www.flickr.com

Thursday, August 17, 2006

Amani

Tentang kontroversi Sharifah Amani, saya sengaja menghantar soalan sama kepada beberapa blogger. Tujuannya, untuk melihat cara pandang masing-masing terhadap isu ini. Namun, jawapan yang diberikan oleh Khalid Jaafar saya kira agak objektif dan menyeluruh. Sementara, Rastom cuba meletakkan beban kepada dasar rejim politik. Saya enggan mengulas soal filem Gubra, kerana ia tidak adil buat saya yang masih belum menonton filem tersebut. Saya hanya ingin mengulas soal kenyataan Amani yang dikatakan telah menyinggung Dato’ Seri Rais Yatim.

Rata-rata, saya lihat memang ada kesepakatan untuk menyifatkan Amani sebagai seorang yang bodoh (Khalid Jaafar, Rastom) dan tolol (Ahmad Zaki Yamani). Kerana gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik, walaupun beralasan baru berusia 20 tahun, ia hakikatnya melambangkan krisis yang sedang dijiwai oleh ramai anak muda dewasa ini. Inilah juga yang dirujuk oleh Rustam A. Sani sebagai krisis budaya dan pemodenan budaya. Di sini, Rustam A. Sani menyalahkan pertempuran antara konservatisme dan liberalisme, yang masing-masing tidak menjanjikan pencerahan buat bahasa dan bangsa.

Memang, mungkin tidak adil untuk kita ceduk kenyataan Rustam A. Sani ini secara per se begitu sahaja. Beliau bukan anak muda. Namun, reaksi “tidak terasa apa-apa” dari Amin Ahmad boleh menjadi saksi betapa tanggapan Rustam A. Sani ini ada benarnya. Catatan Amin Ahmad ini – yang saya kira boleh mewakili gambaran fikiran anak muda semasa – sekaligus telah mengiakan hagemoni bahasa rojak dan kelemahan bahasa Melayu di kalangan anak-anak muda Melayu dewasa ini. Walhal, bahasa Melayu itu ada seni dan kecantikan, yang mana tidak mungkin habis-habis jika dipelajari.

Saya tertarik bila Khalid Jaafar menyebut tentang ucapan Shahrum Yeob – yang sempurna bahasa Melayunya, tanpa slogan dan ufemisme. Dan, saya juga melihat kekemasan penguasaan bahasa Melayu dari kalangan bangsa lain. Dalam lingkungan saya sendiri, Lim Swee Cheng (bekas professor fizik teori UKM) ketika menyampaikan kertas Syarahan Perdana (1999) beliau, Kecelaruan yang teratur: Beberapa aspek ketertiban dalam sistem stokastik – telah cuba menzahirkan niat beliau untuk mengukuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa sains & teknologi. Pengayaan istilah-istilah Melayunya adalah sesuatu yang boleh dipuji. Saya ambil contoh, bagaimana beliau menterjemahkan perkataan Fractal sebagai pecacai, big-bang sebagai deguman besar, dll.

Itu saya belum ceritakan lagi tentang kesempurnaan bahasa Melayu seorang matematikawan bermata sepet. Ketika prasiswazah, saya pernah menjadi muridnya untuk matapelajaran Statistik Gunaan. Sepanjang syarahannya, beliau sentiasa cuba menyusun pertuturan bahasa Melayu dengan cukup jelas, padat dan begitu indah. Bahkan, saya masih ingat, ketika diminta untuk menulis esei tentang tokoh statistik aliran Marxisme, Karl Pearson, beliau pernah memperbetulkan banyak kesilapan penggunaan bahasa Melayu saya. Saya fikir saya sudah pandai. Rupanya tidak. Semenjak itu, saya menganggap bahawa bahasa Melayu tidak ada puncak pembelajaran ideal. Tetapi prinsipnya, kita harus belajar. Terus-menerus.

Justeru, Amani sebagai seorang warganegara Malaysia juga harus mula belajar bagaimana menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Inilah juga nasihat yang diungkapkan oleh Khalid Jaafar. Bayangkan, jika Amani seorang warga Belanda, tentu taraf kewarganegaraannya akan dipersoalkan habis-habisan oleh Rita Verdonk. Tetapi, beliau bernasib baik kerana diam di Tanah Melayu. Sebuah tanah yang kini cuba mendaulatkan bahasa Inggeris sebagai bahasa sains & teknologi. Dan, Amani adalah salah seorang mangsa yang berjaya memanipulasi dasar ini untuk memaafkan kesilapannya…

Atau, barangkali untuk menyedapkan hati, seperti saranan Zarul, anggaplah pemerkasaan bahasa Melayu adalah mitos. Dan, tentunya Amani akan rasa lebih tenteram lagi…

5 comments:

Jong said...

salam
anak muda 20 tahun itu adalah mangsa perang budaya. dia mungkin tak tempang kaki diledak periuk api atau puntung tangan ditimpa konkrit yang dibom peluru berpandu tetapi dia sudah hilang hati nurani. dan bila seorang manusia hilang hati nurani bangsanya, dia sudah tidak berguna lagi.

Pinang muda gantung di balai,
Taruh makan bulan puasa;
orang muda jangan dilalai,
kalau lalai rosak binasa.

Aqil Fithri said...

Buah muda masih mengkal,
Getah melekit di daun kobis;
Anak muda masih dangkal,
Tengah belajar belum habis

Amin Ahmad said...

Sdr. Aqil,

Tidak terasa apa-apa dari kenyataan Sh. Amani bukan beerti saya bersetuju, saya memang mahu menolak pertikaian terhadap bangsa dan budaya sendiri. Tetapi saya mahu menolak dengan rasional yang terbukti.

Rais Yatim - pernah dia lantang begitu kepada Menteri dan yang lain-lain seperti khabarnya DBP habiskan berjuta untuk sesuatu yang di luar keutamaan perannya?

Justeru, saya kira orang bahasa dan budaya lebih berhak dan ke depan tentang ini. Saya percaya bahawa anak muda menagih asuhan dan contoh. Kegelapan tidak mungkin dihalau melainkan kita nyalakan lampu untuk menerangi.

rastom said...

Fractal sebagai pecacai. Bagus sekali ada pensyarah yang begini. Kata pecacai mengingatkan saya kepada satu babak filem P. Ramlee, PTPN = pecacai tua pengangkut najis....P.Ramlee seperti Shakespeare, sudah lama membidas pecacai pecacai (fractals) bikinan generasi Mm dalam satu babak Seniman Bujang Lapok. Yang menegur bahasa orang Melayu dalam filem itu ialah seorang Punjabi Sikh pengawal keselamatan.

Anonymous said...

best regards, nice info » »