www.flickr.com

Wednesday, May 19, 2010

Legitimasi "Gaji Minima"

Kebetulan, saya membaca tulisan “Gaji minimum bahaya untuk golongan miskin,” dari Wan Saiful Wan Jan, yang termuat di Utusan Online pada 12 Mei 2010. Beliau merupakan Ketua Eksekutif, Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).

Saya membacanya dengan hati-hati, dan cuba menangkap pesan-pesan yang cuba disampainya. Barangkali, rangkuman pada baris terakhirnya sudah menepati maksud seluruh tulisan ini: “Gaji minimum ialah satu dasar yang merbahaya kepada golongan berpendapatan rendah.” Tentu, sebelum jatuh pada kesimpulan tersebut, ada sandaran yang dikemukakan. Untuk lebih saksama, hujah-hujahnya itu saya tuangkan kembali, supaya tampak ada susur-galurnya.

Pertama, menerusi pengalaman peribadinya, sama ada di Malaysia manupun di UK, penulis telah membangkitkan keburukan-keburukan dari pelaksanaan gaji minima ini. Ini kerana, dari pengalamannya tersebut—yang pernah bertindak sebagai majikan dan pekerja sekaligus—maka pelaksanaan gaji minima ini akan mendorong lagi kemiskinan. Kesannya akan tampak saat berlakunya pembuangan para pekerja akibat keterbatasan ekonomi dari para majikan.

Kedua, dengan bersandarkan pada sebuah jurnal akademik dari Institute of Economic Affairs (1997), penulis membentangkan bahawa ada kajian yang menilai pelaksanaan idea gaji minima ini merugikan, terutamanya untuk negara yang berdepan dengan kegawatan ekonomi. Lalu, disentuhnya secara umum kesan-kesan empirikalnya. Di sini, sekilas terselit pengakuan bahawa ada lebenswelt (dunia-kehidupan, atau waqi’) yang berbeza menurut negara tertentu, dan dalam keadaan tertentu.

Ketiga, sembari berselindung di sebalek MEB, MPEN, maka tulisannya tersebut mahu mendesak kerajaan untuk menolak gaji minima lantaran langkah tersebut, menurutnya, tidak menepati hasrat dari dasar kerajaan itu sendiri. Sebab, dari dasar kerajaan yang sebelumnya, sudah jelas menyatakan bahawa pelaksanaan gaji minima ini kelak mengurangkan peluang pekerjaan di Malaysia.

Dan, keempat, juga yang terakhir, meskipun tidak menerima aras untuk gaji minima (mungkin juga bermakna, aras gaji maksima), tulisan ini juga—dalam satu dimensi—mengusulkan bahawa jalan terbaik ialah, tidak menetapkan apa-apa pun, selain memberi kebebasan penuh pada majikan. Baginya, sepertinya kerajaan seharusnya tidak melayani kehendak-kehendak lain dalam persoalan untuk menetapkan gaji minima ini.

Baik, itulah yang saya fahami dari tulisan tersebut. Maka, berangkat dari kefahaman ini, saya cuba untuk menyampaikan pandangan yang berbeza. Mungkin tidak berseberangan seluruhnya. Namun, saya pasti ada sisi-sisi lain yang terabai, berbanding dengan sikap lewa tulisan tersebut yang hanya bergantung pada kata ya/tidak tentang permasalahan gaji minima ini. Untuk itu, sebaiknya kita pergi satu demi satu kembali.

Pertama, dengan menggunakan pengalaman peribadi, semata untuk menunjukkan wajah keseluruhan, itu adalah sebuah kesendengan (bias) yang sangat ketara. Ini kerana, tentu saja akan ada juga pengalaman-pengalaman peribadi yang lain, yang boleh menunjukkan bahawa penetapan gaji minima ini baik, dan juga berkesan. Jadi, pengalaman peribadi (atau faham peribadi/kelompok) itu tidak boleh dijadikan sebuah pengitlakan. Tatkala dilakukan, maka itu adalah pemaksaan sesebuah pandangan, demi membolot sebuah warta hukum yang bersifat nasional.

Kedua, dengan mengakui bahawa ada perbezaan antara negara yang berdepan dengan kegawatan dan sebaleknya, maka itu juga sekaligus mengakui bahawa setiap negara memiliki lebenswelt tersendiri. Maksudnya, harus juga diakui bahawa setiap negara ada kekhasan-kekhasan tertentu yang tidak boleh diremehkan. Lagi-lagi di sini, ternyata kekhasan (atau, identiti) industri Malaysia tidak ditelusuri lebih jauh, lalu hanya berdiri di balek sebuah kajian ilmiah yang belum tentu mempertimbangkan kekhasan Malaysia ini.

Ketiga, adalah sangat lemah untuk bergayut pada dasar sebuah kerajaan, apatah lagi dasar kerajaan tersebut belum tentu memperoleh legitimasinya. Sebab, persoalan yang lebih asas adalah: apakah dasar kerajaan tersebut menepati hasrat kebanyakan rakyat Malaysia? Persoalan ini sama sekali tidak ditanggapi, dan tidak dituntaskan. Lalu, dengan memetik mana-mana dasar yang sefaham dengan “aku,” atau dengan “kita”, maka langkah itu bukanlah sebuah penyelesaian terhadap keseluruhan permasalahan antara pekerja-majikan ini.

Dan, keempat, dengan membuka seluruh kebebasan pada majikan, tanpa menimbang telebih dahulu suara-suara dari kelompok masharakat yang lain, termasuk suara dari pekerja itu sendiri, itu adalah mengambarkan betapa konservatif-nya faham ini. Konservatif kerana, bebal bertahan pada pandangan-sepihak. Tampaknya, ada bau-bau Marxisme di sini, yang cuba mengambarkan bahawa hubungan antara pekerja-majikan adalah dalam hubungan-konflik, seolah yang tidak dapat diperdekatkan.

Justeru, dari kritik-kritik awal ini, saya cuba untuk menunjukkan bahawa ada masalah jika kita memiliki suatu faham, atau nilai tertentu, lalu berusaha untuk memaksakan faham/nilai kita tersebut pada seluruhnya, biarpun lewat jalur kekuasaan-kerajaan. Tapi, apakah ada pencerahan dari kritik-kritik ini? Saya tidak punya banyak pilihan, selain mengajak untuk menaakul kembali perspektif dari sebuah tindakan-komunikatif, yang bernuansa dari pemikiran Juergen Habermas, filasuf teori sosial dari Jerman.

Memang, adalah hak untuk mana-mana idealogi, mithalnya, liberalisme, sosialisme, islamisme, dll—kalau saya boleh rumuskan begitu—untuk memperjuangkan idealogi masing-masing. Tapi, harus juga disedari, bahawa sebuah kesepakatan tidak mungkin tercapai tanpa didahului dengan sebuah kaedah yang juga disepakati. Lalu, kita perlu memperhalusi sebuah tindakan-komunikatif sebagai pilihan yang lebih setara, bukan lagi tindakan-instrumental (yang hanya cenderung memihak pada fahamnya saja).

Apa yang boleh kita insafi dari kaitan antara tindakan-instrumental dan gaji minima ini? Yakni sikap yang hanya melihat dimensinya, yang memaksa dimensinya pada yang lain, kemudian bergayut pada kekuasaan-kerajaan, sambil juga mengabaikan lebenswelt negaranya—dan ini akhirnya disumbat dalam rangka membenarkan pandangannya saja. Sebetulnya, zaman berfikir seperti ini sudah berakhir. Dewasa ini, dimensi komunikatif bersifat lebih manusiawi, berbanding dengan memaksa pandangannya (yang kononnya benar) ke atas yang lain.

Lantaran itu, adalah miring jika kita hanya melihat hubungan antara pekerja-majikan itu terhad dalam suasana konflik saja. Pada saya, gejala berfikir tak-intersubjektif seperti ini adalah melambangkan kelemahan fikiran kita sendiri. Kita maseh lagi gagal melampaui kesedaran sendiri, yang akhirnya melihat segala yang lain adalah objek-objek (yang juga manusia) yang mahu kita takluki. Lantas, di sini proses komunikasi memainkan peranan untuk melepasi diri kita dari kemelut kepentingan-kepentingan tersebut, sehingga hujungnya akan menemukan sebuah titik muafakat.

Walau bagaimanapun, tetap saja setiap dari kita berhak untuk bersuara. Perbezaan pandangan ini sama sekali tidak harus diredamkan. Biarkan terbuka, dan biarkan masharakat ditawarkan dengan aneka pandangan. Namun, jangan sama sekali mahu mengambil-jalan pintas dengan memakai wewenang kekuasaan, bagi menundukkan yang lain di bawah warta hukum negara. Jalan pintas seperti ini hanya memercikkan lagi sikap totalitarianisme.

Totalitarianisme bukan saja dalam bentuk kekuasaan negara. Tapi juga dalam bentuk kekuasaan faham. Memang, keduanya, akhirnya saling bersentuhan. Sehubungan dengan itu, apa yang perlu ditukik dengan lebih teliti di sini ialah soal legitimasi untuk pewartaan hukum dari gaji minima tersebut. Perlu ada legitimasinya dari krisis tersebut. Dan, legitimasi itu tidak terletak pada kerajaan, tidak terletak pada parlimen, tidak terletak pada suatu faham tertentu tersebut. Namun, terletak pada proses deliberasi (perbincangan) di kalangan masharakat di negara kita.

Maka, di sinilah peranan semua pihak; masharakat, kerajaan, dan Lembaga Swadaya Masharakat (LSM), media, dll, untuk terlibat aktif dalam mencairkan seluruh pandangan yang ada, dan setelah itu diangkat pilihan yang terbaik. Rencam inilah yang membentuk ruang awam, yang menjadi sendi kepada pembinaan amalan demokrasi deliberatif. Memang, tentu akan mengambil waktu. Tapi, itulah harga yang perlu kita bayar demi sebuah demokrasi? Apakah kita memikirkan demokrasi itu murah?

Justeru, dalam tataran sistem demokrasi deliberatif ini, penekanan yang diberikan bukan lagi idealogi. Sebaleknya, adalah kaedah ke arah mencari sebuah keselarasan antara rakyat dengan pemerintah, antara pekerja dengan majikan, dll. Zaman untuk “gedebe” dengan fikiran sendiri—seolah faham kita adalah segalanya, dan menggesa yang lain mengabstrak-diri, atau melepaskan identiti-jatinya—barangkali adalah sebuah tindakan yang sangat mengarut.

Ringkasnya, sekali lagi, saya sama sekali tidak mempertikai setiap suara yang tumbuh. Beragam suara yang tumbuh ini adalah titik-tolak yang penting. Tapi, sikap yang tidak komunikatif, yang tidak mahu saling-belajar, serta tidak mengendahkan yang lain, itu adalah benih-benih baru bagi sebuah ketaasuban. Maka, kembalikan legitimasi hukum negara (termasuk legitimasi gaji minima) ini pada rakyat itu sendiri—menerusi proses deliberasi kalangan mereka. Bukannya hanya menanti dari keputusan di parlimen/kerajaan. Bukannya hanya berpangku pada pandangan-sepihak.

Jika tidak, kata “keangkuhan,” juga kata “kedangkalan,” tidak pernah surut. Tidak pernah sama sekali. Tidak pernah kerana, dalam sejarah membuktikan bahawa “keangkuhan” dan “kedangkalan” ini selalu bersandingan dengan fanatisme idealogi. Meskipun, idealogi tersebut bernama liberalisme. [Jalan Telawi, 18 Mei 2010]

No comments: