www.flickr.com

Friday, February 16, 2007

Kontroversi Einstein (1)

Pendahuluan

Tahun 2005 sebelum ini, kalangan komuniti sains baru saja meraikan Annus Mirabilis bersempena pencapaian menakjubkan Albert Einstein (1879-1955) pada sekurun yang lalu. Serentak pada tahun yang turut digelar wunderjahr tersebut, terdapat empat makalah Einstein yang termuat dalam Annalen der Physik dicanangkan sebagai memberikan dampak revolusioner terhadap perkembangan fizik moden. Ini termasuklah makalah mengenai (1) kesan fotoelektrik, (2) gerakan Brownian, (3) teori kenisbian khas, dan (4) kesetaraan antara jirim dan tenaga.

Bahkan, lebih jauh lagi, salah satu daripada makalahnya tersebut, iaitu tentang kesan fotoelektrik, kemudiannya telah mengiring Einstein ke pentas penganugerahan Nobel pada tahun 1921. Walau bagaimanapun, ironinya penemuan mashyur Einstein tentang Teori Kenisbian Khasnya mahupun Teori Kenisbian Amnya (pada tahun 1915, hasil ubah-suai dari teori yang sebelumnya), sering saja gagal menarik persetujuan serta kesepakatan kalangan jawantankuasa penganugerahan Nobel, meskipun ia kerapkali dicalonkan.

(Dikatakan, salah satu faktor yang menghalang penganugerahan Nobel tersebut ekoran majoriti ahli jawatankuasa pemilihan mahu mengelakkan diri mereka dari perdebatan terhadap kesahan teori tersebut. Meskipun begitu, anugerah Nobel untuk Einstein dirakamkan sebagai menghargai peranannya dalam menerangkan kesan fotoelektrik serta sumbangannya dalam bidang fizik teori).

Berbeza dengan Einstein dalam padanan budaya popular—yang sering dijajai serta disimbolkan—sebagai kemuncak kepada kepintaran manusia, sebaliknya catatan bersiri ini berusaha untuk menyelak beberapa sisi yang kurang diketahui, atau kurang enak didengar mengenai liku-liku akademik Einstein. Manakala, istilah kontroversi Einstein dipilih supaya tampak lebih adil dan tidak kelihatan berat sebelah berbanding dengan istilah mitos, meskipun kecenderungan tersebut tidak dapat dinafikan dengan mudah.

Sementara itu, intipati dan sentuhan tema kepada catatan bersiri ini dijangka akan menyingkap mengenai pengaruh ujikaji-ujikaji tertentu serta hasil-hasil penemuan terdahulu, maksudnya sebelum tahun ajaibnya Einstein itu lagi. Dan, menerusi singkapan ini, kita akan dipaparkan bagaimana ujikaji-ujikaji tersebut serta hasil-hasil penemuan oleh para ilmuan sebelumnya, dikatakan turut mempunyai beberapa persamaan dengan apa yang telah didakwa kepada kita sebagai suatu penemuan asli Einstein semata-mata.

Di samping itu juga, kita turut akan meneliti pengaruh serta propaganda mereka yang berada di sekitar Einstein, yang mana mereka ini disebut-sebut ada membantu Einstein sewaktu merumuskan makalah-makalahnya revolusionernya tersebut, selain mewar-warkan kecemerlangan penemuan hebatnya itu. Lantaran itu, catatan bersiri ini pastinya tidak dapat mengelak dari bakal menyentuh beberapa perkara yang pernah dianggap tabu tentang coretan sebenar kisah Einstein.

Walau bagaimanapun—yang lebih penting dari itu semua paparan tersebut—tujuan murni usaha ini adalah untuk mengkritik secebis pembinaan tamadun ilmu Barat, sembari membelek analisa sejarah serta tawaran struktur pengetahuan yang lebih bernas dari yang sebelumnya. Mungkin struktur pengetahuan alternatif ini bukan sahaja dapat digali dari tamadun ilmu Barat sendiri, tetapi juga boleh diteroka menerusi tradisi serta khazanah pengetahuan yang terhimpun dalam belahan dunia Islam.

7 comments:

Anonymous said...

asm..saudara aqil fitri
**off topic
Sekiranya ditanya, senaraikan 5 orang "saintis melayu" yang signifikan sumbangan mereka dalam dunia akademik (fizik khasnya) di Malaysia, bagaimana jawapan saudara?
:-)

Aqil Fithri said...

salaam mundarmandir,

saintis melayu? tak ada kot?

kalau bukan-Melayu, saya lihat Dr. Sithi V. Muniandy, PM di Universiti Malaya agak cerlang bintangnya. kelas pertama, lulusan Cambridge serta relatif muda.

malah, bentuk pengajaran dalam kuliahnya sangat kemas. meski soalan2nya sukar, tapi seronok menuntut dengannya. indah dan puas!

namun, itu barangkali perasaan peribadi saya. orang lain pastinya punya nada berbeda. jadi, selainnya di Malaysia, maaf, saya kurang ngenal...

tapi, kapan bila Malaysia punya saintis yang hebat? sebaliknya, kalau pekerja sains (meminjam istilah Dr. Baharuddin Yatim) yang bendul, mungkin ada :-)

Burhan said...

banyak orang cakap dengan saya bahawa prof wan ahmad tajuddin (um) adalah antara pakar fizik terbaik di malaysia

Aqil Fithri said...

salaam burhan,

terima kasih kerana sudi berkunjung.

kalau begitu, saya harus mendekatinya. cumanya, teman2 saya di UM bilang, beliau fizikawan yang berjiwa penyair. jika benar beliau sekampung dengan almarhum J.M. Aziz, itu tidak aneh, bukan? Seberang Takir memang inspiratif untuk mereka yang berjiwa demikian.

Burhan said...

saya selalu jugak berkunjung he sini. link blog lama saya ('Burhanuddin Baki') masih disenaraikan di blog ini!

tentang kerja penyelidikan prof tajuddin saya tidah begitu arif (saya bukan orang fizik).

cuma banyak kali saya mendengar orang-orang fizik lain memujinya. beberapa pensyarah fizik cina pernah memberitahu kawan saya (bekas murid prof tajuddin) bahawa mereka dah terasa 'bahang ke-terrer-an' prof tajuddin sewaktu beliau mula bekerja di um.

Aqil Fithri said...

salaam,

iya burhan, saya sudah perbaiki pautan anda tersebut. terima kaseh!

sebaliknya dalam matematik (bidang yang menjadi telaah anda), prof shaharir memang menarik minat saya. ternyata, beliau tidak terikat dengan mana2 warna yang sedia ada, bitara pendekatannya, kental perjuangan bahasa, serta punya pekerti luhur.

walau bagaimanapun, untuk diangkat sebagai seorang saintis hebat --atau 'saintis terbilang' :-)-- dalam piawai Barat, itu kena bincang balek la :-) sebab beliau masih belum mengemukakan alternatif kepada tafsiran formulasi kuantum.

ahmad said...

Assalam
Saudara Aqil bagaimana pula dgn Dr Hishamudin Zainudin dan Prof Shahidan Radiman?