www.flickr.com

Wednesday, February 4, 2009

Kuliah Awam

Mekanik Quantum dan Teori Kenisbian Einstein merupakan dua subjek utama yang terangkum dalam fizik moden. Kalau menurut perspektif Kuhnian, kedua-duanya dianggap sebagai mangkin terbesar dalam revolusi fizik selepas paradigma Newtonian. Kini, alam mikroskopik sudah ada perspektifnya, setelah berabad-abad dicengkam tentuistik.

Namun, sebenarnya dampak dua teori ini bukan sahaja kena pada fizik, dan sains umumnya, tapi juga pada falsafah dan agama. Selain sains dan falsafah, agama juga sering menjadi satu dari trisubset yang mengugah fikiran dalam proses mencari kebenaran, atau realiti. Meskipun ada yang berfikir kehadhiran fizik moden ini adalah ucapan selamat tinggal kepada realiti, namun, persoalan ini maseh belum terjawab dengan tuntas. Sebab, dalam mekanik kuantum dan teori kenisbian Einstein ini pun maseh mengusung banyak tafsiran. Ragam tafsiran inilah yang salah satunya ingin difahami dan ditangani oleh para peminat fizik moden ini.

Bagi kalangan falsafah, sudah tentu bergelut dalam menghubungkan antara ujikaji dengan realiti. Yang mana satu adalah kebenaran? Malah, apa itu kebenaran sehingga kini terus diteroka oleh mereka. Proses ini tiada henti-henti. Manakala, kalangan agamawan sering pula terkaku dengan permasalahan fizik moden ini. Langkah mudah, mereka cuba mengambil mana-mana tafsiran yang sarat metafizik. Lalu, sesuaikan saja dengan agama. Sebab itu, mereka lebih senang dengan tafsiran Everettisme, berbanding dengan tafsiran yang lain-lain.

Sebaleknya, bagi pengagum Einsteinian, mereka melihat konsep masanya sebagai sangat islamik serta sejajar dengan aspirasi agama tersebut. Bukan sahaja Islam, tetapi juga merambah sehingga Tao, Buddha dan Hindu. Bagi mereka, segala yang dinamakan fizik moden ini kononnya adalah sejajar dengan kitab-kitab besar agama tersebut. Dari sinilah, lahirlah Bucaillis baru yang berdiri atas jalan pintas kebenaran agama. Mereka tidak mengkritik pengetahuan, tetapi hanya membenarkan pengetahuan yang sedia ada. Jadi, bagaimana pengetahuan kita bertambah?

Justeru, seharusnya ada kelompok yang menyanggah semua haktula ini dengan anjuran baru. Pendekatan lazim yang memahami sains menerusi kacamata cetek sudah berakhir. Kita mahu aneka mata yang memandang. Di sinilah pertemuan trisubset tersebut. Lantas, ASASI merangka kuliah ini dengan matlamat untuk kita sama-sama memahami falsafah, agama dalam acuan sains yang terkini. Pertarungan sains mahu diteroka dari aspek terdalamnya. Mekanik Quantum dan Teori Kenisbian Einstein, meskipun kita sudah menyambut annus mirabilis-nya, tapi maseh dianggap penemuan yang tidak pernah padam. Pencarian realiti maseh belum berakhir buat semua.

Tapi, memangkah ada di kalangan kita yang sanggup untuk menyahut cabaran ini—mencari realiti? ASASI bukakan kuliah bersiri Mekanik Quantum & Teori Kenisbian Einstein ini untuk para pemberani ilmu. Dan, sudah tentu, hanya mereka yang berani saya saja akan puas dan menemui realitinya yang tersendiri. Namun persoalannya, siapakah di kalangan kita yang sedia untuk mengikuti Kuliah Bersiri Mekanik Quantum & Teori Kenisbian Einstein ini...?

1 comment:

elvedina kesten said...

mengapa ya entri baru ttg bahasa itu tidak muncul-muncul?