www.flickr.com

Wednesday, September 13, 2006

Metalogik

Saya sendiri sememangnya bergaul antara keketaraan perwakilan dari dua aliran fikiran. Untuk mudah takrif, bilang saja antara puak-puak liberalisme dan puak-puak Islamisme. Izinkan saya simpulkan begitu.

Kerana itu, saya agak mengerti ketajaman fikiran kedua-kedua puak ini. Dan, harus saya kongsi, untuk mencari kejernehan fikiran bukannya bernoktah dalam pilihan dua puak yang terhad ini. Kita harus pergi lebih dari itu. Jauh. Maksud saya, harus menjangkau metalogik!

Umpamanya, kita renung balek secebis sejarah Islam di awal-awalnya. Metalogik yang dipraktikkan oleh Imam Husayn merupakan salah satu contoh menarik yang boleh kita semak kembali.

Beliau, ketika di Makkah, telah disarankan oleh Ibn Abbas, Muhammad Hanafiyyah, dll dengan sebuah catur strategi yang licik, cerdas dan selamat. "Tangguhkan saja kunjungan ke Kufah", pinta Ibn Abbas. Dan, "jangan berdada dengan tentera Yazid!"

Memang, secara logiknya cadangan tersebut amat bernas, lebih-lebih lagi mengenangkan realiti tak bertepi di Kufah. Namun begitu, Imam Husayn dan rombongannya sudah nekad melangkah.

Malah, Imam Husayn turut diperingatkan oleh Farazdaq ketika pertengahan perjalanannya menuju ke Kufah. Farazdaq, si penyair itu menukil dengan penuh perasaan, "hati mereka (orang Kufah) bersamamu, namun pedang mereka pula bersama Yazid". Itupun, Imam Husayn maseh memilih mengabaikan peringatan ini.

Nah, kini Imam Husayn dan yang lain akhirnya meraih apa yang diimpikannya, kecuali Imam Ali as-Sajjad dan kaum perempuan. Seperti ungkap Ali Shari'ati, mereka yang gugur itu telah menjadi jantung sejarah kemanusiaan. Sementara, Zaynab al-Kubra mula memercikkan pesan-pesan dari darah para syuhada.

Lalu, di sinilah bermula persoalan-persoalan besar yang harus ditebak maknanya. Apakah tindakan Imam Husayn ini bodoh dan bebal kerana tidak menuruti kepintaran anjuran Ibn Abbas, dll itu? Dan, apakah logik tindakan Imam Husayn untuk tetap berkunjung ke Kufah dalam keadaan dukungannya belum lagi dipastikan?

Dan, demikian juga, logik apakah juga yang telah mendorong mereka semua (keluarga dan pengikutnya) untuk terus menempuh badai gurun, sedangkan utusannya ke Kufah, Muslim bin Aqil sudah diketahui terkorban di tangan puak-puak Yazid?

Sungguh, persoalan ini maseh belum lagi terhenti begitu saja, sebelum terselaknya tabir metalogik transformasi tindakannya itu? Kerana, sepintas telahan, tindakan Imam Husayn ini langsung tidak diwarnai dengan aturan-aturan logik. Tetapi, berdosakah logik?

Logik, seperti yang kita ketahui, merupakan salah satu daripada teras falsafah. Begitu juga metafizik. Maka, bukankah dengan menyingkir falsafah sebenarnya hanyalah menjarakkan lagi pemaknaan terhadap tindakan Imam Husayn ini? Sebab, metalogik tidak akan hadir dari luar lingkungannya

Justeru, bagi saya, jalan untuk memahami dan menekuni metalogik seharusnya juga bermula dengan penaakulan secara falsafah, tentunya! Falsafah tidak bersalah. Bahkan, harus dicermati bersama bahawa falsafah itu hanya ada satu, bukannya ragam! Yang berbeza adalah natijah dari kefalsafahannya.

Kerana itu, jika kita mencarinya pada kubu-kubu liberalisme dan Islamisme semata-mata, saya yakin dan percaya, kita tidak akan mendapat kesempurnaan seperti mana yang termanifestasi dalam metalogik revolusi pewaris Adam!

6 comments:

Amin Ahmad said...

Sdr Aqil,

Kita pada 'simpang' yang sama. Ana rasa bukan simpang la..kita lalui satu lorong. Dinding kanan dan kiri kita ada apa yang enta sebut 'aliran Islamisme' dan 'alirang Liberalisme'. Huh, jadi aliran kita apa ya? Haha..

Ana fikir nama aliran-aliran itu hanya nama di mana mereka suka dipanggil..haha..

Ana fikir..kita (semua) mungkin apa yang Prof Osman Bakar katakan 'pukul rata dengan label'. Ah, jangan terlalu terperangkap dengan label..teruskan saja dialog dan wacana - prejudis itu jadikan sikap peribadi..bukan jadi bujuk pada awam.

Ana rasa Faisal Tehrani telah cuba jawab tulisan enta ni..dan ana kira menarik, seperti mana hemat ana bahawa dia punya kekuatan itu di kalangan lapis muda..bukan sahaja tentang Islam, malah isu sejagat.

Cuma ana tak pasti sama ada sdr Faisal punya kesempatan untuk duduk dalam liku politik Malaysia secara praktis. Duduk bertegang leher dengan aktivis bukan Islam dan sbgnya. Mungkin itu akan jadi penting..cuma yang ana tahu dia memang aktivis dalam bidangnya dan juga semasa di UM.

Yang penting dia buat sesuatu, salut untuk dia! Juga untuk Fathi..kedua-duanya bukan hitam putih untuk ana..mereka adalah warna..

Aqil Fithri said...

salaam~

Min, saya bukannya berada pada satu simpang. mana2 simpang sekalipun. sepertinya shari'ati, saya sudah nekad memilih jalan. dan, memang jalan hanya ada tiga. namun, dalam waktu yang sama, saya juga serasi dengan filsafat anjal. sepertinya tokoh2 dari leluhur rasulullah saw itu lagaknya.

ada kala kita boleh memilih diam seketika sampai terhimpunnya nahjul balaghah. mungkin juga kita bisa beralah demi sebuah perdamaian, meskipun itu musuh akbar kita. atau, betapa kita telah nekad untuk bangkit bersaksi di tengah2 medan yang tandus --> demi merealisasikan metalogiknya.

Ataupun, cukuplah kita bergelinangan airmata sambil melantunkan du'a2 dari ash-shahifah as-sajjadiyyah. malah, kita boleh juga bergelumang dalam dunia intelektual sehingga akhirnya menjadi guru kepada para imam yang empat lalu membentuk fiqhnya. bahkan, mungkin lebih 'enak', kita boleh menjadi perdana menteri kepada al-makmun.

namun begitu, pastinya keanjalan pendekatan ini bukannya suatu jalan. ia hanyalah berupa kaedah untuk kita menyampaikan pesan2 dari langit2 kita. cuma, yang membezakan kita dengan lakaran di atas adalah noktah kesyahidan. mereka semua akhirnya syahid. tetapi kita belum tentu lagi. bukan sahaja untuk syahid, malah untuk thabat atas jalan yang dipilih juga satu cabaran.

memang, fikiran kita bisa diralat. tetapi apakah cita2 besar kita bisa juga diralat? muthahhari dan shari'ati berbeza fikiran, justeru adakah keduanya turut berbeza cita2? sekali lagi memang, bahawa ada yang beranggapan cahaya itu sama, meski berbeza lampu. tetapi mereka lupa, bukankah cahaya itu ada kilauan (luminosity) yang berbeza-beza...

Khalid Jaafar said...

Apa bukti jalan ada tiga, atau tiga sahaja?

zarch said...

Salam, dalam pada itu, ada sesuatu yang terselit dalam ruang masa dan tempat, iaitu takdir atau qadar yang tidak dapat diungkap oleh akal. Syaidina Hussien bukanlah kurang akalnya atau sebagainya, hanya-sanya telah ditakdirkan dimana dan bagaimana kematiannya.
Jesteru itu, hidup kita ini semuanya telah termaktub, hanya-sanya tinggal dua jalan atau dua usaha sebagaimana diSurah Al Lail menyebut yang lebih kurang maksudnya,
" Adapun orang yang memberikan (hartanya dijalan Allah) dan bertaqwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah."
"Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup, serta mendustakan pahala yang terbaik, maka kelak Kami akan menyiapkan baginya jalan yang sukar."
- Jadi Ulama memberitahu, selama mana seseorang itu dengan hati yang ikhlas berusaha kearah kebaikan, ketaqwaan dan sentiasa sanggup mengorbankan harta, dirinya dan waktu untuk Allah, seperti bersedekah, membantu mereka yang tidak berkemampuan, melakukan amal maaruf- nahi mungkar dll, selama itu, dia adalah dijalan kebenaran dan takdir yang dihadapinya juga adalah membawa kearah takdir yang baik akhirnya.
Walahuallam...

Aqil Fithri said...

salaam~

Pak Khalid yang budiman, kiriman saya di atas (Shiffin) merupakan catatan tidak langsung saya untuk Pak Khalid.

terima kaseh!

Anonymous said...

ntahapahhapahntahh, apaqebendaanya
yang korang nih cerita