www.flickr.com

Saturday, March 22, 2008

Bahasa Melayu dan Globalisasi

Teman saya bertanya—dalam Yahoo Messenger—tentang hubungan antara globalisasi dengan bahasa Melayu. Maka saya memileh untuk menjawabnya di sini secara terbuka agar ianya dapat dibahaskan dalam bentuk wacana tanding.

Saya kira hanya ada tiga dampak kemungkinan saja yang menghubungkan globalisasi dengan bahasa Melayu. Pertama, kita mempertahankan pendekatan lokal kita sepenuhnya. Kedua, kita menerima menjadi global sepenuhnya. Dan ketiga, kita menyaring antara global dengan lokal (adakah ini glokal?). Saya kira pendekatan yang pertama—iaitu menjadi lokal sepenuh—mudah ditolak oleh kita, kerana ia tidak mempunyai hujah kukuh untuk dipertahankan. Menolak sepenuhnya di sini termasuklah juga dalam pengertian hal-hal yang baik. Dan ini, secara tidak langsung lantas turut bererti pendekatan ini mahu menolak kemajuan diri, masyarakat, negara, atau juga pemikiran keagamaan. Malah, kita tentu sekali tidak akan melangkah ke hadapan hanya dengan semata-mata berpaut pada pengetahuan yang sedia ada. Sebab itu, wajar kita berbahas tentang pendekatan kedua (global), serta saingannya dari pendekatan ketiga (global-lokal).

Baiklah, dalam konteks bahasa, pendekatan untuk menjadi global sepenuhnya sama ertinya dengan kita menerima penguasaan bahasa Inggeris ke atas bahasa Melayu. Lantaran itu, elok kita namakan saja kalangan ini sebagai globalis. Dan kita sedar, pendekatan ini dilaksanakan atas beberapa hujah yang lazim mereka kemukakan. Ini termasuklah, keperluan bahasa Inggeris yang digunakan secara meluas dalam akademik, perniagaan, pertadbiran, dll. Menurut kalangan globalis ini, sekiranya kita tidak menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya, ia akan menyebabkan kita ketinggalan jauh dalam memeroleh pengetahuan dari sumber pertama. Ini kerana, bagi mereka, hampir semua pengetahuan yang ada dewasa ini adalah bersumber dari bahasa Inggeris. Justeru, mahu atau tidak, tegas kalangan globalis ini lagi, bahasa Inggeris akhirnya menjadi bahasa pertama untuk kita untuk mencapai kemajuan, atau untuk kita melekaskan penguasaan pengetahuan agar kita berdiri sejajar dengan piawai dunia.

Saya kira ini hujah terkuat yang diutarakan oleh kalangan globalis. Namun, sebenarnya hujah tersebut maseh lagi tohor dan boleh ditandingi. Di sini, kita boleh semak semula fakta tentang kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengetahuan. Sebenarnya, benarkah bahasa Inggeris merupakan bahasa pengetahuan, ataupun ianya lebih bersifat bahasa penyampaian kepada pengetahuan.

Mengapa saya mempersoalkan demikian? Benar, persoalan ini tidaklah berbangkit sama sekali sekiranya memang ada bukti yang menunjukkan bahawa bahasa Inggeris adalah sebuah bahasa yang mencipta pengetahuan, terutamanya pengetahuan-pengetahuan yang besar. Ini ketara berbeza dengan bahasa Jerman (yang dikatakan mengakari bahasa Inggeris) yang begitu kaya dengan ciptaan pengetahuan dalam sains dan teknologi. Demikian juga bahasa Perancis yang kaya dalam ciptaan pengetahuan tentang kemanusiaan, sementara bahasa Hebrew, Arab, serta beberapa lagi dalam ciptaan pengetahuan tentang agama. Tetapi, bahasa Inggeris hakikatnya mencipta pengetahuan dalam bidang apa? Sekalipun ada, apakah ciptaan pengetahuan dalam bahasa Inggeris itu penting? Malah, boleh juga kita katakan bahawa dengan menyandarkan pengetahuan kepada bahasa Inggeris secara taasub, maka kentallah kecenderungan untuk kita salah-faham terhadap sesuatu pengetahuan tersebut.

Ya, kita boleh ambil saja contoh bagaimana kesesatan yang dibawa oleh bahasa Inggeris dalam fizik kenisbian. Ini jelas dipaparkan oleh Shaharir Mohammad Zain sewaktunya membentangkan kritikan padu terhadap teori kenisbian Einstein sebelum ini (2007). Di sini kita perhatikan, dari istilah zeit kemudiannya telah diterjemahkan menjadi time dalam bahasa Inggeris. Lalu kemudian, bahasa Melayu pula menggunakan istilah masa dengan merujuk kepada time. Padahal, jelas sekali bagaimana Alfred North Whitehead menunjukkan begitu larinya makna zeit yang difahami dalam bahasa Jerman dari makna terjemahannya dalam bahasa Inggeris. Jadi, kita sebagai pengguna ketiga akhirnya menambah kesilapan lagi dengan mengambil makna time untuk diterjemahkan sebagai masa, dalam keadaan makna masa sudah jauh menyimpang dari makna zeit.

Ini hanya contoh padanan istilah yang digunakan dalam fizik kenisbian. Bagaimana pula dengan penyimpangan dalam terjemahan? Sebab itu, dalam ajaran perterjemahan, kita diajar untuk kembali kepada sumber pertama dalam melakukan kegiatan perterjemahan. Dan, kita juga tahu bahawa tidak pernah wujud terjemahan per se. Sebaleknya yang ada hanyalah sebuah terjemahan-tafsiran.

Ya, itu contoh dalam bidang pengetahuan. Dan hal yang sama juga boleh diiktibari dari hal yang lain pula, mithalnya perniagaan. Soalan kita, adakah Jepun dan Korea boleh kita ketepikannya dalam perkembangan perniagaan dunia, khususnya perniagaan yang melibatkan sains & teknologi? Adakah Jepun dan Korea ketinggalan dalam arus globalisasi ekoran ketegasan mereka dalam penggunaan bahasa mereka sendiri secara meluas? Sedangkan kita tahu penutur bahasa Korea dan Jepun tidaklah sebesar penutur bahasa Melayu yang memiliki penutur sehingga 250 juta orang, yang juga dikatakan sebagai bahasa kelima terbesar di dunia. Tetapi anehnya, bahasa Melayu dewasa ini ditelan oleh bahasa Inggeris, manakala bahasa Jepun dan Korea telah diterima sebagai bahasa yang diraikan oleh masyarakat dunia.

Tapi, apa faedahnya yang diperoleh oleh Jepun dan Korea atas ketegasan mereka dalam soal pengamalan dan pengembangan bahasa mereka? Lihat di sini, bukankah pendekatan mereka akhirnya berjaya memperkenalkan budayanya ke seluruh dunia? Dari displin kerja, dari seni mereka, atau umumnya dari penguasaan meraka dalam sesuatu bidang, kesudahan mereka telah membawa keisitimewaan dan kesaratan budaya serta bahasa mereka untuk dikongsi serata dunia.

Inilah kebesaran yang mereka mahu. Inilah semangat yang mereka ingin kongsi. Mereka mahu memperkaya budaya dunia, dan seterusnya menyanggah penyeragaman dunia. Penyeragaman dunia hanyalah memperkecilkan khazanah pengetahuan dunia. Walau bagaimanapun, kita sedar, pertanyaan dan perbincangan ini akan menjadi tidak relevan jika seseorang, atau sesuatu kelompok masyarakat dan negara sudah tidak mempedulikan lagi soal budaya dan jatidiri. Jika mereka melihat budaya sebagai sesuatu yang tidak penting—yang di mana dalam budaya itu termasuk bahasa, agama, dll—maka tidak ada apa yang perlu dipertahankan, melainkan kita harus tunduk pada mereka yang lebih berkuasa.

Itu satu hujah saya. Jelas sekali saya tidak menolak globalisasi, tapi saya menyayangi keistimewaan bahasa Melayu sebagai antara khazanah bahasa utama dunia. Saya ingat lagi, sewaktu menghadiri syarahan Mohammad Khatami di Mandarin Oriental, tidak nampak ia segan untuk berbahasa Parsi—sambil dibantu dengan terjemahan. Namun, waktu itu tidaklah timbul pula persoalan ketidaksampaian mesej. Malah, tidak nampak para hadirin menjelekkan Khatami yang memang diketahui umum faseh dalam bahasa Inggeris, selain daripada bahasa Arab dan Jerman.

Sebab itu, saya katakan lagi, tidak ada alasan untuk kita rasa rendah diri pada bahasa sendiri. Bahasa—atau budaya juga—bukan halangan kemajuan. Tetapi, bersama dengan bahasa jugalah kita dapat mengumandangkan suara-suara sub-budaya dunia. Walau bagaimanapun, saya memang akui, bahawa saya tidaklah merumus persoalan bahasa Melayu-globalisasi di sini secara muktamad. Malah, hujah yang dikemukakan ini sangat terbuka untuk dibantah. Ini ditambah lagi kita belum berdebat soal sejauh mana keperluan penggunaan istilah bahasa Malaysia berbanding bahasa Melayu. Mahu guna bahasa Malaysia atau bahasa Melayu? Atau, adakah ini persoalan remeh? Kerana itu, molek jika ada yang mahu terlibat membahas dan merungkaikan di ruang ini?

Benar, warkah ini tiada noktah. Maknanya, warkah ini tidak menawarkan kesimpulan. Barangkali kesimpulan hanya cenderung membawa kita kepada amalan kukubesi sahaja. Namun, meskipun saya tidak punya kesimpulan umum, tapi saya tetap ada kepercayaan peribadi —sekurang-kurangnya sehingga setakat ini— bahawa saya bersetuju dengan satu peribahasa Melayu yang cantek: bahasa itu jiwa bangsa. Dan, bagi saya lagi, tidak pernah wujud apa itu yang dinamakan bangsa Malaysia. Bahkan, melahirkan sebuah bangsa hanyalah kerja-kerja Tuhan sahaja.

5 comments:

me,myself n all around da world said...

kita hanya membawa deligasi ilmuan dari bangsa inggeris sehingga terlupa daripada jerman,perancis,jepun dan lain-lain.makanya kita(melayu) hanya mengenal newton sbg bapa sains dan boyle dgn hukumnya.

ilmu harus diterjemah ke dlm ruang lingkup bahasa sesuatu kaum itu kerana akal-budi,kerangka idea dan kosmologi sesuatu ilmu itu harus dicetuskan oleh bahasa sesuatu bangsa itu.terjemahan ilmu dlm sesuatu bahasa kpd bahasa melayu pelulah bersifat pragmatik bg menyesuaikan dgn minda dan budaya melayu.minda melayu berbeza dgn minda mat saleh dan juga yg bermata sepet.

inilah masalahnya bila bahasa inggeris(termasuk lain-lain bahasa asing!!) dianggungkan.

Aqil Fithri said...

salaam~

terima kaseh sdr,

tapi, bagaimana untuk kita tahu/sahkan bahawa sesuatu hal yang diambil dari luar itu merupakan sesuai atau tidak? dan apa sukatan untuk kita tentukan.

kedua, saya setuju bahawa paradigma setiap bangsa adalah berbeza, malah boleh bercanggah pada keadaan2 tertentu. namun, jika ada bangsa yang mahu mengubah paradigmanya, maka di manakah salahnya pendekatan tersebut? atau ia bukan suatu kesalahan?

kemudian, selain faktor keistimewaan dan kesaratan budaya, bagaimana lagi untuk kita tunjukkan bahawa bahasa lokal/ibunda merupakan sesuatu hal yang maseh penting dalam arus globalisasi? :-)

wasalaam.

Unknown said...

Sdr Aqil Fithri;

Pendapat saya, penentuan kesesuaian itu amat subjektif. Terutamanya bila berkaitan dengan bahasa, kerana bagi saya, bahasa adalah salah satu komponen budaya yang menonjol selain cara hidup, praktis dan cara berfikir satu-satu bangsa. Kesesuaian ini cara hidup, parktis dan cara berfikir misalnya, hanya boleh ditentukan dengan apa yang diterima oleh Islam (Dalam konteks masyarakat Melayu) dan penilaiannya pula berdasarkan kemurnian ilmu yang dimiliki oleh masyarakat terbanyaknya.

Manakala, dalam konteks bahasa, kita tidak banyak pilihan, sebab Bahasa Melayu itu tergantung dengan kita, dan kita bertangungjawab atas kesinambungannya. Paradigma kita mungkin beranjak untuk 50 tahun ke depan, namun perjuangan memartabatkan bahasa kita sepatutnya tidak mati. Jika dikatakan Bahasa Melayu itu tidak global dan tidak terserap dalam arus globalisasi sepertinya Korea dan Jepun, maka salahnya hanya terletak pada lidah-lidah kita. Bahasa Melayu tidak global, kerana kita enggan menjadikannya global.Bahasa ini dinamik, hidup dan subur selari dengan pemikiran masyarakatnya.

Apapun, ini akhirnya berkaitan sikap, dan gunung boleh kita tarah lanskapnya, namun soal sikap, untuk kita 'lanskapkan' amatlah payah.

rastom said...

Hebat! Entri dan respon bab ini jelas membuktikan kepada saya bahawa bahasa Melayu memang boleh berdiri sebagai bahasa pengucapan ehwal yang bersifat globalis.

firedragon said...

blog anda amat membantu tugasan saya. masih ada ruang untuk bahasa melayu menguasai dunia sekiranya kita berani menerima perubahan dan tidak pernah takut untuk terus mencuba. terima kasih.