www.flickr.com

Wednesday, January 21, 2009

Nobel

Kalaulah benar Kerajaan Malaysia mahu melahirkan Nobel Laureate, mungkin boleh hadiahkan geran penyelidikan kepada ASASI untuk menyelesaikan tujuh prospek penyelidikan bergengsi di bawah :). Haluan penyelidikan ini dirumuskan oleh Dr. Shaharir Mohammad Zain (Mantan presiden ASASI), dan akan dibentangkan sewaktu Bengkel Ahli Muda ASASI pada Sabtu nanti (24 Januari 2009 di Puri Pujangga, UKM). Sebahagian dari makalah beliau--yang berjudul "Haluan Pengisian ASASI dalam Sains Islam"-- saya nukilkan di sini:

1. Gerakan Penggelintaran Punca Persamaan Aljabar

Komuniti ahli matematik Eropah lama menghadapi “tekanan jiwa” (mungkin sejak zaman Yunani) apabila mereka tidak dapat menyelesaikan masalah “Membahagi Tiga Sama Sudut”, “Menyegiempatkan Bulatan”, “Memperoleh Punca Radikal Persaman Kuintik” yang intuisi mereka meronta-ronta menggoncang benak mereka bahawa penyelesaian masalah-masalah ini sepatutnya positif. Kami menamai kegiatan menggelintar penyelesaian ini sebagai sebuah gerakan besar (tidak rasmi), “Gerakan Penggelintaran Punca Persamaan Aljabar” kerana ketiga-ketiga masalah itu dibuktikan “setara dengan persamaan aljabar” (persamaan polinomial yang pekalinya nombor nisbah). Gerakan ini akhirnya berjaya (setelah melibatkan hampir semua ahli matematik besar Eropah abad ke-18 da ke-19) lalu menerbitkan struktur aljabar atau aljabar niskala khususnya “Teori Kumpulan” pada pertengahan abad ke-19M yang kemudiannya menjadi komponen besar matematik dan fizik matematik hingga kini. Sejauh mana tamadun Islam dan Tamadun Melayu terlibat dalam penggelintaran ini tentunya menjadi kajian ketamadunan yang menarik.

2. Atur Cara Erlangen (Erlanger Programm yang diInggeriskan sebagai Erlangen Program)

Atur cara ini yang juga dirujuk sebagai manifesto penyelidikan Felix Klein (mati 1925) terbit pada 1872 di bawah judul Vergleichende Betrachtungen über neuere geometrische Forschungen di Erlangen, Jerman. (Terjemahannya: A comparative review of recent researches in geometry, trans. M. W. Haskell, Bull. New York Math. Soc. 2, (1892-1893): 215-249). Beliau menyarankan supaya semua geometri diformulasikan sebagai geometri unjuran dan teori kumpulan. Satu daripada natijahnya ialah melihat geometri sebagai kajian invarian di bawah sesuatu Kumpulan Penjelmaan. Atur cara ini bukan sahaja menarik para ahli matematik tetapi juga ahli fizik teori yang memang berminat kepada benda-benda invarian hingga sekarang yang melibatkan Teori Kumpulan dan Aljabar Lie serta analisis atas manifold yang terbentuk daripadanya, Kumpulan Lie Topologi.

3. Masalah Hilbert

Pada tahun 1900 di Kongres Antarabangsa Ahli Matematik di Paris, David Hilbert (ahli matematik Jerman) menyenarai 23 buah masalah besar matematik yang dikatakannya perlu diselesaikan. Sejak itu, kini sudah 13 daripadanya sahaja yang terselesai, iaitu masih ada 10 lagi yang belum dapat diselesai dan ini termasuklah yang amat diminati oleh ahli fizik teori:

Masalah ke-4.: Bina semua metrik dlm ruang-masa yang geodesiknya garis lurus.
Masalah Ke-6: Bina aksiom untuk semua teori fizik.
Masalah ke-20: Adakah semua masalah nilai sempadan ada penyelesaiannya?

Bagaimana benar besar dan asasinya masalah Hilbert dapat disaksikan pada tokoh-tokoh sarjana besar abad ke-20 yang terlibat dengan penyelesaiannya seperti Cohen (Masalah 1), Godel (masalah 2), Dehn (masalah 3), von Neuman (masalah ke-5), Gelfand (masalah 7), Artin (masalah 9 dan 17) dan Shafarevich (masalah 9), Shimura dan Taniyama serta Laglands (masalah 12), Arnold (masalah 13), Nagata (masalah 14), Bernstein dan Nash (masalah 19)

4. Masalah Einstein: Teori Bersatu Gedang/Grand Unified Theory (TerBanG/GUT), Teori Serba-Serbi/Theory of Everything (TES/TOE)

Einstein mengimpikan berjayanya penyatuan teorinya dengan teori yang tidak disenanginya, Teori Quantum, yang beliau namai Teori Bersatu Gedang (TerBANG) atau Grand Unified Theory (GUT). Penyatuan ini gagal hingga munculnya atur cara baru pembaikan/penggantian Teori Einstein dan Teori Quantum yang dikenali sebagai Teori Serba-Serbi (TES) atau Theory of Everything (TOE) yang diandaikan antara lainnya asas jirim ini tidak lagi atom tetapi tetali dan ruang alam semesta ini tidak lagi 3 atau 4 matra tetapi sekurang-kurangnya 7 matra dan tidak melebihi 11 matra, lalu terbitlah istilah supertetali/superstring dan supersimetri/supersymmetry dan pelbagai super-x lagi itu. Atur cara TES ini sedang giat dilaksanakan terutamanya sejak 1980-an hingga kini dan asarjana Muslim yang menghayati sistem nilai, tasawur atau kosmologi Islam dalam kehidupannya, ringkas mereka yang terlibat dalam pengIslaman ilmu.

5. Wawasan Heidegger tentang Universiti dan ilmu

Heidegger masyhur sebagai seorang dariapda ahli falsafah agung abad ke-20 ini dengan karya agungnya berjudul Sein und Zeit (dalam bahasa Jerman yg terbit pada 1927) dan diterjemahkan kepada Inggeris dalam tahun 1962 sebagai Being and Time (dan Being ini diterjemah oleh penulis ini pada 2001 sebagai Makhluk dalam catatan kuliah Sarjananya di UKM “Sejarah dan Falsafah Kepengurusan” dan dalam mimeografnya “Teori kepemimpinn-kengurusan dalam tamadun Melayu dan Tamadun Islam vis-à-vis Eropah” 2003 dan juga dalam mimeografnya “Perbandingan kritis trentang tabii masa Barat, Islam dan Melayu” 2006). Sebaik sahaja Heidegger dilantik sebagai Rektor Universiti Freiburg, Jerman, pada 1933, beliau menyampaikan kuliah pemasyhuran perlantikannya itu tentang konsep universiti dan ilmu di universiti. Kuliah ini menjadi masyhur lebih-lebih lagi kerana beliau mengaitkan peranan universiti dan ilmu dengan Nazisme Hiltler itu. Ceramahnya diterjemah kepada bahasa Inggeris 1990 dengan judulnya "The Self-Assertion of the German University," (Swa-Penegasan Universiti Jerman) yang dikatakan ada dalam Neske G. & Kettering E. (Pyt.), Martin Heidegger and National Socialism (New York: Paragon House, 1990) dan dalam kuliah itulah beliau banyak memuji Nazisme dan menggesa sarjana Jerman mendokonginya dengan menggunakan falsafah “Makhluk dan Masa” beliau itu. Khususnya, beliau beretorik dengan menggunakan satu daripada istilah falsafahnya yang diakui sukar difahami orang hingga kini, iaitu Dasein (terjemahan harafiahnya, existence/kewujudan). Pada tahun yang sama, beliau memberi ceramah kepada Persatuan Pelajar Heidelberg itu tentang perkara yang hampir sama, tetapi dengan penumpuan kepada peranan pelajar bagi merealisasikan wawasan beliau itu. Wawasan beliau ternyata gagal langsung. Malah beliau meletakkan jawatan setahun kemudiannya sahaja atas kekecewaannya tiadanya sambutan imbauannya itu dari kalangan Nazis sendiri pun. Dengan kekalahan Hitler, beliau malah “dipenjarakan” mindanya (tidak dibenarkan mengajar dan berceramah di mana jua pun, hinggalah pada tahun-tahun akhir riwayatnya sahaja). “Atur cara Heidegger” gagal.

6. Gerakan Lysenkoisme

Hampir serentak dengan “Atur Cara Heidegger”, sebuah lagi “atur cara besar” sains lebih masyhur gagalnya kerana kemasyhuran ideologi melandasinya, ialah atur cara penyelidikan sains komunis Rusia yang dikenali sebagai “Atur Cara Lysenko” dalam sains hayat dan pertanian, sempena nama seorang ahli biologi Rusia pada zaman Stalin. Beliau menolak teori genetik Mendel atau Mendelan dan mendokong teori penghibridan oleh ahli hortikultur Rusia sebelumnya, Michurin (yang meninggal 1935). Beliau “berpolitik” dengan menunjukkan teori warisan menerusi persekitaran yang menjadi ciri teori Michurin itulah yang dianggapnya lebih serasi dengan Komunisme. Beliau berjaya meyakinkan kerajaan Rusia supaya mewujudkan atur cara besar penyelidikan sains berasaskan teori Michurin itu yang diorientasikan kepada tujuan antara lainnya untuk meningkatkan daya pengeluaran pertanian Rusia yang merudum yang dianggapnya akibat daripada dasar pertanian kerajaan yang berasaskan pada teori yang salah, teori Mendelan itu. Pandangan Lysenko menjadi doktrin rasmi kerajaan untuk selama hampir sesuku abad dan dikenali sebagai Lysenkoisme; lalu menjadi sebuah gerakan rasmi sains Rusia sehingga mereka yang menentangnya dihukum oleh negara (disisih atau dipenjara). Gerakan ini terbukti gagal dan diabaikan sejak 1964 apabila Rusia (Akademi Sainsnya) kembali kepada teori Mandelan.

7. Universiti Islam

Tidak ada projek atau atur cara pengajaran/pendidikan dan penyelidikan yang lebih besar daripada atas nama universiti. Sejak 1970-an hingga kini terdapat puluhan universiti yang namanya universiti Islam yang setiap satunya menyatakan tujuannya yang murni, iaitu memberi ilmu yang keIslaman dan membuat penyelidikan yang mengukuhkan tujuan itu, walaupun maksud “keIslaman” itu agak pelbagai daripada untuk Muslim sahaja, menawarkan sistem selari (pendidikan Islam dan Moden yang terpisah), dan menawarkan pendidikan dan/atau penyelidikan ilmu Islam tradisi (fiqh, tawhid, bahasa Arab, sejarah tamadun Islam dan mungkin falsafah tradisi Islam).

Sejauh mana konsep “sains Islam” atau “pendidikan Islam” yang dihayati setiap universiti adalah subjek yang perlu dikaji lagi (sebahagiannya dimuatkan di dalam Asasains (warkah Berita ASASI) 2008, dan sebelumnya Asasains 2007 ada memuatkan tinjauan sekolah Islam seluruh dunia). Namun pengalaman Malaysia mungkin dapat mewakili kesemua universiti Islam itu. Di Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang ditubuhkan pada 1983 itu memang dengan jelas dan lantangnya untuk melaksanakan “pengIslaman ilmu” terutamanya mengikut pengertian IIIT (International Institute of Islamic Thought) yang dibangunkan di Washington oleh seorang pengasas “PengIslaman Ilmu”, Isma‘il al-Faruqi. Sehingga 1998, universiti itu sungguh agresif dengan atur cara tersebut kerana mendapat restu dan payung daripada Menteri Pendidikan dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Anuar Ibrahim, yang juga seorang penggiat pengIslaman dan pemimpin tertinggi UIA. Namun, apabila beliau tersingkir dari kuasa pemerintahan negara, maka dengan pantasnya jugalah UIA meninggalkan atur cara pengIslaman ilmu itu hingga sejak beberapa tahun kebelakangan ini tiadalah sarjana di UIA yang berkarya dalam bidang itu. Semua tokoh ilmuwan dalam “pengIslaman Ilmu” di sana sudah pun disingkir atau “lari”. IIIT sendiri ditutup oleh kerajaan Amerka Syarikat sebaik sahaja peristiwa September, Sebelas, 2001, walaupun kini sedang dihidupkan kembali dengan wakilnya di Malaysia ini diterajaui oleh Prof Dato’ Osman Bakar. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) boleh dikatakan “Islam” nama sahaja, kerana tiadalah kegiatan sarjananya di universiti tersebut yang boleh ditafsirkan sebagai pelaksaan sebuah atur cara pengIslaman Ilmu atau pembinaan sains Islam yang diperjuangkan oleh ASASI umpamanya. Pendeknya secara institusinya, pengIslaman Ilmu di Malaysia sejak 1998 boleh dianggap hanya diteruskan oleh ASASI sahaja. Kegagalan atur cara besar sains Islam di Malaysia dan keruntuhan tamadun Islam itu sendiri kini memang dijadikan hujah ampuh pelbagai pihak yang sejak awal-awal dahulu lagi tidak bersetuju dengan “pengIslaman” dalam bentuk makna apa sekali pun, kerana kononnya “Islam sudah berlalu”, Islam adalah sebuah episod sejarah sahaja dan tidak relevan lagi pada abad Tamadun Sekular Barat yang sedang “didokongi bersama” di seluruh dunia ini menerusi sejagatisme/globalisme (yang bersifat kolonialisme baru dan dianggapnya tiada kuasa boleh menyekatnya lagi) .

Lantaran itu, apakah pula “atur cara penyelidikan” yang di dalam makalah ini dinamai “Haluan” tentang Sains Islam” itu? Apakah status gerakan yang terbabit dengannya, khususnya, ASASI di Malaysia sudah boleh dianggap seperti nasib “Wawasan Heidegger”, “Gerakan Lysenkoisme” dan “Universiti Islam Antarabangsa Malaysia” itu?. Apa pun, walaupun kami kecewa dengan kegagalan UIA itu, namun kegiatan kami dalam bidang ini tidak pernah padam. Kami tidak pernah menganggap diri kami gagal dalam gerakan ini dalam konteks seperti yang dialami oleh Heidegger, Lysenko dan UIA itu. Muslim memang terbukti kalah sejak beberapa kurun dahulu lagi tetapi janji dan pengakuan Allah tidak pernah berubah, iaitu sesungguhnya cara hidup yang terbaik dan diredhai-Nya hanya Islam. Perasaan ini semakin menyemarak dan semerbak rasanya kerana perkembangan mutakhir ASASI dengan kejayaannya merekrut puluhan ahli baru yang berminat dengan “pengIslaman Ilmu” dalam bidang masing-masing. Jadi yang ingin dibicarakan di sini ialah semata-mata bagi menjawab persoalan “Apakah Haluan ASASI?” yang pernah dan sedang dilalui atau dibagani/dicartai oleh kumpulan penulis ini sejak penulis ini menceburkan dirinya di dalam kancah gerakan pengIslaman Ilmu menerusi ASASI?”. Semoga pengalaman kami ini dapat kiranya menjadi iktibar kepada gerakan ini yang diharapkan akan diteruskan oleh generasi baru ASASI.

2 comments:

Rausyanfikir said...

Hidup islamisasi ilmu!

Anonymous said...

saya suka sains diselami dgn agama..baru dpt meningkatkan keimanan..