Secara peribadi, saya tidak menafikan wujudnya sejarah nyayat tentang terjadinya tragedi pembantaian Husayn dan kafilahnya di Karbala. Ia merupakan peristiwa akbar yang banyak sekali dicatatkan dalam kitab-kitab sejarah muktabar. Bahkan, manifestasi peristiwa agung Karbala ini, telah disifatkan oleh Sayyed Hassan Nasrallah sebagai pelengkap kepada Hijrah yang dicetuskan oleh Nabi Besar Islam sebelum itu.
Persis ungkapan Nasrallah dalam khutbahnya pada malam pertama Muharram pada 1420H, "Hijrah Rasulullah saw adalah hijrah kehidupan, manakala hijrah Husayn adalah hijrah kematian." Apa yang ditegaskan oleh Nasrallah ini menyimpan kebenaran, kerana sama ada hijrah yang "dilepaskan dari kematian" (Rasulullah) atau hijrah yang "dihadapkan kepada kematian" (Husayn) masing-masing adalah hijrah kemenangan, hijrah tawhid dan hijrah kemanusiaan!
Memang, Husayn dari satu sudut telah mati, atau bahasa agamanya, Shahid. Tetapi pancaran revolusinya masih hidup, tetap segar serta bersinar di bawah ayunan tangan Zaynab. Lalu, agama yang dibawa oleh datuknya kembali diwarnai. Dan, di bawah suara parau Zaynab itulah, pesan revolusi Husayn sayup berkumandang --gempita, menembus emosi, mengugah jasad-- sambil mengarak awan mendung ke Istana al-Khadhra'.
Sayangnya, ledakan revolusi Husayn yang murni itu tidak disambut dengan suatu semangat yang gagah dan kesedaran yang sejati. Puak-puak Shi'ah di Kufah yang awalnya membelot kepada Husayn, akhirnya memilih merintih mengenang kekesalan mereka yang melupakan janji setia pada kafilah Husayn. Mereka inilah golongan yang menolak kekenyangan akhirat, tetapi akhirnya memilih kekenyangan dunia. Sementara, sesetengah lagi cuba bersikap lunak seperti Abu Hurayrah, "bersama Mu'awiyyah untuk menghilangkan kelaparan, atau bersama Ali ketika mahu khusyuk dalam shalat".
Dan, puak-puak Shi'ah seperti spesis inilah yang banyak mewarisi pengertian revolusi Husayn secara sempit dan menyesakkan. Memukul-mukul dada, mecah-mecahkan kepala, dan memercik-mercikkan darah atas nama 'pengorbanan' dan 'pembuktian', kononnya sebagai tanda kekesalan serta simpati mereka terhadap perjuangan Husayn. Tetapi, mereka sendiri bagaimana? Bukankah mereka sendiri yang memilih untuk menikus kepada Damsyik dan pewaris Damsyik!
Saya yakin dan percaya, bukan itu yang diajar oleh Husayn menerusi pesan-pesan Karbala-nya. Dan, bukan itu juga yang dimahukan oleh Zaynab. Husayn dan Zaynab tidak mahu semua itu --mengesak-esak menangis, berdentam-dentum memukul dada-- tetapi esok harinya sudah lupa apa itu wawasan revolusi Karbala. Kemudian, apabila tiba 'Ashura tahun berikutnya, ritual yang sama diulangi. Jadi, apa faedahnya revolusi Karbala yang agung itu?
Bayangkan, jika puak-puak Shi'ah yang berkabung untuk Husayn pada hari 'Ashura memukul kepala dengan parangnya, dan menahan kesakitan, tetapi mereka semua langsung tidak mengenal satu ayat pun tentang Husayn dan Zaynab. Puak-puak Shi'ah "warisan Kufah 61H" ini hanya mengenal Husayn dan Zaynab hanya pada pagi hari 'Ashura hingga tengahari, selepas itu mereka lupakannya, dan berakhir apabila kerja-kerja harian dan tugas rutinnya bermula.
Nah, persoalannya, adakah Husayn, Zaynab, malah Muhammad, Ali dan Fatemah sekalipun mahukan itu? Mahukan kita menangis-nangis, tetapi tidak mengenal bi'ah masyarakat kita? Mahukan kita menoreh-noreh kepala, tetapi dayus melawan mustakbirin? Dan, mahukan kita mengopek-gopek dada, tetapi miskin intelektual? Adakah puak-puak seperti ini fikir shari'at 'Ashura itu lebih awla dari manifestasi dan falsafah 'Ashura itu sendiri?
Jadi, mengapakah puak-puak Shi'ah terbanyak ini menampilkan citra 'Ashura dalam konteks yang lesu, lembik, ngeri, sedih, statik, dll yang negatif itu. Walhal, 'Ashura ada dimensi positif yang bersemangat, waja, indah, berani, dinamik, dll. Malah, hingga kini, tidak pernah saya melihat Ruhollah Khomeini, Ali Khamenei, Hassan Nasrallah menoreh-noreh dan memarang-marang kepalanya sampai memercikkan darah, kononnya atas nama Husayn!
Sebab itu, dimensi-dimensi konstruktif yang terhimpun dalam tradisi serta khazanah Shi'ah sering dibaca dengan bentuk negatif oleh kalangan Sunni, ekoran gambaran jelek yang berikan oleh khalayak besar Shi'ah tersebut! Aduh, malang sekali, logik revolusi yang dibangkitkan oleh Husayn dicerminkan dengan paparan sebegitu. Semoga Tuhan mengampuni kita dan menunjukkan jalan kebenaran yang paling ikhlas buat kita semua! Ameen...
Monday, January 29, 2007
Pesan 'Ashura
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
salam,
pandangan yang benar.
Aqil,
Bagus sekali tulisan ini. Isu ini merupakan cabaran bagi masyarakat Syiah untuk memurnuikannya.
Samalah dengan Sunni yang begitu banyak amalan yang sesat dan karut-marut yang perlu juga dibersihkan.
Kerja -kerja pemurnian ini perlu diteruskan. Moga suatu masa nanti kedua-duanya akan bertemu di satu titik yg sama.
salaam,
FT, terima kaseh. mudah-mudahan!
salaam,
JR, insha'allah, satu waktu nanti, sunni dan shi'ah, malah puluhan mazhab lain lagi akan bertemu pada satu titik. saat itu, nama Islam akan menenggelamkan nama mazhab, dan, saat itu juga, panggilan muslim lebih kental berbanding panggilan sunni, shi'i, muktazili, salafis, dll.
tidak begitu? apapun, terima kaseh byk2 kerana sudi berkunjung!
sokong.
moga iraq cepat aman.
amin
Post a Comment