www.flickr.com

Thursday, October 7, 2010

Intelektual Komunikatif

Apa, dan siapa itu intelektual (atau, cendikiawan)? Apakah tugas-tugas intelektual? Apakah intelektual itu hanyalah akademikus yang berkubu di kampus-kampus? Sebetulnya, melihat dunia intelektualisme di Malaysia, pertanyaan-pertanyaan ini amat mendesak untuk dirungkaikan.

Dewasa ini, kampus di Malaysia, memang sudah menjadi zon selesa, di mana intelektual kita kekenyangan meneruskan apa yang ada (das Sein), bukannya mengangkat apa yang seharusnya (das Sollen). Yang ada adalah, akademikus yang gigih memperbodohkan generasi-nya. Manakala, yang seharusnya, mencerdaskan generasi, makin dilupakan. Persoalannya, bagaimana semua ini dibenarkan berbudaya? Bagaimana akademikus kita, yang sepatutnya bertindak sebagai intelektual, tapi akhirnya gagal memenuhi amanah dari makna intelektual itu sendiri.

Justeru, untuk menelisik ruduman intelektualisme di Malaysia ini, Jürgen Habermas, seorang intelektual awam terkenal ada menawarkan pencerahan.

Dalam tiga karya pentingnya, The Structural Transformation of the Public Sphere (1962), The Theory of Communicative Action (1981), The Philosophical Discourse of Modernity (1985), Habermas cemerlang kemukakan kerangka tentang peranan intelektualisme. Sebagai pemikir yang melihat modeniti sebagai projek yang belum selesai, Habermas tentu mahu kembali pada makna modeniti itu sendiri, namun dengan sebuah penafsiran baru. Di sini, Habermas memberikan tiga unsur dari modeniti. Pertama adalah kesedaran-diri sebagai subjek; kedua adalah sikap kritis; dan, ketiga adalah sikap progresif. Ketiga unsur modeniti inilah yang kemudian bersinggungan dengan konsep intelektual-nya.

Walau bagaimanapun, di sebalek unsur-unsur modeniti ini, terdapat juga kewaspadaan. Inilah yang cuba diselamatkan oleh Habermas dari modeniti. Di satu pihak, Habermas tetap menghargai rasionaliti sebagai tataran equiprimordial untuk semua pehak, apatah lagi dalam lingkungan kemajmukan. Dan, di satu pehak yang lain, Habermas cuba untuk memberi tempat pada aspirasi-masharakat. Sebab, baginya, modeniti tetap bersumber dari yang sebelumnya, iaitu dari tradisi. Pertanyaannya, bagaimana gagasan Habermas saat berdepan antara dua kubu ini; antara modeniti dan tradisi?

Sistem dan Lebenswelt

Sebagai filsuf yang kental mempertahankan nalar (rational) sebagai bentang Pencerahan, Habermas menjelaskan hal ini dari dualisme terkenalnya, sistem dan Lebenswelt (dunia-kehidupan).

Ketika proses modeniti berlaku, apa yang seiring berlaku adalah pengukuhan sistem, di mana terdapat dua unsur besar yang berdiri dalam sistem, iaitu ekonomi (modal) dan politik (birokrat). Tapi, bagaimana dua unsur ini begitu berkuasa, sehingga dapat menelan apa yang selain mereka? Kekuasaan sistem ini berlaku kerana ada kesenjangan antara pandangan-politik (politische Meinungs) dengan pembentukan-kehendak (Willensbildung). Dalam pengalaman sistem-politik masharakat barat, hubungan antara sistem politik dan Lebenswelt tidak mengalami revolusi sehari-hari, sebaleknya sekadar bertumpuk pada waktu-waktu tertentu semata. Dan Habermas hadhir mengubah perspektif ini.

Menurut Habermas lagi, masharakat harus merupakan sumber pada keseluruhan, serta dijadikan “sari makanan” buat sistem. Maka, dengan itu, kuasa pada sistem itu hendaklah diawasi oleh masharakat itu sendiri. Lantas, dari hal ini timbul dua lagi gagasan terkenal dari Habermas iaitu, ruang awam (Öffentlichkeit) dan masharakat warga (Zivilgesellschaft). Dalam kekangan sistem inilah, terletaknya peranan masharakat warga, iaitu untuk memastikan ruang awam tak dicemari dengan kepentingan-kepentingan tertentu. Yang mahu dipertahankan Habermas adalah, sebuah sistem yang memang bergulir atas harapan masharakat itu sendiri. Bukan bergulir angkara permainan kelompok-kelompok tertentu.


Tapi, bagaimana caranya?

Untuk itu, Habermas menawarkan teori tindakan komunikatif, yang bertujuan untuk mendorong perubahan yang bertitik-tolak dari muafakat (Konsens). Bukan kehendak sepihak politikus, ekonomikus, atau para subjektiviti yang lain. Dalam kata lain, sebuah semakan yang bersifat intersubjektiviti diperlukan untuk menimbang-nimbang setiap keputusan, sebelum menjadi sistem bersama.

Inilah bezanya Habermas berbanding filsuf sebelumnya. Bezanya, kini di tangan Habermas, sistem menjadi komunikatif, bukan lagi subjektif. Maka, beban Eropah atas kolonialisme, fasisme, nazisme, seakan tertebus bila Habermas bangkit dan berkata, “rasional belum berakhir.” Bermuara dari kesedaran ini, Habermas cuba menyelamatkan modeniti, dengan memberi makna baru pada rasionaliti ~ iaitu, dengan takrifan komunikatif. Shahdan, sampai sini, kita kembali pada pertanyaan awal: apakah tugas-tugas intelektual dalam ruh-zaman (Zeitgeist) ini, dalam modeniti ini? Maka, di sini Habermas mengajak kita belajar dari Henrich Heine.

Belajar dari Heine

Dalam buku The New Conservatism, Habermas mengambil Heinrich Heine, seorang kritikus kesusasteraan Jerman terkenal, sebagai teladan intelektual yang baik.

Pada hematnya, Heine mencitrakan peranan intelekual yang bersemangat dalam menghangatkan wacana-awam, sentiasa kritis, serta memastikan tiada kalangan yang cuba membolot wahana secara-sepihak. Ini penting kerana, intelektual harus melawan setiap kepungan yang ada, serta memberdayakan apa yang asli dari masharakat itu sendiri. Di samping itu, intelektual juga mesti ada dimensi emansipasi-nya, yang mengarah kepada hal-hal normatif-nya menerusi kewacanaan. Kedua sudut ini, antara komunikatif dan emansipasi, haruslah bertemu pada rasionaliti.

Dalam buku tersebut lagi, Habermas mengungkapkan: “Intelektual ada sebuah peranan khusus iaitu mewar-warkan pendapat-awam sama ada menerusi akhbar mahupun gerakan parti-parti politik. Sebab itu, hanya dengan adanya negara-hukum yang memberi tempat pada ruang awam yang bersifat politik, itu saja yang akan memantapkan, serta melicinkan lagi proses pembentukan-pandangan yang demokratik. Maka, di sinilah peranan intelektual.”

Justeru, dari apa yang dimaksudkan Habermas ini, intelektual itu sememangnya bertugas membela tindakan komunikatif. Kerana itu, menurut Habermas lagi, intelektual dituntut untuk “punya wibawa dalam menanggapi, peka serta berpengetahuan.” Heine mithalnya adalah tampilan unggul, di mana pada zamannya, telah berjaya bertindak sebagai intelektual awam, yang secara politis menginspirasikan ruang awam. Heine juga, tak lelah melawan otoritarianisme dan terus-menerus menyanggah setiap kekuatan populis yang mahu menelan universalisme dan individualisme ~ yang mana ini bahagian dari gerakan pencerahan.

Meskipun begitu, dalam perlawanan tersebut, Heine tak pernah sesekali mendakwa dirinya adalah pemilek-kebenaran mutlak. Inilah beza besar antara intelektual dengan pakar, yang menurut Habermas ketika ditanya sewaktu menerima anugerah kemashyuran di University College Dublin, bahawa “seorang intelektual itu tak pernah mengetahui apa yang terbaik, sementara seorang pakar itu sentiasa berpuas hati dengan apa yang ada.” Jadi, yang mahal dari Heine adalah, kesedaran-dirinya yang tak-final, yang kemudian siap membuka pintu-pintu kebebasan yang lain. Inilah yang dalam hasrat lain, adalah kepentingan dari demokrasi itu sendiri.

Memang, demokrasi adalah penting untuk semua, termasuk untuk agama sekalipun. Lebih-lebih lagi dalam masharakat majmuk. Sebab itu, Habermas menegaskan agar intelektual mesti meradikalkan demokrasi, serta merayakan keragaman, sambil memastikan takkan ada lagi usaha untuk kembali pada bentuk Platonisme, di mana kononnya raja-filsuf secara eksklusif adalah segala-galanya dalam masharakat. Pada Habermas, menerusi penalaran awam, intelektual adalah setara seperti kelompok-kelompok lain dalam masharakat, yang sama-sama berganding-bahu demi menjernehkan ruang awam, serta memperkasakan masharakat warga.

Pada titik inilah pentingnya Habermas berbanding Kant, juga sekali lagi berbanding Descartes. Ketika modeniti, dalam bahasa Weber, mengalami kekecewaan (Entzauberung) dan rasionalisasi (Rationalisierung), maka hal-hal yang baik dari Lebenswelt juga mestilah dikutip kembali. Maka, tradisi, agama, mahupun budaya, itu tetap ada fungsi sebagai sebuah motivasi besar bagi sebuah kebersamaan (Solidarität) dalam masharakat. Ini kerana, hakikat dari intelektualisme tak lain tak bukan adalah untuk membangun sebuah kebersamaan.

Intelektualisme di Malaysia

Namun, berbalek dalam konteks Malaysia, ternyata intelektual kita jauh sama sekali dari gambaran yang dipaparkan Habermas. Bukan saja gagal memahami erti intelektual moden yang subjektif, juga gagal untuk bertindak secara komunikatif. Bayangnya saja, dalam kemelut dengan sistem (ekonomi dan politik), intelektual kita sering kehilangan diri (tak-subjektif), dan hanya selesa mengikut arus rasio-instrumental, serta tak tajam-pengamatan (tak-kritis). Juga, tiada sesuatu yang baru dari mereka, selain bertakuk pada apa yang ada saja (tak-progesif).

Seraya menyaksikan kemuraman intelektualisme di Malaysia ini, maka tak mustahil kita mudah saja menemukan ada akademikus sains politik yang menulis nama Karl Marx, dengan ejaan Carl Mark, atau ada akademikus pengajian umum yang resah kerana pendekatan logik kalangan Shi’ah, atau ada akademikus pengajian Islam yang kemaruk mengira markah Key Performance Indicators-nya (KPI) tanpa menghiraukan kesan emansipasi ilmu mereka dalam membangun ruang awam yang mandiri. Dan, usah hairan lagi, semua kasus ini memang terdapat di Malaysia. Sebab itu, menerusi generasi akademikus seperti ini, lahir pula bakal akademikus yang bodoh, dan terus memperbodohkan lagi generasi berikutnya.

Lalu, dari seluruh kedukaan ini, maka apa lagi harapan buat kita? Apakah Malaysia dapat berharap pada akademikus seperti ini tatkala berdepan dengan kepungan anti-intelektualisme yang makin bermaharajalela dan dogmatik ini? Tiada pilihan, selain setiap dari warga --sesiapa saja-- harus terus menjiwai cita luhur modeniti, dan usah lupa: raikan ruang awam kita dengan tindakan komunikatif. Harapan kita, mudah-mudahan dengan wahana kesetaraan seperti ini mampu memupuk masharakat warga, yang kelak secara muafakat dapat menyelamatkan Malaysia dari malapekata “akademikus yang mengaku intelektual.”

Bahkan, lebih besar lagi, dapat menyelamatkan Malaysia dari malapetaka politikus-bebal dan hagemoni-kapitalis. Inilah harga yang mesti dibayar untuk memikul tanggungjawab seorang intelektual; dan, harga inilah yang telah pun dibayar oleh Heine, “seorang intelektual yang tak mengaku intelektual.” [Siasah, 17-23 Oktober 2010]

1 comment:

El Ferdöwsi said...

@ encik penulis :

Mohon keizinan untuk memetik kata-kata. Terima kasih.