www.flickr.com

Saturday, May 28, 2005

Falsafah Menurut Etimologi

Menelusuri etimologi asal-muasal falsafah akan membawa kita menghimbau kembali sejarah dan pengalaman Yunani yang silam. Falsafah dalam kata aslinya (dalam sebutan latin) ialah philosophia yang merupakan kata majmuk dari philo dan sophia. Di sini, philo mendekati makna cinta, manakala Sophia merujuk kepada kebijaksanaan atau kebenaran.

Dalam Paul Edwards menerusi Encyclopedia of philosophy (1967) ada mengungkapkan tentang ini dengan petikan berikut: “The greek word Sophia is ordinary translated as ‘wisdom’ and the compound philosophia, from which philosophy derives, is translated as ‘the love of wisdom’.” Difahamkan kata falsafah ini timbul ekoran dari reaksi Sokrates (469-399 SM) terhadap satu kelompok pada zaman Yunani yang suka memanggil diri mereka sebagai sofis yang bererti cendikiawan.

Justeru, respons terhadap kelompok ini secara psikologi, Sokrates menyifatkan dirinya sebagai philosophos. Ini kerana, kelompok Sofis ini cuba menjadikan persepsi-persepsi manusia sebagai ukuran realiti (kebenaran, hakikat) serta merumuskan hujah-hujah berdasarkan kesimpulan peribadi mereka. Dan, secara berfasa kata sofis (sophist, sophists) sebenarnya telah kehilangan makna aslinya kerana sering dieksplotasi oleh kelompok ini yang mana akhirnya ia istilah sofis diidentikkan dengan kecelaruan berfikir (fallacy).

Di samping itu, di fahamkan Plato turut mengelarkan Sokrates yang juga gurunya sebagai seorang philosophos - dalam pengertian seorang pencinta kebijaksanaan. Tentunya gelaran ini mengandungi makna yang amat mendalam.

Upamanya seolah-olah Sokrates seperti ingin mengajar kepada golongan sofis bahawa dalam wacana keilmuan, tidak seharusnya kita memanggil diri sendiri sebagai cendikiawan, walhal dia sendiri yang mempunyai rumusan hujah yang tampaknya jauh lebih kukuh pun sentiasa merasa rendah diri untuk memakai gelaran tersebut, kerana pada beliau gelaran sofis bukan sahaja melebih-lebih, malahan disalah guna demi kepentingan tertentu.

Justeru, kerana kekentalan Sokrates mendobrak dogmatik ini, di samping beliau sendiri benar-benar menjiwai perjuangan falsafah, akhirnya beliau di jatuhkan hukuman meminum racun oleh majlis keadilan Athens. Ya, kesalahannya: kerana mendakwa bahawa memang wujud kebenaran mutlak dalam kehidupan. Jadi, natijah dari pandangan beliau ini, pemikiran anak-anak muda Athens mula tidak menganggap kebenaran sebagai sesuatu yang relatif.

Dan fenomena inilah yang merunsingkan golongan sofis tadi. Namun begitu, diakui makna philosophia bukanlah sesuatu kata yang begitu definatif pada zaman Yunani tersebut. Barangkali hal inilah yang mendorong Aristotles—yang dianggap warisan generasi kearifan Sokrates—enggan menyandang gelaran yang sama.

No comments: