www.flickr.com

Tuesday, June 5, 2007

Syarahan Kosmologi

  • Di bawah saya catatkan abstrak untuk satu program yang bakal diadakan di Pusat pengajian Fizik Gunaan, Fakulti Sains & Teknologi, UKM pada 28 Jun 2007, jam 2:00 - 5:00 petang. Syarahan ini akan disampaikan oleh Prof Dr Shaharir Mohammad Zain dengan tema, "Teori Deguman Besar dan Teori Alam Semesta Mengembang: Sebuah Sorotan Penilaian Baru Mengikut Perspektif Barat dan Islam." Masuk percuma!

Asal-usul Teori Deguman Besar (TDB) dan Teori Alam Semesta Mengembang (TAMbang) ditelusuri sejarahnya. Sejarah kekuatan teori ini dan kelemahannya mengikut perspektif Barat dipaparkan. Perkara-perkara besar yang terkenal dalam bidang kosmologi Barat yang tidak mampu diterangkan oleh kedua-dua teori ini memang amat terkenal di kalangan ahlinya dan perkara-perkara itu dikumpul dan ditonjolkan di sini. Keserasian kedua-dua teori ini dengan Teori Evolusi diulas sehingga menjadi sebabnya ada golongan sarjana Barat yang tetap melupakan kelemahan kedua-dua teori itu, sepertilah yg berlaku dengan Teori Evolusi itu, mempertahankan kedua-dua teori ini sehingga wujud semacam peperangan saraf antara golongan pro-Evolusi dengan kontra-Evolusi di kalangan sarjana Barat seperti yang termanifestasi dengan tindakan Akademi Sains di AS, Kanada dan Australia, pihak-pihak yang berkuasa dalam pendidikan sekolah di AS, UK, Australia dan Belanda serta lobi-melobi mencari pengaruh di kalangan agamawan, ahli sains besar, dan pemenang Hadiah Nobel; serta memorandum ahli kosmologi UK terhadap kumpulan penyokong TDB yang semuanya dijelaskan dalam makalah ini. Kini wujud semacam peperangan saraf berlaku antara dua pihak ini dan sehingga takat ini pihak yang pro-Evolusi, pro-TDB dan pro-TAMbang yang berada di pihak yang menguasainya. Sambutan sarjana Muslim atau para penulis popular Muslim terhadap kedua-dua teori ini, TDB dan TAMbang, sehingga kini cukup ironi sekali kerana walaupun rata-rata mereka ini hebat menolak Teori Evolusi Darwin atau Darwinan tetapi mereka begitu kuat menyokong kedua-dua teori kosmologi, TDB dan TAMbang, dengan cara menghayati Bucailleisme sepenuhnya. Dalam makalah ini, pendirian para Bucailleis ini dikupas dan dikritik berdasarkan pada kewujudan beberapa teori baru yang menandingi TDB dan TAMbang yang mungkin tidak begitu disedari oleh golongan Bucailleis ini dan juga kewujudan tafsiran-tafsiran lain terhadap Ayaht-Ayaht al-Qur’aan yg digunakan oleh golongan Bucailleis itu. Teori kosmologi Kristian yang baru yang nampaknya mencabar ahli kosmologi ateis, iaitu Teori Reka Bentuk Pintar (TRBP) juga dinilai daripada perpektif sains dan Islam. Teori kosmologi Melayu-Islam yang digambarkan oleh Nur al-Din al-Raniri abad ke-17M dan lebih awal daripada itu lagi seperti yang dipaparkan oleh Nakula juga dipersuakan. Beberapa syor ke arah pewujudan program pembinaan model Alam Semesta tersendiri mengikut acuan Melayu-Islam kini diutarakan.

4 comments:

Kaki Bangku said...

Aqil, ini pertama kali saya terlintas penggunaan istilah2 kosmologi dalam bahasa melayu. Adakah Aqil sendiri yang mengalih bahasa perkataan tersebut atau memang sudah diseragamkan DBP? Kalau boleh memang la nak cintakan bahasa, tapi lucu sangat bunyinya "teori reka bentuk pintar", "deguman besar" dan sebagainya... hehehe.

Dulu zaman-zaman SPM dan setahun pertama lepas SPM memang minat sungguh kosmologi, tapi akhir-akhir ni dah mula cenderung bidang sains sosial dan kemanusiaan pula.

p/s: Apa kebendenya "Bucailleisme" tu ye?

Aqil Fithri said...

salaam,

kaki bangku, saya kira kita punya banyak minat yang serupa.

setahu saya, isitilah2 kosmologi ini hanya digunakan oleh Shaharir dan kolega2 ASASI sahaja. lebih dari itu, saya tidak tahu. tapi saya pernah juga mendengar rungutan saintis2 melayu tentang kelembapan DBP melakukan pengumpulan istilah2 sains yang lebih terkini.

sementara mengenai Bucailleisme, ia merujuk kepada kaedah pemadanan terhadap penemuan saintifik dengan kandungan al-Qur'an seperti yang pernah dikemukakan oleh Maurice Bucaille dalam The Bible, The Quran and The Science.

sebenarnya kaedah ini terkenal di kalangan agamawan kita seperti Abdul Razak Nauffal, dll, walhal ia mengandungi banyak sekali kelemahan. Sardar, Nasr, dan Shaharir sendiri secara konsisten pernah mengkritik kaedah ini.

malah, saya yakin, Pak Khalid yang berada di kalangan kita merupakan antara pemuka yang beria2 sangat menolak Bucailleisme dengan membawa kaedah pemalsuan Popper sebagai hujah!

barangkali hal ini tidaklah menghairankan, kerana saya kini semakin percaya bahawa Pak Khalid juga merupakan seorang Popperian :-)

benarkan Pak Khalid?

Kaki Bangku said...

Aqil, mohon dikirim e-mail kertas kerja yang dibentangkan itu nanti ya - bangku(alias)kakiblog.com

Izinkan juga saya mengiklankan program tersebut di kakiblog.com

Aqil Fithri said...

yup, insha'alLah.

mahu iklan? silakan saja!