www.flickr.com

Monday, August 1, 2005

Apa Itu Falsafah Sains?

Dalam falsafah terpecah kepada beberapa bentuk seperti falsafah agama, falsafah barat, falsafah sains, dll. Dan, dari pembahagian ini, falsafah akan dipecahkan lagi dengan beberapa sub falsafah di dalamnya. Namun di sini, kita akan membahaskan tentang falsafah sains. Sebelum ini, kita telah pun memahami secara umum tentang apa itu falsafah? Jadi, kini kita bakal menjengah pula tentang falsafah sains di mana sebuah tema semasa yang sangat penting - falsafah kuantum yang merupakan mauduk dari falsafah sains itu sendiri.

Justeru, perkara pertama yang harus kita fahami ialah mengenai apa sains itu sendiri. Sains dalam perkataan latin Scientia membawa maksud ilmu serta salah satu daripada kadeah untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Namun begitu, konotasi sains merentas tamadun sangat berbeza pengertiannya. Upamanya di dunia barat moden, mereka lebih condong untuk melihat sains sebagai maratib ilmu yang tertinggi dengan sifat-sifat yang tertutup, monopoli dan mutlak menerusi kaedah saintifik.

Ekoran dari rasa kepercayaan inilah, maka tidak hairanlah faham sainstisme boleh muncul dengan meluasnya di belahan sana. Malah, lebih memelikkan kita lagi, antara negara-negara di Barat istilah dari definisi sains mereka mempunyai makna antara satu yang berbeza-beza antara satu bahasa dengan yang lain. Inilah yang ditegaskan oleh Sayyed Hossein Nasr dalam buku susunan muridnya, Baharuddin Ahmad.

Dalam buku Falsafah Sains Dari Perspektif Islam tersebut, Nasr menyatakan bahawa makna Science Inggeris berbeza dengan makna Science Perancis, begitu juga dengan makna Wissenchaft (sains dalam bahasa Jerman), meskipun mereka mempunyai penghayatan yang sama dengan anggapan itu semua sebagai sains moden. Manakala dalam tamadun Islam, sains disandarkan pada istilah kosa kata Arab al-Ilm. Al-Ilm (atau ilmu) ini bukan sahaja mencakupi aspek fizik (seperti dalam pengalaman barat) tetapi turut terjangkau dalam bidang metafizik. Ini selari dengan apa yang dingkapkan oleh Ibn Sina bahawa sains yang hakiki ialah pengetahuan noumena iaitu sains yang meneroka pengetahuan dengan keasalan Ilahi (Divine Origin).

Muktakhir ini, rumusan Ibn Sina ini mula terkesan kepada beberapa ahli sains Barat yang cuba untuk mencari doktrin ketimuran (oriental) dalam kajiannya. Ini dapat dilihat menerusi penulisan seperti oleh R. Oppenheimer, Erwin Schrodinger, Fritjof Capra, Ian G. Barbour yang mana kebanyakan mereka ini merupakan ahli fizik. Contohnya, Capra yang mengarang sebuah buku popular, The Tao of Physic begitu juga Barbour yang cuba menemukan antara sains dan agama menerusi When Science Meets Religion: Enemies, Strangers or Partners?

Jadi kehadiran ilmuan yang berfikiran sebegini, dalam dunia barat sendiri, sudah menunjukkan bahawa cakupan sains itu harus diperluaskan merentasi alpha (al-awwal) dan omega (al-akhir) keseluruhan alam ini. Maka dalam tulisan ini, kita akan mengambil pakai pemahaman sains yang lebih luas konteksnya kerana hal-hal yang dinyatakan tadi, apatah lagi falsafah kuantum lebih akrab kepada unsur-unsur metafizik itu sendiri.

Jadi, falsafah sains sebenarnya adalah usaha untuk mengetahui jawapan pada persoalan-persoalan tabii dalam teori saintifik. Ringkasnya, jawapan di sebalik hakikat sesuatu kejadian alam. Ini persis sepertimana sebuah pertanyaan yang dikemukakan oleh Lawrence Sklar dalam Philosophy of Physics (1992), “bagaimana kita boleh menjelaskan fenomena dalam dunia ini secara pembuktian dan rumusan mutlak?”. Lebih lanjut lagi, Sklar mengajukan, “sejauh mana pula pembuktian ini mendukung aspek rasionaliti atau ia sekadar melemahkan lagi hipotesis kepercayaan kita (baca: agama)".

Persoalan Sklar ini sebenarnya merupakan intisari dalam wacana falsafah sains yang cuba memadukan antara falsafah dan sains. Tentang falsafah sains ini, ia juga harus mempertimbangkan segala faktor yang mendorong fenomena alam sama ada dari sebab minima hinggalah sebab maksima. Sebab itu sains amat memerlukan falsafah untuk merungkai pemasalahan tabii kita. Baiklah, upamanya begini. Dalam falsafah sains kembangan Karl Raimund Popper (1902-1994), ia cuba untuk mencari hakikat sains dengan jawapan benar atau palsu. Pernah dengar Falsificationism, atau terjemahan Shaharir Mohammad Zain pemalsuanisme, bukan?

Manakala Duhem pula cuba mencari hakikat penjelasan sains bagi menerangkan fenomena, begitu juga dengan Isaac Newton yang menghubungkan aktiviti benda kepada konsep gerakan dan rehat. Jadi, tidakkah usaha Popper, Duhem dan Newton ini merupakan sifat-sifat falsafah sains itu sendiri? Sebab itu, kadangkala ramai yang terlupa bahawa sebenarnya apa matlamat kita memahami sains itu sendiri (atau belajar sains)?

Penyelesaian masalah sains atau hakikat sains itu yang sebenarnya? Penyelesaian masalah sains itukan medium sahaja, sebaliknya tujuan kita yang hakiki ialah untuk mengetahui tasawwur fenomena alam ini. Maka jika ada pendapat bahawa sains tidak memerlukan falsafah, itu pendapat yang sangat kabur, malah mungkin ia juga merupakan suatu pendapat yang sangat primitif sekali.

No comments: