www.flickr.com

Friday, January 14, 2011

Habermas Terlalu Idealistik

Kita tak pernah membayangkan, di saat gentingnya hubungan antara Amerika Sharikat dengan Iran, terdapat warga Amerika Sharikat yang bertugas di pusat keagamaan Shi’ah di Kota Qom, Iran. Namanya MUHAMMAD LEGENHAUSEN, yang mendapat kedoktoran di Rice University (1983). Tesisnya mengenai, “Matters of Substance”. Sebenarnya, hubungan Iran dengan Amerika Sharikat, di peringkat masharakat adalah begitu baik sekali, kecuali dalam dasar politik. Bahkan, Amerika Sharikat merupakan minat utama rakyat Iran untuk mendapatkan pendidikan. Malah, ada mahasiswa agama di Qom yang menyimpan cita-cita demikian. Tapi, Legenhausen ini adalah kasus sebaleknya. Dengan keselesaan di Amerika Sharikat, filsuf yang menulis buku “Islam and Religious Pluralism” ini memilih untuk bertugas di Muasaseh Amozesh va Pazyuhesh Imam Khomeini (Institut Pendidikan dan Penyelidikan Imam Khomeini), di bawah pimpinan Ayatollah Taqi Mesbah Yazdi. Kerana kebetulan di Qom, AQIL FITHRI telah berkesempatan untuk menemubualnya secara santai, serta mendapatkan beberapa pandangannya. Bukan saja pandangan Legenhausen mengenai falsafah. Namun juga tentang hal-hal yang peribadi yang tak kalah menariknya.

Kenapa anda tak aktif lagi dalam Facebook (FB)?

Saya kira banyak membuang waktu di FB. Kebetulan di Iran, FB juga disekat. Kemudian diambil masa terlalu lama untuk memasang anti-filter, dan memahami sistem-sistem operasinya. Lalu, ada yang mengundang saya untuk menyertai kumpulan-kumpulan dalam FB, dan semua aktiviti di FB ini turut disalinkan kepada e-mel saya. Jadi, banyak juga waktu saya terbuang untuk semua urusan yang tak perlu ini.

Apakah anda pernah ada pengalaman dengan Juergen Habermas, yang kini mungkin dianggap filsuf barat paling berbahaya di Iran?

Habermas pernah ke Iran, pada 2002. Ketika di Iran tersebut, saya ada bertemu dan melakukan perbincangan dengannya. Habermas berkata bahawa pemikiran saya datang dari zaman pertengahan (ketawa). Buatnya, pemikiran agama mesti dipindahkan terlebih dahulu kepada bahasa sekular. Saya memberitahu Habermas, saya sukakan puisi-puisi Jerman. Tapi, saya juga membaca terjemahan puisi-puisi tersebut dalam English. Namun, setelah membaca dalam versi English, saya akan kembali kepada Bahasa Jerman. Jadi, saya katakan kepada Habermas, “apakah anda fikir setelah mereka membaca dalam bahasa terjemahan, mereka takkan kembali pada bahasa asal mereka?” Lalu, setelah itu Habermas berkata pada saya, “pemikiran anda dari zaman pertengahan.”

Tapi, bukankah idea utama dari Habermas adalah intersubjektiviti? Mithalnya, gagasan ruang awam, itu di mana ‘kebenaran’ ditentukan dari wacana semua pehak yang terlibat.

Bagi saya, itu adalah pandangan yang terlalu idealistik. Anda tahu, bahawa ruang awam itu berkecenderungan untuk dimanipulasi oleh modal dan kalangan yang berkepentingan. Dalam gagasan Habermas tersebut, ruang awam adalah setara, terbuka, semua dapat berperanan, dan kononnya tiada pengaruh politik serta ekonomi. Namun, malangnya, ini tak berlaku. Maka, saya fikir Habermas terlalu mengidealisasikan, dan ternyata tak begitu dalam realiti.

Falsafah Habermas lebih berasaskan dari falafah etika. Sebagai filsuf dari tradisi Kantian, Habermas turut menguniversalisasikan etika, sepertimana Kant dalam kategori imperatif-nya. Apakah etika dapat diuniversalisasikan? Kemudian, bukankah Habermas juga melihat kepentingan agama, terutamanya setelah debatnya dengan Joseph Ratzinger?

Saya tak bersetuju dengan hal universalisasi etika tersebut. Etika mesti diasaskan kepada sesuatu tradisi, yang ada nilai-nilainya. Manakala, perubahan sikap Habermas terhadap agama tak mengubah fikiran saya terhadap projek intelektualnya. Mungkin kalau berubah sekalipun, hanya dari “terlalu teruk” kepada “tak terlalu teruk.”

Kebetulan latar anda dalam falsafah barat di Amerika Sharikat, dan kini di Iran, serta terlibat pula dalam bidang falsafah Islam. Jadi menarik untuk tahu pandangan anda mengenai Sayyed Hossein Nasr?

Saya pernah membaca beberapa buku dari Nasr, namun hanya sekali saja bertemu secara peribadi dengannya. Ketika itu, musim panas, sewaktu saya kembali sementara ke Amerika Sharikat. Nasr dan Frithjof Schuon ada beberapa kesamaan idea. Namun, saya tak bersetuju dengan beberapa asas dari idea Schuon. Di samping itu, memang Nasr adalah antara yang terawal mengutarakan mengenai gagasan “pengislaman.” Berbanding Nasr, sebetulnya saya lebih gemarkan pemikiran Syed Muhammad Naquib al-Attas, dari Malaysia.

Menarik. Mengapa al-Attas?

Bagi saya, pemikiran al-Attas lebih dekat dengan saya. Sebab, pemikiran Nasr (sebagai neo-tradisionalis) merujuk kepada pemikiran sains dari barat itu sebagai anti-tradisional. Tapi, al-Attas menyeru kita kembali kepada unsur-unsur asas, atau kembali kepeada pandangan-alam secara menyeluruh. Dan, kemudian, baru membangunkan sains secara tersendiri, dengan premis-premis yang tersendiri juga. Tentu saja, kadang-kala Nasr berbicara hal yang serupa. Tapi, kadang-kala tak begitu. Mithalnya, Nasr ada merumuskan konflik sains dalam dunia muslim ini. Bagi Nasr, ini ekoran dari pertembungan terhadap prinsip-prinsip tradisional. Maka kerana itu, Nasr berfikiran bahawa sains mestilah diasaskan dari prinsip-prinsip tradisional. Bagi saya pula, bukan sains moden saja yang harus kita berhati-hati, malah kita juga harus berhati-hati dengan dakwaan “prinsip-prinsip tradisional” tersebut.

Tapi, bagaimana untuk mengintegrasikan antara sains tradisi dengan sains moden?

Sebagai contohnya, mari kita lihat ke China. Kita lihat bagaimana perubahan China (Akupunktur) dapat diintegrasikan dalam perubatan moden. Kalau kita ke hospital di China, mereka ada dua alternatif: tradisional dan moden. Kini, hospital di Tehran, saya difahamkan mereka juga mahu membangunkan sesuatu yang sama.

Sebagai rakyat Amerika Sharikat, mengapa anda berminat untuk bertugas di Iran, malah di Qom pula?

Saya selesa di sini. Mudahnya, masharakat di sini terlalu baik kepada saya. [Kabar]

1 comment:

Anonymous said...

"ruang awam itu berkecenderungan untuk dimanipulasi oleh modal dan kalangan yang berkepentingan"

"Saya tak bersetuju dengan hal universalisasi etika tersebut. Etika mesti diasaskan kepada sesuatu tradisi, yang ada nilai-nilainya".

Cukup tepat! Paska-modernist!

Rasionaliti Habermas hanyalah lancapan intelektual buat projek modeniti untuk renjatan otak kaum cendekiawan yang hanya berteori dan berfalsafah tanpa turun bergelut dengan realiti kehidupan masyarakat awam!