www.flickr.com

Friday, September 14, 2007

Kritik Islam atas Idealogi Barat

Buku: Marxism and Other Western Fallacies an Islamic Critique
Pengarang: Ali Shari’ati
Terbitan: Mizan Press, 1980
Halaman: 122
ISBN: 0933782055

Pendahuluan

Buku yang di bahaskan ini - Marxism and Other Western Fallacies an Islamic Critique - merupakan rakaman ceramah seorang rausyanfikr (intelektual yang cemerlang) prolifik terkemuka Iran, Dr. Ali Shari’ati (1933-1977) yang mengkritik falsafah dan pemikiran Barat menurut perspektif Islam. Ia adalah cetakan pertama yang diterbitkan pada tahun 1980 oleh Mizan Press dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh R. Campbell daripada karya aslinya berbahasa Persia yang bertema Insan, Islam va Maktabha-yi Magrib’ Zamin.

Sepintas lalu, buku ini tampak sederhana dan usang apatah lagi ianya hanya terdiri daripada dua bab utama sahaja, (1) Marxism and Other Western Fallacies, (2) Mysticism, Equality and Freedom, di samping hanya berjumlah 122 halaman penuh. Selain daripada itu, jarak waktu lebih dua dasawarsa tahun dari tarikh cetakan pertamanya secara tidak langsung telah membentuk satu persepsi awal yang negatif dan ‘melemahkan semangat’ dalam minda setiap pembacanya.

Lantas, apakah elemen-elemen yang mendorong kepada pemilihan buku ini sebagai bahan telaah? Di sebalik kesederhanaan dan keusangan yang terzahir daripada buku ini, nyata sekali amat sulit untuk kita menemukan karya agung sebegini yang mampu membahas secara tersusun setiap idealogi menurut perspektif Islam malahan disulami pula dengan gaya bahasa yang begitu memikat dan mengugah struktur keilmuan Barat, suatu kaedah yang jarang-jarang di dapati dalam karya-karya yang lain.

Maka tidak hairanlah, pemikiran dan perjuangan Shari’ati telah mengundang sanjungan tokoh-tokoh besar. Umpamanya Ayatullah Husayn Baheshti, Setiausaha Agung Parti Republik Islam Iran, menghargai perjuangan gigih Shari’ati hingga membawa kepada kejayaan Revolusi Islam Iran 1979. Demikian juga kenyataan John L. Esposito yang mengakui bahawa Shari’ati merupakan seorang tokoh penting dalam sejarah muslim. Namun, ucapan yang paling mashyur datangnya dari Jean Paul Sartre setelah menerima berita syahidnya Shariati. Sartre, yang terkenal dengan faham ekstensialisme menyatakan “saya tidak mempunyai agama. Namun, sekiranya saya diminta untuk membuat pilihan, saya akan memilih Agama Shari’ati”.

Satu hal lagi yang tidak harus di nafikan dalam pemilihan buku ini ialah personaliti pengarangnya. Sepanjang sejarah kehidupannya, Shari’ati telah mendambakan sepenuhnya kepada perjuangan untuk menegakkan panji-panji ketauhidan dan kemanusiaan samada melalui pergerakan, pena mahupun lisan.

Dengan kalimat berkembar iman dan jihad - satu pesanan Rasulullah SAW kepada Abu Dzarr al-Ghiffari - Shari’ati menerobos cakrawala pemikiran dengan berani dan bertenaga sehingga beliau mencapai syahadahnya dalam usia yang sebegitu muda ketika mana dunia masih lagi memerlukan peranannya - terutamanya dalam aspek reaksi pemikiran Islam terhadap falsafah tamadun Barat.

Biografi Intelektual Shari'ati

Shari’ati dilahirkan pada tahun 1933 di Mazinan, sebuah desa pedalaman mashhad di Timur laut Khurasan, dalam keluarga yang kental dan taat tradisi keagamaannya. Beliau telah menamatkan pendidikan rendah dan menengah di Mashhad. Kemudiannya meneruskan pengajian di Maktab Perguruan Tinggi. Di sana beliau bercampur gaul dengan belia dari golongan berpendapatan rendah dan turut sama merasai kemiskinan dan kesukaran untuk hidup. Selama tempoh ini beliau telah menerjemahkan Surat Kashf al-Ghita yang sarat berisi tentang keluhan dan protes dunia Islam terhadap Barat.

Shari’ati juga menterjemahkan sebuah biografi Arab tentang Abu Dzarr karya Abu Hamid Jaudah al-Sakhar, seorang sosialis radikal Mesir ke dalam bahasa Persia. Pada waktu yang sama, ia terlibat dalam urusan politik dengan menggabungkan diri dalam kelompok oposisi pro Moseddeq. Ketika berumur 23 tahun, beliau diterima masuk di Fakulti Sastera, Universiti Mashhad. Hampir bersamaan dengan itu untuk pertama kalinya Shari’ati merasai suasana penjara selama lapan bulan kesan daripada oposisinya melawan rejim di bawah pimpinan Gerakan Perlawanan Nasional cawangan Mashhad.

Setelah lulus dari dari Universiti Mashhad, beliau mendapat peluang untuk melanjutkan pendidikan tingginya ke Universiti Sorbonne, Perancis melalui biasiswa Kerajaan Iran. Ketika di Sorbonne, beliau mula menjalin hubungan peribadi dengan para pemikir terkemuka seperti Louis Massignon, Franz Fanon, Jean Paul Sartre, Che Guivera, dan Giap. Pada saat yang sama, beliau melibatkan diri secara aktif dalam gerakan nasional anti-Shah di Eropah - yakni gerakan pembebasan Iran (Nehzat-e-Azadi-e-Iran).

Setelah memperolehi gelaran kedoktoran pada tahun 1964, beliau kembali ke Iran, kemudian apabila tiba di Bazarqan - sebuah perbatasan antara Iran dan Turki - beliau telah ditahan selama enam bulan atas tuduhan oposisi politiknya selama berada di Eropah. Setelah dibebaskan beliau dinafikan hak untuk mengajar di Universiti Teheran, justeru Shari’ati memilih untuk kembali ke Khurasan dan mengajar di Universiti Mashhad. Tidak lama kemudian beliau dipecat karena beberapa alasan politik atas campurtangan Shah Iran.

Pemecatan Shari’ati dari Universiti Mashhad langsung tidak membantutkan aktiviti-aktivitinya malah merangsangnya lagi untuk berjuang menegakkan panji-panji keadilan. Bahkan peristiwa ini memberi kesempatan untuknya bagi memasuki panggung baru sebagai pemikir dan aktivis yang revolusioner. Beliau kemudian berpindah ke Teheran dan menjadi anggota Dewan Pengurus Husayniyah Irsyad.

Maka, disinilah bermulanya fasa produktif dalam perjuangannya. Dengan menjadikan Husayniyyah Irsyad sebagai lembaga ilmu pengetahuan, penyelidikan dan dakwah Islam yang berwibawa, Shari’ati berusaha mempersiapkan generasi muda Iran ke arah satu pergolakan revolusioner dengan melontarkan idea-idea revolusi yang mantap dan bertenaga termasuk juga serangan hebatnya terhadap pemikiran Barat seperti yang terkandung dalam buku yang dibincangkan ini.

Dari implikasi gerakan inilah Shari’ati mendekam dalam penjara selama lapan belas bulan kerana kegiatannya yang dikatakan mengugat kedudukan Shah Iran. Bersandarkan alasan Shari’ati ialah seorang Marxisme Islam, Shah Iran tidak mempedulikan bantahan rakyat terhadap pemenjaraan rausyanfikr kesayangan rakyat Iran ini. Namun akhirnya beliau dibebaskan daripada penjara hasil inisiatif berterusan dan protes keras masyarakat antarabangsa yang digerakkan oleh intelektual-intelektual dari Universiti Sorbonne, Perancis - menara gadingnya.

Lantas, selepas dibebaskan beliau mengambil formula hijrah Rasulullah SAW - jika anda tidak mampu mengubah, maka berhijrahlah - dengan berhijrah ke England dalam rangka untuk meneruskan perjalanannya ke Amerika Syarikat. Namun, pada 19 Jun 1977, tidak lama selepas ketibaan beliau di England beliau telah ditemui terbujur Syahid dalam pangsapurinya di Southampton dan didakwa kerana serangan jantung. Tatapi, ada beberapa petunjuk kuat yang menyakinkan kita bahawa beliau sebenarnya telah diracun oleh SAVAK (Sazman-i Ittila’ a-i Va Amniyat-i Keshvar) yang tidak senang dengan pengaruhnya terhadap kebangkitan rakyat Iran.

Sepertimana yang tertera dalam wasiatnya, beliau akhirnya dimakamkan di Damsyik berhampiran dengan makam Saiyyidah Zaynab, saudara perempuan Saiyyidina Husayn bin Abi Talib. Maka, hari itu mega mendung meliputi dunia kerana telah kehilangan seorang putera yang mendedikasikan seluruh hidupnya tanpa kenal penat lelah untuk Islam dan ummah.

Gugurnya Shari’ati telah mengesahkan kebenaran kata-katanya bahawa Syuhada adalah jantung sejarah kemanusiaan dan beliau sendiri adalah contoh jantung sejarah kemanusiaan. Selepas kesyahidannya harya-karya beliau telah diterjemah dan diterbitkan ke dalam pelbagai bahasa sebagai salah satu khazanah ilmu yang tidak terhingga termasuklah buku Marxism and Other Western Fallacies an Islamic Critique ini.

Kritik atas Marxisme

Dalam buku ini banyak temanya ditujukan kepada kritikan terhadap bahaya Marxisme terhadap pemikiran dan kehidupan manusia sejagat. Di sini kita dapat perhatikan Shari’ati dalam kerangka untuk menyanggah, tanpa segan-silu memetik ucapan dan catatan dari Socrates hinggalah kepada Sartre dan diungkapkannya kembali dalam nafas yang menyerang setiap kepincangan aliran-aliran pemikiran yang mengancam kepercayaan terhadap agama.

Selain Marxisme, Kapitalisme dan Sosialisme turut dianggapnya sebagai mengugat kemakmuran pemikiran dunia. Dan, dengan penuh keyakinan Shari’ati telah mengemukakan hujah - hujah agama bagi mencantas pandangan mengelirukan dari Barat (baca: Eropah) dan Timur (baca: Soviet Union). Tidak berlebihan sekiranya jika dikatakan bahawa dalam semua keserdahanaan dan keusangan buku ini, Shari’ati telah berjaya menjawab setiap pertanyaan-pertanyaan mendasar yang kerap diajukan mengenai sikap muslim terhadap aliran pemikiran moden.

Gagasan-gagasan Shari’ati ini telah mendapat perhatian Hamid Algar, seorang pakar sejarah Persia dan kini berkhidmat di University of Carlifonia, Barkeley sepertimana diutarakannya dalam kata pengatar editor buku ini yang menceritakan bakti Shari’ati dalam dunia pemikiran dan pergerakan rakyat.

Beliau menyinggung “Sejumlah besar kaum intelek Islam, masyarakat dan rakyat Iran tertarik kembali pada Islam sebagai titik pusat kehidupan dan nasib bangsa kerana kefasihan, keluasan dan keaslian pemikiran Shari’ati. Ia mempunyai gaya yang unik di antara pemikir-pemikir Islam moden. Ia benar-benar menguasai warisan intelektual dan hakikat Barat serta mengabungkan kedua-dua aliran tersebut. Ia mampu melawannya dengan suatu pandangan spiritual dan falsafah Islam yang kuat, segar dan bersepadu juga dengan suatu pandangan yang menyakinkan dan mengilhami jutaan rakyat Iran. Selanjutnya Shari’ati telah berjaya mengisi topik diskusi agama di Iran dengan suatu nada baru dalam pemikiran, gaya baru dalam huraian dan serangkaian istilah baru. Ia benar-benar merupakan suatu hasil yang revolusioner” tegas Hamid Algar.

Justeru buku ini sebenarnya sudah cukup melemaskan Hagel, Karl Marx, Sartre dan Nietzsche bagi merangka jawapan balas Shari’ati. Sehinggakan ada yang berpendapat sekiranya Marx masih hidup di waktu Shari’ati mengecam habis-habisan pemikiran Marxisme ini nescaya ia tidak akan teragak-agak untuk mengubah kembali intipati bukunya yang terkenal Das Kapital dan Communist Manifesto. Atau juga mungkin Marx akan iri hati melihat kejayaan Revolusi Islam Iran 1979 yang telah menempelak pendapatnya bahawa agama adalah candu kepada masyarakat - sedangkan di sini terbukti agamalah yang menjadi teras kejayaan revlususi itu.

Satu hal yang menarik, ketika buku ini diterbitkan pada 1980, Iran telahpun setahun memetik buah dari usaha Shari’ati dan merealisasikan dugaan Shari’ati iaitu kemunculan detik-detik tumbangnya kerajaan Shah Iran akibat dari dasar yang zalim. Di samping itu, sejarah dunia juga menjadi saksi bahawa kritikan tajam Shari’ati terhadap Marx turut memberi impak terhadap pemikiran Marxisme sehinggalah berlakunya keruntuhan Soviet Union (negara yang menganuti fahaman Marxisme) pada tahun 1991.

Kritikan beliau ini jelas terlihat dengan bidasannya “ Kekeliruan yang paling besar dan menghairankan yang berlaku pada fahaman kemanusiaan moden sejak Diderot dan Voltaire sehinggalah Feuerbach dan Marx adalah kerana mereka menyamakan dunia mitos Yunani kuno yang berada dalam batas-batas material dengan dunia suci spiritual agama-agama purba yang besar. Mereka membanding dan bahkan mengolongkannya menjadi satu iaitu hubungan manusia terhadap Zues dengan hubungannya terhadap Ahuramazda, Rama, Tao, Isa dan Allah. Padahal dua rangkaian ini adalah sama sekali bertentangan”.

Shari’ati di akui oleh kawan dan lawan bahawa beliau secara agresif telah mempertahankan kehormatan Islam dari tohmahan Marxisme. Secara sosiologis, Shari’ati berkata, “Marx gagal membezakan antara bentuk-bentuk kepemilikan, hubungan kelas serta struktur dominasi antara penguasa dan yang dikuasainya. Kegagalan ini terlihat jelas pada era industrialisme Lenin dan Stalin. Selari dengan pendapat Fanon (gurunya di Sorbonne), Shari’ati menyatakan bahawa negara-negara Dunia Ketiga tak akan memperoleh kepercayaan diri yang diperlukan untuk memajukan masyarakatnya kecuali kembali ke akar-akar budaya mereka sendiri".

Bagi Shari’ati, model Marxisme bukan saja tidak selari dengan masyarakat Islam, bahkan mengelirukan sekali! Dengan menolak kriteria nilai-nilai kemanusiaan yang mutlak serta menghasilkan manusia sebagai makhluk ekonomi semata-mata. Meskipun demikian kecaman keras Shari’ati ini bukan bermaksud beliau bersetuju dengan idea penghapusan karya-karya yang berbau komunis.

Kerana buku ini telah memperlihatkan penguasaan Shari’ati terhadap falsafah kemanusiaan-Marxis, maka Shari’ati sering dilabel sebagai seorang yang memiliki kecenderungan Marxis yang cukup kuat, mungkin kerana huraiannya terhadap sistem kelas. Namun keadaan ini tidak sewajarnya timbul kerana Murtadha Muthahhari dalam bukunya The Human Being in the Quran turut menyatakan kesedaran sistem kelas sebagai satu kesedaran manusia.

Walhal, Muthahhari (yang menjadi syahid pada 15 Mei 1979) adalah seorang ulama’ yang terkemuka dari sudut kesarjanaan dan falsafah serta pakar dalam pemikiran Betrand Russell sepertimana Shari’ati sehinggakan ada pihak yang mensinonimkan antara keduanya dengan gelaran ulama’ yang keintelektualan (Muthahhari) dan intelektual yang keulamakan (Shari’ati) di samping mereka pernah bergandingan tenaga dalam mengerakkan Husainiyyah Irsyad bersama-sama dengan beberapa tokoh lagi seperti Ayatullah Husayn Bahesti, Hujjatul Islam Hashemi Rafsanjani dan Seyyed Hossein Nasr.

Jika dihalusi pemikiran Shari’ati dalam buku ini, nyata sekali beliau memang mengkritik habis-habisan pemikiran Marx. Namun dalam sesetengah keadaan Shari’ati cuba untuk mencari persamaan antara Islam dan Marxisme seperti dalam aspek idealogi yang mencakupi seluruh dimensi kehidupan dan pemikiran manusia. Malahan dalam nada yang berhati-hati Shari’ati telah memuji Marxisme dengan menyatakan bahawa pemikiran ini telah berjuang untuk mendasari setiap aspek kehidupan manusia - material, spiritual, falsafah, individu, ekonomi dan sosial - dalam konteks materialistik yang tersendiri.

Di samping itu, Shari’ati turut mengariskan dua kesejajaran Islam dan Marxisme. Pertama; semua kompenan yang terhimpun dalam Islam dan Marxisme adalah bersandaran di antara satu sama lain. Dan, sebarang usaha menambah atau mengurangkan sebahagian daripada kompenan di dalamnya akan mengakibatkan keruntuhan strukturnya secara keseluruhan. Kedua; Islam dan Marxisme masing-masing merupakan idealogi yang mencakupi persoalan kehidupan dan pemikiran manusia.

Tetapi ketika masa yang sama, secara tegas Shari’ati menyatakan bahawa antara Islam dan Marxisme juga terdapat jurang kontradiksi yang ketara terutamanya dalam pandangan ketauhidan di mana Marxisme berdasarkan kepada falsafah Marxisme yang berteraskan kepada pandangan manusia yang menciptakan agama. Sebaliknya Islam percaya kepada konsep spiritual ketuhanan di mana Islam melukiskan manusia sebagai tanah dan memuliakan manusia dari debu tanah ke arah Tuhan atau dalam kata mudahnya Tuhanlah yang menciptakan manusia.

Jawapan Shari’ati ini mengingatkan kita kepada gagasan Mulla Shadra dalam konsep sufisme (atau: gnosis) asfaar arba’ah (empat perjalanan) yang mengaitkan hubungan manusia dengan Allah SWT. Mulla Shadra memperincikan empat perjalanan seperti berikut: (1) Perjalanan dari alam ciptaan menuju Allah SWT (al-safar min al-khalq al-haqq), (2) Perjalanan dalam Allah SWT (al-safar fi al-haqq), (3) Perjalanan kembali dari dalam Allah SWT menuju ciptaannya bersama-sama dengan Allah SWT (al-safar min al-khalq ila al-khalq bi al-haqq), dan (4) Akhir sekali adalah perjalanan dalam ciptaan bersama dengan Allah SWT (al-safar fi al-khalq bi al-haqq).

Berbalik kepada kontradiksi antara Islam dan Marxisme. Shari’ati sebenarnya secara tidak langsung telah membongkar plagiat Marx daripada dialektika Hagel. Dengan penuh yakin Shari’ati menelah “Marxisme dengan pemikiran ekonominya dalam semua perkara termasuk kehidupan dan sejarah manusia telah mengubah Sosialisme menjadi pengaruh ekonomi yang berdasarkan kekayaan material melalui industri serta mengambil dialektika Hagel (yang berpendapat bahawa Tuhan diwujudkan dalam sejarah manusia) sebagai alat untuk merealisasikan kehidupan borjuis bagi kaum marhaen”. Jelas sekali pandangan Shari’ati ini merupakan realiti sebenar pemikiran Marxisme.

Bahaya Kapitalisme dan Liberalisme

Kapitalisme turut tidak terkecuali menjadi objek serangan Shari’ati. Tetapi secara umumnya kritikan Shari’ati terhadap Kapitalisme tidaklah setajam sepertimana Marxisme. Namun, Shari’ati masih menganggap sistem Kapitalisme akhirnya menjadi seperti Marxisme. Yang membezakan hanya namanya sahaja!

Di sini Shari’ati telah membongkar sikap Kapitalisme yang bertopengkan Liberalisme Barat dengan mengunakan label sebagai pewaris induk dari falsafah dan kebudayaan Yunani-kuno sehinggalah kepada kesempurnaan yang relatif seperti di Eropah sekarang. Shari’ati menjelaskan bahawa antara Yunani-kuno dan Eropah sekarang terdapat perbezaan yang jelas terutamanya dari sudut kepercayaan kepada unsur-unsur spiritual.

Ketika era Yunani-kuno mereka telah mempercayai wujudnya satu kuasa ghaib seperti Appolo, Zues dan Prometheus yang berfungsi untuk mengatur kehidupan dunia dan konsep ini secara panjang lebar telah dijelaskan oleh Aristotles dalam banyak bukunya. Jadi bertitik tolak dari kepercayaan ini, mengapa Eropah hari ini tidak mengambil unsur kepercayaan kepada perkara yang ghaib dalam pemikiran mereka? Tidakkah ini bukti peminggiran mereka terhadap konsep spiritual yang merupakan unsur-unsur asas dalam tamadun Yunani-kuno? jadi soalan ini sudah cukup untuk mengesahkan bahawa Eropah yang ada hari ini bukannya warisan dari Yunani-kuno. Sama sekali berbeza di antara keduanya!

Selain daripada itu, Shari’ati menyifatkan bahawa falsafah dalam kehidupan masyarakat Kapitalisme Barat berkait rapat dengan faktor ekonomi. Di sini beliau telah membenarkan pandangan Francis Bacon, “ilmu telah meninggalkan pencarian kebenaran dan beralih pula kepada pencarian kekuatan” - bagi mengambarkan hakikat Kapitalisme.

Selanjutnya, Shari’ati tidak membiarkan kita buntu untuk memikirkan apakah hujah yang mengatakan bahawa faktor ekonomi merupakan falsafah dalam kehidupan masyarakat Kapitalisme Barat? Shari’ati menjelaskan “Demokrasi dan Liberalisme Barat - apa sahaja istilah yang murni dalam teorinya - pada praktikalnya tidak lebih dari persaingan ekonomi yang rakus kepada keuntungan serta berfungsi untuk mengubah manusia menjadi haiwan ekonomi”.

Dengan nada yang penuh sinis Shari’ati mengambil kesempatan untuk mencemuh Kapitalisme Barat - atau dalam istilah yang lain dikenali juga dengan nama Industrialisme, Kristianisme, Kolonislisme dan Liberalisme borjuis - yang tidak malu mengunakan slogan kelahiran semula bagi mencerminkan peradaban Eropah atau juga berpura-pura berselindung disebalik perjuangan kemanusiaan. Padahal pemikiran sebegini sebenarnya hanya merosakkan kemuliaan perjuangan kemanusiaan.

Dengan penuh berani Shari’ati bertindak mengistiyarkan bahawa idealogi rasmi Kapitalisme ialah Liberalisme dan Demokrasi yang berasaskan kepada fahaman materialisme lapuk pada abad ke-17. Bagi Shari’ati sistem Kapitalisme adalah semata-mata bersandarkan kepada kekayaan individu, gaji pekerja, nilai matawang dan prinsip persaingan. Tidak lebih daripada itu!

Shari’ati juga ketika membahaskan mengenai perbezaan aliran-aliran pemikiran dan matlamatnya, beliau telah memaknai istilah Liberalisme Barat sebagai suatu kebebasan individu dan usaha persaingan dalam bidang penghasilan material yang membawa kepada pencapaian kekuasaan dan kemajuan pengembangan ilmu. Ini bagi Shari’ati berbeza dengan istilah agama yang diyakininya sebagai medium antara dunia dengan pencipta dunia.

Pada perbincangan inilah istilah amanah dan kebaikan dapat dipraktikkan kerana amanah dan kebaikan hanya dapat dilaksanakan oleh manusia. Sebab itu, sisi pandangan Islam amat berbeza dengan Barat lebih-lebih lagi dalam penilaian terhadap aspek kemanusiaan. Islam sepanjang sejarah kemanusiaan telah memikul amanah untuk membela prinsip-prinsip yang bernama keadilan, kemuliaan, tuntutan Ilahi, kesedaran dan nilai-nilai moral demi kepentingan manusia.

Dan, amanah ini ditunaikan menurut rasional akal dan wahyu Ilahi. Dengan nada menyindir Barat, Shari’ati mendakwa bahawa Islam tidak perlu menunggu kemunculan mesin-mesin untuk memakmurkan nilai-nilai kemanusiaan sepertimana dalam sistem Kapitalisme Barat.

Kemanusiaan dikorbankan

Keupayaan Shari’ati untuk membahas pemikiran Barat ini sudah tentunya dipengaruhi oleh ruang lingkup pembelajarannya. Selama di Sorbonne, mahasiswa seperti Shari’ati umumnya turut serta dalam gerakan mahasiswa radikal, apalagi ketika itu dunia sedang berkocak dengan gerakan rakyat di Algeria dan Cuba dalam melawan imprealisme. Sentimen Shari’ati ini terpapar dengan usahanya menterjemahkan tulisan-tulisan seperti Che Guevara - seorang tokoh pembebasan rakyat di Cuba bersama-sama dengan Fidel dan Raul Castro.

Namun disini ada perihal yang menarik dalam hubungan Shari’ati dan Fanon. Ketika Shari’ati telah kembali ke Iran, beliau mengutuskan surat kepada Fanon bagi menyanggah teorinya yang berkaitan hubungan kebangkitan rakyat dengan agama. Bayangkanlah, ketika saat tidak ada mereka yang percaya bahawa kekuatan agama mampu bertindak sebagai pembebas kemanusiaan, Shari’ati sebaliknya berpendirian teguh dengan pandangannya bahawa hanya Islamlah yang mampu mengerakkan pembebasan manusia dari perhambaan menuju pembebasan abadi.

Dalam satu perjelasan panjang tetapi menarik sekali untuk dikongsi, Shari’ati menegaskan bahawa kemanusiaan adalah spesis yang sedang menuju kepada keruntuhan. Lebih lanjut lagi, Shari’ati mengambarkan ianya seperti perubahan bentuk (metamorforsis) seekor kupu-kupu yang baru mejengah dunia luar dari kepompongnya. Dengan nada hairan Shari’ati berkata ”...kemanusiaan biasanya dikorbankan untuk cita-cita pembebasannya sendiri. Dalam pusaran sejarah, rindu kepada pembebasan telah menempa rantai belenggu manusia dan menawarkan harapan untuk bebas namun sebaliknya ia menghumbankan manusia ke dalam lembah nestapa!”

Bagi mengukuhkan lagi pendapatnya Shari’ati telah mengemukakan hujahnya bersandarkan kepada persektif lima kepercayaan utama yang dianuti oleh masyarakat dunia - Lao Tzu, Confucius, Hindu dan Budhha, Kristian dan Islam.

Pertama Lao Tzu; Shari’ati menyatakan di China ajaran Lao Tzu pada peringkat awal merupakan seruan kepada pembebasan dari penjara kepalsuan, konkongan inteletual dan kebobrokan peradaban yang menyeret manusia sejati ke alam perhambaan. Kemudiannya apa yang berlaku ialah ajaran Lao Tzu telah terjebak dalam pemujaan dewa-dewa yang tidak terhitung jumlahnya. Dewa-dewa ini telah memeras manusia, melemahkan kekuatan intelektual dan menjatuhkan hukuman ketakutan tanpa kesudahan.

Kedua Confucius (atau: Kong Hu Cu); Setelah penat bertempur untuk melawan ketahyulan dengan maksud membebaskan rakyat dari perhambaan terhadap pengaruh imaginasi. Namun akhirnya, ajaran Confucius telah membawa manusia kepada cengkaman khayalan yang tidak logik, pergorbanan-pergorbanan tanpa matlamat, sumpah keramat, doa-doa dan pembunuhan diri lalu terjerumus ke dalam lembah kepasifan dan konservatif yang fanatik.

Shari’ati memetik pandangan seorang ahli sosiologi “ kita lihat bahawa sepanjang sejarah 2500 tahun masyarakat dan kebudayaan Cina ia sama sekali tidak mengalami kemerosotan, kemajuan atapun perubahan mendadak - implikasi langsung dari aturan konservatif dan tradisional para penganut Confucius”.

Ketiga Hindu dan Buddha; Shari’ati menyifatkan Hindu adalah agama orang India yang mengandungi pengetahuan yang jelas berkenaan dengan manusia dan dilengkapi pula dengan pengertian mendalam tentang keesaan Tuhan, alam dan manusia - suatu pengertian yang meletakkan ruh ke dalam jasad dunia dan bertindak sebagai satu kekuatan yang memuliakan ruh manusia - telah dijelmakan menjadi ketahyulan yang mengerikan di mana manusia dikerumuni oleh dewa-dewa yang demikian banyaknya.

Dan bermula dari garis inilah wujudnya budaya perhambaan oleh kekuasaan rasmi agama. Selepas itu, Gautamma Buddha datang untuk menyelamatkan masyarakat Hindu dari penghambaan terhadap dewa-dewa di langit. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya, dimana para pengikut Buddha menjadi penyembah Buddha pula. Lalu di mana yang dikatakan pembebasan? Soal Shari’ati.

Keempat, Kristian; Shari’ati menjelaskan bahawa diutusnya Nabi Isa AS atau Al-Masih adalah untuk menyelamatkan kemanusiaan dari ikatan material dan ritual ajaran Yahudi, membebas agama dari penghambaan oleh para pedagang dan bani Israel yang bersifat perkauman serta menciptakan kedamaian, cinta dan kebahagiaan jiwa. Jadi ia ingin membebaskan orang-orang yang berada dibawah pesona ketahyulan dari pengaruh pendeta Yahudi (rabbi) serta mengutuk perhambaan di bawah imprealisme zalim Romawi.

Tetapi kita lihat, bagaimana Kristian sendiri mewarisi takhta kekaisaran Romawi malahan gereja Romawi terus menerus menghidupkan tatanan kekaisaran. Kita telah mengetahui bagaimana “agama kedamaian “ ini lebih bebas menumpahkan darah dibanding kelompok lain yang dikenal dalam sejarah. Dan, bagaimana Tuhan dijadikan seperti manusia padahal manusia seharusnya menjadi seperti Tuhan – Yakni secara spiritual dan moral.

Akhirnya menurut Shari’ati sampainya kepada kita Islam - mata rantai terakhir dalam perkembangan agama menurut sejarah - yang datang dengan membawa panji tauhid dan keamanan seperti yang tercantum dalam perkataan Rab’i Bin Amir, seorang pejuang muslim iaitu “dari kerendahan bumi kepada ketinggian syurga, dari perhambaan manusia kepada pengabdian Tuhan alam semesta, dari penindasan agama kepada keadilan Islam.

Maka dari sorotan perjalanan agama-agama di dunia sebelum kemunculan Islam, gerakan pembebasan manusia sentiasa mengalami malapetaka. Shari’ati dalam hal ini dengan penuh pilu mengeluh seraya berkata “ kasihan manusia, ia selalu mencari pembebasan tetapi akhirnya bencana yang diperolehinya”.

Namun bagi Shari’ati, memendam rasa sahaja tidak akan membawa apa-apa makna melainkan kita mengerakkan Islam sebagai alternatif kepada umat manusia yang tercari-cari hakikat kebebasannya. Shari’ati menduga, Islam di masa hadapan akan berfungsi penting untuk merealisasikan hasrat kemanusiaan dan meletakkan manusia di tempat yang semulianya. Lantaran itu, Shari’ati mengemukakan dua kekuatan Islam yang sentiasa abadi:-

Pertama; dengan kekuatan tauhid, Islam menghulurkan penafsiran spiritual yang mendalam mengenai konsep alam semesta yang sempurna dan ideal sekaligus logik dan tuntas.

Kedua; melalui falsafah penciptaan Nabi Adam AS, Islam mengungkapkan berkenaan konsep kemanusiaan sebagai suatu konsep yang independen serta mulia serasi dengan realiti dunia sekaligus bersifat ketauhidan.

Bagi mengukuhkan pendapatnya, Shari’ati memetik pandangan Louis Gardet yang mengatakan bahawa Islam adalah agama dan bangsa sekaligus. Dan yang lebih menyakinkan kita lagi ialah di akhir topik ini ketika mana Shari’ati membahas mengenai kemanusiaan di antara Marxisme dan agama, Shari’ati telah menoktahkan gagasannya dengan rakaman al-Quran dari Surah al-Baqarah, ayat 143 “Kepunyaan Tuhanlah Timur dan Barat.

Dan begitulah kami jadikan kamu umat pertengahan agar kamu menjadi saksi atas mereka dan Rasul menjadi saksi atas kamu”. Nah! Apalagi yang merungsingkan kita selepas mendengar penjelasan komprehensif dari Shari’ati ini. Jadi, kesimpulan daripada rangkuman perbahasan Shari’ati mengenai falsafah pembebasan manusia bolehlah disimpulkan daripada untaian azimat keramat yang mana ia boleh menyelamatkan nilai-nilai kemanusiaan bahkan manusia itu sendiri iaitu “tiada Tuhan melainkan Allah” - yakni dimensi tauhid sebagai panduan mutlak untuk mencapai sesuatu matlamat.

Pengaruh Mistisisme, Sosialisme dan Eksistensialisme

Adalah tidak sempurna ulasan buku ini sekiranya kita tidak mencatatkan pandangan Shari’ati mengenai persoalan Mistisisme, Sosialisme dan Eksistensialisme yang diakuinya sebagai kombinasi ajaran dalam hidupnya bagi membentuk diri yang bersifat multi-dimensi, seimbang dan harmoni. Mengapa Shari’ati mengaku ini adalah pegangannya – kombinasi antara Mistisisme, Sosialisme dan Eksistensialisme?

Bagi Shari’ati Mistisisme berasas dari akar agama dan merupakan manifestasi daripada fitrah manusia. Ia juga sebagai bahtera bagi meneroka perkara ghaib yang gagal dicapai oleh akal. Di samping itu, Mistisisme merupakan satu sinar dalam diri manusia yang mampu mengubah manusia menjadi sebenar-benar erti manusia. Tambah Shari’ati lagi, tokoh-tokoh terkenal seperti Dostoyevsky, Sartre dan Albert Camus masih belum dikira hebat kerana mereka tidak mempercayai peranan Mistisisme dalam memaknai kehidupan.

Contoh ketidakyakinan mereka kepada pengaruh Mistisisme tergambar dari pendirian Sartre yang mendakwa ketiadaan Tuhan telah menyebabkan segala yang wujud menjadi tidak ketentuan tanpa arah. Walaupun kenyataan ini lebih lunak berbanding dengan pemikir-pemikir abad ke-19 yang menyatakan Tuhan tidak ada dan agama adalah khayalan semata-mata, namun ia masih belum mampu mengubah bahawa Sartre telah menolak peranan Mistisisme dalam kehidupan.

Dalam perbahasan awal topik ini ada dinyatakan bahawa Mistisisme adalah merupakan akar agama dan penolakan masyarakat Eropah terhadap Mistisisme bermula pada abad ke-19 dimana ketika itu mereka terbuai dengan idealogi Sosialisme. Pada pandangan Shari’ati kejayaan Sosialisme untuk mengurang atau menyingkirkan pengaruh Mistisisme disebabkan oleh kebaikan ajarannya yang mengajak manusia bagi memenuhi tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

Keadaan ini secara tidak langsung telah melahirkan individu-individu yang peka terhadap perubahan dan keperluan di sekelilingnya. Menurut Shari’ati, fenomena ini selari dengan penegasan Islam dalam surah al-Maidah, ayat ke 32 yang menganjurkan kita memelihara dan menghargai kehidupan bermasyarakat.

Namun sistem Sosialisme yang hasrat awalnya untuk membebaskan rakyat dari utophia dan fatamorgana menuju kepada kemodenan, telah mula beralih kepada pendekatan Sosialisme yang bercorak pemujaan kepada pemimpin, parti dan negara. Dalam satu warkah Proudhon kepada Marx yang diungkapkan kembali oleh Shari’ati, “…tetapi apabila kita melakukan sesuatu haruslah bersifat serdahana dan hanya melakukannya dengan kesedaran rakyat. Kita tidak boleh bermain seperti nabi-nabi serta memaksa rakyat melalui serangkaian perintah dan larangan. Kita juga tidak boleh mendirikan agama dan pemujaan baru dalam dunia ini. Saya khuatir nanti ajaran kamu ini akan mengambil peranan agama negara dan pemujaan negara akan pula berperanan seperti pemujaan terhadap Tuhan”.

Sejarah telah membuktikan nasihat Proudhon ini benar dan ia tidak diendahkan oleh Marx. Bahananya, selepas Perang Dunia Kedua berlaku situasi drastik yang memeranjatkan. Pertama; kekuatan agama telah melonjak tinggi, kedua; Marxisme mula mengalami zaman gerhana kerana tidak berupaya untuk menyelesaikan pemasalahan kemanusiaan. Kesan daripada dua situasi ini telah melahirkan Eksistensialisme.

Sebenarnya Eksistensialisme telah wujud lebih awal terutamanya dalam ajaran Mistisisme. Namun begitu Eksistensialisme pada waktu ini lebih menekankan kepada perihal yang bukan berkaitan dengan kemanusiaan. Dan sekarang Eksistensialisme telah mencanangkan gagasan barunya seperti yang terpapar dalan seruan ini, “marilah kita rampas kembali perkara yang telah direbut dari kita sebelum ini oleh agama dan Sosialisme. Marilah kita berpaut kepada kebebasan kemanusiaan kita. Kita mempunyai kehendak dan bebas untuk memilih. Tetapi Sosialisme telah merampas semuanya dan menyerahkan kepada negara. Ia telah membuat keputusan paksa untuk kita. Justeru, ia telah merampas hak kebebasan kita. Juga agama yang turut menghalang cita-cita kita. Maka, marilah kita kembali kepada manusia sendiri dan mengatakan bahawa kita wujud”.

Selayang pandang kita melihat Eksistensialisme mengawali peranannya kepada seruan kebebasan dan kemanusiaan sebelum ia menghumbangkan kita dalam simpang siur yang tidak pasti kerana Eksistensialisme tidak memiliki kekuatan untuk memutuskan apa yang dinamakan kebaikan dan keburukan? Tidak sepertimana yang terpimpin dalam ajaran agama, lebih-lebih lagi agama Islam! Inilah titik-titik kelemahan dalam Eksistensialisme.

Justeru, bagaimana Shari’ati menyatakan bahawa beliau adalah kombinasi ketiga-tiga aliran ini dikala kecacatan yang wujud dalam aliran-aliran ini. Shari’ati telah mematahkan prasangka ini dengan mengulang kembali satu keluhan Saiyyidina Ali Bin Abi Talib dalam Nahjul Balaghah yang ditakrifkannya sebagai mewakili ketiga-tiga aliran pemikiran yang dibahaskan ini – Mistisisme, Sosialisme dan Eksistensialisme.

Ketika mengakhiri perbahasannya, Shari’ati menegaskan, “jelaslah ketiga-tiga aliran ini mengambarkan keperluan-keperluan yang dituntut dalam zaman kita ini. Saya percaya bahawa apabila kita hanya besandarkan kepada satu sahaja daripada ketiga-tiga aliran ini, kita akan jatuh terpelanting dalam gaung kesengsaraan. Keyakinan yang disedari serta seimbang dalam ajaran yang telah saya kemukakan menunjukkan ia bukan sekadar penemuan Islam atau suatu penghormatan kepada kepercayaan ruhani. Tetapi apabila kita menyerap sepenuhnya ketiga-tiga aliran yang memancar ini dari satu sumber dengan maksud untuk memenuhi keperluan manusia, maka kita akan bersedia untuk menunaikan tanggungjawab sosial kita”.

Kontroversi perbahasan Shari’ati

Walaupun Shari’ati berjaya menghuraikan kritikan Islam terhadap aliran pemikiran Marxisme dan Barat secara baik dan mendasar, beliau masih tidak dapat lari daripada menerima kritikan mereka yang melihat terdapatnya beberapa perbahasan kontroversi yang mencetuskan kritikan pedas kelompok agamawan.

Di Iran, fenomena ini tidak janggal kerana sejak muncul golongan intelektual bermula dari era Ahmad Khasrawi telah berlaku satu persaingan pandangan antara ulama’ dan ntelektual. Dan, Shari’ati adalah tokoh dari kelas intelektual bersama-sama dengan Mehdi Bazarqan, Jalal-al-e-Ahmad, Bani Sadr dan beberapa nama yang lain.

Namun selepas menyedari perlunya perpaduan antara dua kelompok berpengaruh ini bagi mencapai satu revolusi, maka kita lihat semasa kemuncak perjuangan rakyat Iran pada tahun 1978-1979 terhasil satu dikotomi antara ulama’ dan intelektual. Dengan kata mudah, kepentingan rakyat didahulukan dalam sebarang perkara. Natijahnya, terealisasikan Revolusi Islam Iran 1979!

Berbalik kepada fokus kita untuk menyemak beberapa contoh kontroversi yang terdapat dalam buku ini. Antaranya ialah penyamarataan Shari’ati terhadap Allah dengan Tuhan-tuhan agama yang lain ketika mana beliau mengungkapkan persoalan mengenai kekeliruan kemanusiaan moden di antara fasa Diderot dan Voltaire kepada Feurbach dan Marx. Mereka (Diderot, Voltaire, Fuerbach dan Marx) telah menyamakan dunia mitos Yunani-kuno yang tetap berada dalam batasan material dengan dunia suci spiritual agama-agama yang besar.

Susulan daripada hujah dangkal mereka ini, Shari’ati bertindak balas dengan menyatakan bahawa hubungan manusia terhadap Zues dalam konteks Yunani-kuno adalah berbeza dengan hubungan manusia terhadap Ahuramazda, Rama, Tao, Isa dan Allah SWT. Kenyataan sensasi inilah yang telah membangkitkan perdebatan hangat antara kelompok agamawan yang tidak bersetuju dengan corak hujah Shari’ati.

Bagi agamawan di Iran ketika itu, Tuhannya Allah SWT adalah berbeza dengan Tuhannya agama-agama lain. Sekiranya kita menyamakan Allah SWT dengan tuhan-tuhan yang lain, bererti kita telah meletakkan status Allah SWT sama tahap dengan Tuhan-tuhan yang lain, sedangkan perkara ini jelas bercanggah dalam ajaran Islam.

Namun jika kita teliti secara mendalam kenyataan Shari’ati ini dalam konteks akademik, beliau bukanlah bermaksud untuk menafikan atau menyamaratakan Allah SWT dengan Tuhan-tuhan yang lain.

Sebaliknya Shari’ati berbicara demikian kerana tuntutan keadaan yang memerlukan beliau menghuraikan dengan kaedah tersebut. Adakah kerana kenyataan sebegini telah melucutkan jasa bakti beliau terhadap Islam dan ummah ? Adakah pula kerana kenyataan ini telah meletakkan beliau sebagai musuh agama? Bagi kita yang berfikiran positif, ia sama sekali tidak! Kita kena kembali apakah nawaitu Shari’ati ketika membahas persoalan ini? Walhasilnya, kita perhatikan banyak kesan positif berbanding dengan kesan negatif bertentangan dengan apa yang diwar-warkan oleh mereka yang berniat jahat untuk mencemarkan reputasi Shari’ati.

Begitu juga dalam buku ini, Shari’ati telah merujuk bahawa golongan pemilik kekayaan sebagai komponen utama suatu sistem ketidakadilan. Bagi mereka yang tidak memahami sepenuhnya intipati ajaran Islam sudah tentu akan menyanggah hak kebebasan individu untuk mengaut kekayaan.

Dalam hal ini, Shari’ati sambil memetik rakaman al-Quran telah melontarkan pertanyaan kepada golongan ini “adakah kamu mengira bahawa nilai dunia ini sia-sia”. Dan al-Quran juga dalam surah Shaad, ayat 27 telah menyediakan jawapan kepada soalan ini “ Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya tanpa hikmah”. Justeru, tidakkah petikan ayat-ayat di atas mengecam mereka yang berkiblatkan material? Bagi Shari’ati, al-Quran telah memberikan contoh rasional tentang tauhid melalui alam, hukum kehidupan yang tetap dan sifat kehidupan serta peristiwa alam semesta yang teratur dan dapat diyakini.

Cuma, perkara yang perlu diwaspadai ketika menelaah buku ini ialah keperluan terhadap penelitian yang mendalam, kerana mungkin dalam beberapa keadaan terdapat kontradiksi hujah terutamanya ketika Shari’ati menjelaskan pemikiran Marxisme. Fenomena kontradiksi ini timbul disebabkan Shari’ati membahas dengan mengunakan teknik sisi positif dan sisi negatif.

Sebagai contoh dalam sesetengah keadaan beliau melihat Marxisme dan Islam adalah dua idealogi yang lebih sempurna strukturnya berbanding dengan agama-agama dan pemikiran-pemikiran yang lain.

Namun dalam waktu yang sama, Shari’ati menjelaskan pula bahawa sekalipun Marxisme dan Islam adalah dua idealogi yang sempurna strukur tetapi ia masih tidak simentri. Lebih lanjut lagi beliau akan membongkar ketidaksimentrian Marxisme dan Islam dengan memanipulasi hujah-hujah Stalin, Lenin, Marx, Hagel, Edourd Berth dan Andre Piettre. Ini yang boleh mengelirukan pembaca sekiranya tidak berhati-hati dalam menelaah.

Kesimpulan

Demikianlah perbahasan kita mengenai Shari’ati dan karyanya agungnya ini - Marxism and Other Western Fallacies an Islamic Critique – yang sarat dengan pandangan memukau serta mengajak kita berfikir secara kritis. Shari’ati pada keseluruhan buku ini telah memperlihatkan penguasaannya yang jitu dalam pelbagai ajaran agama serta pemikiran yang wujud di dunia. Beliau telah membahas dengan mengunakan kaedah yang unik sehingga menjadi sorotan zaman.

Sepanjang perbahasan kita ini, beliau telah menonjolkan keyakinan teguh bahawa agama pada akhirnya akan kembali dalam sejarah masa depan manusia. Dan, sejarah masa depan menurut kacamata Shari’ati ialah keselarian tamadun ilmu dengan agama. Beliau melihat bahawa banyak fenomena yang diungkapkan oleh al-Quran kini telah terbukti hasil daripada peyelidikan dan usaha gigih golongan intelektual dan ulama’. Selepas 26 tahun pemergiaan Shari’ati ke Rahmatullah, kebenaran wawasannya mula terserlah. Islam yang dijajanya lebih 26 tahun yang lalu, pada hari ini telah mula menongkah dan mengambil peranan sebagai penyelamat kemanusiaan dunia serta mengurus manusia dengan sempurna.

Mengenang sahaja Shari’ati serta menelusuri Revolusi Islam Iran 1979 telah mengingatkan kita kepada firman Allah SWT dalam al-Quran, Surah al-Baqarah, ayat 169 “Janganlah kamu mengira, bahawa mereka yang gugur di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu sebenarnya hidup, hanya sahaja kamu tidak menyedarinya”. Shari’ati memang terasa hidup! Ia bukan sekadar terasa hidup dan menjiwai pahlawan-pahlawan revolusi yang memobilisasi kuasa rakyat untuk menyingkirkan hagemoni Shah Iran, tetapi juga hidup bersama gerakan “Jihad-e-Sazandegi” (jihad pembangunan) untuk membangun pendesaan Iran selepas kejayaan Revolusi Islam Iran 1979.

Akhir sekali, apabila dihimbau kembali keseluruhan sumbangan dan peranan yang dijana oleh Shari’ati dalam arus pemikiran dunia lebih-lebih lagi dalam konteks pembangunan ummah, maka kita akan tercari-cari identiti yang terbaik untuk mengambarkan harakat diri Shari’ati. Sebelum ini kita diperkenalkan bahawa Shari’ati ialah seorang arkitek Revolusi Islam Iran 1979, namun hakikatnya peribadi beliau bukan sekadar terkesan dalam lingkungan Iran sahaja, malah, terlimpah ke seluruh belahan dunia. Begitu juga mahu disifatkan Shari’ati sebagai pakar sosiologi Islam, ia juga masih bukan Shari’ati yang akrab dengan dunia aktivisme. Demikian juga yang lain.

Namun, setelah beragam identiti yang cuba kita akrabkan dengan Shari’ati, akhirnya kita akan berkesimpulan bahawa Shari’ati adalah Shari’ati, dan tiada lagi Ali Shari’ati setelahnya.

No comments: