www.flickr.com

Saturday, December 13, 2008

Salin

Ada yang ghairah pada Asian Renaissance, atau dalam bahasa yang diislamkan, Nahdah Asia.

Jika ada yang benar-benar melihat pengalaman Barat sebagai sesuatu sejarah yang boleh diteladani, maka sewajarnya, kita tidak harus bermula (atau tidak terhenti) pada renaissance dan enlightenment (pencerahan) sahaja, sebaleknya dengan mendahulukan sebuah zaman penterjemahan terlebih dahulu.

Apa yang barat nikmati dewasa ini adalah hasil dari zaman alihan dari kembangan ilmu para peterjemah handal. Ini barangkali bakti besar dari Maimonides, dll, yang sekaligus membuktikan, “setiap binaan tamadun memang memerlukan zaman penterjemahan.”

Kini, bila dasar sebuah negara yang konon akan bertaraf maju pada 2020--dengan menggunakan sukatan “kemajuan ekonomi” dan beberan "acuan sendiri”--tanpa bermula dengan sebuah zaman penterjemahan terlebih dahulu, maka sebenarnya yang kelak lahir adalah salinan yang cacat dari jejak pengalaman Eropah.

Setiap mereka yang kemaruk untuk menyalin Eropah tegar, maka seharusnya disalin juga semangat zamannya. Sebab itu, jangan pula ada yang berselindung di bawah kemolekan kata-kata “acuan sendiri,” tanpa memahami makna terdalam dari perkataan tersebut.

Kita harus bertegas, yang mahu kita majukan bukannya bahasa tunggal, yang asalnya asing. Maksudnya, bukan bahasa Inggeris semata.

Malah, mengangkat bahasa sendiri pula bukanlah bermakna kita memusing sejarah—menjadi mundur dan primitif. Tapi, di sisi kita ada sebuah anjuran yang baik. Kita boleh saja melaksanakan dasar untuk memperkasa bahasa kebangsaan, dan mulai memprakasakan poliglotisme (menguasai berbilang-bilang bahasa). Biar generasi masa depan kita menguasai ragam bahasa, di samping tahu menggunakan bahasa sendiri yang tinggi.

Justeru, di sini mendesaknya sebuah zaman penterjemahan, yang barangkali akan menumbuhkan berahi kita untuk menguasai bahasa-bahasa ilmu yang lebih asli, dan lebih kaya. Bayangkan, hingga sekarang kita maseh lagi menunggu untuk membaca Πολιτεία (Res Publica) dalam bahasa sendiri?

Memang, ada Allan Bloom. Tapi, soalnya, jika ilmu-ilmu ini pindahkan langsung dari bahasa asal kepada bahasa Inggeris, maka takkan kita pula berat untuk memindahkannya langsung ke dalam bahasa kita; bahasa janapada/kebangsaan kita. Nah, jika mereka melakukan penterjemahan, mengapa kita pula enggan mengambil teladan?

Alasannya, itu jalan pintas! Menguasai Bahasa Inggeris, tanpa melakukan kegiatan peterjemahan, adalah lebih lekas untuk kita mencapai wawasan 2020! Konon.

Sebenarnya, ungkapan jalan pintas hanya alasan yang mudah, semudah para politikus yang bebal tanpa kelih lagi pada sebarang hujah-hujah yang berbeza, apalagi bertentangan. Ringkasnya, setumpuk kertas akademik pun takkan berguna kalau otak para politikus kita sudah segi!

Mungkin sebab itulah, ada yang lebih selesa untuk menjadi anarkis; jangan percaya lagi pada ke-raja-an!

3 comments:

Hanif Amir said...

mungkin ini juga membantu:

kera-jaan!

Sapere Avde said...

keras!! :-)

Anonymous said...

wah... ini terlalu berat untuk dicerna oleh mat Pithi..Tapi sangat berbobot
salam