Malam itu, malam 30 Mac 2006, suasana di Dewan PPL, UPM sangat hangat sekali. Satu Wacana Intelek Komunikasi anjuran Fakulti Bahasa + ODC, telah di adakan dengan menampilkan panelis yang memikat dan barangkali mengejut.
Selain Dr. Uthman El-Muhammady (ISTAC) dan Prof. Dr. Safar Hashim (UKM), di barisan panel kelihatan juga Ahmad Lutfi Othman (Harakah) dan Hasmi Hashim (KsJT). Saya turut berada di sana dan setia mengikuti wacana sampai habis. Wacana ini sebenarnya merupakan respons terhadap persoalan karikatur Jylland Postens, Denmark. Cuma, rasanya ada isu/hal yang lebih elok dikongsi di sini dengan teman-teman lain yang tidak dapat hadir. Ini kerana, seluruh bingkai perbahasan tampaknya berlegar dalam soal kebebasan media, yang akhirnya ia menimbulkan dua kubu penelis yang berseberangan.
Dr. Uthman dan Prof. Safar, masing-masing cuba menekankan bahawa tidak mungkin ada konsep kebebasan mutlak. Sebab itu, bagi mereka, peristiwa di Denmark telah menguatkan lagi bahawa memang perlunya ada kawalan terhadap media supaya ia tidak mengugat keamanan dan kesejateraan masyarakat. Waima, saya melihat ide-ide yang dikemukakan oleh Lutfi dan Hasmi, yang dikira daripada satu kubu yang berbeza dengan dua panelis tadi ---> yang akrab sebagai intelektualis. masing-masing, iaitu Lutfi dan Hasmi, tidak keberatan untuk bersetuju bahawa tidak mungkin ada suatu kebebasan media yang mutlak. namun, tegas Lutfi lebih-lebih lagi, jangan sampai kebebasan tersebut menjadi alat pekakas demi mempertahankan hagemoni elit-elit penguasa.
Lutfi umpamanya, secara panjang lebar mengungkapkan bagaimana gemburan "tiadanya kebebasan media mutlak" telah diratibkan oleh elit-elit penguasa demi membenarkan segala tindakan tidak demokratiknya selama ini. Kata-kata ini kemudiannya telah menjadi slogan keramat mereka untuk mengikis kebebasan media yang masih tersisa. Kata Lutfi lagi, kes Jylland Postens hanyalah berupa lesen elit-elit penguasa untuk mengesahkan bahawa benarlah segala akta-akta yang wujud untuk mengekang kebebasan media dewasa ini. maka, seru elit-elit penguasa ini, rakyat haruslah bersyukur dengan keamanan negara ini ekoran kebijaksanaan undang-undang negara yang telah dirumuskan sebelum ini, dan harus ditambah lagi undang-undang lain, sindir Lutfi.
Pada saya, Lutfi memang berhak untuk berbicara demikian. Sebagai pengamal media bebas, Lutfi tentunya sudah masak bagaimana keperitan dalam menongkah arus bagi merencana sebuah media bebas. Jatuh bangun dalam media sudah menjadi rutin baginya. Satu aspek yang dikongsi oleh Lutfi kepada khalayak dalam Dewan PPL itu, bahawa ramai yang tidak menyedari bahawa KDN tidak pernah secara nyata mengariskan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh pengamal media. mereka, dengan dukungan segala akta yang ada; Akta Mesin Cetak, Akta Rasmi Rasmi, dll ---> boleh-boleh saja menarik permit yang ada pada bila-bila masa, tanpa diberitahu terlebih dahulu kepada pengamal media. Dan, tindakan KDN ini, menurut akta-akta yang ada, tidak boleh dirujuk ke mahkamah!
Sebut Lutfi, semasa beliau memimpin Siasah, sudah dua kali beliau dipanggil oleh KDN untuk diberikan amaran. Nah, kalau sudah masuk panggilan/amaran yang ketiga, ia adalah alasan besar untuk membungkus Siasah, sepertimana menuruti dua majalahnya sebelum ini, Detik dan Wasilah. Begitu juga ketika mana Akhbar beliau dirampas, adakah KDN mahu memikirkan kesan daripada tindakannya tersebut? KDN tidak mengerti, bagaimana peritnya beliau untuk membayar kakitangannya? Sedangkan penjual-penjual sudah berhutang dengannya jutaan ringgit enggan melunaskannya. Jadi, jika kesnya dibawa ke mahkamah, tanggung sorang-soranglah kepedihan itu! Malah, kalau nak demostrasi untuk membantah, harus awal-awal lagi dinyatakan bahawa itu demostrasi "aman". Tetapi, apa yang KDN tahu, setiap tahun permit harus diperbaharui, dan jangan sesekali tulisan pengamal media mengacam elit-elit penguasa. Itu saya!
Bagi Lutfi, keadaan inilah yang membedakan dengan akhbar-akhbar arus perdana. mereka, sama ada wartawan mahupun ketua pengarang, tidak perlu pernah risaukan bagaimana untuk membayar gaji pekerja-pekerjanya? Dan, mereka juga tidak perlu gusar untuk memikirkan bagaimana bagi memastikan kelangsungan permitnya pada hari-hari berikutnya? Itu semua tidak perlu digundahkan oleh kelompok-kelompok dari akhbar arus perdana. Tugas yang perlu mereka lakukan ialah cuma meng-amin-kan segala titah elit-elit penguasa, supaya apa yang keluar dalam akhbar esok hari tidak bercanggah dengan kehendak elit-elit ini. Tetapi, apa kualiti hidangan tulisan-tulisan dalam akhbar-akhbar bebahasa Melayu dewasa ini?
Saya tidaklah berminat untuk menyentuh panjang tentang pandangan Prof Safar dan Dr. Uthman, malah Hasmi sekalipun yang hanya mengulang-ulang inti wawancara dalam Ummahonline.com. Tetapi, nyata sekali, perspektif Lutfi lebih menarik dan baru bagi saya, dan perspektif ini harus direduksi kepada skala pendengar yang lebih luas supaya mereka sama-sama menghayati keperitan menjadi seorang pengamal media bebas. Sebagai seorang yang sudah bergelumang dalam industri media bebas ini dalam tempoh yang agak lama, tentunya hujah-hujah Lutfi tidak harus dipinggirkan begitu sahaja, kalau tak, tidak mungkin beliau di anggap sebagai panelis yang paling berkesan pada malam itu, duga saya.
Jadi, persoalannya, siapa yang mahu terjun dalam pembikinan media bebas ini, kalau ia seperti rimba belantara, yang kusam lagi kelam? Namun, rintih Lutfi, walau situasi gelap-gelita begitu sekalipun, beliau sendiri harus terus merangkak, kerana itulah satu-satunya kerja yang dia tahu!
Sunday, April 2, 2006
Ratib Media
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment