www.flickr.com

Saturday, February 7, 2009

Islam Melangkaui Maslahat

Tidak dinafikan, bakti Murtadha Muthahhari sewaktu Revolusi Islam Iran cukup bermakna. Ia bukan sahaja seorang aktivis gigih, malah juga seorang filsuf tajam. Atas latar itu, Muthahhari lebih terkenal sebagai "ulama yang intelektual," berbanding sebagai agamawan semata.

Kini, sudah 30 tahun Muthahhari shahid, terkorban angkara serangan Mujahideen Khalq pada 2 Mei 1979. Saban tahun, rakyat Iran mengenang hari tersebut sebagai Hari Guru. Justeru, sempena 30 tahun keshahidan Muthahhari ini, Aqil Fithri (AF) baru-baru ini berkesempatan mewawancara anaknya, Ali Muthahhari (AM). Dalam wawancara ini, Ali telah sudi berkongsi banyak cerita peribadi tentang ayahnya buat kita tatapan semua.

AF: Berapakah umur anda ketika Murtadha Muthahhari terkorban, dan apakah kenangan anda bersama ayahanda anda tersebut yang sehingga kini maseh terkesan dan diingati?

AM: Ketika beliau shahid, saya sudah pun berumur 21 tahun. Jadi, kenangan bersama as-Shahid sangat banyak…

Sejak saya berumur 18 tahun, saya sering bersama-sama as-Shahid ke sebarang majlis. Kebetulan, pada malamnya ditembak, beliau sebenarnya berjanji untuk turut membawa saya bersamanya ke majlis tersebut. Tetapi salah seorang teman beliau telah datang lebih awal dan hanya mereka berdua sahaja yang pergi. Justeru, saya tidak dapat pergi bersamanya. Lalu, ketika pada malam itulah beliau dibunuh.

Hakikatnya, terlalu banyak kenangan bersama as-Shahid. Setiap peristiwa yang kami lalui ada kenangannya. Saya akan ceritakan pada tempatnya yang sesuai.

AF: Tapi, apakah kenangan yang terasa sangat peribadi buat anda, dan barangkali ada pesanan tertentunya yang menjadi ingatan anda sepanjang hayat?

AM: Sebelum keshahidannya, ketika itu saya berada di Universiti Tabriz. Kami sering berutus surat. Ada satu surat yang beliau tulis kepada saya yang maseh saya simpan sehingga sekarang, yang saya fikir kandungannya boleh dikongsi dan bermanfaat untuk para remaja kita dewasa ini. Pesanan ini juga merupakan kaedah hubungan ibu-bapa dan anak-anak serta pandangan Shahid Muthahhari tentang pendidikan. Shahid Muthahhari menyatakan, ¨bahawa adalah sangat penting dalam soal memilih sabahat kerana 'banyak ular yang berbisa.' Manakala, pengetahuan tentang Islam hendaklah sentiasa dipertingkatkan. Jika anda bertemu dengan buku-buku yang baik, hendaklah dibaca. Sementara, sekiranya perlu dikirimkan buku-buku tersebut, beritahu saya dan saya akan kirimkan pada anda.¨ Sewaktu akhir surat itu, Shahid Muthahhari menyebutkan bahawa, ¨pastikan setiap kali selepas solat subuh, satu muka surat al-Quran dibaca, lebih kurang 5 minit, dan niatkan pahala bacaan tersebut untuk kebahagiaan ruh Nabi Muhammad SAW kerana amalan ini akan menjadikan umur manusia dalam keberkatan.¨ Pada saya, inilah surat yang sangat memberi kesan dan setiap kali saya menatap surat ini, ianya memberikan saya banyak pengajaran.

AF: Kenapa Muthahhari lebih menekankan soal falsafah, sama ada Falsafah Islam ataupun Barat, sedangkan kebanyakan para ulama di Iran ketika itu lebih cenderung mengikuti aliran fiqh? Malah, Muthahhari turut menganjurkan menantunya, Ali Larijani--yang kini antara calon pilihanraya presiden Iran--untuk menekuni pendidikan falsafah barat.

AM: Shahid Muthahhari sebenarnya juga adalah seorang faqih yang besar. Untuk manusia sepertinya, Imam Khomeini menggunakan gelaran pemikir, filsuf serta faqih agung. Tetapi dalam bidang falsafah beliau mempunyai pandangan khusus. Malah, beliau lebih dikenali filsuf. Begitupun dalam bidang feqah, beliau juga seorang luas pengetahuannya, dan di dalam kitabnya juga terdapat banyak masalah feqah yang kita boleh temui. Mithalnya Nizam-i Huquq-i Zan dar Islam (Hak-hak Wanita dalam Islam), Mas'aleh Riba be Zamimeh Bimeh (Masalah Riba dalam Ansuran), Nazare be Nizame Iqtisadi Islam (Pandangan Terhadap Peraturan Ekonomi Islam), Masaleye Hejab (Masalah Hijab), Islam va Muqtaziat-e Zamon (Islam dan Kepentingan Semasa), dll, dan ini semua kitab-kitab yang berkaitan dengan feqah. Jadi, memang banyak juga karangan beliau tentang feqah. Tetapi kerana beliau seorang reformis sosial yang mencari reformasi pemikiran dan sosial masyarakat—iaitu melihat ruang mana yang lebih penting, masalah mana yang lebih wajib, maka tumpuan lebih banyak diberikan di situ. Ketika itu, masalah sewaktu Marxisme mula tersebar sehingga menular ke sesetengah pejuang revolusi, maka beliau merasakan perlu ada usaha yang lebih gigih untuk menolak fahaman ini. Ini diperlihatkan menerusi kitab Usool -e Falsafa va ravesh -e- Realism (Usul Falsafah dan Tatakaedah Realisme), Naqde be Marxisme (Kritik Atas Materialisme), Jamiah va Tarikh (Masyarakat dan Sejarah), kerana merasakan bahayanya fahaman Marxisme yang mulai mempengaruhi anak muda, mahasiswa dan pejuang revolusi. Tetapi sekiranya masalah fiqh juga merupakan keperluan masyarakat, beliau juga tentunya akan memberikan perhatian.

AF: Di Iran, ada tiga aliran falsafah yang dibincangkan; Masya'iyyah Ibn Sina, Isyraqiyyah Suhrawardi dan Hikmah Muta'aliyah Mulla Sadra. Justeru, di mana letaknya falsafah Shahid Muthahhari?

AM: Falsafah Mulla Sadra dalam Islam mencapai tahap kesempurnaan. Mulla Sadra datang dengan menggabungkan falsafah Masya'iyah Ibnu Sina, Isyraqiyyah Suhrawardi, irfan Ibn ´Arabi dan al-Quran. Melalui empat aliran ini, beliau mengasaskan Hikmah Muta'aliyah. Jadi, tidak timbul pertentangan antara Masya'iyah dan Isyraqiyyah atau pertembungan Masya'yah dengan Ibn ´Arabi. Maka, Mulla Sadra memetik semua pandangan para filsuf tersebut. Kadangkala beliau juga memetik kata-kata Ibn Sina atau Syeikh Isyraq Suhrawardi atau Ibn ´Arabi. Dalam kitabnya Asfar, beliau menggunakan petikan yang sama seperti yang terdapat dalam kitab Syifa Ibn Sina, Hikmah Isyraqi Suhrawardi atau Futuhat Makkiyah Mahyuddin Ibnu Arabi. Mulla Sadra telah mengikat dan mensintesis aliran-aliran tersebut. Justeru, dalam falsafah Mulla Sadra kesemuanya telah mencapai kesempurnaan.

Shahid Muthahhari memang lebih dekat dengan falsafah Mulla Sadra. Banyak pandangan Mulla Sadra diterimanya. Begitupun pada sesetengah perbahasan Shahid Muthahhari juga mempunyai pandangannya yang tersendiri bahkan ada sesetengah pandangan Mulla Sadra yang dikritik. Tetapi keseluruhannya falsafah Mulla Sadra diutamakannya berbanding aliran-aliran yang lain.

AF: Difahamkan Muthahhari ada menamakan cucunya dengan nama Sadra, seperti mana nama filsuf yang dikaguminya itu?

AM: Ya, Sadra adalah anak kepada kakak saya. Shahid Muthahhari sendiri yang menamakan cucunya itu. Ini kerana, dinamakannya Sadra kerana lambang kecintaan beliau kepada Mulla Sadra. Sekarang Sadra sudah berumur 27 tahun dan merupakan seorang ulama muda yang pintar.

AF: Muthahhari banyak menulis tentang isu-isu wanita. Ini diperlihatkan menerusi buku Hijab, The Rights of Woman in Islam, dll. Namun, bagaimana pula sikap Muthahhari sendiri terhadap isteri dan ibunya?

AM: Shahid Muthahhari melihat masalah wanita dalam dunia moden adalah masalah yang penting. Hal ini khususnya apabila beliau melihat terdapat propaganda Barat dalam soal hak-hak wanita dalam Islam. Oleh itu, kita lihat sebahagian tulisan beliau adalah mengupas tentang wanita dan hak-haknya. Beliau percaya, bahawa isu wanita perlu diuatamakan dan hak-haknya harus dihukum sebagaimana seharusnya. Beliau juga percaya dunia bahawa Eropah masa lalu menghakis kemanusiaan wanita, malah dizalimi. Barat hari ini, soal kewanitaan kepada kaum wanita mulai dilupakan. Sedangkan wanita adalah wujud yang khas dan yang mempunyai perbezaan dengan lelaki. Justeru, kezaliman berlaku di barat. Shahid Muthahhari percaya, pertama kita harus melihat wanita sebagai manusia, dan yang kedua kewanitaan kaum wanita itu sendiri tidak sewajarnya dilupakan. Sekiranya persamaan hak antara wanita dan lelaki bermakna sama rata, ini adalah salah sama sekali. Kerana keduanya adalah wujud yang berbeza dalam kejadian. Hak antara keduanya tidak sama tetapi boleh serupa. Dalam Islam, keadilan dan hak antara lelaki dan wanita dijelaskan dan diraikan. Tetapi oleh kerana perbezaan penciptaan antara lelaki dan perempuan, maka hak-hak mereka juga berbeza.

Dalam kehidupan sehariannya juga begitu. Beliau memberikan hak yang sama terhadap lelaki dan wanita. Wanita tidak dilihat sebagai alat/pekakas. Shahid Muthahhari memang sangat menghormati isteri dan ibunya. Saya maseh ingat bagaimana Shahid Muthahhari sangat menghormati ibunya. Sewaktu ibunya meninggal dunia, dia sangat sedih. Ibunya juga sangat mencintainya. Saya percaya bahawa salah satu faktor kejayaan Shahid Muthahhari adalah kerana keredhaan ibu-bapanya. Begitu juga hubungan dengan isterinya. Dia begitu menghormati isterinya. Saya juga maseh ingat suatu ketika ibu saya yang sedang dalam kepergian dan akan pulang semula ke Tehran. Kami anak-anak tidak terlalu mempedulikan ibu kami yang sebentar lagi akan sampai. Kami sepertinya tidak bersedia untuk menyambut kepulangan ibu. Shahid Muthahhari lantas mengingatkan kami dengan keras, kenapa belum bersiap untuk menyambut kepulangan ibu. Kenapa teh belum dipanaskan lagi, kenapa rumah tidak dikemaskan lagi, dan sebagainya

Begitulah beliau melihat isteri dan anak perempuannya seperti manusia yang agung, kerana wanita adalah wujud yang agung. Tidak seperti Barat yang melihat wanita sebagai barang dagangan dan dieksploitasi dengan hamburan syahwat semata-mata. Islam tidak sama sekali membenarkan perkara ini berlaku.

AF: Selain dari itu, Muthahhari diketahui sangat santun pada Sunni, bahkan dalam tulisannya tidak pernah menyerang sunni. Sebaleknya Muthahhari pernah menyebut dalam salah satu bukunya mengenai jasa Khalifah Umar al-Khattab yang membawa Islam ke Farsi. Sebagai anaknya, bagaimana anda melihat perkara ini?

AM: Ya, seperti yang anda katakan, Shahid Muthahhari mempunyai pandangan yang baik tentang hubungan antara Sunni dan Syiah. Perselisihan antara keduanya telah dibahaskannya secara rasional. Mithalnya dalam masalah imamah, beliau berpendapat sekiranya makna Imamah adalah penguasa masyarakat dan ketua politik, maka Sunni itu benar, iaitu khalifah haruslah dipilih daripada kalangan umat. Tetapi sekiranya imamah bererti sumber rujukan agama dan wilayah maknawi serta siyasi insan kamil, maka Shi´ah lebih tepat dan rasional kerana insan kamil bukan pilihan umat. Ini adalah pelantikan Allah. Oleh itu, konteks ini perlu dilihat—tentang makna imamah yang sebenarnya? Sebenarnya, masalah imamah dan khalifah dua masalah berbeza; pertama siapa yang layak selepas rasul dan kedua sekarang siapa yang harus memegangnya. Shi´ah menyakini Ali dan Sunni menyakini pilihan umat. Ini hakikatnya adalah masalah sejarah dan tentunya tidak berulang serta pastinya tidak akan berubah. Tapi, kita boleh saja membahaskannya secara ilmiah.

Walau bagaimanapun, peranan kita yang lebih besar sekarang ialah—sama ada Shi´ah atau Sunni—adalah dalam menghadapi musuh yang satu, di mana keadaan ini menuntut bersatu. Jelas, untuk menghadapi musuh Islam, kita perlu bersatu dan bersama.

Memang, kadang-kala hadis ahlul sunnah pun dinukilkan dan perbuatan baik Khalifah Umar juga disebutkan, di samping hadis-hadis yang diriwayatkan oleh umar. Mudahnya, Shahid Muthahhari kosong daripada taksub dan sentiasa mencari hakikat. Oleh itu kita lihat jika seorang Sunni baca kitab beliau, mereka akan merasakan adil dan tidak cenderung untuk bersikap sendeng (bias). Masyarakat Sunni lebih terkesan dan senang menerimanya. Malah, Sunni pun dapat mengambil manfaat daripada khazanah ilmu yang terdapat dalam buku-bukunya. Di dalam karyanya, tidak ada laknat dan cerca bagi sesiapa pun yang akan menyebabkan orang terasa hati.

AF: Selain Muthahhari, Ali Shariati juga sangat meraikan sumber-sumber Sunni, dan mereka saling gigih membawa misi revolusi. Tapi akhirnya, ekoran penutupan Husainiyah-ye Irshad, apakah keakraban antara mereka dilanda krisis?

AM: Antara keduanya--Shahid Muthahhari dan Ali Shariati—terdapat perbezaan yang jelas. Shariati seorang rausyanfikr yang mendapat didikan di Barat. Budayanya juga adalah budaya Barat. Pengetahuannya tentang Islam tidak diperoleh daripada sumber yang asli, banyak yang terserak. Harus diakui, Shariati adalah seorang yang pintar, pemidato yang baik, karismatik dan sebahagian rakyat sangat tertarik kepadanya. Tetapi, dia tidak dapat dikategorikan sebagai Islamologis. Ini kerana itu kita dapati terdapat banyak kesilapan dalam tulisannya. Di satu sisi, Ali Shariati berjaya menaikkan semangat gerakan dan revolusi di kalangan mahasiswa dan anak muda. Shariati memang berkemampuan untuk membawa mereka ke arah Islam. Tetapi, ketika ingin menerangkan tentang Islam, Shariati tidak mampu menerangkannya dengan baik kerana tidak belajar Islam secara sistematik. Pengetahuannya tentang falsafah Islam, fiqh, hadis dan kalam adalah sedikit. Pengetahuan am dan pengenalannya tentang sekolah pemikiran barat diakui cukup bagus. Beliau mendapat didikan di bidang sosiologi dan sangat-sangat menguasainya.

Berbeza dengan Shariati, Shahid Muthahhari sejak mula lagi menekuni pengajian Islam secara sahih di hauzah ilmiyah. Bergaul dengan mereka yang berpendidikan tinggi, sering berhubung dengan ulama yang mempunyai ingatan yang kuat. Oleh itu kerja dan kefahamannya sangat menyakinkan dan begitu kukuh sekali. Imam Khomeini sendiri mengakui tulisan Shahid Muthahhari sebagai baik dan aku (Imam) tidak melihat ada tulisan orang lain yang boleh dikatakan baik, selain Shahid Muthahhari. Ini adalah kerana Shahid Muthahhari mempelajari ilmu Islam dengan cara yang betul. Shahid Muthahhari bertemu dan menuntut dengan para ulama besar seperti Imam Khomeini sendiri, Allamah Tabatabaie, Ayatullah Burujerdi dan ustadh-ustadh lain serta dia sendiri seorang yang prolifik sehingga meninggalkan warisan tulisan-tulisan yang baik.

Walau bagaimanapun, kebelakangan Shahid Muthahhari mulai merasa bimbang dengan sebahagian pemikiran Ali Shariati dan menyebutkan bahawa Shariati terpengaruh dengan pandangan Marxisme. Sebahagian masalah Islam telah dianalisis oleh Shariati dengan menggunakan pandangan Marxis. Mithalnya beliau mengatakan tiga faktor yang bersatu untuk menjajah rakyat iaitu din-daulat-sarmoyeh (agama-negara-modal). Ini kemudiannya sentiasa disebutkan Shariati dengan penjelasan yang berbeza-beza. Atau banyak juga disebut faktor zar-zur-tazwir (kekayaan-kekuatan-tipudaya). Atau juga ungkapan malik-mulk-mullah (raja-kerajaan-mullah). Atau lagi, tigh-tala-tasbih (peluru-emas-tasbih). Shahid Muthahhari merasakan tindakan ini adalah bahaya dan terpaksa mengumumkan bahawa sesetengah pemikiran Shariati tidak benar, dan ini perlu disedarkan serta disampaikan, bahan-bahannya perlu dikawal sebelum diterbitkan. Tetapi sebahagian kelompok ingin mengambil kesempatan daripada Shariati bagi tujuan peribadi, justeru mereka tidak mengendahkan saranan ini. Larangan Shahid Muthahhari ini tidak dipedulikan dan tulisan-tulisan Shariati terus disebarkan. Bagaimanapun harus diinsafi, Shariati berjaya mencetuskan semangat revolusi. Sebab itu, Shahid Muthahhari melihat bahawa ini adalah perkara yang lebih asas dan itulah yang kekal sehingga hari ini.

AF: Akhir sekali, adakah maseh ada sesuatu yang khalayak belum tahu tentang Muthahhari, atau terdapat karya-karya beliau yang maseh belum diterbitkan lagi? Dan, apakah pesanan Shahid Muthahhari apabila kita menyentuh soal Islam dan revolusi?

AM: Sehingga sekarang, maseh banyak karyanya yang belum diterbitkan kerana luasnya perbahasan yang dikemukakan oleh Shahid Muthahhari dan kami memerlukan masa untuk meneliti dan menyemak sebelum diterbitkan. Juga sebahagiannya merupakan siri ceramah, ucapan seminar, kuliah serta kelas pengajian beliau. Ini termasuklah kuliah tafsir serta ucapan-ucapan di pelbagai institusi dan persatuan seperti Anjoman-e Muhandis (Persatuan Jurutera ) dan Anjoman-e Pezeshk (Persatuan Doktor). Mithalnya perbahasan beliau tentang Zan va Kazowat (Wanita dan Sistem Pengadilan), Zan va Siyosat (Wanita dan Politik), dan Tavakkol va Reza (Tawakkal dan Redha) yang semuanya berjumlah sekitar 15 jilid. Inshaallah, usaha penerbitan ini akan dilakukan dengan segera.

Sebenarnya, Shahid Muthahhari mempunyai sebuah kalimah iaitu ¨Islam adalah satu hakikat dan bukan sebuah maslahat.¨ Ertinya Islam adalah sebuah realiti dan kebenaran yang diturunkan oleh Allah SWT, dan apa sahaja yang dikatakan oleh Islam, itulah yang harus kita lakukan. Ini bermakna, bukannya melihat Islam sebagai alat untuk maslahat (kepentingan) yang perlu kita manfaatkan. Ini adalah masalah yang penting untuk dilihat, sama ada kita melihat Islam sebagai realiti dan kebenaran atau maslahat dan alat. Sesetengah orang kerana masyarakatnya Islam, dan pandangan selain Islam tidak diterima, maka dia berbicara dalam ruang lingkup Islam. Yakni mereka tidak berbicara tentang hakikat Islam itu sendiri, tetapi menjadikannya sebagai alat. Ini satu perkara yang sangat penting untuk difahami.

Tentang revolusi, beliau mengharapkannya terus lestari, sempadannya berkembang dan transformasi hingga ke negara Islam yang lain. Tapi, bukan dengan jalan kekerasan, sebaleknya dengan sampainya pesan-pesan revolusi kepada seluruh kaum muslimin yang akhirnya mengembalikan sahsiah umat Islam itu sendiri. Sekarang kita sudah mulai lihat kesan kesedaran tersebut di banyak negara-negara Islam di samping maseh perlu digerakkan lagi. Sepatutnya inilah usaha yang harus dicurahkan dewasa ini Kita lihat Amerika menerapkan budaya dan cara hidup mereka di negara-negara Islam melalui satelit dan campurtangan dalam urusan kenegaraan. Mereka tidak akan benarkan cara hidup Islam dan penghayatan Islam diamalkan. Justeru, kita semua perlu berkerja keras untuk melawan semua ini. Melawan budaya dan ekonomi. Jadi, semua muslimin memikul tanggungjawab dalam usaha menerapkan hukum Islam ini.

2 comments:

Anonymous said...

salam.
saya amat menghargai 'keberanian' sdr memuatkan wawancara ini di akhbar.

memang ada banyak perkara dan pengetahuan 'di sebalik' syiah yang wajar dibentangkan untuk membuka persepsi dan perspektif minda khalayak tentang falsafah dan amali dalam islam dengan lebih luas dan tersusun.

saya percaya sdr dan siasah mempunyai banyak perancangan sebagai lanjutan daripada wawancara ini.

mudah-mudahan akan berhasil.
wassalam

Anonymous said...

salam

boleh tak saya masukkan wawancara yang menarik ini di dalam blog saya

terima kasih