www.flickr.com

Friday, March 24, 2006

Tradisionalisme

Semalam, iaitu 23 Mac 2006, telah diadakan program kajian pemikiran dan tamadun yang bertempat di Kolej Dar al-Hikmah, Kajang. Program ini siri yang ke-9 telah dilakukan.

Di sana, saya salah seorang peserta. Dalam siri ke-9 ini, saudara Zaidi Abdullah telah membentangkan satu tajuk yang agak menarik, Pemugaran Tradisi Ilmu-Ilmu Islam: Satu Wawasan Ketamadunan. Sebenarnya di sini saya mahu berkongsi dengan khalayak sedikit intipati perbahasan dalam program tersebut. Mudahnya, program ini lebih berbentuk diskusi ilmiah.

Dalam pembentangan tersebut, saudara Zaidi telah mengangkat wacana tentang aliran tradisional alam Melayu ini menerusi khazanah-khazanah peninggalan ulama'-ulama' tradisional kita. Cuma, yang menarik dari penegasan yang dibuat ialah, seperti yang dikutip oleh Zaidi, Sayyed Hossein Nasr dalam buku The Philosophy of Sayyed Hossein Nasr—satu buku yang menghimpunkan keseluruhan kritikan pemikir besar, dan kemudian dilampirkan sekali respons Nasr—maka Nasr di sini menyatakan bahawa terdapat banyak khazanah alam melayu yang belum lagi diteroka. Dari penekanan Nasr inilah yang menatijahkan kesungguhan Zaidi bagi mengungkapkan aliran tradisionalisme di alam Melayu ini. Itu kata pengakuan Zaidi di awal pembentangannya.

Justeru, dari pembentangan ini, hangatnya dibincangkan tentang kedudukan serta faktor-faktor yang mengurangkan pengaruh aliran tradisional di negara kita khususnya dewasa ini. antara yang dapat dirumuskan ialah, (1) kurangnya hubungan antara universiti dengan pondok2, (2) penghapusan pembelajaran jawi di sistem persekolahan formal, (3) tiadanya dukungan yang mantap terhadap pondok dan sistemnya, termasuklah juga soal pengiktirafan aliran pondok.

Seorang daripada peserta turut membuat perbandingan antara sistem hauzah ilmiyyah dalam tradisi parsi dengan sistem pondok kita, di mana di parsi, meskipun hauzah dan universiti merupakan entiti yang berbeza, namun masing-masing menguatkan antara satu sama lain. maknanya, kedua-dua sistem ini diakui sesamanya di sana. Malah, dalam aliran tradisional di hauzah, mereka mempunyai autoriti seperti gelaran Hujjatul Islam, Ayatollah dan Ayatollah al-Udzma ---> sama juga autoriti yang terdapat dalam sistem pendidikan moden (master, PhD, dll).

Namun, bila dirujuk kepada sistem pondok kita, ia tiada pengiktirafan, lebih menyedihkan lagi, suara dari pembentang lagi, kedudukan dan khazanah bertulis aliran tradisional alam melayu ini kian hampir pupus ditelan zaman. Waima, dalam program ini juga, seorang dari intelektual melayu yang turut hadir dalam program tersebut telah membangkitkan satu persoalan yang agak menarik. Beliau membezakan sikap dan amalan aliran tradisional yang mematuhi sanad, adab dengan guru, sehingga meletak autoriti ilmu pada gurunya ---> atau, sistem ijazah.

Namun sebaliknya dalam sistem moden, seorang pelajar yang melakukan sesuatu kajian, menurut pengalaman peribadinya, di ajar untuk berbeza dan berhujah dengan gurunya. Maka, intelektual ini menimbulkan persoalan, adakah aliran tradisional tidak mengalakkan muridnya berbeza dengan guru, maknanya tidak kritis begitu! Begitu juga ungkap beliau, siapa yang dapat memuaskan hatinya bahawa seseorang itu benar-benar memiliki autoriti dalam ilmu ---> maksudnya mengesahkan ilmu itu. Kerana, kefahaman kita, hanya nabi-nabi dan rasul-rasul sahaja yang mempunyai autoriti dan keesahan dalam ilmu ini. itu memang tidak ada persoalan lagi. Tapi, pasca-Nabi, bagaimana? Siapa lagi yang mempunyai autoriti tersebut?

Manakala sewaktu mengulung program ini, seorang lagi intelek melayu turut membicarakan mengenai soal aliran tradisional ini. Bagi beliau, aliran ini sangat penting dan satu khazanah berharga serta belum dicungkil secara memadai. Beliau cuba menjawab beberapa persoalan yang dilemparkan kepada aliran ini serta kalangannya. Pertama, tuduhan ulama'-ulama’ dahulu dekat dengan istana hingga memberi restu kepada kezaliman raja-raja. Namun ditangkasnya bahawa itu barangkali adalah strategi ulama'-ulama’ untuk terus berperanan. Sekurang-kurangnya, dengan mengambil pendekatan fiqh, iaitu "lebih baik diam dari cakap yang timbulkan kemudaratan yang lebih besar". Atau juga, "kalau tak mampu semua, ambil sebahagian".

Kedua, begitu juga dengan tuduhan gologan tradisional tidak terlibat dalam sosial-politik. Beliau membawakan contoh tentang Hamzah Fansuri. Bagaimana Hamzah langsung terjun di tengah-tengah pergolakan masyarakat, dan bangkit melawan kezaliman raja-raja serta pembesar-pembesar Aceh pada waktu itu. Malangnya, dalam dua buku besar tentang Aceh setelah itu tidak merujuk kepada sumbangan Hamzah Fansuri ini, sepertinya mahu memadamkan sumbangan golongan aliran tradisional.

Dan, terakhir, kita harus bezakan antara doktrin dan pengalaman peribadi seseorang pengamal aliran tradisional ini, terutamanya dalam soal tasawwuf. Umpama, kata beliau, Ibn Arabi dari perspektif aqidah itu tidak ada persoalan. cuma yang berbeda ialah pengalaman peribadi beliau berbanding dengan khalayak umum. Justeru, tidak wajar seseorang itu, umpamanya pengamal aliran tradisional, dihukum sesat ekoran pengalaman peribadinya. sebab, martabat ilmu antara kedua-dua golongan ini berbeza.

Saya fikir itu saja yang saya ingin kongsi. Namun untuk berbincang tentang aliran tradisional ini memang tidak kurang menariknya. Cuma siapa yang mahu menghargai kini?

No comments: