www.flickr.com

Thursday, December 1, 2005

Ulama' Positivisme

Sebenarnya sudah saya mengabaikan buku Falsafah Sains Menurut Al-Quran, walaupun telah lama memilikinya. Namun, baru waktu-waktu yang terdekat berkesempatan untuk menekuninya. Buku karangan Mehdi Golshani, ahli fizik Universiti Teknologi Syarif, Iran ini sebenarnya sudah lama diterbitkan. Dalam edisi English, atas judul The Holy Quran and The Sciences of Nature diterbitkan pertama kali pada tahun 1987 oleh Institute of Global Cultural Studies (IGSC), Binghamton University.

Seperti kata pengantar oleh Zainal Abidin Bagir, seorang ahli falsafah sains dari Universitas Gadjah Mada, buku ini sepintas lalu memang tampak sederhana saja, yang mana nyaris setiap halaman hanya memetik ayat-ayat Al-Qur’an dan hadith, sambil di ikuti oleh rumusan mudah oleh penulisnya. Namun, dalam kesederhanaan buku ini ada kewibawaannya yang tersendiri, apatah lagi ia merupakan karangan tokoh yang langsung bergelumang dalam aktiviti dunia sains dan teknologi, khususnya kajian terhadap masalah dasar kosmologi, kesan teorem Bell dalam mekanik kuantum serta mekanik Bohmian.

Ya, sebelum ini saya sudah agak kerap menemukan sanggahan-sanggahan pendapat terhadap kaedah Bucailisme ini. Kaedah yang gemar di amalkan oleh beberapa ulama dan penulis Islam seperti Abdul Razzak Naufal, Harun Yahya dan Al-Thanthawi. Cuma, dalam buku ini, saya melihat terdapat kekemasan dalam penghujahan yang dikemukakan.

Razzak Naufal upamanya, seperti yang dikutip oleh Golshani, telah menyatakan dalam salah satu bukunya, The Qur’an and Modern Science, iaitu: “Dengan demikian, ketika kita membuktikan kepada orang-orang bukan-Arab bahawa Al-Qur’an itu mengandungi prinsip-prinsip sains moden yang telah membicarakan setiap fenomena keilmuan baru, apakah keajaiban Al-Qur’an seperti ini tak cukup untuk menarik perhatian mereka terhadap Al-Qur’an. Apakah keajaiban Al-Qur’an ini bukan cara untuk menarik orang-orang bukan-Arab terhadap Islam? Jika telah datang suatu hari ketika penerjemahan ke dalam pelbagai bahasa, semua yang telah diramalkan oleh Al-Qur’an dan perkembangan pelbagai sains yang telah ditegaskan, maka misi kira akan selesai dan dakwah kita akan diterima, serta keajaiban hakiki Al-Qur’an akan menjadi jelas bagi orang-orang bukan-Arab”.

Kalau kita renungi balik, cara pandang seperti Razzak Naufal ini, pada Golshani (mahupun Hossein Nasr dan aktivis sains Islam) amat merbahaya sekali. Dalam bukunya ini, Gholshani menolak bentuk faham antara Islam dan sains moden seperti ini dengan mengutarakan beberapa hujah yang sangat menarik. Saya kira wajar sekali untuk dikongsi disini.

Pertama, adalah tidak benar menafsirkan kata-kata Al-Qur’an dengan cara yang tidak diketahui oleh orang-orang Arab pada masa masa Nabi. Upamanya perbuatan ramai ulama (atau muslim) yang menyamakan ‘zarah’ dalam surah 34: 3 dengan makna ‘atom’, walhal, lazimnya ketika waktu nabi hidup, ia merujuk kepada semut kecil ataupun debu-debu halus. Maka, tidak ada alasan bahawa terminologi yang serupa (iaitu atom) pernah digunakan pada masa hidup Nabi.

Kedua, Al-Qur’an tidak diwahyukan untuk mengajari kita tentang sains dan teknologi, tetapi lebih dari itu ia merupakan kitab petunjuk, kitab untuk mencari kebahagiaan. Justeru, membicarakan ilmu-ilmu alam adalah di luar tujuan turunnya Al-Qur’an itu. Lebih mudah lagi, Al-Qur’an bukannya ensiklopedia sains. Justeru, perbuatan mencocokkan Al-Qur’an dengan dengan ragam teori sains adalah mengancam fakta-fakta Al-Qur’an serta membuka pintu kepada penafsiran yang tidak dapat diterima.

Ketiga, sains (yang kita sedar sangat terbatas sifatnya) belum lagi mencapai tingkat kemajuan yang sempurna. Maka, adalah tidak tepat untuk menafsirkan Al-Qur’an menurut teori-teori yang boleh berubah-ubah. Sebab itu, kata Golshani, ulama-ulama silam (seperti Ibn Sina, Mulla Shadra, Ibn Haytham dll) tidaklah mencari rumus-rumus sains menerusi Al-Qur’an, meskipun mereka sangat memahami tentang Al-Qur’an.

Dan terakhir, yang paling menarik, Gholshani merumuskan bahawa sudah menjadi kehendak Allah bahawa manusia hanya dapat menemukan rahsia-rahsia alam menerusi aktiviti akal dan iderawinya. Jadi, jika Al-Qur’an sudah mencakupi seluruh ilmu-ilmu alam, yang sarat dengan teori-teori sainsnya, maka sudah tentu akal manusia akan menjadi jumud manakala kebebasan manusia tidak lagi dirasakan sebagai sesuatu yang bermakna.

Justeru, empat kutipan idea dari Golshani ini sekurang-kurangnya dapat memperlihatkan kepada kita bahawa perbuatan menyandarkan sebarang penemuan sains dengan kebenaran Al-Qur’an, adalah akhirnya membentuk dominasi positivisme di kalangan ulama (khususnya, ulama-ulama shari’ah). Dengan ini, ia tidak memungkinkan ruang-ruang metafizik dapat dibicarakan, kerana segala-galanya sudah tersedia.

Walaubagaimanapun, versi pemikiran Golshani ini dikatakan mempunyai perbedaan dengan aliran ‘Sains Islam’ seperti yang dipelopori oleh Hossein Nasr. Ini seperti yang diungkapkan oleh Zainal Abidin dalam kata awalnya terhadap buku ini. Namun, kedua-duanya bersepakat dalam hal yang sedang kita bicarakan ini. Maka, bagi mereka yang mahu mula mendalami hubungan antara Islam dan sains, saya kira buku ini tidak harus dipinggirkan. Saya berani jamin, anda tidak rugi membacanya!

No comments: