www.flickr.com

Wednesday, June 3, 2009

Soroush Dukung Karroubi

Intelektual besar dari Iran, Abdolkarim Soroush menurut Presstv.ir telah menyatakan sokongannya pada Mehdi Karroubi, untuk pilihanraya presiden Iran menjelang 12 Jun 2009 nanti.

Soroush, merupakan mantan professor falsafah di Universiti Tehran di mana dua tahun terakhir ini telah menjadi zamil tetamu di Berkley Center for Religion, Peace, and World Affairs, George Washington University.

Menurutnya, semenjak empat tahun belakangan, hakikatnya tak ada apa-apa yang berubah. Justeru sudah tiba saatnya untuk memilih presiden baru. Maka, karroubi adalah pilihan terbaik.

Bagi pengarang Reason, Freedom and Democracy in Islam yang berusia 64 tahun itu, wacana politik Iran bukanlah asing. Setelah revolusi, ia pernah terlibat dalam pentadbiran kerajaan, termasuk memimpin Shoraye Aliye Enghelab-e Farhangi, sebuah institusi kebudayaan revolusi Iran.

Lebih menarik, ketika itu, Mir Hossein Mousavi, yang kini juga salah seorang calon presiden iran, adalah merupakan perdana menteri. Manakala dua calon lagi dalam pilihanraya ini ialah, Mohsen Rezaei dan penyandang sekarang, Mahmoud Ahmadinejad.

Apapun, kata Soroush lagi, hari ini ia tak melihat sesuatu yang baru dari Mousavi. Tiada sesuatu yang segar dapat menarik perhatiannya.

“Saya melihat pemikiran Mousavi tak berbeza dari yang saya kenali sebelumnya. Memang, kadang-kala Mousavi menuturkan fakta baru dalam pidatonya, namun ternyata akarnya ucapannya maseh jelas sama seperti sebelumnya. Ia hanya bermain dengan perkataannya saja,” ungkap Soroush

Merujuk kepada keengganan Mousavi untuk aktif dalam politik setelah 1989, tahun terakhirnya menjadi perdana menteri, Soroush berkata, “Mousavi hanya melihat seluruh ketaksamaan yang berlaku dalam masyarakat—tanpa berkata apa-apa sepanjang 20 tahun.”

Tak memadai dengan itu, Soroush turut mengkritik mantan presiden Iran, Mohamad Khatami yang lebih awal mendukung pencalonan Mousavi sebagai presiden Iran nanti. Katanya, Khatami tak memahami apa-apa dalam menentukan keputusannya.

Soroush, memang terkenal di Iran sebagai pelopor idea sistem demokrasi liberal. Padanya, sepertimana yang ia jelaskan dalam tulisan-tulisannya, yang paling penting adalah memastikan system kehakimannya yang bebas, kerana di situlah terletaknya jantungnya masyarakat.

Meskipun begitu, Soroush mengakui bahawa setiap presiden Iran—yang mengetuai badan eksekutif—pasti tak berkuasa untuk mengawal kehakiman. Justeru, katanya, Karroubi adalah individu tepat untuk mencipta keadaan mesra antara kehakiman dan eksekutif.

Tegasnya, menerusi Karroubi, para intelektual dan pemikir kelihatan lebih optimis untuk gerakan membangunkan sebuah masyarakat sivil, dan melebarkan ruang media, agar terdapat semangat kebebasan.

Ini, tambahnya lagi, akan terus menyingkirkan bayangan ketakutan yang wujud di celah-celah kehidupan rakyat.

Namun, lanjut Soroush, ia menolak sebarang cadangan untuk diboikot pilihanraya presiden. Katanya, kehangatan penyertaan dalam pilihanraya ini hanya banyak terzahir di kawasan bandar, jadi apakah demokrasi telah dicapai?

Hakikatnya, tak ada demokrasi ideal di mana-mana pun. Dalam penyertaan di pilihanraya ini, kita memerlukan sebuah keputusan rakyat, yang mana dengan izin Tuhan, kita mohon kehidupan akan lebih baik dari semasa ke semasa.

No comments: