www.flickr.com

Wednesday, June 1, 2005

Manfaat Falsafah

Sedarkah kita, sembang falsafah sering dilihat dengan persepsi yang cukup negatif sekali hingga dianggap menyusahkan serta dipandang sebagai aktiviti yang langsung tidak berguna! Namun begitu, mereka yang berfahaman begini lazimnya tidak mendalami (atau sekurang-kurangnya tidak mengetahui) apa itu falsafah, walhal ia merupakan aktiviti ritual kita sama ada kita sedar atau tidak.

Bukankah kita telah tahu bahawa falsafah itu hanyalah rumusan dari aktiviti akal kita yang diterjemahkan melalui kata-kata atau tulisan? Jadi, bukankah juga aktiviti ini setiap hari di lakukan oleh kita (manusia), terutamanya untuk bersembang dan mengantar sistem pesanan ringkas (SMS)? Kalau kita teliti balik, ada beberapa manafaat bila kita belajar falsafah termasuklah untuk melatih berfikir secara serius. Ya, seperti yang kita sedia maklum, falsafah ini adalah usaha untuk mencari kebijaksanaan (atau kebenaran) yang tentunya dilakukan oleh orang yang mencintai kebijkasanaan juga.

Dan, ini sememangnya menuntut kepada aktiviti berfikir secara serius. Malah, kalau kita rujuk pandangan Plato ia berfikiran lebih radikal lagi. Bagi Plato, pemimpin negara mesti seorang failasuf. Sebab, untuk memimpin ia mesti mempunyai fikiran yang serius yang hanya diperolehi melalui latihan dan aktiviti falsafah. Ini ciri penting bagi seorang pemimpin. Kerana, kebolehan untuk menyimpulkan masalah-masalah dengan suatu ungkapan mudah yang akhirnya menemukan akar persoalan itulah yang sebenarnya falsafah. Dan, itu juga manafaatnya!

Memang falsafah bukan saja sangat mustahak, malah juga sangat menarik. Selain dari agama, falsafahlah elemen kedua yang mencorak kekuatan dunia. Ini dapat diperhatikah kepada sejarah dunia itu sendiri. Jika kita tahu tentang falsafah, maka langsungnya kita juga tahu tentang manusia, suatu hal yang amat diperlukan oleh sebuah kuasa atau mana-mana kekuatan.Maka, falsafah dan agamalah—sama ada secara terpisah atau bergandingan—yang memugar kebudayaan manusia sejagat di sepanjang zaman dan seluruh wilayah.

Justeru, dengan kemampuan berfikir secara serius ini, kita barangkali akan menjumpai kesimpulan-kesimpulan baru dalam penyelesaian masalah manusia samada menerusi kaedah sistematik, historikal ataupun kritis.Ya, jika hujah kita kuat, barangkali hujah tersebut seterusnya akan menjadi buah pemikiran dan lantaslah kita akah menjadi seorang failasuf! Ayuh, mari kita belajar falsafah!

No comments: