www.flickr.com

Thursday, November 27, 2008

Islam Liberal Yang Tidak Cukup

Terus-terang, saya lebih gemarkan wawasan Mohamed Imran Mohamed Taib. Tanpa sedar, ada jalur-jalur ide yang terjalin meriah.

Ketika di SEAMUS, ternyata ide dari rakan The Reading Group lebih terasa dekat berbanding ide dari rakan Jaringan Islam Liberal (JIL). Mereka lebih berdikari, lebih kefalsafahan, dan lebih santun pada tradisi. Setakat ini, saya merumuskan bahawa JIL sebenarnya punya beberapa kelemahan yang sangat mendasar, atau apa yang diungkapkan oleh seorang teman, cenderung untuk ¨berjiwa hamba.¨ Barangkali teman ini perasan, ada beda ketara dalam pendekatan muslim kalangan Asean. Jika Thailand dan Filipina maseh bergelut untuk dihargai kewujudan oleh negaranya sendiri, sebaleknya Malaysia, Singapura dan Indonesia pula berbeda. Tiga negara ini tampaknya terpencar sewaktu menyambut ´tangan luar´--antara; berdikari, hasrat dua-hala, dan suruhan sepihak.

Sepulang juga, sebahagian hadhirin lebih mengerti tentang Islam Liberal. Tampak sekali, Islam Liberal bukan jawapan kepada sebuah pencarian pencerahan bagi muslim. Ia hanya sebahagian usaha, yang saya ramalkan akan gagal, sekiranya kaedah/pendekatan mereka tidak unik. Jika kalangan kiri kritis pada Islam Liberal kerana terlalu elitis, maka kalangan kanan pula melihat ia merampas identiti liberal yang sejati. Walau bagaimanapun, kritik saya pada jaringan ini bukan seperti kritik-kritik lazim (konservatisme) yang sering berbau, ¨segala yang datang dari barat harus ditolak.¨ Tapi, lebih khusus:

Pertama, bila JIL mengemukakan ¨Islam Liberal¨ jelas sekali ia terpaksa meminjam terminologi barat untuk berdepan dengan tradisi Islam. Ini memaparkan bahawa JIL datang dari luar untuk menyerang yang dalam, atau dalam istilah yang lain, untuk memperbaiki dari luar. Pada saya, tindakan ini bukan sahaja tidak strategik, tetapi tidak juga memujuk. Bila JIL menggunakan liberal, sesuatu kata sifat yang bergelut antara profan-sakral, kemudian dicantumkan dengan Islam yang masing-masing anggap sebagai sakral, maka ia sudah tentu membawa konotasi negatif terhadap Islam. Sebab, meraka harus tahu, ada beza besar antara Liberal Islam dengan Liberal. Malah, dengan tunduk di bawah terminologi Islam Liberal, jelas JIL sudah kalah sebelum bertarung.

Kedua, ide-ide yang dikemukakan oleh JIL sebenarnya tidak pergi kepada tema-tema utama yang harus diselesaikan. Selama ini, JIL lebih banyak pergi kepada sumber-sumber kedua, yang dipinjam beberapa pemikir muslim dari ide-ide filsuf barat. Persoalannya, kenapa JIL tidak pergi kepada sumber primer, dan seterusnya memperbaharui ide-ide Derrida, Foucault, Heidegger, dll? Jika hal ini dibiarkan, maka selama-lamanya kita berpencak dalam kelam. Ia tidak akan membawa kita ke mana-mana, sebab persoalan-persoalan yang lebih asas; seperti teologi, falsafah, epistemologi tidak disentuh secara serius.

Ketiga, tampaknya memang ada kecenderungan untuk JIL menyerang ritual dan shariat melebihi batas-batas yang wajar. Memang benar, di antara dua kumpulan yang berseberangan, masing-masing boleh menjadi melampau. Jika kalangan tradisi tidak berkompromi dengan modeniti, maka begitu juga kalangan modeniti, yang enggan berkompromi dengan tradisi. Hijab, pada saya adalah sebahagian dari khazanah Islam. Justeru, tidak harus di kalangan kita memperlekehkannya. Seharusnya prinsip liberal diterapkan di sini: membiarkan masing-masing untuk memilih. Barangkali ada benarnya, jika sebelum ini kalangan muslim sewaktu Nahdah Islam bergelut dengan soal-soal furu´, kali ini kita berdepan sekali lagi. Sebaiknya kita tidak harus melakukan kesalahan kedua. Dan;

Keempat, seimbas JIL seperti melihat masalah muslim dewasa ini adalah pengulangan kepada apa yang berlaku di Eropah. Memang, sebahagian sisi pandangnya betul. Tetapi, kita harus memahami, bahawa latar kepada dua sejarah dan tradisi ini berbeza. Jika pengalaman agama di Eropah melahirkan protestan, ia tidak bermakna kita harus melahirkan protestan juga. Saya katakan demikian, kerana masalah muslim dewasa ini bukan kerana agama, tetapi kerana kegagalan untuk mencerap agama. Sebaleknya di Eropah sebelum ini, mereka bertindak menyingkirkan terus agama. Jadi, JIL seharusnya mengambil sikap yang menggali kekayaan sendiri, daripada terlalu ingin menyesuaikan Islam dengan apa yang terdapat di barat. Apa yang penting ialah, setiap perubahan mesti bermula dari diri sendiri, bukannya dari ikutan luar.

Asalnya, saya fikir sangat sendirian dengan fikiran-fikiran sebegini. Apatah lagi, tema-tema ini antara pergelutan fikiran saya yang agak lama. Tapi, ternyata tidak. Sosok Imran, aktivis The Reading Group, muncul mengundang rasa kebersamaan. Ia, yang ketika pertama kali berbicara secara umum, lantas mengingatkan saya pada Fazlur Rahman. Ia maseh muda, 32, tentu perjalanan intelektualnya lebih panjang, dan juga lebih berliku lagi. Namun, yang paling menyenangkan, sikap berbeza ide tidak menghalang untuk masing-masing ria santap bersama. Inilah terjemahan yang paling amali atas apa yang kita kenali sebagai, adabul ikhtilaf.

Ternyata, mesra itu sememangnya mudah--jika masing-masing dihiasi dengan kejernihan akal-budi langsung menyisihkan kekeruhan khilaf.

3 comments:

Amin Ahmad said...

gembira dengan artikel ini :)

lutfi said...

Salam Sdr. Aqil.

Saya bersetuju dengan pandangan saudara. Bagi saya, JIL tidak mempunyai akarnya. Saya percaya, apabila kita hendak membangunkan Islam, kita harus mempunyai tempat untuk berdiri, tidak sahaja semata-mata berdiri atas kekuatan rasional dan akal.

Beberapa tahun belakangan, saya melihat JIL juga sejenis gololngan ekstrim. Bezanya dengan golongan Islam ekstrim yang lain, ialah mereka bersembunyi di bawah fahaman dan term2 Barat.

Saya juga bersetuju dengan pandangan sdr. Aqil yang menyatakan perbezaan sejarah. Pengalaman muslim dan Barat - dalam berhadapan dengan agama, juga menjalurkan seajrah yang berbeza. Merupakan satu tradisi Barat, ialah bermusuhan dengan agama. Mereka tidak pernah dapat menyatukan atau mendamaikan pandangan tradisi dan pandangan moden. Hal ini terbukti dengan zaman klasik barat, zaman dark ages, dan pasca dark ages. Masing-masing menindas pihak oposisi.

Hal ini berbeza dengan pengalaman Islam. Dalam setiap zaman, kebanyakan intelektual bekerja dalam kerangka Tauhid. Oleh sebab itu, sejarahnya sangat berbeza. Islam sentiasa memainkan peranan yang primer dan sentral. Di sini, kita lihat, JIL nyata bergerak pada tem;pat yang tidak sepatutnya.

Salam

Anonymous said...

projek islam liberal macam projek salafi/wahabi berlegar-legar di permukaan pengetahun, oriented dan furu' sangatlah.