www.flickr.com

Wednesday, March 25, 2009

Allah

Memang, setiap negara ada politik yang berbeza. Tapi, dalam mana-mana negara sekalipun, yang pasti tak berbeza ialah semangat falsafah. Berfikir ada di mana-mana saja.

Begitu juga berfikir tentang Allah, tentang Tuhan, atau tentang apa-apa saja. Namun, sesaujana manapun kita berfikir tentang Allah, tak mungkin adalah Allah itu sendiri. Sebab, mustahil sekali Allah ditakluk dalam ruang-masa, sedangkan pada saat yang sama, kita percaya Allah itu seharusnya melampaui segalanya. Ini termasuklah melampaui ruang-masa. Fikiran—yang sering dianggap taktepemanai (∞)—itupun hakikatnya bersempadan.

Imam Husayn, seperti termaktub dalam Usul al-Kafi, lebih awal menyedari hal ini. Katanya mudah, ¨Allah tak boleh dibagaimanakan.¨ Baginya, tatkala kita membagaimanakan Allah, seakan kita sudah tahu apa itu zat Allah. Walhal, sifat Allah, yang sepatutnya lebih rendah dari zat, itu belum tentu lagi dapat kita selesaikan. Sudah tentu, aktiviti berfikir bukanlah wilayah larangan. Tapi, tetap saja ada batasannya. Hujungnya, akal terbukti terbatas. Seperti wahyu, akal juga tak mampu nak jelaskan tentang zat Allah.

Ini bukanlah pendapat berani. Bagi mereka yang terhimbau dengan Shiffin, barangkali pernah terkesan dengan kata Imam Ali Abi Thalib. Saat pasukan Damsyik menombak al-Qur´an, Imam Ali lantas membezakan antara ¨mereka¨ dan ¨kita.¨ Sana, adalah al-Qur´an yang bisu (Qur´anun shomit). Sini, adalah al-Qur´an yang berbicara (Qur´anun natiq). Di sana, atas nama al-Qur´an bertarung untuk ¨kuning.¨ Di sini, atas nama al-Qur´an bertarung untuk ¨hitam.¨ Satu al-Qur´an, dua puak, dua matlamat, satu kesudahan!

Sudahnya, al-Qur´an tak memadai dengan teks semata. Al-Qur´an mesti ada pasangannya. Mesti ada al-Qur´an yang hidup. Masalah kita sekarang ialah, terlalu merebut teks. Kita merebut teks ¨Allah¨ sampai terlupa ada yang lebih besar dari itu: Qur´anun natiq! Inilah keresahan Imam Husayn sendiri. Ujarnya dalam tempat yang berbeza, ¨mereka yang menyembah ´alif lam lam ha´ adalah syirik.¨ Ternyata, Allah bukan hanya pada sebuah kata. Allah adalah jauh melangkaui teks!

Selesa atau tidak, Allah, atau alif lam lam ha, boleh saja milik semua, milik setiap agama samawi, milik setiap mereka yang beriman, dan milik setiap mereka yang berfikir. Allah Maha Besar, Maha, dengan ¨M.¨ Maka, Allah tak terbatas. Malah, kalau kita menyemak al-Qur´an itu sendiri, hujah ini maseh dapat dipertahankan. Lihat saja surah al-´Ankabut: 61-63, atau surah az-Zukhruf: 9, 87, atau surah Luqman: 25. Jelas, semua ayat-ayat ini memaparkan betapa kata Allah tak hanya milik muslim semata.

Maka, soalnya, apakah muslim mahu mencabar sejarah yang tercatat dalam al-Qur´an ini?

Apapun, seperti yang ditegas awal-awal, setiap negara ada politik yang berbeza. Di sini, dan dewasa ini, politik tampaknya lebih menentukan, bukannya falsafah. Tapi, setiap yang berfikir takkan pernah mahu tunduk pada sebarang bentuk politik sebegini. Apatah lagi, budaya berfikir inilah yang makin kering di Tanah Melayu. Jadi, keputusan ¨agamawan kuning¨ di Tanah Melayu ini—yang khususkan Allah hanya untuk muslim—adalah keputusan politik, bukan keputusan falsafah.

Malah, bukan keputusan agama pun!

7 comments:

Amin Ahmad said...

Jelas.

Anonymous said...

salam sdr aqil,
saya memilih untuk bersetuju dan juga untuk tidak bersetuju (dengan artikel sdr ini).

bersetuju, kerana begitulah falsafah di sebalik alif lam lam ha itu. tetapi falsafah terletak pada lapisan kedua pemikiran seseorang; itu pun jika dia benar-benar menghayati dan mengamalkan cara berfikir berlapis dalam melangsungkan pemahamannya dalam kehidupan.

tidak bersetuju, kerana lapisan permukaan ialah lapisan yang lebih dulu terlihatkan dan terkesankan oleh deria. dengan segala 'penyelewengan' dan 'halusinasi' dan cara hidup yang ilusi, alif lam lam ha yang digunakan oleh semua agama kelak akan membawa kepada satu persamaan secara permukaan. ini akan menimbulkan kerancuan kesan lihatan yang membawa kepada kecelaruan pemaknaan. tambahan pula, jika yang membacanya adalah mereka yang cetek ilmu dan orang yang tidak peduli dengan falsafah di sebalik nama dan makna.

perang siffin. benar, apa yang sdr perikan. tetapi kita dalam keadaan tidak perlu memilih di sini, tidak terdesak dan tidak harus ada perebutan. mengapa pula harus kita menyerah (walau kerana alif lam lam ha itu hanya nama); sedangkan mereka mempunyai banyak pilihan lain yang lebih hampir dengan anutan mereka?

saya meletakkan sdr dalam kelompok orang yang memahami falsafah, tetapi fahamilah, tidak semua orang melihat sesuatu falsafah di sebalik benda (dalam kes ini, nama), kerana mereka perlu menguasai syariat sebelum beralih kepada tarekat, hakikat dan makrifat.

[dengan itu saya mohon berhenti di sini]

wallahua'lam.
wassalam.

Anonymous said...

Allah tidak seharusnya wujud hanya pada kata alif lam lam ha atau a.l.l.a.h. jika Allah hanya wujud dalam kata alif lam lam ha atau a.l.l.a.h, aku tidak sekali-kali mahu menyembahNya. Allah tidak terbatas dan dia ada di mana-mana hatta pada sebutir atom atau zahrah yang terkecil!

Amin Ahmad said...

mamat, nanti orang2 Salaf argue kau, hehe

mamat said...

pewaris, Allah tu mazhab dia salafi ke? hahaha.

Nano chemist said...

alamak, ada dimana-mana dan tak ada dimana adalah 2 benda yg berbeza didalam quantum mechanics.

orthodox's view adalah tidak ada dimana-mana.
Einstein's view adalah ada dimana-mana.

gua pilih Allah tak ada dimana-mana. Or loosely speaking gua pun tak tau Allah dimana. Yang jelas Allah bersemayam di Arasy. itu yg gua tau. lain-lain lu kena tanya ulama.

imbuhan said...

awang, tapi einstein pasti tak senang dengan everett. di mana2 menurut einsteinan adalah tak sama dengan konsep ¨banyak alam.¨