Sedekad dulu, saya mulai mendekati Republik Islam Iran, dari banyak sisi. Tapi, hari ke hari, sampai ke hari ini, satu demi satu, sisi-sisi tersebut berguguran.
Semalam, wartawan Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB) dari Tehran mewawancara saya menerusi telefon. Lazimnya saya yang melakukan wawancara. Tapi, kali ini saya pula merasai bagaimana rasanya diwawancara. Biarpun sebentar saja, persoalan yang diangkat tentang Gaza ini benar-benar memanggil emosi siapa saja. Kadang-kala, di saat kita dicercah rasa sebegini, tiada lagi kerasionalan yang mampu ditahan. Rasional--suatu unsur metafizik yang paling indah--pun akhirnya akan turut lebur.
Tapi, ada apa pada emosi? Memanglah emosi saja tak cukup untuk menembus apa-apa, melainkan hanya mengirim pesan-pesan primordial yang tertanam dari dalam diri saja. Tidak kesahlah, sama ada emosi tersebut tercermin dari du´a, dari teriakan, dari tangisan atau sebagainya. Tapi emosi saya sewaktu wawancara itu adalah terukir khusus buat bangsa Farsi tersebut, yang hari ini saya kenal begitu ke-farsi-annya!
Tentu sekali, setiap jiwa yang jernih akan meruntun dengan rintihan dan raungan dari lembah Gaza yang tandus ini. Anak-anak kecil, para wanita-- tidak kira sama ada di Hospital, di rumah ibadah, atau di mana-mana-- semuanya tidak lagi terlepas dari sasaran regim Zionis. Jelas, jiwa kemanusiaan mana yang dapat menahan dari rasa tersentuh-naluri, dan jiwa keagamaan mana yang dapat membendung rasa persaudaraan-metafizik? Tapi, dari satu sisi, inilah juga ¨hukuman zaman¨ yang terpaksa dihadapi oleh mereka.
Sudah tentu kita tidak lagi menaruh harapan pada puak-puak Arab, terutamanya Mesir, Arab Saudi, dan lain-lain. Begitu juga Qatar--yang didiami Yusof Qardhawi sekaligus pangkalan tentera Amerika Syarikat terbesar di negara-negara Telok. Malah, bukan lagi rahsia umum, mereka semuanya seperti bersekutu dengan pencerobohan Israel terhadap Gaza. Tapi, tema persoalan saya pada IRIB bukan tentang peranan negara-negara tersebut, sebaleknya, ¨di mana peranan Iran ketika Gaza dilanyak?¨
Iran, terutamanya di bawah kepimpinan sekarang, hakikatnya lebih banyak berlagak, dari bertindak. Tatkala ada rakyat Iran yang mahu meraih shahid menyeberang Gaza, mengapa pula pemerintah Iran menyekat kesungguhan mereka? Ketika seluruh dunia sepi, mengapa Iran turut sama bungkam? Di manakah Iran dengan seluruh persenjataannya yang kononnya hebat? Di mana simpannya Shahab, Fajr, Fateh, Sagheh, Oghab, Nazeat, Shahin yang sebelum ini digembar-gemburkan sebagai simbol kehebatan teragung negara tersebut? Kalau ada, kenapa tidak serang saja Israel, jika benar-benar mereka cukup ampuh? Apakah senjata Iran hanya untuk Iran dan Shi´ah saja, atau untuk Islam, muslim dan untuk setiap mereka yang ditindas di dunia ini? Atau memang Iran berlagak saja lebih?
Iran harus patut malu dengan Venezuela dan Bolivia. Mereka lebih universal. Kita lihat, sewaktu Hezbollah diserang Israel, tampak sangat Iran lekas mendukung mereka. Tapi, bila Hamas diserang, ke mana perginya gegaran suara Iran? Kenapa Iran maseh menggunakan proksi untuk melawan musuh? Kenapa tidak berani berdepan saja dengan regim Zionis tanpa proksi? Atau para agamawan mereka takut untuk keluar dari zon selesa? Ataupun mereka mahu menunggu Imam Mahdi zuhur terlebih dahulu baru mahu bertindak? Jadi, ke mana perginya ajaran Ruhollah Khomeini yang menganjurkan intizhar-i mushbat? Apa yang Iran telah buat dalam menunggu Imamu'l-'Asr ini? Apa yang Iran lakukan untuk menamatkan krisis Gaza? Sekali lagi, apa yang Iran telah usahakan, selain dari boleh bercakap/berdiam-diri?
Semua persoalan ini saya lambakkan balek pada IRIB. Saya harap mereka faham, bahawa tindakan Republik Islam Iran hari ini sebenarnya amat memalukan kandungan al-Qur´an dan al-Hadith. Biarpun dua sumber epistemologi Islam ini begitu suci sekali--khususnya merujuk pada surah al-Isra: 4-15, dan hadith Thurayya--tapi sikap Iran yang lembik benar-benar menambah lagi kedukaan umat samawi.
Saatnya akan tiba, para pemimpin Iran, termasuk akhund mereka ini, akan ditukar dengan pemimpin yang lebih baik. Rakyat mereka sendiri akan bangkit, dan menunjukkan jalan keluar pada para agamawan yang dewasa ini begitu enak atas permaidaninya. Kita selalu ingat pesan Ruhollah Khomeini tentang konsep revolusi. Kita ingat sangat, darah anak-anak Gaza yang gugur tidaklah tumpah pada buminya, tapi tumpah pada anak-anak yang dalam rahim ibu pada hari ini, termasuklah ibu-ibu yang berada di Tehran sendiri!
Di celah-celah kesenjangan imamah, anak-anak inilah yang bangkit, dan kemudian menunjukkan bagaimana kaedah sebenar dalam menanti kebangkitan Sahibu'z-Zaman...
Sunday, January 18, 2009
Gaza
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
7 comments:
Salam. Bagaimana sikap saudara jika saudara berada di pihak Mesir menjadi orang Hosni (x) Mubarak atau anggota Ikhwan Muslimin? Apakah saudara seperti sikap Iran?
Dimana ulama Saudi apatah lagi ulama al-Azhar dan mufti2 dunia Melayu yg berani keluar fatwa untuk bantu Hamas dari segi ketenteraan dan kewangan? Kita tak perlu pertikai Iran kerana mereka Shi'ah. Para ulama Saudi dan sebahagian ustaz2 dMalaysia pun sama berfatwa Hizbullah itu Shi'ah, mereka kafir. Iran itu Shi'ah, mereka kafir. Jadi tak perlu harapkan Iran untuk bantu Hamas. Iran dan Hizbullah cukup seadanya kerana perjuangan mereka masih jauh kerana mereka beraqidah untuk menunggu zuhurnya Imam Mahdi(ajf) dengan revolusinya untuk memerintah dunia ini. Dan mereka ingin dan bercita2 hanya untuk menjadi tentera Imam Mahdi ketika zuhurnya Sang Imam. Tetapi Iran tidak melupakan nasib Mustadhafin atas kerakusan, keganasan dan kezaliman Mustakbirin.
Zulgoji, Puncak Alam, Shah Alam.
kalau setakat menunggu imam mahdi, kucing kurap pun boleh tunggu....
kalau betullah iran tidak melupakan nasib mustadhafin, apa tindakan konkrit yang iran buat untuk menyelesaikan isu gaza....
tak payah cakaplah pasal saudi, mesir bla bla.... mereka dah tak releven.... iran juga mau jadi tak relevan?
hampa ni bangang. dlm perjuangan umat gaza kena tanya hamas dan jihad islam, apa yg iran buat untuk hamas. bukan hampa. hampa ni setakat komen boleh lah. hampa kena tanya diri hampa sendiri apa yg hampa buat untuk palestin gaza. kalau setakat demo kat masjid pemuda umno lebih elok demo kat kedutaan plo.
perjuangan umat wajib global. hampa kena faham pengikut al-azhar dan saudi d Tanah Melayu ni ramai. kalau tak hampa syok sendiri.
dalam setiap penantian akan muncul kebenaran.
Man matta lam yakrif imam zamanini mata maytatan jahiliyyah.
Zulgoji
buah goji ada?
salaam,
zulgoji, saya tidaklah meletakkan piawai islam pada iran, apatah lagi pada puak2 arab tersebut.
meskipun pengikut puak2 arab ini ramai di malaysia, ia tidak berhubungan dengan soal sikap iran terhadap hamas. tiada kaitan akrab. memang adalah sedikit sumbangan iran pada palestin. tapi, dalam piawai saya, sumbangan itu sangat tidak signifikan. lebih2 lagi bila dibanding dengan degar2 suara agamawan dari al-muqadassah. sebagai sebuah kerajaan, yang dikatakan islam dan islamik itu, iran yang ada dewasa ini sangatlah lembik berbanding iran sebelumnya. dalam persepsi sebahagian rakyat iran hari ini, saya kira kelembikannya samalah macam kelembikan pak lah!
Bila Israel menyerang dan membunuh warga bukan tentera di Gaza, apakah Iran atau negara-negara Islam perlu bertindakbalas membuta tuli dengan mengebom sekolah/hospital/pusat komuniti milik Israel pula?
Jika tindakbalas sebegini berlaku, tiadalah bezanya antara keteguhan persekutuan Iran/Hizbullah dengan gerakan membabibuta ala pengganas puritan al-Qaeda. Sama sahaja label pengganas itu lebih mudah dicop mohor oleh AS, bukan?
Imam 'Ali pernah memulangkan pedang lawan yang hampir ditetak pedangnya Zul-Fikar hanya kerana lawannya itu telah meludah ke muka Imam 'Ali dan menimbulkan kemarahannya.
Imam Hussein juga beberapa kali menyeru tentera musuh untuk pulang bersolat pada hari-hari menjelang 'Asyura. Tiadalah Imam terhegeh-hegeh mahu membunuh mangsa demi meraih pahala sendirian berhad.
Hikmah dan 'irfan sesuatu peristiwa, saudara lupakah?
Jgn marah sangat, mereka yg terkorban di Gaza itu semuanya tidak mati katak begitu sahaja. Pasti ada hitungannya, diulangi yakinlah bahawa hitungan Allah SWT itu PASTI ada!
Oh ya, kekecohan di Iran baru-baru ini seakan mengesahkan beberapa petunjuk proto-mazhab bahwa Rahbar sekarang ini adalah Rahbar terakhir sebelum zuhurnya Imam Zaman di kota Mekah.
Semoga kita sama-sama bersabar dan mempersiapkan diri, keluarga, sahabat serta anak-anak agar apabila sampai waktunya nanti, mohon semoga Allah SWT elakkanlah generasi warisan kita daripada terdiri di kalangan musuh Imam pula.
Post a Comment