www.flickr.com

Thursday, December 18, 2008

Ali Motahhari

Matanya redup. Rauknya suram. Sudah tentu, tanpa riak ketara, memang sukar sekali untuk kita menyusun kata-kata ceria. Manakala benak sibuk memadankan sejarah.

Yang redup, membawa ingatan kita pada Ruhollah, yang bila memandang sepertinya jauh merimbun. Menyeluruhi rata semuanya, tanpa jurus.

Yang suram, langsung membayangkan rauk Baheshti, di mana ada yang terkesan dengan beberapa fotonya yang serius, yang kadang-kala semacam memendam suatu misteri.

Itulah satu daripada wajah generasi kedua revolusi yang ditemui semalam. Redup dan suram. Juga misteri.

Memang, sepintas ia adalah berupa manusia hakikat, bukan maslahat--meminjam balek antara isitilah yang paling berkesan darinya, sewaktu berkesempatan menembualnya.

Betapa ramai di kalangan kita yang kenal ayahnya: Morteza Motahhari. Tapi, kenal bukan melalui realiti, tetapi hanya melalui lembar-lembar kertas--yang tentunya tidak pernah usang.

Menerusi lebih 90 buah bukunya, khalayak mulai belajar tentang kepentingan falsafah dalam Islam, lantas kemudiannya tahu untuk membezakan antara hakikat dan maslahat.

Ternyata, fikiran yang baik itu tidak pernah mati, tapi lekas saja tersebar melintasi sempadan.

Memang, berkongsi cerita tentang Morteza Motahhari, tentang keluarganya, tentang idenya, dari suara anaknya sendiri adalah sesuatu yang menarik dan istimewa. Tidak pernah habis.

Mudah-mudahan, nanti Ummahonline.com memuatkan temubual bersama Ali Motahhari ini--anak seorang sosok revolusi yang kini diabadikan hari keshahidannya sebagai hari guru di Republik Islam Iran.

No comments: