www.flickr.com

Wednesday, August 20, 2008

‘Kedai Baru’ Menerusi Sains Alternatif

Sejumlah 20 orang peserta dari pelbagai latarbelakang ikhtisas telah menghadhiri Bengkel Pengislaman Ilmu 2008 yang dianjurkan oleh Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM baru-baru ini. Bengkel yang bertemakan Kelemahan Sains Barat dan Usul Sains Alternatif (Islam & Melayu) tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah ATMA, Prof. Dato. Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman.

Dalam bengkel sehari tersebut, terdapat empat makalah yang telah dibentangkan di mana rata-ratanya berkisar tentang pengukuhan gagasan Pengislaman Ilmu yang cuba dikembangkan oleh ASASI selama ini. Ini termasuklah menerusi Prof Dr. Mat Rofa Ismail (UPM) yang membentangkan makalah bertajuk Kelemahan Sains Barat dan Mencari Paradigma Sains Alternatif: Satu Pandangan Peribadi. Demikian juga pembentangan kedua daripada mantan Timbalan Naib Canselor UKM, Dr. Shaharir Mohammad Zain menerusi makalahnya yang berjudul, Tabii Kaedah Sains.

Manakala dua makalah lagi pada sesi petang dibentangkan oleh pensyarah UDM, Baharrudin Zainal melalui judul Prinsip-Prinsip Astronomi dalam Tamadun Islam dan Melayu, sementara Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir, pensyarah matematik UKM pula membentangkan makalah mengenai Sistem Pembilangan/Pengiraan/Penghitungan Melayu dan Persoalan-Persoalannya.

Bengkel yang menyasarkan peserta dari kalangan mahasiswa, tutor dan pensyarah muda tersebut telah membincangkan ragam perkara yang berhubung dengan kelemahan Sains Barat, serta kekuatan khazanah ilmu dari belahan dunia Islam dan Melayu. Hal ini awal-awal lagi ditegaskan oleh Prof Dr. Mat Rofa sewaktu memulakan sesi pembentangannya bahawa antara punca kelemahan Sains Barat ialah kegagalannya yang tidak menekankan pelbagai persoalan kejiwaan dalam kebelakaan (holistic) sains mereka.

Pengarang buku Matematik Merentas Tamadun dari UPM ini juga turut memberikan beberapa contoh seperti lambakan kes bunuh diri yang banyak berlaku di negara yang barat berbanding di negara muslim, yang mana statistik ini boleh dijadikan antara tanda aras bahawa sains yang diperkenalkan oleh barat hanya terbatas dalam wajah positifisme semata-mata yang akhirnya menafikan sebarang bentuk unsur ketuhanan dalam sistem nilai mereka.

Bagi professor matematik UPM itu lagi, memang antara sains dengan tekonologi itu adalah dua perkara berbeza. Dalam aspek teknologi sudah tentu sukar untuk kita melihat perbezaan. Tapi dalam aspek sains, kata beliau, memang ada jarak yang ketara, kerana sifat sains itu sendiri yang sarat nilai, bukannya bebas nilai sepertimana yang diyakini oleh Sains Barat. Beliau menambah, “bagi mereka (Sains Barat), sains hanyalah tumpukan maklumat yang diperoleh menerusi emperikal dan perhujahan mantik yang berdasarkan kepada alam kuatitatif semata-mata, sehingga tiada unsur kualitatif yang terlibat dalam dimensi kajian sains mereka.”

Walau bagaimanapun, ketika sesi wacana, pandangannya ini telah dicabar seorang peserta bengkel yang menyatakan bahawa dalam dunia pasca-moden, pemikiran dan aliran sudah menjadi terpencar-pencar, maka sebelum kita menyebut tentang barat, maka seharusnya kita terlebih dahulu mendefinisikan apakah barat yang dimaksudkan. “Barat yang ada hari ini adalah barat yang bagaimana? Sebab barat itu banyak aliran, dan banyak pecahannya. Jadi, kita tidak boleh mengeneralisasikan semua barat yang sedia ada,” kata peserta tersebut yang juga seorang mahasiswa sarjana sosiologi di UKM.

Malah, sambungnya peserta tersebut lagi, “kalau kita melihat indeks rasuah, atau indeks demokrasi sekalipun, maka negara yang paling baik ialah negara-negara Scandinavia yang terletak di barat, bukannya negara-negara Islam. Dan kalau kita melihat negara yang paling autokratik pula, rata-ratanya negara tersebut merupakan negara Arab, yang mana sekaligus negara-negara tersebut adalah negara Islam juga.”

Namun, sebagai tanggapan terhadap apa yang dibangkitkan tersebut, professor yang mahir berbahasa Arab tersebut memetik pandangan Muhammad Asad, pengarang The Road from Mecca, juga seorang Yahudi Austro-Hungarian yang kemudiannya memeluk Islam. Menurut Asad, ungkap Prof. Dr. Mat Rofa, “sekiranya saya melihat umat Islam, tidak mungkin saya memeluk Islam.” Berdasarkan kepada rumusan Asad ini, atau nama asalnya Leopold Weiss, ini menerangkan bahawa antara Islam dengan umat Islam adalah dua perkara yang berbeza.

Sebab itu, “apabila saya menyebut Sains Barat, saya tidak merujuk kepada tempat, tetapi kepada paradigma Sains Barat yang telah menafikan unsur-unsur ketauhidan dalam sains mereka. Jadi, pengelasan (Sains Barat) yang saya buat adalah berdasarkan kepada penciriannya, bukannya geografi.” Beliau juga memetik pandangan terkini Stephan Hawking, ahli fizik kosmologi terkenal dunia, tentang rumusannya bahawa Tuhan yang wujud mestilah berada di luar ruang dan waktu, maka “ciri-ciri Tuhan yang demikian hanyalah ada pada Sains Islam, bukannya pada Sains Barat,” ungkapnya Prof. Dr. Mat Rofa.

Berikutnya adalah pembentangan oleh Dr. Shaharir Mohammad Zain, yang juga mantan Presiden ASASI. Sebelum memulakan pembentangan, beliau memohon agar selepas daripada ini, panggilan professor terhadapnya tidak lagi digunakan. Ini kerana, menurutnya, jawatan professor adalah milik universiti, dan sekarang beliau tidak lagi berkhidmat dengan mana-mana institusi akademik, maka dengan sendirinya panggilan professor tidak wajar digunakan lagi.

Dalam makalah Tabii Kaedah Sains yang diutarakannya, terdapat banyak kupasan mengenai persoalan perbezaan pendekatan yang digunakan antara Sains Barat dengan sains yang baru. Mantan professor matematik-fizik ini, yang juga seorang pejuang bahasa telah memperkenalkan beberapa istilah dalam makalahnya untuk mengindahkan lagi pandangan, seperti istilah “kaedah yang biasa-biasa”, “apeduli” (yang diambil teladan dari perkataan seperti “agama” yang bermaksud teratur/tidak kacau; manakala “gama” pula bererti kacau), “wijdan” (iaitu intuisi), dan beberapa istilah yang lain lagi.

Bagi Dr. Shaharir lagi, Sains Barat yang kita gunakan dewasa ini adalah datangnya daripada kaedah sains yang biasa-biasa, jadi untuk kita memperoleh sesuatu penemuan baru, maka kita seharusnya lari dari kaedah konvensional ini. Maksudnya, seorang penyelidik, atau juga seorang saintis, seharusnya mempunyai sifat radikal, iaitu berani masuk ke kawasan-kawasan gelap, dan tidak sekadar berdaur dalam batas-batas sains normal.

Kawasan gelap yang dimaksudkan di sini ialah, antaranya adalah agama. Jadi, bagi penulis buku Pengenalan Sejarah dan Falsafah Sains yang menjadi teks di Gerhard Mercator-Universität Duisburg tersebut, sikap keradikalan ini perlu untuk membantu kita mendapatkan alternatif baru dalam pencarian ilmu kita. Justeru itu, beliau menganjurkan agar para penyelidik selepas ini menggunakan kaedah sains yang tidak biasa pula, seperti kaedah intuisi/wijdan, kaedah heuristik, kaedah penentangan, atau kaedah mimpi sekalipun, selain daripada dua kaedah lazim iaitu kaedah aruhan dan kaedah deduksi.

Dengan alihan pendekatan kaedah ini, barangkali dapat membantu para penyelidik membina pengetahuan dan daya kreativiti baru. Jadi, “mengapa kita takut untuk membuka ‘kedai baru’?,” soal Dr. Shaharir. Dan apa yang dianjurkan oleh beliau, yang pernah menyampaikan syarahan keprofessoran dengan tema Simbiosis Antara Sistem Nilai dengan Tabii Matematik ini nampaknya sesuai dengan anjuran kaedah penentangan Feyerabend yang mengesa penyelidik untuk tidak takut membuat hipotesis dan idea yang bertentangan dengan pendekatan yang biasa-biasa. Malah, kerana sifatnya yang mencabar ini, pendekatan ini kadangkala disebut sebagai kaedah anarkis.

Namun begitu, Dr. Shaharir yang kini sedang menyiapkan buku terbarunya, Kelemahan Teori Quantum dan Teori Kenisbian ini turut mengingatkan, “untuk membuka ‘kedai baru’ yang mencabar Sains Barat ini, kita kena balek kepada qalbu. Kita kena tanya nilai kita. Sebenarnya kita hendak buat apa? Hendak kaji ini untuk apa? Ini semua adalah persoalan-persoalan nilai. Jadi, aras pertama dalam sains ini sudah penuh dengan nilai, dan kalau penyelidik itu muslim, tajuk penyelidikan yang datang mungkin lain dengan orang yang bukan muslim. Maksudnya, benda yang mahu dikaji oleh muslim adalah berbeza,” ujar Dr. Shaharir yang diketahui pernah menolak tawaran professor emeritus sebelum ini.

Di samping itu, mantan professor yang berkhidmat pada tahun-tahun terakhirnya UMT ini turut menekankan bahawa aspek intuisi dalam penyelidikan sains adalah sesuatu aspek yang telah diabaikan oleh paradigma Sains Barat. Padahal, kata beliau, hampir semua sarjana besar di barat memperoleh idea-ideanya dari intuisi. Beliau memberi contoh bagaimana Henri Poincare, seorang sarjana matematik-fizik dari Perancis yang lebih awal memperkenalkan prinsip kenisbian berbanding Albert Einstein, telah banyak dipengaruhi dengan kaedah intuisi dalam penyelidikannya. Bahkan, ujar Dr. Shaharir lagi, Poincare tersebut telah menulis sebuah makalah khusus mengenai intuisi, iaitu Intuition and Logic in Mathematics.

Selain intuisi, beliau turut membangkitkan persoalan mimpi. Meskipun mengakui bahawa mimpi “yang berilmu” ini bukanlah aspek yang mudah untuk diperoleh, atau disahkan kebenaran, tapi dalam beberapa perkara hakikatnya mimpi boleh juga membantu dalam pemerolehan ilmu. Sambil berkongsi pengalamannya sewaktu melakukan Ph.D, yang mana dua tahun pertamanya banyak dihabiskan hanya untuk berfikir sahaja, tetapi akhirnya mimpi membantunya untuk menyelesaikan intuisinya tentang sahnya berlaku tindakan terkecil quantum. Dan, menurut Dr. Shaharir lagi, “itulah pengalaman pertama dan mungkin terakhir baginya!”

Pada sesi petang pula, Bengkel PengIslaman Ilmu 2008 ini disambung dengan pembentangan mengenai astronomi dalam pengalaman Islam dan Melayu oleh Baharrudin Zainal, seorang pensyarah dari UDM. Walaupun dalam makalah yang dianggap oleh sebahagian daripada perserta sebagai lebih teknikal berbanding dengan makalah-makalah yang lain, namun pakar dalam ilmu falak syarie ini dilihat berjaya memyampaikan pandangannya dalam bahasa yang termudah.

Beliau cuba memberi penekanan terhadap kekuatan khazanah Melayu yang sebenarnya amat kaya dengan ketinggian pengetahuan dalam ilmu astronomi ini. Untuk mengukuhkan pandangannya beliau memberi contoh beberapa buku awal dalam Tamadun Melayu yang menyentuh mengenai ilmu astronomi ini, seperti Pilihan Mastika (oleh Haji Muhammad Nur bin Ibrahim), Syamsul Fattiyah (oleh Haji Umar Ismail Nurudin, al-Khulasatil Wafiyyah (oleh Syeikh Zuber Umar al-Jailani), dan beberapa lagi.

Sementara dalam pengalaman astronomi Islam pula, sudah tentu lebih kaya dan terserlah lagi. Pensyarah Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UDM ini telah menghuraikan rentang sejarah perpindahan ilmu astronomi dalam rentas tamadun, dari Yunani hingga Islam dan berpindah pula ke Eropah pula, di samping aplikasi astronomi dalam tamadun-tamadun tersebut.

Di samping itu, beliau yang juga sedang menyiapkan Ph.D di UPM ini menyatakan bahawa selepas kematian Ulugh Beg iaitu seorang ahli astronomi Islam, banyak koleksi penulisannya yang dibawa ke Eropah oleh Ali Kushchi sehingga telah mempengaruhi perkembangan ilmu di Eropah, sekurang-kurangnya bermula dari abad ke-17M. Bahkan, nama-nama besar dalam bidang astronomi yang terawal di Eropah seperti Tycho Brahe, Jan Hevelius masing-masing menggunakan kitab-kitab dari Ulugh Beg yang dibawa dari Samarkand.

Namun, bila ditanya oleh seorang peserta, mengapa di dunia Islam amnya, dan di Alam Melayu khususnya, pencapaian ilmu dan ujikaji astronomi kita dewasa ini tidak berada sekurang-kurang setaraf dengan pencapaian barat, walhal pengalaman Islam dan Melayu didakwa lebih awal dari mereka, maka beliau merumus bahawa terdapat beberapa faktor yang membantutkan pencapaian Islam dan Melayu. Mithalnya yang paling ketara ialah, kebanyakan waktu dalam abad-abad terakhir umat Islam dan Alam Melayu adalah dihabiskan masa untuk melawan penjajahan, sehingga terabai soal-soal untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang astronomi.

Sementara pembentangan terakhir disampaikan oleh Dr. Mohammad Alinor, pensyarah matematik di UKM. Meskipun datang dari latar sains tulen, atau dalam istilah lainnya, sains pasti, Dr. Mohammad Alinor mutakhir ini banyak menumpukan penyelidikannya mengenai kekuatan kepengetahuanan dalam rumpun Melayu sebelum kedatangan Islam. Muatan makalahnya tentang pembilangan/pengiraan/perhitungan Melayu ini memaparkan bagaimana penguasaan epistemologi yang terdapat dalam tamadun awal Melayu, di samping secara tidak langsungnya menambah-nilai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Dr. Mohammad Alinor, yang dalam waktu yang sama juga penyelidik bersekutu di INSPEM, UPM telah memberikan satu contoh bagaimana dalam Tamadun Melayu lebih awal mengupas persoalan-persoalan matematik seperti nombor bulat (integer) yang mana fakta ini tercatat dalam prasasti (batu bersurat) semenjak abad ke-4M lagi, manakala dalam bentuk manuskrip pula semenjak abad ke-16M. “Dengan bukti ini saja,” kata Dr. Mohammad Alinor lagi, “merupakan suatu pencapaian bangsa yang besar yang telah dinukilkan sebenarnya, tetapi sayangnya hari ini kita tidak begitu yakin kepada kekuatan tamadun kita. Jadi, tidak ada siapa (penyelidik) yang mahu mengodak khazanah pengetahuan ini.”

Di samping itu, lulusan Ph.D (Topologi) dari University of Wales ini turut membangkitkan mengenai hipotesis bahawa nombor kosong yang terawal yang ditemui adalah daripada Tamadun Melayu, bukannya di India sepertimana yang didakwa oleh al-Khawarizmi. Beliau memberi contoh bagaimana terdapat prasasti di Funan dan Chenla yang mencatatkan nombor “0” sebanyak 17 kali berbanding di India hanya sebanyak 6 kali sahaja. Malah, simbol “0” dalam prasasti yang bertarikh 580M itu adalah lebih tua 14 tahun daripada di India. Jika di India, nombor “0” dikenali sebagai istilah “sunyi”, sebaleknya di Funan dan Chenla mengenalinya sebagai “soh”, namun kemiripan fonologi ini belum berjaya dibuktikan.

Bila bercakap tentang angka atau matematik ini juga, terdapat seorang peserta semasa sesi wacana yang membangkitkan persoalan mengenai apa perbezaannya antara angka dalam Islam dengan angka dalam Sains Barat. Sebab baginya, ia tidak melihat sebarang perbezaan antara aturcara 1+1=2 dalam Sains Islam dengan aturcara 1+1=2 dalam Sains Barat. Masing-masing adalah serupa saja. Untuk menangani persoalan tersebut, Dr. Mohammad Alinor berkata bahawa aturcara 1+1=2 adalah tidak boleh diuji, sebab kita tidak boleh mengambil contoh yang sebegitu mudah.

Namun, tegas Dr. Mohammad Alinor, kita boleh uji dengan aturcara atau konsep yang lebih susah lagi, contohnya infiniti. Dalam tamadun Islam, infiniti ini siapa (bukan apa)? Manakala dalam tamadun sekular, infiniti ini pula apa (bukan siapa)? Jadi, ini yang sebenarnya mengugat persoalan angka itu, bukannya ‘ilmu melonggok’ yang dibuat oleh para penyelidik sekarang. Beliau memberi contoh, bagaimana Ikhwan al-Safa' yang mempunyai paradigma Sains Islam telah yang menulis daripada sifar kepada infiniti, dan nombor sifar ditulis pada terakhir kerana ia merupakan perlambangan kepada Tuhan.

Setelah semua empat pembentangan dibentangkan, Bengkel Pengislaman Ilmu 2008 ini berakhir dengan sesi taklimat mengenai kumpulan-kumpulan penyelidikan yang telah dibentuk oleh ASASI. Menurut Dr. Mohammad Alinor, yang juga Setiausaha Agung ASASI, setakat ini ada beberapa kumpulan penyelidikan di ASASI, tapi yang tampaknya bergerak hanyalah kumpulan penyelidikan matematik, dan sedikit dari kumpulan penyelidikan fizik. Jadi, sesuai dengan hasrat bengkel ini, kata Dr. Mohammad Alinor, ASASI amat mengharapkan ada di kalangan perserta yang dapat terlibat dalam kumpulan-kumpulan penyelidikan ini, sehingga terbinanya ‘kedai-kedai baru.’

Sewaktu menutup Bengkel Pengislaman Ilmu 2008 tersebut, Dr. Mohammad Alinor turut memperkenalkan laman sesawang yang dibangunkan oleh ASASI, iaitu www.kesturi.net. Menurutnya, sebarang perkembangan dan aktiviti ASASI selepas daripada ini akan dimuatkan dalam laman sesawang tersebut. “Jadi, dengan adanya kemudahan interaktif seperti ini, adalah diharapkan khalayak dapat menyedari bahawa terdapat suatu gagasan alternatif yang cuba dikemukakan oleh ASASI kepada sistem nilai penyelidikan kita,” ujar Dr. Mohammad Alinor dengan nada penuh harapan.

3 comments:

Anonymous said...

6.30 - start baca

7.28 - habis baca

Hebat-hebat!

Anonymous said...

6.30 - start baca

7.28 - habis baca

Hebat-hebat!

nota untuk Syiah said...

syeikh, kirim salam kat Dr Alinor. Meeting esok pukul berapa. Malam ni ada ada deadline di Harakah.

Takut tak sempat pi sana.