www.flickr.com

Thursday, September 11, 2008

Kuhnan

Paradigma bukan istilah asal dari Thomas Samuel Kuhn (1922-1996).


Barangkali kebetulan, Kuhn hanya memperkenalkannya, lalu popular. Walhal, sebelum itu Ferdinand de Saussure turut mengungkapnya dalam linguistik. Kitab Kuhn yang paling tersohor, The Structure of Scientific Revolutions (1970) adalah merujuk kepada penjelasan bagaimana revolusi boleh tercetus dalam bidang sains. Idea Kuhn ini sememangnya berpengaruh, malah nukilannya tersebut antara yang paling kerap dirujuk dalam bidang falsafah sains.

Tapi, apakah sebenarnya sari idea Kuhn ini? Menurut profesor falsafah MIT tersebut, sudah menjadi resmi sains—untuk sentiasa meningkatkan ketajaman hujah serta ketekalan wawasannya. Proses untuk mencapai kematangan tersebut menuntut kepada ledakan beberapa peristiwa, sebelum berlakunya alihan keseluruhannya. Jadi, bagi Kuhn, setelah sempurna alihan ini, maka demikianlah yang dinamakan sebagai anjakan paradigma. 

Walau bagaimanapun, pada Kuhn, untuk memahami tataran sains, serta sebarang anjakannya, maka kita tidak boleh memerhatikan secara individu semata, sebaleknya harus menyorot secara kelompok, agar setiap rumusan yang dilakukan lebih lengkap dan sepadu. Di sini, jelas sekali Kuhn menggunakan pendekatan sosiologi, atau kemasyarakatan. Hasilnya, buat pertama kalinya ranah sosiologi ditakluk oleh sains.

Kuhn tidak henti setakat itu. Seraya magnum opus-nya tersebut menghuraikan lagi, bahawa sains itu merangkumi dua fasa, yang akhirnya silih diganti. Fasa pertama ialah pra-sains, di mana suatu fasa yang menakrifkan keadaan sebelum munculnya zaman sains. Ketika tahap awal ini, fasa pra-sains punya aneka perspektif tentang alam ini, sehinggakan tiada satu darinya yang begitu menyakinkan.

Namun, dalam beberapa waktu kemudiannya, satu dari perspektif alam tersebut menjadi berkuasa, dan menundukkan perspektif-perspektif yang lain. Alihan ini berlaku bila wujud satu keadaan di mana terdapat satu paradigma yang telah dikongsi dan disepakati secara bersama di kalangan kelompok tersebut. Maka, paradigma mula beranjak, dari pra-sains kepada sains-normal.

Kita boleh membuat mithalan. Jika sebelum ini, iaitu ketika zaman renaisan di Eropah, perspektif Cartesan berjaya menggusur perspektif Aristotelian, kini sains normal pula dimiliki oleh perspektif Einsteinan dan seterusnya menyisihkan perspektif Cartesan. Proses ini kemudiannya silih berganti.

Namun, perlu dikemukakan juga, Kuhn tidak pernah mengutarakan istilah "masalah" bagi mengambarkan konflik yang muncul sebelum beralihnya satu paradigma baru ini. Kuhn ternyata senang menggunakan istilah "tekasuai." Di samping itu juga, Kuhn turut menggunakan istilah "anomali" bagi menerangkan wujudnya kesan-kesan ketidaksesuaian di antara dua paradigma tersebut. Dan, menerusi anomali inilah, wujudnya dampak negatif yang kelak menimbulkan krisis.

Jadi, dewasa ini kita sudah melihat suatu paradigma baru terbentuk ekoran daripada ketidaksempurnaan paradigma lama, dan lazimnya suara-suara paradigma baru diusung oleh generasi yang lebih kemudian. Mudahnya, kita boleh saja wakilkan idea Kuhn ini menerusi: (paradigma A ---> krisis ---> paradigma B).

Justeru itu, sudah tentu menerusi perspektif rakitan Kuhnan ini, tiada satupun paradigma yang berhak untuk mengaku mutlak perspektifnya! Kini, tatkala menoleh zaman kita, tampaknya apa yang dirumuskan oleh Kuhn ini agak berpadanan, apatah lagi setelah melihat ketidaksenangan sains barat dalam menerima hukum kemutlakan. Inilah yang ketara sekali ditegaskan oleh William James, filsuf besar pragmatisme, dalam The Meaning of Truth, atau dalam bahasa Jacques Derrida, undecidability.

Tapi, persoalannya—seperti anutan kalangan Kuhnan sendiri—apakah memang benar segala-galanya itu bersifat nisbi?

2 comments:

Rausyanfikir said...

Saya rasa worldview lebih baik dan fokus berbanding paradigma. Sbb seperti yg ditulis tadi paradigma lebih menggambarkan askep sosiologi. Betul ke?

Aqil Fithri said...

shalom,

benar. meskipun paradigma itu lebih teknikal, dan cuba untuk 'berlagak' sepadu, tapi ungkapan weltanschuung atau world view lebih sesuai dalam mengambarkan keseluruhan.