www.flickr.com

Friday, September 15, 2006

Shiffin

Teman-teman, izinkan saya berkongsi ceritera ini. Sebuah ceritera gementar. Dan juga, ceritera yang pernah dirakamkan dalam Nahjul Balaghah, sewaktu menantinya pertempuran Shiffin yang bersejarah itu. Baiklah, saya mulakan…

Alkisah, sesegera Imam Ali Abi Thalib dan tenteranya sampai ke Shiffin, maka datang khabar bahawa Mua'wiyyah dan tenteranya sudah terlebih dahulu tiba ke sumber air yang satu-satunya ada di situ. Mereka rupanya terlambat. Manakala, Mua’wiyyah pula enggan berkongsi. Betapa rasa amarah mula membuak. Tentera-tentera Imam Ali mula meminta izin untuk menghunus pedang. “Sumber air mesti direbut, dan jangan dibiarkan ia dibolot oleh tentera dari Istana Hijau itu”, desak tentera-tentera dari Kufah itu.

Namun, Imam Ali maseh tetap tenang. Bahkan, sempat menyabarkan tenteranya. Itulah Abu Turab seperti yang selalu dicoretkan dalam buku-buku sejarah. Buku The Voice of Human Justice, nukilan George Jordaq turut mencoretkan wajah yang demikian. Malah, dalam bening ketenangan itulah, Imam Ali menganjurkan jalan baru. Diplomatik! Lalu, tanpa ragu-ragu warkah diutus. Mua'wiyyah membaca.

"Tanpa perperangan, dan atas nama keadilan, mari kita kongsi sumber air tersebut", persis begitu catatan Imam Ali. Malangnya, Mua'wiyyah enggan menuruti, seenggan-enggannya! Bahkan, nasihat sampingan oleh 'Amr bin 'Ash, si penasihatnya yang cerdas itu, turut dilekeh-lekehkannya. Dalam logik politik Mua'wiyyah, bukankah sumber air yang dimilikinya itu satu kelebihan, yang tentunya ini akan dapat melemahkan kekuatan musuhnya?

Begitupun, Imam Ali bukannya insan berjiwa kerdil. Beliau adalah personaliti par-excellence, rakam Ali Shari'ati dalam Martyrdom: Arise and Bear Witness. Demi keamanan, demi nyawa, beliau maseh ingin mencuba. Bumi Shiffin yang bersih itu tidak seharusnya dimerahkan, sebelum tiba saatnya. Lagi utusan dikirim, sampai berkali-kalinya. Dan, setiap kali itulah permintaan tersebut tidak dipedulikan.

Nah, apa lagi ‘cara baik’ yang harus dibuat. Sifar! Bukankah sudah tiba saatnya Imam Ali dan tenteranya memulakan langkah? Tiada diplomatik lagi. Segalanya terhenti atas nama sebuah ego dari tanah Syam. Maka, kini hanya ada satu-satunya pilihan yang mulia, sepertimana satu-satunya sumber air yang ada. Dan, itulah juga pilihan terakhir. Lawan! “Untuk survival, sumber air mesti direbut dari mereka”, sepakat Imam Ali dan tenteranya.

Syahdan, sebelum bertempur, dan di hadapan kerumunan tenteranya, Imam Ali memulakan ucapan yang mengetarkan. Dalam buku Dah Guftor-nya, getaran inilah yang turut dirasakan oleh Murtadha Muthahhari setiap kali melewati khutbah ini. Sementara, tenteranya pula sepertinya tidak sabar-sabar menanti perintah. Semangat berkobar-kobar. Masing-masing ingin bangkit bersaksi. Lalu, di tengah-tengah suasana demikian, Imam Ali mengungkapkan:

"...mereka telah mendahului kita, dan mereka seperti kelaparan memohon perang dari kita. Justeru, hanya ada dua jalan bagi kita, sama ada kita tetap berada di sini dalam kehinaan serta kelewatan, ataupun membasahi pedang-pedang kita dengan darah-darah mereka, sehinggalah kita dapat melegakan dahaga dengan air tersebut. Kerana, sesungguhnya hidup di dalam kematian ialah mati sebagai penakluk, manakala mati di dalam kehidupan ialah hidup sebagai taklukan..."

Usai, maka percikan darah pun tertumpah di bumi Shiffin. Bumi itu. Dan, tumpahnya membenahi bumi atas dua pilihan tersebut, sesudah pilihan yang pertamanya dinafikan. Merah itu mengalir, terus-menerus, tanpa henti, sehinggalah Al-Qur'an dijunjung di hujung tombak...

2 comments:

zarch said...

Salam, yang memjadi persoalan besar adalah kumpulan khawarij, kumpulan dari sebelah S.Ali r.a yang bertindak "terrorist", menentang perjanjian damai S.Ali r.a dengan Muawiyah r.a,dengan menghantar orangnya untuk membunuh S.Muawiyah r.a, Amru Al-As r.a dan S.Ali r.a yang mana mereka berjaya melakukan pembunuhan terhadap S.Ali r.a. Apakah bijak kumpulan khawarij ini?
Saya begitu memuji personaliti S.Ali dan bagaimana beliau lebih mencintai kedamaian, biarpun beliau mempunyai kekuatan yang lebih dari pihak yang menentang beliau. Semoga Allah merahmati sekelian sahaba r.a.

Aqil Fithri said...

salaam kembali~
iya saudara zar zh. puak2 seperti ini takkan habis sepanjang zaman. dan, sekarang ada pula neo-khawarij...