www.flickr.com

Tuesday, February 10, 2009

Nilai-Nilai Bahasa

Bila datangnya Thomas Kuhn dengan magnus opus-nya, The Structure of Scientific Revolutions, sepatutnya kefahaman kita tentang hubungan antara bahasa dengan budaya makin arif. Apatah lagi, sebelum itu sudah ada beberapa karya yang melakarkan perkara persis. Mithalnya, menerusi Oswald Spengler dalam The Meaning of Numbers, dan Alvin White dalam Essay in Humanistic Mathematics.

Semua nukilan ini sudah mendahului dalam memaparkan kelemahan ketara semesta barat—tatkala mahu memandang bangunan ilmu secara kebelakaan. Kuhn, seorang filsuf sains dari Massachusetts Institute of Technology (MIT) dalam karyanya tersebut jelas menunjukkan bahawa sains tabii yang dibangunkan barat itu hakikatnya sarat nilai. Manakala Spengler menyerlahkan ikatan antara budaya dan nombor dengan begitu kemas, sementara White pula gencar memperkatakan kaitan antara budaya dengan matematik.

Sebenarnya, seluruh hubungan ini mampu dipindahkan ke dalam wacana bahasa. Memang, sebahagian dari kita sering ralat kerana memikirkan bahasa itu bebas nilai. Hakikatnya, ini persepsi keliru. Bahasa adalah subjek yang sangat akrab dengan nilai-nilai ketamadunan sesuatu bangsa. ¨Bahasa jiwa bangsa¨ itu adalah peribahasa yang betul—dengan syarat difahami dalam konteks yang juga betul. Bahkan, terbukti banyak peribahasa kita bukan sahaja mengandungi unsur-unsur sains sosial yang menawan, tapi sekaligus juga sains tabii-nya yang menarik.

Malahan, sesetengah peribahasa kita tampaknya lebih unggul dari kosmologi sains tabii yang difahami barat. Umpamanya, ¨bagai pinang dibelah dua,¨ itu adalah sebuah peribahasa yang melampaui konsep simetri yang terdapat dalam fizik barat. Tapi sayangnya, kita sendiri tidak mencungkil khazanah ini untuk dimodelkan dalam kaedah saintifik.

Ketirisan penghargaan pada tamadun sendiri terhimpit lagi dengan pendekatan pendidikan yang berorientasikan bahasa serta paradigma asing. Malang sungguh, betapa dasar herot ini terus dilaksanakan biarpun bercanggah dengan tabii hubungan antara manusia dan bahasa. Bila kita menyingkirkan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan, itu sebenarnya bermakna kita turut menimbus terlalu banyak keistimewaan yang terdapat dalam jiwa bahasa itu sendiri. Bahkan, lebih pilu lagi, yang telah diruntuhkan itu adalah sistem pendidikan—sektor terkental hierarki pembinaan ilmu.

Wajarnya kita harus berfikir jernih, dan menyisih dengan hemah tentang perbezaan makna antara kalimah Melayu dengan Inggeris tersebut. Kefahaman inilah yang sering diabaikan. Bila diperhalusi, terbukti ada sejarah akrab hubungan antara bahasa Melayu itu dengan Islam, sepertimana yang diwar-warkan pada 1970-an oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Islam dalam Sejarah Kebudayaan Melayu. Bahasa Melayu, menurut al-Attas, adalah bahasa yang sarat nilai-nilai Islamnya.

Memang, tesis al-Attas kini sudah boleh disanggah dengan beberapa data baru yang menunjukkan kelemahannya. Namun, sekurang-kurangnya dalam konteks makna bahasa Melayu-Islam, tesis ini maseh boleh dipertahankan lagi. Tesis inilah yang membebaskan jiwa abdi serta minda tertawan di kalangan bangsa Melayu, setelah berabad terjajah. Mithalnya, yang paling popular ialah perbezaan makna ¨keadilan¨ yang cuba disesuaikan dengan ¨justice.¨ Ternyata, dalam takrifnya yang seni, masing-masing adalah mewakili suatu kosmologi makna yang berbeza!

Kalau dalam sains tabii pula, kadang-kala kita sering terperangkap dengan bentuk terjemahan mudah bagi ¨natural¨ yang kemudiannya lekas disebandingkan dengan ¨semulajadi.¨ Walhal, di sebalek kedua-dua kosakata ini mengusung makna terdalamnya—yang kemudiannya sampai kepada jarak antara ateistik dan teistik. Hal seperti inilah yang tidak disedari ramai ekoran kegagalan untuk memikirkan sesuatu yang lebih jauh dari permukaannya.

Sama juga dalam sistem angka. Sebelum ini, sering saja ada yang berhujah bahawa Bahasa Inggeris dilaksanakan atas alasan ¨mahu kembali ke ilmu asal.¨ Tapi, sebenarnya, ilmu asal sains dan matematik bukanlah bermula dari Bahasa Inggeris. Kesamaran ini akan terungkap bila didedahkan perkataan sceince itu sendiri, yang jelas sekali merupakan peminjaman dari bahasa lain. Kata itu datangnya dari scientia, Bahasa Latin. Begitu juga mathematics yang bermuara dari mathema, pinjaman dari Bahasa Greek. Bahkan, hampir seluruh angka sa—0 sampai 9—adalah bukan murni dari Inggeris sama sekali. Sebaleknya, seluruh angka sa Melayu terbukti lebih murni, lebih mantap, atau lebih asal dari Inggeris itu sendiri.

Itulah kelebihan membangun ilmu dalam acuan sendiri. Kita membangunnya dengan kosmologinya sekali. Walau bagaimanapun, bukan sahaja Melayu, atau Islam, yang tertanam keistimewaan-keistimewaan sebegini. Tetapi, pengalaman tabii ini terhukum pada semua bahasa. Masing-masing bahasa ada keistimewaan sendiri, yang antaranya barangkali tiada pada bahasa-bahasa lain. Bahasa Jerman mithalnya, diketahui dalam kebanyakan displin ilmu adalah jauh lebih lengkap mengatasi bahasa Inggeris. Kelebihan ini terbina natijah dari tradisi ilmunya yang lebih lama, atau lebih asal, sedangkan penguasaan Bahasa Inggeris baru saja muncul pada abad ke-19.

Di samping itu juga, bila kita bercakap soal bahasa, seringkali hujah-hujah yang dikemukakan ialah kuasa capaian keilmuan yang terdapat dalam Bahasa Inggeris itu lebih meluas, dan lebih jitu. Secara keseluruhannya, sebenarnya hujah sebegini amatlah rapuh. Bahasa Inggeris menjadi kukuh bukan kerana khazanah pengetahuan induk yang terdapat di dalamnya, tetapi kerana bahasa ini terhablur menerusi suatu proses terjemahan yang agresif yang begitu lama—di mana budaya penerjemahan ini kini kian terpinggir dalam tradisi kita.

Sehingga kini, Bahasa Inggeris maseh lagi bersusah payah untuk menerjemahkan banyak buku falsafah ke dalam bahasanya. Mereka tiada budaya falsafah yang tegar bebanding bangsa Jerman contohnya. Satu contoh yang kini menjadi klasik ialah buku Sein und Zeit adikarya Martin Heidegger, yang memerlukan lebih 30 tahun untuk diterjemahkan kepada khalayak berbahasa Inggeris. Bukan kerana tiada yang ingin menerjemah, tapi kerana kesukaran untuk memadankan Bahasa Inggeris agar tersuai dalam kosmologi yang Heidegger maksudkan. Ini jelas, menunjukkan kemiskinan bahasa pengungkapan falsafah yang terdapat dalam Bahasa Inggeris, berbanding Bahasa Jerman.

Malah, kalau dalam bidang sains dan teknologi lagilah ketara. Sampai kini sekalipun, bangsa Jerman diakui memang terkenal dalam displin sains tabii, sampaikan mekanik kuantum itu pun sendiri diistilahkan mereka sebagai Sains Jerman bagi mencabar Teori Kenisbian Einstein yang dianggap mereka sebagai Sains Yahudi. Manakala Perancis pula kaya dalam displin sains sosial, terutamanya menerusi tradisi di Université Paris-Sorbonne. Bahasa Inggeris—kalau dalam perspektif kepelbagaian Eropah—seperti disepakati bahawa bukanlah antara bahasa ilmu utama. Kalau tidak kerana kesungguhan mereka menerjemah, tidak mungkin Bahasa Inggeris menjadi begitu sejagat dewasa ini.

Tapi, persoalannya, kenapa kita tidak meniru tatakaedah ilmu melalui penerjemahan ini?

Barangkali jawapan terbaiknya kerana kedangkalan sendiri. Kita salah berfikir logik. Mantik, atau nyaya dalam Bahasa Sanskrit, yang kita pakai selama ini sedayanya cuba dikaburkan dan dikelirukan. Padahal jika mahu dibangunkan bangsa, yang perlu dilakukan ialah turut memperkasa bahasanya sendiri, selain memindahkan pengetahuan dari bahasa-bahasa lain ke dalam bahasanya. Itulah yang sepatutnya dilaksanakan melalui terjemahan, bukan sebaleknya!

Selain dari itu, dampak penggunaan bahasa asing dalam pendidikan turut menghakiskan daya kreativiti sesuatu bangsa tersebut. Ini jelas termuat dalam teori linguistik, yang menghubungkan antara mutu pengaryaan dengan penggunaan bahasa intim. Hakikatnya, ¨bahasa yang paling mampu untuk kita berkreativiti adalah bahasa yang kita bermimpi.¨ Sebab itu, ekoran pelaksanaan dasar pendidikan bukan dalam bahasa sendiri, pendidikan kita akan menjadi lebih kaku, dan yang paling kuat pun hanya bertakat malar saja dengan paradigma pinjaman. Sudah tentu, secara logiknya kita takkan mungkin dapat menandingi tingkat keilmuan Inggeris, kerana cara pengaryaan kita—yang meniru itu—tidaklah akan menyamai mereka.

Tidak hairan, kini sudah ada dakwaan bahawa Bahasa Inggeris itu bukanlah bahasa kreatif. Edward de Bono, pengarang Six Thinking Hats, sendiri mengakui bahawa Bahasa Inggeris bukan sebuah bahasa kreatif. Paradigma bahasanya kerap terhenti pada perkataan-perkataan tertentu yang sering dijadikan alasan tanpa-bantah. Bahasa Sepanyol, atau bahasa Itali, ternyata mempunyai rekod pembangunan ilmu asal yang jauh lebih cemerlang dari Bahasa Inggeris ini. Bahasanya banyak melangkaui wacana bukan-fizikal. Usah bandingkan dengan bahasa Jerman dan Perancis, atau Latin dan Greek, sudah tentu lebih-lebihlah lagi.

Harus dicatat juga, dalam tema bahasa ini, menelusuri pengalaman Eropah memang banyak iktibarnya. Menerusi mereka, kita memperoleh pengajaran bahawa bentuk pendidikan terbaik adalah membina acuan sendiri—dengan kebudayaan sendiri. Inilah yang diajar oleh negara-negara Eropah yang kecil, seperti Czech, Norway, Bosnia & Herzegovina, Luxembourg, dll itu. Mereka sehingga kini terus melestarikan bahasanya sendiri di kala hambatan globalisme Bahasa Inggeris. Hasilnya, mereka tidak hilang identiti, tapi tidak juga tertinggal arus perkembangan ilmu sejagat.

Pengalaman Sweden mungkin yang terbaik. Dalam contoh ini, lebih dari dua pertiga rakyat Sweden memang terbukti mampu menguasai Bahasa Inggeris, meskipun dalam waktu yang sama seluruh sistem pendidikan dan urusan domestik mereka adalah dilaksanakan dalam bahasanya sendiri. Jadi, persoalannya, kenapa kita tidak meneladani dari negara-negara Eropah ini, yang jelas lebih berjaya dan bergaya dari negara kita sendiri?

Ini samalah dengan beberapa negara-negara Asia—China, Korea, Taiwan, Hong Kong—yang mana sistem pendidikan dalam bahasa sendiri mereka telah berjaya melahirkan olimpiad-olimpiad emas dalam beragam pertandingan sains antarabangsa, meskipun mereka tidak faseh berbahasa Inggeris. Malah, Amerika Syarikat dan Britian sendiri akhirnya terpaksa mengalah dengan kehebatan pelajar negara-negara Asia ini, sehingga mereka sering saja ´mencuri´ pelajar-pelajar asing ini untuk dihantar mewakili mereka dalam olimpiad antarabangsa tersebut.

Sebab itu, jangan hairan jika ada kenyataan bahawa Anglo-Saxon itu bukanlah sebuah bangsa yang bijak. Anehnya, kita yang terhegeh-hegeh memikirkan bahawa Bahasa Inggeris itu bersinonim dengan sains dan matematik. Walhal, itu berbeza. Kita boleh semak saja pengalaman Amerika Syarikat. Mereka akhirnya terpaksa meminjam minda-minda luar untuk merintis pengetahuan baru buat mereka. Kelih saja tawaran Amerika Syarikat kepada saintis-saintis Jerman sewaktu Perang Dunia Kedua, bagaimana mereka mendepa tangan pada Albert Einstein, Thedeor Adorno, Kurt Gödel, dll, demi mebangunkan ilmu di negara tersebut.

Namun, sayangnya, semua hujah-hujah ini gagal dihayati oleh para perumus dasar bahasa dalam sistem pendidikan kita. Hari ini, negara-negara Eropah berbahasa Inggerís sudah menilai kembali pendekatan dalam sistem pendidikan mereka. Mereka bermuhasabah kerana menyedari adanya keherotan dalam teknik pengajaran dan pembelajaran. Malah, Amerika Syarikat turut mengambil langkah awal dengan mula menawarkan pendidikan dalam Bahasa Sepanyol untuk kalangan Hispanik dan Latino—selepas menginsafi keperluan untuk mengajar dalam bahasa bangsa itu sendiri.

Tapi, kita? Kita—dengan niat—untuk mengambil jalan pintas dalam rangka mengejar status negara maju menerusi dasar peng-inggeris-an, rupa-rupanya sedang memintas jalan kemunduran. Di saat khalayak makin tahu erti serta kepentingan sesuatu ilmu haruslah dibangunkan dalam acuan sendiri; bahasa sendiri—yang sarat nilai, nyata identiti, dan penuh pengaryaan—kita sebaleknya terus bebal dengan fikiran singkat yang sampai kini pun maseh tak kenal jatidiri.

5 comments:

Kabasaran Soultan said...

saya sependapat bahwa bahasa adalah jiwa bangsa dan apa-apa yang menjadi keprihatinan anda semuanya benar ..tampaknya kita sebagai bangsa melayu telah mulai kehilangan "ruh" kemelayuannya .. dalam benak sebagian besar anak melayu tampaknya segala hal yang berbau asing adalah hebat , bagus dan perlu diikuti...

Anonymous said...

Aqil,

kau perlu tahu bahawa darjat ilmu kita di tingkat yang berbeza. maka berikan aku tiga purnama untuk memintas ide dan pemikiran kau. hoho. apapun, aku setuju dengan entri ini.

Anonymous said...

Tuan, mengapa tidak melihat di bumi Islam Iran yg sudah 30tahun umurnya revolusi yg bina oleh Imam Ruhullah al-Khomeini (qud.). Dalam masa 30tahun Islam Iran telah dpt menguasai sains dan teknologi dlm sains angkasa lepas, nuklear, nano teknologi dll dlm bahasa ibundanya Parsi. Mengapa kita tidak melihat Iran sebagai contoh teladan dlm memartabatkan bahasa ibundanya, Parsi, sebagai bahasa sains dan teknologi serta bahasa pengajian Islam, bahasa politik sehingga keperingkat antarabangsa.

Jawad, Bukit Gantang.

Anonymous said...

aqil,

begitu juga dlm hal undang2 bila state disamakan dgn kerajaan/negara?

lutfi said...

Dan, kita jangan lupa, betapa, intelektual kita, termasuk orang bahasa sendiri, yang cukup ghairah mengambil kosa kata asing, dalam hal ini bahasa Inggeris, dan 'dimelayukan'. Seolah-olah, perkataan itu seperti warna. Dan, ramai juga cerdik pandai kita, termasuk Pendeta Zaaba, menyokong proses perumian bahasa Melayu.
Setuju dengan pandangan saudara mara.