Kiri sahaja—maksudnya tanpa kanan—sudah melukiskan kemiringan idealogi.
Tapi, kiri atau kanan bukanlah soalnya di sini. Soal yang lebih penting dari dari mana-mana sebaran idealogi ialah bagaimana untuk melepaskan diri dari hagemoni; sama ada hagemoni atas nama ketuanan Melayu, mahupun atas nama ketuanan Islam. Itulah penegasan yang terbit dari Hishamuddin Rais dalam Forum Kiri: Apa Selepas Permatang Pauh?, anjuran Parti Sosialis Malaysia (PSM) baru-baru ini.
Selain tokoh kiri tersebut, forum ini turut melibatkan empat panelis lain iaitu, Stevan Gan, Badrul Hisham Shaharin, Dr. Jeyakumar Devaraj, dan Ir. Khalid Abdul Samad.
Pembicara pertama, Stevan Gan, telah mengupas mengenai wujudnya ketidakseimbangan pendekatan dalam Pakatan Rakyat (PR). Bagi ketua penyunting sebuah berita internet paling popular di Malaysia, Malaysiakini, fenomena ini begitu ketara diperhatikan dalam beberapa kes, terutamanya perbezaan pandangan PR dalam menangani konsert Avril Lavigne yang diadakan pada malam yang sama dengan forum ini (26 Ogos 2008).
Ini baginya, secara zahirnya memang ada sesuatu di aras bawah yang masih belum selesai lagi dalam permuafakatan PR. Bagi Stevan lagi, jika keadaan ini tidak ditangani dengan elok, maka sudah tentu kelak ia bakal mengundang ketidakselesaan kepada rakan-rakan komponen PR yang berbeza idealogi. Jadi, semua aspek ini harus diselesaikan terlebih dahulu sebelum ia mengundang ketidakstabilan dalam PR.
Walau bagaimanapun, Badrul Hisham sebagai pembicara kedua, memberikan gambaran yang lebih muluk, dan lebih cenderung memikirkan soal yang terdekat. Maksudnya, bukan soal “perbezaan/selepas,” tapi soal “persamaan/sedang/sebelum.” Ahli MPT Keadilan ini memulakan bicaranya tentang Permatang Pauh.
Baginya, pilihanraya kecil Permatang Pauh 26 Ogos lalu membawa tiga tanda besar—pertama, rakyat sudah mula menolak politik fitnah; kedua rakyat sudah mula menolak politik perkauman; dan ketiga, rakyat sudah mula menolak politik santa claus.
Beliau yang turut berkubu selama dua minggu sebelum pilihanraya kecil tersebut mengakui bahawa strategi awal PKR sendiri, ialah untuk turut sama memainkan isu serangan peribadi. Tapi untungnya, PKR lekas insaf, dan sempat memikir ulang bahawa kaedah character assassination ini sering tidak bertahan lama.
Akhirnya, kata anak muda yang dikenal akrab dengan Ezam Mohd Nor ini, PKR mula amik sikap untuk mengutarakan pengisian agenda, berbanding dengan kaedah politik demikian. Baginya, pendirian inilah yang kemudiannya telah dihargai secara matang oleh khalayak Permatang Pauh.
Rakyat, katanya yang juga pencabar Khairy Jamaluddin di Rembau pada pilihanraya umum ke-12 lalu, tidak lagi mudah terbeli dengan lapis-lapis cakap, yang mana pendekatan ini sering dimainkan oleh Umno/BN. Rakyat juga, hari ini sudah arif, dan mula menuntut suatu sikap dan keputusan yang seragam dalam berdepan dengan semua kaum, atau apa-apa jangkauan kelas yang lain.
Namun, apa yang menarik dari Badrul Hisham ini ialah, bagaimana beliau membongkar terhadap apa yang sebenarnya bergolak PKR sendiri, iaitu sewaktu menjelang pilihanraya umum Mac lalu. Beliau sendiri, bahkan hampir semua MPT sendiri, awalnya tidak percaya apabila Ketua Umum PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim berani meramalkan bahawa PKR akan memerintah di Selangor setelah pilihanraya umum ke-12. Persoalannya, kata Badrul Hisham, apa sukatan yang digunakan Anwar, sehingga mampu melampaui jangkaan analisis-analisis lain?
Di sinilah, kelebihan Anwar. Baginya, Anwar lekas menyedari bahawa terdapat arus kesedaran rakyat, dan arus seperti inilah yang akhirnya akan mengatasi mana-mana mekanisme yang kebal sekalipun—wang, jentera, media, dll.
Jadi, Anwar memang lebih peka dengan arus perubahan ini, di mana ia merupakan suatu kepekaan yang mengatasi banyak politikus lain, termasuklah di kalangan pembangkang sekalipun! Kelebihan Anwar inilah yang meletakkannya sebagai politikus yang istimewa. Bahkan, baginya, Anwar memang seorang pejuang sejati. Dan, sifat seorang pejuang sejati adalah lebih rela untuk memilih prinsip,sehingga sanggup mengorbankan kesenangan.
Mithalnya, beliau mengimbas kembali saat Anwar di mana bertarung menentang Dr. Mahathir pada tahun 1998. Sambil berseloka, beliau fikir, “jika Anwar memilih untuk beralah pada tindakan bail-out yang diarahkan oleh Dr. Mahathir Mohammad untuk menyelamatkan anak-anaknya, maka sudah tentu sekarang Najib Tun Razak akan menjadi ketua kampong di Pekan,” katanya sehingga mengundang gelak hadhirin.
Manakala pembicara ketiga ialah Dr. Jeyakumar Devaraj, wakil dari Parti Sosialis Malaysia. Menurut beliau, hingga kini sudah empat kali Umno/BN memainkan isu perkauman. Malah, baginya lagi, politik perkauman yang digegerkan oleh Umno/BN ini merupakan kemahiran politik lapuk, yang telah diamalkan terutamanya pada tahun 1946, 1969, 1987 dan 1999.
Lalu, beliau bertanya mengapa Umno/BN sampai begitu tandus strategi dan sering kembali kepada politik semacam ini bila diasak? Menurut penumpas gergasi Datuk Seri Samy Vellu di Sungai Siput ini, ada beberapa faktor yang mempengaruhinya.
Pertama, kerana Umno/BN telah memprakasai sebuah kerajaan DEB yang dari dasar tersebut terbentuk elit-elit kapitalis Melayu. Kedua, kerana pendekatan kerajaan terutamanya pada masa Tun Abdul Razak lebih cenderung menggunakan kaedah sosial-demokrat, berbanding dengan kerajaan waktu kini yang cenderung kepada neo-liberal. Dan ketiga, kerana sekarang Umno/BN terlalu lekat dengan aneka unsur yang bersifat nepotisme, kronisme dan rasuah.
Ketiga-tiga faktor ini mendorong Umno/BN untuk nekad melakukan apa saja demi mengekalkan tradisi ini. Sekarang baginya, Umno/BN sudah merasai derita terbeban dalam menanggung dampak atas amalannya menindas ini. Mereka sudah tertekan sama ada secara dalaman mahupun secara luaran.
Dulu, kata Dr. Jeyakumar—sembari berseloroh dan memandang Hishamuddin Rais, atau sering disapa sebagai Isham saja oleh mereka yang karib, “barangkali dulu kontrak yang saya bekalkan dapat diberikan kepada kroni saya dan kroni Isham. Tapi sekarang, kerana ekonomi meleset, kroni Isham sudah tidak dapat lagi. Maka, sudah tentu Isham dan kroni-kroninya akan mengamuk.”
Katanya, contohnya di atas merupakan antara tekanan dalaman yang dihadapi oleh Umno/BN waktu ini. Alternatifnya, beliau memberikan analisis Marxisme sebagai jalur penyelesaian terhadap permasalahan ekonomi waktu ini, iaitu berkaitan soal pasaran-permintaan-kebajikan rakyat.
Meskipun begitu, Dr. Jeyakumar mengakui bahawa antara PSM dengan Anwar Ibrahim memang terdapat pertembungan idealogi yang besar—seperti tentang FDI, amalan sistem ekonomi, dll—namun ia tidaklah menjadi aral buat PSM untuk terus bersatu di bawah payung PR—demi untuk menumbangkan kebobrakan yang lebih besar.
Baginya lagi, perbezaan idealogi yang wujud ini tidak seketara berbanding perbezaan antara PR dengan BN. Pertama, BN sendiri sudah terlalu sukar untuk dibersihkan, Manakala kedua, BN terus bersikap mengekalkan akta-kata yang menindas yang ditentang lama oleh PSM, dan ketiga amalan politik perkauman BN yang sangat diskriminasi.
Kemudian Forum Kiri ini diteruskan dengan pembicara berikutnya. Hishamudin Rais yang sebelumnya telah diseloroh oleh Dr. Jeyakumar. Isham, sebelum memulakan bicara panjang jujur mengakui, bahawa iaitu selama hidupnya memang beliau tidak pernah mengundi dalam mana-mana pilihanraya umum. “Saya tidur ketika hari mengundi,” kata Isham yang mengundang ketawa hadhirin.
Meskipun begitu, Isham mengesa bahawa detik inilah peluang terbaik untuk PR mengambil-alih kerajaan, dan peluang ini tidak harus dilepaskan. Sempena di ambang bulan Ramadhan ini, Isham menamsilkan istilah peluang ini sebagai laylatul qadr, yang hanya sekali saja turun. “Jadi, PKR, atau PR mesti segera ambil-alih negara!,” tegas Isham dengan begitu tekad.
Walau bagaimanapun, Isham turut memberikan beberapa analisa tersendiri. Setelah 8 Mac 2008 dulu, awalnya beliau ada perasaan romatis melihat terhimpunnya tiga nuansa besar, PKR, PAS dan DAP dalam satu naungan. Namun, beliau fikir pandangan itu satu adalah suatu kekaburan, atau suatu kesilapan juga. Ini kerana, seperti Stevan Gan juga, memang ada garis besar yang jika gagal diperhalusi antara ketiganya, maka akan membina keretakan dalam PR kelak.
Selain itu, Isham juga tidak bersetuju terhadap pandangan bahawa idea politik perkauman itu sudah mati sepanuhnya. Baginya, politik masa depan yang ingin sama-sama kita bina ini tampaknya bukan kembali kepada rakyat, tapi cuba diubah nadanya kepada Ketuanan Islam, sepertimana yang dibeberkan oleh PAS. Manakala, di sisi yang lain pula, ada sebuah ketaasuban sehingga barangkali munculnya kata-kata maksum di bibir rakyat, “hidup Anwar!”
Jadi, di sisi lain, politik kesukuan seperti ini memang tidak pernah selesai. Hagemoni yang didobrak oleh PR ini bukannya dimiliki oleh ketuanan rakyat, tapi seperti mahu dirampas atas nama Ketuanan Islam. Jadi, bagi Isham, “jangan ada romantisme idea… dan harus hati-hati dengan gagasan Ketuanan Melayu, kerana di situ ia akan bercampur dengan Ketuanan Islam.”
Malah, ungkap Isham, akhirnya, selepas ini hakikatnya tiada apa-apa juga yang berubah untuk dinikmati rakyat. Yang terpapar ialah sebuah pertempuran untuk mewakili Tuhan; bukan lagi pertempuran bangsa, ataupun apa-apa pun. Baginya, “…ini lebih dashyat… di mana Islam adalah the next one!” kata Isham sewaktu menghuraikan rintik-rintik perubahan tersebut.
Tapi, romantisme atau kenangan memanglah sesuatu yang indah. Tapi barangkali juga sesuatu yang menyebukan juga. Pembicara kelima, Ir. Khalid Abdul Samad, yang mewakili atas kapasitinya dari PAS, tampaknya tidak mahu sebu, tapi lebih gemar melihat aspek yang lunak, dan tentunya yang lebih enak.
Beliau seperti Badrul Hisham sebelumnya, percaya bahawa jalan PR ke Putrajaya sudah kian hampir. Beberapa tanda telah terpapar—seperti kegagalan untuk mendapatkan tandatangan seluruh MP Sabah, peruntukan belanjawan istimewa untuk negeri Sabah, dll yang mana ini semua jelas memberi makna tentang tanda perubahan politik raksasa ini.
Cuma, apa yang harus difikirkan oleh PR waktu ini ialah, “bagaimana untuk menyakinkan YDP Agong bahawa sememangnya ada pusingan sokongan terhadap pemerintah Umno/BN ini,” kata ahli parlimen Shah Alam tersebut.
Meskipun beliau mengakui bahawa ada perbezaan ketara antara PAS dan DAP, tapi persoalan tersebut sebenarnya boleh diuruskan. Apa yang harus diuruskan waktu terdekat ini ialah soal pemuafakatan manifesto bersama, dan tampilkan mekanisme yang masing-masing boleh sepakati. Apa yang penting sekarang ialah, “PAS tetap akan bersama PR,” kata yang cuba menyakinkan hadhirin.
Justeru itu, daripada kelima-lima pembicara di atas, ternyata sisi perubahan adalah menuntut wacana yang halus, dalam kerangka mengisi penaklukan politik terbaru. Kalau dalam analisis hasil perubahan Marxis, dampak atas nama sebuah perubahan sering disekutukan dengan ungkapan, "banyak revolusi akhirnya menelan anak-anak revolusi sahaja."
Jadi dari nada rangkuman kelima-lima pembicara—termasuk PAS lebih-lebih lagi—masing-masing tidak harus mengelak untuk memikirkan kemaslahatan yang lebih akbar, sepertimana kelapangan sikap yang ditontonkan oleh PSM terhadap PKR. Masing-masing berbeza idealogi, tapi akhirnya bergabung atas tema perubahan untuk rakyat, demi mencari sebuah keputusan pemerintahan terbaik!
Tapi, sebelum itu, apakah harfiahnya sebuah "pemerintahan terbaik?" Apakah kita mahu nukilkan wawasan Cicero (106-43SM) bahawa, “pemerintahan yang terbaik ialah pemerintahan yang mengabungkan sistem monarki, aristokrasi dan demokrasi?” Barangkali benar begitu bila kita melihat kepada tuntutan kehalusan perubahan dewasa ini. Barangkali juga tidak.
Tapi, yang pasti, kebenarannya sekarang, dan kebenaran buat selama-lamanya—kiri dan kanan takkan sempurna, jika disisihkan salah satu antaranya!
Friday, September 5, 2008
Rintik-Rintik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment