www.flickr.com

Tuesday, October 14, 2008

Shanti, Shalom, Salaam…

---> Disalin dari Diskopi, sebuah perkumpulan wacana yang rentas fikiran.

Jika kau melarikan diri dengan harapan kedamaian dan kesenangan,
Dari itu kau akan menderita kerugian,
Takkan ada harta kekayaan tanpa perangkap dan kezaliman,
Takkan ada kedamaian kecuali penyerahan jiwa seluruhnya kepada Tuhan — Rumi, Mathanvi

Islam sering diitlakkan.

Dewasa ini, pengitlakan (generalisasi) yang sering dilakukan terhadap Islam ialah kaitannya dengan keganasan. Teks-teks agung Islam telah tegaskan; tiada tajaan pada sebarang keganasan! Justeru, Islam, atas nama agama, tidak harus memikul beban ini.

Islam, sama seperti agama-agama lain—Kristian, Yahudi, Buddha, dll—adalah agama kedamaian. Tidak pernah ada ajaran dari mana-mana teks agung dalam agama tersebut yang menganjurkan pemaksaan dan penundukan kuasa politik.

Tapi, seperti tamsil Sahara—kita boleh mengeluarkan kanak-kanak dari gurun, tapi kita tidak boleh mengeluarkan gurun dari kanak-kanak. Begitu juga agama.

Agama, meskipun menekankan kedamaian, sering saja dihambat dengan ketidaksejajaran antara praktik dan teori. Kita memang boleh mengeluarkan muslim dari Islam, tapi kita tidak boleh mengeluarkan Islam dari muslim. Sekarang, agama telah menjadi sulit difahami. Dan, sekali lagi, tafsiran mulai dipermasalahkan.

Tafsiran memang merumitkan. Islam bukan sekadar mengalaminya, sebaleknya turut menanggung beban sejarahnya.

Kita maseh ingat, bila Sepanyol menjajah Filipina, dan membawa misi penyebaran Kristian secara paksa, serta menghancurkan Kesultanan Sulu, tiada ungkapan keganasan yang mengambarkannya.

Bila Katolik Sepanyol menghancurkan Umayyah di Semenanjung Iberia, dan memaksa Yahudi memelok Kristian, tiada siapa yang memanggil istilah keganasan. Bila bangsa Eropah Utara diperangi, dan dipaksa meninggalkan agama kuno mereka, tiada siapa yang tahu itu juga merupakan keganasan.

Tapi, mengapa setelah 11 September 2001, Barat cenderung melihat Islam sebagai agama keganasan, sampai timbulnya momokan Islamofobia? Apakah benar, ungkapan Islam sebagai “agama pedang” terus kekal dalam ingatan sebahagian besar masyarakat Barat?

Jika benar, sekali lagi Barat terperangkap dengan pengitlakan. Hanya melihat Islam menerusi satu komuniti muslim yang terpinggir. Islam tradisional yang begitu melata, yang mewakili majoriti muslim, akhirnya terbenam dalam bakaran kata-kata dari ghetto di Tora Bora.

Ternyata, ramai yang gagal untuk berfikir jernih, dan kerap tertabir dengan permainan tafsiran. Namun, kita harus sedar, ada satu tafsiran agama yang utuh bersemadi dalam mana-mana agama: kedamaian. Semua agama bermula dengan kedamaian, dan ingin mengakhirinya dengan kedamaian.

Tapi, hairannya, mengapa agama terus dianggap sebagai musuh kepada kedamaian?

1 comment:

Anonymous said...

sufi mustika berkata:
kerana itu wajar bagi kita pada masa ini pembersihan Islam ini dari sudut lain.

kita punya banyak cara. frum, diskusi, debat, dan sebagainya.
panggil wakil kerajaan yang menuduh Islam agama keganasan dan ajak mereka berbahas.

jangan pula bila negara Islam kita diserang kita melakukan demostrasi, fikir baik2. apakah Amerika pernah menghentikan penjajahan setelah kita berdemonstrasi.

ini zaman manusia guna otak bukan guna tenaga. bila kita berbahas, berdiskusi, berforum, masyarakat dunia akan menilai sendiri apakah Islam itu agama keganasan dan tersebar melalui pedang. maka sekalipun saudara kita banyak dijajah namun musuh pasti gagal dalam menipu masyarakat.

Islam pernah naik dan dijatuhkanoleh kealpaan umat ini sendiri dan ini tugas kita nak naikkan semula.

Islam agama yang datang dengan hujah dan dalil bukan dengan emosi.
proses ini berjalan lambat atau cepat bukan persoalannya. tetapi yang perlu kita fikirkan, apa yang sudah dibuat untuk agama ini.