Ulang lagi! Lagi pun berhujah dengan “tak kan?¨ hanya sesuai untuk bertegang urat sahaja!
Seseorang boleh berkata “takkanlah belajar sains dan matematik dalam bahasa apa-apa pun tak ada kesan apa-apa?”
Isunya cukup mudah difahami dan dibayangkan. Bagaimana boleh sesiapa pun menegaskan “dengan tidak berkerut muka sedikit pun” bahawa dasar pendidikan ilmu (lebih 60% masa pelajar sekolah belajar ilmu ini, dan kerajaan mengharapkan 60% pelajar berada di jurusan ilmu ini) tidak dibenarkan mengucap/berkata-kata dengan ratusan ribu istilah dalam bahasa Melayu. Sedangkan istilah ini telah dipakai sejak 30 tahun ini tidak akan menjejaskan bahasa Melayu?
Seseorang dengan mudah sahaja lupa sesuatu perkataan dalam bahasa B jika dia tidak menggunakan bahasa itu beberapa tahun sahaja, sedangkan ini untuk seumur hidupnya bahkan untuk generasi demi generasi yang akan datang ini.
Siapalah yang akan ingat bahkan yang ingin tahu sahaja (katalah 10 tahun sahaja lagi) jika PPSMI ini diteruskan, perkataan seperti gandaan sepunya, pembahagi terbesar, pekali, pendarab, peranti, segi empat tepat, persegi, tiga kuasa dua, punca kuasa dua sembilan, air suling, air liat, cakera padat, penyelesaian persamaan, ketaksamaan, penghampiran, pengiraan berangka, bebola, daya, kerja, tenaga, laju, pecutan, kedudukan, sesaran, zarah, pepejal, pepenjuru, kosong (malah semua nombor dan imbuhannya seperti eka-, dwi-, penta-, catur-, dasa-,…wisyi- ), abjad, nisbah, sirna,… …. ratusan istilah sains dan matematik peringkat sekolah begini.
Ini tidak termasuk lagi yang bukan istilah transkripsi seperti geometri, trigonometri, fizik, biologi, matematik, silinder, komputer, vektor, magnitud, … yang mungkin mudah dikenali daripada bahasa Inggeris (biarpun dengan penuh cemikannya).
Tetapi besar kemungkinan orang Melayu masih itu akan tercengang--dengan sombongnya--terhadap perkataan seperti falsafah, kimia, aljabar, skala, sfera, norma, firma, alkhwarizmi, nodus, arka, sekunder, prisma, cas, carta, khis, kubus, …
Pendek kata semua umat Melayu akan kurang keMelayuannya berbanding dengan Melayu sekarang! Apa pula tidaknya? Perbendaharaan kata bahasa Melayu hilang terfosil atau menguncup dengan pantasnya dan dengan banyaknya! Kalau tulisan Jawi menjadi ukuran dalam masa 30 tahun sahaja bahasa Melayu kehilangan ratusan ribu perbendaharaan katanya! Siapakah yang waras atau tidak taasub kepada bahasa Inggeris yang sanggup mengatakan bahasa Melayu tidak akan terjejas dan orang Melayu tidak akan hilang keMelayuannya?!
Baca lengkap sangkalan Shaharir Mohamad Zain (yang kedua) di atas menerusi: Komshaha, @ ASASI, @ Abdullah Hassan
11 comments:
salam sdr aqil,
bahasa melayu akan tetap berkembang, sdr. andai seluruh rakyat malaysia tidak lagi menggunakan bahasa melayu pun, ada jutaan manusia yang menggunakannya di luar sana. bukan rakyat malaysia sahaja yang menggunakan bahasa melayu, itu fakta yang tidak boleh ditolak. jangan terlalu pesimistik tentang hal ini.
bunyi saya ini seperti penderhaka? tidak. soal di sebalik perjuangan ini sebenarnya ialah soal maruah - maruah kita sebagai manusia melayu malaysia.
apa tidaknya? jika kita sendiri menidakkan bahasa melayu sebagai bahasa tinggi, dan bahasa ilmu; maka jangan harap orang lain akan menghormati bahasa melayu. malah nanti, jangan marah jika mereka mengatakan bahasa melayu hanya wajar diucapkan di pasar-pasar, di rumah-rumah, di majlis-majlis remeh. walau sepertinya lingua-franca, tetapi tetap berada di tahap rendah.
orang melayu, kata frank swettenham, boleh mengadaptasi dengan mudah segala apa yang datang kepada mereka. jika bercakap dengan cina, maka cinalah lenggoknya; jika dengan india, begitulah juga. sekarang, kita menerima pengaruh bahasa melayu indonesia, maka berlenggok indonesialah cara kita menuturkan bahasa melayu. apakah kita mahu nilai bahasa melayu di taraf itu selama-lamanya?
tentulah tidak. oleh itu, sekian lama kita berusaha menentukan bahasa melayu berlari seiring dengan perkembangan ilmu sedunia. walau bagaimana sukarnya, kita telah cuba sedaya upaya dan berjaya bersaing untuk menjadikan bahasa melayu setanding dengan perkembangan tersebut.
maka lahirlah manusia melayu seperti prof shaharir dan prof yusof, yang belajar dalam bahasa melayu, tetapi petah juga jika berkomunikasi dalam bahasa inggeris. tiada masalah.
apa yang perlu kita buat ialah kita harus terus memperkasakan bahasa melayu dalam semua aspek yang sekali gus dapat memantapkan lagi maruah bangsa secara simbolik mahupun secara praktiknya.
apa yang berlaku sekarang, pihak yang kononnya memperjuangkan ketuanan melayu TIDAK MAHU mengiktiraf bahasa melayu. mereka ini sendiri sanggup menggadaikan MARUAH bangsa melayu yang mempunyai bahasanya sendiri, dengan berkeras mahu terus menggunakan bahasa inggeris dalam pengajaran ilmu.
jadilah mereka ini parasit. duduk di atas tiket bangsa berbahasa, tetapi yang mahu diambilnya cuma bangsa, bahasanya 'dibuang'. sebuah bangsa yang berbahasa yang tidak mengiktiraf bahasanya sendiri ialah bangsa yang tidak bermaruah. sudahlah begitu, yang menjadi mangsa ialah anak-anak yang mewarisi pemikiran mereka ini kerana diajar untuk tidak menghormati dan menidakkan keupayaan bahasa sendiri.
ini soal maruah, sdr, soal maruah. alangkah malangnya kita, orang seperti ini yang menjadi pemimpin bangsa kita ini. wassalam.
ana fatimah, kalau bahasa melayu mungkin betul. tapi, manusia mana di luar sana yang menggunakan bahasa melayu malaysia?
unta,
cuba baca perenggan pertama saya: saya tulis bahasa melayu, bukan bahasa melayu malaysia, kan?
sebenarnya apabila bercakap soal bahasa, kita tidak boleh merujuk sempadan geografi atau sempadan politik. cuma bila kita petakkan bahasa menjadi hakmilik sebuah bangsa tertentu dalam sebuah negara, barulah kita boleh merancang bagaimana kita mahu bahasa itu diperlakukan oleh sesuatu bangsa itu.
jadi, dalam konteks tertentu, bahasa melayu tidak mungkin terhapus kerana penggunanya bukan kita saja. bagaimanapun, dalam konteks malaysia pula, dalam keadaan sekarang, nampak benar bahasa melayu dipandang rendah.
salaam ana fatimah dan unta atas semut,
terima kaseh. tiada apa sangat untuk saya berbeza di sini. apatah lagi, saya juga senang dengan bahasa melayu tinggi yang digunakan--yang sebenarnya amat jarang ditemui. saya terasa kehalusannya. tahniah!
ajarin bahasa melayu donk
Salam,
Sedih tatkala ramai teman-teman sekampusku masih buta dalam isu PPSMI ini.. Harap artikel ini mampu memgembalikan penglihatan mereka...
www.qanunfiatdunia.blogspot.com
Salam sdr,
Saya singgah blog ini dr laman Chedet..saya teruja membaca tulisan sdr berkenaan PPSMI ini.. dan berdasarkan tulisan sdr, sy pasti sdr berkelulusan ijazah & ke atas..
Sy tidak terlalu menyokong pelaksanaan PPSMI tetapi tidak pula menyokong PPSMI dimansuhkan.. Sekiranya ada kecacatan dalam pelaksanaan PPSMI, kenapa tidak diperbaiki sahaja kecacatan itu?
Saya berasal dr kampung..zaman sekolah rendah & menengah saya di sekolah yg bukan elit ataupun mempunyai fasiliti yg hebat.. saya mendapat keputusan yg agak baik dlm SPM, tetapi hanya sekadar Lulus dlm Bahasa Inggeris..
Terus terang saya mengatakan sekiranya PPSMI membolehkan bahasa inggeris saya bertambah baik, maka mengapa tidak saya menyokong penuh pelaksanaannya..
saya sayangkan bahasa melayu tetapi persoalannya, di kedudukan mana bahasa melayu sekarang?
Saya masih ingat semasa di universiti..majoriti pelajar melayu tidak mampu berkomunikasi dalam bahasa inggeris dengan baik.. malah buku rujukan dalam bahasa inggeris pun tidak dibeli.. yg dibeli hanyalah nota pensyarah yg telah diterjemahkan..Nah, melayu suka perkara yg mudah & jalan short cut kan..
Ramai antara sahabat saya yg walaupun mendapat keputusan yg bagus semasa di universiti, tetapi sukar mendapat pekerjaan & ada juga yg masih menganggur..ini kerana hampir keseluruhan syarikat swasta di Malaysia mencari calon pekerja yg mahir dalam bahasa inggeris..
oleh itu, pihak-pihak yang membantah pelaksanaan PPSMI ini harus memberikan cadangan atau alternatif kepada masalah yg berbangkit..hakikat yg harus kita terima ialah majoriti pelajar melayu lemah dalam bahasa inggeris..
Apa tindakan jangka panjang bagi memartabatkan bahasa melayu? adakah dengan pemansuhan PPSMI ini maka bahasa melayu kembali berdaulat?
Lihatlah realiti..hatta kaum cina & india pun lebih senang berbahasa inggeris sesama mereka..jd, ke manakah bahasa melayu?
Saya yakin, sekiranya matapelajaran bahasa melayu tidak diwajibkan semasa di sekolah, ramai kaum bukan melayu tidak mengambil subjek ini..adakah kerana ia susah? tidak.. ia tidak diambil kerana kurang nilai..
mengapa semakin ramai masyarakat barat mempelajari bahasa mandarin? Ini kerana nilainya tinggi dalam peningkatan kerjaya..walaupun ramai juga bangsa asing yg mempelajari bahasa melayu, terutamanya bahasa melayu indonesia, tetapi ia bukan atas faktor bahasa itu tinggi nilainya..ia lebih kepada pemahaman budaya & sosial masyarakat yg terlibat..
Semoga polemik PPSMI ini dapat diselesaikan dengan jayanya..
Adham,
Sepanjang perlaksanaan PPSMI, kajian demi kajian dibuat cukup untuk mengatakan dasar ini gagal. Eksperimen yang tidak dirunding dengan pakar berkaitan selama ini ternyata bersifat angkuh.
Benarlah pertanyaan Puan Ainon "di mana Profesor yang mahu membela PPSMI dengan kajian ilmiah mereka?"
Takkanlah...?
salam.
sdr adham,
jadi, sdr mahu kita semua belajar bahasa mandarin dan inggeris semata-mata kerana nilai materialnya. kasihan, maka itulah sahaja agaknya nilai diri anda.
dan sdr amin,
sebelum sdr merenteti soalan puan ainon itu, sudah tuntaskah sdr mencari maklumat tentang ini?
sayang sekali kalau menjadi orang yang memandang tetapi buta, mendengar tetapi tuli.
wassalam.
salam sekali lagi.
saya kira saya perlu memohon maaf kepada sdr adham dan sdr amin. saya silap faham kerana membaca secara terbalik.
emosi menyangkuti saya menjelang perhimpunan menentang ppsmi esok. saya akan lebih berhati-hati pada masa lain. sekali lagi, mohon maaf.
wassalam.
Post a Comment