Taman Marzuki Ismail
“Masa depan terbuka bagi melakukan tindakan. Jika masa lalu dan masa kini menjadi sebahagian dari masa depan, maka dunia politik akan kehilangan, bukan hanya kekuatan utamanya untuk menstabilisasikan, tetapi juga titik awal perubahannya, iaitu untuk memulai sesuatu yang baru” – Hannah Arendt dalam Filsafat Politik Hannah Arendt (karya Maurizio Passerin d’Enteves)
Tidak dinafikan, membaca pemikiran Hannah Arendt menimba sesuatu yang baru. Beliau merupakan seorang pemikir yang asal-mausalnya berdarah Yahudi. Dilahirkan di Hannover, Jerman kemudian lari dari tanahair ekoran pembantaian holocaust oleh tentera-tentera Nazi pimpinan Adolf Hitler.
Saya mula-mula sekali di perkenalkan tentang Arrendt ini semasa mengambil matapelajaran Isu-Isu Wilayah. Dalam kelas tersebut, saya dan mahasiswa lain di ajar (secara serius) mengenai tiga tema erat, iaitu konsep kewarganegaraan, ruang warga dan juga masyarakat madani (rupa-rupanya istilah masyarakat madani ini sebenarnya ‘dicuri’ oleh Anwar Ibrahim dari al-Farabi, kemudian ‘dicuri’ pula lagi oleh Dawan Rahardjo).
Pensyarah saya adalah seorang muslimah Tiong Hua yang anggun sekali. Sungguh ayu, manis dan bersopan bila beliau memakai berbaju kurung lengkap. Suasana dalam kelas pula senantiasa hangat. Tetapi bila keadaan sunyi sepi, adalah yang kerap menjadi mangsa pertanyaan-pertanyaan bagi menghidupkan debat kolektif di dalam kelas. Masing-masing (para mahasiswa) cuba untuk mencari kebernasan hujah dan mula mengasah idea-idea. Memang meriah!
Saya juga masih ingat lagi, bagaimana pensyarah mencabar pendirian saya tentang konsep kewargenegaan di Malaysia. Provokasi beliau, tidakkah kaum Cina telah dianggap sebagai warganegara kelas kedua di Malaysia? Hujahnya bernuansa dari dikotomi bumiputera dan bukan-bumiputera.
Memang, ada ketika tanggapan itu benar. Ini kerana, dalam konsep kewarganegaraan moden, struktur negara tidak seharusnya dirumuskan dalam kerangka, paparan dan dasar yang menafikan hak semua warganya—atas nama apapun.
Justeru, primordial perlu dileburkan habis-habisan tanpa ada pengecualian kepada mana-mana bangsa. Maksudnya lagi, ras, kaum, agama, dll tidak harus menjadi keutamaan dalam penentuan kewargenaraan penuh. Rentetan dari mantik ini, dasar negara harus menjadi naungan yang adil pada semua ras, kaum dan agama – yakni mencitrai keadilan, kebebasan dan keharmonian sejagat.
Saya membeli buku Arendt tersebut di toko buku berhampiran Taman Ismail Marzuki (TIM) berhampiran Jakarta Tengah. Menyentuh pasal TIM ini, ada cerita menarik untuk dikongsi. TIM, difahamkan oleh Fathi Aris Omar yang menemani saya di Jakarta, merupakan pusat bagi acara-acara budaya di Indonesia. Tentang nama Ismail Marzuki ini, ia diabadikan dari nama seorang sasterawan Indonesia yang tersohor juga, dan mungkin sebaris dengan Chairil Anwar.
Oh, tentang Fathi Aris Omar. Meskipun datang ke Jakarta bersama teman-teman, namun ketika tiba di sana, saya sebenarnya telah berpisah dengan teman-teman yang lain. Saya bersama Fathi, manakala teman-teman yang lain dengan acara yang berbeza. Jadi, di Jakarta meskipun udaranya berhabuk (sampai undang rasa tidak selesa dalam kerongkong), tetapi dengan bantuan Fathi, banyak pergerakan ana beres dan mulus.
Malah, sempat juga sama-sama dengannya pergi membeli-belah di plaza Atrium Senin sambil melintasi pasar buku yang pernah menjadi lokasi dalam filem Ada Apa dengan Cinta. Pasal plaza Atrium Senin ini, ia merupakan salah satu bekas lokasi pengeboman yang di katakan didalangi oleh Azahari dan Noordin Mat Top sebelum ini. Bahkan, ketika mula memasuki plaza ini, kelihatan kawalan keselamatan sungguh ketat sekali. Hati kecil risau juga, lupa untuk membawa passport ketika itu. Tapi muka selamba sahaja, sembunyi mimik kerisauan.
Beralih semula pada cerita TIM tadi. Ketika kehadiran saya di sana (waktu malam), hadirin disajikan bacaan sajak oleh Sutarji, salah seorang seniman Indonesia yang dikatakan sangat terkenal (namun maaf, sebelum itu saya sendiri pun tidak mengenalinya). Gaya penyampaiannya, ampun… sungguh di luar dari format lazim penyampaian sastera kita. Aduhai… memukau sekali!
Saya kira, budayawan di Malaysia kita perlu berkongsi dengan masyarakat budaya di tanah seberang. Mungkin kerana iklim budaya kita sudah terlalu lama terkepung dengan format-format seni yang akhirnya menyusahkan kita sendiri juga; tidak berkembang, dan tidak nampak nilai indah itu. Lantaran itu, saya cakap pada Fathi bahawa hanya pemerkasaan budaya sahaja yang bisa merubah struktural politik sesebuah negara termasuk Malaysia. Bukannya pencak politik!
TIM, saya sifatkan sebagai pusat reformasi budaya-politik-ekonomi negeri sang saka merah ini. Inilah lubuk reformasi rakyat, tekan saya. Di sisi, Fathi kelihatan cuma tersenyum senggih saja bila mendengar penegasan ana ini. (Eleh, barangkali Fathi fikir saya ini terlalu lewat untuk baru memahami soal ini).
Friday, September 9, 2005
Catatan Perjalanan Ke Indonesia (4/8)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment