau merupakan Ketua Eksekutif, Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).
Saya membacanya dengan hati-hati, dan cuba menangkap pesan-pesan yang cuba disampainya. Barangkali, rangkuman pada baris terakhirnya sudah menepati maksud seluruh tulisan ini: “Gaji minimum ialah satu dasar yang merbahaya kepada golongan berpendapatan rendah.” Tentu, sebelum jatuh pada kesimpulan tersebut, ada sandaran yang dikemukakan. Untuk lebih saksama, hujah-hujahnya itu saya tuangkan kembali, supaya tampak ada susur-galurnya.
Pertama, menerusi pengalaman peribadinya, sama ada di Malaysia manupun di UK, penulis telah membangkitkan keburukan-keburukan dari pelaksanaan gaji minima ini. Ini kerana, dari pengalamannya tersebut—yang pernah bertindak sebagai majikan dan pekerja sekaligus—maka pelaksanaan gaji minima ini akan mendorong lagi kemiskinan. Kesannya akan tampak saat berlakunya pembuangan para pekerja akibat keterbatasan ekonomi dari para majikan.
Kedua, dengan bersandarkan pada sebuah jurnal akademik dari Institute of Economic Affairs (1997), penulis membentangkan bahawa ada kajian yang menilai pelaksanaan idea gaji minima ini merugikan, terutamanya untuk negara yang berdepan dengan kegawatan ekonomi. Lalu, disentuhnya secara umum kesan-kesan empirikalnya. Di sini, sekilas terselit pengakuan bahawa ada lebenswelt (dunia-kehidupan, atau waqi’) yang berbeza menurut negara tertentu, dan dalam keadaan tertentu.
Ketiga, sembari berselindung di sebalek MEB, MPEN, maka tulisannya tersebut mahu mendesak kerajaan untuk menolak gaji minima lantaran langkah tersebut, menurutnya, tidak menepati hasrat dari dasar kerajaan itu sendiri. Sebab, dari dasar kerajaan yang sebelumnya, sudah jelas menyatakan bahawa pelaksanaan gaji minima ini kelak mengurangkan peluang pekerjaan di Malaysia.
Dan, keempat, juga yang terakhir, meskipun tidak menerima aras untuk gaji minima (mungkin juga bermakna, aras gaji maksima), tulisan ini juga—dalam satu dimensi—mengusulkan bahawa jalan terbaik ialah, tidak menetapkan apa-apa pun, selain memberi kebebasan penuh pada majikan. Baginya, sepertinya kerajaan seharusnya tidak melayani kehendak-kehendak lain dalam persoalan untuk menetapkan gaji minima ini.
Baik, itulah yang saya fahami dari tulisan tersebut. Maka, berangkat dari kefahaman ini, saya cuba untuk menyampaikan pandangan yang berbeza. Mungkin tidak berseberangan seluruhnya. Namun, saya pasti ada sisi-sisi lain yang terabai, berbanding dengan sikap lewa tulisan tersebut yang hanya bergantung pada kata ya/tidak tentang permasalahan gaji minima ini. Untuk itu, sebaiknya kita pergi satu demi satu kembali.
Pertama, dengan menggunakan pengalaman peribadi, semata untuk menunjukkan wajah keseluruhan, itu adalah sebuah kesendengan (bias) yang sangat ketara. Ini kerana, tentu saja akan ada juga pengalaman-pengalaman peribadi yang lain, yang boleh menunjukkan bahawa penetapan gaji minima ini baik, dan juga berkesan. Jadi, pengalaman peribadi (atau faham peribadi/kelompok) itu tidak boleh dijadikan sebuah pengitlakan. Tatkala dilakukan, maka itu adalah pemaksaan sesebuah pandangan, demi membolot sebuah warta hukum yang bersifat nasional.
Kedua, dengan mengakui bahawa ada perbezaan antara negara yang berdepan dengan kegawatan dan sebaleknya, maka itu juga sekaligus mengakui bahawa setiap negara memiliki lebenswelt tersendiri. Maksudnya, harus juga diakui bahawa setiap negara ada kekhasan-kekhasan tertentu yang tidak boleh diremehkan. Lagi-lagi di sini, ternyata kekhasan (atau, identiti) industri Malaysia tidak ditelusuri lebih jauh, lalu hanya berdiri di balek sebuah kajian ilmiah yang belum tentu mempertimbangkan kekhasan Malaysia ini.
Ketiga, adalah sangat lemah untuk bergayut pada dasar sebuah kerajaan, apatah lagi dasar kerajaan tersebut belum tentu memperoleh legitimasinya. Sebab, persoalan yang lebih asas adalah: apakah dasar kerajaan tersebut menepati hasrat kebanyakan rakyat Malaysia? Persoalan ini sama sekali tidak ditanggapi, dan tidak dituntaskan. Lalu, dengan memetik mana-mana dasar yang sefaham dengan “aku,” atau dengan “kita”, maka langkah itu bukanlah sebuah penyelesaian terhadap keseluruhan permasalahan antara pekerja-majikan ini.
Dan, keempat, dengan membuka seluruh kebebasan pada majikan, tanpa menimbang telebih dahulu suara-suara dari kelompok masharakat yang lain, termasuk suara dari pekerja itu sendiri, itu adalah mengambarkan betapa konservatif-nya faham ini. Konservatif kerana, bebal bertahan pada pandangan-sepihak. Tampaknya, ada bau-bau Marxisme di sini, yang cuba mengambarkan bahawa hubungan antara pekerja-majikan adalah dalam hubungan-konflik, seolah yang tidak dapat diperdekatkan.
Justeru, dari kritik-kritik awal ini, saya cuba untuk menunjukkan bahawa ada masalah jika kita memiliki suatu faham, atau nilai tertentu, lalu berusaha untuk memaksakan faham/nilai kita tersebut pada seluruhnya, biarpun lewat jalur kekuasaan-kerajaan. Tapi, apakah ada pencerahan dari kritik-kritik ini? Saya tidak punya banyak pilihan, selain mengajak untuk menaakul kembali perspektif dari sebuah tindakan-komunikatif, yang bernuansa dari pemikiran Juergen Habermas, filasuf teori sosial dari Jerman.
Memang, adalah hak untuk mana-mana idealogi, mithalnya, liberalisme, sosialisme, islamisme, dll—kalau saya boleh rumuskan begitu—untuk memperjuangkan idealogi masing-masing. Tapi, harus juga disedari, bahawa sebuah kesepakatan tidak mungkin tercapai tanpa didahului dengan sebuah kaedah yang juga disepakati. Lalu, kita perlu memperhalusi sebuah tindakan-komunikatif sebagai pilihan yang lebih setara, bukan lagi tindakan-instrumental (yang hanya cenderung memihak pada fahamnya saja).
Apa yang boleh kita insafi dari kaitan antara tindakan-instrumental dan gaji minima ini? Yakni sikap yang hanya melihat dimensinya, yang memaksa dimensinya pada yang lain, kemudian bergayut pada kekuasaan-kerajaan, sambil juga mengabaikan lebenswelt negaranya—dan ini akhirnya disumbat dalam rangka membenarkan pandangannya saja. Sebetulnya, zaman berfikir seperti ini sudah berakhir. Dewasa ini, dimensi komunikatif bersifat lebih manusiawi, berbanding dengan memaksa pandangannya (yang kononnya benar) ke atas yang lain.
Lantaran itu, adalah miring jika kita hanya melihat hubungan antara pekerja-majikan itu terhad dalam suasana konflik saja. Pada saya, gejala berfikir tak-intersubjektif seperti ini adalah melambangkan kelemahan fikiran kita sendiri. Kita maseh lagi gagal melampaui kesedaran sendiri, yang akhirnya melihat segala yang lain adalah objek-objek (yang juga manusia) yang mahu kita takluki. Lantas, di sini proses komunikasi memainkan peranan untuk melepasi diri kita dari kemelut kepentingan-kepentingan tersebut, sehingga hujungnya akan menemukan sebuah titik muafakat.
Walau bagaimanapun, tetap saja setiap dari kita berhak untuk bersuara. Perbezaan pandangan ini sama sekali tidak harus diredamkan. Biarkan terbuka, dan biarkan masharakat ditawarkan dengan aneka pandangan. Namun, jangan sama sekali mahu mengambil-jalan pintas dengan memakai wewenang kekuasaan, bagi menundukkan yang lain di bawah warta hukum negara. Jalan pintas seperti ini hanya memercikkan lagi sikap totalitarianisme.
Totalitarianisme bukan saja dalam bentuk kekuasaan negara. Tapi juga dalam bentuk kekuasaan faham. Memang, keduanya, akhirnya saling bersentuhan. Sehubungan dengan itu, apa yang perlu ditukik dengan lebih teliti di sini ialah soal legitimasi untuk pewartaan hukum dari gaji minima tersebut. Perlu ada legitimasinya dari krisis tersebut. Dan, legitimasi itu tidak terletak pada kerajaan, tidak terletak pada parlimen, tidak terletak pada suatu faham tertentu tersebut. Namun, terletak pada proses deliberasi (perbincangan) di kalangan masharakat di negara kita.
Maka, di sinilah peranan semua pihak; masharakat, kerajaan, dan Lembaga Swadaya Masharakat (LSM), media, dll, untuk terlibat aktif dalam mencairkan seluruh pandangan yang ada, dan setelah itu diangkat pilihan yang terbaik. Rencam inilah yang membentuk ruang awam, yang menjadi sendi kepada pembinaan amalan demokrasi deliberatif. Memang, tentu akan mengambil waktu. Tapi, itulah harga yang perlu kita bayar demi sebuah demokrasi? Apakah kita memikirkan demokrasi itu murah?
Justeru, dalam tataran sistem demokrasi deliberatif ini, penekanan yang diberikan bukan lagi idealogi. Sebaleknya, adalah kaedah ke arah mencari sebuah keselarasan antara rakyat dengan pemerintah, antara pekerja dengan majikan, dll. Zaman untuk “gedebe” dengan fikiran sendiri—seolah faham kita adalah segalanya, dan menggesa yang lain mengabstrak-diri, atau melepaskan identiti-jatinya—barangkali adalah sebuah tindakan yang sangat mengarut.
Ringkasnya, sekali lagi, saya sama sekali tidak mempertikai setiap suara yang tumbuh. Beragam suara yang tumbuh ini adalah titik-tolak yang penting. Tapi, sikap yang tidak komunikatif, yang tidak mahu saling-belajar, serta tidak mengendahkan yang lain, itu adalah benih-benih baru bagi sebuah ketaasuban. Maka, kembalikan legitimasi hukum negara (termasuk legitimasi gaji minima) ini pada rakyat itu sendiri—menerusi proses deliberasi kalangan mereka. Bukannya hanya menanti dari keputusan di parlimen/kerajaan. Bukannya hanya berpangku pada pandangan-sepihak.
Jika tidak, kata “keangkuhan,” juga kata “kedangkalan,” tidak pernah surut. Tidak pernah sama sekali. Tidak pernah kerana, dalam sejarah membuktikan bahawa “keangkuhan” dan “kedangkalan” ini selalu bersandingan dengan fanatisme idealogi. Meskipun, idealogi tersebut bernama liberalisme. [Jalan Telawi, 18 Mei 2010]
Friday, April 23, 2010
Lebih Baik Mati
Semalam, saya merintis sedikit debat dengan Saifuddin Abdullah. Kebetulan, menerusi status Facebook-nya, Timbalan Menteri IPT ini mengajak agar dibudayakan wacana di kalangan rakyat. Kesempatan molek ini saya pungut, dan memberikan beberapa ulasan. Fokusnya, saya menekankan peri-pentingnya melenturkan wahana (medium) antara kerajaan dengan rakyat.
Tentu--seraya meminjam pendekatan Habermasian--saya cuba mempermudahkan pengertiannya. Hemat saya, sharat pertama bagi sebuah transformasi bukannya menadah kata-kata dari mihrab (suara kerajaan). Sebaleknya, tindakan masharakat untuk terlibat dalam sebarang tema-tema yang bermunculan; iaitu, sebuah proses untuk masharakat "membenarkan," sekaligus "menidakkan" sebarang keputusan yang dilakukan kerajaan/pembangkang atau sesiapun. Hatta, hasil wacana masharakat ini juga semestinya diangkat dalam merangka hukum-hukum negara.
Untuk lebih tampak, maka saya bentangkan contoh. Saya kemukakan 1Malaysia, yang dikumandangkan sebagai gagasan besar kerajaan; sebuah metanaratif kerajaan. Dalam debat tersebut, saya terang-terang menyatakan bahawa gagasan 1Malaysia ini sebenarnya tidaklah jauh berbeza dengan Nazisme dan Fasisme. Ini lantaran, projek Nazisme dan Fasisme juga pada hakikatnya adalah sebuah contoh program kerajaan untuk rakyat; dari atas ke bawah.
Apa keburukan bentuk program sebegini? Buruknya kerana kerajaan awal-awal sudah menentukan apakah sasaran yang harus dituju oleh seluruh rakyat. Apakah rakyat telah diajak berwacana sebelum diputuskan 1Malaysia? Tidak. Apakah 1Malaysia memberi ruang untuk rakyat Malaysia membantahnya? Tidak. Memang, kita boleh membantah. Tapi, itu dalam media yang terbatas; yang sama sekali tidak di-endah-kan; tatkala, media-media perdana sudah tercemar dengan tangan-tangan kekuasaan.
Inilah masalah 1Malaysia. Dalam bahasa Horkheimer & Adorno, ini dinamakan rasio-instrumental. Sebuah rasio yang akan mendorong "yang lain" menjadi robot (pekakas), iaitu mematuhi saja apa kata mutlak dari kerajaan. 1Malaysia telah diperlihatkan sebagai wahyu, di mana setiap warganegaranya harus taat dalam landasan yang digariskan. Bagi mereka yang menyanggahnya, itu bererti telah menyanggah Kebenaran. Tapi, kemudiannya Saifuddin Abdullah menyinggung; apakah salah ada serba-sedikit dari kerajaan menentukan apa landasan buat rakyat?
Di sini saya jelaskan, itu tidak salah. Namun, dalam sejarah, gagasan yang berangkat dari pendekatan seperti ini takkan bertahan lama. Nasebnya akan menjadi seperti Islam Hadhari, Wawasan 2020, dll. Sebarang pendekatan yang berlagak seperti kalam Tuhan, akhirnya akan memamah dirinya sendiri. Manakala, kekuatan sosok pula sering ditelan masa. Apatah lagi, ternyata BN-Umno tidak pernah punya sosok yang kekal dalam lipatan zaman. Lagi mudah "gagasan dari atas ini" akan surut dengan bergulirnya pemimpin lain.
Di satu sudut, saya mencermati kegigihan kerajaan untuk menancapkan setiap unsur-unsur 1Malaysia ini. Memang, cukup mengerunkan--dengan segala-galanya berubah menjadi 1Malaysia; dari klinik (fizikal) hingga salaam (ruhani). Lebih mengerikan lagi, yang ditancap itu lebih berupa kulit (tanda) berbanding isinya (ruhnya).
Sekarang, kita perhatikan bersemarak penandaan 1Malaysia ini hingga berjejaring ke dalam sel-sel terkecil setiap unit masharakat. Mahu menukar "ruh yang bernyawa" menjadi "tanda yang kaku." Sampai begitu sekali pengobjektifan yang diprakasai. Pada saya, inilah persis tindakan Hitler dan Mussolini menerusi program nasional mereka; suara dari atas, dan dipaksakan kepada bawah, serta terima saja. Dewasa ini, 1Malaysia pula, yang saya yakin tidak lain dari bayangan sebuah Nazisme dan Fasisme.
Shahdan, catatan saya ini bukanlah mahu membela diri dalam wacana dengan Timbalan Menteri, yang mutakhir ini kononnya berwajah progresif. Saya sudah kongsi kritik, dan kritik ini bukan pula tanpa tawaran. Selain, meminta dibebaskan wahana untuk rakyat bersuara secara setara dan seluasnya; mithalnya, setiap pehak diizinkan mengakses media, atau membina akses medianya sendiri tanpa campur-tangan-gelap kekuasaan. Saya turut meminta agar dipakai rasio-komunikatif sebelum mahu membangun setiap gagasan besar.
Maksudnya, setiap gagasan yang cuba diangkat kerajaan, itu seharusnya bertitik-tolak dari semangat rakyat, dari wacana masharakat, dari arus bawahan, dan bukannya segalanya dari langit-kerajaan yang berdiri seolah sudah serba-tahu segalanya. Sebab, apa yang terlihat, 1Malaysia itu adalah pemaparan sikap kerajaan yang mahaguru segalanya. Ringkasnya, 1Malaysia adalah pemaparan kerajaan--seperti dalam bahasa Arendt--untuk menguasai seluruhnya, untuk memerah masharakat, dan untuk mengatur rakyat sepuas-puasnya.
Demikian hujah-hujah saya, kurang-lebih, begitulah. Walau bagaimanapun, hujungnya, mantan Presiden PBMUM yang mengesa agar dibudaya debat ini, bertindak memadamkan semua ulasan-ulasan saya. Benar, memadamkan, semuanya. Saya kehilangan rekod debat tersebut. Tapi, persoalannya, kenapa dipadamkan? Katanya mewanti-wanti, "anda sudah melampaui batas." Walhal, saya tidak tahu apakah batas yang telah saya lampaui? Apakah kerana menyamakan 1Malaysia dengan Nazisme dan Fasisme? Kalau betul tebakan itu, maka tuduhan tersebut telahpun saya dukung dengan hujah-hujahnya, dan siap mempertahankannya lagi.
Bahkan, di ranah lain, di Twitter, saya lebih jauh lagi melukiskan betapa bahayanya 1Malaysia ini. Sebab, 1Malaysia di tangan BN-Umno itu tidak lain tidak bukan adalah, "suatu usaha untuk merasionalisasikan kebodohan sebagai panutan resmi fikiran seluruh rakyat." Dan, ungkapan seradikal ini sekalipun, saya malah siap untuk mempertahankannya.
Anehnya, hal ini tidak berhenti begitu saja. Dalam status-nya yang berikut, mantan pendebat MCCK ini menulis lagi, dan tentunya kali ini dengan nada menyindir. Katanya, "ruang wacana yang diberi bukanlah untuk diguna memperlekehkan orang lain." Ya, saya tahu, status itu untuk saya. Lalu, cungkil demi cungkil, akhirnya ternyata pimpinan Umno yang disifatkan paling dinamik ini, pun beralasan bahawanya "tidak senang kerana anda tidak memperkenalkan diri terlebih dahulu."
Waduh-waduh, "wahai timbalan menteri, setelah kita berbahas panjang dan tajam, kenapa alih-alih ini dijadikan alasan?" Nun, ingatkah kita pada kata Imam Ali Abi Thalib, "lihat pada kandungan kata-kata bukan pada siapa yang memperkatakannya?" Sudahnya, saya akhirnya berkesimpulan sendiri; "melayan orang bodoh ibaratnya memperbodohkan diri sendiri, dan bodoh itu tidak kenal batas antara menteri dengan pengemis."
Kendatipun, saya tidak kecewa. Sama sekali tidak. Sama sekali tidak kerana, setidaknya terbukti bahawa tidak ada sezarah pun harapan dari BN-Umno. Buktinya ini; mereka tidak lagi mahukan nalar dan penalaran. Buat saya, mereka bukanlah pemerintah yang baik. Mereka jahat. Jika kita mengatakan mereka baik, itu bererti kita telah berjaya dikuasai mereka; seolah kita tidak melihat "yang lain," selain dari "mereka"; seolah kita tidak melihat "kebaikan lain," selain "kejahatan mereka."
Sejujurnya, kadang-kala saya meresah sendiri, menanges-tanpa-lagu, sepertinya memukul diri-sendiri, sembari menahan kebejatan dashhyat yang makin merasuk ke dalam jantung negara kita. Aduhai, "negara kita"? Mungkin, sekelumit cinta pada tanahair maseh kekal. Tapi, benci sehabis-habisnya pada politik BN-Umno barangkali tiada sembuhnya. Barangkali, kesakitan menanggung beban ini akan membunuh diri saya sendiri.
Benar, saya akan mati. Saya semakin merasakan betapa dekatnya ratapan kematian ini. Yang membunuh saya; adalah cita-cita perubahan "sistem politik" negara yang tidak kesampaian. Saya melihat banyak kesempatan emas dibazirkan, sekaligus buntunya impian sebuah sistem demokrasi deliberatif. Pada saya, mereka yang berkerja menumbangkan BN-Umno (dan, isme-nya)--tidak kiralah siapa mereka--bersaksilah, bahawa kalian juga sebenarnya sedang merawat serta memperlambatkan kematian saya; sebuah kematian rasa dan perasaan.
Justeru, tolong, tolong selamatkan saya.
Monday, April 12, 2010
Wednesday, March 25, 2009
Allah
Memang, setiap negara ada politik yang berbeza. Tapi, dalam mana-mana negara sekalipun, yang pasti tak berbeza ialah semangat falsafah. Berfikir ada di mana-mana saja.
Begitu juga berfikir tentang Allah, tentang Tuhan, atau tentang apa-apa saja. Namun, sesaujana manapun kita berfikir tentang Allah, tak mungkin adalah Allah itu sendiri. Sebab, mustahil sekali Allah ditakluk dalam ruang-masa, sedangkan pada saat yang sama, kita percaya Allah itu seharusnya melampaui segalanya. Ini termasuklah melampaui ruang-masa. Fikiran—yang sering dianggap taktepemanai (∞)—itupun hakikatnya bersempadan.
Imam Husayn, seperti termaktub dalam Usul al-Kafi, lebih awal menyedari hal ini. Katanya mudah, ¨Allah tak boleh dibagaimanakan.¨ Baginya, tatkala kita membagaimanakan Allah, seakan kita sudah tahu apa itu zat Allah. Walhal, sifat Allah, yang sepatutnya lebih rendah dari zat, itu belum tentu lagi dapat kita selesaikan. Sudah tentu, aktiviti berfikir bukanlah wilayah larangan. Tapi, tetap saja ada batasannya. Hujungnya, akal terbukti terbatas. Seperti wahyu, akal juga tak mampu nak jelaskan tentang zat Allah.
Ini bukanlah pendapat berani. Bagi mereka yang terhimbau dengan Shiffin, barangkali pernah terkesan dengan kata Imam Ali Abi Thalib. Saat pasukan Damsyik menombak al-Qur´an, Imam Ali lantas membezakan antara ¨mereka¨ dan ¨kita.¨ Sana, adalah al-Qur´an yang bisu (Qur´anun shomit). Sini, adalah al-Qur´an yang berbicara (Qur´anun natiq). Di sana, atas nama al-Qur´an bertarung untuk ¨kuning.¨ Di sini, atas nama al-Qur´an bertarung untuk ¨hitam.¨ Satu al-Qur´an, dua puak, dua matlamat, satu kesudahan!
Sudahnya, al-Qur´an tak memadai dengan teks semata. Al-Qur´an mesti ada pasangannya. Mesti ada al-Qur´an yang hidup. Masalah kita sekarang ialah, terlalu merebut teks. Kita merebut teks ¨Allah¨ sampai terlupa ada yang lebih besar dari itu: Qur´anun natiq! Inilah keresahan Imam Husayn sendiri. Ujarnya dalam tempat yang berbeza, ¨mereka yang menyembah ´alif lam lam ha´ adalah syirik.¨ Ternyata, Allah bukan hanya pada sebuah kata. Allah adalah jauh melangkaui teks!
Selesa atau tidak, Allah, atau alif lam lam ha, boleh saja milik semua, milik setiap agama samawi, milik setiap mereka yang beriman, dan milik setiap mereka yang berfikir. Allah Maha Besar, Maha, dengan ¨M.¨ Maka, Allah tak terbatas. Malah, kalau kita menyemak al-Qur´an itu sendiri, hujah ini maseh dapat dipertahankan. Lihat saja surah al-´Ankabut: 61-63, atau surah az-Zukhruf: 9, 87, atau surah Luqman: 25. Jelas, semua ayat-ayat ini memaparkan betapa kata Allah tak hanya milik muslim semata.
Maka, soalnya, apakah muslim mahu mencabar sejarah yang tercatat dalam al-Qur´an ini?
Apapun, seperti yang ditegas awal-awal, setiap negara ada politik yang berbeza. Di sini, dan dewasa ini, politik tampaknya lebih menentukan, bukannya falsafah. Tapi, setiap yang berfikir takkan pernah mahu tunduk pada sebarang bentuk politik sebegini. Apatah lagi, budaya berfikir inilah yang makin kering di Tanah Melayu. Jadi, keputusan ¨agamawan kuning¨ di Tanah Melayu ini—yang khususkan Allah hanya untuk muslim—adalah keputusan politik, bukan keputusan falsafah.
Malah, bukan keputusan agama pun!
Friday, February 13, 2009
Banang
Manusia, dalam makna sempurna, adalah makhluk budi. Saat manusia tunduk pada hukum budi, maka terperciklah sifat-sifat kemanusiaannya.
Budi, atau buddi, memang kata meriah. Semangatnya ada di mana-mana. Sekiranya di Deutschland, kata ini sedondon dengan Geist, atau Bildung, yang bererti ¨mengikat apa yang ada dalam diri manusia.¨ Bahkan, kata budi juga disekutukan dengan pangkal kata Buddha—ajaran hikmah yang gigih meleburkan kelas-kelas dalam masyarakat.
Tatkala budi bertemu daya, lalu membentuklah budaya, akar kata kebudayaan. Demikian hemat Sutan Takdir Alisyahbana dalam Values As Integrating Vorces in Personality, Society and Culture.
Sutan Takdir Alisyahbana merupakan sosok yang mula-mula memadankan kata meriah ini. Maknanya, ”saranan fikiran ke arah menatijahkan perkara-perkara yang baik.” Namun, kita sedar, membangunkan budaya bukanlah kerja ranting. Kalau pengalaman Tamadun Melayu saja, binaan budayanya itu pun sudah memamah waktu. Sejarahnya panjang, dan terselit kelelahan-kelelahannya yang tersendiri. Kelelahan pertama adalah mencari identiti diri. Dan, kelelahan terakhir adalah salah memaknai diri.
Lalu ada pilihan mudah, di mana ada yang menyandarkan permulaan Tamadun Melayu pada manuskrip terawal, kitab al-'Aqaid an Nasafi. Walhal, Tamadun Melayu bukannya creatio ex nihilo dari abad ke-16.
Melayu itu berleluhur, dan penuh perhiasan. Seni pantun adalah antara kebitaraannya, selain peribahasanya. Pada kedua-duanya terlampir alunan budi bangsa yang merentasi Madagascar hingga ke Hawaii ini. Malah, kehalusan ini dirakam Lim Kim-Hui dalam tesis doktoratnya di Universität Hamburg dengan judul Budi as the Malay Mind: a Philosophical Study of Malay Ways of Reasoning and Emotion in Peribahasa.
Atas nama budi inilah juga, Usman Awang menukilkan sebuah sajaknya. Katanya dengan puitis, Melayu itu ¨akar budi bersulamkan daya.¨ Maksudnya jelas, tanpa pemberdayaan budi takkan terzahir kemolekan kebudayaan Melayu itu. Melayu, sepatutnya kaya dengan budi. Tapi sayunya, Usman Awang ada menambah lagi. Baginya, Melayu itu juga, ¨setia dan sabar tanpa sempadan.¨ Ini barangkali terang melukiskan ciri ketaatan Melayu yang tiada perinya.
Memang, menarik untuk diteroka—mengapa Melayu boleh setia dan sabar tanpa sempadan?
Apakah sebenarnya bentuk kosmologi Melayu yang terpupuk dalam sejarahnya? Jika dihimbau, kosmologi feudalisme Melayu—yang sabar dan setia tanpa sempadan—ini memang kental dalam jiwanya. Bukan zaman pra-Islam semata, hatta kosmologi feudalisme ini turut mekar pada zaman pasca-Islam. Kunjungan Islam, rupa-rupanya belum cukup ampuh. Semangat feudalisme tidak runtuh, tapi terus terpasak.
Sebab itu, jangan keliru antara Melayu dengan Melayu-Islam, atau dengan Islam. Masing-masing berbeza. ¨Tiada Melayu tanpa Islam¨ itu hakikatnya takrif Melayu yang lemah sejarahnya. Mujur, Islam tak sempat tenggelam di Laut Hindi atau di Laut China Selatan.
Islam, yang menerusi Hikayat Raja-Raja Pasai, dikatakan pertama kali singgah ke Alam Melayu sekurang-kurangnya seawal abad ke-13. Tapi, nun semenjak saat Islam pertama kali diwahyukan di Hira´, tidak pernah terbersit cita-cita feudalisme.
Semak saja pesan-pesan nubuwwah—seluruh tujuannya adalah untuk menghancurkan rasa perbezaan. Lantas, Islam itu berdiri teguh atas nama taqwa. Diri Nabi sendiri, terutus bukanlah sebagai raja, tapi sebagai utusan. Sang Nabi pernah ditawar untuk bertakhta, tapi ditolaknya. Maka, Islam yang pertama sudah berkata tidak pada feudalisme.
Arakian, perlahan-lahan bentuk politik muslim berkembang. Dari khilafah kepada dinasti. Dari Umaiyyah, kepada Abbasiyyah, dan terus bersambung pada Uthmaniyyah, sebelum akhirnya runtuh.
Namun, hampir tiada dalam pengalaman politik muslim pasca-Nabi yang benar-benar menjiwai pesan keadilan Islam. Sebaleknya, semuanya seakan terbingkai pada feudalisme, dan tunduk pada takhta yang dikeramatkan. Kejernihan Islam—tanpa feudalisme—segera tersorok ke dalam jubah agamawan istana. Sedangkan, Imam al-Ghazzali dalam Ihya´ ´Ulumuddin, sudah mengingatkan, ¨agamawan yang masuk ke Istana akan hilang cahayanya.¨
Tidak cukup dengan itu, doktrin ¨pemimpin muslim yang zalim lebih baik dari pemimpin kafir yang adil¨ terus dijaja. Rumusan Ibn Taimiyyah dalam Minhaj as-Sunnah an-Nabawiyyah itu—walaupun dalam konteks yang berbeza—dibiar berumbi dalam fikiran muslim. Sampai selanjutnya, tanda tidak terus menjelmakan makna. Inilah yang terpantul pada Melayu-Islam.
Harus diingat juga, Islam yang pertama kali sampai ke Alam Melayu tidak terus mendakap rakyat. Tapi bersimpuh dulu ke lantai istana. Islamlah istana, bererti Islamlah seluruh rakyat jelata. Bertolak saat itu, iman pada Melayu lebih dikenal dari tanda bukan dari makna. Beransur-ansur bersemilah iman istana.
Betapa mudah pengislaman di Alam Melayu. Berbeza di Jawa, seraya perlawanannya cukup sengit. Sebahagian Alam Melayu bertuah, kerana sempat berbaur Buddha sebelum ketibaaan Islam. Justeru, Islam lebih mudah terkamir di belahan lain, berbanding Islam di Pulau Jawa. Tanpa ada sentuhan Buddha sebelumnya, sudah pasti pengislaman memang berganda berat—meski itu belum cukup untuk mengusur feudalisme.
Iman istana, adalah iman yang ditakluk feudalisme. Kerana itu, jarang kita dipotretkan duruhaka, atau durhaka, atau derhaka ini, sebagai tindakan mulia, meski perjuangannya adalah untuk mengangkat harakat kemuliaan insan.
Mithal saja Hang Jebat, akhirnya yang terpapar pada kita adalah nasib seorang penderhaka. Tentu lebih pilu lagi episod Laksamana Bentan yang bangkit melawan feudalisme—demi menuntut keadilan. Semuanya adalah natijah yang ditampal dalam tradisi kita supaya jangan sesekali berani melawan feudalisme. Tanpa ehsan, titah istana adalah titah absah. Sebuah hukum saja: derhaka tetap derhaka, murka tetap murka, hukuman tetap hukuman. Tiada pilihan melainkan, Melayu harus ¨setia dan sabar tanpa sempadan.¨
Begitulah antara kosmologi Melayu-Islam. Tapi, persoalannya, mengapa Melayu ini terus terwajah demikian meskipun di bawah naungan Islam yang membebaskan itu?
Bukanlah paradoks. Jiwa melayu sudah lama terheret dengan feudalisme. Melayu pra-Islam adalah Melayu yang bergelumang bersama feudalisme. Kosmologi ini terukir kemas pada beberapa prasasti Melayu kuno—yang mengambarkan betapa tebalnya feudalisme dalam masyarakatnya. Ini termasuklah beberapa prasasti Srivijaya yang ditemui di Kota Kapur (Bangka), Telaga Batu (Sumatera Selatan), dll.
Kalau belakangan sewaktu abad ke-4 pula, muncul prasasti Melayu Champa yang jelas menegaskan akibatnya menderhaka. Amaran feudalisme pada penentangnya sangat keras sekali; yang derhaka pada istana, kelak akan terhukum ke neraka seribu tahun (sarivu tjuh kulo ko), dan yang setia dan sabar tanpa sempadan, akan dianugerahkan hadiah dari syurga (labuh nasi svarggah).
Bentuk kosmologi dewaraja sebeginilah yang terus mewarnai kosmologi minda Melayu sampai dewasa ini. Meskipun kosmologi teratai—anjuran Buddha—beransur menipiskan perbezaan kelas, tapi dampaknya tidak memadai.
Dalam buku Pembinaan Semula Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan Rumpun Melayu, Shaharir Mohamad Zain ada memuatkan pengalaman Funan. Pada abad ke-11, tercatat atas sebuah prasasti bagaimana sumpah diabadikan. Atas nama api, atas nama Brahma, atas nama Archarya, pegawainya telah dititah agar berikrar patuh pada raja, biar apapun aral yang melanda. Jika derhaka, harus saja mereka menerima segala hukuman ke atas dirinya, keluarganya dan seluruh keturunannya.
Maka, apa lagi yang tinggal untuk kebebasan?
Sampai detik ini pun, feudalisme tidak berakhir, sekalipun ada khalayak sudah mulai berfikir. Bezanya, tidak seperti dulu, kini institusi feudal bukan lagi bersifat mutlak. Walau bagaimanapun, saki-baki feudalisme dalam minda bangsa Melayu memang sukar dihakis.
Sebab itu, meskipun Melayu itu tampak gagah bertarung dengan imperialisme, tapi akhirnya mereka tetap saja gugup bila bertembung dengan feudalisme. Institusi kuning ini terus dianggap tiang seri pada kebudayaan Melayu dan juga Melayu-Islam. Demikian nasib Banang, bangsa yang terus terbuai pada tanda, biarpun maknanya hampa. Politik ketuanan akhirnya memenjarakan mindanya!
Banang, adalah kata awal untuk bangsa Melayu. Bangsa Banang, atau gunung ini, sentiasa menjadi rakusan politikus yang sentiasa berselingkuh antara istana dan agamawan. Bagi sebahagian rakyatnya, mereka lebih rela menderhaka pada makna, namun tunduk sepi pada tanda. Jadi, sudah lumrah jika ada yang gementar dengan murka istana, tapi murka Tuhan siapa yang peduli?
Melayu kekal kaku laksana prasasti. Memang malang! Bertuah buat pemimpin bangsa ´budiman´ ini. Terbentang selonggok laba yang tidak ternilai. Itulah Melayu, resmi lalang: apa kata pemimpin (tuannya), itulah kebenaran mutlak.
Kendatipun pemimpin mahu meluluhkan bangsa-bahasanya sendiri, pasti akan dicanangnya sebagai wawasan geliga. Malahan, mereka rela hanyut menadah perintah tanpa berfikir, lantaran semuanya sudah difikirkan oleh sang pemimpin. Kalau ada gugatan, maka pandai pula mereka berselindung di sebalek tirai kuning dan tabir mimbar. Benar sekali Usman Awang. Melayu itu ”setia dan sabar tanpa sempadan,” sungguhpun kepimpinannya amat sewel sekali.
Sebab itu, kita tidak perlu bangga dengan kata budaya lagi. Takrif Sutan Takdir Alisyahbana maseh gagal dimaknai dalam jiwa-jiwa Banang ini. Budaya itu adalah kata suci. Tapi, budaya Melayu yang dibangunkan—feudalisme: mudah ikut ketua, bukan mudah lupa—itu ternyata tidak sesuci maknanya.
Friday, February 6, 2009
Feudalisme
Mohon derhaka, asalnya semacam dua kata yang berlainan nada. Tapi, ternyata frasa ini sangat berkuasa. Bukan sahaja laras bahasanya, malah kandungannya sendiri.
Saya memang mendukung bila Mohammad Nizar Jamaluddin mengangkat frasa ini. Tiada keraguan. Sudah tiba masanya untuk kita memohon derhaka. Bukanlah kerana tarikan pangkat eksekutif, tapi kerana jiwa luhur seorang manusia tidak terikat pada feudalisme. Dewasa ini, hujah atas dasar simbol sudah tidak lagi ampuh. Hujah yang lebih kekal ada dalam kekuatan nalar, bukannya pada simbol. Sebab itu, ketebalan Melayu pada sebarang simbol feudalisme ini haruslah ditamatkan. Apatah lagi, kehangatan sekarang boleh memangkin kesedaran ini. Iktibarnya, jangan pula ada yang pandai-pandai mahu kembalikan kekebalan feudalisme ini!
Murtad agama lain. Manakala, murtad Melayu (feudalis) itu lain. Justeru, saya (bukan patik)--bukan orang Perak--juga mohon derhaka!
Saturday, January 17, 2009
P36
Sudah beberapa kali Pak Khalid minta saya mengisi borang Parti Keadilan Rakyat (PKR). Seingat saya, kali pertama sewaktu sidang akhbar Anwar Ibrahim pada 16 September 2008 yang lalu. Dan, yang terakhir baru sebentar tadi.
Menerusi telefon--setelah sama-sama tahu keputusan P036--katanya ¨kenalah isi borang, dan ajak semua intelektual-intelektual di sekeliling itu... sekarang, Najib pun dah tak mahu tidur dengan Rosmah.¨
Sejujurnya, saya memang senang sekali melihat Umno dan segala sarat-fahamnya tersembam. Melihat apa yang ditampilkan di Kuala Terengganu, mereka bukan sahaja bongok, tapi juga senak.
Yang pasti, Kuala Terengganu bukan lagi labirin buat mereka, tapi terus menjadi garisan penamat. Tiada lagi politik wayang! Meski firasat yang saya ungkap awal-awal sebelum ini salah sama sekali, tapi itulah harapannya--harapan kita. Dari satu sisi, kita memang mahu Umno bungkus!
Ternyata, akhirnya semangat perubahan nasional melanda Terengganu, biarpun mereka kalah ketika Pilihanraya Umum ke-12 Mac yang lalu. Inilah denyut perubahan negeri ulek mayang yang sebelum ini saya begitu pesimis sekali.
Saya anak birai pantai. Kata Shah Waliyullah Dehlawi dalam Hujjatullah al-Balaghah, orang birai pantai ini degil-degil. Tapi, tsunami perubahan nasional rupa-rupanya telah berjaya melembutkan hati rakyat di negeri jajaran pantai ini. Mereka akhirnya berubah juga.
Tahniah rakyat Kuala Terengganu! Tapi, bah yang hadhir ini langsung tidak harus membuatkan kita untuk berhizbiyyah--meskipun atas nama Hizbi Islami (=ke-arab-an), apatah lagi atas nama Adalet Partisi (=ke-turki-an)!
Tuesday, January 6, 2009
Kuala Terengganu
Kali ini, saya mahu menguji kekuatan firasat. Sebab itu saya nukilkan awal-awal.
Bersempena dengan Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu P36 nanti, hemat saya PAS akan tewas dengan majoriti lebih 2000 undi. Sebab tewas? Satu, masalah PAS Terengganu itu sendiri. Dan kedua, masalah Rakyat Terengganu. Umno dijangka memetik kemenangan. Tapi, itu semua tidaklah bermakna kemenangan Umno tersebut adalah tulen.
Namun, kalau ditanya harapan pula, saya amat berharap firasat ini salah sama sekali pada 17 Januari 2009!
Thursday, January 1, 2009
Memali
Tahun 1985, sebelum darah tumpah di Memali, Ibrahim Libya pernah berungkap; "...di dalam PAS ini ada dua puak. Satu PAS Husayn, dan satu lagi PAS Yazid. Kita adalah PAS Husayn, dan Ustadh Fadzil Noor adalah PAS Yazid."
Dan, sebelum darah tumpah juga, Ustadh Fadzil Noor telah meminta Ustadh Azhari Abdul Razak untuk memujuk Ibrahim Libya menyerah diri pada polis.
Lalu, sang yang menanti syahid itu berujar, "apa salah saya untuk menyerah diri? Saya bukan mencuri, bukan membunuh, bukan melakukan sekelumit jenayah pun."
Ustadh Azhari Abdul Razak pulang hampa. Kecewa amat.
Kemudian, gerombolan polis mulai menyerbu, bertali-arus, dan titisan darah pun tumpah membenahi tanah. Khalayak teriak, tanda tangis dan teriak juga tanda melepaskan bara.
Akhirnya, suasana kembali suram. Maka, usailah perlawanan yang tak imbang. Tanpa ragu, Tuan Guru Yahya bin Junid umumkan yang terkorban itu syahid. Tapi, sekali lagi, Ustadh Fadzil Noor menangguhkan sikapnya, sampailah beberapa bulan.
Senja hujong 2008 ini ada tuahnya-- dapat merakam kesah ini dari salah satu saksi hidupnya.
Kini kita menjengah 2009, sudah hampir suku abad peristiwa Memali berlalu. Atas rasa prihatin, maka kesah yang barangkali sulit ini dihebahkan--buat para fanatisme PAS--yang mungkin ada antaranya terperangkap dengan politik kelabu.
Ternyata, 'orang yang berjuang' ini memakai dua mantik. Mahu yang mana? Mantik siyasi atau mantik syahid?
Wednesday, November 19, 2008
Cerah & Cendikia
Tidak semua jurucerah adalah cendikia, dan tidak semua cendikia adalah jurucerah. Tapi, dalam diri Allameh Ali Akbar Dehkhoda (1879-1959) ada kedua-duanya; kecerahan dan kecendikiawanan.
Siapa Dehkhoda?
Ia bukanlah manusia yang terhegeh-hegeh dengan Islam Hadhari, konon untuk berlagak jurucerah. Ia juga bukanlah manusia yang bermain-main dengan istilah glokal, konon untuk berlagak cendikia.
Sebaleknya, Dehkhoda adalah manusia yang sedar akan keadaan kemanusiaan di zamannya; arif pada bentuk kesejarahannya; dan meletakkan dirinya sebagai kepunyaan masyarakat. Ini semua--dengan rasa senang--digalasnya atas nama tanggungjawab sosial.
Hari ini, namanya telah dirakam dalam Loghatnameh Dehkhoda Institute & International Center for Persian Studies. Tanda ingat ini sudah tentu atas sumbangan Loghatnameh-nya.
Dan, hari ini juga, bila membaca tentang Dehkhoda, saya teringat pada rintihan takjub seorang ‘anak muda’--yang cukup-cukup kesal kerana dalam dirinya maseh menyimpan sisa-sisa kepentingan diri.
Memang, sering saja alasan kebijaksanaan digunakan untuk tidak mahu menzahirkan keberanian. Konon itu strategi. Malah, katanya, "jika aku terus begini, bagaimana untuk aku menjawab pada-Nya nanti?"
Saya hanya terdaya menunduk.
Monday, September 15, 2008
Monumen Terakhir PAS
>>> Disalin dari http://bukan-blogger.blogspot.com/, yang asalnya dimuatkan di sini sebelum terpaksa ditarik kembali.
1. Saya telah membaca dengan teliti pandangan Pesuruhjaya PAS Terengganu yang kali ini lebih gemar menggunakan nama beliau sebagai pengamal dan penganalisis politik daripada bertindak sebagai seorang Pesuruhjaya PAS Negeri. Walaupun sewaktu beliau berdiri sebagai penganalisis politik dalam mana-mana waktu sekalipun, pada saya, beliau tetaplah Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu. Baik dalam keadaan berdiri, duduk, atau berbaring, Mustafa bin Ali adalah seorang Pesuruhjaya PAS.
2. Dengan demikian, mahu tidak mahu pandangan beliau itu tetap mencerminkan pandangan PAS Terengganu. Lebih mendukacitakan lagi ialah apabila pandangan beliau ini bersifat anti keputusan Muktamar. Sekaligus, ia menentang arus Syura yang memutuskan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat dan tidak sebaliknya seperti yang sedang dilakukan oleh Mustafa Ali. Dalam respons dan setiap ayat yang digunakan, saya tidak nampak sikap Mustafa yang boleh mengukuhkan Pakatan Rakyat seperti yang diputuskanoleh Muktamar secara “standing ovation”.
3. Sepatutnya tugas pemimpin termasuk Pesuruhjaya ialah mendukung dan mengukuhkan keputusan Muktamar. Sifat rajin mengeluarkan kenyataan walaupun tidak disuruh adalah sesuatu yang aneh dan menghairankan. Lebih-lebih lagilah ia mencanggahi keputusan Muktamar. Sepatutnya ceramah atau temuramah bersifat lanjutan kepada keputusan Muktamar.
4. Saya membuat perbandingan antara kenyataan Mustafa di muka surat 1 dan 3 Utusan Malaysia, 11 September 2008 dengan kenyataan Dato’ Johari Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri termasuk kenyataan PM sendiri dalam Berita Harian pada hari yang sama. Mesejnya sama iaitu tidak ada apa yang akan berlaku pada 16 September 2008 iaitu “tidak mungkin ada undi tidak percaya kerana Parlimen tidak bersidang.” Sentimen Mustafa yang “terus terang tidak yakin adanya bilangan sebanyak 30 orang yang akan melompat parti” betul-betul serupa dengan nada Presiden Umno. Betul-betul serupa.
5. Lidah Mustafa boleh dikatakan sudah menjadi lidah Umno. Kita kena faham bahawa lidah ini adalah jurubahasa kepada hati. Jika begitu keadaannya apa yang ada dalam hati, maka lebih baik terang-terang sokong Umno. Hujah untuk “meredakan keresahan rakyat” yang digunakan oleh Mustafa tidak tepat. Apa yang tepat ialah kita kena tanya rakyat resah kerana apa? Jawabnya, rakyat resah kerana pimpinan di bawah Umno selama ini telah menimbulkan seribu satu macam keresahan. Usaha Pakatan Rakyat yang sama-sama sedang didukung oleh PAS, PKR dan DAP ini adalah usaha untuk memulihkan keresahan rakyat. Pemulihan dan keyakinan akan berlaku apabila Pakatan Rakyat menguasai di peringkat Pusat. “Cross over” kepada Pakatan Rakyat yang menuju ke arah peralihan kuasa sama ada 16, 17, 18, 19 atau 20 September 2008 hendaklah menjadi agenda setiap orang : agenda setiap Pesuruhjaya PAS Negeri termasuklah Mustafa bin Ali. Inilah semangat Muktamar yang telah kita sama-sama putuskan secara sebulat suara. “Standing ovation” itu adalah sebulat suaralah tu. Keputusan Muktamar ini, bukan kerja main-main.
6. Apa tujuan kita adakan kursus, seminar, ceramah, tamrin, usrah, doa, sembahyang hajat, munajat, pagi, petang, siang dan malam kalau tidak kerana untuk menumbangkan sebuah pemerintahan yang tidak cenderung kepada Islam. Jika Umno hendakkan Islam, sudah lama dia laksanakan Islam.
7. Saya tidak fahamlah bila Mustafa menyebut bahawa dia bercakap secara bebas dan pendirian beliau bertaraf peribadi; bukan atas kapasiti seorang pemimpin PAS. Pada saya, beliau adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu. Dalam Islam, seseorang itu hanya boleh mempunyai satu sahsiah saja. Sesiapa yang cuba bermain-main dengan dua atau lebih rupa sahsiah, tidak layak menjadi pemimpin gerakan Islam. Sebab itu, Islam selalu menekankan soal tauhid, yakni penyatuan segala perkara di atas satu dan menuju kepada satu. Dalam PAS, tidak ada dua wajah sahsiah. Jika ada juga, maka ia sesuai untuk mewakili Umno.
8. Jika Dr. Mahathir pernah berkata bahawa ia tersalah pilih Perdana Menteri maka dalam konteks ini boleh jadilah Terengganu sudah tersalah pilih seorang Pesuruhjaya. Dalam akhir ayat Mustafa Ali, ada juga saya terbaca beliau menyifatkan isu ini timbul disebabkan keghairahan satu pihak untuk mengambil alih kerajaan. Di sini, saya cukup tidak fahamlah. Seolah-olah pada Mustafa, adalah satu kesalahan apabila kita ghairah nak gantikan kerajaan secara demokrasi. Sejak bila pula Mustafa jadi begini? Kita kena faham bahawa isu menghuruharakan ini timbul kerana sejak 50 tahun Umno memimpin negara, rakyat tidak dipimpin dengan jelas dan betul dari segi Islam atau demokrasi. Keadilan tidak diberi kepada orang-orang Melayu, Cina, India, Siam atau Kadazan. Ini yang kita ghairah untuk menggantikan kerajaan. Kita bawa Islam kerana Islam itu adil. Islam itu untuk keamanan dan kesejahteraan seluruh kaum yang bermastautin di Malaysia. Apabila nampak bahawa Kerajaan BN/Umno sudah panik dan resah sehingga terpaksa melarikan 50 Wakil Rakyat, maka pada saya, ini adalah petanda kejayaan. Tak tahu lah pula saya kenapa Mustafa Ali terpaksa bersusah payah untuk menjelaskan situasi sebenar demi meredakan. Meredakan hati siapa? Hati pemimpin Umno?
9. Dalam keadaan beginilah hati saya cepat-cepat teringat tentang HARAKAH. Saya tak dapat bayangkan bagaimana HARAKAH boleh memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti dan organ parti, apabila orang nombor satu yang merupakan Pesuruhjaya PAS Terengganu ini telah mengambil sikap membelakangi keputusan Muktamar. Saya percaya, ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pojok, cerita, berita dan analisis yang dibuat. Dengan dibenarkan penerbitan dua kali seminggu maka lebih cepat lagilah ia boleh merosakkan imej HARAKAH. Pada logiknya, pembaca HARAKAH akan berkurangan. Saya fikir suatu keputusan perlu dibuat mengenai perkara ini.
10. Saya sebenarnya masih mahu mengambil sikap bertangguh dari terlalu cepat mengemukakan respons. Dengan begitu, saya akan cuba ikuti lagi apa rentak yang akan dibawa oleh pemimpin seperti Mustafa Ali. Saya percaya, mungkin ada satu atau dua orang lagi yang bersama dengan beliau. Selaku orang tua dalam parti, saya telah mengikuti orang penting dan orang yang tidak penting keluar masuk ke dalam parti. Bahkan Allahyarham Dato’ Haji Asri Muda sekalipun pernah meninggalkan Parti PAS. Pada waktu itu beliau adalah di kerusi Presiden. Beliau akhirnya masuk Umno dan semua orang tahu bagaimana beliau mengakhiri karier politiknya.
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Bertarikh : 11 Ramadhan 1429
11 September 2008.
Friday, September 12, 2008
16
16, kalau menurut Annemarie Schimmel dalam The Mystery of Numbers, adalah angka keutuhan.
16 juga, di bulan September ini, kalau menurut cibiran Anwar Ibrahim, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, adalah tarikh akhir bagi status quo politik negara ditamatkan.
Angka-angka ini sememangnya mempersonakan, sampaikan Pitagoras percaya bahawa tatanan alam ini segalanya tersusun dalam bahasa matematik. Bahkan, P.A.M Dirac sendiri turut membenarkan, “jika di sana ada ‘Tuhan’, maka ‘Tuhan’ tersebut mestilah matematikus maha hebat.”
Tapi, sejauh manapun tarikan angka-angka objektif yang diwar-warkan ini, termasuk oleh Anwar Ibrahim sekalipun, dilihat tiada satupun yang cuba mengimbangi persoalan subjektif yang lain: kewajaran.
Wajar, adalah ungkapan yang sarat dengan aneka persoalan subjektif: etika, rasional, keperluan, nilai, dll. Sudah banyak kalangan yang menegaskan, “bahawa perubahan kuasa politik negara bukan menerusi pilihanraya adalah tindakan yang mencemar semangat etika.”
Malah, aspirasi masyarakat madani, terjemahan bagi masyarakat sivil yang diperkenalkan Anwar Ibrahim sendiri, sememangnya amat mendukung kehendak perubahan yang bermula dari akar umbi, dari dasar rakyat, bukannya dari kehendak elit politikus.
Sisi keremangan inilah barangkali tidak ramai yang memikirkannya. Tapi, yang sering kedengaran adalah seperti sebelumnya: bermain atas nama etika semata-mata, kemudiannya tanpa iringan wacana. Kosong. Mustafa Ali barangkali adalah antara monumen PAS terakhir yang gemar bermain di sebalek kelunakan kata etika, dan kata bangsa! Tapi, di mana wacananya?
Mungkin hampir tidak pernah ada yang membahaskan ketidakwajaran 16 September atas hujah ianya bukan hadhir dari tekad gerakan tulen angkatan rakyat. “…keputusan politik yang besar sebegini harus dipulangkan kepada rakyat, dan sudah menjadi hak rakyat untuk memutuskan kembali kewajaran perubahan tersebut” kata salah seorang dari anak-anak muda Diskopi.
Ditambah lagi, “…bukan kita menolak untuk meruntuhkan berhala BN/Umno yang cukup rakus itu, tapi apakah kita sanggup mengorbankan nilai-nilai kita demi sebuah Machiavellian politikus tertinggi?,” sampuk seorang lagi anak muda dalam perkumpulan tersebut.
Malah, katanya lagi, “...perubahan yang datang dari atas adalah tanda kepada kegagalan kita dalam melahirkan sebuah gerakan massa kritikal.”
Memang benar, rakyat takkan berkembang, selagi mana nasibnya ditentukan oleh kuasa politikus tertinggi. Malahan, itu hanya bererti mundur. Sebab itu, apabila ada tekanan dari atas, rakyat seperti ini tidak siap untuk berdepan, kerana sendi-sendi masyarakat bawahan belum mengakar dan belum disemai!
“…apa, kita fikir kerajaan mudah untuk melepaskan kuasa mereka yang sudah berstruktur itu?,” pancing seorang lagi anak muda Diskopi tersebut sambil cuba menghuraikan teori Vilfredo Pareto dalam Mind and Society—menyentuh soal pendauran kuasa di kalangan elit politikus yang memerintah.
Masing-masing cuba berhujah, dan cuba mengimbas sejarah, bahawa antara kegagalan reformasi 1998 ialah kerana kita terlalu memikirkan soal objektif sampai menenggelamkan soal subjektif.
Sebab itu, kata antara mereka, kita harus menyemak semula “teori gerakan”, di mana keobjektifan kegawatan ekonomi, kekacauan politik, ketidakstabilan sosial, dll itu semua telah menimbus ketidak-kesediaan masyarakat dasar untuk bangkit mendukung sebarang subjektiviti perubahan!
Nah, kini dalam menanti 16 September, detik yang sama tampak berligar kembali. Alam, mikro dan makro, serta segala isinya—termasuk politik—tidak henti-henti berpusaran. Dan, ternyata, betapa idea William Kornhauser, pengarang Politics of Mass Society tersebut, kian terabai.
Apapun, tak mengapa. Mungkin maseh ada juga percaturan lain, meskipun atas racikan yang kental dialektiknya—persimpangan antara idealisme dengan realisme, antara pragmatik dengan prinsip, dll.
Cukup satu tema pertanyaan saja, jika peluang—16 September—ini tidak disentap sekarang, maka apakah kita (rakyat) boleh mengharapkan masyarakat madani tumbuh-mekar-subur dalam persekitaran yang penuh penindasan? Nah, mana yang sepatutnya hadhir dulu, tuntutan masyarakat madani atau keperluan kepimpinan madani?
Dan, apakah angka setelah 16 hari kita di perjamuan Tuhan ini memberi penentuan pilihan dalam rangka untuk sama-sama membina sebuah masyarakat madani? Atau, hanyalah sebuah “harapan” sepertimana Corazon Aquino pernah menanam tebu di bibir?
Itu pertimbangan yang tidak mustahil, kerana barangkali akhirnya masing-masing politikus kembali menyorok di sebalek frasa berkuasa, “politik itu adalah harapan,” bukannya “pelaksanaan kata-kata!” Klise lagi!
Thursday, August 28, 2008
Politikus
Politikus, sekaligus failasuf tidaklah ramai. Jemari kita barangkali lebih banyak dari ingatan sosok yang terlintas. Kalau di Britain, kita pantas saja menyebut Bryan Magee, yang menulis perjalanan filsafatnya dalam Confessions of a Philosopher: A Personal Journey Through Western Philosophy.
Tapi, itu Magee, tokoh dari parti buruh yang juga merupakan pengagum berat Arthur Schopenhauer.
Malam tadi ada forum AUKU di UKM. Entah, apa mimpi universiti membenarkan barisan pembangkang masuk menerjah minda khalayak kampus. Tapi sayang, tiada satu pun politikus yang hadhir berbau failasuf. Barangkali cukup saja dengan bayangan Marcus Tullius Cicero. Hadhirin dewan terhibur dan bersemangat, apatah lagi bila saat nama Anwar Ibrahim dilaungkan. Gemuruh sekali—bila tapak kanan dan tapak kiri bertemu—bagaikan meraikan kemenangan Permatang Pauh!
Memang, Saifuddin Nasution Ismail bukanlah seorang failasuf, tapi imbasan orator yang jelas memukau mahasiswa yang begitu impikan pembicara yang ignitas dan auctoritas. Butir tuturnya, nada aturnya, wajah mimiknya, tata geraknya; semuanya ini bagaikan tersusun melengkapkan rasa rimas dan gelisah pihak universiti. Tentu ada rasa menyesal di antara mereka. “Demokrasi memang ada balas dendamnya!,” teringat kembali pesan Benazir Bhutto.
Nah, bila sang retorik berucap, maka siapa yang berani menyanggah? Tenggelamlah suara timbalan menteri, suara professor dan suara dari kalangan Islamis sekalipun. Datuk Ir. Idris Haron, Prof. Dr. Kamal Halili Hassan, dan Abdullah Abdul Karim bukanlah lawan Saifudin Nasution.
Tapi, “Saifudin Nasution hanya imbasan politika Cicero,” begitu celoteh rakan sebelah. Tidak lebih. Strategos (meminjam istilah yang cuba diwarkan oleh Khalid Jaafar) PKR ini sendiri pun tidak berani untuk bersikap mengugurkan AUKU. Malah, lebih naïf lagi, hujah Abdullah Karim yang sedia untuk tunduk di bawah akta sesat tersebut, asalkan usah melaksanakan secara terpilih-pilih. Maka sudah tentu, sang professor jauh lebih rela bertaqiyyah, manakala timbalan menteri pula terus bebal mempertahankan mantikisme UMNO.
Akhirnya, idea hanyalah milik para failasuf, bukannya dari sebahagian politikus/pekerja akademik yang sering tampil beraneka wajah.
Sunday, February 24, 2008
Badrul Hisham Shaharin
Rembau antara lirikan perdana dalam pilihanraya umum ke-12 ini. Malah, tidak salah jika dikatakan keputusan pertarungan di Rembau ini adalah memberikan suatu petanda besar kepada Umno dan arah pemerintahan negara kemudiannya. Benar juga, seperti ungkapan Badrul Hisham Shaharin dalam wawancara khusus ini, pertarungan di Rembau adalah pertarungan antara rakyat Malaysia dengan sekelompok manusia rakus yang diketuai oleh Khairy Jamaluddin.
Jadi, pertarungan ini kelihatannya bukan saja terbatas dalam kebajikan masyarakat Rembau. Malah, ia adalah pertarungan kecil yang akhirnya melibatkan keputusan besar. Kecil berdasarkan pada geografi Rembau, tapi besar terhadap dampaknya pada negara. Kini, keputusan besar ini berpeluang untuk ditentukan oleh khalayak Rembau. Barangkali inilah keistimewaan khalayak Rembau, tapi juga sekaligus juga suatu amanah berat buat mereka.
Hasil wawancara Ummahonline.com menerusi bantuan emel dan telefon ini jelas menanggapi beberapa persoalan tentang keperluan di sebalik pertarungan antara dua anak muda ini. Menerusi kacamata Badrul Hisham Shaharin ini—calon Keadilan di Rembau dalam pilihanraya ke-12—kita sekurang-kurangnya telah ditawarkan dengan suatu pandangan pertama dan langsung. Dan, pandangannya inilah yang mahu kita semak kebernasannya—tentang sejauh mana tuntutan pertarungannya terhadap Khairy Jamaluddin, menantu Pak Lah ini.
Sila teruskan membaca wawancara penuh di: www.ummahonline.com.
Sunday, January 13, 2008
Ezam, Upapradana…
Ia dikatakan anak muda yang lekas dewasa. Itulah persis seperti yang pernah diungkapkan oleh Musa Hitam tatkala namanya mula-mula mendapat tempat dalam era Reformasi 1998.
Tapi, menjelang sedekad gerakan reformasi, anak muda itu sudah mulai merasa tua. Memang benar, raut mukanya sudah seakan kelelahan. Manakala, aktivitinya pula tidak sederas dulu. Tapi, ada satu hal yang maseh kekal pada dirinya, “idealisme!”
Itu Ezam Mohd Noor. Walaupun sudah terdepak dari ranah politik kepartian, visi perjuangan maseh lagi ketara. Hari ini (13 Januari 2008), ia berkesempatan bertentang wacana dengan sebilangan anak-anak muda dari DEWI yang rata-ratanya kritis dan punya idealisme tersendiri.
Biarpun kadang-kadang tampak seperti dibunga-bungakan, kepercayaan Ezam terhadap “perubahan harus bermula dari bawah” nyata begitu semarak sekali. Ini jelas bercanggah dengan pendekatan "perubahan bermula dari atas" yang identik dengan gerakan politik kepartian. Ezam sangat percaya, tanpa adanya dukungan masyarakat sivil—yang termasuk juga NGO dan mahasiswa—agenda perubahan tidak mungkin akan jaya sama sekali.
Gagasan masyarakat sivil secara sempurna mungkin jarang diutarakan oleh politikus, terutamanya politikus
Dampak dari kekangan tersebutlah, bicara Ezam lagi, parti-parti politik di
Mengapa perlu masyarakat sivil? Benar, memindahkan persoalan sosiologi ini kepada aktivisme sosial dikatakan boleh menjadi alternatif yang dapat memangkin semula kesedaran masyarakat terhadap peri-pentingnya peranan NGO sebagai jalan tengah dari celah-celah ketajaman politik kepartian di Malaysia.
Atas keinsafan itu, tambah Ezam lagi, penubuhan NGO seperti Gerak yang dipimpinannya sudah menjadi suatu keperluan mendesak. Malah, dengan kepercayaan tebal bahawa pertarungan generasi sekarang adalah menentang rasuah, maka aspirasi Gerak kian lagi menjadi relevan.
Sembari terangsang dari tesis Ibn Khaldun dalam Al-Muqaddimah, Ezam turut percaya bahawa keruntuhan sesebuah tamadun adalah berpunca dari limpahan kemewahan yang berlingkar dari kalangan para penguasanya.
Bahkan, bagi Ezam—yang pernah disakat oleh Khalid Jaafar sebagai hanya minat membaca biografi tokoh-tokoh dunia—runtuhnya Tamadun Romawi ekoran leluasanya rasuah di kalangan penguasanya, termasuklah melibatkan peribadi Julius Ceasar sendiri. Dan sejarah ini mengendong iktibar yang wajar dimuhasabah kembali.
Tentunya tidak salah secara moral untuk memiliki kekayaan. Tapi, bagi kebanyakan politikus—moden atau klasik—demi mengekalkan kekuasaan, lazimnya para politikus terpaksa bergelut dan akhirnya turut menggunakan kuasa kebendaan.
Maka, di sinilah mulanya akar rasuah yang akan memunahkan struktur dalam masyarakat. Dan, tentunya untuk penguasa terus bisa melakukan rasuah, maka sejumlah kekayaan harus dibolot—biarpun dengan cara yang melibatkan penindasan, pemerasan dan penyelewangan terhadap harta rakyat!
Dewasa ini, isu rasuah sudah menjadi isu rentas sempadan, malah rentas tamadun sekalipun. Tidak seperti pencak permaenan politik kepartian, rasuah telah disepakati sebagai musuh asasi kepada mana-mana bangsa di dunia.
Bangsa Melayu ada lipatan sejarah yang menarik tentang amalan ini. Dalam sejarahnya, rasuah bukan amalan baru. Coretan dalam prasasti Champa kurun ke-9M, jelas sekali menunjukkan bagaimana rasuah, atau upapradana ini sudahpun diamalkan dalam tradisi Melayu lama. Jadi, ciri “bayar dulu sebelum buat” sememangnya bersebati dalam kebudayaan Melayu.
Maka, gerakan membasmi rasuah—dalam bangsa Melayu atau di
Walaupun berbau idealistik, iltizam inilah yang mahu disematkan Ezam kepada anak-anak muda DEWI: sampaikan ia sendiri berkalimat, “saya pasti akan mendedahkan dokumen rasuah exco-exco PAS jika memang terbukti.”
Tekad Ezam memang terserlah. Tapi sayang, ternyata Gerak tiada lapisan akar umbinya (aktivis). Barangkali menyedari keadaan itu, Ezam seperti mahu menambat anak-anak muda DEWI dengan menawarkan Gerak sebagai wadah aktivisme baru bagi dunia kepemudaan.
Namun, timbul juga pertanyaan, mengapa kita perlu melakukan kerja-kerja yang sepatutnya digalas oleh institusi-institusi wewenang, seperti Insititut Integriti
Nah, di sinilah tegas Ezam, yang telah membezakan Gerak dengan institusi-institusi tersebut. Matlamat Gerak bukan semata-mata untuk mendedahkan amalan rasuah kalangan elit politik tanahair, tapi juga mahu mendidik masyarakat—tentang bahaya rasuah terhadap masa depan negara.
Malah, keluh Ezam lagi, masyarakat tidak boleh lagi mengharap kepada intitusi-intitusi kerajaan untuk serius membasmi rasuah. Dalam kes
Sebaleknya, yang kini terbukti yang serius terhadap gerakan menentang rasuah sebenarnya datang dari orang di luar kerajaan, bukannya dari dalam kerajaan! Kerana itu, lazimnya mereka yang terlibat dalam kerajaan (penguasa) agak sukar kelihatan berseh, apatah lagi untuk benar-benar berseh!
Analisis ringkas yang dikemukakan Ezam tentang keparahan rasuah ini tidak dinafikan sarat dengan titik-titik kebenarannya. Tapi, tentunya juga analisis ini belum lagi dibingkai dengan matang.
Biarpun begitu, usungan Ezam terhadap tesis Ibn Khaldun dan keruntuhan Tamadun Romawi boleh dikemukakan sebagai kajian kes yang baek: bahawa sebahagian besar politikus lazimnya tidak dapat lari dari mengamalkan rasuah demi mengekalkan kuasanya.
Sifat politik memang akrab dengan kuasa. Sebab itu, getus atau mungkin sindir Ezam lagi, menjadi kehairanan buatnya sewaktu mantan mentornya sendiri, Anwar Ibrahim—yang dikatakan kental demokrat dan anti-rasuah—juga rupa-rupanya terpalit sejarah tidak berseh dalam perlawanan terhadap rasuah.
Aduh Ezam, benarkah begitu? Jangan maen-maen! Ya, elok nantikan dulu wawancara lengkap Ummahonline.com bersamanya untuk kita tentukan kesaksamaannya.
Wednesday, November 7, 2007
Budaya Kuning
Bagi yang berfikir bahawa berhimpun itu “haram,” eloklah belajarlah dari Khomeini. Dan, bagi yang juga berfikir bahawa berhimpun itu “mengugat ketenteraman awam,” eloklah sekali lagi belajarlah dari Khomeini.
Sewaktu hening hari 1 Februari 1979, limpahan jutaan manusia turun meraikan kepulangan seorang yang tua langka di Lapangan Terbang Mehrabad. Ia pulang setelah terusir ekoran dari peristiwa kebangkitan 15 Khordad lagi.
Lalu Khomeini membalas, “saya tidak merasa apa-apa.”
Waktu itu, gemaan “haram” dan “mengugat kententeraman awam” dari Shahanshah sudah dipandang enteng. Begitu juga perasaan kerinduan Khomeini pada tanahair. Itu semua tidak dapat menandingi iltizam serta semat kepimpinannya.
Sebenarnya, apakah semangat dari perhimpunan raksasa bangsa Aryan tersebut? Apakah yang menumbuhkan keberanian mereka sehingga bisa mengabaikan amaran Savak yang melarang khalayak turun ke jalan raya? Dan, apakah kekuatan yang membuatkan Ruhollah Khomeini begitu yakin bahawa itulah saat yang tepat untuknya memimpin sejarah baru buat bangsanya?
Jawab Khomeini sendiri, hanya ada satu kekuatan saja, iaitu “Agama”!
Agama? Fred Halliday pernah berhemat, seandainya Karl Marx maseh hidup, tentu ia tidak keberatan untuk meminda Das Kapitalnya ekoran kejayaan Revolusi Islam
Memang, kita keempunan melihat Marx meralat tesisnya itu. Itu tidak mengapa: kerana Frantz Fanon mungkin dapat menjadi mata Marx. Sekurang-kurangnya Fanon sempat merasa ragu-ragu terhadap tesis Marx tersebut.
Sekarang, Khomeini sudah membuktikannya bahawa perubahan boleh berlaku dengan agama, tanpa kita menafikan juga bahawa Lenin turut membuktikan perkara yang sebaliknya. Jadi, sama ada dengan-agama atau tanpa-agama, perubahan sistem boleh saja terakam.
Dalam konteks kelestarian perubahan sistem, agama barangkali bukanlah pembolehubah tunggal. Seharusnya ada manifestasi lain yang terselubung. Ya, kita harus kembali kepada prinsip kemenangan politik-demokrasi. Bukankah politik-demokrasi sentiasa menuntut kuantiti?
Sebentar, beralih kita pada cerita berbeza. Latarnya lain, tapi muatannya barangkali maseh sama. Nah, seperti rakyat
Detik ini sudah dicanangkan sebagai hari perhimpunan raksasa. Perhimpunan kuning nama lainnya. Khabarnya, perhimpunan kuning ini bakal mencecah ratusan ribu. Kelih dari rentak semasa, ada yang yakin bahawa angka tersebut tampaknya seperti realistik. Malah, mungkin lebih!
Tapi, sebelum itu kita rupa-rupanya seakan terlupa sesuatu. Kita harus kembali kepada matlamat teratas. Jika kita berhasrat untuk mencorak perubahan sistem, maka kita harus ingat bahawa setiap perubahan bukannya bergantung pada kuantiti semata-mata.
Ternyata, kuantiti memerlukan kualiti. Sekurang-kurangnya kita harus mempunyai sekelompok pemimpin yang berkualiti, atau dalam perspektif Weberian, pemimpin tersebut sewajarnya melengkapi kategori informal leadership dan formal leadership sekaligus. Jika ratusan ribu hadir menghiasi Dataran Merdeka dengan warna keceriaan tanpa kepimpinan seperti itu, ia belum tentu dapat menjamin perubahan bermakna.
Ini kerana, dalam “tradisi merah”, perubahan sememangnya amat menuntut kepimpinan demikian. Pemimpin yang diiringi dengan semangat “kerelaan, kesepakatan dan tekad”, atau dalam bahasa Islamnya, “bai’ah, permintaan ummah dan amar ma’aruf nahyi mungkar.” Justeru, tanpa sekelompok pemimpin yang Waberian, maka amat mustahil cita-cita perubahan besar sesuatu bangsa dapat dilaksanakan.
Benar, ada yang mengata bahawa perhimpunan itu nanti bukannya untuk merubah sistem. Ia bukan revolusi Islam
Perhimpunan kuning hakikatnya baru permulaan, bukannya kemuncak. Permulaan untuk membina dan menyaring sekelompok pemimpin yang lebih wibawa, atau dalam kata yang lebih enak, melahirkan sekelompok pemimpin yang lebih adil, termasuklah pemimpin dari kalangan pembangkang sekalipun.
Sembari itu, perhimpunan kuning ini mesti terus dibudayakan. Tak salah bila budaya kuning ini dikonotasikan pada pesan-pesan yang menyegarkan pula. Namun, elakkan dari hari kuning itu nanti bertukar menjadi hari hitam: kelam bagi hasrat perubahan. Ini kerana, dalam konteks perjuangan murni, “daripada hitam, lebih baik merah!”
Sebabnya, sejarah sudah membuktikan betapa “tradisi merah” selalunya yang menang!
Monday, September 25, 2006
Terengganu
Saya anak Terengganu. Anak jati negeri ulik mayang ini dibesarkan di Seberang Takir, sebuah perkampongan nelayan yang tidak indah, namun menyimpan sejarahnya yang tersendiri. Dan, bila saya membaca laporan Malaysiakini yang memuatkan kenyataan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Rosol Wahid mengenai projek-projek di Terengganu, saya seperti naik cemuuh (lagi!). Muak sungguh!
Saya tidak menafikan kenyataannya bahawa sebahagian besar projek-projek yang terdapat di Terengganu telah diberikan kepada anak tempatan. Ini memang sangat benar sekali. Tetapi, seeloknya sila jelaskan siapakah anak tempatan itu? Malah, beliau seharusnya turut sama membentangkan bagaimanakah tatakaedah projek-projek itu telah diberikan kepada kontraktor-kontraktor yang melibatkan anak tempatan tersebut?
Apakah projek pembinaan lapangan Equestrian di Lembah Bidong, Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, Stadium Tertutup dan naiktaraf Lapangan Terbang di Gong Badak, Pembinaan Universiti Darul Iman Malaysia di Besut --> itu semuanya telah melalui suatu proses tender terbuka, ataupun ia telah dianugerahkan kepada puak-puak tertentu? Jika ada pun tender yang dilakukan, bukankah ia hanyalah proses untuk mengelabui mata khalayak, kononnya pemberian tender ini sudah terjamin ketelusannya?
Demikian juga pembinaan jalanraya di seluruh Terenganu. Sejauh manakah beliau dapat memastikan bahawa memang tiada unsur kronisme dalam pembahagian tender-tender tersebut? Adakah pembinaan dan naiktaraf sesetengah jalanraya itu benar-benar mendesak, atau projek tersebut sengaja diada-adakan semata-mata memberi ruang untuk memunggah khazanah negeri? Mana lembaga berkecuali yang memantau kesemua projek-projek ini?
Sementara itu, mengapakah kontraktor yang sudah hilang kredibiliti – kerana gagal dalam projek sebelumnya – masih lagi dipilih? Dan, bagaimanakah boleh berlaku dalam permohonan tender, tiba-tiba ada kontraktor terpilih yang harus menerima Joint Venture (JV) dengan mana-mana syarikat kontraktor misteri? Bahkan, mengapakah ada kontraktor yang telah dipilih melalui proses terbuka untuk membangunkan suatu projek tertentu, kemudian ditarik kembali atas alasan-alasan yang kabur?
Di samping itu juga, tentang kesamaran projek penambakan pantai dan pendalaman sungai di Seberang Takir. Mengapakah penjanjian untuk kerja-kerja tersebut telah mempersetujui terma pembayaran berdasarkan secara meter per kiub? Nah, di mana untungnya terma ini kepada rakyat Terengganu --> yang awal-awal lagi sangat jelas memihak kepada kepentingan kontraktor tersebut?
Ekoran keraguan ini, maka saya tidak hairan bila Dato’ Seri Idris Jusoh memohon agar pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa II diserahkan kepada anak-anak tempatan. Kerana definisi yang tepat kepada makna anak-anak tempatan ini ialah kalangan kroninya. Tuduhan ini bukan sebarangan. Apatah lagi melihat barisan exco Kerajaan Negeri Terengganu – yang rata-rata terdiri dari kontraktor – maka sangkaan ini tidaklah jauh tersasar.
Sayang sungguh, Jawatankuasa Hisbah yang diwujudkan oleh Kerajaan PAS Terengganu di bawah pimpinan Tun Salleh Abas sebelum ini telah pun dihapuskan oleh Kerajaan Barisan Nasional. Jika tidak, barangkali ‘pembohongan bodoh’ puak-puak yang rakus ini mudah sekali dibongkar sekiranya dianggotai oleh mereka yang berintegriti. Tetapi, kini siapakah yang punya wewenang untuk melakukan pemantauan ini?
Sebab itu, saya begitu cenderung memilih sikap untuk membenarkan semua serangan Tun Dr. Mahathir terhadap dominasi Patrick Badawi. Melalui Menteri Besar boneka, Terengganu telah dijajah buat kesekian kalinya setelah penjajahan Siam, Jepun dan British. Harta dari ghanimah politik kini sedang lahap dibahagi-bahagikan sesama pembesar. Manakala, bendahara menteri di Putrajaya pula kian haloba sembari menanti-nanti kiriman ufti yang berikutnya.