www.flickr.com

Thursday, September 1, 2005

Dampak Fizik Kuantum

Dalam falsafah sains semasa, hubungan antara fizik kuantum dengan falsafah merupakan wacana yang agak hangat sekali, malah sering mengundang kontroversi (Sila rujuk buku David Wick, "The Infamous Boundary: Seven Decades of Heresy in Quantum Physics"). Di sini, kita akan dapat melihat bagaimana rancunya tanggapan-tanggapan dalam menerangkan fenomena fizik kuantum ini. Malah bagi Ian G. Barbour dalam bukunya When Science Meets Religion, seorang saintis-teologian, kita sebenarnya boleh menemukan Tuhan menerusi fizik kuantum.

Kita tahu, fizik kuantum telah diawali melalui penemuannya oleh Max Planck pada tahun 1901 menerusi penemuan sinaran jasad hitam. Di sini dalam ungkapannya, Planck percaya bahawa cahaya sebenarnya tersinar dalam bentuk diskrit, atau juga lebih dikenali sebagai kuanta. Maka, dari gabungan kuanta-kuanta inilah yang kita kenali akhirnya sebagai kuantum. Maknanya, kuantum adalah himpunan kuanta-kuanta!

Susulan dari penemuan Planck ini, ramai ahli fizik yang memberi tumpuan terhadap kajian fizik kuantum. Dan, dalam waktu yang hampir sama, selian fizik kuantum, terdapat satu lagi cabang fizik baru; teori relativiti (atau kenisbian, istilah Shaharir Mohammad Zain) yang giat dipelopori oleh Albert Einstein dan kalangannya. Malah, pada peringkat awal, idea Einstein ini telah mendapat perhatian serius dari beberapa nama besar seperti P.A.M Dirac dan Betrand Russell yang telah menulis buku khusus tentang Teori Kenisbian Einstein.

Namun begitu, harus diingat bahawa fizik kuantum lebih dari sekadar penemuan biasa, yang terzahir dalam konteks sains semata-mata. Bahkan, fizik kuantum merupakan salah satu daripada lima idea agung dalam sejarah penemuan fizik sepertimana yang disimpulkan oleh Alan P Lightman dalam karyanya Great Ideas in Physics. Malah, kalau diteliti lagi, fizik kuantum hakikatnya telah mendobrak penguasaan faham Cartesian-Newtonian yang selama lebih tiga abad mencengkam weltanschauung (pandangan hidup) masyarakat barat.

Dan, di tengah-tengah pengaruh Cartesian-Newtonian, terdapat beberapa nama lagi seperti Galileo, Copernicus, Kepler, dll yang menguatkan lagi faham kembangan mereka berdua ini. Bagi puak-puak ini, faham Aristotelian yang dipercayai oleh institusi gereja katolik selama itu telah tidak lagi dianggap relevan dan mampu menjawab persoalan-persoalan semasa. Jadi, dengan kombinasi rasionalisme (Descartes) dengan tentuisme (Newton), serta bantuan gagasan tedahulu, kaedah ujikaji oleh Francis Bacon, maka seluruh bingkai pemikiran intelektual barat terarah pada sainstisme!

Sebenarnya, istilah Cartesian-Newtonian bukanlah pertama kali diaplikasikan. Sebelum ini Fritjof Capra dalam bukunya The Tao of Physics, serta R. Oppenheimer, tokoh di sebalik projek Manhatthan yang kemudiannya tiba-tiba menjadi mistikus timur, turut mengunakan istilah yang sama; Cartesian-Newtonian! Maka, Cartesian-Newtonian adalah faham yang wajar bagi merujuk pada paradigma berfikir para ilmuan sains Barat dalam zaman Renaisans, Aufklami dan juga Moden. Malah, lebih jauh lagi, faham ini turut mengugat pengalaman agama di dunia Barat sendiri.

Namun, bila munculnya fizik kuantum, faham Cartesian-Newtonian mula tergugat. Ini kerana sains tidak lagi dapat menjelaskan fenomena subatom secara pasti, tentuistik, linear, logik seperti yang dipercayai oleh faham Cartesian-Newtonian. Sebab itu, gegaran yang dibawa oleh fizik kuantum ini telah disifatkan oleh Thomas S. Kuhn sebagai revolusi sains kedua, yakni selepas peralihan dari 'sains-wahyu' kepada 'sains-akal' yang pernah tersemat pada era renansains dulu!

No comments: