www.flickr.com

Tuesday, November 14, 2006

Khadijah al-Qubra

Khadijah; dari Putri Makkah kepada Putri Islam, dan hanya ada satu ungkapan yang paling tepat untuknya; semangat kebenaran dan kemurahan!

Membaca buku Sayid A. A. Razwy, Menapak Jalan Suci Sang Putri Mekah bukan sahaja membentangkan sebuah perjalanan sejarah bagi seorang pendamping agung kepada Nabi besar Islam, tetapi juga melampirkan beberapa sejarah yang tertanam. Bagi saya, buku ini punya keyakinan sejarah yang nyata ketara dengan buku Abdul Mun'im Muhammad, Khadijah: the true love story of Muhammad. Malah, Razwy tampaknya langsung tidak gentar untuk mempertahankan faktanya.

Menerusi buku yang berjudul asalnya ini, Khadijatul Kubra, A Short Story of Her Life, Razwy telah membentangkan satu tafsiran sejarah Islam tidak lazim ketika mengungkapkan saat bagaimana Nabi menerima wahyu yang pertama. Menurut Razwy, terdapat juga kepercayaan di kalangan sebahagian muslim bahawa Nabi sebenarnya menerima wahyu pertama dalam keadaan penuh tenang dan tertib, bukannya sepertimana yang kita fahami sebelum ini. Sembari membawa al-Isra: 65 dan az-Zumar: 61, Razwy turut berkesimpulan bahawa adalah tidak mungkin Nabi pernah terfikir untuk membunuh diri atau merasakan jasad yang memeluknya itu adalah syaitan, sehingga ia mengelisahkan Nabi sendiri.

Selain daripada itu, menerusi buku ini juga, Razwy turut berkesah tentang sumbangan seorang Huffaz yang banyak berjasa dalam sejarah awal Islam. Abdullah Mas’ud, yang kata Razwy, pernah mengumpulkan salinan al-Qur’an versinya sendiri. Sayangnya, akhirnya ketika zaman Saidina Usman bin Affan, salinannya tersebut telah diperintahkan agar dibakar. Jadi, mungkinkah ini peristiwa pertama dalam Islam bagaimana sebuah kitab yang dianggap mengancam telah dibakar oleh politik berkuasa. Malah, kitab itu bukan sebarangan: al-Qur’an! Juga ia bukan dari himpunan sebarangan, tetapi dari Abdullah Mas’ud, salah seorang sahabat Nabi yang dihurmati kerana keluasan ilmunya.

Di samping itu, kesyahidan Harits Abi Ala turut t menarik sekaligus juga satu pemaparan fakta yang terkini untuk saya. Kita tentunya pernah mendegar kesah tragik Yasser dan Sumayya, namun jarang sekali di kalangan kita dimuatkan dengan kesah Harits Abi Ala ini; yang dikenal sebagai muslim pertama syahid dalam pelataran Ka’bah. Dengan usia 17 tahun, iaitu sewaktu zaman Makiyyah lagi, Harits Abi Ala telah menunjukkan semangat kecintaannya pada Nabi dengan memberi pelindungan fizikalnya terhadap ancaman puak-puak Quraisy. Dan, bagi Khajidah, kesyahidan Harits Abi Ala juga merupakan kehilangan peribadinya. Apatah lagi, Harits Abi Ala merupakan anak saudara yang dibelanya semenjak kecil lagi.

Namun kesedihan Khadijah atas kehilangan Harits Abi Ala tidaklah sebesar jika mahu dibandingkan dengan dukungan emosionalnya terhadap Nabi. Mungkin kerana keistimewaan inilah— Razwy memetik dari al-Ahzab: 6—Khadijah barangkali adalah insan yang difikirkannya paling sempurna untuk meraih panggilan Ummul Mukminin. Tanpa diri Khadijah, lanjut Razwy lagi, gelaran Ummul Mukminin tidak membawa apa-apa makna. Hal ini sangat jelas apabila kita melihat perhatian Nabi terhadap bakti Khadijah pada tahun-tahun berikut tanpa kehadirannya lagi.

Namun begitu yang paling dramatik dari fakta buku ini ialah mengenai tarikh dan usia. Memang, menyoroti soal ini tidak banyak yang dapat menyelesaikan persoalan semasa. Tetapi sebagai catatannya, Razwy dengan begitu yakin telah membentangkan bagaimana terhadap manipulasi sejarah yang cuba memadam serta merendahkan kredibiliti Nabi menerusi Khadijah. Sejarah Islam yang banyak dicatat, sambung Razwy lagi, adalah sejarah yang bercanggah dengan mantik. Umpamanya, Razwy menyatakan hakikatnya walimah antara Nabi dengan Khadijah adalah yang pertama untuk kedua-duanya. Manakala keluarga mereka hanya dikurniakan dengan tiga anak sahaja: Qasim, Abdullah dan Fatima. Sementara Rukayyah, Ummu Khalsum dan Zaynab adalah anak angkat yang diambil dan dipelihara oleh Khadijah, kemudian dibesarkan dalam keluarga Nabi sendiri.

Akhirnya, apabila kita membaca Menapak Jalan Suci Sang Putri Mekah, ia juga bermakna kita sedang membaca suatu catatan semula tentang sejarah Khadijah, malah mungkin juga tentang sejarah awal Islam itu sendiri. Sejarah yang paling boleh diterima adalah sejarah yang menyerasikan faktanya dengan keagungan keperibadian Khadijah. Justeru, adalah tidak mungkin kita dapat menerima catatan sebuah sejarah, jika sejarah itu akhirnya dilihat merendahkan diri Khadijah.

Memang, begitulah agungnya ath-Thahirah, seorang insan yang memiliki hati yang tenang dan jiwa yang penuh kedamaian, yang sentiasa menenteramkan Nabi. Sampaikan Khadijah sendiri telah diistimewakan untuk membalas salaam Allah swt: ”Allahlah pemelihara kedamaian dan sumber segala damai. Salaamku kembali untuk Jibril!”

Semoga Allah swt merahmati Ummul Mukminin ini!

2 comments:

Anonymous said...

salaam!
fakta mengenai bonda muslimah tercinta ini amat dikit kita tahu tetapi rencana saudara mengenainya dalam entri kali ini sememangnya membuka mata... tampak umpama ada sejarah baru pula! kita sememangnya punya tanggungjawab membongkar semua ini...bonda muslimah khadija al qubra ikon wajah wanita kekasih rasulullah.. penggembeleng usaha dakwah rasul... citra wanita ulung baik sewaktu menjadi putri makkah mahupun putri islam..sebagai wanita inilah uswatun hasanah yang perlu dikenali, diamati terlebih lagi DIHAYATI selain dikasihi dan dkenangi...salawat buat bonda ummul mukminin!- ELVEDINA KESTEN

Aqil Fithri said...

salaam,

terima kaseh atas catatan saudari. moga mereka yang bercita2 menirunya akan dipermudahkan jalan tersebut.

khuda hafez!