Menolak Fields Medal 2006, enggan menerima anugerah dari European Mathematical Society dan kemudiannya sinis dengan hadiah US1 Juta dari Clay Mathematics Institute di Boston. Beliau juga tidak melayan permintaan temubual media serta langsung tidak berminat dengan jurnal-jurnal akademik. Semua pendirian ini adalah karekteristik Grigory ‘Grisha’ Perelman, seorang matematikawan misteri dari Steklov Institute of Mathematics, Russia. Malah, beliau menuduh para juri yang menilai hasil kerjanya tidak cukup layak, manakala komuniti matematikawan pula dianggapnya sebagai hipokrit serta hidup penuh dengan ketidakjujuran.
Grisha – yang pernah memenangi International Mathematical Olympiad dengan catatan markah sempurna ketika berusia 16 tahun – sebenarnya cuba untuk lari dari kelaziman sambil melihat persoalan-persoalan di sekelilingnya dari dimensi yang berbeza. Sebab itu beliau cuba menyindir komuniti matematikawan konvensional dengan menyatakan bahawa bahawa sebarang hasil kerjanya tidak pernah dibiayai oleh mana-mana dana sekalipun. Ia adalah dari tabungannya sendiri. Tidak hairan, Professor Marcus du Sautoy dari Oxford University cuba memahaminya dengan berkata, “Perelman sebenarnya tidak berminat dengan wang. Baginya, anugerah terbesar ialah berjaya membuktikan teoremnya”.
Dan, Grisha namanya tiba-tiba mashyur bilanya diumumkan sebagai antara pemenang Fields Medal 2006 – anugerah yang dianggap sekelas dengan Nobel. Ini kerana hadiah Nobel yang berprestij itu tidak diberikan kepada bidang matematik. Tiga kertasnya yang menarik itu mula disiarkan dalam Arxiv [(1) Finite extinction time for the solutions to the Ricci flow on certain three-manifolds, (2) Ricci flow with surgery on three-manifolds, (3) The entropy formula for the Ricci flow and its geometric applications] semenjak November 2002 lagi. Dan, kini ia terpaksa ditutup kerana ribuan orang ingin membacanya serentak. Dalam kertas tersebut, Grisha membuat sumbangan penting ke atas geometri Riemann serta topologi geometrik.
Secara khususnya lagi, Grisha telah berjaya membuktikan konjektur geometri Thurston yang melibatkan struktur geometrik pada persoalan matematik yang lebih dikenali sebagai manifold. Dan, pembuktiannya ini sebenarnya merupakan penyelesaian ke atas konjektur Poincaré. Justeru, ekoran konjektur Poincaré ini merupakan persoalan khusus yang terdapat dalam konjektur Thurston, maka ini sekaligus bermakna Grisha juga telah berjaya membuktikan kebenaran konjektur Poincaré, yang selama seabad terakhir ini dianggap sebagai masalah matematik yang paling sukar.
Malangnya, sumbangan Grisha ini barangkali adalah hasil kerja matematik terakhirnya yang dapat kita saksikan. Grisha, yang hanya baru berusia 40 tahun, kini dikhabarkan sudah bersara dan enggan dikenali sebagai seorang matematikawan lagi. Tinggal bersama ibunya di St. Petersburg, Grisha hanya hidup atas wang pencen ibunya. Malah, beliau cukup tidak senang dengan tindakan Asian Journal of Mathematics pada Jun 2006 yang menyiarkan kertas kerja Xi-Ping Zhu (dari Sun Yat-sen University, China) & Huai-Dong Cao (dari Lehigh University, Pennsylvania). Kertas tersebut “A Complete Proof of the Poincaré and Geometrization Conjectures - application of the Hamilton-Perelman theory of the Ricci flow” merumuskan hasil Grisha secara lengkap dan akademik mengenai pembuktian konjektur Poincaré.
Sebenarnya, keunikan pendirian Grisha ini bukanlah suatu kejanggalan dalam dunia akademia. Sekiranya Richard Feynman tidak menolak hadiah Nobel 1965 atas sumbangan elektrodinamik kuantum bersama Julian Schwinger dan Shin-Ichiro Tomonaga, tentunya Feynman juga seperti Grisha. Kerana, selain hadiah Nobel, Feynman sebelum itu sudah pun menolak sejumlah besar pengiktirafan yang diberikan kepadanya. Malah, fikiran Feynman tidak kurang gilanya. Bahkan tidak mustahil, kita mungkin juga akan saksikan nanti seorang Felo Akademi Sains Malaysia yang akan memulangkan semula anugerah felo tersebut. Beliau, yang memang tidak melihat peranan signifikan Akademi tersebut, khabarnya hanya menunggu saat yang sesuai untuk berbuat demikian.
Begitu juga dengan sikap ‘tidak betul’ Grisha. Ia juga bukanlah suatu keanehan. Pernah diceritakan, seorang mantan professor fizik teori dari UKM, hanya tahu menggunakan keretanya semata-mata, tetapi tidak pernah ambil peduli soal minyak pelincir (dan maintenance) kereta tersebut. Dan, kereta tersebut terus-menerus digunakannya sampailah rosak dengan sendirinya. Kalau tidak membeli kereta baru, tentunya ribuan ringgit sudah terbuang untuk memperbaiki kereta tersebut. Lebih lucu lagi, kalau anda pernah dengar kesah telatah sosial seorang professor fizik optik dari UM, yang dipercayai boleh bikin hairan dan ketawa yang tak sudah-sudah dari kita.
Memang, alam saintis itu kadangkala indah dan mengasyikkan. Namun, usahlah dihairankan jika anda bertemu dengan saintis yang berperangai seperti ini, lantaran Grisha bukanlah satu-satunya saintis yang pernah berperangai demikian. Dan, barangkali menonton filem A Beautiful Mind (2001) boleh membantu kita memahami 'spesies' Grisha dengan lebih baik lagi.
Friday, September 1, 2006
Keanehan Grisha
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
Ada satu lagi filem fasal matematik -- the Proof, namun tak sehebat Beautiful Mind, tapi sedap gak.
mungkin "kesederhanaan" anjuran islam adalah cara terbaik untuk mengelakkan "kepelikan" watak seorang saintis yang bagus yang kadang-kadang merugikan.
Siapa kata genius Islam tidak pelik? Ramai, cuma kita tak tahu dan ustaz-ustaz tak mahu ceritakan.
saya mungkin terkeluar dari org yang mengetahui pekara2 ape yang saudara tahu...tapi saya amat meminati tulisan sebegini...maklumlah ilmu saya cetek je...
Post a Comment