www.flickr.com

Thursday, August 10, 2006

Fizik

[Kiriman ini khas untuk mahasiswa fizik, yang ada antaranya sudah lemah semangat dan kelihatan seperti terpaksa untuk belajar fizik]

Sebetulnya, fizik merupakan jurusan yang luas. Namun, kelihatan ada yang memandang fizik sebagai jurusan yang kaku, seolah-olah ia merupakan displin bosan dan berbaur pendidikan semata-mata. Tidak dinafikan, di negara kita terutamanya, pemandangan sebegini mungkin sekali terbentuk ekoran tanggapan yang melihat fizik sebagai jurusan yang sempit.

Faktanya tidak begitu. Fizik terbukti merupakan antara jurusan yang paling mencapah. Umpamanya, ahli fizik boleh berkecimpung dalam bidang insurans serta perbankan – lebih-lebih lagi di luar negara. Ini kerana, ahli fizik telah didapati lebih mudah untuk memahami serta menangani fenomena fizikal yang berkaitan dengan pergerakan indeks saham serta transaksi derivatif kewangan.

Sementara itu, dengan latar pendidikan fizik yang sarat, ahli fizik juga berkeupayaan untuk menceburkan diri dalam beberapa bidang yang kini semakin mendapat perhatian umum. Ini termasuklah seperti astrofizik, biofizik, bioinfomatik, pemodelan dalam genomik dan sintesis nanozarah (bagi aplikasi biologi dan makromolekul).

Malangnya, fenomena ketara di Malaysia ialah betapa miskinnya pemupukan terhadap bidang fizik teoritikal dan fizik-matematikal. Nyata, kita sememangnya sangat kekurangan kepakaran dalam bidang ini. Tidak ramai yang serius. Barangkali keadaan ini dipengaruhi oleh faktor pembentukan minda, kurangnya pendedahan serta lemahnya inisiatif pihak pemerintah.

Walhal, keseriusan kita terhadap fizik teoritikal ini amat membantu untuk menjelajah beberapa bidang lain yang menarik. Ini termasuklah kosmologi kuantum, kriptografi kuantum, pengkomputeran kuantum dan teori graviti kuantum. Manakala, dari fizik-matematikal pula, kita dapat meneroka bidang-bidang seperti aljabar tak komutatif, teori nombor, kategori dan topos. Ini semua merupakan bidang nuansa fizik yang belum diteliti secara kental di negara kita.

Sebab itu, jangan ada rasa rendah diri untuk menekuni jurusan fizik. Usah kita hairan, ramai di kalangan akademia kini yang senang-senang mendakwa mereka melakukan penyelidikan dalam nanoteknologi, termasuklah kalangan jurutera dan biologis. Hakikatnya, ahli fiziklah yang banyak merintis bidang tujahan negara waktu ini.

Jadi, kita seharusnya yakin dan percaya, menjadi ahli fizik tidaklah sesempit dan sebosan mana sepertimana yang terbina dalam imiginatif masyarakat. Richard Feynman pernah merakam, "Physics is like sex. Sure, it may give some practical results, but that's not why we do it". Tidak begitu?

Nah, itu kita belum jengah lagi pengaruh ahli fizik terhadap wacana falsafah …

5 comments:

rashinina said...

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Selalunya saya sering membaca, melihat dan menjenguk setiap blog yang tertayang di hadapan saya setiap kali saya klik butang kiri yang ada di tangan kanan saya.

Tapi, isu yang ini agak menarik minat saya untuk memberikan sedikit pandangan.

Saya, bukan seorang guru. Tapi mempunyai beberapa orang anak murid yang mendalami Fizik dan Matematik Tambahan - dalam konteks yang berbeza saya mengajar mereka di luar masa senggang saya bukan hanya untuk peperiksaan, malah juga memberikan 'idea' untuk menjadi 'manusia yang syumul di sisi Allah'. Saya bukan juga seorang ustazah.

Bagi anak murid yang tidak sukakan Fizik - pastinya amat ramai - saya sering katakan seperti ini : "Graviti ada di sekeliling kamu, Pecutan ada di sekeliling kamu, Atom dan molekul ada dalam tubuh kamu, Angin dan Tekanan juga ada di sisi kamu.." - dan beberapa ayat lain yang agak mudah untuk mereka faham - FIZIK adalah teori dalam kehidupan : orang tidak jatuh ke atas, di dunia ini, tapi jatuh ke bawah kerana Allah telah menjadikan Fizik begitu:logik yang ada dalam kehidupan seorang insan. Jika tidak sukakan Fizik, seolah-olah mahu lari dari hidup di dunia. Perhatikan Fizik dengan teliti, dan ada 'dunia' di situ yang telah ALLAH jadikan dengan benar-benar sempurna. ALLAH yang Maha Sempurna. Alhamdulillah.

Jadinya, saya juga antara beberapa peminat Fizik - tidak menjadikan Fizik ini sebagai cabang kerjaya saya pun - tetapi suka membaca tentang aerofoil dan kemajuannya (ini antara yang saya amat gemari) dan sering terfikir, andai lompatan seorang manusia mempunyai halaju lebih kurang 11.9m/s2 dan dapat dikekalkan, adakah keapungan seorang manusia akan wujud. Malah, saya juga sukakan nombor. Nombor, dalam konteks yang lebih terperinci.

Hayatilah Fizik - sebuah seni dalam kehidupan yang berlandaskan kesempurnaan Maha Pencipta yang amat indah. Dia, Maha Penyayang dan Maha Adil.

InsyaAllah.

maziah said...

salam lawatan balas.....

kata2 promo "matematik itu mudah" sebelum ni sepatutnya diwujudkan pula khas untuk fizik.... "fizik itu indah"...bila belajar fizik, merangkumi semua aspek...
bila belajar fizik, biologi pun kena mahir, kimia pun kena expert, matematik apatah lagi...kena cair....

yuppiii....idup fizik!!!!!

Mohd Faizal said...

Asm Sheikh..untuk menarik minat ramai peminat ilmu fizik dan matematik, perlu dibuat dalam bentuk visual dan bahan bacaan (ringan dan ilmiah). Cadangan saya, since enta berbakat dalam penulisan saintifik dan mudah dicerna oleh minda biasa seperti saya dan mungkin pembaca blog anda yang lain, enta antar artikel2 berkaitan dunia sains dan kosmologi ker suratkhabar, kosmik, estidotmy dan sebagainya yang menjadi bacaan org2 biasa.

Anonymous said...

dalam memahami fizik hendaklah kita tahu akan bahasanya iaitu Kaedah Matematik kerana Einstein ketika kuliah Milkonwski beliau tidak menaruh minat terhadap kuliahnya kerana beliau beranggapan fizik hanya memerlukan kaedah matematik yang ringkas sahaja dan paling penting dalam menguasai fizik ialah imaginasi yang diperkukuh dengan asas fizik dan matematik... OLEH ITU PERKUKUHKAN MATE DAN FIZIK ANDA, SELANGILAH DENGAN SEDIKIT KHAYALAN DAN IMAGINASI

Ahmad Hazazi AS said...

Mohon kongsi artikel ini untuk mempromosikan Fizik Teori ya tuan Aqil..;-)