www.flickr.com

Tuesday, February 4, 2014

Pesan-pesan Honneth dari Lisbon

Sering kata teori dicemuh. Manakala ahli teori pula kerap dianggap sebagai ahli lamunan. Teori, apapun teori, tidak pernah mendapat nama baik, terutamanya dari kacamata ahli politik dan para aktivis. Namun, ada seorang ahli teori kritis yang telah berusaha untuk menunjukkan betapa teori dan ahli teori juga mempunyai tugas yang tidak kalah pentingnya dalam pembangunan masharakat.

Dia adalah Axel Honneth, sang pengarang "The Struggle for Recognition". Di mata para filsuf dan sosiolog dunia, Honneth adalah dianggap sebagai ahli waris kepada Mazhab Frankfurt. Mengikuti tradisi Habermasian, Honneth di sepanjang kariernya cuba untuk melanjutkan projek intersubjektif dalam tema-tema yang berkaitan dengan teori pengakuan.

Wawancaranya bersama Goncalo Marcelo, sewaktunya dalam program untuk menyampaikan ucaptama di lokakarya antarabangsa "Membaca Ricouer Sekali Lagi: Hermeutika dan Falsafah Amali" jelas menunjukkan betapa prihatinnya Honneth terhadap persoalan kefalsafahan dan sosiologi, terutamanya dalam kaitan dengan pengakuan.

Dalam wawancara yang mencerahkan ini, Honneth memperkatakan beberapa perkara. Tentu saja, hampir keseluruhan tema tersebut adalah seputar teori pengakuannya. Namun, filsuf kelahiran Essen ini turut mengupas persoalan yang berhubungan dengan agenda besar falsafah dan sosiologi. Ini termasuklah pembicaraan mengenai perkara-perkara yang bersifat peranan kesusasteraan dalam penyelidikan falsafah hinggalah kepada kerja-kerja mutakhirnya di Institut Penyelidikan Sosial Frankfurt.

Sebagai ahli teori, Honneth ingin menjernihkan kembali tugas ahli teori yang sering ditohmah dan disalahfahami oleh sesetengah pihak di dalam masharakat. Berbanding ahli politik atau aktivis, ahli teori dikatakan sebagai mereka yang mengambil jarak dengan perubahan masharakat. Namun, pada Honneth, sebenarnya, hanya terdapat beza kecil antara ahli teori dengan ahli politik/sosial.

Hemat Honneth, tugas ahli teori ialah untuk menyemak dan menegaskan kembali mengenai perkembangan moral (moral progress) dalam masharakat. Untuk ini, maka ahli teori perlu mempunyai piawai normatifnya, serta berusaha mengdianosis masharakat berdasarkan kepada kerangka besar, bukannya semata-mata berasaskan kepada isu-isu semasa yang muncul.

Dalam kata lain, ahli teori semestinya mampu menarik fenomena-fenomena kemasharakatan yang tersirat kepada sebuah kenyataan yang tersurat. Seperti katanya, "barangkali apa yang ahli teori boleh lakukan ialah membuatkan isu agar jadi lebih ketara, dan lebih jelas kepada anggota masharakat."

Apa yang dimaksudkan Honneth ini menunjukkan kepada kita betapa kerja-kerja ahli teori juga penting untuk pembangunan masharakat secara keseluruhan. Sebab itu, Marcelo, yang mewawancara Honneth, tidak segan-segan memanggil Honneth sebagai pembawa obor kepada tradisi Teori Kritis (the keeper of the flame of the Critical Theory). Maknanya, tugas ahli teori ialah mengenalpasti permasalahan masharakat yang terpendam, dan menariknya sebagai persoalan mendesak dan sejagat.

Dalam wawancara ini, Honneth memberi contoh bagaimana sebuah persoalan menarik yang patut dipertanyakan oleh ahli teori. Mithalnya, kenapa pada dekad 60-an dan 70-an sering saja berlaku protes global terhadap isu-isu dunia. Demostrasi besar-besaran terhadap Perang Vietnam, Gerakan Mahasiwa Eropah, dll, semua berlaku pada dekad tersebut. Tapi, pada dewasa ini, seolah berlaku nyah-pempolitikan (de-politicization). Juga persoalan, mengapa kelas proletariat sering gagal untuk jadi kelas revolusioner?

Begitu juga persoalan: bagaimana peranan teknologi terhadap interaksi yang berlaku di dalam masharakat? Dalam jawapan persoalan ini, Honneth ada perspektifnya. Pada Honneth, teknologi telah mencairkan proses sehingga menyebabkan hilangnya keaslian dalam interaksi. Sebab itu, fenomena harian yang berkaitan teknologi, telah memperbendakan kelakuan (reifying behaviour) manusia, sehingga mendorong kepada wujudnya pengakuan semu (false recognition) dan kesan-kesan yang tidak dikehendaki (unwanted effects).

Antara contoh yang disebut Honneth ialah mengenai realiti TV, temujanji atas talian, temuduga kerja, media sosial, yang mana semua ini adalah hal-hal yang di luar dari interaksi muka-ke-muka. Kerana sifatnya yang maya dan kabur, maka proses menjadi sebuah hal yang sama sekali tidak boleh dikawal, dan ini akan menghasilkan kesan-kesan (sturktural dan bukan-struktural) yang tidak terduga.

Menurut Honneth lagi, "kegagalan mengawal proses" ini akibat adanya perkembangan baru dalam kapitalisme, yang boleh disebut oleh kapitalisme neo-liberal atau meminjam Luc Boltanski, sebagai "semangat baru kapitalisme". Jadi, adalah merupakan tugas ahli teori dalam mengamati fenomena-fenomena tersirat (dan bersifat seni) seperti ini, dan kemudiannya memperjelaskan patologi-patologi dan dampak-dampaknya kepada masharakat umumnya.

Untuk kerja-kerja penjelasan ini, maka Honneth percaya bahawa perlunya adalah sebuah perumusan persoalan yang tersusun. Di sini, Honneth membangkitkan betapa pentingnya setiap ahli teori, khususnya ahli teori kritis, untuk menyusun persoalan-persoalan kemasharakatan dengan baik. Dalam bahasa Foucault, perlunya permasalahan kajian, dan dari itu maka dapat dilanjutkan kepada persoalan-persoalan seterusnya, sehinggalah kepada tawaran penyelesaian yang boleh dikemukakan.

Sebagai contoh peribadi, Marcelo mengajak Honneth untuk memperkatakan mengenai debat terkininya dengan Peter Sloterdijk, seorang filsuf awam Jerman, mengenai tema "pembayaran cukai". Pada Sloterdijk, adalah memalukan bagi orang kaya membayar cukai. Sikap aneh Sloterdijk inilah yang kemudiannya menyebabkan Honneth bangkit, kerana penyataan Sloterdijk tersebut sangat bercanggah dengan prinsipnya.

Hasil daripada debat tersebut, akhirnya membawa kepada sebuah rumusan yang lebih konkrit tentang peranan orang kaya dalam masahrakat. Malah, menurut Honneth, terdapat sesetengah orang kaya sendiri yang mengakui bahawa cukai perlu dinaikkan lagi untuk golongan tersebut. Jadi, ini selari dengan pandangan Honneth bahawa yang memalukan bukannya orang kaya yang membayar cukai, tapi orang yang sehari-hari hidupnya dibantu oleh sumber kebajikan negara. Dan, pendapat Honneth ini sangat bertentangan dengan pendapat Sloterdijk itu sendiri.

Jadi, seorang ahli teori, seperti Honneth tersebut, adalah mereka yang pantang dicabar keyakinannya. Kalangan ini akan bangkit mempertahankan prinsip-prinsip normatifnya, berdasarkan kepada tanggapan terhadap fenomena-fenomena kemasharakatan.

Sikap berani Honneth ini bukanlah sebuah keanehan, sebenarnya. Ini kerana, Honneth sendiri sejak dini telah menjiwai kehidupan para marhaen, meskipun beliau datang dari keluarga yang berpendapatan tinggi. Anak kepada doktor perubatan ini mengimbau bagaimana kawan-kawan sekolah sering merasa malu untuk mengajaknya ke rumah, ekoran kemiskinan dan ketertinggalan dalam arus budaya semasa masharakat. Lantaran itu, tema seperti "penderitaan" cukup dekat dengan Honneth, yang juga merupakan seorang pelajar babil di sekolah.

Untungnya, tema penderitaan inilah yang kemudiannya membawa Honneth kepada idea besarnya mengenai pengakuan tersebut. Selain dari pengalaman empirikalnya tersebut, Honneth juga mengakui karya-karya sastera turut sama membantunya. Mithalnya karya "Death of Salesman", yang menceritakan penderitaan seseorang yang kehilangan pekerjaan, itu menginspirasikan kerja-kerja intelektualnya.

Dan, di samping dua perkara di atas --pengalaman peribadi dan pembacaan novel-novel-- Honneth menyatakan bahawa terdapat tiga tema dari tiga kelompok pemikir yang mempengaruhi pembangunan teori pengakuannya. Tiga tema tersebut ialah berkenaan dengan penyiasatan kesejarahan (historical investigation) dari E.P. Thomson dan Barrington Moore, juga berkenaan dengan kecederaan kelas (the injuries of class) dari Richard Sennett, dan akhirnya sumbangan pemikir besar Jerman, Hegel yang secara pertama kali telahpun membahaskan mengenai persoalan pengakuan.

Maka, dari gambaran ini, menunjukkan kepada kita bahawa seorang ahli teori seharusnya bersifat rendah-diri, yang sejajar dengan resmi padi. Sebab, tanpa ada faktor-faktor luaran, kita pada hakikatnya takkan pernah dapat merumuskan sesuatu dengan cemerlang. Apatah lagi untuk menjadi ahli kritik, itu turut menuntut proses pengamatan yang tekun dan teliti.

Bahkan, Honneth dengan rendah diri mengakui bahawa dirinya siap untuk meralat beberapa pandanganya sekiranya diberi peluang untuk menulis-kembali mangnum opusnya, "The Struggle for Recognition" tersebut. Jadi, membesar-diri, bongkak, serta bangga dengan pangkat "profesor", "dato", dll, itu bukanlah sifat seorang ahli teori, apatah lagi ahli teori kritis.

Ahli teori kritis, adalah mereka yang menghurmati pengetahuan, terlepas dari apapun pengetahuan. Kritiknya bernas, tajam dan indah. Dan, kalau menurut Honneth, sebuah kritik sosial seharusnya tidak lari dari tiga perkara.

Pertama, kritik luaran, yang dalam kata lain, kritik yang berpegang kepada sesuatu idea normatif. Di sini, Honneth merujuk kepada Rawls, yang mana setiap kritik itu dapat disandarkan kepada sebuah prinsip universal. Sementara, kedua, kritik yang bersifat Marxian dan imanen, yang mana kritik sosial ini disandarkan kepada sebuah keyakinan normatif yang sedia-ada. Manakala, ketiga, ialah kritik dalaman, yang mana Honneth sebut sebagai sebuah pembinaan-normatif. Maksudnya, sebuah kritik demi untuk membina sebuah prinsip normatif baru menerusi pembaikian prinsip normatif yang sedia-ada. Dan, dari jenis kritik ketiga inilah yang sedang Honneth usahakan dalam keseluruhan projek teori pengakuannya.

Sungguhpun demikian, sikap rendah-diri Honneth ini bukanlah sulit untuk dikesan. Meskipun beliau mempunyai nama besar dalam kerja-kerja falsafah, yang selalu dianggap bidang serius, tapi Honneth tidak malu-malu untuk mengutip sumber-sumber dari novel dan bacaan santai sebagai bahan rujukannya. Contohnya, "Night Train to Lisbon" (Peter Bieri) dan "The Invisible Man" (Ralph Ellison). Katanya, bacaan ringan sebegini sebetulnya sangat membantunya untuk membuat analisa fenomenologi berdasarkan kepada peristiwa-peristiwa harian (everyday life).

Justeru, apa yang diusahakan Honneth ini bukan sahaja menunjukkannya betapa dirinya sangat menghargai sastera, tapi juga mempermudahkan pemahaman masharakat awam terhadap teori-teorinya. Bahkan, Honneth yang pernah terlibat aktif dalam Parti Demokratik Sosial ini, turut meminat Bob Dylan. Jadi, beliau bukanlah seorang individu skema, yang seharian hanya sibuk dengan buku-buku berat semata.

Jadi, hidup ini, dengan apapun gelar kita, dengan apapun projek kita, haruslah santai dan tenang. Hidup yang terlalu serius akan menghilangkan nikmat-nikmat kehidupan itu sendiri. Hidup yang terlalu serius juga, hanya akhirnya mematikan deria rasa kita sebagai seorang manusia. Sebab itu, Honneth walaupun bertugas sebagai Pengarah Institut Penyelidikan Sosial Frankfurt, sentiasa berusaha untuk melibatkan masharakat di dalam program-program institutnya.

Mithalnya, program-program institutnya dijalankan di sekitar bandar Frankfurt, dan bukannya di dalam kampus semata. Dan, beliau menekankan betapa pentingnya kehadhiran orang awam terhadap program-program tersebut. Jadi, dengan menghubungkan kerja-kerja teori kritis dengan masharakat, itu sekaligus menunjukkan komitmen seorang ahli teori.

Jadi, seorang ahli teori bukan ahli lamunan. Ahli teori sama sifatnya seperti "teori pengakuan" --yang mementingkan kesalingan dan berinterasi secara resiprokal (mutual and reciprocal interaction). Jadi, tugas ahli teori hakikatnya tidak jauh berbeza dengan tugas seorang warganegara (dan ahli politik juga aktivis), yakni, masing-masing adalah dituntut untuk terus-menerus terlibat dalam arus perdana (dan bukan-perdana!) di dalam masharakatnya.

Bacaan rinci:

Marcelo, Goncalo. 2013. Recognition and Critical Theory Today: An Interview with Axel Honneth. Philosophy and Social Criticsm 39 (2) 209-221.

No comments: