Tulisan ini merupakan ulasan terhadap artikel Islam dan Sains Moden nukilan Sayyed Hossein Nasr yang merupakan sebahagian daripada sejumlah artikel yang terangkum dalam buku Falsafah Sains Daripada Perspektif Islam, sebuah buku yang diselenggara oleh Dr. Baharuddin Ahmad, Felo ISTAC di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Memang, buku ini sangat menarik sekali untuk diteliti serta dijadikan bahan kajian awal terhadap penerokaan gagasan sains Islam.
Kejernihan pandangan yang disuarakan oleh Nasr ini bukanlah sesuatu yang menghairankan jika kita menyoroti latar belakang perjalanan akademik beliau. Beliau yang dilahirkan di Teheran pada 7 April 1933 datangnya dari sebuah keluarga yang religius serta dihormati oleh masyarakat. Pada peringkat awalnya, Nasr mendapat pendidikan asas di Teheran sebelum melanjutkan pangajiannya dalam bidang geofizik di Massachusetts Institute of Technology (MIT).
Setelah itu, beliau telah meneruskan pendidikannya dalam ijazah kedoktorannya di Harvard University menerusi pengajian falsafah di bawah penyeliaan George Sarton. Namun begitu, belum sempat disertasi beliau dibentangkan, Sarton telah meninggal dunia. Akhirnya beliau menyambung kajiannya di bawah tiga penyelia iaitu, I. Bernard Cohen, Hamilton Gibb dan Harry Wolfson.
Kini, Nasr bertugas di George Washington University sebagai salah seorang professor dalam sains Islam dan merupakan juga pengasas kepada Imperial Iranian Academy of Philosophy serta Presiden Foundation for Traditional Studies. Sebagai seorang ilmuan yang besar, beliau telah memperlihatkan penguasaan dalam beberapa bahasa seperti Perancis, Arab, English selain bahasa ibundanya, Parsi.
Artikel ini dikatakan sangat menarik kerana ia membincangkan mengenai hubungan antara Islam dan sains moden, terutamanya dalam fokus konflik antara keduanya. Kita perhatikan, bagaimana Nasr secara mudah telah memulai kupasannya hanya dengan mengemukakan soal definasi terhadap istilah sains terlebih dahulu. Barangkali, soal istilah ini dianggapnya sebagai teras yang dapat menerangkan struktur ilmu masing-masing.
Upamanya contoh yang dikemukakannya ialah perbedaan istilah al-Ilm dalam bahasa Arab dengan science dalam English. Pada Nasr, ia membawa definatif yang berasingan, dimana sains dalam English merujuk kepada ilmu yang dikembangkan oleh faham Cartesian-Newtonian, manakala al-ilm dalam Islam membawa pengertian yang merentasi dimensi metafizik. Malah, pertentangan definasi dalam dunia barat juga tidak dapat dielakkan seperti antara science (English) dengan wissenchaft (Jerman).
Berkaitan faham Cartesian-Newtonian, ia sebenarnya dibangunkan berdasarkan gagasan Rene Descartes (yang percaya pada rasionalisme) dan Isaac Newton (yang percaya pada determistisme), sambil diperkuatkan dengan kaedah induktif usulan Francis Bacon. Hasil daripada rangkuman idea-idea besar mereka inilah yang melahirkan faham Cartesian-Newtonian, yang kadangkala dirujuk juga sebagai paradigma Cartesian-Newtonian oleh beberapa ahli falsafah sains seperti Fritjof Capra, Morris Berman, Ian Barbour, dll selain daripada Nasr sendiri.
Walaubagaimanapun, sains Islam tidak demikian seupama faham Cartesian-Newtonian itu. Dalam tradisi intelekualnya, Islam memperlihatkan penguasaan sesuatu displin ilmu yang tidak terpisah-pisah (tidak pengkhususan). Upamanya persoalan menarik yang selalu di ungkapkan oleh Nasr, selain yang terkandung dalam artikel ini, ialah mereka yang belajar ilmu optik dengan Ibn Haytham (Alhazem), tidak pernah bertembung konsep ilmu bila mana turut belajar konsep cahaya dengan Suhrawadi.
Ini pada Nasr tentunya menunjukkan kesepaduan dan keselarasan ilmu yang berpaksikan ketauhidan dan sains Islam itu sendiri. Berbeza dengan sains moden yang merupakan sistem yang tertutup, berskala pancaindera dan dibatasi dengan realiti hal-hal fizikal, sebaliknya sains Islam merupakan sistem yang terbuka pada semua displin ilmu, lalu ditambat dengan pengaruh bantuan intelek, hati dan wahyu, di samping tidak mengenepikan aspek metafizikalnya.
Sebab itu, antara tema untuk yang ditimbulkan oleh Nasr dalam artikel ini ialah soal ketunggalan sumber ilmu yang bergantung pada intelek (nous atau intellectus). Intelek yang dimaksudkan oleh Nasr ini ialah yang bersifat ketuhanan sekaligus menjadi puncak hierarki ilmu. Jika diperhalusi lagi, apa yang ingin dipertegaskan oleh Nasr ialah pembingkaian ilmu Islam dalam suatu kosmologi, iaitu penyususan ilmu-ilmu dalam satu sumber secara bertahap (atau martabat).
Idea Nasr ini boleh kita perhatikan dalam ajaran Islam yang sarat dengan pengaruh metafiziknya, terutamanya jika kita tinjau dalam perbahasan sufistik. Seandainya kita berpaut pada kepercayaan sains moden, tentunya kita tidak dapat menerima kepastian tentang hari akhirat, tentang kewujudan malaikat, tentang kebenaran akan dosa dan pahala, apatah lagi tentang eksistensi Tuhan itu sendiri. Sebab itulah, dalam sains moden, kebanyakan pengamalnya lebih senang menjadi ateis berbanding menjadi teis.
Upamanya Laplace, seorang ahli fizik ketika ditanya oleh Napoleon Bonaparte, negarawan Perancis mengapa ia tidak memasukkan pengaruh Tuhan dalam hasil ujikajinya. Namun, apa yang dijawab oleh Laplace ialah “aku tidak memerlukan hipotesis sebegitu”. Malah Stephen Hawking sendiri, tokoh yang menemukan lohong hitam (black hole) turut beranggapan bahawa selepas Tuhan menjadikan alam, ia membiarkan alam ini berfungsi secara mekanikal seupama sebuah jam.
Bagi Islam, sains moden sebegini sangat mengancam kehidupan beragama kerana ia telah membelakangkan alpha (al-awwal) dan omega (al-akhir). Soal Nasr, mana mungkin dunia boleh bergerak menuju titik omega tanpa mengetahui akan kewujudan alpha. Dalam tradisi Islam, alpha dan omega ini akan mengingatkan kita rakaman wahyu terhadap mula-mula sekali penciptaan alam serta penhujung di hari penghabisannya.
Selain daripada itu, kedudukan martabat manusia (atau insan) dalam sains moden sering direndahkan. Contoh baik yang telah dikemukakan oleh Nasr ialah tentang teori evolusi Darwin, yang akhirnya menimbulkan faham Darwinisme. Evolusi manusia (homo sapiens) menurut Darwin telah diasaskannya dalam konsep yang bertentangan dengan aspirasi sains Islam. Meskipun Ibn Miskawayh turut percaya pada evolutif manusia ini, namun ia sebenarnya dikembangkan dalam kerangka in-spesies, bukan inter-spesies seperti faham Darwinisme.
Sebab itu pada Nasr, hal ini menunjukkan sains moden tidak meletakkan homo sapiens sebagai makhluk yang paling mulia sepertimana yang digariskan oleh Islam. Satu dialog Ali Ibn Abi Thalib yang sangat menarik yang telah dicatatkan Imam Ja’far al-Shadiq. Nasr mengutip di sini, seseorang telah bertanya kepada Ali, siapa yang wujud sebelum Adam, maka Ali menjawab ‘Adam’. Sekali lagi ditanya, “siapakah sebelum ‘Adam’, maka Ali memberi jawapan ‘Adam’. Soalan-soalan ini diulang-ulang, namun jawapan Ali tetaplah sama iaitu ‘Adam’!
Bagi Nasr, dialog ini membuktikan perhormatan yang diberikan oleh Islam terhadap kejadian manusia itu sendiri sebagai makhluk sentral di kalangan makhluk-makhluk yang lain. Islam dalam inti ajarannya telah meletakkan tingkat kehidupan yang tertinggi pada diri manusia serta menjadikannya sebagai pusat putaran kepada hasrat kejadian alam itu sendiri. Penghormatan yang diberikan oleh Islam ini dapat kita soroti dalam banyak rakaman Al-Qur’an, yang menjadi pedoman buat kaum muslim.
Justeru, pada Nasr, dampak faham evolusi boleh mengugat asas pemikiran ilmu yang dianjurkan oleh Islam. Bahkan, lebih jauh lagi, pengajaran teori evolusi ini kepada kanak-kanak muslim telah diterima tanpa ada satu sikap kritis untuk mempersoalkannya. Menurut Nasr lagi, fenomena ini merupakan sesuatu yang malang dalam dunia Islam, yang barangkali didorong oleh kemunduran intelektual (intellectual backwardness)yang dihantui oleh kaum muslim mutakhir ini.
Pada penghujung artikel ini, Nasr turut menonjolkan perbezaan soal keindahan (estatika) dan moraliti antara sains Islam dan sains moden. Nasr menyatakan, Islam sebagai agama berdasarkan intelektual menganggap keindahan sebagai antara aspek yang terpenting dalam realiti kehidupan. Sebab itu, di kalangan al-asma Allah SWT terdapat nama-nama seperti al-Jamaliyyah, ar-Rahmah, dll. Keindahan yang dimaknai oleh Islam ini turut terangkum dalam konsep ilmunya.
Manakala dalam sains moden mereka hanya sekadar melihat aspek keindahan dalam batas-batas kemewahan dan aksesori, bukannya sebagai suatu bentuk keperluan asasi sepertimana udara yang disedutnya serta air yang diminumnya. Kepincangan sains moden ini, terutamanya akibat kehilangan dimensi metafiziknya, menurut Nasr, telah memberitahu kita semua akan rupa kehodohan akibat hagemoni pandangan fizikal semata-mata.
Begitu juga soal moraliti yang di katakan sains barat itu bebas nilai (neutral) dan beretika tinggi. Pada Nasr, sains moden telah memisahkan moral, sekalipun kesedaran moral menjadi pengangan ahli sainsnya. Upamanya tulis Nasr, mereka (iaitu ahli sains moden) sebenarnya menderita kerana sains neutral telah diletakkan di bawah khidmat matlamat yang tidak bermoral dan tidak beretika, sehinggakan manusia tidak lagi berupaya untuk mengawal implikasinya.
Hal ini jelas dapat kita saksikan dalam kes penguguran bom Atom di Hiroshima dan Nagasaki (kedua-duanya di Jepun) pada tahun 1944, bagaimana sains moden menjadi pembelot dan tidak bermoral terhadap nilai-nilai dan cita-cita kemanusian itu sendiri. Sebaliknya dalam Islam, keadaan ini tidak mungkin berlaku kerana tidak wujud percanggahannya dengan moral, kerana ia sama-sama telah didasarkan pada shari’ah yang bertunjangkan Al-Qur’an dan Al-Hadith.
Akhir, Nasr sendiri mengakui bahawa analisnya ini bukanlah bertujuan untuk mengantikan keseluruhan akan kajian sains moden itu sendiri Sebaliknya harapan Nasr, bahan yang serderhana ini sekurang-kurangnya dapat menyediakan suatu betnuk acuan yang diperlukan untuk memahami masalah yang dihadapi oleh kaum muslim apabila berlaku pertembungan antara Islam dan sains moden itu sendiri.
Apapun, dari keseluruhan rumusan Nasr ini, kita boleh merasakan bahawa keharmonian yang kononnya dikatakan wujud antara tradisi sains moden dengan sains Islam moden sebenarnya tidak lain adalah sekadar celupan idea semata-mata, bukannya satu hubungan organik dan tabii (naturalis). Justeru, kaum muslim dewasa ini sebenarnya punya tanggungjawab besar untuk kembali memikirkan suatu bentuk sains yang lebih insani dan tauhidi sebagai jalan keluar dari kemelut ini sepertimana usaha yang telah dilakukan oleh ilmuan Islam tradisional di waktu silam.
Sunday, November 6, 2005
Konflik Islam dan Sains Moden
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment