www.flickr.com

Saturday, December 30, 2006

Islam & Pluralisme

Sebahagian besar buku Jalaluddin Rakhmat, atau sapaan mesranya Kang Jalal, telah pun saya nikmati. Sebab itu, apabila buku Islam dan Pluralisme: Akhlak Quran Menyikapi Perbedaan diterbitkan, maka saya tidak mahu turut sama terlepas menikmatinya. Apatah lagi, sebelum itu, fikiran diusik dengan kritikan keras yang dikemukakan oleh Adian Husaini dalam Hidayatullah (sila lihat: Mengajak Jalaluddin Rakhmat Bertobat) di samping menelusuri wawancara Kang Jalal bersama Jaringan Islam Liberal (sila lihat: Rahmat Tuhan Tidak Terbatas). Sebaik memiliki buku yang terdiri dari tiga bahagian ini, saya mula membaca dengan lancar. Tidak seperti buku-buku falsafah yang dibaca sebelum ini, kadang-kadang terpaksa berdikit-dikit. Malah, sesetengahnya seperti ”meniup api dalam air!”

Memang, buku ”mungil tapi bergizi” ini (meminjam istilah penerbit, Serambi) ini ada membincangkan tentang pluralisme, seperti judulnya. Namun, sayangnya, dalam konteks pluralisme agama, lebih-lebih lagi Islam, saya kira ia hanya memuatkan secebis sahaja, khususnya dalam Bahagian Pertama. Selebihnya, buku ini miring untuk menyerlahkan keragaman fikiran yang tertanam dalam tradisi Islam. Malah, lebih mengecewakan lagi apabila terdapatnya kesilapan ejaan, tidak menterjemahkan petikan (termasuk dari bahasa Perancis), di samping juga kualiti persembahan buku yang saya fikir dibikin dalam keadaan yang tergesa-gesa. Walau bagaimanapun, di akhir pembacaan saya insaf bahawa bahawa buku ini rupa-rupanya lebih bersifat sebagai ’bunga rampai’, yang saya kira hanya bertujuan untuk membentangkan evolusi fikiran Kang Jalal, bukannya sebuah buku akademik per se.

Di samping itu, satu ciri khas yang terdapat dalam tulisan Kang Jalal, sama ada dalam buku ini mahupun buku-bukunya yang lain, ialah gaya tulisannya yang unik serta sarat dengan cerita-cerita klasik yang menarik. Saya yakin dan percaya kebanyakan cerita-cerita yang ditonjolkan oleh Kang Jalal —meskipun ada cerita yang tidak dinyatakan sumbernya— dalam buku ini adalah saduran dari karya Fariduddin Attar, Jalaluddin Rumi, atau tokoh-tokoh ’irfan yang lain. Dan, bagi saya lagi, kaedah seumpama ini langsung menjadikan tulisannya lebih mudah serta menyeronokkan. Malah, hakikat ini sememangnya disedari khalayak ekoran latar belakang Kang Jalal sendiri sebagai pakar komunikasi yang aktif. Selain daripada itu, berbeza dengan banyak penulis di negara kita, Kang Jalal sebaliknya turut menyediakan hujahnya dengan melampirkan beberapa aliran dan tafsiran, atau sekurang-kurangnya tidak meninggalkan dua aliran besar Islam; sunni dan shiah.

Lazimnya, sejauh pembacaan saya, pendekatan seperti ini hanya sering ditemui di kalangan intelektual barat seperti John L. Esposito, Louis Massignon, Bruce Lawrence, Olivier Roy dan Hamid Algar (hanya menyebutkan sebahagian nama). Malah, Fazlur Rahman —yang menulis mengenai buku The Philosophy of Mulla Sadra, tokoh yang mula-mula sekali diperkenalkan oleh Sayyed Hossein Nasr pada dunia barat— pernah mengungkapkan bahawa perlunya dunia sunni disuntik kembali dengan semangat muktazilah dalam rangka melengkapkan pembinaan tamadun Islam yang baru. Seruan Fazlur Rahman ini bukan mengejutkan, lebih-lebih melihat tumpulnya budaya mantik dalam dunia muslim setelah terpukul dengan Tahafut al-Falasifah (barangkali?). Ini ditambah lagi dengan ta’asub mazhab sampai mengekang dan menebalkan lagi sempadan pengetahuan.

Nah, apabila berbicara soal ini, benak saya lekas terhimbau dengan kata pengatar yang pernah dikemukakan Amien Rais dalam buku yang juga diterjemahkan oleh beliau, Tugas Cendikiawan Islam, karya Ali Shari’ati. Tulis Amien Rais dengan cukup berhati-hati, ”Ali Shari’ati adalah seorang muslim shi’i. Sedangkan penterjemah adalah seorang muslim sunni. Dorongan untuk menterjemahkan buku ini bukanlah untuk menawarkan percikan-percikan pemikiran shiah di Indonesia. Bagi penterjemah, perbezaan shiah-sunnah adalah warisan historis kuno yang telah menyebabkan lemahnya umat Islam sebagai satu keseluruhan.”

Justeru, saya lihat Kang Jalal merupakan salah seorang yang gigih menyambut semangat ini. Malah, hal ini lebih ketara sekali sepanjang saya menelaah buku kontroversi ini. Contohnya, dalam membahas soal Islam dan pluralisme ini, Kang Jalal mengajak kita untuk menimbang fikiran Syeikh Fadhlullah Husayn yang termuat dalam Tafsir Min Wahy al-Quran serta pandangan berani Muhammad Abduh dalam tafsir Al-Manar. Di samping itu, Kang Jalal turut sempat menarik perhatian saya apabila menunjukkan sebuah buku yang rupa-rupanya telah lama saya terlepas pandang. Dalam buku Al-’Adl Al-Ilahi nukilan Murtadha Muthahhari, sepertimana yang dipetik sendiri oleh Kang Jalal, ia telah memaparkan satu idea yang sangat rasionalistik dengan membayangkan bahawa Rene Descartes sebagai seorang muslim yang fithri.

Dan, bila merasa tidak puas terhadap apa yang dipetik oleh Kang Jalal, maka saya sendiri menyemak naskah terjemahan Al-’Adl Al-Ilahi yang dimiliki oleh seorang teman. Nyata sekali dalam buku tersebut memang ada kenyataan sedemikian. Di sana, Muthahhari memetik kata-kata Descartes, ”aku benar-benar tidak menganggap bahawa agama Kristian pasti merupakan agama yang terbaik di dunia. Aku hanya mengatakan bahawa agama Kristian adalah agama terbaik sejauh bila dibandingkan dengan agama-agama yang aku ketahui. Dan, aku memeluknya setelah terlebih dahulu menganalisis dan mengujinya. Sama sekali aku tidak memusuhi kebenaran sekiranya di sana, atau di tempat-tempat lain di dunia, di mana terdapatnya agama yang lebih baik dari agama Kristian." Dan, dalam petikan yang berbeza, Descartes menyambung, ”Sungguh, aku tidak tahu, mungkin saja agama atau mazhab yang ada di Iran lebih mulia dan lebih baik dari agama Kristian.” Nah, apakah dengan kenyataan sebegini kita boleh menyebutkan sang pengarang Discourse of Method ini sebagai seorang kafir? Ujar Kang Jalal, bagi kalangan al-Mutasyaddidun jawapannya, ya! Sebaliknya, bagi kalangan al-Mustanirun jawapannya, tidak! Kerana, jalan untuk kita menuju pada Tuhan adalah sebanyak nafas manusia. Justeru, mawaddah Tuhan —yang kita diajarkan oleh al-Qur’an meliputi langit dan bumi— tidak seharusnya disempit-sempitkan!

Kemudian, lari dari persoalan pluralisme Islam, Kang Jalal cuba membuat perbandingan antara khalifah dan imamah, semata-mata untuk menzahirkan kewujudan skisme dalam tradisi Islam. Istilah skisme yang seawalnya dianggap jelek Kang Jalal sendiri, tetapi akhirnya ia menyedari bahawa istilah ini bukan sahaja terhimpun dalam tradisi Kristian, malah turut menyemarak dalam tradisi Islam sekalipun. Umpamanya, ketika semasa kita tersepit (dan tersumbat) dalam membincangkan perbezaan antara khilafah dan imamah —satu persoalan yang hampir seusia dengan kelahiran Islam itu sendiri. Pada Kang Jalal, debat khilafah dan imamah adalah bernuasa dari kewujudan skisme dalam Islam itu sendiri. Bahkan, pencirian yang ketara dari dua jalur kepercayaan ini disorot dengan cemerlang oleh Kang Jalal. Menurutnya, dalam pandangan politik sunni yang diwakili oleh serangkaian yang terdiri dari khilafah, ijmak dan baiah. Manakala, dalam tradisi shiah diwakili pula oleh gandingan imamah, wilayah dan ismah.

Dan, persoalan ini semakin jelas ketika Kang Jalal menimbulkan kontras hubungan antara penguasa dengan rakyat dalam konteks dua jalur ini. Dengan memetik Syarh Muslim oleh Imam an-Nawawi, Kang Jalal mengulang, ”berkata jumhur Ahlus Sunnah dari kalangan fukaha, para muhadis dan mutakalim bahawa Imam tidak boleh dimakzulkan kerana kefasikan, kezaliman atau pelanggaran hak. Ia (Imam) tidak boleh diturunkan dan tidak boleh orang keluar menentangnya. Wajib bagi rakyat untuk menasihat dan memperingatinya.” Manakala dalam tradisi shiah, sepertima yang diungkapkan oleh Ibn Thawus, ia menegaskan bahawa kafir yang adil adalah lebih baik daripada muslim yang zalim. Jadi, persoalannya untuk kita fikirkan sekarang, tanya Kang Jalal, bagaimana boleh wujud perbezaan ini, walhal kedua mazhab ini lahir daripada benih Islam serta masing-masing percaya pada kenabian yang sama?

Selanjutnya pada Bahagian Kedua iaitu, ”Mencari Autentitas Imam”, saya perasaan salah satu tulisan Kang Jalal yang terdapat di situ, Tuhan Yang Disaksikan, Bukan Tuhan Yang Didefinasikan, merupakan kutipan dari sebuah artikelnya. Dalam bab ini, Kang Jalal rancak membincangkan beberapa aliran dari faham barat yang memberi dampak terhadap sisi-sisi kemanusiaan. Ini termasuklah membahas tentang requeim acternam deo; memazmurkan sambutan kematian Tuhan. Memang, seperti yang ramai maklum, istilah kematian Tuhan diakrabkan dengan Friedrich Nietzsche. Namun, jelas Kang Jalal, Nietzsche bukan ateis dalam makna melawan kewujudan Tuhan. Sebaliknya, lebih dari itu, Nietzsche melihat kewujudan Tuhan sebagai seteru kepada kebebasan yang mahu menentukan moraliti manusia. Jadi, hanya dengan membunuh Tuhan manusia akan dapat menikmati kebebasan mutlak. Dalam bahasa Sartre, petik Kang Jalal lagi, ketika keadaan inilah maka lahirnya ’autentik’ dalam diri manusia itu.

Demikian juga sebahagian tulisan Kang Jalal dalam Bahagian Ketiga iaitu, ”Menyoal Negara Islam” adalah dimuatkan dari kata pengatarnya dalam buku Jeffrey Lang, Bahkan Malaikat Pun Bertanya (juga terbitan Serambi). Buku tersebut merupakan terjemahan dari buku Even Engels Ask. (Sebelum menulis buku ini, Jeffrey Lang, seorang mualaf telah menulis Struggling to Surrender, sementara bukunya yang terakhir Losing My Religion: A Call for Help) Saya fikir, ajakan Kang Jalal untuk menilai kembali perjuangan negara Islam tentunya dirangsang dari buku-buku Jeffrey Lang yang memperdebatkan kembali beberapa teori klasik muslim, termasuklah tentang Dar al-Harb dan Dar al-Islam yang kental dicanangkan kalangan Hizbut Tahrir. Saya tidak memikirkan bahawa saya perlu menghuraikan soal ini lebih serius. Cukup sekiranya anda menjelajahi jaringan ini (Sila lihat: Bahkan Malaikat Pun Bertanya).

Di samping itu, dalam tulisannya yang berikut, ”Memerangi Musuh Negara”, saya tertarik apabila Kang Jalal cuba memperingatkan kembali tentang bakti Malik al-Asytar dalam merealisasikan cita-cita good governance pimpinan Abu Thurab. Meskipun kisah ini sudah sebati dalam pembacaan saya, namun kupasan Kang Jalal adalah senada dengan apa yang pernah dicatatkan oleh Syed Hussein Al-Attas dalam Cita Sempurna Warisan Sejarah. Masih segar lagi kata-kata al-Attas, ”seluruh isi surat Saidina Ali pada Malik al-Ashtar pasti akan disambut dengan meriah oleh penganjur-penganjur kemanusiaan Barat jika mereka mengetahuinya. Dokumen ini boleh menjadi panduan pada masa sekarang tanpa diubah sedikitpun.” (Pandangan al-Attas ini amat tepat apabila surat inilah yang kini telah menjadi antara dokumen penting dalam PBB). Tetapi, sayangnya, kerana iltizam politik inilah, Malik al-Ashtar syahid di tangan antek-antek Istana al-Khadhra’, sama sepertimana yang disebut oleh Syed Hussein al-Attas dalam kertasnya syarahan perdananya tersebut. Namun, bagi saya, wawasan Malik al-Ashtar akan lebih bererti apabila kita terinspirasi dengan semangatnya untuk melawan penindasan, atau dalam terminologi Shariati, melawan zar va zur va tazvir. Kerana, asas kelahiran Islam adalah yang pertama-tamanya bagi membela para mustadh’afeen —demi Tuhannya Malik al-Ashtar!

Kesimpulannya, saya tidak fikir saya berupaya untuk menghimpunkan semua weltanschauung Kang Jalal sebatas ulasan nipis ini, meskipun saya ingin sekali melakukannya. Bukan sahaja ruang sangat terhad, malah kadang-kadang masa pula begitu menghimpit. Namun, cukuplah jika saya merumuskan, bahawa bagi mereka yang tidak berani untuk berfikir, maka buku ini bukan pilihannya; kerana buku ini bukan sekutu kepada ketunggalan fikiran. Namun, jika tega memilih sebaliknya —membaca dan berfikir— tidak kira sama ada kita menerima atau membangkang gagasannya, saya fikir ia sudah cukup untuk meletakkan diri kita bersama-sama Kang Jalal. Tidak semestinya lebih dari itu. Kerana kita harus ingat, ’ilmu itu kuasa’!

4 comments:

Amin Ahmad said...

Salam.

Sdr Aqil, lama juga kita tak ketemu kan?

Bagaimana pengajian sdr? Sy juga sedang berdikit bergelut dengan hidup dalam pengajian sarjana. Semoga sy lebih mengerti akan keunggulan ilmu sebagai jalan islah.

Saya gembira blog ini dikemaskini dan sarat dengan penulisan yang mencerahkan. Ya, kita tidak mestinya bersetuju tetapi ruang untuk eksplorasi harus kekal merdeka.

Moga Allah s.w.t. kurniakan saya dan umat ini kefahaman, kejujuran, keberanian dan kebijaksanaan untuk kekal dalam
jalan-Nya.

Sampai ketemu ya!

Aqil Fithri said...

salaam amin,

bahasa enta semakin bagus-lah!

iya, sampai takat ini kita memang mempunyai banyak persamaan. dan, insha'allah, kebersamaan ini akan kekal merdeka! saya yakin dan percaya, hanya mereka yang berpaut pada idealisme sahaja yang masih kental melawan arus! cubalah tengok, kalau sdr tidak punya idealisme, sudah tentu sdr takkan memilih untuk menyambung pengajian, bukan?

tahniah, semoga terus cemerlang & terima kaseh kerana sudi berkunjung!

Anonymous said...

Salam,

Terima kasih kerana mengulas dengan baik sekali buku ini. Ada saya terlihat buku ini di Fajar Ilmu Baru. Saya tidak beli, kerana rasa bagai sudah lelah dengan isu pluralisme agama. Hujahnya sama dan berlingkar di situ sahaja.

Maaf, saya tidak nampak ada untungnya bila tokoh agama di Indonesia berlebihan mendokong dan menyokong pluralisme agama ini.

Aqil Fithri said...

salaam anonymous,

lazimnya, hukum pertama sebelum saya membeli buku ialah melihat siapa pengarangnya. dan, hukum tersebut memang saya patuhi semasa membeli buku ini.

manakala untuk menelaah pluralisme agama, sumber utamanya saya kira harus dirujuk kepada filsafat perennial seperti yang dikemukakan oleh kalangan Sayyed Hossein Nasr.

dan, mungkin sekali pandangannya dalam Knowledge and the Sacred dapat membantu kita meneroka akar umbi hujah pluralisme agama.